VIDEO – [Durasi – 14m 47s] – [TAUHID] -Siri 6-Seruan Nabi akan umat kepada mentauhidkan Allah, maha berkat Nama-Nama -Nya [Hadis]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/edFBc22_vjA ]
Video penuh asal – • Sesi 1 – Sanggahan Terhadap al-Jahmiyyah D… ] Sahih al-Bukhari (Kitab Tauhid)
[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
SERUAN NABI AKAN UMAT KEPADA MENTAUHIDKAN ALLAH, MAHA BERKAT NAMA-NAMA-NYA DAN MAHA TINGGI KEAGUNGAN-NYA
باب مَا جَاءَ فِي دُعَاءِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أُمَّتَهُ إِلَى تَوْحِيدِ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَلَى
حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ، حَدَّثَنَا زَكَرِيَّاءُ بْنُ إِسْحَاقَ، عَنْ يَحْيَى بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ صَيْفِيٍّ، عَنْ أَبِي مَعْبَدٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، رضى الله عنهما أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم بَعَثَ مُعَاذًا إِلَى الْيَمَنِ.
وَحَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي الأَسْوَدِ، حَدَّثَنَا الْفَضْلُ بْنُ الْعَلاَءِ، حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ أُمَيَّةَ، عَنْ يَحْيَى بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ صَيْفِيٍّ، أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا مَعْبَدٍ، مَوْلَى ابْنِ عَبَّاسٍ يَقُولُ سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ، يَقُولُ لَمَّا بَعَثَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مُعَاذًا نَحْوَ الْيَمَنِ قَالَ لَهُ “ إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى فَإِذَا عَرَفُوا ذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي يَوْمِهِمْ وَلَيْلَتِهِمْ، فَإِذَا صَلُّوا فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ زَكَاةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ غَنِيِّهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فَقِيرِهِمْ، فَإِذَا أَقَرُّوا بِذَلِكَ فَخُذْ مِنْهُمْ وَتَوَقَّ كَرَائِمَ أَمْوَالِ النَّاسِ ”.
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، حَدَّثَنَا غُنْدَرٌ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ أَبِي حَصِينٍ، وَالأَشْعَثِ بْنِ سُلَيْمٍ، سَمِعَا الأَسْوَدَ بْنَ هِلاَلٍ، عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ، قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ” يَا مُعَاذُ أَتَدْرِي مَا حَقُّ اللَّهِ عَلَى الْعِبَادِ ”. قَالَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ ” أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلاَ يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا، أَتَدْرِي مَا حَقُّهُمْ عَلَيْهِ ”. قَالَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ ” أَنْ لاَ يُعَذِّبَهُمْ ”
حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، حَدَّثَنِي مَالِكٌ ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي صَعْصَعَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، أَنَّ رَجُلاً، سَمِعَ رَجُلاً، يَقْرَأُ {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} يُرَدِّدُهَا، فَلَمَّا أَصْبَحَ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَ لَهُ ذَلِكَ، وَكَأَنَّ الرَّجُلَ يَتَقَالُّهَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّهَا لَتَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ ”. زَادَ إِسْمَاعِيلُ بْنُ جَعْفَرٍ عَنْ مَالِكٍ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، أَخْبَرَنِي أَخِي، قَتَادَةُ بْنُ النُّعْمَانِ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم..
Seruan Nabi akan umat kepada mentauhidkan Allah, maha berkat Nama-Nama-Nya dan maha tinggi Keagungan-Nya
Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa Nabi s.a.w. telah menghantar Mu’adz Bin Jabal ke Yaman.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari dari Aba Ma’bad, maula kepada Ibnu Abbas, berkata: Aku telah mendengar Ibnu Abbas berkata, ketika Nabi s.a.w. mahu menghantarkan Mu’adz bin Jabal kepada penduduk Yaman, Baginda s.a.w. bersabda kepadanya, “Sesungguhnya engkau akan pergi kepada satu golongan ahli kitab, maka hendaklah perkara yang pertama yang engkau seru mereka ialah supaya mereka mentauhidkan Allah. Apabila mereka telah mengenal tauhid itu maka kamu ceritakanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka lima sembahyang dalam sehari semalam. Bila mereka telah sembahyang maka ceritakanlah bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka zakat pada harta benda mereka di mana diambil harta itu daripada orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang fakir di kalangan mereka. Bila mereka sudah menerima itu maka engkau ambillah daripada mereka dan kamu hindarilah daripada mengambil harta-harta orang yang terbaik sahaja”.
Hadith Ketiga – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Mu’adz bIn Jabal beliau berkata Nabi s.a.w. pernah bersabda (kepadanya), “Wahai Mu’adz, tahukah engkau, apakah hak Allah terhadap hamba-hamba-Nya”. Beliau menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Nabi s.a.w. bersabda, “Iaitu mereka menyembah-Nya dan tidak menyengutukan apa-apa dengan-Nya. Kamu tahukah apakah hak mereka terhadap-Nya (Allah)?”. Mu’adz berkata, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui, (Nabi bersabda), “Iaitu, Dia tidak menyeksa mereka”.
Hadith Keempat – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Said al-Khudri bahawa ada seorang lelaki mendengar seorang lelaki yang lain membaca “Qulhuwallahuahad”. Dia mengulangi membaca surah itu. Bila tiba keesokan paginya orang itu pergi kepada Nabi s.a.w. Dia pun menyebutkan perkara tadi kepada Baginda, semacam orang itu menganggap bacaannya itu sedikit. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi tuhan yang nyawaku berada di Tangan-Nya. Sesungguhnya “Qulhuwallahuahad” (ataupun surah itu) benar-benar menyamai satu pertiga al-Quran”. Dengan sanad satu lagi, Imam al-Bukhari menyebut Abi Said al-Khudri berkata,”Saudaraku Qatadah Ibnu Nu’man menceritakan kepadaku daripada Nabi s.a.w.”.
Hadith Kelima – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Amrah binti Abdurrahman. Dia adalah anak angkat Aishah r.ha, membesar dalam haribaan Aishah, isteri Nabi s.a.w. Daripada Aishah bahawa Nabi s.a.w. telah mengutuskan seorang lelaki memimpin satu kumpulan tentera dan orang itu membaca di dalam sembahyang apabila menjadi imam kepada sahabat-sahabatnya disudahi bacaannya dengan Qulhuwallahuahad. Bila mereka pulang mereka menyebutkan perkara itu kepada Nabi s.a.w. Nabi s.a.w. pun bersabda, “Kamu tanyalah dia kenapa dia melakukan begitu”. Mereka pun bertanya, dia menjawab, “Kerana ada di dalam surah itu sifat ar-Rahman dan saya suka membacanya”. Lantas Nabi s.a.w. bersabda, “Kamu beritahu kepadanya bahawa Allah mengasihinya”.
[Ringkasan] Seruan Nabi akan umat kepada mentauhidkan Allah, maha berkat Nama-Nama-Nya dan maha tinggi Keagungan-Nya
1. Nabi menyeru umatnya kepada tauhid kepada Allah. Tauhid (Keesaan Allah) adalah perkara asas yang paling utama dan paling penting dari ajaran Nabi s.a.w.
2. Hadith Kedua – Nabi s.a.w. memerintahkan supaya perkara pertama Mu’adz Bin Jabal beritahu kepada penduduk Yaman yang terdiri dari ahli kitab ialah tentang tauhid kepada Allah. Inilah ajaran Islam yang paling penting. Apabila mereka sudah tahu tentang tauhid kepada Allah (sudah mengenali Allah) maka beritahulah mereka perkara-perkara seterusnya. Inilah dalil bahawa perkara yang pertama yang wajib kita ketahui ialah makrifat (mengenal) Allah. Semua perintah yang ditaati dan larangan yang ditinggalkan tidak diterima kecuali kita kenal siapa yang menyuruh atau melarangnya (Allah). Tetapi ini tidak bermakna kita perlu tahu secara terperinci dahulu tentang Allah baru boleh melakukan ibadat seperti sembahyang. Hadith ini hanya menunjukkan tertib keutamaan apa yang perlu diajar dan perlu diketahui oleh seseorang Islam.
3. Kemuncak amalan selepas mengenali Allah ialah menunaikan sembahyang, dan ini adalah merupakan amalan peribadi setiap individu. Amalan yang utama berkaitan dengan masyarakat ialah zakat. Adalah penting bahawa amalan-amalan ini dilakukan dalam keadaan kita tahu kaifiatnya dan faham matlamatnya. Amalan-amalan ini perlu diberitahu dan difahamkan kepada setiap orang Islam sebelum diperintahkan melakukannya.
4. Nabi memerintahkan Mu’adz supaya tidak mengambil harta yang terbaik yang dimiliki oleh orang yang mengeluarkan zakat. Tetapi hendaklah diambil harta yang sederhana mutunya kerana ini lebih adil kepada pihak yang mengeluarkan dan menerima zakat.
5. Hadith ketiga – Hak Allah terhadap hamba-hamba-Nya ialah hamba itu hendaklah menyembah-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya (iaitu beribadat dengan mentauhidkan-Nya). Apa yang Allah jamin untuk hamba-Nya ialah tidak menyeksa mereka apabila mereka tidak melakukan syirik kepada Allah. Untuk orang beriman yang melakukan dosa dan maksiat kepada Allah, mereka mungkin diseksa dahulu tetapi mereka dijamin tidak akan diseksa selama-lamanya (berkekalan). Maksud lain dari sabda Nabi ini ialah sekiranya seseorang itu benar-benar bertauhid mereka tidak akan melakukan dosa dan maksiat dengan sengaja, oleh itu terselamat dari seksaan Allah. Betapa ramai Sahabat-Sahabat Nabi yang dijamin masuk syurga tanpa hisab, yang dijamin tidak diseksa terlebih dahulu.
6. Hadith keempat – Ada Sahabat Nabi s.a.w. yang mengulang-ulang membaca Qulhuwallahuahad (Surah al-Ikhlas). Nabi memberitahu bahawa (walaupun surah ini pendek) ianya menyamai satu pertiga al-Quran. Surah ini mengandungi ajaran tentang tauhid dan maknanya menyamai satu pertiga al-Quran. Ada ulama’ yang mengatakan ianya satu pertiga dari al-Quran kerana tauhid adalah merupakan satu pertiga dari isi al-Quran. Al-Quran mengandungi ajaran aqidah (tauhid kepada Allah), tentang nabi-nabi yang membawa agama ini dan yang ketiga tentang akhirat dan kehidupan selepas mati. Pendapat lain ialah kandungan al-Quran itu adalah tentang aqidah (tentang Allah, nabi-nabi dll), hukum hakam dan kehidupan selepas mati. Aqidah Islam adalah termasuk tentang nabi-nabi kerana dengan memahami kedudukan nabi-nabi kita orang Islam tidak mungkin menyamakan Nabi dengan Allah seperti yang berlaku kepada agama-agama lain (contohnya, penganut agama Hindu dan Budha yang membuat patung-patung yang mewakili nabi-nabi mereka lalu menyembahnya, atau orang Kristian yang menjadikan Nabi Isa sebagai anak tuhan).
7. Hadith kelima – Seorang Sahabat yang menjadi ketua angkatan perang menyudahkan bacaan dalam sembahyang dengan Surah al-Ikhlas (Qulhuwallahuahad). Sahabat yang lain bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang perkara ini. Nabi meminta dia bertanya sendiri kepada Sahabat tersebut mengapa beliau berbuat demikian. Sahabat tersebut memberitahu bahawa dia kasih kepada Allah dan dengan menyebut sifat-sifat Allah akan menggembirakannya. Nabi bersabda, Allah juga kasih kepadanya. Ini bermaksud, orang yang kasih kepada Allah, Allah juga mengasihinya. Kesimpulannya, Surah al-Ikhlas mempunyai kelebihan kerana berbicara tentang tauhid. Oleh sebab itu, Surah al-Ikhlas ini dikenali juga sebagai Surah at-Tauheed.
