VIDEO – [Durasi – 12m 14s] – [NIKAH & CERAI ] – Siri 5 – Jika isteri Tidak Tolak Tangan Orang Yang Menyentuhnya [HADITH TEMATIK]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/hcDyYvGFGw8 ]
Video penuh asal – • Sesi 2 – Perintah Mengahwini Perempuan Yan… [ Sunan Abi Daud (Kitab Nikah) ]
[ VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
قَالَ أَبُو دَاوُدَ كَتَبَ إِلَىَّ حُسَيْنُ بْنُ حُرَيْثٍ الْمَرْوَزِيُّ حَدَّثَنَا الْفَضْلُ بْنُ مُوسَى، عَنِ الْحُسَيْنِ بْنِ وَاقِدٍ، عَنْ عُمَارَةَ بْنِ أَبِي حَفْصَةَ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ إِنَّ امْرَأَتِي لاَ تَمْنَعُ يَدَ لاَمِسٍ . قَالَ ” غَرِّبْهَا ” . قَالَ أَخَافُ أَنْ تَتْبَعَهَا نَفْسِي . قَالَ ” فَاسْتَمْتِعْ بِهَا ” .”
Jika isteri Tidak Menghalang Tangan Orang Yang Menyentuhnya .
Abu Daud berkata Husain Bin Huraith al-Marwazi menulis surat kepada saya menyampaikan riwayat ini. Dengan sanadnya daripada Ibnu Abbas, katanya, ada seorang lelaki pergi bertemu dengan Nabi s.a.w. Dia mengadu hal, katanya, “Isteri saya tidak menghalang tangan orang yang menyentuhnya (nota: salah satu maknanya)”. Nabi s.a.w. bersabda, “Jauhkan (pisahkan atau ceraikan) dia”. Orang itu berkata lagi, “Tetapi saya takut saya akan merinduinya”. Nabi s.a.w. berkata, “Kalau begitu, kamu teruskanlah dengannya”.
[Ringkasan] Jika isteri Tidak Menghalang Tangan Orang Yang Menyentuhnya .
1. Ada seorang lelaki berjumpa Nabi s.a.w. mengadukan yang isterinya tidak menhalang tangan orang yang menyentuhnya. Identiti lelaki tersebut tidak diketahui. Adalah menjadi tradisi periwayatan hadith tidak menyebut nama seseorang jika ianya mengaibkannya (yang perlu ditutup) kerana hadith-hadith ini akan disebut dan akan menjadi panduan sepanjang zaman.
2. Ada beberapa pendapat apakah maksud, “Tidak menghalang tangan orang yang menyentuhnya”. Antaranya ialah,
i) Kiasan (“kinayah”) kepada sifat jahat dan sundal isteri tersebut seperti berlaku curang. Dia ialah seorang yang tidak menjaga kehormatannya.
ii) maksudnya berlawanan dengan pendapat pertama iaitu, sifatnya yang baik yang tidak menghalang tangan yang meminta-minta. Jika seseorang meminta sesuatu darinya dia tidak akan membiarkannya pergi dengan tangan kosong. Dia akan memberi apa saja yang diminta oleh orang dan tidak akan menolak apa saja yang diminta orang. Imam Ahmad bin Hanbal adalah salah seorang yang berpendapat begini. Persoalan timbul mengapa pula Nabi menyuruh suaminya menceraikannya sedangkan perbuatan ini adalah sifat yang mulia. Jawabnya, sikap “pemurah” yang tidak dapat dikawal, menunjukkan sikap yang tidak cerdik, yang boleh memudaratkan sesebuah keluarga kerana boleh menelantarkannya dalam kemiskinan. Para pendokong pendapat pertama membantah pendapat kedua ini dengan mengatakan di segi bahasa Arab, “Tidak menghalang tangan yang menyentuhnya” tidak bermaksud seperti pendapat golongan kedua.
iii) pendapat ketiga, si suami tidak menuduh isterinya berzina atau melakukan kecurangan terhadapnya tetapi sekadar memberi tahu isterinya tidak menolak tangan lelaki yang menyentuhnya. Jika sekiranya dia menuduh isterinya berzina (seperti pendapat golongan pertama) dia bertanggungjawab mendatangkan saksi atau ber”li’an” dan jika gagal dia telah melakukan “qazaf” dan akan dihukum rotan sebanyak 80 kali. Nabi s.a.w. tidak akan membiarkannya meneruskan perkahwinan jika isterinya benar-benar berzina. Dalam hal ini, isterinya hanya menunjukkan sifat tidak berapa menjaga kehormatan dirinya, yang menyebabkan fikiran suaminya tidak tenteram, oleh itu Nabi s.a.w. mencadangkan supaya dia menceraikannya.
3. Sikap “gatal” atau tidak menjaga kehormatan diri tidak sepatutnya ada pada seseorang isteri tetapi ianya tidaklah seteruk kesalahan zina. Oleh sebab itu Nabi masih membenarkan mereka meneruskan perkahwinan. Selain dari tidak menjaga kehormatan diri seperti dalam riwayat ini, ada perbuatan atau sikap yang membolehkan sesuatu perkahwinan dibubarkan seperti isteri atau suami enggan bersembahyang.
4. Ada suami yang tidak sanggup berpisah walaupun isterinya bersikap “miang” dan ini tidaklah menjadikan si suami itu dayus. Sikap ini masih boleh ditoleransi dengan harapan ianya berubah suatu hari nanti dan mereka masih boleh kekal sebagai suami isteri. Sikap isteri yang sebegini mungkin kerana kebodohan atau kurangnya iman atau mungkin juga berpunca dari kekurangan suami. Masing-masing suami dan isteri perlu muhasabah diri dan berubah ke arah kebaikan.
5. Adakah terbatal pernikahan jika seorang isteri berzina? Kebanyakan ulama’ berpendapat tidak terbatal perkahwinan tersebut. Nabi s.a.w. ada bersabda bahawa anak itu adalah kepunyaan tuan punya tilam (suami yang sah) dan orang yang berzina tidak mendapat apa-apa. Lain halnya jika salah seorang dari suami atau isteri terkeluar dari agama Islam. Dalam kes suami atau isteri terkeluar dari agama Islam, contohnya menyertai pertubuhan atau kumpulan sesat yang rosak aqidahnya, pernikahan tersebut secara otomatik terbubar dan pihak berkuasa hendaklah memerintahkan supaya mereka berpisah.
