[SEMBELIHAN & PERBURUAN] – Siri 1- Membaca Bismillah Ketika Menyembelih [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 11m 27s] – [SEMBELIHAN & PERBURUAN] – Siri 1- Membaca Bismillah Ketika Menyembelih [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/IbEUOVK5lK8 ]

Video penuh asal –    • Sesi 4 – Makan Belalang – [Sahih al-Bukhar…   – Sahih al-Bukhari (Kitab Perburuan & Sembelihan)

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب التَّسْمِيَةِ عَلَى الذَّبِيحَةِ وَمَنْ تَرَكَ مُتَعَمِّدًا

قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ مَنْ نَسِيَ فَلاَ بَأْسَ. وَقَالَ اللَّهُ تَعَالَى: {وَلاَ تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ} وَالنَّاسِي لاَ يُسَمَّى فَاسِقًا، وَقَوْلُهُ: {وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَى أَوْلِيَائِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ}. ‏.‏

MENYEBUT NAMA ALLAH KETIKA MENYEMBELIH BINATANG DAN ORANG YANG MENINGGALKAN DENGAN SENGAJA BACAAN “BISMILLAH” .

Kata Ibnu Abbas, “Sesiapa yang terlupa (membaca Bismillah ketika hendak menyembelih) tidak mengapa”. Allah s.w.t. berfirman, Surah al-An’am, ayat 121), “Jangan kamu makan apa-apa yang tidak dibacakan nama Allah pada ketika menyembelihnya. Sesungguhnya itu adalah kefasikan”. Orang yang terlupa tidak dinamakan fasiq. Dan firman Allah taala seterusnya, “Dan syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya untuk berbantah (berdebat) dengan kamu. Sekiranya kamu ikut mereka, maka kamu betul-betul menjadi musyrik”. .

[RINGKASAN] Baca “Bismillah” Ketika Menyembelih

1. Apakah hukum membaca “Bismillah” ketika menyembelih binatang? Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ tentang status halal atau haram memakan daging binatang yang disembelih tanpa membaca Bismillah.

2. Ibnu Abbas berkata jika terlupa membaca Bismillah ketika menyembelih ianya dimaafkan tetapi haram memakan haiwan yang disembelih yang sengaja tidak dibacakan Bismilllah. Ini adalah pendapat majoriti ulama’. Mereka berpandukan kepada ayat al-Quran, Surah al-An’am, ayat 121, yang mafhumnya, “Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa)…”.

3. Pendapat ulama’ sama ada halal atau tidak memakan binatang yang disembelih tanpa membaca Bismillah terbahagi kepada tiga:

i) Pendapat pertama: Bismillah wajib dibaca. Haram memakan sembelihan yang tidak dibacakan Bismillah semasa menyembelihnya tidak kira sama ada sengaja ataupun tidak. Ini adalah pendapat Ibnu Sirin, Nafi’, Sya’bi, Daud Zahiri dll.

ii) Pendapat kedua: Haram memakan binatang yang disembelih tanpa membaca Bismillah dengan sengaja tetapi halal memakannya jika terlupa. Ini adalah pendapat majoriti ulama’. Antara ulama’ yang berpendapat demikian ialah: Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Ahmad bin Hanbal, Abu Hurairah, Sufyan at-Tsauri, Ibnu Abbas, Ibnu Musayyab, Imam al-Bukhari dll.

iii. Pendapat ketiga: Halal memakan sembelihan orang Islam walaupun sengaja tidak membaca Bismillah. Antara yang berpendapat begini ialah Imam as-Shafei. Imam as-Shafie mentafsirkan ayat 121, surah al-An’aam berbeza daripada kebanyakan ulama’. Beliau mengatakan ayat al-Quran tadi bermaksud orang yang menyembelih dengan tidak menyebut nama Allah (Bismillah) tetapi dengan menyebut nama selain Allah seperti nama berhala dsb. Ini adalah kerana orang yang menyembelihnya adalah bukan orang Islam. Ramai ulama’ mentafsirkan bahawa dengan tidak membaca Bismillah ketika menyembelih menyebabkan seseorang itu menjadi fasiq, tetapi Imam as-Shafie pula berpendapat yang dimaksudkan bukannya orang yang menyembelih, tetapi daging sembelihan itu yang menjadi najis (haram dimakan) sekiranya disembelih atas nama selain Allah. Selain dari ayat al-Quran ini beliau berpandukan juga kepada ayat al-Quran yang lain (Surah al-Ma’idah, Ayat 3) yang menyebut haram memakan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah. Beliau juga berpandukan hadith dari Ibnu Abbas yang mengatakan sudah tersedia nama Allah di dalam diri seorang Islam (walaupun dia tidak membaca Bismillah) dan hadith (hadith mursal Abu Daud) bahawa sembelihan seseorang muslim itu halal sama ada dia sebut nama Allah atau tidak kerana jika dia sebut pasti dia akan sebut nama Allah (dan tidak akan menyebut nama selain Allah).

4. Walaupun pendapat Imam Shafie lebih kuat (iaitu halal makan sembelihan orang Islam sama ada baca Bismillah atau tidak), oleh kerana ramai ulama’ berpendapat wajib membaca Bismillah ketika menyembelih haiwan, kita tidak boleh ambil ringan hal ini. Sayugialah kita sentiasa membaca Bismillah ketika hendak menyembelih binatang.

5. Sambungan ayat 121, surah al-An’aam bermaksud, “…dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu menjadi orang-orang musyrik”. Syaitan akan menimbulkan rasa was-was, contohnya, jika tujuan menyembelih binatang adalah untuk mengeluarkan darah yang kotor dan beracun, mengapa kita tidak boleh makan binatang sembelihan orang kafir yang juga mengeluarkan darah yang kotor? Di bahagian akhir ayat itu, “sekiranya kamu mengikut mereka, kamu betul-betul menjadi musyrik”, bermaksud jika kamu mengikut pendapat mereka dengan mengatakan daging yang disembelih oleh orang kafir halal dimakan, kamu turut menjadi musyrik kerana menghalalkan yang haram.

6. Pendapat Imam as-Shafie lebih kuat kerana ayat 121, Surah al-An’aam adalah menyatakan orang Islam akan menjadi musyrik kerana mengikut pendapat orang kafir yang menghalalkan yang haram bukan kerana kesalahan tidak membaca Bismillah.

7. Orang Islam lebih berhak untuk mengambil nyawa binatang-binatang yang hidup kerana haiwan-haiwan adalah milik Allah (yang memberi nyawa). Haiwan yang disembelih adalah untuk manfaat manusia, tidak sia-sia dan kita insaf bahawa haiwan ini adalah makhluk yang dijadikan oleh Allah. Orang yang tidak percaya bahawa Allahlah yang menjadikan haiwan tiada hak untuk mengambil nyawa haiwan tersebut.

8. Jika objektif penyembelihan dalam Islam hanya untuk mengeluarkan darah toksik dari tubuh haiwan, orang bukan Islam juga boleh mendakwa bahawa merekapun sihat dan tidak mengalami kesan buruk pun tanpa penyembelihan secara Islam. Pendapat yang lebih sesuai mengapa sembelihan orang kafir tidak halal dimakan ialah oleh kerana haiwan ini dijadikan oleh Allah, oleh itu untuk mengambil nyawanya ianya perlu pengesahan dan kebenaran dari Allah. Dalam kehidupan harian pun, jika haiwan itu tidak milik kita, kita tidak ada hak untuk menyembelihnya, apatah lagi jika ianya milik Allah; kita dibolehkan menyembelihnya hanya jika Allah yang mengizinkannya (dengan menjadi orang Islam). .

9. Membaca Bismillah bermaksud supaya kta ingat atau bersyukur kepada Allah yang menghalalkan haiwan itu kepada kita.

Leave a comment