[SEMBAHYANG] – Siri 3 – (Waktu Sembahyang) – Perbezaan Pendapat Tentang Waktu-Waktu Sembahyang

VIDEO – [Durasi – 13m 56s] – [SEMBAHYANG] – Siri 3 – (Waktu Sembahyang) – Perbezaan Pendapat Tentang Waktu-Waktu Sembahyang

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/foJdhXruJZk ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Fardhu Sembahyang – [Sunan Abi Da…   &    • Sesi 2 – Waktu-waktu Sembahyang – [Sunan A…   ]Sunan Abi Daud (Kitab Sembahyang]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH https://syarahanhadits.school.blog/hadith-…. ]

HADITH UNTUK PERBINCANGAN PERBEZAAN PENDAPAT DI KALANGAN ULAMA’ TENTANG “WAKTU-WAKTU SEMBAHYANG” (KITAB SUNAN ABI DAUD)

باب فِي الْمَوَاقِيتِ

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ سُفْيَانَ، حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ فُلاَنِ بْنِ أَبِي رَبِيعَةَ، – قَالَ أَبُو دَاوُدَ هُوَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ الْحَارِثِ بْنِ عَيَّاشِ بْنِ أَبِي رَبِيعَةَ – عَنْ حَكِيمِ بْنِ حَكِيمٍ، عَنْ نَافِعِ بْنِ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ أَمَّنِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ عِنْدَ الْبَيْتِ مَرَّتَيْنِ فَصَلَّى بِيَ الظُّهْرَ حِينَ زَالَتِ الشَّمْسُ وَكَانَتْ قَدْرَ الشِّرَاكِ وَصَلَّى بِيَ الْعَصْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَهُ وَصَلَّى بِيَ – يَعْنِي الْمَغْرِبَ – حِينَ أَفْطَرَ الصَّائِمُ وَصَلَّى بِيَ الْعِشَاءَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ وَصَلَّى بِيَ الْفَجْرَ حِينَ حَرُمَ الطَّعَامُ وَالشَّرَابُ عَلَى الصَّائِمِ فَلَمَّا كَانَ الْغَدُ صَلَّى بِيَ الظُّهْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَهُ وَصَلَّى بِيَ الْعَصْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَيْهِ وَصَلَّى بِيَ الْمَغْرِبَ حِينَ أَفْطَرَ الصَّائِمُ وَصَلَّى بِيَ الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ وَصَلَّى بِيَ الْفَجْرَ فَأَسْفَرَ ثُمَّ الْتَفَتَ إِلَىَّ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ هَذَا وَقْتُ الأَنْبِيَاءِ مِنْ قَبْلِكَ وَالْوَقْتُ مَا بَيْنَ هَذَيْنِ الْوَقْتَيْنِ ‏”‏ ‏.‏

Tentang Waktu-Waktu Sembahyang .

Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan dari Ibnu Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jibril telah menjadi imam kepadaku dekat Baitillah dua kali. Beliau bersembahyang zohor dengan aku ketika matahari telah tergelincir dan bayangnya telah pun ada sekadar sepanjang tali kasut dan beliau bersembahyang asar denganku ketika mana bayang seseorang itu telah menjadi sama panjang dengannya dan beliau bersembahyang maghrib denganku ketika mana orang yang berpuasa berbuka puasa. Beliau bersembahyang isya’ denganku ketika telah lenyap syafak dan bersembahyang fajar denganku ketika mana telah haram makanan dan minuman kepada orang yang berpuasa. Pada keesokannya beliau bersembahyang denganku zohor ketika bayang seseorang menjadi sama panjang dengan dirinya dan bersembahyang asar denganku ketika mana bayang seseorang telah menjadi dua kali ganda panjangnya dan bersembahyang maghrib denganku ketika mana orang yang berpuasa telah berbuka (boleh berbuka) dan bersembahyang isya’ denganku hingga ke satu pertiga malam (pada satu pertiga awal malam) dan bersembahyang fajar denganku. Dikerjakannya sembahyang fajar itu pada waktu telah “cerah tanah”. Kemudian dia berpaling kepadaku seraya berkata, “Wahai Muhammad! Inilah waktu Nabi-nabi sebelummu. Waktu sembahyang itu adalah di antara dua waktu ini”.

[Ringkasan] Perbezaan Pendapat Di Kalangan Ulama’ Tentang Waktu-Waktu Sembahyang

1. ZOHOR

i) Masuknya waktu zohor ialah bila matahari tergelincir. Daripada hadith Ibnu Abbas terdapat sedikit kekeliruan di mana Nabi dan Jibrail bersembahyang bila bayang panjangnya sekadar satu tali kasut. Apa yang dimaksudkan ialah pada ketika itu, Nabi telah selesai sembahyang bukan baru ingin memulakan sembahyang zohor.

ii) Khilaf berlaku bilakah berakhirnya waktu zohor iaitu,

  • bayang sesuatu sama panjang dengannya,
  • bayang sesuatu menjadi dua kali ganda daripadanya (Pendapat Imam Abu Hanifah),
  • di hujung waktu zohor ada waktu yang dikongsi bersama waktu asar (waktu musytarak), ini adalah pendapat Imam Malik, Ibnu Mubarak dan Ishak Bin Rahawaih. Boleh bersembahyang zohor atau asar dalam waktu ini. Masanya ialah bila bayang sesuatu sama panjang dengannya kemudian sekadar cukup untuk sembahyang sebanyak empat rakaat.

2. ASAR i) Perbezaan pendapat bilakah masuknya waktu asar,

  • bayang sesuatu adalah lebih panjang sedikit daripadanya,
  • panjang bayang adalah dua kali ganda daripadanya (pendapat Imam Abu Hanifah) . – selepas waktu musytarak.

ii) Kebanyakan ulama’ berpendapat waktu asar berakhir bila matahari tenggelam. Imam Shafie dalam salah satu pendapatnya mengatakan waktu asar berakhir bila panjang bayang dua kali ganda, tetapi pendapatnya yang masyhur adalah sama dengan kebanyakan ulama’.

3. MAGHRIB

    Sepakat ulama’ bahawa masuknya waktu maghrib ialah bila terbenamnya matahari tetapi terdapat perbezaan pendapat tentang bilakah berakhirnya waktu maghrib. Kebanyakan ulama’ berpendapat waktu maghrib berakhir bila hilang “syafaq” (warna merah di ufuk barat). Imam Shafie dalam pendapat barunya (qaul jadid) berpendapat waktu maghrib adalah sekadar empat rakaat sembahyang dari waktu masuknya. Tetapi ulama’-ulama’ dalam mazhab Shafie seperti Imam an-Nawawi memilih untuk menerima pendapat awalnya (qaul qadim) di mana waktu maghrib berakhir bila hilang syafaq. Untuk pendapat barunya, Imam Shafie berdalilkan hadith JIbrail datang pada waktu yang sama pada dua malam untuk bersembahyang maghrib. Ulama’ lain berpendapat hadith ini hanya menunjukkan waktu yang utama (afdhal) untuk mengerjakan sembahyang maghrib dan tidak menunjukkan had waktu maghrib. Ulama’ yang berpendapat bahawa waktu maghrib adalah panjang sehingga hilangnya syafaq berpandukan kepada hadith dimana Nabi menyatakan jika makanan dihidangkan hendaklah kamu makan dan juga banyak riwayat yang menunjukkan Nabi makan dahulu untuk berbuka puasa sebelum bersembahyang maghrib.

    4. ISYA’

      i) Masuknya waktu isya’ mengikut majoriti ulama’ ialah bila hilang syafaq. Manakala Imam Shafie dalam pendapat barunya mengatakan masuknya waktu isya’ ialah bila habisnya tempoh sekadar sembahyang empat rakaat selepas masuk waktu maghrib.

      ii) Terdapat perbezaan pendapat bilakah berakhirnya waktu isya’, iaitu,

      • kebanyakan ulama’ berpendapat waktu isya’ berakhir bila masuk waktu subuh, iaitu bila naik fajar sodiq,
      • satu pertiga awal malam (pendapat Umar bin Abdul Aziz dan salah satu pendapat Imam Shafie),
      • separuh awal malam (pendapat Sufyan at-Tsauri, Ibnu Mubarak dan Ishaq bin Rahawaih).

      5. SUBUH

      Masuk waktu subuh ialah bila naik fajar sodiq dan berakhirnya waktu subuh ialah bila terbit matahari. Daripada hadith Jibrail datang bersembahyang bersama Nabi, waktu sembahyang subuh yang paling afdhal dilakukan ialah sebelum “cerah tanah” (isfar).

      6. Adakah kita boleh amalkan mana-mana pendapat yang berbeza di kalangan ulama’ (atau dua pendapat yang berbeza dari seorang ulama’ yang sama)? Jawapannya, kita boleh amalkan mana-mana pendapat ulama’ yang muktabar (diiktiraf keilmuan dan kewibawaannya) terutamanya bila keadaan memerlukan pendapat pilihan itu diamalkan. Contohnya, jika kita sakit dan sukar untuk kita berwudhu’ berkali-kali, kita boleh amalkan pendapat Imam Shafie yang mengatakan waktu maghrib adalah tempoh masa sekadar empat rakaat sembahyang. Dalam keadaan ini, kita boleh terus sembahyang isya’ selepas habis sembahyang maghrib. Perlu difahami bahawa, kedua-dua pendapat Imam Shafie boleh digunakan berpandukan kaedah “ijtihad tidak boleh merobohkan (membatalkan) ijtihad yang lain” dan jika sekiranya ulama’ tersebut tidak menarik balik salah satu ijtihadnya (pendapatnya).

        Leave a comment