[NIKAH & CERAI ] – Siri 5 – Jika isteri Tidak Menolak Tangan Orang Yang Menyentuhnya [HADITH TEMATIK]

VIDEO – [Durasi – 12m 14s] – [NIKAH & CERAI ] – Siri 5 – Jika isteri Tidak Tolak Tangan Orang Yang Menyentuhnya [HADITH TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/hcDyYvGFGw8 ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 – Perintah Mengahwini Perempuan Yan…   [ Sunan Abi Daud (Kitab Nikah) ]

[ VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

قَالَ أَبُو دَاوُدَ كَتَبَ إِلَىَّ حُسَيْنُ بْنُ حُرَيْثٍ الْمَرْوَزِيُّ حَدَّثَنَا الْفَضْلُ بْنُ مُوسَى، عَنِ الْحُسَيْنِ بْنِ وَاقِدٍ، عَنْ عُمَارَةَ بْنِ أَبِي حَفْصَةَ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ إِنَّ امْرَأَتِي لاَ تَمْنَعُ يَدَ لاَمِسٍ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ غَرِّبْهَا ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَخَافُ أَنْ تَتْبَعَهَا نَفْسِي ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَاسْتَمْتِعْ بِهَا ‏”‏ ‏.‏”‏

Jika isteri Tidak Menghalang Tangan Orang Yang Menyentuhnya .

Abu Daud berkata Husain Bin Huraith al-Marwazi menulis surat kepada saya menyampaikan riwayat ini. Dengan sanadnya daripada Ibnu Abbas, katanya, ada seorang lelaki pergi bertemu dengan Nabi s.a.w. Dia mengadu hal, katanya, “Isteri saya tidak menghalang tangan orang yang menyentuhnya (nota: salah satu maknanya)”. Nabi s.a.w. bersabda, “Jauhkan (pisahkan atau ceraikan) dia”. Orang itu berkata lagi, “Tetapi saya takut saya akan merinduinya”. Nabi s.a.w. berkata, “Kalau begitu, kamu teruskanlah dengannya”.

[Ringkasan] Jika isteri Tidak Menghalang Tangan Orang Yang Menyentuhnya .

1. Ada seorang lelaki berjumpa Nabi s.a.w. mengadukan yang isterinya tidak menhalang tangan orang yang menyentuhnya. Identiti lelaki tersebut tidak diketahui. Adalah menjadi tradisi periwayatan hadith tidak menyebut nama seseorang jika ianya mengaibkannya (yang perlu ditutup) kerana hadith-hadith ini akan disebut dan akan menjadi panduan sepanjang zaman.

2. Ada beberapa pendapat apakah maksud, “Tidak menghalang tangan orang yang menyentuhnya”. Antaranya ialah,

i) Kiasan (“kinayah”) kepada sifat jahat dan sundal isteri tersebut seperti berlaku curang. Dia ialah seorang yang tidak menjaga kehormatannya.

ii) maksudnya berlawanan dengan pendapat pertama iaitu, sifatnya yang baik yang tidak menghalang tangan yang meminta-minta. Jika seseorang meminta sesuatu darinya dia tidak akan membiarkannya pergi dengan tangan kosong. Dia akan memberi apa saja yang diminta oleh orang dan tidak akan menolak apa saja yang diminta orang. Imam Ahmad bin Hanbal adalah salah seorang yang berpendapat begini. Persoalan timbul mengapa pula Nabi menyuruh suaminya menceraikannya sedangkan perbuatan ini adalah sifat yang mulia. Jawabnya, sikap “pemurah” yang tidak dapat dikawal, menunjukkan sikap yang tidak cerdik, yang boleh memudaratkan sesebuah keluarga kerana boleh menelantarkannya dalam kemiskinan. Para pendokong pendapat pertama membantah pendapat kedua ini dengan mengatakan di segi bahasa Arab, “Tidak menghalang tangan yang menyentuhnya” tidak bermaksud seperti pendapat golongan kedua.

iii) pendapat ketiga, si suami tidak menuduh isterinya berzina atau melakukan kecurangan terhadapnya tetapi sekadar memberi tahu isterinya tidak menolak tangan lelaki yang menyentuhnya. Jika sekiranya dia menuduh isterinya berzina (seperti pendapat golongan pertama) dia bertanggungjawab mendatangkan saksi atau ber”li’an” dan jika gagal dia telah melakukan “qazaf” dan akan dihukum rotan sebanyak 80 kali. Nabi s.a.w. tidak akan membiarkannya meneruskan perkahwinan jika isterinya benar-benar berzina. Dalam hal ini, isterinya hanya menunjukkan sifat tidak berapa menjaga kehormatan dirinya, yang menyebabkan fikiran suaminya tidak tenteram, oleh itu Nabi s.a.w. mencadangkan supaya dia menceraikannya.

3. Sikap “gatal” atau tidak menjaga kehormatan diri tidak sepatutnya ada pada seseorang isteri tetapi ianya tidaklah seteruk kesalahan zina. Oleh sebab itu Nabi masih membenarkan mereka meneruskan perkahwinan. Selain dari tidak menjaga kehormatan diri seperti dalam riwayat ini, ada perbuatan atau sikap yang membolehkan sesuatu perkahwinan dibubarkan seperti isteri atau suami enggan bersembahyang.

4. Ada suami yang tidak sanggup berpisah walaupun isterinya bersikap “miang” dan ini tidaklah menjadikan si suami itu dayus. Sikap ini masih boleh ditoleransi dengan harapan ianya berubah suatu hari nanti dan mereka masih boleh kekal sebagai suami isteri. Sikap isteri yang sebegini mungkin kerana kebodohan atau kurangnya iman atau mungkin juga berpunca dari kekurangan suami. Masing-masing suami dan isteri perlu muhasabah diri dan berubah ke arah kebaikan.

5. Adakah terbatal pernikahan jika seorang isteri berzina? Kebanyakan ulama’ berpendapat tidak terbatal perkahwinan tersebut. Nabi s.a.w. ada bersabda bahawa anak itu adalah kepunyaan tuan punya tilam (suami yang sah) dan orang yang berzina tidak mendapat apa-apa. Lain halnya jika salah seorang dari suami atau isteri terkeluar dari agama Islam. Dalam kes suami atau isteri terkeluar dari agama Islam, contohnya menyertai pertubuhan atau kumpulan sesat yang rosak aqidahnya, pernikahan tersebut secara otomatik terbubar dan pihak berkuasa hendaklah memerintahkan supaya mereka berpisah.

[NIKAH & CERAI ] – Siri 4 – Mengahwini Anak Dara (Atau Gadis Atau Perawan) [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 5m 20s] – [NIKAH & CERAI ] – Siri 4 – Mengahwini Anak Dara (Atau Gadis Atau Perawan) [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/Pg54vQjNds0 ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 – Perintah Mengahwini Perempuan Yan…   [ Sunan Abi Daud (Kitab Nikah) ]

[ VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب فِي تَزْوِيجِ الأَبْكَارِ

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ، حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، أَخْبَرَنَا الأَعْمَشُ، عَنْ سَالِمِ بْنِ أَبِي الْجَعْدِ، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ أَتَزَوَّجْتَ ‏”‏ ‏.‏ قُلْتُ نَعَمْ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ بِكْرًا أَمْ ثَيِّبًا ‏”‏ ‏.‏ فَقُلْتُ ثَيِّبًا ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَفَلاَ بِكْرٌ تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ ‏”‏ ‏.‏

Tentang Mengahwini Anak Dara (Atau Gadis Atau Perawan) .

Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Jabir Bin Abdillah katanya: Rasulullah s.a.w. bertanya kepada saya, “Kamu sudah kahwin?”. Saya menjawab, “Ya”. Nabi s.a.w bertanya lagi, “Gadis atau janda?”. Saya menjawab, “Janda”. Nabi s.a.w. bertanya, “Kenapa tidak gadis? Yang engkau boleh bergurau senda dengannya dan dia juga dapat bergurau senda denganmu”.

[Ringkasan] Tentang Mengahwini Anak Dara (Atau Gadis Atau Perawan)

1. Nabi s.a.w. menggalakkan mengahwini “anak dara”. Istilah “anak dara” atau “perawan” adalah lebih sesuai berbanding “gadis” kerana ianya menunjukkan seorang perempuan yang belum berkahwin berbanding dengan istilah “gadis” yang menunjukkan umur yang muda.

2. Nabi s.a.w. berselisih dengan Jabir bin Abdillah di suatu jalan. Dari isyarat-isyarat, Nabi meneka sama ada Jabir telah berkahwin. Jabir mengiyakannya. Lalu Nabi bertanya adakah isterinya seorang anak dara atau janda. Jabir menjawab bahawa isterinya seorang janda. Nabi bertanya mengapa tidak mengahwini seorang anak dara kerana kalau berkahwin dengan anak dara dia akan dapat berseronok-seronok dan bersenda gurau. Jabir menjelaskan bahawa dia mempunyai ramai adik perempuan yang perlu dijaga selepas kematian ayahnya. Dia berharap isterinya dapat membantunya membesarkan adik-adiknya. Nabi lalu mendoakan keberkatan untuk Jabir.

3. Mereka yang berkahwin mempunyai tujuan dan keutamaan sendiri. Kelebihan berkahwin dengn anak dara ialah dapat berseronok dan bersenda gurau. Nabi s.a.w tidak menghalang malah menggalakkan umatnya supaya menikmatinya. Walaupun begitu, Jabir r.a. sedar tentang tanggungjawabnya, lalu memilih seorang janda sebagai isterinya untuk membantunya sama-sama membesarkan adik-adik perempuannya. Nabi tidak menegur Jabir dengan pilihannya malah mendoakan keberkatan untuknya. .

NIKAH & CERAI ] – Siri 3 – Perintah Mengahwini Perempuan Yang Beragama [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 7m 10s] – NIKAH & CERAI ] – Siri 3 – Perintah Mengahwini Perempuan Yang Beragama [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/8FLsp1ubfP0 ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 – Perintah Mengahwini Perempuan Yan…   [ Sunan Abi Daud (Kitab Nikah) ]

[ VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب مَا يُؤْمَرُ بِهِ مِنْ تَزْوِيجِ ذَاتِ الدِّينِ

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، – يَعْنِي ابْنَ سَعِيدٍ – حَدَّثَنِي عُبَيْدُ اللَّهِ، حَدَّثَنِي سَعِيدُ بْنُ أَبِي سَعِيدٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ تُنْكَحُ النِّسَاءُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ ‏”‏

Perintah Mengahwini Perempuan Yang Beragama

Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda, “Perempuan itu dikahwini kerana empat perkara; kerana hartanya, kedudukannya, kecantikannya dan agamanya. Kamu carilah perempuan yang beragama, kalau tidak teruklah (rugilah) engkau”.

[Ringkasan] Perintah Mengahwini Perempuan Yang Beragama

1. Nabi s.a.w. menyuruh menikahi perempuan yang beragama, begitu juga sebaliknya wanita hendaklah memilih lelaki yang (baik) agamanya. Baik dalam agama adalah faktor yang menjamin kebahagiaan dan keharmonian sesebuah rumahtangga.

2. Seseorang wanita dikahwini kerana empat perkara, (tidak kira sama ada orang Islam atau bukan Islam, apa bangsanya atau di mana jua), iaitu kerana hartanya, darjat dan kedudukannya (keturunannya), kecantikannya atau agamanya.

3. Khasnya untuk seorang Islam, hendaknya kita memilih seorang wanita yang beragama, kerana kita yakin agama Islam adalah agama yang benar, yang sempurna dan yang paling cantik.

4. Ramai dari kita seringkali terlupa faktor agama di dalam pemilihan pasangan kerana lebih mementingkan kecantikan, harta atau darjat dan keturunan. Tidak dinafikan bahawa faktor-faktor tersebut juga penting dan baik, namun yang paling utama dan perlu dikedepankan ialah faktor agama.

5. Dalam satu hadith ada disebutkan bahawa jika seseorang itu berkahwin kerana kecantikan, kecantikan itu akan hilang bila-bila masa, begitu juga dengan harta. Jika kita meletakkan faktor kecantikan atau harta sebagai keutamaan apakah akan jadi bila kecantikan atau harta itu lenyap dan tiada lagi?

6. Faktor agama sama pentingnya untuk seseorang perempuan memilih calon suaminya.

7. Teguh dan baik dalam agama adalah faktor utama kebahagiaan sebuah keluarga. Ini tidak bermakna, kita menafikan atau menolak faktor-faktor lain dalam pemilihan calon pasangan seperti kecantikan (ketampanan), berharta ataupun mempunyai kedudukan, tetapi ianya adalah satu kelebihan sekiranya dia seorang yang beragama.

8. Tidak ada jaminan bahawa mereka yang dari keturunan cerdik pandai atau baik-baik, juga mempunyai sifat-sifat tersebut. Kita perlu menilai seseorang berdasarkan sifat individu itu sendiri.

9. Jadikan tahap kehidupan beragama seseorang sebagai asas pemilihan kerana dengan agama seseorang boleh menyesuaikan diri dalam semua keadaan dengan adanya sifat tolak ansur, bersabar dan tidak menjadikan perkara-perkara selain agama sebagai keutamaan. Ringkasnya, jika agama seseorang itu baik, semua perkara yang lain akan baik sehinggakan sekiranya tiada satupun kelebihan yang lain pun, ianya sudah memadai.

10. Walaupun begitu, adalah tidak sesuai jika kita menolak keseluruhan sifat-sifat baik yang lain kerana semata-mata mengambil agama sebagai satu-satunya faktor pemilihan. Adalah tidak benar jika seseorang itu cantik atau kaya, contohnya, dia akan menjadi sombong. Kita hendaklah menolak jika calon pasangan hanya mempunyai kelebihan-kelebihan lain tetapi tidak baik di segi agama.

11. Pasangan kita yang baik agamanya tidak akan menilai kita di segi kelebihan lain seperti harta, kecantikan atau ketampanan atau kedudukan dan status kita dalam masyarakat.

12. Nabi s.a.w. bersabda, “Rugilah engkau kalau engkau tidak memilih (pasangan) yang beragama”.

[NIKAH & CERAI] – Siri 2 – Galakan Atau Dorongan Supaya Berkahwin [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 8m 4s] – [HADITH – NIKAH & CERAI ] – Siri 2 – Galakan Atau Dorongan Supaya Berkahwin

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/tz6xRnlanEE ]

Video penuh asal – •    • Sesi 1 – Galakan Berkahwin – [Sunan Abi Da…  

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

بَابُ التَّحْرِيضِ عَلَى النِّكَاحِ 2046 – حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، عَنِ الْأَعْمَشِ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ عَلْقَمَةَ، قَالَ: إِنِّي لَأَمْشِي مَعَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ بِمِنًى إِذْ لَقِيَهُ عُثْمَانُ فَاسْتَخْلَاهُ فَلَمَّا رَأَى عَبْدُ اللَّهِ، أَنْ لَيْسَتْ لَهُ حَاجَةٌ قَالَ لِي: تَعَالَ يَا عَلْقَمَةُ فَجِئْتُ فَقَالَ لَهُ: عُثْمَانُ أَلَا نُزَوِّجُكَ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ بِجَارِيَةٍ بِكْرٍ لَعَلَّهُ يَرْجِعُ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ مَا كُنْتَ تَعْهَدُ، فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: لَئِنْ قُلْتَ ذَاكَ لَقَدْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ مِنْكُمْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ»

Bab – Galakan Atau Dorongan Supaya Berkahwin .

Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Alqamah, katanya, “Saya pernah berjalan bersama-sama dengan Abdullah bin Mas’ud di Mina, lalu Uthman bertemu dengannya dan merekapun bercakap di tempat sunyi. Bila Abdullah (bin Mas’ud) fikir bahawa dia tidak ada hajat, beliau berkata kepadaku, “Kemari, hai Alqamah!”. Maka aku pun datang kepadanya. Kemudian Uthman berkata kepadanya, “Tidak hendakkah saya kahwinkan engkau wahai Aba Abdur Rahman, dengan seorang gadis perawan, mungkin dia boleh kembalikan kepadamiu kenangan yang lalu?”. Abdullah (bin Mas’ud) berkata: Sesungguhnya saya sendiri pernah mendengar, Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesiapa di antara kamu mampu berkeluarga hendaklah dia berkahwin kerana kahwin itu lebih menjaga pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu di antara kamu maka dia hendaklah berpuasa kerana puasa boleh melemahkan nafsu”. .

[RINGKASAN] DORONGAN/GALAKAN SUPAYA BERKAHWIN

1. Dorongan supaya berkahwin yang paling utama adalah contoh dan sabdaan Nabi.

2. Manusia berkahwin kerana beberapa sebab, iaitu, supaya,

a) mendapat zuriat untuk meneruskan keturunannya,

b) minat untuk berkahwin,

c) mendapat pertolongan, bantuan dan perlindungan bila sakit, tua atau lemah nanti,

d) kerana contoh yang ditunjukkan oeh Rasulullah yang tidak terkesan ibadatnya disebabkan oleh perkahwinannya, dan akhirnya,

e) kerana ada galakan dan dorongan dari Rasulullah s.a.w. supaya berkahwin.

3. Berkahwin akan dapat menundukkan pandangan dan melalui perkahwinan seseorang akan dapat memenuhi tuntutan nalurinya. Ini menyebabkan kehidupannya akan lebih teratur. Perkahwinan adalah benteng dan menjaga kemaluan.

4. Sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah berpuasa kerana puasa dapat melemahkan nafsu syahwatnya.

5. Walaupun begitu, jika puasa tidak dapat melemahkan nafsunya, seseorang boleh menggunakan ubat-ubatan untuk mengurangkan nafsunya tetapi perlu berwaspada supaya tidak mengakibatkan kesan buruk seperti “mati pucuk”.

[NIKAH & CERAI ] – Siri 1 – Hukum Bernikah [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 6m 57s] – [HADITH – NIKAH & CERAI ] – Siri 1 – Hukum Bernikah

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/oIlw8AIKKV8 ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Galakan Berkahwin – [Sunan Abi Da…  

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

Hukum bernikah menurut pendapat mazhab as-Shafei dan Hanafi sebagaimana di dalam kitab Bazlul Majhud (Kitab Syarahan Hadith Sunan Abi Daud)

[RINGKASAN] HUKUM BERNIKAH .

Pendapat-pendapat ulama’ di dalam mazhab as-Shafie dan Hanafi tentang hukum bernikah:

1. Dalam keadaan seseorang itu merasa terdesak dan tidak dapat menahan nafsunya dan ditakuti terjerumus ke dalam perkara maksiat dan dia mampu zahir dan batinnya untuk berkahwin (iaitu mempunyai harta untuk mambayar maskahwin dan menyara isteriya), semua ulama’ berpendapat dia wajib berkahwin. [Nota: Jika seseorang itu terlalu muda dan ditakuti tidak mampu menjalani kehidupan berumah tangga hendaklah diberi khidmat nasihat untuk meredakan perasaaannya].

2. Dalam keadaan seseorang itu ada keinginan untuk berkahwin tetapi masih boleh menahan nafsunya dari terjerumus ke dalam maksiat, pendapat mazhab-mazhab adalah sebagaimana berikut,

a) mazhab Shafie berpendapat dia harus, tetapi tidak wajib, berkahwin.

b) mazhab Hanafi mempunyai beberapa pendapat iaitu sama ada baik (mustahab), sunat, fardhu kifayah atau wajib.

3. Dalil bagi mazhab Shafie tentang hukum harus atau sunat sahaja (tidak wajib) untuk seseorang berkahwin dalam keadaan dia masih dapat mengawal nafsunya ialah ayat al-Quran yang membolehkan (halal) seseorang berkahwin selain dengan mahramnya. Status “halal” ini menunjukkan ianya harus sahaja, tidak wajib. Disamping itu ada ayat al-Quran yang memuji Nabi Yahya sambil menyebut keadaannya yang tidak berkahwin. Ramai juga Sahabat-Sahabat Nabi yang tidak berkahwin dan Nabi s.a.w. tidak menegur mereka.