VIDEO – [Durasi – 7m 17s] – [PELBAGAI ISU] – Siri 17 [Hadith] – Nabi Bertindak Dalam Berbagai Kapasiti (Peranan Dan Kedudukan)
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/lD5fy7JHOGw ]
Video penuh asal – • Sesi 3 – Larangan Mengadap Kiblat Pada Ket… – (Sunan Abi Daud – Kitab Thaharah)
[ VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]
NABI S.A.W. BERTINDAK DALAM BERBAGAI KAPASITI (PERANAN DAN KEDUDUKAN) KETIKA BERINTERAKSI DENGAN SAHABAT-SAHABAT
Hadith Rujukan:
حَدَّثَنَاعَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدٍ النُّفَيْلِيُّ، حَدَّثَنَا ابْنُ الْمُبَارَكِ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَجْلاَنَ، عَنِ الْقَعْقَاعِ بْنِ حَكِيمٍ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “ إِنَّمَا أَنَا لَكُمْ بِمَنْزِلَةِ الْوَالِدِ أُعَلِّمُكُمْ فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمُ الْغَائِطَ فَلاَ يَسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ وَلاَ يَسْتَدْبِرْهَا وَلاَ يَسْتَطِبْ بِيَمِينِهِ ” . وَكَانَ يَأْمُرُ بِثَلاَثَةِ أَحْجَارٍ وَيَنْهَى عَنِ الرَّوْثِ وَالرِّمَّةِ . .
حَدَّثَنَا مُسَدَّدُ بْنُ مُسَرْهَدٍ، حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، عَنِ الأَعْمَشِ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ يَزِيدَ، عَنْ سَلْمَانَ، قَالَ قِيلَ لَهُ لَقَدْ عَلَّمَكُمْ نَبِيُّكُمْ كُلَّ شَىْءٍ حَتَّى الْخِرَاءَةَ . قَالَ أَجَلْ لَقَدْ نَهَانَا صلى الله عليه وسلم أَنْ نَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ بِغَائِطٍ أَوْ بَوْلٍ وَأَنْ لاَ نَسْتَنْجِيَ بِالْيَمِينِ وَأَنْ لاَ يَسْتَنْجِيَ أَحَدُنَا بِأَقَلَّ مِنْ ثَلاَثَةِ أَحْجَارٍ أَوْ يَسْتَنْجِيَ بِرَجِيعٍ أَوْ عَظْمٍ .
Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya saya bagi kamu sama seperti ayah. Saya mengajar kamu. Bila sesiapa dari kamu datang dari tempat membuang air besar, maka janganlah dia mengadap kiblat dan janganlah dia membelakanginya dan janganlah dia beristinja’ dengan tangan kanannya”. Nabi s.a.w. memerintahkan (menyuruh) supaya menggunakan tiga biji (anak) batu. Dia melarang dari menggunakan tahi binatang dan tulang (yang pecah atau hancur).
Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Abdurrahman bin Yazid daripada Salman. Salman berkata ada orang berkata kepadanya, “Sesungguhnya Nabi kamu mengajarkan kepada kamu segala perkara hinggakan cara membuang air besar”. Salman menjawab, “Ya! Nabi s.a.w. melarang kami dari mengadap kiblat pada ketika membuang air besar atau membuang air kecil. Nabi s.a.w, melarang kami dari kami beristinja’ dengan tangan kanan dan dia melarang kami dari kami beristinja’ dengan kurang dari tiga biji batu atau seseorang itu beristinja’ (dia melarang orang beristinja’) dengan menggunakan tahi binatang ataupun tulang”.
[Hadith] – Nabi s.a.w. Bertindak Dalam Berbagai Kapasiti (Peranan Dan Kedudukan) Ketika Berinteraksi Dengan Sahabat-Sahabat
1. Dalam hadith riwayat Abu Hurairah (hadith pertama) Nabi s.a.w. bersabda, “Aku bagi mu adalah seperti ayah. Aku mengajar kamu (seperti ayah)”. Dari hadith Salman r.h. (hadith kedua) dinyatakan Nabi s.a.w. mengajar umatnya semua perkara termasuklah cara buang air.
2. Nabi tidak disebut secara jelas sebagai ayah di dalam al-Quran. Walaupun begitu Ayat 6, Surah al-Ahzab menyatakan isteri-isteri Baginda adalah ibu-ibu kepada orang-orang mukmin, yang secara tidak langsung mengisyaratkan bahawa Rasulllah s.a.w adalah seperti ayah kepada umat ini. Ayat 6, Surah al-Ahzab bermaksud, “Nabi itu lebih utama bagi orang-orang mukmin daripada diri mereka sendiri. Dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu kepada mereka”.
3. Sifat dan peranan ayah ialah mengajar anak-anaknya sehinggakan perkara-perkara yang kecil sekalipun seperti buang air; perkara-perkara yang tidak disentuh oleh pemerintah dan pemimpin negara.
4. Nabi s.a.w. bertindak atas beberapa peranan dan kedudukan yang berbeza. Peranan atau kedudukan Nabi di dalam hadith-hadith ini dikenal pasti oleh ulama’-ulama hadith. Kita boleh terkeliru dalam memahami sesuatu hadith jika tidak memperhatikan perkara ini. Baginda boleh jadi bersabda sebagai seorang panglima perang, sebagai ketua negara, sebagai pendidik, sebagai mubaligh yang menyampaikan agama, malah sebagai ahli psikologi. Untuk menghayati hadith-hadith Nabi atau ayat-ayat al-Quran kita perlu perhatikan apakah peranan dan kedudukan Nabi semasa hadith tersebut muncul. Adakah Baginda bertindak sebagai ketua negara, hakim, mubaligh, ayah dsb?
5. Nabi s.a.w. pernah bertindak sebagai hakim yang menyelesaikan pertelingkahan dii antara dua orang Sahabat yang bertelagah tentang hak penggunaan air di kebun mereka. Baginda membuat keputusan sebagai hakim semasa berada di dalam kebun mereka. Walaupun begitu di zaman ini, keputusan-keputusan hakim perlu di buat di mahkamah dengan syarat-syarat tertentu.
6. Jika Nabi bertindak sebagai ketua negara, kita tidak boleh mengamalkan hadith tersebut jika kita bukan ketua negara. Contohnya, hadith yang memberikan hak milik sesuatu tanah kepada orang yang mengusahakannya. Hadith ini muncul ketika Nabi bertindak sebagai ketua negara. Pada hari ini, hak memberi pemilikan tanah terhad hanya kepada pemerintah dan hukumnya boleh berubah mengikut perkembangan zaman. Contoh lain ialah hukuman-hukuman dalam kes hudud seperti memotong tangan bagi pencuri hanya boleh diputuskan oleh pemerintah (melalui hakim).
7. Dengan peranan Baginda sebagai ayah, Nabi s.a.w. mengajar cara-cara buang air dan perkara-perkara rutin dalam hidup. Inilah perbezaan di antara Nabi dan lain-lain pemerintah kerana Baginda mempunyai berbagai peranan sesuai dengan kedudukan Baginda sebagai seorang Rasul.
