[AQIQAH & QURBAN] – Siri 1 – (Qurban) Hikmah Disyariatkan Qurban & Perbezaan Pendapat Ulama’ Tentang Hukum Wajibnya Berqurban

VIDEO – [Durasi – 9m 20s] – [AQIQAH & QURBAN] – Siri 1- (Qurban) Hikmah Qurban & Khilaf Ulama’ Tentang Hukum Qurban [TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/hnlqyxw95pM ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Kewajipan Qurban – [Sunan Abi Dau…   – Sunan Abi Daud (Kitab Qurban) – [

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب مَا جَاءَ فِي إِيجَابِ الأَضَاحِي

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا يَزِيدُ، ح وَحَدَّثَنَا حُمَيْدُ بْنُ مَسْعَدَةَ، حَدَّثَنَا بِشْرٌ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَوْنٍ، عَنْ عَامِرٍ أَبِي رَمْلَةَ، قَالَ أَخْبَرَنَا مِخْنَفُ بْنُ سُلَيْمٍ، قَالَ وَنَحْنُ وُقُوفٌ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِعَرَفَاتٍ قَالَ ‏ “‏ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَةً وَعَتِيرَةً أَتَدْرُونَ مَا الْعَتِيرَةُ هَذِهِ الَّتِي يَقُولُ النَّاسُ الرَّجَبِيَّةُ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَبُو دَاوُدَ الْعَتِيرَةُ مَنْسُوخَةٌ هَذَا خَبَرٌ مَنْسُوخٌ ‏.‏

KEWAJIPAN QURBAN

Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Mikhnaf Bin Sulaim, kata beliau, ketika kami sedang berdiri atau berwukuf bersama Rasulullah s.a.w. di Arafah, kata Nabi s.a.w., “Wahai manusia! Sesungguhnya setiap penghuni rumah berkewajipan pada setiap tahun mengorbankan seekor binatang qurban dan ‘atirah. Tahukah kamu apakah ‘atirah itu? Iaitu binatang yang orang ramai sebut sebagai “Rajabiyyah” (binatang yang dikorbankan pada permulaan bulan Rajab). Abu Daud berkata ‘atirah telah dimansuhkan, ini adalah tradisi yang telah dimansuhkan.

[RINGKASAN] Hikmah Disyariatkan Qurban & Perbezaan Pendapat Ulama’ Tentang Hukum Wajibnya Berqurban

1. HIKMAH IBADAT QURBAN – Bila berjihad kita dituntut untuk mengorbankan segala-galanya (termasuk nyawa). Dalam ibadat qurban kita didedahkan untuk mengalami keadaan seperti di medan jihad. Kita dilatih untuk berjiwa kental melihat darah berhamburan keluar dan daging disiat-siat; satu persediaan untuk kita berjihad, jika keadaan memerlukan.

2. Hadith ini menyatakan setiap rumah wajib mengorbankan binatang pada setiap tahun, di samping juga ‘atirah. ‘Atirah ialah korban binatang yang dilakukan pada awal bulan Rajab.

3. Hadith ini dan yang seumpamanya dijadikan rujukan oleh Imam Abu Hanifah yang berpendapat ibadat qurban itu wajib. Walaubagaimanapun begitu, majoriti ulama’ tidak menjadikan hadith ini sebagai rujukan kerana ianya dhaif disebabkan adanya perawi yang tidak dikenali di dalam sanadnya. Hadith dhaif tidak boleh dijadikan sandaran untuk menetapkan hukum agama (wajib, sunat dan sebagainya).

4. Ulama’ berbeza pendapat tentang hukum qurban ‘atirah (qurban di bulan Rajab). Ada yang berpendapat ianya wajib, ada yang kata sunat atau harus malah ada yang mengatakan ianya sudah mansuh.

5. Ada ulama’ berpendapat ibadah qurban hukumnya wajib dan ada yang mengatakannya sunat. Hukum wajib mengerjakan qurban pula boleh dibahagikan kepada tiga golongan, iaitu yang wajib kepada golongan kaya dan juga golongan miskin, yang wajib hanya kepada golongan miskin dan ketiga, yang wajib hanya kepada golongan kaya.

6. Qurban yang wajib kepada golongan kaya dan juga miskin ialah bila ianya qurban nazar. Ianya wajib ditunaikan tidak kira mereka dari golongan kaya atau miskin. Qurban yang wajib kepada golongan miskin sahaja ialah bila golongan miskin membeli binatang dengan niat untuk melakukan ibadat qurban. Syarat ini tidak dikenakan kepada golongan kaya.

7. Manakala qurban wajib untuk orang kaya sahaja ialah sebagaimana pendapat Imam Abu Hanifah (mazhab Hanafi). Orang kaya ialah mereka yang mempunyai harta yang cukup untuk perbelanjaan selama setahun. Tiga mazhab lagi mengatakan ianya tidak wajib malah ada imam di kalangan mazhab Hanafi sendiri yang berpendapat ibadat qurban hanyalah sunat (sunat mu’akkad). Pendapat jumhur ulama’ ini disokong oleh tindakan Sahabat besar seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab yang tidak melakukan ibadat qurban selama setahun dua. Seorang Sahabat yang kaya bernama Abi Masu’d al-Ansari ada masanya tidak mengerjakan ibadat qurban dengan alasan untuk mendidik masyarakat bahawa ibadat qurban adalah tidak wajib.

Leave a comment