NIKAH & CERAI ] – Siri 3 – Perintah Mengahwini Perempuan Yang Beragama [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 7m 10s] – NIKAH & CERAI ] – Siri 3 – Perintah Mengahwini Perempuan Yang Beragama [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/8FLsp1ubfP0 ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 – Perintah Mengahwini Perempuan Yan…   [ Sunan Abi Daud (Kitab Nikah) ]

[ VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب مَا يُؤْمَرُ بِهِ مِنْ تَزْوِيجِ ذَاتِ الدِّينِ

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، – يَعْنِي ابْنَ سَعِيدٍ – حَدَّثَنِي عُبَيْدُ اللَّهِ، حَدَّثَنِي سَعِيدُ بْنُ أَبِي سَعِيدٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ تُنْكَحُ النِّسَاءُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ ‏”‏

Perintah Mengahwini Perempuan Yang Beragama

Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda, “Perempuan itu dikahwini kerana empat perkara; kerana hartanya, kedudukannya, kecantikannya dan agamanya. Kamu carilah perempuan yang beragama, kalau tidak teruklah (rugilah) engkau”.

[Ringkasan] Perintah Mengahwini Perempuan Yang Beragama

1. Nabi s.a.w. menyuruh menikahi perempuan yang beragama, begitu juga sebaliknya wanita hendaklah memilih lelaki yang (baik) agamanya. Baik dalam agama adalah faktor yang menjamin kebahagiaan dan keharmonian sesebuah rumahtangga.

2. Seseorang wanita dikahwini kerana empat perkara, (tidak kira sama ada orang Islam atau bukan Islam, apa bangsanya atau di mana jua), iaitu kerana hartanya, darjat dan kedudukannya (keturunannya), kecantikannya atau agamanya.

3. Khasnya untuk seorang Islam, hendaknya kita memilih seorang wanita yang beragama, kerana kita yakin agama Islam adalah agama yang benar, yang sempurna dan yang paling cantik.

4. Ramai dari kita seringkali terlupa faktor agama di dalam pemilihan pasangan kerana lebih mementingkan kecantikan, harta atau darjat dan keturunan. Tidak dinafikan bahawa faktor-faktor tersebut juga penting dan baik, namun yang paling utama dan perlu dikedepankan ialah faktor agama.

5. Dalam satu hadith ada disebutkan bahawa jika seseorang itu berkahwin kerana kecantikan, kecantikan itu akan hilang bila-bila masa, begitu juga dengan harta. Jika kita meletakkan faktor kecantikan atau harta sebagai keutamaan apakah akan jadi bila kecantikan atau harta itu lenyap dan tiada lagi?

6. Faktor agama sama pentingnya untuk seseorang perempuan memilih calon suaminya.

7. Teguh dan baik dalam agama adalah faktor utama kebahagiaan sebuah keluarga. Ini tidak bermakna, kita menafikan atau menolak faktor-faktor lain dalam pemilihan calon pasangan seperti kecantikan (ketampanan), berharta ataupun mempunyai kedudukan, tetapi ianya adalah satu kelebihan sekiranya dia seorang yang beragama.

8. Tidak ada jaminan bahawa mereka yang dari keturunan cerdik pandai atau baik-baik, juga mempunyai sifat-sifat tersebut. Kita perlu menilai seseorang berdasarkan sifat individu itu sendiri.

9. Jadikan tahap kehidupan beragama seseorang sebagai asas pemilihan kerana dengan agama seseorang boleh menyesuaikan diri dalam semua keadaan dengan adanya sifat tolak ansur, bersabar dan tidak menjadikan perkara-perkara selain agama sebagai keutamaan. Ringkasnya, jika agama seseorang itu baik, semua perkara yang lain akan baik sehinggakan sekiranya tiada satupun kelebihan yang lain pun, ianya sudah memadai.

10. Walaupun begitu, adalah tidak sesuai jika kita menolak keseluruhan sifat-sifat baik yang lain kerana semata-mata mengambil agama sebagai satu-satunya faktor pemilihan. Adalah tidak benar jika seseorang itu cantik atau kaya, contohnya, dia akan menjadi sombong. Kita hendaklah menolak jika calon pasangan hanya mempunyai kelebihan-kelebihan lain tetapi tidak baik di segi agama.

11. Pasangan kita yang baik agamanya tidak akan menilai kita di segi kelebihan lain seperti harta, kecantikan atau ketampanan atau kedudukan dan status kita dalam masyarakat.

12. Nabi s.a.w. bersabda, “Rugilah engkau kalau engkau tidak memilih (pasangan) yang beragama”.

Leave a comment