VIDEO – [Durasi – 17m 46s] – [THAHARAH] – Siri 5 -(Qadha Hajat) Larangan Mengadap Kiblat Ketika Buang Air (Video Tematik Hadith]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/ltyz0GAaio8 ]
Video penuh asal – • Sesi 2 – Apa Yang Diucapkan Bila Masuk K… & • Sesi 3 – Larangan Mengadap Kiblat Pada Ket… – (Sunan Abi Daud – Kitab Thaharah)
[ VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]
(QADHA HAJAT) LARANGAN MENGADAP KIBLAT KETIKA BUANG AIR MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
باب كَرَاهِيَةِ اسْتِقْبَالِ الْقِبْلَةِ عِنْدَ قَضَاءِ الْحَاجَةِ
حَدَّثَنَا مُسَدَّدُ بْنُ مُسَرْهَدٍ، حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، عَنِ الأَعْمَشِ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ يَزِيدَ، عَنْ سَلْمَانَ، قَالَ قِيلَ لَهُ لَقَدْ عَلَّمَكُمْ نَبِيُّكُمْ كُلَّ شَىْءٍ حَتَّى الْخِرَاءَةَ . قَالَ أَجَلْ لَقَدْ نَهَانَا صلى الله عليه وسلم أَنْ نَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ بِغَائِطٍ أَوْ بَوْلٍ وَأَنْ لاَ نَسْتَنْجِيَ بِالْيَمِينِ وَأَنْ لاَ يَسْتَنْجِيَ أَحَدُنَا بِأَقَلَّ مِنْ ثَلاَثَةِ أَحْجَارٍ أَوْ يَسْتَنْجِيَ بِرَجِيعٍ أَوْ عَظْمٍ .
حَدَّثَنَاعَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدٍ النُّفَيْلِيُّ، حَدَّثَنَا ابْنُ الْمُبَارَكِ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَجْلاَنَ، عَنِ الْقَعْقَاعِ بْنِ حَكِيمٍ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “ إِنَّمَا أَنَا لَكُمْ بِمَنْزِلَةِ الْوَالِدِ أُعَلِّمُكُمْ فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمُ الْغَائِطَ فَلاَ يَسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ وَلاَ يَسْتَدْبِرْهَا وَلاَ يَسْتَطِبْ بِيَمِينِهِ ” . وَكَانَ يَأْمُرُ بِثَلاَثَةِ أَحْجَارٍ وَيَنْهَى عَنِ الرَّوْثِ وَالرِّمَّةِ .
حَدَّثَنَا مُسَدَّدُ بْنُ مُسَرْهَدٍ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَزِيدَ اللَّيْثِيِّ، عَنْ أَبِي أَيُّوبَ، رِوَايَةً قَالَ “ إِذَا أَتَيْتُمُ الْغَائِطَ فَلاَ تَسْتَقْبِلُوا الْقِبْلَةَ بِغَائِطٍ وَلاَ بَوْلٍ وَلَكِنْ شَرِّقُوا أَوْ غَرِّبُوا ” . فَقَدِمْنَا الشَّامَ فَوَجَدْنَا مَرَاحِيضَ قَدْ بُنِيَتْ قِبَلَ الْقِبْلَةِ فَكُنَّا نَنْحَرِفُ عَنْهَا وَنَسْتَغْفِرُ اللَّهَ
حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ، حَدَّثَنَا وُهَيْبٌ، حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ يَحْيَى، عَنْ أَبِي زَيْدٍ، عَنْ مَعْقِلِ بْنِ أَبِي مَعْقِلٍ الأَسَدِيِّ، قَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ نَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَتَيْنِ بِبَوْلٍ أَوْ غَائِطٍ . قَالَ أَبُو دَاوُدَ وَأَبُو زَيْدٍ هُوَ مَوْلَى بَنِي ثَعْلَبَةَ
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى بْنِ فَارِسٍ، حَدَّثَنَا صَفْوَانُ بْنُ عِيسَى، عَنِ الْحَسَنِ بْنِ ذَكْوَانَ، عَنْ مَرْوَانَ الأَصْفَرِ، قَالَ رَأَيْتُ ابْنَ عُمَرَ أَنَاخَ رَاحِلَتَهُ مُسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةِ ثُمَّ جَلَسَ يَبُولُ إِلَيْهَا فَقُلْتُ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَلَيْسَ قَدْ نُهِيَ عَنْ هَذَا قَالَ بَلَى إِنَّمَا نُهِيَ عَنْ ذَلِكَ فِي الْفَضَاءِ فَإِذَا كَانَ بَيْنَكَ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ شَىْءٌ يَسْتُرُكَ فَلاَ بَأْسَ
Hadith Yang Melarang Mengadap Kiblat Ketika Buang Air
Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Abdurrahman bin Yazid daripada Salman. Salman berkata ada orang berkata kepadanya, “Sesungguhnya Nabi kamu mengajarkan kepada kamu segala perkara hinggakan cara membuang air besar”. Salman menjawab, “Ya! Nabi s.a.w. melarang kami dari mengadap kiblat pada ketika membuang air besar atau membuang air kecil. Nabi s.a.w, melarang kami dari kami beristinja’ dengan tangan kanan dan dia melarang kami dari kami beristinja’ dengan kurang dari tiga biji batu atau seseorang itu beristinja’ (dia melarang orang beristinja’) dengan menggunakan tahi binatang ataupun tulang”.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya saya bagi kamu sama seperti ayah. Saya mengajar kamu. Bila sesiapa dari kamu datang dari tempat membuang air besar, maka janganlah dia mengadap kiblat dan janganlah dia membelakanginya dan janganlah dia beristinja’ dengan tangan kanannya”. Nabi s.a.w. memerintahkan (menyuruh) supaya menggunakan tiga biji (anak) batu. Dia melarang dari menggunakan tahi binatang dan tulang (yang pecah atau hancur).
Hadith Ketiga – Diriwayatkan daripada Abu Ayyub sebagai riwayat dari Nabi s.a.w., sabdanya (Nabi s.a.w.), “Bila kamu datang ke tempat mambuang air, janganlah kamu mengadap kiblat dengan membuang air besar dan jangan juga mengadap kiblat dengan membuang air kecil tetapi hendaklah kamu mengadap ke timur atau ke barat”. (Abu Ayyub berkata): Setelah itu kami pergi ke Syam, kami dapati tandas-tandas (di sana) telah dibina dengan mengadap kiblat. Kami pun berpaling darinya dan beristighfar meminta ampun dari Allah.
Hadith Keempat – Diriwayatkan daripada Ma’kil bin Abi Ma’kil al-Asadi, katanya Rasulullah s.a.w. melarang kami mengadap dua kiblat dengan kencing atau berak (dengan membuang air kecil atau air besar). Abu Daud berkata, “Abu Zaid ialah maula Bani’ Tsa’labah”.
Hadith Kelima – Diriwayatkan daripada Marwan al-Asfar katanya: Saya melihat Ibnu Umar telah mendudukkan kenderaannya (untanya) dengan mengadap kiblat (di hadapannya yang mengadap kiblat) kemudian dia duduk kencing dengan mengadap kepada kenderaannya (untanya). Saya pun berkata, “Wahai Aba Abdurrahman! Bukankah telah dilarang dari perbuatan seperti ini?”. Dia menjawab, “Memang! Tetapi yang dilarang ialah mengadap kiblat di tanah lapang. Sekiranya telah ada di antara engkau dan di antara kiblat sesuatu, maka sesuatu yang menutup engkau maka tidaklah mengapa”.
[Ringkasan] Larangan Mengadap Kiblat Ketika Buang Air
1. Orang kafir berkata kepada Salman al-Farisi, dengan nada menyindir, bahawa Nabi s.a.w. mengajar pengikutnya segala perkara sehinggakan perkara-perkara kecil sekalipun, seperti buang air, pun diajarnya. Pada mereka seorang pemimpin sepatutnya sibuk dengan tugasnya memerintah dan tidak perlu terlibat dengan perkara-perkara kecil seperti ini. Salman r.a. mengiyakan kata-kata mereka sambil menambah dengan mengatakan bahawa Nabi melarang mereka mengadap kiblat semasa membuang air, melarang beristinja’ (membersihkan najis) dengan tangan kanan, melarang dari menggunakan kurang dari tiga biji batu bila beristinja’ dan melarang dari menggunakan najis binatang atau tulang ketika beristinja’.
2. Baginda s.a.w. adalah umpama seorang ayah kepada umatnya.
3. Seorang alim (yang berpengetahuan tinggi dalam agama) tetap bertanggungjawab mendidik masyarakat walau apa pun jawatan yang dipegangnya.
4. Larangan beristinja’ dengan tangan kanan ialah larangan memegang zakar dengan tangan kanan ketika membersihkan air kecil atau menyentuh dubur ketika membersihkan air besar. Walaupun begitu, kita boleh menggunakan tangan kanan seperti mengambil air untuk membersih najis atau apa-apa perbuatan yang tidak menyentuh tempat najis secara langsung. Yang dimaksudkan oleh larangan ini ialah menyentuh secara langsung najis atau tempat keluar najis. Tujuan larangan menggunakan tangan kanan ialah untuk mengelakkan terkena najis di tangan tersebut yang kemudiannya digunakan untuk perkara lain seperti makan minum dsb. Ianya lebih dititik beratkan di zaman Nabi di mana air sukar didapati untuk membasuh tangan yang terkena najis.
5. Nabi melarang dari menggunakan kurang dari tiga biji batu ketika beristinja’. Larangan ini diambil secara literal oleh sesetengah pihak, sehinggakan melarang menggunakan kurang dari tiga biji batu walaupun najis sudah dibersihkan. Imam as-Shafie juga berpendapat demikian. Walaupun begitu ulama’-ulama’ dalam mazhab Shafie tidak menetapkan tiga biji batu tetapi menetapkan bersih sebagai syarat sucinya. Imam Malik dan Imam Abu Hanifah tidak sependapat dengan Imam as-Shafie dalam hal ini tetapi menetapkan suci sebagai syaratnya, bukannya berapa bilangan biji batu. Disebut tiga biji batu dalam hadith ini kerana kebiasaannya najis boleh dibersihkan dengan tiga biji batu.
6. Bila najis dapat disucikan dengan menggunakan empat biji batu, kita digalakkan menggunakan lima biji batu, iaitu suatu bilangan yang ganjil. Nabi s.a.w. ingin tanamkan aqidah tauhid bahawa Allah itu “witir” (ganjil), tidak ada pasangan (malah tidak ada bayangan tuhan dalam diri Nabi dan orang-orang soleh) dan Allah tidak sama dengan yang lain. Banyak aktiviti dalam kehidupan kita digalakkan dilakukan dalam bilangan yang ganjil.
7. Kebanyakan ulama’ berpendapat kaedah terbaik untuk beristinja’ ialah dengan menggunakan batu dan juga air, iaitu dengan mengesat najis terlebih dahulu kemudiannya membasuhnya dengan air. Di zaman ini, di mana tandas adalah dalam bentuk mangkuk, batu tidak lagi sesuai digunakan dan ianya boleh digantikan dengan tisu khas. Tujuannya ialah supaya najis tidak banyak terkena tangan dan memerlukan lebih sedikit air untuk membersihkannya.
8. Nabi s.a.w. melarang menggunakan tahi binatang atau tulang untuk beristinja’. Dilarang menggunakan tulang kerana ianya adalah makanan kepada jin.
9. Hadith ketiga – Selain dari perkara yang disebut dalam hadith pertama dan kedua, ada tambahan iaitu Nabi melarang mengadap ke kiblat tetapi hendaklah mengadap ke timur atau ke barat. Maksud Nabi ialah supaya kita tidak mengadap atau membelakangi kiblat ketika membuang air. Timur dan barat adalah arah yang tidak mengadap kiblat kepada orang Madinah, tetapi kita di Malaysia timur dan barat dalam hadith tersebut adalah bersamaan dengan utara dan selatan.
10. Hadith keempat – Kita dilarang mengadap dua kiblat iaitu ke arah Baitul Maqdis (kiblat pertama orang Islam) dan Kaabah (kiblat sekarang). Kebanyakan ulama’ tidak berpegang dengan hadith ini kerana mereka berpendapat hadith ini adalah dhaif.
11. Hadith kelima – Ibnu Umar mengatakan boleh mengadap kiblat ketika membuang air jika ada hadangan di hadapan (tidak di ruangan terbuka) di antara kita dan kiblat. Hadith ini dijadikan sandaran kepada mereka yang membolehkan mengadap atau membelakangi kiblat dalam keadaan tertutup (di dalam bilik air dsb). Ada ulama’ tidak menerima hadith ini kerana mereka berpendapat ianya dhaif. Dalam hadith ini jelas menunjukkan bahawa Ibnu Umar tahu tentang haramnya mengadap kiblat ketika membuang air tetapi ianya haram hanya di tempat terbuka. Dalam hadith lain, Ibnu Umar pernah menyaksikan Nabi s.a.w. membelakangi kiblat ketika membuang air dalam tempat tertutup.
PERBEZAAN PENDAPAT DI KALANGAN ULAMA’ TENTANG LARANGAN ATAU HARUSNYA MENGADAP KIBLAT KETIKA BUANG AIR
1. “Larangan” mengadap kiblat ketika membuang air. Istilah “larangan” (tidak disukai) di dalam kitab-kitab hadith boleh jadi bermaksud “haram” atau “makruh”. Makruh pula boleh jadi “makruh tahrimi” (mendekati haram) atau “makruh tanzihi” (mendekati harus)
2. Terdapat perbezaan pendapat yang ketara di kalangan ulama’ tentang hukum dan bentuk larangan mengadap kiblat ketika membuang air. Antaranya ialah,
i) Haram mengadap atau membelakangi kiblat, tidak kira sama ada di kawasan tertutup (seperti tandas) atau kawasan terbuka.
ii) Haram mengadap kiblat tetapi tidak haram membelakangi kiblat.
iii) Mengadap kiblat adalah haram walaupun di dalam tandas tetapi harus membelakangi kiblat,
iv) Larangan mengadap atau membelakangi kiblat khusus kepada penduduk Madinah sahaja,
v) Larangan mengadap kiblat bukan sahaja kepada kiblat sekarang (Kaabah) tetapi termasuk juga kiblat yang telah mansukh (Baitul Maqdis), vi) Nabi s.a.w. tidak dilarang mengadap atau membelakangi kiblat. Larangan mengadap kiblat adalah untuk orang lain tetapi tidak kepada Nabi s.a.w.
KESIMPULAN DARI HADITH-HADITH DALAM BAB INI
i) Hadith pertama – Tidak boleh mengadap kiblat,
ii) Hadith kedua – Tidak boleh mengadap dan membelakangkan kiblat. Boleh mengadap kepada kiblat lama, Baitul Maqdis,
iii) Hadith keempat – Tidak boleh mengadap ke arah kedua-dua kiblat, Baitul Maqdis (kiblat lama) atau Makkah (kiblat sekarang),
iv) Hadith Kelima – Boleh mengadap kiblat jika terdapat hadangan di antara seseorang dengan kiblat.
