[PELBAGAI ISU]-Siri 4- [Panduan Hidup] Larangan Banyak Bertanya & Bercakap Sia-Sia -[HADITH TEMATIK]

VIDEO – [Durasi – 15m 49s] – [PELBAGAI ISU]-Siri 4- [Panduan Hidup] Larangan Banyak Bertanya & Bercakap Sia-Sia -[HADITH TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/thVZaT28G0U ]

Video penuh asal –    • Sesi 3 – Kes Hindun – [Sahih Muslim – Memu…  

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب النَّهْيِ عَنْ كَثْرَةِ الْمَسَائِلِ مِنْ غَيْرِ حَاجَةٍ وَالنَّهْيِ عَنْ مَنْعٍ وَهَاتٍ وَهُوَ الاِمْتِنَاعُ مِنْ أَدَاءِ حَقٍّ لَزِمَهُ أَوْ طَلَبُ مَا لاَ يَسْتَحِقُّهُ

حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، عَنْ سُهَيْلٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلاَثًا وَيَكْرَهُ لَكُمْ ثَلاَثًا فَيَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَيَكْرَهُ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ وَحَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الْحَنْظَلِيُّ، أَخْبَرَنَا جَرِيرٌ، عَنْ مَنْصُورٍ، عَنِ الشَّعْبِيِّ، عَنْ وَرَّادٍ، مَوْلَى الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنْعًا وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُمْ ثَلاَثًا قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ ‏”‏ ‏.‏

LARANGAN DARIPADA BANYAK BERTANYA (ATAU MEMINTA DENGAN TIDAK ADA KEPERLUAN) DAN LARANGAN DARIPADA TIDAK SUKA MEMBERI TETAPI SUKA MENERIMA, TIDAK MAHU MENUNAIKAN HAK ORANG YANG ADA PADANYA ATAUPUN MENUNTUT SESUATU YANG IA TIDAK BERHAK MENDAPATNYA

Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, beliau berkata Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah redha untuk kamu tiga perkara. Dia tidak suka untuk kamu tiga perkara. Dia suka untuk kamu mengabdikan diri kepada-Nya dengan tidak menyengutukan sesuatu dengan-Nya. Dan kamu semua berpegang teguh dengan tali Allah dan tidak berpecah belah. Allah tidak suka untuk kamu, “kata si fulan, kata si anu”, banyak bertanya (ataupun banyak meminta) dan menyia-nyiakan harta”.

Hadith Kedua – Dengan sanad yang lain, Imam Muslim meriwayatkan daripada Mughirah bin Syu’bah daripada Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah azzawajalla mengharamkan ke atas kamu menderhakai ibu-ibumu, menanam hidup-hidup anak-anak perempuan dan enggan memberi sesuatu yang patut diberi dan meminta sesuatu yang tidak patut diminta. Allah tidak suka untuk kamu tiga perkara yakni banyak bercerita (atau cerita-cerita yang tidak berfaedah), banyak bertanya dan menyia-nyiakan harta benda”.

[RINGKASAN] Larangan Banyak Bertanya, Bercakap Sia-Sia, Meminta Tanpa Keperluan Dan Tidak Suka Memberi

1. Redha atau murka Allah berkait dengan ganjaran pahala atau balasan dosa dan azab dari Allah.

2. Allah suka manusia menyembah-Nya, tidak menyengutukan apa-apa dengan-Nya, berpegang teguh dengan tali Allah (agama Allah) dan jangan berpecah-belah (maksudnya, jangan berpecah belah dalam akidah, bukannya dalam perbezaan pendapat).

3. Allah tidak suka “qiil waqaal”. Antara maksud “qiil waqaal” ialah,

i) bercakap tentang orang lain atau bercakap tentang apa saja yang terlintas di fikiran yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada kita, atau,

ii) berbual kosong, atau,

iii) “Kata fulan, kata si anu”, iaitu hanya tahu mengutip kata-kata dan menukilkan pendapat orang lain tanpa mempunyai pendapat kita sendiri. Kita dikehendaki dapat mengeluarkan pendapat kita sendiri, dan ini adalah saranan secara halus supaya kita menjadi orang yang berilmu. Kita juga hendaklah sayugianya dapat menilai sama ada betul atau salah pendapat orang lain tersebut dan tidak “bertaqlid buta”.

4. Allah tidak suka orang yang banyak “su’al”. “Su’al” ada beberapa maksud iaitu, maksud pertama, banyak bertanya seperti menanyakan perkara yang tidak berlaku dan andaian semata-mata, dan maksud kedua ialah meminta harta atau apa-apa yang ada pada orang lain.

5. Maksud “su’al” yang ketiga ialah banyak bertanya dan suka ambil tahu tentang orang lain atau peristiwa dan kejadian yang tiada kaitan dengan kita dan kita tidak perlu pun tahu maklumat tersebut. Contohnya, cerita-cerita atau peristiwa yang berlaku di seluruh dunia yang tiada kaitan dengan kita dan kita pun tidak dapat melakukan apa-apa terhadapnya kecuali sekadar tahu sahaja. Ianya menghabiskan masa dan umur kita yang berharga. Tetapi jika maklumat tersebut boleh dimanfaatkan seperti sebahagian dari kerjaya kita atau kita seorang pelajar maka ianya dibolehkan.

6. Maksud lain “su’al” ialah banyak bertanya hal-hal peribadi seseorang. Pertanyaan-pertanyaan ini akan menyebabkan orang itu tidak selesa, terpaksa berbohong dsb. Ianya tidak bermanfaat dan akan mengeruhkan keadaan.

7. Hafiz Ibnu Hajar menyatakan antara sifat banyak bertanya ialah bertanya perkara-perkara ghaib yang di luar pengetahuan manusia. Kita diminta berpada dan berpuas hati dengan perkara-perkara ghaib setakat yang diberitahu oleh Nabi s.a.w. Tetapi jika dalam proses belajar, kita boleh berdiskusi tentang perkara-perkara ghaib ini dengan panduan guru-guru.

8. Kita tidak dibenarkan untuk bertanyakan soalan-soalan dengan niat untuk menguji ilmu seseorang atau dengan niat untuk menjatuhkan maruah seseorang.

9. Kesimpulannya, pertanyaan yang tiada faedah kepada diri sendiri dan orang lain adalah dilarang tetapi jika ianya bermanfaat ianya adalah digalakkan.

10. Allah tidak suka orang yang mensia-siakan harta iaitu membazirkan harta. Contoh pembaziran harta ialah peniaga-peniaga memusnahkan barang dagangan yang berlebihan di pasaran untuk memastikan harga barang tersebut tidak jatuh. Ini boleh berlaku di peringkat rakyat sehingga pemerintah.

11. Nota: Perbincangan tentang harta ada kaitannya dalam bab “Memutuskan Pengadilan (Oleh Hakim)”, contohnya, hakim boleh menahan harta seseorang bila didapati berlaku pembaziran yang berlebihan disebabkan orang itu kurang cerdik atau tidak matang.

12. Allah mengharamkan manusia menderhakai ibu-ibu mereka. Dalam hadith ini, ibu didahulukan berbanding bapa kerana ibu lebih banyak bersusah payah untuk anak-anak.

13. Allah tidak suka kepada orang yang tidak suka memberi lebih-lebih lagi pemberian yang wajib seperti zakat.

14. “Tahu menerima tetapi tidak tahu memberi” luas maksudnya dan bukan terhad kepada perkara berkaitan harta sahaja tetapi mencakup juga hal-hal lain seperti pelajaran dan pengajian. Ini adalah motivasi supaya seseorang boleh “memberi” (sesuatu). Untuk memberi “sesuatu” seseorang perlu memiliki perkara tersebut, jika ianya berkaitan harta dia perlu bekerja untuk mengumpulkan harta untuk diberi kemudiannya. Kalau seorang pelajar, dia perlu belajar sehingga mahir dan boleh mengajar di kemudian hari. Dalam sistem ekonomi, seseorang hendaklah berusaha menjadi “pengeluar” dan bukannya sebagai “pengguna”.

15. Bercakap kosong dan banyak bertanya perkara yang tidak berfaedah adalah seperti mensia-siakan harta, kerana masa itu berharga. Orang-orang yang berjaya dan hebat dalam sejarah Islam terlalu menjaga masa. Contohnya, ulama’ besar, Ibnu Rusyd diketahui tidak pernah berehat dari aktiviti keilmuan kecuali dua kali iaitu ketika berkahwin dan ketika ayahnya meninggal dunia. Maulana Wahiduzzaman, pengarang terjemahan dan syarah Sunan Sittah dalam bahasa Urdu menetapkan tempoh maksima selama lima minit sahaja untuk seseorang berjumpa dengannya.

Leave a comment