[HADITH TEMATIK-NAFKAH] – Siri 4 – Ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun cukup bagi orang yang mahu menyempurnakan penyusuan

VIDEO – [Durasi – 10m 25s] – [HADITH TEMATIK-NAFKAH] – Siri 4- Ibu susukan anak selama 2 tahun jika ingin sempurnakan penyusuan

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/1vqDZ_r7HOw ]

Video penuh asal – Sahih Bukhari (Kitab Nafkah) –    • Sesi 2 – Menyimpan Makanan Setahun Untuk A…  

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – IBU-IBU HENDAKLAH MENYUSUKAN ANAK-ANAK MEREKA SELAMA DUA TAHUN CUKUP BAGI ORANG YANG MAHU MENYEMPURNAKAN PENYUSUAN

بَابٌ وَقَالَ اللَّهُ تَعَالَى: {وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ} إِلَى قَوْلِهِ: {بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ} وَقَالَ: {وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلاَثُونَ شَهْرًا} وَقَالَ: {وَإِنْ تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَى لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ} إِلَى قَوْلِهِ: {بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا}. .

وَقَالَ يُونُسُ عَنِ الزُّهْرِيِّ نَهَى اللَّهُ أَنْ تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَذَلِكَ أَنْ تَقُولَ الْوَالِدَةُ لَسْتُ مُرْضِعَتَهُ. وَهْيَ أَمْثَلُ لَهُ غِذَاءً، وَأَشْفَقُ عَلَيْهِ، وَأَرْفَقُ بِهِ مِنْ غَيْرِهَا، فَلَيْسَ لَهَا أَنْ تَأْبَى بَعْدَ أَنْ يُعْطِيَهَا مِنْ نَفْسِهِ مَا جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْهِ، وَلَيْسَ لِلْمَوْلُودِ لَهُ أَنْ يُضَارَّ بِوَلَدِهِ وَالِدَتَهُ، فَيَمْنَعَهَا أَنْ تُرْضِعَهُ ضِرَارًا لَهَا إِلَى غَيْرِهَا فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يَسْتَرْضِعَا عَنْ طِيبِ نَفْسِ الْوَالِدِ وَالْوَالِدَةِ، فَإِنْ أَرَادَا فِصَالاً عَنْ تَرَاضٍ مِنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا، بَعْدَ أَنْ يَكُونَ ذَلِكَ عَنْ تَرَاضٍ مِنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ، {فِصَالُهُ} فِطَامُهُ.

Ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun cukup bagi orang yang mahu menyempurnakan penyusuan

Ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun cukup bagi orang yang mahu menyempurnakan penyusuan dan tempoh mengandung berserta memisahkan anak daripada penyususan ialah 30 bulan dan jika kamu berasa sukar, boleh perempuan lain menyusukan anak itu untuk si bapa. Hendaklah orang yang mempunyai kesenangan, berbelanja sebahagian daripada kesenangan yang ada padanya.

Berkata Yunus daripada Zuhri: Allah telah melarang ibu daripada memudaratkan anaknya iaitu bila ibu berkata, “Saya tidak akan menyusukannya”, padahal dia yang paling sesuai dari segi makanannya untuk anaknya itu dan paling kasih dan sayang terhadapnya berbanding orang lain. Jadi tidaklah boleh dia enggan setelah si ayah bersedia memberikan apa yang Allah tentukan ke atasnya (setelah si ayah itu bersedia untuk memberikan kepada isterinya bagi pihak dirinya apa yang Allah telah wajibkan ke atasnya). Tidak juga si ayah itu boleh membahayakan anaknya atau menjadikan si ibu itu menderita kerana anaknya dengan menegah si ibu daripada memberi susu kepada anak itu untuk membuatnya menderita dengan memberikan anak itu kepada orang lain. Tidaklah menjadi kesalahan kepada mereka berdua (kedua ibu bapa) untuk meminta orang lain menyusukan anak mereka dengan rela hati daripada ayah dan ibu itu sendiri. Kalau mereka berdua mahu memisahkan anak itu daripada penyusuan, tidak menjadi kesalahan kepada mereka berdua setelah itu berlaku dengan persetujuan daripada kedua-dua pihak dari perbincangan mereka.

[RINGKASAN] Ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun cukup bagi orang yang mahu menyempurnakan penyusuan

1. Ayah kepada seorang bayi wajib menanggung kos menyusukan bayi tersebut dan adalah menjadi tanggungjawab yang wajib kepada seorang ayah memberi makanan dan pakaian kepada ibu yang menyusukan anaknya.

2. Ayat al-Quran berkenaan penyusuan anak ialah ayat 233, Surah al-Baqarah, yang bermaksud: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan”.

3. Dari ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 233 ini, si ayah wajib memberi belanja (makan minum, pakaian dan tempat tinggal) kepada si ibu semasa mengandung dan menyusu. Tempoh penyusuan adalah 30 bulan (iaitu 6 bulan tempoh [minima] mengandung dan 24 bulan tempoh menyusu. Jika tempoh mengandung lebih dari 6 bulan maka tempoh keseluruhan itu melebihi 30 bulan).

4. Berapa banyakkah belanja yang perlu diberi kepada ibu yang menyusukan anak? Ianya bergantung kepada kemampuan seseorang ayah. Jika dia seorang yang kaya, upah penyusuan hendaklah sesuai dengan kemampuan kewangannya dan begitu juga keadaannya jika dia seorang yang miskin.

5. anggung jawab memberi belanja kepada ibu yang menyusukan anak termasuk juga kepada isteri (ibu kepada anak) yang telah diceraikan, walaupun dicerai dengan tidak boleh dirujuk (talak tiga).

“Atsar” (riwayat) dari Zuhri

6. Allah melarang ibu dari memudaratkan anaknya. Mungkin berlaku bila bercerai, seorang ibu enggan menyusukan anaknya dan ini akan memudaratkan anaknya. Ini adalah kerana susu ibu adalah makanan yang paling baik dan sesuai kepada anaknya dan ibulah orang yang paling kasih dan sayang kepada anaknya. Oleh itu seseorang ibu tidak boleh enggan atau menolak dari menyusui anaknya bila suaminya bersedia untuk memberi nafkah (membiayai) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah.

7. Begitu juga, seorang ayah juga tidak boleh memudaratkan si ibu dan anaknya iaitu dengan tidak membenarkan ibu tersebut menyusukan anaknya (seperti menyerahkan anak tersebut untuk disusukan oleh orang lain tanpa persetujuan ibu tersebut). Tetapi tidak menjadi kesalahan jika mereka berdua (ayah dan ibu kepada anak tersebut) bersetuju dan dengan sukarela untuk menyerahkan kepada orang lain untuk menyusukan anaknya. Keadaan ini mungkin berlaku jika, seperti hari ini, kedua-dua ibu dan bapa bekerja di luar rumah (yang tidak membolehkan ibu menyusukan anaknya sendiri). Anak ini mungkin boleh juga diberi susu formula menggantikan susu ibu seperti yang berlaku di zaman moden ini walaupun alternatif ini bukanlah yang terbaik untuk anak. Ada juga keadaan di mana ibu ada penyakit yang boleh memudaratkan anaknya jika anak itu menyusui darinya. Jika keadaan mengizinkan, yang terbaik untuk seorang anak ialah disusukan oleh ibunya sendiri. Walaupun begitu, hakikatnya, Nabi s.a.w. sendiri disusui oleh Thuwaibah.

8. Ada ulama’ berpendapat isteri tidak wajib menyusukan bayinya dan jika dia meminta upah suaminya wajib memberinya upah. Sebaliknya ada ulama’ yang berpendapat jika suami telah memberinya nafkah sebagai isteri maka wajib ke atas isteri itu untuk menyusukan anaknya itu walaupun tanpa diberi upah oleh suaminya.

Leave a Reply