[SEMBAHYANG] – Siri 2 – (Waktu Sembahyang) – Tentang Waktu-Waktu Sembahyang

VIDEO – [Durasi – 15m 14s] – [SEMBAHYANG] – Siri 2 – (Waktu Sembahyang) – Tentang Waktu-Waktu Sembahyang

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/FFGPzEvxyMc ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Fardhu Sembahyang – [Sunan Abi Da…   Sunan Abi Daud (Kitab Sembahyang]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH https://syarahanhadits.school.blog/hadith-…. ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب فِي الْمَوَاقِيتِ

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ سُفْيَانَ، حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ فُلاَنِ بْنِ أَبِي رَبِيعَةَ، – قَالَ أَبُو دَاوُدَ هُوَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ الْحَارِثِ بْنِ عَيَّاشِ بْنِ أَبِي رَبِيعَةَ – عَنْ حَكِيمِ بْنِ حَكِيمٍ، عَنْ نَافِعِ بْنِ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ أَمَّنِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ عِنْدَ الْبَيْتِ مَرَّتَيْنِ فَصَلَّى بِيَ الظُّهْرَ حِينَ زَالَتِ الشَّمْسُ وَكَانَتْ قَدْرَ الشِّرَاكِ وَصَلَّى بِيَ الْعَصْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَهُ وَصَلَّى بِيَ – يَعْنِي الْمَغْرِبَ – حِينَ أَفْطَرَ الصَّائِمُ وَصَلَّى بِيَ الْعِشَاءَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ وَصَلَّى بِيَ الْفَجْرَ حِينَ حَرُمَ الطَّعَامُ وَالشَّرَابُ عَلَى الصَّائِمِ فَلَمَّا كَانَ الْغَدُ صَلَّى بِيَ الظُّهْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَهُ وَصَلَّى بِيَ الْعَصْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَيْهِ وَصَلَّى بِيَ الْمَغْرِبَ حِينَ أَفْطَرَ الصَّائِمُ وَصَلَّى بِيَ الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ وَصَلَّى بِيَ الْفَجْرَ فَأَسْفَرَ ثُمَّ الْتَفَتَ إِلَىَّ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ هَذَا وَقْتُ الأَنْبِيَاءِ مِنْ قَبْلِكَ وَالْوَقْتُ مَا بَيْنَ هَذَيْنِ الْوَقْتَيْنِ ‏”‏ ‏.‏

Tentang Waktu-Waktu Sembahyang .

Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan dari Ibnu Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jibril telah menjadi imam kepadaku dekat Baitillah dua kali. Beliau bersembahyang zohor dengan aku ketika matahari telah tergelincir dan bayangnya telah pun ada sekadar sepanjang tali kasut dan beliau bersembahyang asar denganku ketika mana bayang seseorang itu telah menjadi sama panjang dengannya dan beliau bersembahyang maghrib denganku ketika mana orang yang berpuasa berbuka puasa. Beliau bersembahyang isya’ denganku ketika telah lenyap syafak dan bersembahyang fajar denganku ketika mana telah haram makanan dan minuman kepada orang yang berpuasa. Pada keesokannya beliau bersembahyang denganku zohor ketika bayang seseorang menjadi sama panjang dengan dirinya dan bersembahyang asar denganku ketika mana bayang seseorang telah menjadi dua kali ganda panjangnya dan bersembahyang maghrib denganku ketika mana orang yang berpuasa telah berbuka (boleh berbuka) dan bersembahyang isya’ denganku hingga ke satu pertiga malam (pada satu pertiga awal malam) dan bersembahyang fajar denganku. Dikerjakannya sembahyang fajar itu pada waktu telah “cerah tanah”. Kemudian dia berpaling kepadaku seraya berkata, “Wahai Muhammad! Inilah waktu Nabi-nabi sebelummu. Waktu sembahyang itu adalah di antara dua waktu ini”.

[Ringkasan] Tentang Waktu-Waktu Sembahyang .

1. Di dalam al-Quran disebut, mafhumnya, “Sesungguhnya sembahyang itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya kepada orang-orang mukmin” (Surah an-Nisa’, ayat 103). Ini bermaksud sembahyang itu terikat dengan waktu. Al-Quran menyebut secara ringkas tentang waktu sembahyang tetapi ianya dihuraikan dengan terperinci dalam hadith.

2. Waktu-waktu sembahyang adalah had-had bilakah seseorang perlu mengerjakan sembahyang. Jika seseorang bersembahyang sebelum waktunya, sembahyangnya tidak sah dan jika dilakukan selepas waktunya ianya dikira sebagai qadha. Jika seseorang sengaja sembahyang sebelum waktunya, dikhuatiri dia berdosa. Sembahyang “tunai” ialah sembahyang yang dilakukan di dalam waktunya. Jika seseorang telah bersembahyang di rumahnya, tetapi kemudiannya bersembahyang dengan berimam di masjid, sembahyang yang kedua itu dikira sebagai sembahyang sunat. Ketentuan waktu sembahyang ini adalah untuk dalam keadaan biasa tetapi jika dalam perjalanan, ada kelonggaran dalam had waktu seperti sembahyang jamak.

3. Malaikat Jibrail a.s. telah menjadi imam kepada Nabi s.a.w sebanyak dua kali di Baitillah untuk memberitahu Nabi batas-batas waktu sembahyang. Jibrail memulakan dengan sembahyang zohor. Nabi dan Malaikat Jibril bersembahyang zohor bila matahari tergelincir sekadar panjang tali kasut (sudah ada sedikit bayang). Walaupun begitu ulama’ berpendapat masuknya waktu sembahyang zohor ialah bila tergelincirnya matahari, cuma dalam hadith ini Nabi dan Jibrail mula bersembahyang lewat sedikit selepas masuknya waktu zohor. Sembahyang asar ialah bila bayang sesuatu sama panjang dengannya. Sembahyang maghrib ialah ketika mana orang yang berpuasa berbuka puasa (iaitu sebaik sahaja matahari terbenam). Solat isya’ pula ialah bila hilang “syafak” (tanda merah di ufuk langit selepas matahari jatuh).

4. Hadith ini menyatakan bahawa, “Sembahyang fajar (subuh) ialah bila haramnya makanan dan minuman kepada orang yang berpuasa (iaitu ketika terbitnya fajar sodiq)”. Ini menunjukkan puasa bermula dari masuknya waktu subuh. Hadith ini dengan jelas menunjukkan bahawa apa yang dikatakan sebagai “imsak” (berhenti makan 10 minit sebelum masuk waktu subuh) yang diamalkan oleh masyarakat kita sebenarnya bercanggah dengan ajaran Islam. Bila dikatakan bahawa amalan imsak seperti yang diamalkan pada masa ini tiada dalam agama, tidak bermakna kita tidak boleh berhenti awal bila bersahur, tetapi apa yang ditekankan ialah perbuatan mengharamkan makan dan minum dalam keadaan Islam membenarkannya. Mengharamkan apa yang dihalalkan adalah kesalahan besar dalam agama. “Imsak” ini mencanggah ayat al-Quran yang bermaksud, “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar” (Surah Al-Baqarah, ayat 187). Amalan imsak ini tidak dapat dikesan asal-usulnya kerana tidak wujud di dalam kitab-kitab agama. Jika niat kita ingin bercermat ketika bersahur dengan menetapkan tempoh masa tertentu untuk berhenti bersahur seperti amalan imsak ini, ianya mencanggahi hadith Nabi yang menyuruh kita melewatkan sahur. Perlu ditekankan adalah tidak haram atau makruh untuk makan dan minum sehingga masuknya waktu subuh.

Sembahyang fajar (subuh) ialah bila haramnya orang yang ingin berpuasa makan dan minum (iaitu ketika terbitnya fajar sodiq, masuknya waktu subuh). Nota: Fajar ada dua, iaitu fajar “kazib” (dusta) dan fajar “sodiq” (benar). Fajar kazib ialah bila keluarnya garisan merah yang menegak manakala fajar sodiq ialah bila ada garisan putih melintang di ufuk langit. Keluarnya fajar sodiq menunjukkan masuknya waktu subuh.

5. Pada keesokan harinya, Jibrail a.s. bersembahyang zohor bila bayang sesuatu sama panjang dengannya. Pada hari sebelumnya, mereka bersembahyang asar pada waktu ini. Oleh sebab itu ada ulama’ berpendapat waktu ini (bila bayang sesuatu adalah sama panjang dengannya) adalah waktu yang dikongsi bersama oleh waktu zohor dan waktu asar. Waktu ini dikenali sebagai waktu “musytarak” dan seseorang boleh mengerjakan sembahyang zohor atau asar pada waktu itu. Walaupun begitu, pendapat ini lemah dan pendapat yang kuat ialah waktu zohor berakhir bila masuk waktu asar iaitu bila bayang sesuatu sama panjang dengannya.

6. Jibrail a.s. kemudiannya bersembahyang asar ketika bayang sesuatu adalah dua kali ganda panjangnya. Dari hadith ini ada ulama’ berpendapat waktu asar berakhir pada waktu ini, bukannya bila masuk waktu maghrib. Kebanyakan ulama’ tidak berpendapat demikian, tetapi menggunakan hadith lain yang lebih kuat di mana ia menyatakan waktu asar berakhir bila masuknya waktu maghrib. Hadith tersebut terdapat di dalam kitab Sahih Muslim yang menyatakan, jika seseorang dapat satu rakaat sembahyang asar sebelum jatuh matahari dia dikira sempat bersembahyang asar. Begitu juga jika seseorang sempat sembahyang subuh satu rakaat sebelum terbit matahari, dia dikira dapat sembahyang subuh secara “tunai” (dalam waktunya).

7. Hadith yang kita sedang bincangkan ini ingin menyatakan waktu-waku terpilih untuk menunaikan sembahyang bukan sahaja untuk menyatakan had-had waktu sembahyang. Waktu-waktu selepas waktu terpilih itu (tetapi masih lagi di dalam had waktu sembahyang tersebut) adalah waktu makruh dan darurat. Contohnya, sembahyang asar selepas bayang sesuatu melebihi dua kali ganda tetapi sebelum masuk waktu maghrib atau, seperti yang akan dibincangkan selepas ini, sembahyang subuh selepas “cerah tanah” tapi sebelum terbit matahari. Begitu juga sembahyang maghrib selepas lama masuk waktu tetapi sebelum waktu isya’ dan waktu isya’ ialah sehingga waktu subuh, bukan setakat satu pertiga (atau separuh) malam.

8. Jibrail bersembahyang maghrib ketika orang berpuasa hendak berbuka puasa, iaitu sama masanya dengan hari sebelumnya. Dengan berdalilkan hadith ini, Imam as-Shafie dalam pendapat barunya (qaul jadid) mengatakan bahawa waktu maghrib adalah amat singkat. Walaupun begitu ulama’-ulama’ dalam mazhab Shafie berpendapat pendapat terdahulu (qaul qadim) beliau adalah lebih kuat dimana pendapat ini menyatakan bahawa waktu maghrib ialah sehingga masuknya waktu isya’.

9. Jibrail bersembahyang fajar (subuh) pada ketika “cerah tanah” tetapi belum terbit matahari. Berpandukan hadith ini, ada ulama’ berpendapat waktu subuh berakhir pada masa “cerah tanah”, tidak ketika matahari terbit. Tetapi pendapat majoriti ulama’ ialah sesiapa yang dapat sembahyang satu rakaat sebelum matahari terbit, dia dapat sembahyang subuh dalam waktunya.

10. Hadith ini adalah sebagai panduan untuk mengerjakan sembahyang dalam waktu yang terbaik, di samping menunjukkan had-had waktu sembahyang.

11. Selepas mengerjakan sembahyang subuh, Malaikat Jibrail memberitahu Nabi bahawa itulah batas-batas waktu sembayang sebagaimana nabi-nabi terdahulu. Waktu-waktu sembahyang adalah masa di antara sembahyang di hari pertama dan sembahyang di hari kedua.

12. Waktu-waktu yang diberitahu Jibrail adalah sebagaimana sembahyang yang dilakukan oleh nabi-nabi terdahulu kecuali sembahyang isya’, dimana sembahyang isya’ adalah khas untuk umat Nabi Muhammad. Dalam hadith ini sembahyang isya’ disebut pada satu pertiga awal malam. Ada ulama’ berpendapat itulah had sembahyang isya’ tetapi kebanyakan ulama’ berpendapat waktu isya’ ialah sehingga masuknya waktu subuh.

13. Berakhirnya masa sesuatu sembahyang adalah bila masuknya waktu sembahyang seterusnya kecuali sembahyang subuh.

Leave a comment