[THAHARAH] – Siri 6 – (Qadha Hajat) Keharusan Mengadap Kiblat Ketika Buang Air (HadithTematik)

VIDEO – [Durasi – 10m 44s] – [THAHARAH] – Siri 6 – (Qadha Hajat) Keharusan Mengadap Kiblat Ketika Buang Air (HadithTematik)

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/VH0RLdXuQcM ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 – Apa Yang Diucapkan  Bila  Masuk K…   &    • Sesi 3 – Larangan Mengadap Kiblat Pada Ket…   – (Sunan Abi Daud – Kitab Thaharah)

Rujukan Silang – Siri 5 -(Qadha Hajat) Larangan Mengadap Kiblat Ketika Buang Air (    • [THAHARAH] – Siri 5 -(Qadha  Hajat) Larang…   ) dan Khilaf Ulama’ Tentang Larangan Atau Harusnya Mengadap Kiblat Ketika Buang Air (.    • [THAHARAH]-Siri 4-Khilaf Ulama’ Tentang La…   )

[ VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

(QADHA HAJAT) KEHARUSAN MENGADAP KIBLAT KETIKA BUANG AIR MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب الرُّخْصَةِ فِي ذَلِكَ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ، عَنْ مَالِكٍ، عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ يَحْيَى بْنِ حَبَّانَ، عَنْ عَمِّهِ، وَاسِعِ بْنِ حَبَّانَ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، قَالَ لَقَدِ ارْتَقَيْتُ عَلَى ظَهْرِ الْبَيْتِ فَرَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى لَبِنَتَيْنِ مُسْتَقْبِلَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ لِحَاجَتِهِ

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، حَدَّثَنَا وَهْبُ بْنُ جَرِيرٍ، حَدَّثَنَا أَبِي قَالَ، سَمِعْتُ مُحَمَّدَ بْنَ إِسْحَاقَ، يُحَدِّثُ عَنْ أَبَانَ بْنِ صَالِحٍ، عَنْ مُجَاهِدٍ، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ نَهَى نَبِيُّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ نَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ بِبَوْلٍ فَرَأَيْتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْبَضَ بِعَامٍ يَسْتَقْبِلُهَا ‏

———————————————-

‏ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى بْنِ فَارِسٍ، حَدَّثَنَا صَفْوَانُ بْنُ عِيسَى، عَنِ الْحَسَنِ بْنِ ذَكْوَانَ، عَنْ مَرْوَانَ الأَصْفَرِ، قَالَ رَأَيْتُ ابْنَ عُمَرَ أَنَاخَ رَاحِلَتَهُ مُسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةِ ثُمَّ جَلَسَ يَبُولُ إِلَيْهَا فَقُلْتُ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَلَيْسَ قَدْ نُهِيَ عَنْ هَذَا قَالَ بَلَى إِنَّمَا نُهِيَ عَنْ ذَلِكَ فِي الْفَضَاءِ فَإِذَا كَانَ بَيْنَكَ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ شَىْءٌ يَسْتُرُكَ فَلاَ بَأْسَ

Keharusan Mengadap Kiblat Ketika Buang Air .

Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar katanya, “Pernah saya naik ke atas bumbung rumah. Saya ternampak Rasulullah s.a.w. berada di atas dua batu bata dengan mengadap kepada Baitul Maqdis untuk qadha hajat.

Hadith Kedua- Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah katanya, “Nabi s.a.w. melarang kita mengadap kiblat ketika kencing. Saya melihatnya setahun sebelum Baginda s.a.w. wafat, mengadapnya (kiblat)”.

Hadith Ketiga – Diriwayatkan daripada Marwan al-Asfar katanya: Saya melihat Ibnu Umar telah mendudukkan kenderaannya (untanya) dengan mengadap kiblat (di hadapannya yang mengadap kiblat) kemudian dia duduk kencing dengan mengadap kepada kenderaannya (untanya). Saya pun berkata, “Wahai Aba Abdurrahman! Bukankah telah dilarang dari perbuatan seperti ini?”. Dia menjawab, “Memang! Tetapi yang dilarang ialah mengadap kiblat di tanah lapang. Sekiranya telah ada di antara engkau dan di antara kiblat sesuatu, maka sesuatu yang menutup engkau maka tidaklah mengapa”.

[Ringkasan] Keharusan Mengadap Kiblat Ketika Buang Air

1. Abdullah bin Umar rhum naik ke atas bumbung dan ternampak Nabi s.a.w. membuang air dengan mengadap Baitul Maqdis, iaitu membelakangi kiblat. Beliau membuat kesimpulan bahawa adalah dibolehkan mengadap atau membelakangi kiblat ketika membuang air jika berada dalam bangunan yang tertutup.

2. Ulama’-ulama’ mazhab Hanafi membantah kesimpulan yang dibuat oleh Ibnu Umar dengan berhujah bahawa ada kemungkinan Nabi mengubah kedudukannya ketika melihat Ibnu Umar. Keadaan Rasulullah yang dilihat adalah setelah Baginda bergerak memusingkan badan, dan ianya menolak kesimpulan yang dibuat Ibnu Umar.

3. Hadith Abu Ayyub yang meriwayatkan larangan Nabi dari mengadap kiblat ketika membuang air adalah yang paling kuat dalam perkara ini. Hadith ini diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Hadith Abu Ayyub adalah hadith “qauli” (iaitu perintah atau larangan melalui lisan Nabi) dan pada amnya ianya adalah lebih kuat dari hadith “fi’li” (perbuatan Nabi) kerana ada kemungkinan perbuatan Nabi adalah khusus untuk Baginda seorang. Hakikatnya, Nabi s.a.w. adalah lebih mulia dari kaabah, maka Baginda bebas untuk mengadap atau membelakanginya bila membuang air.

4. Haram atau harusnya mengadap kiblat ketika buang air adalah perkara yang diperselisihkan (khilafiah) di kalangan ulama’. Imam Abu Hanifah berpendapat haram mengadap atau membelakangi kiblat ketika buang air tidak kira sama ada di tempat tertutup atau terbuka. Manakala Imam as-Shafie berpendapat boleh mengadap kiblat jika berada di dalam bangunan yang tertutup (tandas). Kita bebas memilih salah satu pendapat dari imam-imam ini. Walaupun begitu, hadith yang menjadi sandaran Imam Abu Hanifah (hadirh Abu Ayyub) adalah lebih kuat, oleh itu kita hendaklah menghormati pendapat ini walaupun tidak mengikutnya. Oleh itu, sepatutnya kita mengambilkira hadith ini ketika membina bangunan dengan mengelakkan tandas dari mengadap atau membelakangi kiblat.

5. Antara tujuan dan faedah belajar hadith ialah kita dapat mengetahui pendapat-pendapat yang berbeza dalam sesuatu perkara. Kita sepatutnya meraikan pendapat-pendapat yang berbeza ini. Contohnya, ketika berwudhu’, Imam as-Shafie berpendapat wudhu’ sah dengan hanya menyapu beberapa helai rambut dengan air tetapi ianya tidak memadai mengikut pendapat Imam Malik. Imam Malik mensyaratkan menyapu air ke keseluruhan kepala. Oleh itu, adalah elok kita melebihkan sapuan air di kepala sekiranya keadaan mengizinkan.

6. Hadith kedua (dari Jabir bin Abdillah) meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. membuang air dengan mengadap kiblat. Ianya berlaku pada masa agak lewat dalam kehidupan Nabi, iaitu setahun sebelum kewafatan Baginda. Dari hadith ini ada ulama’ berpendapat bahawa adalah harus mengadap atau membelakangi kiblat ketika buang air dengan alasan bahawa hadith yang melarangnya telah dimansukhkan oleh hadith ini. Walaupun begitu, di kalangan ulama’ hadith, hadith ini adalah dhaif kerana adanya dua orang perawi yang dipertikaikan iaitu Wahab Bin Jarir dan Ibnu Ishaq. Seandainya ianya sahih sekalipun, oleh kerana ianya hadith “fi’li” ia tidak dapat menandingi hadith “qauli” Abu Ayyub dan seumpamanya.

7. Apa yang menarik, ada sebuah hadith di dalam Sunan Ibni Majah yang meriwayatkan Nabi s.a.w. meminta supaya dialihkan kedudukan tempat buang air supaya mengadap kiblat bila diberitahu ada orang (Sahabat-Sahabat) yang terlalu ketat dalam hal ini. Dari riwayat-riwayat ini, kita boleh ambil kesimpulan bahawa apa-apa pendapat imam-imam muktabar seperti Imam as-Shafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal dll adalah berdasarkan hadith-hadith yang sekurang-kurangnya “hasan” statusnya pada pandangan mereka. Oleh itu, contohnya, kita perlu menghormati pendapat Imam as-Shafie yang berpendapat sunat doa qunut semasa sembahyang subuh walaupun ianya tidak disarankan oleh imam-imam lain.

8. Imam as-Shafie, Imam Malik dan ramai lagi ulama’ berpendapat boleh mengadap kiblat jika membuang air dalam bangunan yang tertutup (tandas). .

PERBEZAAN PENDAPAT DI KALANGAN ULAMA’ YANG MENGHARUSKAN MENGADAP KIBLAT KETIKA BUANG AIR

Terdapat perbezaan pendapat yang ketara di kalangan ulama’ yang mengharuskan mengadap kiblat ketika membuang air. Antaranya ialah,

i) Boleh mengadap atau membelakangi kiblat sama ada di kawasan terbuka atau tertutup. Ulama’ yang berpendapat begini mengatakan hadith-hadith pengharamannya telah dimansukhkan oleh hadith kedua.

ii) Harus mengadap atau membelakangi kiblat jika di dalam bangunan tertutup (tandas) tetapi dilarang di tempat terbuka. Ini adalah pendapat Imam as-Shafie dan Imam Malik.

iii) Harus membelakangi kiblat tetapi adalah haram mengadap kiblat walaupun di dalam tempat tertutup.

iv) Harus mengadap atau membelakangi kiblat kepada semua orang kecuali kepada penduduk Madinah,

vii) Nabi s.a.w. tidak dilarang mengadap atau membelakangi kiblat. Larangan mengadap kiblat adalah untuk orang selain Nabi s.a.w.

Leave a comment