[TAUHID & IMAN] – Siri 2 – Serulah Allah ataupun ar-Rahman … Dia mempunyai Nama-Nama Yang Baik”

VIDEO – [Durasi – 19m 59s] – [TAUHID&IMAN] – Siri 2 – Serulah Allah ataupun ar-Rahman … Dia mempunyai Nama-Nama Yang Baik”

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/GapJFkdPJz0 ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 –  Serukanlah Nama ”Allah” Atau N…   ] Sahih al-Bukhari (Kitab Tauhid)

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

بَابُ قَوْلِ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: {قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الأَسْمَاءُ الْحُسْنَى}

حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ، أَخْبَرَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، عَنِ الأَعْمَشِ، عَنْ زَيْدِ بْنِ وَهْبٍ، وَأَبِي، ظَبْيَانَ عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ لاَ يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لاَ يَرْحَمُ النَّاسَ ‏”‏‏.‏ حَدَّثَنَا أَبُو النُّعْمَانِ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ، عَنْ عَاصِمٍ الأَحْوَلِ، عَنْ أَبِي عُثْمَانَ النَّهْدِيِّ، عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ، قَالَ كُنَّا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذْ جَاءَهُ رَسُولُ إِحْدَى بَنَاتِهِ يَدْعُوهُ إِلَى ابْنِهَا فِي الْمَوْتِ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ ارْجِعْ فَأَخْبِرْهَا أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَمُرْهَا فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ ‏”‏‏.‏ فَأَعَادَتِ الرَّسُولَ أَنَّهَا أَقْسَمَتْ لَتَأْتِيَنَّهَا، فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَقَامَ مَعَهُ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ وَمُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ، فَدُفِعَ الصَّبِيُّ إِلَيْهِ وَنَفْسُهُ تَقَعْقَعُ كَأَنَّهَا فِي شَنٍّ فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ فَقَالَ لَهُ سَعْدٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ‏.‏ قَالَ ‏”‏ هَذِهِ رَحْمَةٌ جَعَلَهَا اللَّهُ فِي قُلُوبِ عِبَادِهِ، وَإِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ ‏”‏‏.

Bab – Firman Allah, “Katakan: Serulah Allah ataupun serulah ar-Rahman yang mana saja (ataupun dengan nama manapun) kamu menyeru maka Dia mempunyai Nama-Nama Yang Baik”

Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukahri meriwayatkan daripada Jarir Bin Abdillah, beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah tidak mengasihani orang yang tidak mengasihani manusia”.

Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam al-Bukari meriwayatkan daripada Usamah bin Zaid, beliau berkata, pernah kami berada di samping Nabi s.a.w., tiba-tiba datang kepada Baginda utusan salah seorang anak perempuan Baginda untuk memanggil Nabi s.a.w. pergi menemui anak lelaki (kepada) anaknya (cucu Baginda) yang hampir mati, tetapi Nabi s.a.w. berkata kepada utusan itu, “Kembalilah! Ceritakan kepadanya (anaknya) bahawa Allah berhak mengambil apa yang mahu diambil-Nya dan berhak memberi apa yang mahu diberi-Nya (ataupun, sesungguhnya kepunyaan Allah jua apa yang diambil-Nya dan kepunyaan-Nya jua apa yang diberi-Nya). Dan segala sesuatu di sisi Allah mengikut jangka masa yang telah ditentukan. Oleh itu kamu suruhlah dia (anak perempuannya) supaya bersabar dan mengharapkan pahala daripada Allah. Namun begitu anak perempuannya itu mengembalikan pula utusan tadi dengan membawa kata-kata anaknya yang bersumpah, walaubagaimanapun (keadaanya) supaya Nabi datang juga kepadanya. Maka Nabi s.a.w. berdiri dan berdirilah bersama Baginda Saad bin Ubadah dan Muadz bin Jabal. Apabila sampai, diangkat anak itu kepada Nabi s.a.w. dalam keadaan nyawanya berbunyi “kath, kath” semacam nyawa itu berada di dalam gereba kulit yang usang. Melihat keadaan itu mengalirlah air mata Nabi s.a.w. Lantas Saad berkata kepada Nabi s.a.w., ‘Wahai Rasulullah! Apa ini?”, (kerana dia melihat Nabi s.a.w. menangis). Nabi s.a.w. bersabda, “Ini adalah rahmat (kesan belas kasihan) yang Allah letakkan di dalam hati hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah hanya mengasihani di kalangan hamba-Nya orang-orang yang tahu mengasihani orang lain”.

[Ringkasan] Firman Allah, “Katakan: Serulah Allah ataupun serulah ar-Rahman yang mana saja (ataupun dengan nama manapun) kamu menyeru maka Dia mempunyai Nama-Nama Yang Baik”

1. Kamu panggillah atau sebutlah nama Allah, ar-Rahman atau lain-lain nama Allah (Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Razzak dsb), semuanya dibolehkan. Allah mempunyai nama-nama yang baik (asma’ ul husna), Surah al-Israa’, ayat 110.

2. Imam al-Bukhari ingin membuktikan berdasarkan dalil-dalil bahawa Allah itu Esa, Esa di segi Zat-Nya dan Esa di segi sifat-sifat-Nya. Esa bermaksud tunggal, tiada yang lain serupa dengan-Nya. Contohnya dalam sifat mendengar dan melihat, Allah mendengar dan melihat tanpa memerlukan alat, keadaan atau angota tertentu. Allah mendengar dan melihat sesuatu yang tidak dapat dikesan oleh manusia. Zat-Nya, sayugianyalah adalah Esa, tidak berbilang, walaupun Dia mempunyai banyak sifat. Sifat-sifat-Nya yang banyak itu adalah Esa pada hakikatnya, di mana tiada yang lain serupa dengannya. Banyaknya sifat tidak menunjukkan banyak zat ataupun bila ada sifat maka zat itu perlu kepada sifat itu. Itulah yang dimaksudkan sebagai Allah tidak serupa dengan makluk-Nya. Adalah sesat golongan Muktazilah, Murjiah atau Jahmiyah dan mereka yang mengatakan Allah tidak mempunyai sifat. Mereka mengatakan jika Allah mempunyai sifat, ianya bermaksud tuhan itu banyak. Mereka mengatakan Allah mendengar dengan zat-Nya bukan dengan sifat-Nya.

3. Imam al-Bukhari ingin membuktikan bahawa Allah mendengar dengan sifat “mendengar”-Nya. Sifat “mendengar” Allah tidak dibuat oleh-Nya kemudian atau mengambilnya dari tempat lain atau sama jadi dengan-Nya (Allah adalah “sedia ada”, tidak ada permulaan, azali, maka ungkapan “sama jadi” adalah tidak sesuai bagi Allah kerana ianya menunjukkan Allah ada permulaan). SIfat Allah adalah bersekali dengan zat Allah, bukan sebelum itu tidak ada kemudiannya ada. Walaupun sifat Allah itu banyak, ianya tidak menunjukkan Allah itu banyak, sebagaimana adanya banyak sifat pada hanya seorang manusia.

4. Hanya nama “Allah” yang tidak mempunyai maksud sifaf kerana “Allah” bukan nama sifat. Adapun nama-nama lain adalah nama sifat (asma’ ul-sifat), bukan nama zat.

5. Bila kita sebut ar-Rahman atau ar-Rahim ianya merujuk kepada Allah, cuma kita sebut dengan sifat-Nya.

6. Maksud “Esa” dalam sifatnya ialah merujuk kepada tiada apa yang serupa dengan-Nya dalam sifat itu, dan sesekali tidak bermaksud Allah hanya ada satu sifat.

7. Ayat al-Quran ini (Surah al-Israa’, ayat 110) diturunkan kerana orang kafir Mekah memperolok-olokkan Nabi dengan mengatakan Nabi kononnya menyeru kepada tauhid (Tuhan yang Esa) padahal Nabi juga menyeru kepada tuhan yang banyak kerana banyaknya sifat yang ada pada Allah. Mereka tidak dapat memahami bahawa sifat Allah yang banyak itu adalah pada Zat yang satu (Esa).

8. Kita tidak boleh memikirkan sendiri apakah zat atau sifat-sifat Allah itu kecuali setakat apa yang diberitahu oleh Allah. Sifat-sifat Allah itu tidak kita “ta’til”kan (membuang makna yang terkandung di dalam sifat itu, contohnya seperti menukar sifat “melihat” Allah dengan mengatakan ianya bermaksud “mengetahui”). KIta juga tidak men”tasybih”kan Allah, iaitu tidak menyerupakan Allah dengan makhluk, contohnya bila kita kata Allah “melihat”, cara Allah melihat tidak sama sebagaimana makhluk melihat.

9. Semua nama Allah atau nama sifat-sifat-Nya semuanya adalah baik, kerana Allah sendiri mengatakan ianya elok. Kita sebut nama Allah (sifat-sifat Allah) yang sesuai dengan apa yang ingin kita minta dari Allah, contohnya jika kita hendak minta rezeki, kita sebutlah, “ar-Razzak”, jika kita ingin Allah menutup kesalahan kita, kita sebutlah, “Ya Sattar” atau “Ya Tawwab”.

10. Allah sebutkan di dalam ayat ini sifat-sifat-Nya sebagai “nama” sedangkan ianya adalah sifat. Ini menunjukkan Allah ada “Nama Sifat”. Oleh itu, ulama’ membuat kesimpulan bahawa Allah ada “Nama Zat” dan “Nama Sifat”.

11. Hadith pertama menyebut, Allah tidak mengasihani orang yang tidak mengasihani manusia. Sifat “Rahmat” (ar-Rahman dan ar-Rahim) itu luas. [Nota: Ulama’ kemudiannya membahagikan sifat Allah kepada sifat zat dan sifat af”al (perbuatan)].

12. “Mengasihani” adalah sifat “Rahmat” Allah. Sifat rahmat Allah adalah amat luas, sebagaimana disebut dalam hadith bahawa rahmat Allah terdapat pada semua perkara. Contohnya, sifat rahmat Allah kepada haiwan yang tidak berakal di mana diberikan rasa kasihan ibu haiwan kepada anaknya. Atau, contoh lain, ada hidupan yang dapat hidup di dalam batu, di mana ia dijamin rezekinya. Adalah didapati rahmat Allah ada pada semua perkara, sama ada ianya secara nyata (zahir) atau tidak.

13. Allah inginkan kita supaya bersifat sedemikian (mengasihani) walaupun tidak sempurna. Sesiapa yang mempunyai semakin banyak (mendalam) bayangan sifat Allah, maka semakin sempurna seseorang itu.

14. Ulama’ membahagikan sifat Allah kepada sifat Jamal dan sifat “Jalal”. Sifat Jamal ialah sifat lemah lembut seperti “mengasihani” dsb dan sifat Jalal ialah sifat keras seperti mengadakan gempa bumi, kiamat dsb.

15. Orang yang tidak mengasihani manusia, Allah tidak akan mengasihaninya (tidak dirahmati Allah). Jika seseorang itu tidak dirahmati Allah, nescaya sengsaralah hidupnya. Mereka boleh hidup dengan diberi rezeki oleh Allah berupa makanan, kesihatan dan harta. Tetapi bila seseorang itu jauh dari rahmat Allah, kesannya banyak pada rohaninya. Walaupun badannya sihat tetapi jiwanya sakit, dan jiwanya tidak condong kepada berbuat kebaikan, tidak terbuka fikirannya untuk itu. Bila seseorang dimurkai Allah, dia tidak mengerti apa implikasi dan kesan dari perbuatannya dan dia hilang sifat kemanusiannya. Contohnya orang-orang Yahudi, bila mereka melanggar perintah Allah, mereka jauh dari rahmat Allah, ketika itulah mereka membunuh nabi-nabi. Pada zahirnya mereka nampak lebih maju dan lebih kaya daripada orang lain tetapi pada hakikatnya mereka seolah-olah tidak mempunyai sifat kemanusiaan. Hakikatnya, mereka pun terkesan jika sesuatu yang buruk berlaku kepada ahli keluarga mereka. Mereka tidak dapat kaitkan kesedihan dan kepedihan yang dialami mereka bila berinteraksi dan menzalimi orang lain. Pernyataan tidak kasihannya Allah kepada sesorang manusia dizahirkan dalam berbagai bentuk, sebagaimana dizahirkan kepada orang Yahudi yang zalim, yang jika diberi harta mereka menggunakannya di jalan yang dimurkai Allah.

16. Hadith Kedua – Anak perempuan Nabi s.a.w. Zainab menghantar utusan kepada Nabi untuk memberitahu bahawa cucu Baginda hampir meninggal dunia. Nabi meminta utusan itu kembali seraya memesan supaya memberitahu anaknya bahawa apa yang diberi atau diambil oleh Allah adalah semuanya milik Allah, semuanya pinjaman dari Allah. Segalanya mengikiut ketentuan (taqdir) dari Allah. Utusan itu kembali tetapi Zainab r.ha. bersumpah supaya Nabi datang juga kerana anaknya sedang tenat, barulah Nabi pergi kepadanya. Keenganan Nabi pergi pada mulanya bukan bermaksud bahawa Nabi tidak menyayangi anak cucunya tetapi disebabkan kekangan tanggungjawab yang lebih penting. Tetapi apabila didesak, Baginda pun pergi memenuhi permintaan anaknya. Bila sampai, cucunya diangkat kepadanya dalam keadaan nafasnya tersekat-sekat. Nabi mengalirkan air mata melihat keadaan itu. Sahabat yang mengiringi Baginda, Saad bin Ubadah berkata kepada Nabi, “Apa ini?”, seolah-olah mempersoalkan Nabi mengapa Nabi menangis sedangkan Baginda selalu menasihati Sahabat-Sahabat supaya bersabar ketika meghadapi musibah. Dia menganggap bersabar itu bermaksud tidak mempunyai perasaan atau apa-apa emosi terhadap apa yang berlaku. Nabi membetulkannya dengan mengatakan, “Inilah kesan dari sifat rahmat dan kasihan belas yang Allah letak ke dalam hati hamba-hamba-Nya”. Sifat ini adalah milik Allah tetapi dia beri juga kepada hamba-hamba-Nya. Bila sedih manusia akan mengalirkan air mata dan ini tidak bermakna seseorang itu tidak sabar atau meratap. Yang tidak dibenarkan ialah meratap seperti meraung. Islam mengajar kesederhanaan dalam semua perkara.

17. Kita dapati orang-orang Islam selalu tenang dalam menghadapi masalah dan musibah seperti kematian. Kita diajar oleh Nabi supaya jangan terlampau mengikut perasaan dan jangan terlalu keras hati, tidak langsung mempunyai perasaan. Kita diberi peluang untuk bersuka ria dengan adanya ibadat-ibadat seperti aqiqah, korban dan walimatul urus tetapi ini tidak bermakna kita sentiasa isi hidup kita dengan pesta makanan.

18. Allah mengasihani hamba-hamba-Nya yang mengasihani orang lain. Jika Allah tidak mengasihani seseorang, ianya tidak bermakna tiada langsung rahmat Allah kepadanya. Dia tetap diberikan rezeki seperti makan minum dan kesihatan tubuh badan, tetapi dia tidak memperolehi perkara yang lebih penting dalam hidup ini seperti sifat sukakan kebaikan dan bencikan kejahatan.

19. Islam mengajar supaya mengasihani semua makhluk termasuk haiwan. Perhatikan bagaimana kisah seorang wanita yang dimasukkan ke dalam neraka kerana mengurung kucing tanpa memberi makanan kepadanya sehingga mati. Juga kisah bagaimana serang perempuan dimasukkan ke dalam syurga kerana memberi minum anjing yang dahaga walaupun dia seorang pelacur.

20. Perhatikan hadith Nabi yang bermaksud, “Kamu kasihanilah apa yang ada di muka bumi, nanti tuhan yang di langit akan mengasihani kamu”. Ingatlah bahawa “apa yang ada di bumi” bukan hanya manusia tetapi termasuk juga haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Leave a comment