Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa Nabi s.a.w. selalu mengucapkan, “Aku berlindung dengan kemuliaan Engkau, yang tidak ada tuhan melainkan Engkau, yang tidak mati sedangkan jin dan manusia semuanya mati”.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda, “Akan dicampakkan ke dalam neraka…”. Khalifah dengan sanadnya berkata kepadaku daripada Qatadah daripada Anas daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda: Akan terus dicampakkan ke dalam neraka dan neraka akan tetap berkata, “Adakah lagi tambahan sehinggalah “Rabbul ‘alamin” meletakkan di dalamnya “qadam”-Nya maka terhimpunlah sebahagian neraka itu kepada sebahagian yang lain. Kemudian neraka berkata, “Cukup! Cukup! Demi kemuliaan dan kebesaran-Mu (Keagungan-Mu)”. Syurga akan terus lega sehinggalah Allah menjadikan untuknya suatu kejadian. Dengan itu Allah. membuatkan mereka diam (tetap tenang) di dalam syurga itu dengan keluasan (kelegaan) terus ada dalam syurga.
[Ringkasan] Dia (Allah) Maha Perkasa, Lagi Maha Bijaksana
1. Hadith pertama – Nabi s.a.w. berlindung dengan keperkasaan (atau kemuliaan) Allah yang tidak mati, tidak sebagaimana jin dan manusia yang mati. Ini membuktikan bahawa sifat ” ‘Izzah” atau “Aziz” (keperkasaan dan kemuliaan) ada pada Allah.
2. Hadith kedua – Neraka sentiasa “lapar dan rakus” untuk “menelan” penghuni-penghuni yang masuk ke dalamnya sehinggalah Allah memasukkan “qadam”-Nya. Selepas itu barulah neraka mengecil dan berkata, “Cukup! Cukup! Demi kemuliaan dan keperkasaan-Mu”. Sementara syurga itu sentiasa lapang dan tetap lapang dan luas walaupun dimasukkan ahli syurga yang terakhir ke dalamnya.
3. Hadith ini adalah suatu hadith mutasyabihat (samar, tidak jelas). Ada satu cabang ilmu dalam ilmu hadith berkenaan hadith-hadith mutasyhabihat. Kerana gagal memahami hakikat hadith-hadith mutasyabihat, ramai ahli bid’ah yang menolak hadith-hadith sebegini dan menuduh perawi-perawi hadith sebagai pendusta. Bila berhadapan dengan hadith-hadith (atau ayat-ayat al-Quran) yang mutasyabihat, ada dua pendekatan yang boleh diambil iaitu “tafwidh” (menyerahkan hakikat sebenarnya kepada Allah dan kita guna maknanya yang zahir) dan “takwil” (mentakwilkan dengan menggunakan kaedah-kaedah yang diperakui ulama’). Perlu ditekankan di sini, walaupun apa pun kaedah yang dipilih, bahawa Allah sekali-kali tidak serupa dengan makhluk.
4. Berikut adalah penjelasan ulama’ tentang hadith (mutasyabihat) ini:
i) Salah satu terjemahan “qadam” ialah tapak kaki. Sekiranya “qadam” kita terjemahkan sebagai “tapak kaki”, ianya bermaksud “tapak kaki” yang layak bagi Allah, iaitu sama sekali tidak sama dengan tapak kaki makhluk. Ianya adalah seperti “tangan”, “mata” dll yang dikaitkan dengan Allah.
ii) Perkataan “qadam” itu sendiri sebenarnya banyak maknanya, dan tidak semestinya diterjemahkan sebagai “tapak kaki”. “Qadam” boleh juga kita terjemahkan sebagai “sesuatu yang Allah tahu dalam ilmu-Nya sejak azali”; maka dalam hadith ini ianya boleh bermaksud, “Sehingga Allah meletakkan keputusannya yang diputuskan sejak dari azali lagi”.
iii) Ada versi riwayat ini, di mana sebelum perkataan “qadama” disebut “jabbar” (jabbar qadamahu) bukannya “rabbul ‘aalamin qadamahu”. Jika perkataan “jabbar” digunakan di sini, ianya boleh bermaksud, tuhan yang boleh menekan (memaksa) sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Perkataan “jabbar” juga dipakai selain dari sifat Allah, antaranya dipakai juga untuk sifat penguasa yang bermaharaja lela atau orang kafir yang keras kepala. Ada juga yang mengatakan “al-Jabbar” ialah sejenis iblis. Kalau begitu, kita boleh katakan maksud hadith ini ialah orang yang terakhir masuk neraka ialah orang kafir yang keras kepala atau iblis yang bernama “al-Jabbar”, wallahu’alam.
5. Apakah yang dimaksudkan neraka berkata, “Cukup! Cukup!”? Adakah ianya disebut dengan mulut dan berbunyi atau sebagai “lisan hal” (keadaan seolah-olah ianya berkata-kata begitu)? Jika ianya ucapan seumpama dengan lidah, ianya boleh berlaku kerana semuanya adalah dalam kekuasaan Allah.
6. Keadaan syurga berbeza dengan neraka, iaitu apabila orang terakhir memasukinya, syurga masih lagi lapang dan luas.
Dia (Allah) Maha Perkasa, Lagi Maha Bijaksana . . . Maha suci tuhanmu, tuhan empunya kemuliaan. Kemuliaan hanya kepunyaan Allah dan Rasul-Nya dan orang yang bersumpah dengan menyebut kemuliaan Allah dan sifat-sifat-Nya.
Anas berkata Nabi s.a.w. bersabda, “Neraka berkata, “Cukup! Cukup! Demi kemuliaan-Mu”. Abu Hurairah berkata diriwayatkannya daripada Nabi s.a.w.: Akan tinggal satu orang di antara syurga dan neraka sebagai ahli neraka yang terakhir masuk ke syurga. Lalu dia berkata, “Tuhanku! Palingkanlah wajahku dari neraka. Demi kemuliaan-Mu, tidak akan aku memohon daripada-Mu selainnya”. Abu Said berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah berfirman, “Kau mendapatnya di samping sepuluh kali gandanya lagi”. Ayyub (Nabi Ayyub) berkata, “Demi kemuliaan-Mu! Aku tidak akan melepaskan keberkatan daripada-Mu”.
[Ringkasan] Dia (Allah) Maha Perkasa, Lagi Maha Bijaksana
1. Dialah (Allah) yang Maha Perkasa atau Maha Mulia, Yang Maha Bijaksana.
2. Imam al-Bukhari ingin menegaskan bahawa semua sifat Allah yang dijadikan asas bagi aqidah ahli sunnah wal jamaah ada disebut di dalam al-Quran. Beliau juga ingin menekankan bahawa Allah mempunyai sifat-sifat. Kebesaran, keagungan, kelebihan dan kemuliaan adalah maksud yang terkandung dalam sifat al-Aziz.
3. Diceritakan bagaimana orang yang bersumpah atau bermohon kepada Allah dengan menyebutkan kemuliaan Allah dan Sifat-Sifat-Nya.
4. Anas berkata, Nabi s.a.w. bersabda, neraka jahannam berkata, “Qad! Qad! (Cukup! Cukup!). Demi kemuliaan-Mu!”.
5. Abu Hurairah menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda bahawa ahli neraka yang terakhir yang masuk syurga bermohon kepada Allah supaya memalingkan wajahnya dari neraka dengan menyebut, “Demi kemuliaan Allah”, dan Allah mengabulkan permintaannya dengan menambah sepuluh kali ganda lagi.
6. Nabi Ayyub berkata, “Demi kemuliaan-Mu! Aku tidak dapat melepaskan diriku dari mengambil berkat (daripada-Mu)”, bila Allah menghantarkan belalang emas kepadanya.
Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda: Allah menggenggam bumi pada hari kiamat dan melipat langit dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Dia berkata, “Akulah Raja sebenarnya. Di mana raja-raja di dunia (sekarang ini)”. Syuaib, Zubaidi, Ibnu Musafir, Ishaq bin Yahya meriwayatkan dari Zuhri daripada Abi Salamah.
[Ringkasan] Allah, Raja Kepada Sekelian Manusia
1. Tuhan (Allah) sebagai al-Malik (Raja). Sifat ini (al-Malik) ada disebut di dalam al-Quran dan dalam hadith. Ini adalah aqidah dan kita wajib berittiqad bahawa Allahlah raja yang sebenarnya. Selain dari Allah,”raja-raja” yang ada di dunia ini adalah untuk sementara sahaja, untuk sebahagian manusia dan untuk tempoh tertentu. Allah sebagai raja bermaksud, “Yang memiliki manusia”.
2. Sejarah sistem beraja di dunia ialah pada mulanya seseorang mempunyai sejumlah tanah yang kemudian membenarkan orang lain tinggal di atas tanah tersebut. Raja di kalangan manusia memiliki tanah tapi Allah (raja yang sebenar) memiliki manusia! Allah adalah raja yang sebenar, yang lain hanyalah pinjaman.
3. Allah “menggenggam bumi” pada hari kiamat nanti dan “melipat langit” dengan Tangan Kanan-Nya. “Menggenggam bumi” bermaksud Allah berkuasa penuh dan tiada siapa lagi mendakwa berkuasa di bumi ini.
4. Allah “melipat langit dengan Tangan Kanan-Nya” bermaksud telah tamatlah cerita di bumi ini dan akan bermula alam lain (akhirat). Di alam akhirat, jika ianya seksaan tidak terperi sakitnya, dan jika ianya nikmat, ianya adalah nikmat sepenuhnya, tiada kekurangan, tiada sakit dan tiada kematian.
5. Selepas “langit dilipat”, Allah akan berkata, “Akulah Raja yang sebenarnya. Di mana raja-raja di dunia (sekarang ini)?”. Allah adalah raja kepada semua, yang menguasai pada setiap masa dan semuanya tidak terlepas dari hukum Allah. Allah bertanya, “Kepunyaan siapakah kerajaan (kekuasaan) pada hari ini?” (Surah Ghaafir, ayat 16).
Tuhan itu as-Salam (Maha Sejahtera) & Dia adalah al-MukmIn (Yang Memberi Keamanan)
باب قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى {السَّلاَمُ الْمُؤْمِنُ}
حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ، حَدَّثَنَا زُهَيْرٌ، حَدَّثَنَا مُغِيرَةُ، حَدَّثَنَا شَقِيقُ بْنُ سَلَمَةَ، قَالَ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ كُنَّا نُصَلِّي خَلْفَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَنَقُولُ السَّلاَمُ عَلَى اللَّهِ. فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم “ إِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّلاَمُ وَلَكِنْ قُولُوا التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ ”.
Tuhan itu “as-Salam”, Maha Sejahtera (Tiada cacat dan kekurangan) dan Memberi Sejahtera & Dia adalah “al-MukmIn” (Yang Memberi Keamanan)
Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah, beliau berkata: Dulu kami selalu bersembahyang di belakang Rasulullah s.a.w. dengan mengucapkan salam kepada Allah dengan mengatakan “Assalamu’alallah”. Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah itu sejahtera tetapi katakanlah, ” ‘at-Tahiyatu lil-lahi was-sala-watu wattaiyibatu, as-salamu `alaika aiyyuha-n-nabiyyu wa rahmatu-l-lahi wa barakatuhu, as-salamu `alaina wa `ala `ibadi-l-lahi as-salihin. Ashhadu an la ilaha il-lallah, wa ash-hadu anna Muhammadan `abduhu wa rasuluhu “.
[Ringkasan] Tuhan itu “Maha Sejahtera” (Tiada Cacat dan Kekurangan) dan Memberi Kesejahteraan & Dia adalah “al-MukmIn” (Yang Memberi Keamanan)
1. Sifat-sifat Allah, as-Salam (Maha Sejahtera) dan al-Mukmin (Yang Memberi Keamanan) disebut dalam ayat 23, Surah al-Hasyr. Untuk perkara-perkara aqidah adalah tidak memadai dinyatakan melalui hadith sahih, tetapi sekurang-kurangnya hendaklah hadith mutawatir atau pun, yang paling utama, al-Quran.
2. Allah itu “Maha Sejahtera”. Ianya bermaksud, Allah tidak mempunyai kekurangan atau kecacatan. Sifat kekurangan seperti sakit, lemah dsb tiada pada Allah pada setiap masa dan tidak ada kemungkinan akan berlaku kekurangan tersebut di masa-masa akan datang.
3. Allah bukan sahaja “Sejahtera” tetapi Dia juga punca “Kesejahteraan” sekelian alam. Segala kesejahteraan di alam semesta adalah pernyataan dari sifat as-Salam (“Sejahtera”) Allah. Pada masa berlaku sesuatu “kekurangan” kepada makhluk (seperti sakit, mati dsb) sifat Allah yang lain yang bertindak pada masa itu seperti sifat tuhan yang memberi sakit atau sifat yang mematikan. Suatu masa nanti (di hari akhirat), sifat “mematikan” tidak lagi “bekerja” kerana pada masa itu tiada lagi kematian.
4. Allah yang memberi kesejahteraan dan kita boleh meminta kesejahteraan, keselamatan, kedamaian, keamanan dll dari Allah.
5. Sifat Al-Mukmin – Tuhan yang memberi keamanan. Semua “keamanan” yang wujud adalah berpunca dari Allah. Begitu juga bila tidak aman, ianya berpunca dari sifat Allah yang lain. Yang memberi rezeki yang luas adalah dari sifat Allah dan yang menyempitkan rezeki juga dari sifat Allah.
6. Sifat Allah ini sudah ada sedia kala walaupun sebelum Allah “menyatakan” sifat tersebut, contohnya, sifat “menjadikan” sudah ada pada Allah walaupun sebelum Dia menjadikan apa-apa. Sifat ini nyata bila Allah menjadikan sesuatu.
7. Ibnu Mas’ud berkata, dulu semasa bersembahyang di belakang Nabi s.a.w. mereka mengucapkan, “Assalamu’alallah” (salam sejahtera kepada Allah) ketika bertahiyyat. Nabi s.a.w. menegur bahawa tidak perlu meminta sejahtera bagi Allah kerana Dia sendiri sudah sejahtera dan punca kepada kesejahteraan. Berlainan dengan Nabi s.a.w. yang mempunyai sifat kekurangan, kita mendoakan kesejahteraan kepada Baginda. Begitu juga doa kesejahteraan untuk kita dan semua makhluk.
حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، حَدَّثَنِي مَالِكٌ ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي صَعْصَعَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، أَنَّ رَجُلاً، سَمِعَ رَجُلاً، يَقْرَأُ {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} يُرَدِّدُهَا، فَلَمَّا أَصْبَحَ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَ لَهُ ذَلِكَ، وَكَأَنَّ الرَّجُلَ يَتَقَالُّهَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّهَا لَتَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ ”. زَادَ إِسْمَاعِيلُ بْنُ جَعْفَرٍ عَنْ مَالِكٍ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، أَخْبَرَنِي أَخِي، قَتَادَةُ بْنُ النُّعْمَانِ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم..
Seruan Nabi akan umat kepada mentauhidkan Allah, maha berkat Nama-Nama-Nya dan maha tinggi Keagungan-Nya
Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa Nabi s.a.w. telah menghantar Mu’adz Bin Jabal ke Yaman.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari dari Aba Ma’bad, maula kepada Ibnu Abbas, berkata: Aku telah mendengar Ibnu Abbas berkata, ketika Nabi s.a.w. mahu menghantarkan Mu’adz bin Jabal kepada penduduk Yaman, Baginda s.a.w. bersabda kepadanya, “Sesungguhnya engkau akan pergi kepada satu golongan ahli kitab, maka hendaklah perkara yang pertama yang engkau seru mereka ialah supaya mereka mentauhidkan Allah. Apabila mereka telah mengenal tauhid itu maka kamu ceritakanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka lima sembahyang dalam sehari semalam. Bila mereka telah sembahyang maka ceritakanlah bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka zakat pada harta benda mereka di mana diambil harta itu daripada orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang fakir di kalangan mereka. Bila mereka sudah menerima itu maka engkau ambillah daripada mereka dan kamu hindarilah daripada mengambil harta-harta orang yang terbaik sahaja”.
Hadith Ketiga – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Mu’adz bIn Jabal beliau berkata Nabi s.a.w. pernah bersabda (kepadanya), “Wahai Mu’adz, tahukah engkau, apakah hak Allah terhadap hamba-hamba-Nya”. Beliau menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Nabi s.a.w. bersabda, “Iaitu mereka menyembah-Nya dan tidak menyengutukan apa-apa dengan-Nya. Kamu tahukah apakah hak mereka terhadap-Nya (Allah)?”. Mu’adz berkata, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui, (Nabi bersabda), “Iaitu, Dia tidak menyeksa mereka”.
Hadith Keempat – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Said al-Khudri bahawa ada seorang lelaki mendengar seorang lelaki yang lain membaca “Qulhuwallahuahad”. Dia mengulangi membaca surah itu. Bila tiba keesokan paginya orang itu pergi kepada Nabi s.a.w. Dia pun menyebutkan perkara tadi kepada Baginda, semacam orang itu menganggap bacaannya itu sedikit. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi tuhan yang nyawaku berada di Tangan-Nya. Sesungguhnya “Qulhuwallahuahad” (ataupun surah itu) benar-benar menyamai satu pertiga al-Quran”. Dengan sanad satu lagi, Imam al-Bukhari menyebut Abi Said al-Khudri berkata,”Saudaraku Qatadah Ibnu Nu’man menceritakan kepadaku daripada Nabi s.a.w.”.
Hadith Kelima – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Amrah binti Abdurrahman. Dia adalah anak angkat Aishah r.ha, membesar dalam haribaan Aishah, isteri Nabi s.a.w. Daripada Aishah bahawa Nabi s.a.w. telah mengutuskan seorang lelaki memimpin satu kumpulan tentera dan orang itu membaca di dalam sembahyang apabila menjadi imam kepada sahabat-sahabatnya disudahi bacaannya dengan Qulhuwallahuahad. Bila mereka pulang mereka menyebutkan perkara itu kepada Nabi s.a.w. Nabi s.a.w. pun bersabda, “Kamu tanyalah dia kenapa dia melakukan begitu”. Mereka pun bertanya, dia menjawab, “Kerana ada di dalam surah itu sifat ar-Rahman dan saya suka membacanya”. Lantas Nabi s.a.w. bersabda, “Kamu beritahu kepadanya bahawa Allah mengasihinya”.
[Ringkasan] Seruan Nabi akan umat kepada mentauhidkan Allah, maha berkat Nama-Nama-Nya dan maha tinggi Keagungan-Nya
1. Nabi menyeru umatnya kepada tauhid kepada Allah. Tauhid (Keesaan Allah) adalah perkara asas yang paling utama dan paling penting dari ajaran Nabi s.a.w.
2. Hadith Kedua – Nabi s.a.w. memerintahkan supaya perkara pertama Mu’adz Bin Jabal beritahu kepada penduduk Yaman yang terdiri dari ahli kitab ialah tentang tauhid kepada Allah. Inilah ajaran Islam yang paling penting. Apabila mereka sudah tahu tentang tauhid kepada Allah (sudah mengenali Allah) maka beritahulah mereka perkara-perkara seterusnya. Inilah dalil bahawa perkara yang pertama yang wajib kita ketahui ialah makrifat (mengenal) Allah. Semua perintah yang ditaati dan larangan yang ditinggalkan tidak diterima kecuali kita kenal siapa yang menyuruh atau melarangnya (Allah). Tetapi ini tidak bermakna kita perlu tahu secara terperinci dahulu tentang Allah baru boleh melakukan ibadat seperti sembahyang. Hadith ini hanya menunjukkan tertib keutamaan apa yang perlu diajar dan perlu diketahui oleh seseorang Islam.
3. Kemuncak amalan selepas mengenali Allah ialah menunaikan sembahyang, dan ini adalah merupakan amalan peribadi setiap individu. Amalan yang utama berkaitan dengan masyarakat ialah zakat. Adalah penting bahawa amalan-amalan ini dilakukan dalam keadaan kita tahu kaifiatnya dan faham matlamatnya. Amalan-amalan ini perlu diberitahu dan difahamkan kepada setiap orang Islam sebelum diperintahkan melakukannya.
4. Nabi memerintahkan Mu’adz supaya tidak mengambil harta yang terbaik yang dimiliki oleh orang yang mengeluarkan zakat. Tetapi hendaklah diambil harta yang sederhana mutunya kerana ini lebih adil kepada pihak yang mengeluarkan dan menerima zakat.
5. Hadith ketiga – Hak Allah terhadap hamba-hamba-Nya ialah hamba itu hendaklah menyembah-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya (iaitu beribadat dengan mentauhidkan-Nya). Apa yang Allah jamin untuk hamba-Nya ialah tidak menyeksa mereka apabila mereka tidak melakukan syirik kepada Allah. Untuk orang beriman yang melakukan dosa dan maksiat kepada Allah, mereka mungkin diseksa dahulu tetapi mereka dijamin tidak akan diseksa selama-lamanya (berkekalan). Maksud lain dari sabda Nabi ini ialah sekiranya seseorang itu benar-benar bertauhid mereka tidak akan melakukan dosa dan maksiat dengan sengaja, oleh itu terselamat dari seksaan Allah. Betapa ramai Sahabat-Sahabat Nabi yang dijamin masuk syurga tanpa hisab, yang dijamin tidak diseksa terlebih dahulu.
6. Hadith keempat – Ada Sahabat Nabi s.a.w. yang mengulang-ulang membaca Qulhuwallahuahad (Surah al-Ikhlas). Nabi memberitahu bahawa (walaupun surah ini pendek) ianya menyamai satu pertiga al-Quran. Surah ini mengandungi ajaran tentang tauhid dan maknanya menyamai satu pertiga al-Quran. Ada ulama’ yang mengatakan ianya satu pertiga dari al-Quran kerana tauhid adalah merupakan satu pertiga dari isi al-Quran. Al-Quran mengandungi ajaran aqidah (tauhid kepada Allah), tentang nabi-nabi yang membawa agama ini dan yang ketiga tentang akhirat dan kehidupan selepas mati. Pendapat lain ialah kandungan al-Quran itu adalah tentang aqidah (tentang Allah, nabi-nabi dll), hukum hakam dan kehidupan selepas mati. Aqidah Islam adalah termasuk tentang nabi-nabi kerana dengan memahami kedudukan nabi-nabi kita orang Islam tidak mungkin menyamakan Nabi dengan Allah seperti yang berlaku kepada agama-agama lain (contohnya, penganut agama Hindu dan Budha yang membuat patung-patung yang mewakili nabi-nabi mereka lalu menyembahnya, atau orang Kristian yang menjadikan Nabi Isa sebagai anak tuhan).
7. Hadith kelima – Seorang Sahabat yang menjadi ketua angkatan perang menyudahkan bacaan dalam sembahyang dengan Surah al-Ikhlas (Qulhuwallahuahad). Sahabat yang lain bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang perkara ini. Nabi meminta dia bertanya sendiri kepada Sahabat tersebut mengapa beliau berbuat demikian. Sahabat tersebut memberitahu bahawa dia kasih kepada Allah dan dengan menyebut sifat-sifat Allah akan menggembirakannya. Nabi bersabda, Allah juga kasih kepadanya. Ini bermaksud, orang yang kasih kepada Allah, Allah juga mengasihinya. Kesimpulannya, Surah al-Ikhlas mempunyai kelebihan kerana berbicara tentang tauhid. Oleh sebab itu, Surah al-Ikhlas ini dikenali juga sebagai Surah at-Tauheed.
KITAB TAUHID [MENOLAK FAHAMAN JAHMIYYAH, MURJI’AH, QADARIYAH, MUKTAZILAH, RAFIDHAH (SYIAH), KHAWARIJ DAN GOLONGAN SESAT YANG LAIN]
كتاب التوحيد
[Ringkasan] – Kitab Tauhid [Menolak Fahaman Jahmiyyah, Murji’ah, Qadariyah, Muktazilah, Rafidhah (Syiah), Khawarij Dan Golongan Sesat Yang Lain] .
1. Kemuncak ajaran al-Quran dan as-Sunnah ialah “Tauhid”. Kita hendaklah sentiasa berpegang teguh kepadanya.
2. Terdapat banyak golongan yang mengaku sebagai penganut Islam tetapi mereka sebenarnya adalah sesat, tidak ada tauhid, antaranya golongan Jahmiyah dan lain-lain.
3. Tidak semestinya sesiapa yang mendakwa sebagai penganut Islam secara otomatik menjadi Islam malah boleh jadi dia bukan Islam pun jika tauhidnya tidak benar (walaupun dia mengerjakan ibadat sama seperti kita dan orang Islam lakukan)
4. Golongan-golongan sesat ini tauhidnya tidak benar atau sebenarnya menolak tauhid, bercanggah dengan tauhid yang dikehendaki oleh al-Quran dan sunnah. Jika rosak tauhidnya, maka sia-sialah amalan mereka.
5. Kita hendaklah sentiasa menentang golongan sesat ini demi menjaga Islam di samping menentang golongan-golongan kafir. Ini adalah kerana jika mereka yang menjadi dominan dalam masyarakat ajaran tauhid yang sebenar akan hilang. Tetapi alhamdulillah, sepanjang zaman, yang menguasai dunia Islam pada keseluruhannya ialah golongan ahli sunnah wal jamaah, ahli tauhid yang sebenar. Tidak sebagaimana agama Kristian di mana yang dominan ialah golongan sesat yang mempercayai Nabi Isa adalah anak tuhan. Akan tetapi akan sentiasa ada golongan-golongan serpihan yang terpesong, yang perlu dikawal, dibenteras dan dibinasakan seperti yang dilakukan oleh Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w.
6. Antara golongan-golongan sesat ini ialah Jahmiyyah (pada hakikatnya golongan Murji’ah) dan lain-lain fahaman sesat seperti Qadariyah (golongan yang tidak percaya kepada taqdir dan mengatakan bahawa kita sendirilah yang menetapkan taqdir). Golongan lain ialah puak Khawarij yang pernah diperangi oleh Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w. dan juga golongan Rafidhah (Syiah). Pegangan aqidah golongan Syiah ialah berasaskan fahaman Muktazilah di mana rukun iman “percaya kepada taqdir” diganti dengan “keadilan”.
7. Golongan Muktazilah mengatakan merekalah ahli tauhid. “Tauhid” (keesaan Allah) pada mereka ialah Allah tidak mempunyai sifat-sifat (seperti mendengar, melihat dsb) tetapi hanya Zat, kerana pada mereka sifat-sifat Allah tersebut menjadikan Allah tidak lagi Esa. Sifat mendengar dan melihat Allah adalah dengan Zat-Nya dan bukan dengan sifat-sifat-Nya. Mereka menuduh golongan yang tidak mempercayai fahaman ini sebagai golongan yang syirik yang menyerupakan tuhan dengan makhluk! Golongan-golongan sesat ini perlu kita benteras.
8. Boleh dikatakan, empat golongan sesat yang utama dalam Islam ialah Jahmiyyah (Murji’ah), Qadariyah, Khawarij dan Syiah.
9. Golongan Jahmiyyah sama seperti Muktazilah dalam menafikan bahawa Allah mempunyai sifat-sifat. Kepada mereka, al-Quran bukan kalam Allah tetapi adalah makhluk. Kita tidak boleh berdoa dengan menggunakan sifat-sifat Allah seperti ar-Rahman dan ar-Rahim kerana pada mereka itu adalah perbuatan syirik, menduakan Allah. Jahmiyyah diasaskan oleh Jahm bin Safwan yang mati dibunuh oleh pemerintah Islam. Pengikut-pengikutnya kemudiannya menyelinap masuk dan berselindung di sebalik golongan sufi.
10. Ibn Hazm berkata, ada lima golongan yang mengaku Islam. Mereka ialah,
i) ahli sunnah wal jamaah dan inilah golongan yang benar,
ii) Muktazilah (termasuk juga dalam kelompok ini golongan Qadariyah),
iii) Murji’ah (Jahmiyyah). Imam al-Bukhari amat gigih menentang golongan ini. Golongan Jahmiyyah berpendapat sesiapa yang percaya dalam hatinya bahawa Allah hanya satu, sudah cukup untuk dia masuk syurga walaupun tidak melakukan apa-apa ibadat. Mereka tidak akan masuk neraka walaupun melakukan maksiat hatta menyembah berhala sekalipun. Termasuk juga dalam kumpulan ini ialah puak-puak Karamiyyah,
حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ مَخْلَدٍ، حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ بِلاَلٍ، حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ دِينَارٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ ـ رضى الله عنهما ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ مَفَاتِيحُ الْغَيْبِ خَمْسٌ لاَ يَعْلَمُهَا إِلاَّ اللَّهُ، لاَ يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الأَرْحَامُ إِلاَّ اللَّهُ، وَلاَ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلاَّ اللَّهُ، وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي الْمَطَرُ أَحَدٌ إِلاَّ اللَّهُ، وَلاَ تَدْرِي نَفْسٌ بِأَىِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِلاَّ اللَّهُ، وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلاَّ اللَّهُ “.حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يُوسُفَ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ إِسْمَاعِيلَ، عَنِ الشَّعْبِيِّ، عَنْ مَسْرُوقٍ، عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ قَالَتْ مَنْ حَدَّثَكَ أَنَّ مُحَمَّدًا صلى الله عليه وسلم رَأَى رَبَّهُ فَقَدْ كَذَبَ وَهْوَ يَقُولُ {لاَ تُدْرِكُهُ الأَبْصَارُ} وَمَنْ حَدَّثَكَ أَنَّهُ يَعْلَمُ الْغَيْبَ فَقَدْ كَذَبَ، وَهْوَ يَقُولُ لاَ يَعْلَمُ الْغَيْبَ إِلاَّ اللَّهُ.
Firman Allah: {عَالِمُ الْغَيْبِ فَلاَ يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا} “(Allah) Yang mengetahui perkara ghaib. Dia tidak menyatakan perkara ghaib kepada sesiapapun”
Sesungguhnya Allah pada-Nya jua ada pengetahuan tentang kiamat. Dia menurunkannya menurut ilmu-Nya. Tidak ada seorangpun wanita yang mengandung dan bersalin melainkan mengikut pengetahuan-Nya. Kepada-Nya jua dikembalikan pengetahuan tentang kiamat. . Abu Abdillah (Imam al-Bukhari) berkata, Yahya bin Ziad al-Farra’ berkata, “Yang mengetahui segala perkara yang zahir (yang nyata) dan yang mengetahui segala perkara yang tersembunyi (batin)”.
Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda, “Anak-anak kunci perkara ghaib itu ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah. Tidak ada yang mengetahui apa yang berkurang di dalam rahim kecuali Allah. Tidak ada yang mengetahui apa yang akan berlaku besok kecuali Allah, tidak ada yang mengetahui bila akan datang hujan kecuali Allah, tidak ada satu orang pun yang mengetahui di bumi mana dia akan mati kecuali Allah dan tidak ada yang mengetahui bilakah akan berlaku kiamat kecuali Allah”.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah beliau berkata, “Sesiapa yang menceritakan kepadamu bahawa Muhammad telah melihat tuhan-Nya maka sesungguhnya dia telah berdusta kerana Allah telah berfirman, mafhumnya, “Dia tidak dapat ditanggapi oleh penglihatan” dan sesiapa yang menceritakan kepadamu bahawa dia (Muhammad) mengetahui perkara ghaib maka sesungguhnya dia telah berdusta kerana Allah berfirman, “Tidak ada yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah”.
[Ringkasan] Firman Allah: {عَالِمُ الْغَيْبِ فَلاَ يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا} “(Allah) Yang mengetahui perkara ghaib. Dia tidak menyatakan perkara ghaib kepada sesiapapun”
1. Hanya Allah yang mengetahui perkara ghaib. Hanya Dia yang tahu bilakah akan berlaku kiamat. Dia juga menurunkan rezeki dan hujan dengan pengetahuan-Nya. Dia tahu segala-galanya. Dia tahu apa yang di dalam kandungan ibu. Dia tahu yang zahir (segala yang nyata) dan yang batin (segala yang tersembunyi, termasuk perkara yang belum wujud). Allah tahu sebelum sesuatu perkara itu ada dan tahu apa yang akan berlaku selepas kewujudannya.
2. ” ‘Alimul ghaib” (Yang Maha Mengetahui Perkara Ghaib), salah satu asma’ ul-husna (nama-nama Allah yang baik) yang bermaksud Allah yang tahu segala-galanya berbanding dengan manusia yang tahu hanya sedikit. Allah yang tahu bukan setakat di permukaan tetapi juga hikmat yang tersembunyi, baik buruk sesuatu perkara, untuk yang sekarang dan yang akan datang. Manusia boleh menjangka bila hujan akan turun tetapi kita tidak tahu apakah yang dibawa oleh hujan hari ini, dan apa pula yang dibawanya besok. Kita mungkin tahu jantina anak di dalam kandungan melalui teknologi “ultra-sound”, tetapi kita tidak tahu nanti apakah nasibnya di masa depan dan apakah kesudahan hidupnya. Allah yang ” ‘Alimul Ghaib” tahu semua ini dan Dia tidak memerlukan alat atau anggota.
3. Ilmu yang ada pada manusia terus berkembang menunjukkan ilmu kita adalah terbatas dan sentiasa akan ada ilmu-ilmu baru. Jin yang mengetahui sesuatu yang di sebalik dinding pun, adalah lemah dan tidak bersifat ” ‘Alimul Ghaib”. Hanya Allah yang memiliki ilmu ghaib, tidak pada malaikat atau nabi-nabi. Ilmu yang ada pada kita amat terbatas; jika sekiranya kita tahu anak yang dilahirkan bakal menyeksa kita suatu hari nanti, barangkali kita tidak membiarkan anak itu hidup. Begitu juga kita tidak tahu tentang bila, di mana dan bagaimana kita akan mati.
4. Aisyah r.ha berkata, sesiapa yang berkata Nabi pernah melihat Allah semasa hidupnya, adalah berdusta kerana ayat al-Quran dengan jelas mengatakan, “Dia (Allah) tidak dapat ditanggapi oleh penglihatan”, (Surah al-An’aam, ayat 103). Beliau juga berkata, sesiapa yang mengatakan Nabi tahu perkara ghaib adalah berdusta. Nabi hanya mengetahui perkara ghaib setakat yang diberitahu oleh Allah dan perkara yang diberitahu Allah bukan atas pilihan Nabi.
5. Dalam suatu kisah, seorang kafir telah mencabar Nabi supaya memberitahu di manakah untanya yang hilang sambil memperli Nabi yang bercakap tentang perkara ghaib seperti langit, wahyu dsb. tetapi tidak tahupun kemana untanya menghilang. Nabi s.a.w. memang tidak tahu dimana untanya berada tetapi kemudiannya Allah memberitahu Baginda. Semasa memberitahu orang kafir dimanakah untanya, Baginda menyatakan bahawa Baginda memang tidak tahu tentang perkara ghaib dan hanya tahu setelah diberitahu oleh Allah.
6. Ayat al-Quran menyatakan, Tuhan tidak memberitahu perkara ghaib kepada sesiapapun kecuali kepada mana-mana rasul yang Dia suka untuk memberitahunya (Surah Al-Jinn, ayat 26 & 27).
7. Kesimpulannya, ” ‘Alimul Ghaib”, ialah yang tahu segala-galanya, tahu tanpa menggunakan apa-apa alat atau anggota dan hanya Allah yang bersifat demikian
Firman Allah: {إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ} “Sesungguhnya Akulah yang memberi rezeki. Akulah yang mempunyai kekuatan yang teguh”
Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Musa al-Asy’ari bahawa beliau berkata Nabi s.a.w. bersabda, “Tidak ada sesiapapun yang lebih sabar menghadapi suatu perkara yang menyakiti yang mendengarnya lebih daripada Allah. Tidak ada sesiapapun yang lebih sabar daripada Allah dalam mendengar suatu yang tidak senang didengar. Mereka mendakwa Dia mempunyai anak tetapi Dia tetap mensejahterakan mereka dan memberi rezeki kepada mereka”.
[Ringkasan] Firman Allah: {إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ} “Sesungguhnya Akulah yang memberi rezeki. Akulah yang mempunyai kekuatan yang teguh”
1. Imam al-Bukhari menggunakan ayat al-Quran sebagai tajuk bab ini kerana dalam menetapkan aqidah ianya hendaklah berdalilkan sekurang-kurangnya hadith mutawatir (tidak memadai menggunakan hadith ahad), dan al-Quran itu mengatasi hadith mutawatir. Di dalam ayat ini (Surah Adh-Dhariyat, Ayat 58) Allah menyebut diri-Nya dengan nama sifat ar-Razzaq. Dari sini kita boleh simpulkan bahawa Allah mempunyai sifat-sifat.
2. Imam al-Bukhari ingin memberitahu bahawa sifat Allah itu banyak, salah satu sifat-Nya ialah “rahmat” yang tercermin dalam nama ar-Rahman, ar-Rahim, begitu juga ar-Razzaq, zul-Quwwah, al-Mateen dll.
3. Ar-Razzaq, tuhan yang bersifat sangat suka memberi rezeki, yang setiap masa memberi rezeki, bukan hanya sekali sekala. Rezeki yang diberi tidak habis-habis sama ada di dalam laut atau di atas darat, kepada binatang yang melata, burung, manusia dan lain-lain. Tidak ada makhluk yang melata di atas muka bumi ini melainkan Allah jamin rezekinya (Surah Hud, Ayat 6). Tetapi mengapa ada manusia yang kebuluran di dunia ini? “Menjamin rezeki” bermaksud, makanan atau rezeki yang disediakan Allah adalah cukup untuk semua orang, tetapi oleh kerana ianya tidak dikongsikan dengan adil menyebabkan ada yang tidak dapat. Sebagai contoh, orang yang tidak diberi minum air beberapa lama, walaupun sebenarnya air itu ada di sebelahnya, nescaya akan mati kehausan. Rezeki itu memang ada, cuma ada manusia yang menghalangnya dari sampai kepada seseorang.
4. Makanan, pakaian dsb. adalah cukup untuk keperluan semua manusia dan tidak sepatutnya manusia mati kebuluran atau terpaksa bertelanjang kerana tiada pakaian, lebih-lebih lagi di zaman ini di mana industri makanan dan pakaian berkembang amat maju. Peningkatan kualiti, kuantiti dan produktiviti adalah sebenarnya rezeki dari Allah tetapi jika tidak diuruskan dengan betul maka berlakulah kebuluran dan seumpamanya. Sebagai contoh. di depan kita ada makanan, tetapi jika kita enggan memakannya, kita tidak boleh menyalahkan tuhan kerana membiarkan kita lapar.
5. Allah menyediakan makanan yang cukup untuk kita, malah lebih banyak berbanding zaman dahulu. Jika ada lebihan makanan di suatu tempat, sepatutnya ianya diagihkan ke tempat yang kurang makanan. Tujuan Allah mengadakan ujian ini, adalah kerana Allah ingin melihat bagaimana manusia bertindak. Kalaulah manusia mempunyai sifat belas kasihan, simpati dan berperikemanusiaan, manusia akan berkongsi rezeki dengan saksama, tidak akan ada manusia yang mati kebuluran.
6. Apakah yang dimaksudkan dengan “rezeki”? Majoriti ulama’ berpendapat, apa-apa yang boleh dimanfaatkan oleh manusia berupa makanan atau lain-lain perkara adalah rezeki, tidak kira ianya halal atau haram (ini tidak bermakna kita dibenarkan untuk mencuri atau merompak). Contohnya, harimau memakan rusa, itu adalah rezeki untuknya, walaupun ianya nampak ganas dan menyeksakan.
Tetapi kita manusia mempunyai hukum dan syariat yang perlu dipatuhi. Jika kita patuh kepada syariat yang ditetapkan nescaya kita tidak akan tergelincir. Penganut agama Jainisme di India menutup hidung untuk menghalang kuman daripada masuk dan mati di dalam hidung! Atau penganut Hindu yang sanggup kelaparan dari memakan haiwan seperti ayam, burung atau kambing. Kita dapati syariat Allah itu adalah sesuai untuk kehidupan manusia, yang seimbang di segala segi. Di India, di mana syariat tidak diikenal oleh panganut Hindu, kita dapati manusia mati kebuluran walaupun makanan berupa haiwan amat banyak, kerana tidak mahu membunuh binatang gara-gara kononnya tidak ingin menganiaya binatang atau menganggap haiwan seperti lembu sebagai tuhan.
7. Allah bersifat sabar dan salah satu nama Allah ialah “as-Sabur” (Maha Penyabar). Allah tidak cepat menghukum atau membalas kejahatan manusia. Sebaliknya kita, sebagai manusia, akan cepat bertindak balas dan menghukum terhadap kesalahan atau sikap biadap terhadap kita untuk mengajar atau untuk membalas dendam terhadap orang tersebut. Allah tidak segera menghukum mereka yang menuduh Dia mempunyai anak dan isteri. Tetapi ini tidak bermakna Allah langsung tidak menghukum. Boleh jadi Allah menghukum manusia di atas dunia ini atau boleh jadi menghukumnya di akhirat. Oleh itu kadang-kadang kita dapati ada manusia yang derhaka yang hidup aman sejahtera dan tidak dihukum sampai mati, tetapi hendaklah kita berwaspada dengan hukuman-Nya di akhirat nanti.
حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ، أَخْبَرَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، عَنِ الأَعْمَشِ، عَنْ زَيْدِ بْنِ وَهْبٍ، وَأَبِي، ظَبْيَانَ عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “ لاَ يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لاَ يَرْحَمُ النَّاسَ ”. حَدَّثَنَا أَبُو النُّعْمَانِ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ، عَنْ عَاصِمٍ الأَحْوَلِ، عَنْ أَبِي عُثْمَانَ النَّهْدِيِّ، عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ، قَالَ كُنَّا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذْ جَاءَهُ رَسُولُ إِحْدَى بَنَاتِهِ يَدْعُوهُ إِلَى ابْنِهَا فِي الْمَوْتِ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ” ارْجِعْ فَأَخْبِرْهَا أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَمُرْهَا فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ ”. فَأَعَادَتِ الرَّسُولَ أَنَّهَا أَقْسَمَتْ لَتَأْتِيَنَّهَا، فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَقَامَ مَعَهُ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ وَمُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ، فَدُفِعَ الصَّبِيُّ إِلَيْهِ وَنَفْسُهُ تَقَعْقَعُ كَأَنَّهَا فِي شَنٍّ فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ فَقَالَ لَهُ سَعْدٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ ” هَذِهِ رَحْمَةٌ جَعَلَهَا اللَّهُ فِي قُلُوبِ عِبَادِهِ، وَإِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ ”.
Bab – Firman Allah, “Katakan: Serulah Allah ataupun serulah ar-Rahman yang mana saja (ataupun dengan nama manapun) kamu menyeru maka Dia mempunyai Nama-Nama Yang Baik”
Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukahri meriwayatkan daripada Jarir Bin Abdillah, beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah tidak mengasihani orang yang tidak mengasihani manusia”.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam al-Bukari meriwayatkan daripada Usamah bin Zaid, beliau berkata, pernah kami berada di samping Nabi s.a.w., tiba-tiba datang kepada Baginda utusan salah seorang anak perempuan Baginda untuk memanggil Nabi s.a.w. pergi menemui anak lelaki (kepada) anaknya (cucu Baginda) yang hampir mati, tetapi Nabi s.a.w. berkata kepada utusan itu, “Kembalilah! Ceritakan kepadanya (anaknya) bahawa Allah berhak mengambil apa yang mahu diambil-Nya dan berhak memberi apa yang mahu diberi-Nya (ataupun, sesungguhnya kepunyaan Allah jua apa yang diambil-Nya dan kepunyaan-Nya jua apa yang diberi-Nya). Dan segala sesuatu di sisi Allah mengikut jangka masa yang telah ditentukan. Oleh itu kamu suruhlah dia (anak perempuannya) supaya bersabar dan mengharapkan pahala daripada Allah. Namun begitu anak perempuannya itu mengembalikan pula utusan tadi dengan membawa kata-kata anaknya yang bersumpah, walaubagaimanapun (keadaanya) supaya Nabi datang juga kepadanya. Maka Nabi s.a.w. berdiri dan berdirilah bersama Baginda Saad bin Ubadah dan Muadz bin Jabal. Apabila sampai, diangkat anak itu kepada Nabi s.a.w. dalam keadaan nyawanya berbunyi “kath, kath” semacam nyawa itu berada di dalam gereba kulit yang usang. Melihat keadaan itu mengalirlah air mata Nabi s.a.w. Lantas Saad berkata kepada Nabi s.a.w., ‘Wahai Rasulullah! Apa ini?”, (kerana dia melihat Nabi s.a.w. menangis). Nabi s.a.w. bersabda, “Ini adalah rahmat (kesan belas kasihan) yang Allah letakkan di dalam hati hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah hanya mengasihani di kalangan hamba-Nya orang-orang yang tahu mengasihani orang lain”.
[Ringkasan] Firman Allah, “Katakan: Serulah Allah ataupun serulah ar-Rahman yang mana saja (ataupun dengan nama manapun) kamu menyeru maka Dia mempunyai Nama-Nama Yang Baik”
1. Kamu panggillah atau sebutlah nama Allah, ar-Rahman atau lain-lain nama Allah (Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Razzak dsb), semuanya dibolehkan. Allah mempunyai nama-nama yang baik (asma’ ul husna), Surah al-Israa’, ayat 110.
2. Imam al-Bukhari ingin membuktikan berdasarkan dalil-dalil bahawa Allah itu Esa, Esa di segi Zat-Nya dan Esa di segi sifat-sifat-Nya. Esa bermaksud tunggal, tiada yang lain serupa dengan-Nya. Contohnya dalam sifat mendengar dan melihat, Allah mendengar dan melihat tanpa memerlukan alat, keadaan atau angota tertentu. Allah mendengar dan melihat sesuatu yang tidak dapat dikesan oleh manusia. Zat-Nya, sayugianyalah adalah Esa, tidak berbilang, walaupun Dia mempunyai banyak sifat. Sifat-sifat-Nya yang banyak itu adalah Esa pada hakikatnya, di mana tiada yang lain serupa dengannya. Banyaknya sifat tidak menunjukkan banyak zat ataupun bila ada sifat maka zat itu perlu kepada sifat itu. Itulah yang dimaksudkan sebagai Allah tidak serupa dengan makluk-Nya. Adalah sesat golongan Muktazilah, Murjiah atau Jahmiyah dan mereka yang mengatakan Allah tidak mempunyai sifat. Mereka mengatakan jika Allah mempunyai sifat, ianya bermaksud tuhan itu banyak. Mereka mengatakan Allah mendengar dengan zat-Nya bukan dengan sifat-Nya.
3. Imam al-Bukhari ingin membuktikan bahawa Allah mendengar dengan sifat “mendengar”-Nya. Sifat “mendengar” Allah tidak dibuat oleh-Nya kemudian atau mengambilnya dari tempat lain atau sama jadi dengan-Nya (Allah adalah “sedia ada”, tidak ada permulaan, azali, maka ungkapan “sama jadi” adalah tidak sesuai bagi Allah kerana ianya menunjukkan Allah ada permulaan). SIfat Allah adalah bersekali dengan zat Allah, bukan sebelum itu tidak ada kemudiannya ada. Walaupun sifat Allah itu banyak, ianya tidak menunjukkan Allah itu banyak, sebagaimana adanya banyak sifat pada hanya seorang manusia.
4. Hanya nama “Allah” yang tidak mempunyai maksud sifaf kerana “Allah” bukan nama sifat. Adapun nama-nama lain adalah nama sifat (asma’ ul-sifat), bukan nama zat.
5. Bila kita sebut ar-Rahman atau ar-Rahim ianya merujuk kepada Allah, cuma kita sebut dengan sifat-Nya.
6. Maksud “Esa” dalam sifatnya ialah merujuk kepada tiada apa yang serupa dengan-Nya dalam sifat itu, dan sesekali tidak bermaksud Allah hanya ada satu sifat.
7. Ayat al-Quran ini (Surah al-Israa’, ayat 110) diturunkan kerana orang kafir Mekah memperolok-olokkan Nabi dengan mengatakan Nabi kononnya menyeru kepada tauhid (Tuhan yang Esa) padahal Nabi juga menyeru kepada tuhan yang banyak kerana banyaknya sifat yang ada pada Allah. Mereka tidak dapat memahami bahawa sifat Allah yang banyak itu adalah pada Zat yang satu (Esa).
8. Kita tidak boleh memikirkan sendiri apakah zat atau sifat-sifat Allah itu kecuali setakat apa yang diberitahu oleh Allah. Sifat-sifat Allah itu tidak kita “ta’til”kan (membuang makna yang terkandung di dalam sifat itu, contohnya seperti menukar sifat “melihat” Allah dengan mengatakan ianya bermaksud “mengetahui”). KIta juga tidak men”tasybih”kan Allah, iaitu tidak menyerupakan Allah dengan makhluk, contohnya bila kita kata Allah “melihat”, cara Allah melihat tidak sama sebagaimana makhluk melihat.
9. Semua nama Allah atau nama sifat-sifat-Nya semuanya adalah baik, kerana Allah sendiri mengatakan ianya elok. Kita sebut nama Allah (sifat-sifat Allah) yang sesuai dengan apa yang ingin kita minta dari Allah, contohnya jika kita hendak minta rezeki, kita sebutlah, “ar-Razzak”, jika kita ingin Allah menutup kesalahan kita, kita sebutlah, “Ya Sattar” atau “Ya Tawwab”.
10. Allah sebutkan di dalam ayat ini sifat-sifat-Nya sebagai “nama” sedangkan ianya adalah sifat. Ini menunjukkan Allah ada “Nama Sifat”. Oleh itu, ulama’ membuat kesimpulan bahawa Allah ada “Nama Zat” dan “Nama Sifat”.
11. Hadith pertama menyebut, Allah tidak mengasihani orang yang tidak mengasihani manusia. Sifat “Rahmat” (ar-Rahman dan ar-Rahim) itu luas. [Nota: Ulama’ kemudiannya membahagikan sifat Allah kepada sifat zat dan sifat af”al (perbuatan)].
12. “Mengasihani” adalah sifat “Rahmat” Allah. Sifat rahmat Allah adalah amat luas, sebagaimana disebut dalam hadith bahawa rahmat Allah terdapat pada semua perkara. Contohnya, sifat rahmat Allah kepada haiwan yang tidak berakal di mana diberikan rasa kasihan ibu haiwan kepada anaknya. Atau, contoh lain, ada hidupan yang dapat hidup di dalam batu, di mana ia dijamin rezekinya. Adalah didapati rahmat Allah ada pada semua perkara, sama ada ianya secara nyata (zahir) atau tidak.
13. Allah inginkan kita supaya bersifat sedemikian (mengasihani) walaupun tidak sempurna. Sesiapa yang mempunyai semakin banyak (mendalam) bayangan sifat Allah, maka semakin sempurna seseorang itu.
14. Ulama’ membahagikan sifat Allah kepada sifat Jamal dan sifat “Jalal”. Sifat Jamal ialah sifat lemah lembut seperti “mengasihani” dsb dan sifat Jalal ialah sifat keras seperti mengadakan gempa bumi, kiamat dsb.
15. Orang yang tidak mengasihani manusia, Allah tidak akan mengasihaninya (tidak dirahmati Allah). Jika seseorang itu tidak dirahmati Allah, nescaya sengsaralah hidupnya. Mereka boleh hidup dengan diberi rezeki oleh Allah berupa makanan, kesihatan dan harta. Tetapi bila seseorang itu jauh dari rahmat Allah, kesannya banyak pada rohaninya. Walaupun badannya sihat tetapi jiwanya sakit, dan jiwanya tidak condong kepada berbuat kebaikan, tidak terbuka fikirannya untuk itu. Bila seseorang dimurkai Allah, dia tidak mengerti apa implikasi dan kesan dari perbuatannya dan dia hilang sifat kemanusiannya. Contohnya orang-orang Yahudi, bila mereka melanggar perintah Allah, mereka jauh dari rahmat Allah, ketika itulah mereka membunuh nabi-nabi. Pada zahirnya mereka nampak lebih maju dan lebih kaya daripada orang lain tetapi pada hakikatnya mereka seolah-olah tidak mempunyai sifat kemanusiaan. Hakikatnya, mereka pun terkesan jika sesuatu yang buruk berlaku kepada ahli keluarga mereka. Mereka tidak dapat kaitkan kesedihan dan kepedihan yang dialami mereka bila berinteraksi dan menzalimi orang lain. Pernyataan tidak kasihannya Allah kepada sesorang manusia dizahirkan dalam berbagai bentuk, sebagaimana dizahirkan kepada orang Yahudi yang zalim, yang jika diberi harta mereka menggunakannya di jalan yang dimurkai Allah.
16. Hadith Kedua – Anak perempuan Nabi s.a.w. Zainab menghantar utusan kepada Nabi untuk memberitahu bahawa cucu Baginda hampir meninggal dunia. Nabi meminta utusan itu kembali seraya memesan supaya memberitahu anaknya bahawa apa yang diberi atau diambil oleh Allah adalah semuanya milik Allah, semuanya pinjaman dari Allah. Segalanya mengikiut ketentuan (taqdir) dari Allah. Utusan itu kembali tetapi Zainab r.ha. bersumpah supaya Nabi datang juga kerana anaknya sedang tenat, barulah Nabi pergi kepadanya. Keenganan Nabi pergi pada mulanya bukan bermaksud bahawa Nabi tidak menyayangi anak cucunya tetapi disebabkan kekangan tanggungjawab yang lebih penting. Tetapi apabila didesak, Baginda pun pergi memenuhi permintaan anaknya. Bila sampai, cucunya diangkat kepadanya dalam keadaan nafasnya tersekat-sekat. Nabi mengalirkan air mata melihat keadaan itu. Sahabat yang mengiringi Baginda, Saad bin Ubadah berkata kepada Nabi, “Apa ini?”, seolah-olah mempersoalkan Nabi mengapa Nabi menangis sedangkan Baginda selalu menasihati Sahabat-Sahabat supaya bersabar ketika meghadapi musibah. Dia menganggap bersabar itu bermaksud tidak mempunyai perasaan atau apa-apa emosi terhadap apa yang berlaku. Nabi membetulkannya dengan mengatakan, “Inilah kesan dari sifat rahmat dan kasihan belas yang Allah letak ke dalam hati hamba-hamba-Nya”. Sifat ini adalah milik Allah tetapi dia beri juga kepada hamba-hamba-Nya. Bila sedih manusia akan mengalirkan air mata dan ini tidak bermakna seseorang itu tidak sabar atau meratap. Yang tidak dibenarkan ialah meratap seperti meraung. Islam mengajar kesederhanaan dalam semua perkara.
17. Kita dapati orang-orang Islam selalu tenang dalam menghadapi masalah dan musibah seperti kematian. Kita diajar oleh Nabi supaya jangan terlampau mengikut perasaan dan jangan terlalu keras hati, tidak langsung mempunyai perasaan. Kita diberi peluang untuk bersuka ria dengan adanya ibadat-ibadat seperti aqiqah, korban dan walimatul urus tetapi ini tidak bermakna kita sentiasa isi hidup kita dengan pesta makanan.
18. Allah mengasihani hamba-hamba-Nya yang mengasihani orang lain. Jika Allah tidak mengasihani seseorang, ianya tidak bermakna tiada langsung rahmat Allah kepadanya. Dia tetap diberikan rezeki seperti makan minum dan kesihatan tubuh badan, tetapi dia tidak memperolehi perkara yang lebih penting dalam hidup ini seperti sifat sukakan kebaikan dan bencikan kejahatan.
19. Islam mengajar supaya mengasihani semua makhluk termasuk haiwan. Perhatikan bagaimana kisah seorang wanita yang dimasukkan ke dalam neraka kerana mengurung kucing tanpa memberi makanan kepadanya sehingga mati. Juga kisah bagaimana serang perempuan dimasukkan ke dalam syurga kerana memberi minum anjing yang dahaga walaupun dia seorang pelacur.
20. Perhatikan hadith Nabi yang bermaksud, “Kamu kasihanilah apa yang ada di muka bumi, nanti tuhan yang di langit akan mengasihani kamu”. Ingatlah bahawa “apa yang ada di bumi” bukan hanya manusia tetapi termasuk juga haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Bab – Perkara-perkara Yang Menyebabkan Seseorang Merasai Kemanisan Iman Anas meriwayatkan Nabi s.a.w. bersabda, “Tiga pekara jika ada pada seseorang tentu dia akan merasai kemanisan iman. Pertama, orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi kecintaannya kepada selain keduanya. Kedua, orang yang mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan ketiga, orang yang tidak suka kembali kepada kekufuran setelah dia diselamatkan oleh Allah sebagaimana dia tidak suka dilemparkan ke dalam api”.
[RINGKASAN] Perkara-perkara Yang Menyebabkan Seseorang Merasai Kemanisan Iman
TINJAUAN UMUM
1. Jika ada tiga sifat ini, seseorang akan merasai kemanisan iman, iaitu, mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi dari yang lain, mencintai seseorang kerana Allah dan Rasul dan benci untuk kembali kepada kekufuran.
2. Perasaan cinta dan benci kerana Allah ini berkait rapat dengan tahap iman seseorang sebagaimana deria rasa fizikal kita berkait rapat dengan kesihatan jasmani kita. Seseorang yang sakit, misalnya, tidak rasa manis atau masin sesuatu makanan sebagaimana orang yang sihat merasainya.
3. Rohani yang tidak sihat akan menghalang seseorang dari memenuhi tuntutan iman dan merasai kemanisan iman. Bandingkan iman di zaman Sahabat, di mana kekuatan iman mereka menyebabkan ajaran agama dilaksanakan secara spontan dan mudah.
4. Ulama’ berbeza pendapat tentang maksud “kemanisan iman”. Ada yang berpendapat ianya adalah kemanisan yang dirasai bila dapat beribadat dan melakukan ketaatan kepada Allah. Juga kegembiraan dapat mengatasi kesukaran dalam menegakkan agama Allah dan beribadat kepada Allah dan dapat mengutamakan kepentingan akhirat berbanding dunia .
5. Tetapi jika sebaliknya kita merasakan perkara dunia adalah lebih penting dari perkara akhirat, kemanisan iman tidak akan timbul dalam jiwa kita.
6. Penyakit hati menyebabkan kita lesu dan malas untuk melaksanakan tuntutan agama, tetapi jika ditekan nafsu kita, kita akan berjaya sebagaimana berjayanya orang yang sakit sembuh dari penyakit bila makan ubat, walaupun dia tidak suka makan ubat.
7. Adakah “kemanisan iman” dapat dirasai oleh deria kita atau hanya wujud di segi makna (abstrak)? Ada yang berpendapat ianya adalah perkara “abstrak” dan tidak dapat dikesan oleh deria rasa. Yang ada adalah “kesan-kesannya” dari tingkah laku seseorang seperti keyakinan yang kukuh terhadap kepercayaannya, patuh kepada perkara yang diimaninya dan rasa seronok dan lazat bila melaksanakan perintah-perintah Allah. Pendapat lain (dan yang lebih tepat) ialah kemanisan iman dapat dirasai oleh deria batin. Ini dibuktikan oleh perisitiwa Sahabat Nabi yang dipanah dengan tiga anak panah ketika sedang bersembahyang. Beliau r.a. tidak berhenti dari sembahyang kerana rasa lazatnya membaca ayat al-Quran dalam sembahyang menenggelamkan kesakitan dari luka kena panah.
INTISARI DARI HADITH
1. Mencintai Allah bermaksud sentiasa mentaati-Nya dan tidak menderhakai-Nya. Mencintai Rasulullah pula ialah sentiasa berpegang teguh dengan syariat yang dibawa Baginda, di samping taat dan patuh kepadanya. Rujuk Surah ali-Imran, ayat 31 yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku…)”.
2. Perlu diingat bahawa mencintai Rasulullah s.a.w. bukan dengan memakai logo capal, berqasidah dan mengagungkan apa-apa yang tidak sahih dari Nabi atau amalan-amalan seumpamanya sebagaimana amalan sebahagian umat Islam masa kini.
3. Mencintai seseorang kerana Allah menjadi tuntutan agama disebabkan faktor seperti taatnya seseorang itu kepada Allah, ilmu agamanya yang tinggi yang dapat memanfaatkan masyarakat dan budi pekertinya yang tinggi. Ianya tidak didorong oleh faktor duniawi seperti kekayaan, pangkat dan kedudukan atau kecantikan. Begitu juga sebaliknya, faktor membenci seseorang adalah kerana kederhakaannya kepada Allah.
4. Imam Malik mengatakan mencintai kerana Allah adalah suatu yang wajib.
5. Kasih dan benci kepada seseorang kerana Allah adalah kesan dari sifat yang pertama iaitu mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi dari yang lain.
6. Kedua-dua sifat di atas akan menimbulkan pula sifat ketiga iaitu benci kembali (atau menjadi) kufur.
7. Oleh itu, yang paling penting ialah usahakan supaya mencapai sifat yang utama iaitu mencintai Allah dan Rasul melebihi dari yang selainnya.
8. Allah menyelamatkan manusia dari kekufuran dengan dua cara iaitu ,
i) dengan melahirkan seseorang di dalam keluarga Islam dan menghidupkannya sebagai orang Islam sehingga mati, dan,
ii) mendorongnya supaya memeluk agama Islam dan tidak kembali kepada kekufuran.