VIDEO – [Durasi – 10m 21s] – [TAUHID] – Siri 3- Sesungguhnya Allahlah yang memberi rezeki. Dia yang mempunyai kekuatan yang teguh
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/-TqWx3F3oX8 ]
Video penuh asal – • Sesi 2 – Serukanlah Nama ”Allah” Atau N… ] Sahih al-Bukhari (Kitab Tauhid)
[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
بَابُ قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى: {إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ}
حَدَّثَنَا عَبْدَانُ، عَنْ أَبِي حَمْزَةَ، عَنِ الأَعْمَشِ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ السُّلَمِيِّ، عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ، قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم “ مَا أَحَدٌ أَصْبَرُ عَلَى أَذًى سَمِعَهُ مِنَ اللَّهِ، يَدَّعُونَ لَهُ الْوَلَدَ، ثُمَّ يُعَافِيهِمْ وَيَرْزُقُهُمْ ”.
Firman Allah: {إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ} “Sesungguhnya Akulah yang memberi rezeki. Akulah yang mempunyai kekuatan yang teguh”
Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Musa al-Asy’ari bahawa beliau berkata Nabi s.a.w. bersabda, “Tidak ada sesiapapun yang lebih sabar menghadapi suatu perkara yang menyakiti yang mendengarnya lebih daripada Allah. Tidak ada sesiapapun yang lebih sabar daripada Allah dalam mendengar suatu yang tidak senang didengar. Mereka mendakwa Dia mempunyai anak tetapi Dia tetap mensejahterakan mereka dan memberi rezeki kepada mereka”.
[Ringkasan] Firman Allah: {إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ} “Sesungguhnya Akulah yang memberi rezeki. Akulah yang mempunyai kekuatan yang teguh”
1. Imam al-Bukhari menggunakan ayat al-Quran sebagai tajuk bab ini kerana dalam menetapkan aqidah ianya hendaklah berdalilkan sekurang-kurangnya hadith mutawatir (tidak memadai menggunakan hadith ahad), dan al-Quran itu mengatasi hadith mutawatir. Di dalam ayat ini (Surah Adh-Dhariyat, Ayat 58) Allah menyebut diri-Nya dengan nama sifat ar-Razzaq. Dari sini kita boleh simpulkan bahawa Allah mempunyai sifat-sifat.
2. Imam al-Bukhari ingin memberitahu bahawa sifat Allah itu banyak, salah satu sifat-Nya ialah “rahmat” yang tercermin dalam nama ar-Rahman, ar-Rahim, begitu juga ar-Razzaq, zul-Quwwah, al-Mateen dll.
3. Ar-Razzaq, tuhan yang bersifat sangat suka memberi rezeki, yang setiap masa memberi rezeki, bukan hanya sekali sekala. Rezeki yang diberi tidak habis-habis sama ada di dalam laut atau di atas darat, kepada binatang yang melata, burung, manusia dan lain-lain. Tidak ada makhluk yang melata di atas muka bumi ini melainkan Allah jamin rezekinya (Surah Hud, Ayat 6). Tetapi mengapa ada manusia yang kebuluran di dunia ini? “Menjamin rezeki” bermaksud, makanan atau rezeki yang disediakan Allah adalah cukup untuk semua orang, tetapi oleh kerana ianya tidak dikongsikan dengan adil menyebabkan ada yang tidak dapat. Sebagai contoh, orang yang tidak diberi minum air beberapa lama, walaupun sebenarnya air itu ada di sebelahnya, nescaya akan mati kehausan. Rezeki itu memang ada, cuma ada manusia yang menghalangnya dari sampai kepada seseorang.
4. Makanan, pakaian dsb. adalah cukup untuk keperluan semua manusia dan tidak sepatutnya manusia mati kebuluran atau terpaksa bertelanjang kerana tiada pakaian, lebih-lebih lagi di zaman ini di mana industri makanan dan pakaian berkembang amat maju. Peningkatan kualiti, kuantiti dan produktiviti adalah sebenarnya rezeki dari Allah tetapi jika tidak diuruskan dengan betul maka berlakulah kebuluran dan seumpamanya. Sebagai contoh. di depan kita ada makanan, tetapi jika kita enggan memakannya, kita tidak boleh menyalahkan tuhan kerana membiarkan kita lapar.
5. Allah menyediakan makanan yang cukup untuk kita, malah lebih banyak berbanding zaman dahulu. Jika ada lebihan makanan di suatu tempat, sepatutnya ianya diagihkan ke tempat yang kurang makanan. Tujuan Allah mengadakan ujian ini, adalah kerana Allah ingin melihat bagaimana manusia bertindak. Kalaulah manusia mempunyai sifat belas kasihan, simpati dan berperikemanusiaan, manusia akan berkongsi rezeki dengan saksama, tidak akan ada manusia yang mati kebuluran.
6. Apakah yang dimaksudkan dengan “rezeki”? Majoriti ulama’ berpendapat, apa-apa yang boleh dimanfaatkan oleh manusia berupa makanan atau lain-lain perkara adalah rezeki, tidak kira ianya halal atau haram (ini tidak bermakna kita dibenarkan untuk mencuri atau merompak). Contohnya, harimau memakan rusa, itu adalah rezeki untuknya, walaupun ianya nampak ganas dan menyeksakan.
Tetapi kita manusia mempunyai hukum dan syariat yang perlu dipatuhi. Jika kita patuh kepada syariat yang ditetapkan nescaya kita tidak akan tergelincir. Penganut agama Jainisme di India menutup hidung untuk menghalang kuman daripada masuk dan mati di dalam hidung! Atau penganut Hindu yang sanggup kelaparan dari memakan haiwan seperti ayam, burung atau kambing. Kita dapati syariat Allah itu adalah sesuai untuk kehidupan manusia, yang seimbang di segala segi. Di India, di mana syariat tidak diikenal oleh panganut Hindu, kita dapati manusia mati kebuluran walaupun makanan berupa haiwan amat banyak, kerana tidak mahu membunuh binatang gara-gara kononnya tidak ingin menganiaya binatang atau menganggap haiwan seperti lembu sebagai tuhan.
7. Allah bersifat sabar dan salah satu nama Allah ialah “as-Sabur” (Maha Penyabar). Allah tidak cepat menghukum atau membalas kejahatan manusia. Sebaliknya kita, sebagai manusia, akan cepat bertindak balas dan menghukum terhadap kesalahan atau sikap biadap terhadap kita untuk mengajar atau untuk membalas dendam terhadap orang tersebut. Allah tidak segera menghukum mereka yang menuduh Dia mempunyai anak dan isteri. Tetapi ini tidak bermakna Allah langsung tidak menghukum. Boleh jadi Allah menghukum manusia di atas dunia ini atau boleh jadi menghukumnya di akhirat. Oleh itu kadang-kadang kita dapati ada manusia yang derhaka yang hidup aman sejahtera dan tidak dihukum sampai mati, tetapi hendaklah kita berwaspada dengan hukuman-Nya di akhirat nanti.
