[SEMBAHYANG] – Siri 3 – (Waktu Sembahyang) – Perbezaan Pendapat Tentang Waktu-Waktu Sembahyang

VIDEO – [Durasi – 13m 56s] – [SEMBAHYANG] – Siri 3 – (Waktu Sembahyang) – Perbezaan Pendapat Tentang Waktu-Waktu Sembahyang

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/foJdhXruJZk ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Fardhu Sembahyang – [Sunan Abi Da…   &    • Sesi 2 – Waktu-waktu Sembahyang – [Sunan A…   ]Sunan Abi Daud (Kitab Sembahyang]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

PERBINCANGAN TENTANG PERBEZAAN PENDAPAT DI KALANGAN ULAMA’ TENTANG “WAKTU-WAKTU SEMBAHYANG” (DARI KITAB SUNAN ABI DAUD)

Hadith berkaitan:

باب فِي الْمَوَاقِيتِ

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ سُفْيَانَ، حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ فُلاَنِ بْنِ أَبِي رَبِيعَةَ، – قَالَ أَبُو دَاوُدَ هُوَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ الْحَارِثِ بْنِ عَيَّاشِ بْنِ أَبِي رَبِيعَةَ – عَنْ حَكِيمِ بْنِ حَكِيمٍ، عَنْ نَافِعِ بْنِ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ أَمَّنِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ عِنْدَ الْبَيْتِ مَرَّتَيْنِ فَصَلَّى بِيَ الظُّهْرَ حِينَ زَالَتِ الشَّمْسُ وَكَانَتْ قَدْرَ الشِّرَاكِ وَصَلَّى بِيَ الْعَصْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَهُ وَصَلَّى بِيَ – يَعْنِي الْمَغْرِبَ – حِينَ أَفْطَرَ الصَّائِمُ وَصَلَّى بِيَ الْعِشَاءَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ وَصَلَّى بِيَ الْفَجْرَ حِينَ حَرُمَ الطَّعَامُ وَالشَّرَابُ عَلَى الصَّائِمِ فَلَمَّا كَانَ الْغَدُ صَلَّى بِيَ الظُّهْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَهُ وَصَلَّى بِيَ الْعَصْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَيْهِ وَصَلَّى بِيَ الْمَغْرِبَ حِينَ أَفْطَرَ الصَّائِمُ وَصَلَّى بِيَ الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ وَصَلَّى بِيَ الْفَجْرَ فَأَسْفَرَ ثُمَّ الْتَفَتَ إِلَىَّ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ هَذَا وَقْتُ الأَنْبِيَاءِ مِنْ قَبْلِكَ وَالْوَقْتُ مَا بَيْنَ هَذَيْنِ الْوَقْتَيْنِ ‏”‏ ‏.‏

Tentang Waktu-Waktu Sembahyang

Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan dari Ibnu Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jibril telah menjadi imam kepadaku dekat Baitillah dua kali. Beliau bersembahyang zohor dengan aku ketika matahari telah tergelincir dan bayangnya telah pun ada sekadar sepanjang tali kasut dan beliau bersembahyang asar denganku ketika mana bayang seseorang itu telah menjadi sama panjang dengannya dan beliau bersembahyang maghrib denganku ketika mana orang yang berpuasa berbuka puasa. Beliau bersembahyang isya’ denganku ketika telah lenyap syafak dan bersembahyang fajar denganku ketika mana telah haram makanan dan minuman kepada orang yang berpuasa. Pada keesokannya beliau bersembahyang denganku zohor ketika bayang seseorang menjadi sama panjang dengan dirinya dan bersembahyang asar denganku ketika mana bayang seseorang telah menjadi dua kali ganda panjangnya dan bersembahyang maghrib denganku ketika mana orang yang berpuasa telah berbuka (boleh berbuka) dan bersembahyang isya’ denganku hingga ke satu pertiga malam (pada satu pertiga awal malam) dan bersembahyang fajar denganku. Dikerjakannya sembahyang fajar itu pada waktu telah “cerah tanah”. Kemudian dia berpaling kepadaku seraya berkata, “Wahai Muhammad! Inilah waktu Nabi-nabi sebelummu. Waktu sembahyang itu adalah di antara dua waktu ini”.

[Ringkasan] Perbezaan Pendapat Di Kalangan Ulama’ Tentang Waktu-Waktu Sembahyang

1. ZOHOR

i) Masuknya waktu zohor ialah bila matahari tergelincir. Daripada hadith Ibnu Abbas terdapat sedikit kekeliruan di mana Nabi dan Jibrail bersembahyang bila bayang panjangnya sekadar satu tali kasut. Apa yang dimaksudkan ialah pada ketika itu, Nabi telah selesai sembahyang bukan baru ingin memulakan sembahyang zohor.

ii) Khilaf berlaku bilakah berakhirnya waktu zohor iaitu,

  • bayang sesuatu sama panjang dengannya,
  • bayang sesuatu menjadi dua kali ganda daripadanya (Pendapat Imam Abu Hanifah),
  • di hujung waktu zohor ada waktu yang dikongsi bersama waktu asar (waktu musytarak), ini adalah pendapat Imam Malik, Ibnu Mubarak dan Ishak Bin Rahawaih. Boleh bersembahyang zohor atau asar dalam waktu ini. Masanya ialah bila bayang sesuatu sama panjang dengannya kemudian sekadar cukup untuk sembahyang sebanyak empat rakaat.

2. ASAR

i) Perbezaan pendapat bilakah masuknya waktu asar,

  • bayang sesuatu adalah lebih panjang sedikit daripadanya,
  • panjang bayang adalah dua kali ganda daripadanya (pendapat Imam Abu Hanifah) . – selepas waktu musytarak.

ii) Kebanyakan ulama’ berpendapat waktu asar berakhir bila matahari tenggelam. Imam Shafie dalam salah satu pendapatnya mengatakan waktu asar berakhir bila panjang bayang dua kali ganda, tetapi pendapatnya yang masyhur adalah sama dengan kebanyakan ulama’.

3. MAGHRIB

Sepakat ulama’ bahawa masuknya waktu maghrib ialah bila terbenamnya matahari tetapi terdapat perbezaan pendapat tentang bilakah berakhirnya waktu maghrib. Kebanyakan ulama’ berpendapat waktu maghrib berakhir bila hilang “syafaq” (warna merah di ufuk barat). Imam Shafie dalam pendapat barunya (qaul jadid) berpendapat waktu maghrib adalah sekadar empat rakaat sembahyang dari waktu masuknya. Tetapi ulama’-ulama’ dalam mazhab Shafie seperti Imam an-Nawawi memilih untuk menerima pendapat awalnya (qaul qadim) di mana waktu maghrib berakhir bila hilang syafaq. Untuk pendapat barunya, Imam Shafie berdalilkan hadith JIbrail datang pada waktu yang sama pada dua malam untuk bersembahyang maghrib. Ulama’ lain berpendapat hadith ini hanya menunjukkan waktu yang utama (afdhal) untuk mengerjakan sembahyang maghrib dan tidak menunjukkan had waktu maghrib. Ulama’ yang berpendapat bahawa waktu maghrib adalah panjang sehingga hilangnya syafaq berpandukan kepada hadith dimana Nabi menyatakan jika makanan dihidangkan hendaklah kamu makan dan juga banyak riwayat yang menunjukkan Nabi makan dahulu untuk berbuka puasa sebelum bersembahyang maghrib.

4. ISYA’

i) Masuknya waktu isya’ mengikut majoriti ulama’ ialah bila hilang syafaq. Manakala Imam Shafie dalam pendapat barunya mengatakan masuknya waktu isya’ ialah bila habisnya tempoh sekadar sembahyang empat rakaat selepas masuk waktu maghrib.

ii) Terdapat perbezaan pendapat bilakah berakhirnya waktu isya’, iaitu,

  • kebanyakan ulama’ berpendapat waktu isya’ berakhir bila masuk waktu subuh, iaitu bila naik fajar sodiq,
  • satu pertiga awal malam (pendapat Umar bin Abdul Aziz dan salah satu pendapat Imam Shafie),
  • separuh awal malam (pendapat Sufyan at-Tsauri, Ibnu Mubarak dan Ishaq bin Rahawaih).

5. SUBUH

Masuk waktu subuh ialah bila naik fajar sodiq dan berakhirnya waktu subuh ialah bila terbit matahari. Daripada hadith Jibrail datang bersembahyang bersama Nabi, waktu sembahyang subuh yang paling afdhal dilakukan ialah sebelum “cerah tanah” (isfar).

6. Adakah kita boleh amalkan mana-mana pendapat yang berbeza di kalangan ulama’ (atau dua pendapat yang berbeza dari seorang ulama’ yang sama)? Jawapannya, kita boleh amalkan mana-mana pendapat ulama’ yang muktabar (diiktiraf keilmuan dan kewibawaannya) terutamanya bila keadaan memerlukan pendapat pilihan itu diamalkan. Contohnya, jika kita sakit dan sukar untuk kita berwudhu’ berkali-kali, kita boleh amalkan pendapat Imam Shafie yang mengatakan waktu maghrib adalah tempoh masa sekadar empat rakaat sembahyang. Dalam keadaan ini, kita boleh terus sembahyang isya’ selepas habis sembahyang maghrib. Perlu difahami bahawa, kedua-dua pendapat Imam Shafie boleh digunakan berpandukan kaedah “ijtihad tidak boleh merobohkan (membatalkan) ijtihad yang lain” dan jika sekiranya ulama’ tersebut tidak menarik balik salah satu ijtihadnya (pendapatnya).

[SEMBAHYANG] – Siri 2 – (Waktu Sembahyang) – Tentang Waktu-Waktu Sembahyang

VIDEO – [Durasi – 15m 14s] – [SEMBAHYANG] – Siri 2 – (Waktu Sembahyang) – Tentang Waktu-Waktu Sembahyang

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/FFGPzEvxyMc ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Fardhu Sembahyang – [Sunan Abi Da…   Sunan Abi Daud (Kitab Sembahyang]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب فِي الْمَوَاقِيتِ

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ سُفْيَانَ، حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ فُلاَنِ بْنِ أَبِي رَبِيعَةَ، – قَالَ أَبُو دَاوُدَ هُوَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ الْحَارِثِ بْنِ عَيَّاشِ بْنِ أَبِي رَبِيعَةَ – عَنْ حَكِيمِ بْنِ حَكِيمٍ، عَنْ نَافِعِ بْنِ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ أَمَّنِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ عِنْدَ الْبَيْتِ مَرَّتَيْنِ فَصَلَّى بِيَ الظُّهْرَ حِينَ زَالَتِ الشَّمْسُ وَكَانَتْ قَدْرَ الشِّرَاكِ وَصَلَّى بِيَ الْعَصْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَهُ وَصَلَّى بِيَ – يَعْنِي الْمَغْرِبَ – حِينَ أَفْطَرَ الصَّائِمُ وَصَلَّى بِيَ الْعِشَاءَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ وَصَلَّى بِيَ الْفَجْرَ حِينَ حَرُمَ الطَّعَامُ وَالشَّرَابُ عَلَى الصَّائِمِ فَلَمَّا كَانَ الْغَدُ صَلَّى بِيَ الظُّهْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَهُ وَصَلَّى بِيَ الْعَصْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَيْهِ وَصَلَّى بِيَ الْمَغْرِبَ حِينَ أَفْطَرَ الصَّائِمُ وَصَلَّى بِيَ الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ وَصَلَّى بِيَ الْفَجْرَ فَأَسْفَرَ ثُمَّ الْتَفَتَ إِلَىَّ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ هَذَا وَقْتُ الأَنْبِيَاءِ مِنْ قَبْلِكَ وَالْوَقْتُ مَا بَيْنَ هَذَيْنِ الْوَقْتَيْنِ ‏”‏ ‏.‏

Tentang Waktu-Waktu Sembahyang .

Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan dari Ibnu Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jibril telah menjadi imam kepadaku dekat Baitillah dua kali. Beliau bersembahyang zohor dengan aku ketika matahari telah tergelincir dan bayangnya telah pun ada sekadar sepanjang tali kasut dan beliau bersembahyang asar denganku ketika mana bayang seseorang itu telah menjadi sama panjang dengannya dan beliau bersembahyang maghrib denganku ketika mana orang yang berpuasa berbuka puasa. Beliau bersembahyang isya’ denganku ketika telah lenyap syafak dan bersembahyang fajar denganku ketika mana telah haram makanan dan minuman kepada orang yang berpuasa. Pada keesokannya beliau bersembahyang denganku zohor ketika bayang seseorang menjadi sama panjang dengan dirinya dan bersembahyang asar denganku ketika mana bayang seseorang telah menjadi dua kali ganda panjangnya dan bersembahyang maghrib denganku ketika mana orang yang berpuasa telah berbuka (boleh berbuka) dan bersembahyang isya’ denganku hingga ke satu pertiga malam (pada satu pertiga awal malam) dan bersembahyang fajar denganku. Dikerjakannya sembahyang fajar itu pada waktu telah “cerah tanah”. Kemudian dia berpaling kepadaku seraya berkata, “Wahai Muhammad! Inilah waktu Nabi-nabi sebelummu. Waktu sembahyang itu adalah di antara dua waktu ini”.

[Ringkasan] Tentang Waktu-Waktu Sembahyang .

1. Di dalam al-Quran disebut, mafhumnya, “Sesungguhnya sembahyang itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya kepada orang-orang mukmin” (Surah an-Nisa’, ayat 103). Ini bermaksud sembahyang itu terikat dengan waktu. Al-Quran menyebut secara ringkas tentang waktu sembahyang tetapi ianya dihuraikan dengan terperinci dalam hadith.

2. Waktu-waktu sembahyang adalah had-had bilakah seseorang perlu mengerjakan sembahyang. Jika seseorang bersembahyang sebelum waktunya, sembahyangnya tidak sah dan jika dilakukan selepas waktunya ianya dikira sebagai qadha. Jika seseorang sengaja sembahyang sebelum waktunya, dikhuatiri dia berdosa. Sembahyang “tunai” ialah sembahyang yang dilakukan di dalam waktunya. Jika seseorang telah bersembahyang di rumahnya, tetapi kemudiannya bersembahyang dengan berimam di masjid, sembahyang yang kedua itu dikira sebagai sembahyang sunat. Ketentuan waktu sembahyang ini adalah untuk dalam keadaan biasa tetapi jika dalam perjalanan, ada kelonggaran dalam had waktu seperti sembahyang jamak.

3. Malaikat Jibrail a.s. telah menjadi imam kepada Nabi s.a.w sebanyak dua kali di Baitillah untuk memberitahu Nabi batas-batas waktu sembahyang. Jibrail memulakan dengan sembahyang zohor. Nabi dan Malaikat Jibril bersembahyang zohor bila matahari tergelincir sekadar panjang tali kasut (sudah ada sedikit bayang). Walaupun begitu ulama’ berpendapat masuknya waktu sembahyang zohor ialah bila tergelincirnya matahari, cuma dalam hadith ini Nabi dan Jibrail mula bersembahyang lewat sedikit selepas masuknya waktu zohor. Sembahyang asar ialah bila bayang sesuatu sama panjang dengannya. Sembahyang maghrib ialah ketika mana orang yang berpuasa berbuka puasa (iaitu sebaik sahaja matahari terbenam). Solat isya’ pula ialah bila hilang “syafak” (tanda merah di ufuk langit selepas matahari jatuh).

4. Hadith ini menyatakan bahawa, “Sembahyang fajar (subuh) ialah bila haramnya makanan dan minuman kepada orang yang berpuasa (iaitu ketika terbitnya fajar sodiq)”. Ini menunjukkan puasa bermula dari masuknya waktu subuh. Hadith ini dengan jelas menunjukkan bahawa apa yang dikatakan sebagai “imsak” (berhenti makan 10 minit sebelum masuk waktu subuh) yang diamalkan oleh masyarakat kita sebenarnya bercanggah dengan ajaran Islam. Bila dikatakan bahawa amalan imsak seperti yang diamalkan pada masa ini tiada dalam agama, tidak bermakna kita tidak boleh berhenti awal bila bersahur, tetapi apa yang ditekankan ialah perbuatan mengharamkan makan dan minum dalam keadaan Islam membenarkannya. Mengharamkan apa yang dihalalkan adalah kesalahan besar dalam agama. “Imsak” ini mencanggah ayat al-Quran yang bermaksud, “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar” (Surah Al-Baqarah, ayat 187). Amalan imsak ini tidak dapat dikesan asal-usulnya kerana tidak wujud di dalam kitab-kitab agama. Jika niat kita ingin bercermat ketika bersahur dengan menetapkan tempoh masa tertentu untuk berhenti bersahur seperti amalan imsak ini, ianya mencanggahi hadith Nabi yang menyuruh kita melewatkan sahur. Perlu ditekankan adalah tidak haram atau makruh untuk makan dan minum sehingga masuknya waktu subuh.

Sembahyang fajar (subuh) ialah bila haramnya orang yang ingin berpuasa makan dan minum (iaitu ketika terbitnya fajar sodiq, masuknya waktu subuh). Nota: Fajar ada dua, iaitu fajar “kazib” (dusta) dan fajar “sodiq” (benar). Fajar kazib ialah bila keluarnya garisan merah yang menegak manakala fajar sodiq ialah bila ada garisan putih melintang di ufuk langit. Keluarnya fajar sodiq menunjukkan masuknya waktu subuh.

5. Pada keesokan harinya, Jibrail a.s. bersembahyang zohor bila bayang sesuatu sama panjang dengannya. Pada hari sebelumnya, mereka bersembahyang asar pada waktu ini. Oleh sebab itu ada ulama’ berpendapat waktu ini (bila bayang sesuatu adalah sama panjang dengannya) adalah waktu yang dikongsi bersama oleh waktu zohor dan waktu asar. Waktu ini dikenali sebagai waktu “musytarak” dan seseorang boleh mengerjakan sembahyang zohor atau asar pada waktu itu. Walaupun begitu, pendapat ini lemah dan pendapat yang kuat ialah waktu zohor berakhir bila masuk waktu asar iaitu bila bayang sesuatu sama panjang dengannya.

6. Jibrail a.s. kemudiannya bersembahyang asar ketika bayang sesuatu adalah dua kali ganda panjangnya. Dari hadith ini ada ulama’ berpendapat waktu asar berakhir pada waktu ini, bukannya bila masuk waktu maghrib. Kebanyakan ulama’ tidak berpendapat demikian, tetapi menggunakan hadith lain yang lebih kuat di mana ia menyatakan waktu asar berakhir bila masuknya waktu maghrib. Hadith tersebut terdapat di dalam kitab Sahih Muslim yang menyatakan, jika seseorang dapat satu rakaat sembahyang asar sebelum jatuh matahari dia dikira sempat bersembahyang asar. Begitu juga jika seseorang sempat sembahyang subuh satu rakaat sebelum terbit matahari, dia dikira dapat sembahyang subuh secara “tunai” (dalam waktunya).

7. Hadith yang kita sedang bincangkan ini ingin menyatakan waktu-waku terpilih untuk menunaikan sembahyang bukan sahaja untuk menyatakan had-had waktu sembahyang. Waktu-waktu selepas waktu terpilih itu (tetapi masih lagi di dalam had waktu sembahyang tersebut) adalah waktu makruh dan darurat. Contohnya, sembahyang asar selepas bayang sesuatu melebihi dua kali ganda tetapi sebelum masuk waktu maghrib atau, seperti yang akan dibincangkan selepas ini, sembahyang subuh selepas “cerah tanah” tapi sebelum terbit matahari. Begitu juga sembahyang maghrib selepas lama masuk waktu tetapi sebelum waktu isya’ dan waktu isya’ ialah sehingga waktu subuh, bukan setakat satu pertiga (atau separuh) malam.

8. Jibrail bersembahyang maghrib ketika orang berpuasa hendak berbuka puasa, iaitu sama masanya dengan hari sebelumnya. Dengan berdalilkan hadith ini, Imam as-Shafie dalam pendapat barunya (qaul jadid) mengatakan bahawa waktu maghrib adalah amat singkat. Walaupun begitu ulama’-ulama’ dalam mazhab Shafie berpendapat pendapat terdahulu (qaul qadim) beliau adalah lebih kuat dimana pendapat ini menyatakan bahawa waktu maghrib ialah sehingga masuknya waktu isya’.

9. Jibrail bersembahyang fajar (subuh) pada ketika “cerah tanah” tetapi belum terbit matahari. Berpandukan hadith ini, ada ulama’ berpendapat waktu subuh berakhir pada masa “cerah tanah”, tidak ketika matahari terbit. Tetapi pendapat majoriti ulama’ ialah sesiapa yang dapat sembahyang satu rakaat sebelum matahari terbit, dia dapat sembahyang subuh dalam waktunya.

10. Hadith ini adalah sebagai panduan untuk mengerjakan sembahyang dalam waktu yang terbaik, di samping menunjukkan had-had waktu sembahyang.

11. Selepas mengerjakan sembahyang subuh, Malaikat Jibrail memberitahu Nabi bahawa itulah batas-batas waktu sembayang sebagaimana nabi-nabi terdahulu. Waktu-waktu sembahyang adalah masa di antara sembahyang di hari pertama dan sembahyang di hari kedua.

12. Waktu-waktu yang diberitahu Jibrail adalah sebagaimana sembahyang yang dilakukan oleh nabi-nabi terdahulu kecuali sembahyang isya’, dimana sembahyang isya’ adalah khas untuk umat Nabi Muhammad. Dalam hadith ini sembahyang isya’ disebut pada satu pertiga awal malam. Ada ulama’ berpendapat itulah had sembahyang isya’ tetapi kebanyakan ulama’ berpendapat waktu isya’ ialah sehingga masuknya waktu subuh.

13. Berakhirnya masa sesuatu sembahyang adalah bila masuknya waktu sembahyang seterusnya kecuali sembahyang subuh.

[SEMBAHYANG] – Siri 1 – Kewajipan Sembahyang [VIDEO TEMATIK HADITH]

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 5m 3s] – [SEMBAHYANG – Siri 1] – Kewajipan Sembahyang [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/2KjaeSbJY3k ]

Video penuh asal –    • Sesi 1  –  Bagaimana Difardhukan Sembahyan…   &    • Sesi 66 – Kekotoran Yang Mengenai Kasut – …  

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

A. HADITH DARI KITAB SAHIH AL-BUKHARI

وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ حَدَّثَنِي أَبُو سُفْيَانَ فِي حَدِيثِ هِرَقْلَ فَقَالَ يَأْمُرُنَا- يَعْنِي النَّبِيَّ- صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالصَّلاَةِ وَالصِّدْقِ وَالْعَفَافِ.

Difardhukan Sembahyang Ibnu Abbas berkata: Abu Sufyan dalam kisah Hiraklu berkata, “Dia (Nabi s.a.w.) menyuruh kami bersembahyang, bercakap benar dan memelihara diri daripada perkara-perkara keji”

[RINGKASAN] – Kewajipan Sembahyang Apabila Raja Rom (Hiraklu) bertanya kepada Abu Sufyan apakah yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. beliau menjawab yang Nabi s.a.w. mengajar supaya sembahyang, bercakap benar dan memelihara diri dari perkara-perkara keji. Pada masa ini Abu Sufyan belum lagi memeluk agama Islam. Ini menunjukkan sembahyang telah difardhukan di Mekah.

B. HADITH DARI KITAB SUNAN ABI DAUD

باب الصَّلاَةِ مِنَ الإِسْلاَمِ . دَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ، عَنْ مَالِكٍ، عَنْ عَمِّهِ أَبِي سُهَيْلِ بْنِ مَالِكٍ، عَنْ أَبِيهِ، أَنَّهُ سَمِعَ طَلْحَةَ بْنَ عُبَيْدِ اللَّهِ، يَقُولُ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ أَهْلِ نَجْدٍ ثَائِرَ الرَّأْسِ يُسْمَعُ دَوِيُّ صَوْتِهِ وَلاَ يُفْقَهُ مَا يَقُولُ حَتَّى دَنَا فَإِذَا هُوَ يَسْأَلُ عَنِ الإِسْلاَمِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهُنَّ قَالَ ‏”‏ لاَ إِلاَّ أَنْ تَطَّوَّعَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ وَذَكَرَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صِيَامَ شَهْرِ رَمَضَانَ قَالَ هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهُ قَالَ ‏”‏ لاَ إِلاَّ أَنْ تَطَّوَّعَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ وَذَكَرَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الصَّدَقَةَ ‏.‏ قَالَ فَهَلْ عَلَىَّ غَيْرُهَا قَالَ ‏”‏ لاَ إِلاَّ أَنْ تَطَّوَّعَ ‏”‏ ‏.‏ فَأَدْبَرَ الرَّجُلُ وَهُوَ يَقُولُ وَاللَّهِ لاَ أَزِيدُ عَلَى هَذَا وَلاَ أَنْقُصُ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ أَفْلَحَ إِنْ صَدَقَ.

Bab – Sembahyang Dalam Islam

Seorang lelaki dari kalangan penduduk Najd dengan rambut kusut masai datang kepada Rasulullah Dapat didengar dengung suaranya tetapi apa yang diperkatakannya tidak dapat difahami. Dia mendekat dan rupa-rupanya dia bertanya tentang Islam (apa yang difardhukan dalam Islam). Rasulullah s.a.w bersabda: “Sembahyang lima waktu sehari semalam”. Dia bertanya, “Adakah yang lain yang wajib?”. Baginda menjawab, “Tidak, melainkan kamu melakukan yang sunat”. Dia (Talhah) berkata bahawa Rasulullah menyebut puasa pada bulan Ramadhan. Dia bertanya, “Adakah saya perlu melakukan yang lain?”. Baginda menjawab, “Tidak, melainkan kamu melakukan yang sunat”. Rasulullah menyebutkan zakat kepadanya. Dia bertanya, “Perlukah saya mengeluarkan apa-apa lagi?”. Baginda menjawab: “Tidak, melainkan kamu melakukan yang sunat”. Lelaki itu kemudian berpaling sambil berkata: “Demi Allah, aku tidak akan menambahkan atau mengurangkannya”. Rasulullah bersabda: “Orang itu akan berjaya jika dia berkata benar”.

[RINGKASAN] – Kewajipan Sembahyang

1. Antara perkara yang fardhu dalam Islam, tetapi tidak terhad kepada perkara berikut sahaja, ialah sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan dan mengeluarkan zakat.

2. “Saya tidak akan melebihkan atau mengurangkan” bermaksud, sama ada,

i) yang wajib saya akan anggap sebagai wajib dan tidak akan mengatakannya sunat, begitu juga yang sunat saya tidak akan mengatakannya sebagai wajib. (Nota: Ini adalah untuk semua perkara sama ada disebut dalam hadith ini atau tidak)

ii) dia akan sampaikan kepada kaumnya sekembalinya nanti seperti apa yang Rasulullah s.a.w. memberitahunya tanpa menambahkan atau mengurangkannya atau,

iii) dia hanya akan melakukan yang fardhu sahaja, tidak yang sunat.

3. Nabi s.a.w. mengatakan jika dia benar, dia akan masuk syurga. Ini bermaksud dengan hanya melakukan yang wajib tanpa yang sunat pun adalah memadai untuk seseorang masuk syurga.