[KIAMAT, SYURGA &. NERAKA]- Siri 1 -Binasanya Umat Ini Sebahagian Mereka Dengan Sebahagian Yang Lain

VIDEO – [Durasi – 13m 20s] – [KIAMAT, SYURGA &. NERAKA]- Siri 1 -Binasanya Umat Ini Sebahagian Mereka Dengan Sebahagian Yang Lain

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/Hp33pqAJSbU ]

Video penuh asal –    • Sesi 5 -Binasanya Sebahagian Umat Ini Dgn …   – Sahih Muslim (Kitab Fitnah Dan Tanda Kiamat

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب هَلاَكُ هَذِهِ الأُمَّةِ بَعْضِهِمْ بِبَعْضٍ

دَّثَنَا أَبُو الرَّبِيعِ الْعَتَكِيُّ، وَقُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، كِلاَهُمَا عَنْ حَمَّادِ بْنِ زَيْدٍ، – وَاللَّفْظُ لِقُتَيْبَةَ – حَدَّثَنَا حَمَّادٌ، عَنْ أَيُّوبَ، عَنْ أَبِي قِلاَبَةَ، عَنْ أَبِي أَسْمَاءَ، عَنْ ثَوْبَانَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنَّ اللَّهَ زَوَى لِيَ الأَرْضَ فَرَأَيْتُ مَشَارِقَهَا وَمَغَارِبَهَا وَإِنَّ أُمَّتِي سَيَبْلُغُ مُلْكُهَا مَا زُوِيَ لِي مِنْهَا وَأُعْطِيتُ الْكَنْزَيْنِ الأَحْمَرَ وَالأَبْيَضَ وَإِنِّي سَأَلْتُ رَبِّي لأُمَّتِي أَنْ لاَ يُهْلِكَهَا بِسَنَةٍ بِعَامَّةٍ وَأَنْ لاَ يُسَلِّطَ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ سِوَى أَنْفُسِهِمْ فَيَسْتَبِيحَ بَيْضَتَهُمْ وَإِنَّ رَبِّي قَالَ يَا مُحَمَّدُ إِنِّي إِذَا قَضَيْتُ قَضَاءً فَإِنَّهُ لاَ يُرَدُّ وَإِنِّي أَعْطَيْتُكَ لأُمَّتِكَ أَنْ لاَ أُهْلِكَهُمْ بِسَنَةٍ بِعَامَّةٍ وَأَنْ لاَ أُسَلِّطَ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ سِوَى أَنْفُسِهِمْ يَسْتَبِيحُ بَيْضَتَهُمْ وَلَوِ اجْتَمَعَ عَلَيْهِمْ مَنْ بِأَقْطَارِهَا – أَوْ قَالَ مَنْ بَيْنَ أَقْطَارِهَا – حَتَّى يَكُونَ بَعْضُهُمْ يُهْلِكُ بَعْضًا وَيَسْبِي بَعْضُهُمْ بَعْضًا ‏”‏

BINASANYA UMAT INI SEBAHAGIAN MEREKA DENGAN SEBAHAGIAN YANG LAIN

Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan daripada Tsauban katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah mengecilkan bumi kepadaku (atau mendekatkan bumi kepadaku) sehingga aku nampak “masyrik” dan “maghrib” (seluruh pelusuk bumi). Sesungguhnya kerajaan umatku akan sampai ke tempat yang ditunjukkan kepadaku itu dan aku diberikan dua gedung, yang merah dan yang putih. Sesungguhnya aku telah meminta kepada tuhanku untuk umatku supaya Dia tidak membinasakannya dengan kemarau (yang umum) dan tidak memberi musuh menguasai mereka selain dari kalangan mereka sendiri sehingga musuh itu dapat menghalalkan kehormatan mereka (kemuliaan mereka, kumpulan (semua sekali) mereka atau kerajaan mereka) dan sesungguhnya tuhanku berkata: Wahai Muhammad! Sesungguhnya bila Aku memutuskan sesuatu keputusan maka ia tidak dapat ditolak dan sesungguhnya Aku berikan kepadamu untuk umat, iaitu, Aku tidak akan membinasakan mereka dengan kemarau (yang umum) dan Aku tidak akan membiarkan musuh menguasai mereka sehingga musuh itu menghalalkan kehormatan mereka (ataupun memusnahkan mereka sesama sendiri) walaupun pihak musuh itu bersatu menentang mereka dari segala pelusuk bumi sehingga sebahagian mereka (iaitu orang Islam sendiri) membinasakan sebahagian yang lain. Sebahagian mereka menawan sebahagian yang lain”.

[RINGKASAN] Binasanya Umat Ini Sebahagian Mereka Dengan Sebahagian Yang Lain

1. Allah telah menampakkan kepada Nabi s.a.w. bumi ini semua sekali. Tempat-tempat yang ditunjukkan (dapat dilihat) kepada Nabi, pada suatu masa nanti akan tertegak kerajaan umat Baginda (kerajaan Islam) di sana. Contohnya, apa yang telah atau sedang berlaku di Indonesia, Malaysia, Turki atau Sepanyol di mana umat Islam telah memerintah di negara-negara tersebut. Ada dua pendapat tentang tempat yang akan tertegak kerajaan Islam, iaitu, hanya di kawasan yang dapat dilihat oleh Nabi dan kedua, seluruh dunia akan diperintah oleh Islam kerana dipercayai Nabi telah melihat seluruh dunia.

2. Jika pendapat kedua ini diambil kira, nampaknya masih banyak lagi negara di dunia ini yang belum di bawah pemerintahan Islam. Oleh itu adalah tidak benar orang-orang yang meninggalkan perkara berkaitan dunia untuk menumpukan kepada ibadat dan akhirat semata-mata kerana percaya hari kiamat sudah amat dekat. Sebenarnya jika diteliti hadith-hadith, masih banyak lagi perkara yang belum berlaku sehingga datangnya hari kiamat. Hadith ini sendiri menyatakan bahawa seluruh dunia akan dikuasai kerajaan Islam sebelum datangnya hari kiamat tetapi hakikatnya negara-negara seperti Amerika, Rusia dan Jepun belum lagi diperintah oleh Islam. Juga, antara perkara yang belum berlaku ialah umat Islam akan menjadi kaya raya sebelum kiamat sehingga mereka menolak pemberian dari orang lain.

3. Antara perkara yang perlu dibetulkan ialah kita hanya mengambil sesuatu hadith tanpa meneliti lain-lain hadith yang nampaknya menceritakan perkara yang berbeza dari hadith tersebut. Kita mengambil hadith yang menceritakan peristiwa seolah-olah kiamat sudah amat dekat tetapi meninggalkan hadith yang menceritakan banyak lagi perkara yang belum berlaku sebelum datangnya hari kiamat. Contoh lain, kita gerun tentang betapa seksanya ketika menghadapi saat kematian tetapi lupa ada hadith-hadith yang menyebutkan sebaliknya.

4. Nabi s.a.w. diberi gedung merah dan putih yang bermaksud diberi kekayaan berupa dinar dan dirham (yang merujuk kepada empayar Parsi dan Rom). Empayar-empayar ini jatuh ke tangan Islam di zaman Saidina Umar. Ini menunjukkan bahawa Nabi bercakap tentang umatnya, bukannya tentang dirinya sendiri, kerana Baginda tidak menerima kekayaan ini sendiri. Peristiwa ini sekaligus mengisyaratkan bahawa Nabi mengiktiraf pemerintahan-pemerintahan Islam selepasnya dan pemerintahan ini adalah seperti kerajaan Baginda juga.

5. Nabi s.a.w. memohon kepada Allah supaya tidak dibinasakan atau dilenyapkan umatnya oleh kemarau yang menyeluruh (maksudnya, kemarau di seluruh dunia dan tidak terhad di sesuatu kawasan sahaja). Umat Nabi s.a.w. yang disebut di sini boleh jadi bermaksud orang Islam sahaja (umat ijabah) atau mungkin juga semua manusia (umat daawah), tetapi besar kemungkinan doa Nabi ini bermaksud untuk orang Islam sahaja.

6. Nabi s.a.w. juga meminta dari Allah supaya umat Islam tidak dikuasai seluruhnya oleh musuh sehingga hancur lebur (atau menjadi hamba abdi). Ini menunjukkan umat Islam adalah ramai, mempunyai kerajaan yang berdaulat dan mempunyai kekuatan yang tersendiri dan tidak akan dijajah keseluruhannya.

7. Allah berfirman bila Dia putuskan sesuatu ianya tidak boleh ditolak. Ini merujuk kepada takdir “mubram” (muktamad). Takdir ada dua iaitu “mubram” (muktamad) dan “muallaq” (yang boleh berubah bergantung dengan adanya usaha, doa dsb). Antara contoh takdir “muallaq” (tergantung) ialah terkabulnya doa Nabi melalui firman-Nya, “Dan aku berikan kepada umatmu…”.

8. Firman Allah, “…dan Aku tidak biarkan musuh menguasai mereka (sampai menghalalkan kerajaan, kemuliaan dan jemaah mereka)…. selain daripada diri mereka (umat Islam) sendiri”. Banyak kehancuran umat Islam adalah angkara dari perbuatan umat Islam sendiri yang berkhianat dan menjadi tali barut kepada musuh Islam. Orang-orang Islam tidak akan dikalahkan atau dihancurkan seluruhnya oleh orang-orang kafir walaupun semua mereka (orang-orang kafir) berpakat untuk menghancurkannya. Ini adalah suatu berita gembira kepada kita umat Islam

Leave a comment