[THAHARAH ]- Siri 2 – Bersembunyi (Pergi Ke Tempat Jauh) Bila Ingin Buang Air [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 8m 22s] – [THAHARAH ]- Siri 2 – Bersembunyi (Pergi Ke Tempat Jauh) Bila Ingin Buang Air [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/Pys8OLPr01k ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Bersembunyi Ketika Mahu Buang Air…   – (Sunan Abi Daud – Kitab Thaharah)

[KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب التَّخَلِّي عِنْدَ قَضَاءِ الْحَاجَةِ

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ بْنِ قَعْنَبٍ الْقَعْنَبِيُّ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ، – يَعْنِي ابْنَ مُحَمَّدٍ – عَنْ مُحَمَّدٍ، – يَعْنِي ابْنَ عَمْرٍو – عَنْ أَبِي سَلَمَةَ، عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا ذَهَبَ الْمَذْهَبَ أَبْعَدَ ‏.‏ حَدَّثَنَا مُسَدَّدُ بْنُ مُسَرْهَدٍ، حَدَّثَنَا عِيسَى بْنُ يُونُسَ، أَخْبَرَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ، عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَرَادَ الْبَرَازَ انْطَلَقَ حَتَّى لاَ يَرَاهُ أَحَدٌ ‏.‏

Bersembunyi (Pergi Ke Tempat Jauh) Bila Ingin Buang Air .

Hadith Pertama – Iman Abu Daud meriwayatkan daripada Mughirah ibn Shu’bah katanya Nabi s.a.w. bila hendak buang air dia pergi jauh. Hadith Kedua – Iman Abu Daud meriwayatkan daripada Jabir Bin Abdillah katanya Nabi s.a.w. bila hendak buang air besar Baginda akan berjalan sehingga tiada sesiapapun nampak Baginda.

[RINGKASAN] Bersembunyi (Pergi Ke Tempat Jauh) Bila Ingin Buang Air

1. Di dalam kitab Sunan Abi Daud, “qadha hajat” (buang air) adalah perkara pertama yang dibincangkan dalam bab bersuci. Maksud sebenar dari perbincangan ini ialah untuk membolehkan sembahyang (dan ibadat seumpamanya) ditunaikan. Seseorang perlu bersuci dan mengambil air sembahyang selepas dari buang air.

2. Perbuatan buang air adalah sama di kalangan manusia, tetapi bezanya antara kita dengan orang kafir ialah adab-adabnya yang ditetapkan oleh agama. Antara adab buang air ialah bersendirian (tidak buang air bersama orang lain) dan bersembunyi di tempat yang tiada orang.

3. Nabi s.a.w. pergi ke tempat yang jauh dari orang ramai bila hendak buang air. Beginilah keadaan di awal zaman Nabi di mana tiada kemudahan tandas. Tetapi kemudiannya Nabi s.a.w. dan Sahabat-Sahabat membina tandas di dalam rumah dan tidak perlu lagi keluar ke tempat sunyi untuk buang air. Dari sini kita dapat simpulkan bahawa yang dikehendaki ialah kita terlindung dari pandangan orang ramai ketika membuang air dan kita hendaklah berusaha menyediakan tempat khas untuk buang air.

4. Tujuan tandas dibina ialah untuk melindungi dari pandangan manusia dan menyembunyikan bau dan bunyi yang menjijikkan. Walaupun hadith menyebut Nabi pergi jauh untuk buang air, tandas tidak perlu dibina jauh dari rumah. Kita perlu memahami maksud sebenar dari sunnah dan perbuatan Nabi ini dan inilah yang disebut “roh sunnah”.

5. Memahami “roh sunnah” (maksud sebenar sunnah Nabi) adalah penting dalam menghayati agama. Contohnya, semasa berhijrah dari Mekah ke Madinah Nabi menaiki unta. Nabi boleh saja berjalan kaki ke Madinah tetapi Baginda menaiki unta kerana unta pada masa itu adalah kenderaan yang paling cepat dan selamat. Jika kita hidup di zaman ini, menaiki unta bukanlah pilihan yang tepat untuk perjalanan dari Mekah ke Madinah walaupun Nabi sendiri menaiki unta. Sesiapa yang memahami “roh sunnah” akan faham bahawa Nabi membuat pilihan terbaik atas dasar cepat, selamat dan kesesuaiannya. Memahami “roh sunnah” adalah penting dalam menerapkan hadith-hadith dan sunnah Nabi dalam kehidupan kita.

6. Nabi yang pergi bersendirian untuk buang air mengisyaratkan bahawa kita dilarang buang air beramai-ramai atau bercakap-cakap semasa buang air.

7. Ada ulama’ yang mengatakan najis Nabi ditelan bumi semasa buang air dan perbuatan Baginda yang pergi jauh untuk buang air adalah hanya untuk menunjukkan contoh dan mengajar umatnya. Tetapi pendapat ini dibantah oleh segolongan ulama’. Pendapat ulama’ golongan kedua ini ialah Nabi adalah sebagaimana manusia biasa, perlu buang air dan sisa buangannya adalah najis.

Leave a comment