[PELBAGAI ISU ] – Siri 10 (Al-Quran) – Maksud Mansukh Ayat Quran Di Antara Ulama’ Mutaqaddimin (Terdahulu) & Mutaakhirin (Terkini)

VIDEO – [Durasi – 11m 58s] – [PELBAGAI ISU ]-Siri 10 (Al-Quran)-Maksud Mansukh Ayat Quran Di Kalangan Mutaqaddimin & Mutaakhirin

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  – https://youtu.be/AbwaiwIZoiU ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 – Nasakhnya atau Mansuhnya Firman A…   – (Sunan Abi Daud – Kitab Puasa)

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/ha… ]

PERBEZAAN MAKSUD MANSUKHNYA AYAT AL-QURAN DI ANTARA ULAMA’ MUTAQADDIMIN (TERDAHULU) DAN MUTAAKHIRIN (TERKINI)

باب نَسْخِ قَوْلِهِ ‏{‏ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ ‏}

‏ حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا بَكْرٌ، – يَعْنِي ابْنَ مُضَرَ – عَنْ عَمْرِو بْنِ الْحَارِثِ، عَنْ بُكَيْرٍ، عَنْ يَزِيدَ، مَوْلَى سَلَمَةَ عَنْ سَلَمَةَ بْنِ الأَكْوَعِ، قَالَ لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ ‏{‏ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ‏}‏ كَانَ مَنْ أَرَادَ مِنَّا أَنْ يُفْطِرَ وَيَفْتَدِيَ فَعَلَ حَتَّى نَزَلَتِ الآيَةُ الَّتِي بَعْدَهَا فَنَسَخَتْهَا .

Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Salamah Bin al-Akwa’ katanya, “Bila turun ayat, وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ kepada orang [(makna pertama), yang mampu mengerjakannya atau (makna kedua), yang tidak mampu mengerjakannya, atau (makna ketiga) yang mampu mengerjakannya tetapi dengan berat sekali] boleh dia bayar fidyah dengan memberi makan kepada orang miskin”. Kata Salamah, bila turun ayat itu sesiapa antara kami yang hendak berbuka (tidak berpuasa) boleh dengan dia membayar fidyah sahaja…sehinggalah turun ayat selepasnya. Maka ayat yang selepasnya memansukhkannya.

[Ringkasan] Perbezaan Maksud Mansukhnya Ayat al-Quran Di Kalangan Ulama’ Mutaqaddimin (Terdahulu) Dan Mutaakhirin (Terkini) .

1. Dalam kitabnya “Sunan Abi Daud”, Imam Abu Daud membuat dua bab untuk ayat al-Quran, ‏ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ (Surah al-Baqarah ayat 184), untuk mengemukakan dua pendapat yang berbeza iaitu sama ada ayat ini mansukh atau tidak mansukh.

2. Perlu diingatkan bahawa maksud perkataan “mansukh” dalam kitab hadith ini ialah sebagaimana yang difahami oleh golongan “mutaqaddimin” (ulama’ terdahulu, generasi tiga kurun pertama Islam). Ianya berbeza dengan istilah golongan “mutaakhirin” (terkini). Golongan mutaakhirin mengatakan bahawa “mansukh” bermaksud ianya terbatal semuanya, manakala golongan mutaqaddimin menganggap batal sebahagiannya pun sudah dikatakan sebagai mansukh. Oleh itu istilah mansukh di kalangan mutaqaddimin adalah lebih umum (dan lebih luas) berbanding dengan kalangan mutaakhirin.

3. Di peringkat awal puasa di bulan Ramadhan disyariatkan, semua orang (tidak kira sama ada tua atau muda, sihat atau sakit) mempunyai pilihan sama ada untuk berpuasa atau tidak. Untuk mereka yang tidak berpuasa mereka hendaklah membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada seorang miskin.

4. Dalam istilah mutaqaddimin, menghadkan yang umum kepada sesuatu yang khusus juga dikategorikan sebagai mansukh. Dalam ayat al-Quran ini, pada mulanya pilihan untuk tidak berpuasa adalah umum, cuma syaratnya hendaklah membayar fidyah, tetapi kemudiannya dikhususkan kepada orang yang tidak mampu seperti orang tua, orang sakit atau orang yang mengandung atau menyusu. Ianya dikenali dalam usul fiqh sebagai “umum makhsus”. Dalam hal ini, ayat yang pada mulanya umum kemudian dihadkan (dikhaskan) kepada golongan tertentu sahaja. Ini bermakna ayat tersebut tidaklah dimansukhkan semua sekali.

5. Beberapa pendapat yang berbeza di kalangan ulama’ tentang mansukhnya sesuatu ayat al-Quran,

i) ada ayat al-Quran yang mansukh semua sekali,

ii) tidak ada satupun ayat al-Quran yang mansukh,

iii) mansukh dengan pengertian ulama’ mutaqaddimin, seperti, hukum yang umum pada mulanya, kemudiannya dihadkan atau dikhususkan. Dalam istilah mutaakhirin ianya tidak dinamakan mansukh.

6. Ibnu Abbas dan Imam Abu Daud menggunakan perkataan “mansukh” tetapi tidak dalam pengertian ulama’ mutaakhirin, tetapi seperti yang difahami ulama’ mutaqaddimin. Ayat yang sedang kita bincangkan ini tidak seluruhnya mansukh, yang mansukhnya (dibatalkan hukumnya) ialah, semua orang (sama ada sakit atau tidak) boleh memilih untuk tidak berpuasa asalkan dia membayar fidyah. Mereka yang tidak mampu berpuasa kerana tua, sakit, mengandung atau menyusu masih boleh meninggalkan puasa.

7. Pembahagian mansukh mengikut pengertian mutaqaddimin dan mutaakhirin masih lagi tidak difahami secara meluas kecuali oleh mereka dari aliran hadith. Ini terutamanya kepada mereka yang belajar usul fiqh atau usul tafsir hanya melalui satu aliran. Apa yang difahami oleh kebanyakan ulama’ masa kini ialah bila disebut mansukh ianya bermaksud ayat al-Quran tersebut tidak lagi boleh digunakan sama sekali.

8. Kesan negatif pendapat ulama’ yang hanya mengambilkira pengertian “mansukh” menurut pendapat mutaakhirin sahaja dapat dilihat apabila berinteraksi dengan “ayat Qital” (Perintah Supaya Berperang) iaitu al-Baqarah, ayat 190 dan 216 dan at-Taubah, ayat 36. Di dalam ayat-ayat ini Allah memerintahkan supaya memerangi orang kafir. Bagi golongan ini, ayat yang menyatakan, “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku” (Surah al-Kaafiruun, ayat 6), dan ayat, “Tidak ada paksaan dalam agama…” (al-Baqarah, ayat 256) dikatakan telah dimasukhkan oleh ayat Qital tadi. Ayat Qital ini didakwa bermaksud bila Islam kuat, tiada lagi kebebasan dalam beragama dan orang kafir akan dipaksa memeluk agama Islam atau menghadapi risiko diperangi. Dengan pendapat sebegini didapati terlalu banyak ayat al-Quran yang mansukh dan ajaran Islam menjadi celaru.

9. Di kalangan salaf (Sahabat, Tabi’in dan ulama’ terdahulu), nasakh (mansukh) digunakan dengan makna di segi bahasa (bukan istilah). Antara keadaan di mana ayat al-Quran dikatakan mansukh di kalangan ulama’ mutaqaddimin ialah, .

i) menghilangkan beberapa sifat atau perkara yang terdapat di dalam sesuatu ayat dengan ayat yang lain sama ada dengan menyatakan tamatnya tempoh mengamalkannya atau menukar sesuatu percakapan/perbincangan dari makna yang dekat dan segera difahami kepada makna yang agak jauh,

ii) menyatakan mana-mana “qaid” atau “takhsis” (mengkhususkan/menghadkan) atau menyatakan perbezaan antara yang mansukh dengan yang dikiaskan pada zahirnya,

iii) Menghilangkan adat jahiliyah atau syariat yang lalu.

Didapati maksud nasakh dan mansukh ini amat luas di sisi ulama’ mutaqaddimin. Jika dinilai dengan pengertian ulama’ mutaakhirin, ketiga-ketiga keadaan ini tidak termasuk pun dalam istilah mansukh.

10. Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ tentang bilangan ayat-ayat al-Quran yang mansukh. Ada yang mengatakan sehingga lebih 500 ayat, malah ada yang mengatakan bilangannya tidak terhingga banyaknya!

11. Jika dinilai berdasarkan pendapat ulama’ mutaakhirin (iaitu, mansukh sehingga tidak boleh digunakan langsung dalam apa jua keadaan), bilangan ayat al-Quran yang mansukh adalah amat sedikit. Menurut Syah Waliyullah, hanya ada lima ayat yang mansukh. Ulama’ besar Deoband, Anwar Shah Kahsmiri pula berpendapat tiada langsung ayat yang mansukh dan beliau berpendapat semua ayat al-Quran boleh digunakan, cuma dari sudut yang berbeza-beza.

12. Sepanjang sejarah Islam, tiada satupun ayat al-Quran yang disepakati oleh semua ulama’ (ijma’) sebagai mansukh.

Leave a comment