VIDEO – [Durasi – 25m 31s] – Siri 18 [Perintah]- Ziarah pesakit,ikut jenazah,jawab bersin,sempurna sumpah, terima jemputan &salam
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/BJ0yv_fD8YU ]
Video penuh asal –
• Sesi 2 – Haram Guna Bekas Emas & Perak (Un… &
• Sesi 3 – Haram Guna Bekas Emas Dan Perak (… – Sahih Muslim (Kitab Pakaian & Perhiasan)
[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]
[ PERINTAH & LARANGAN) -RASULULLAH MENYURUH – MENZIARAHI ORANG SAKIT, MENGIRINGI JENAZAH KE KUBUR, MENJAWAB ORANG BERSIN, MENYEMPURNAKAN SUMPAH, MENOLONG ORANG DIZALIMI, MENERIMA JEMPUTAN, MENYEBARLUASKAN SALAM. RASULULLAH MELARANG – MINUM DARI BEKAS EMAS DAN PERAK DAN MELARANG LELAKI MEMAKAI EMAS DAN SUTERA
حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى التَّمِيمِيُّ، أَخْبَرَنَا أَبُو خَيْثَمَةَ، عَنْ أَشْعَثَ بْنِ أَبِي الشَّعْثَاءِ، ح وَحَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ يُونُسَ، حَدَّثَنَا زُهَيْرٌ، حَدَّثَنَا أَشْعَثُ، حَدَّثَنِي مُعَاوِيَةُ بْنُ سُوَيْدِ، بْنِ مُقَرِّنٍ قَالَ دَخَلْتُ عَلَى الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ فَسَمِعْتُهُ يَقُولُ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِسَبْعٍ وَنَهَانَا عَنْ سَبْعٍ أَمَرَنَا بِعِيَادَةِ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعِ الْجَنَازَةِ وَتَشْمِيتِ الْعَاطِسِ وَإِبْرَارِ الْقَسَمِ أَوِ الْمُقْسِمِ وَنَصْرِ الْمَظْلُومِ وَإِجَابَةِ الدَّاعِي وَإِفْشَاءِ السَّلاَمِ . وَنَهَانَا عَنْ خَوَاتِيمَ أَوْ عَنْ تَخَتُّمٍ بِالذَّهَبِ وَعَنْ شُرْبٍ بِالْفِضَّةِ وَعَنِ الْمَيَاثِرِ وَعَنِ الْقَسِّيِّ وَعَنْ لُبْسِ الْحَرِيرِ وَالإِسْتَبْرَقِ وَالدِّيبَاجِ
وَحَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ مُسْهِرٍ، ح وَحَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي، شَيْبَةَ حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، كِلاَهُمَا عَنِ الشَّيْبَانِيِّ، عَنْ أَشْعَثَ بْنِ أَبِي الشَّعْثَاءِ، بِهَذَا الإِسْنَادِ . مِثْلَ حَدِيثِ زُهَيْرٍ وَقَالَ إِبْرَارِ الْقَسَمِ مِنْ غَيْرِ شَكٍّ وَزَادَ فِي الْحَدِيثِ وَعَنِ الشُّرْبِ فِي الْفِضَّةِ فَإِنَّهُ مَنْ شَرِبَ فِيهَا فِي الدُّنْيَا لَمْ يَشْرَبْ فِيهَا فِي الآخِرَةِ
Rasulullah Menyuruh – Menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah ke kubur, menjawab orang bersin, menyempurnakan sumpah, menolong orang dizalimi, menerima jemputan, menyebarluaskan salam. Rasulullah Melarang – Minum dari bekas emas dan perak dan melarang lelaki memakai emas dan sutera.
Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Muawiyah bin Suwaid ibnu Muqarrin katanya, saya telah masuk menemui Bara’ bin ‘Azib, saya mendengar dia berkata: Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan kami supaya melakukan tujuh perkara dan melarang kami daripada melakukan tujuh perkara. Baginda menyuruh kami menziarahi orang sakit, dan mengikuti jenazah (pergi ke kubur), dan mengucapkan “Yarhamukallah” kepada orang bersin yang berkata “Alhamdulillah”, menyempurnakan sumpah ataupun menyempurnakan sumpah seseorang yang bersumpah, menolong orang yang teraniaya, menyahut panggilan (menerima) jemputan orang yang menjemput kita dan mengumumkan (menyebarluaskan) salam. Nabi s.a.w. melarang kami daripada cincin-cincin (atau, Baginda bersabda, “Daripada memakai cincin emas”) dan minum dengan menggunakan bekas perak dan duduk di atas pelapik yang diperbuat daripada sutera dan daripada memakai Qassi, Harir dan Dibaj (Nabi s.a.w. melarang kami dari memakai pelbagai jenis sutera). [Sahih Muslim – Hadith No. 2066a].
Hadith Kedua – Dengan sanad yang lain, sama seperti hadith pertama, perawi meriwayatkan “menyempurnakan sumpah” tanpa syak dan di dalam hadith ini ada tambahan iaitu Nabi s.a.w melarang daripada minum di dalam bekas perak kerana sesungguhnya orang yang minum menggunakan bekas perak itu di dunia tidak akan minum menggunakannya di akhirat nanti. [Sahih Muslim – Hadith No. 2066c].
[RINGKASAN] Rasulullah Menyuruh – Ziarah orang sakit, iringi jenazah, menjawab orang bersin, sempurnakan sumpah, tolong orang dizalimi, menerima jemputan, sebarluaskan salam. Rasulullah Melarang – Minum dari bekas emas dan perak dan melarang lelaki memakai emas dan sutera
Hadith Pertama
1. Dalam hadith ini Nabi s.a.w. memerintahkan umatnya melakukan tujuh perkara dan melarang dari melakukan tujuh perkara. Tujuh perkara yang disuruh oleh Nabi s.a.w. ialah menziarahi orang sakit, mengikuti jenazah (pergi ke kubur), mengucapkan “Yarhamukallah” kepada orang bersin yang berkata “Alhamdulillah”, menyempurnakan sumpah atau menyempurnakan sumpah seseorang yang bersumpah, menolong orang yang dizalimi (teraniaya), menyahut panggilan (menerima) jemputan orang yang menjemput kita dan mengumumkan (menyebarluaskan) salam. Nabi s.a.w. melarang daripada memakai cincin emas (bagi lelaki) dan minum dengan menggunakan bekas perak (bagi lelaki dan perempuan), duduk di atas pelapik yang diperbuat daripada sutera dan memakai empat jenis sutera (yang bermaksud pelbagai jenis sutera yang kasar dan yang lembut) bagi lelaki.
.2. Pesanan pertama Nabi s.a.w. ialah supaya melawat orang sakit. Dengan melawat orang sakit, kita boleh memberi nasihat dan petua berkaitan penyakit yang dialami contohnya jenis pakaian yang tidak sesuai untuk penyakit kulit. Kita boleh juga memberi panduan tentang penyakit yang pernah kita alami. Orang sakit yang diziarahi akan rasa dihargai kerana ada orang yang mengambil berat tentangnya menyebabkannya kembali bersemangat. Tetapi perlu diingat ada juga orang yang tidak suka menerima tamu bila jatuh sakit. Apa yang Nabi sarankan ialah umum dan dalam keadaan biasa. Oleh itu kita perlu perhatikan keadaan dan perasaan pesakit sebelum menziarahinya.
3. Pesanan kedua Nabi s.a.w. ialah supaya mengiringi jenazah ke kubur. Yang dimaksudkan dengan mengiringi jenazah ialah bukan semata-mata menuruti jenazah ke kubur tetapi membantu meringankan urusan pengebumian seperti mengusung jenazah, menggali dan menimbus kubur dan sebagainya. Amalkan sunnah-sunnah dalam urusan pengebumian dan elakkan perkara-perkara bid’ah seperti meratib atau azan di dalam kubur kerana hakikatnya si mati sudah terputus hubungannya dengan yang hidup kecuali apa yang disabdakan oleh Nabi. Ada hadith yang melarang dari membawa api ke kubur dan kita hendaklah memahami konteknya kerana yang dilarang oleh Nabi ialah larangan menyerupai golongan Majusi yang menganggap api sebagai tuhan mereka. Jika keadaan memerlukan (seperti urusan pengebumian dilakukan pada waktu malam) kita boleh menggunakan lampu atau api dengan syarat kita tidak kaitkan api ini sebagaimana yang dianggap oleh orang Majusi.
4. Pesanan ketiga – Menjawab kepada orang yang menyebut “Alhamdulillah” (Segala pujian bagi Allah) selepas bersin dengan ucapan “Yarhamukallah” (Semoga Allah merahmatimu). Tiada ucapan “Yarhamukallah” kepada orang yang tidak menyebut “Alhamdulillah”. Ucapan “Yarhamukallah” adalah seumpama kita menjawab salam orang yang memberi salam. Orang yang bersin kemudiannnya menyahut ucapan “Yarhamukallah” tadi dengan ucapan “Yahdiinaa wa yahdiikumullah” (Semoga Allah memberi petunjuk kepada kami dan kamu). Setakat ini, tidak diketahui apakah rahsia di sebalik bersin sehingga kita disuruh mengucapkan “Alhamdulillah”, tetapi dari perintah Allah ini kita pasti ada kebaikan darinya. [Nota iringan: Ada ulama’ mengatakan ada empat jenis angin yang berasal dari tubuh iaitu dari kemaluan depan (qubul, terutamanya di kalangan wanita), kemaluan belakang (dubur dalam bentuk kentut dsb), mulut (sendawa) dan hidung (bersin). Kita tidak dibenarkan mengucapkan “Alhamdulillah” bila angin dari dubur kerana baunya yang tidak enak dan melalui saluran najis dan disarankan mengucapkan “Alhamdulillah” kerana bersin. Adalah dipercayai bersin akan mengeluarkan angin penyakit dari otak, wallahu’alam]. Jika bersin lebih dari dua kali, ada dua pendapat ulama’ iaitu, pendapat pertama, tidak disunatkan menjawab dengan “Yarhamukallah” kerana ianya adalah berpunca dari penyakit (seperti selsema), manakala pendapat kedua, disarankan juga menyebut “Yarhamukallah” kerana hakikatnya setiap bersin itu melegakan dan menghilangkan penyakit.
5. Pesanan keempat – Menyempurnakan sumpah atau menyempurnakan hajat orang yang bersumpah. Kalau kita bersumpah (contohnya bernazar) kita hendaklah sempurnakan sumpah tersebut. Tidak menyempurnakan sumpah atau membatalkan sumpah tanpa membayar kaffarah adalah suatu dosa besar, oleh itu hendaklah kita jangan bermudah-mudah dengan sumpah. Perlu diingat, sebagai orang Islam, walaupun tidak bersumpah, kita tetap wajib menunaikan janji-janji kita. Pesanan Nabi ini merangkumi juga menunaikan hajat orang yang bersumpah, contohnya, ada orang yang bersumpah dengan nama Allah supaya kita merahsiakan maklumat yang diberitahu kepada kita. Kita hendaklah menunaikan sumpahnya selagi ianya tidak mengambil hak orang lain. Walaupun begitu, ada di kalangan masyarakat Islam di dunia ini yang menjadikan sumpah sebagai mainan bibir dan sumpah tidak lagi menjadi sesuatu yang boleh dipegang. Dalam hal ini kita tidak dituntut menunaikan sumpah tersebut. Jika ada sahabat kita yang bersumpah dengan nama Allah supaya kita memelihara anaknya selepas kematiannya, kita hendaklah sedaya upaya menunaikan sumpahnya, dan jika kita tidak mampu, tunaikanlah hajatnya dengan meminta bantuan sahabat-sahabat kita yang mampu. Anggaplah ianya satu peluang untuk mendapat pahala dan rahmat Allah. Hadith ada menyebut bahawa sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah akan menunaikan hajatnya di akhirat nanti.
6. Pesanan kelima – Menolong (membela) orang yang dizalimi (teraniaya). Kezaliman dan penganiayaan datang dalam pelbagai bentuk, contohnya, ulama’-ulama’ yang difitnah dan dianiaya, kejahilan di kalangan umat atau pengangguran dalam masyarakat. Mereka yang mampu membantu dan menyelesaikan masalah seperti peguam, guru-guru dan ahli politik hendaklah memainkan peranan untuk membela orang-orang yang teraniaya ini. Kita hendaklah membantu di bidang yang kita mampu. Syirik ialah satu kezaliman yang besar (kezaliman kepada diri seseorang), oleh itu kita hendaklah menggemblingkan tenaga mengajak dan berdakwah kepada orang kafir supaya memeluk Islam. Sayugia diingat bahawa Nabi s.a.w. bercakap kepada umatnya yang terdiri dari berbagai golongan, oleh itu maksudnya dan cakupannya amat luas.
7. Pesanan keenam – Menyahut (menerima) jemputan orang yang menjemput. Ulama’ menyebut antara jemputan yang patut diutamakan ialah jemputan kenduri perkahwinan (walimatul urus). Hadirlah ke majlis-majlis yang dijemput sebagai tanda persaudaraan kecuali terhalang dengan sebab-sebab yang munasabah. Dalam ertinya yang lebih luas, “jemputan” ini boleh bermaksud ajakan atau pelawaan kepada perkara baik, contohnya, pelawaan untuk menubuhkan persatuan untuk membantu anak-anak yatim. Jika kita tidak dapat terlibat secara langsung, kita hendaklah menyokong usaha-usaha murni tersebut setakat kemampuan kita.
8. Pesanan ketujuh – Menyebarluaskan salam sejahtera. Dengan menyebarluaskan salam ianya bermaksud kita orang Islam cintakan kedamaian, keamanan, keharmonian dan keselamatan. Bila kita memberi salam, kita seolah-olah mengisyaratkan kita akan berlaku baik dan tidak memusuhi orang yang diberi salam. Ini adalah jaminan keselamatan atas nama Allah (as-Salam). Dalam konteks yang lebih luas, “menyebarkan salam” ialah berusaha berterusan untuk mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat. Semoga orang Islam dikenali dengan identiti sebegini kerana ianya adalah senjata daawah yang ampuh.
9. Nabi s.a.w. melarang orang lelaki daripada memakai cincin emas, menggunakan pelana (bantal) yang dibalut dengan sutera dan memakai pakaian dari semua jenis sutera.
Hadith Kedua
10. Orang yang makan dan minum dalam bekas perak tidak akan dapat makan dan minum dalam bekas ini di akhirat nanti sebagai hukuman kepadanya. Ianya seumpama orang yang minum arak di dunia, tidak akan dapat mimum arak di akhirat. Apa yang kita ketahui bahawa di syurga nanti ada arak dan ada bekas emas dan perak tetapi tidak dapat diminum atau digunakan oleh orang yang pernah meminum (atau menggunakannya) walaupun dia ahli syurga. Ada ulama’ berpendapat orang yang meminum arak (atau menggunakan bekas emas dan perak) tidak akan masuk syurga, oleh kerana itu tidak dapat minum arak yang ada di syurga. Tetapi pendapat ini dibantah oleh ulama’ lain kerana perbuatan minum arak tanpa mempertikaikan keharamannya tidak menyebabkan seseorang keluar dari Islam dan dia masih berpeluang masuk syurga. Ada dijelaskan ulama’ bahawa memang seseorang yang minum arak di dunia tidak akan dapat minum arak di syurga. Allah membuatnya tidak berasa ingin meminum arak. Ini adalah kerana tidak mungkin ahli syurga terhalang dari mendapat apa yang dhajatinya