VIDEO – [Durasi – 6m 55s] – [PELBAGAI ISU] -Siri 12 – (Hadith)- Hadith Sebagai Pelengkap Quran (Menyanggah Golongan Anti-Hadith)
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/9-qRljb2jqQ ]
Video penuh asal – • Sesi 2 – Kadar Harta Yang Dikenakan Zakat … [Sunan Abi Daud (Kitab Zakat]
[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]
HADITH SEBAGAI PELENGKAP AL-QURAN (MENYANGGAH GOLONGAN ANTI HADITH)
[Sunan Abi Daud (Kitab Zakat) – Bab- Harta yang dikenakan zakat (atau kadar “nisab” bagi harta yang dikenakan zakat) ]
.حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الأَنْصَارِيُّ، حَدَّثَنَا صُرَدُ بْنُ أَبِي الْمَنَازِلِ، قَالَ سَمِعْتُ حَبِيبًا الْمَالِكِيَّ، قَالَ قَالَ رَجُلٌ لِعِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ يَا أَبَا نُجَيْدٍ إِنَّكُمْ لَتُحَدِّثُونَنَا بِأَحَادِيثَ مَا نَجِدُ لَهَا أَصْلاً فِي الْقُرْآنِ . فَغَضِبَ عِمْرَانُ وَقَالَ لِلرَّجُلِ أَوَجَدْتُمْ فِي كُلِّ أَرْبَعِينَ دِرْهَمًا دِرْهَمٌ وَمِنْ كُلِّ كَذَا وَكَذَا شَاةً شَاةٌ وَمِنْ كُلِّ كَذَا وَكَذَا بَعِيرًا كَذَا وَكَذَا أَوَجَدْتُمْ هَذَا فِي الْقُرْآنِ قَالَ لاَ . قَالَ فَعَنْ مَنْ أَخَذْتُمْ هَذَا أَخَذْتُمُوهُ عَنَّا وَأَخَذْنَاهُ عَنْ نَبِيِّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَذَكَرَ أَشْيَاءَ نَحْوَ هَذَا .
Dengan sanadnya, Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Habib al-Maliki, katanya, ada seseorang berkata kepada ‘Imran bin Hushain, ‘Wahai Aba Dujaij, kamu menceritakan banyak hadith yang mana kami tidak dapati ada asalnya di dalam al-Quran”. Mendengar kata-kata orang itu, naik marahlah ‘Imran dan beliau berkata kepada orang itu, “Adakah kamu temui pada setiap 40 dirham dikenakan satu dirham dan pada setiap sekian-sekian ekor kambing dikenakan seekor dan pada sekian-sekian ekor unta dikenakan sekian-sekian. Adakah kamu dapati keterangan ini di dalam al-Quran?”. Orang itu menjawab, “Tidak”. ‘Imran bin Hushain berkata, “Kalau begitu kamu ambil daripada siapa keterangan tadi? Kamu mengambilnya daripada kami dan kami mengambilnya daripada Nabi s.a.w.”. Lalu perawi menyebutkan beberapa perkara lebih kurang yang tersebut ini.
[Ringkasan] Hadith Sebagai Pelengkap al-Quran (Menyanggah Golongan Anti-Hadith)
1. Ada seseorang mempertikaikan ‘Imran bin Hushain r.a. bahawa banyak hadith yang diriwayatkannya tiada asalnya di dalam al-Quran dan ini menyebabkan beliau marah. Hadith-hadith Nabi perlu diguna pakai bersama dengan al-Quran untuk menjelaskan isu-isu agama. Tanpa hadith kita tidak mampu melaksanakan perintah al-Quran kerana hadithlah yang memperincikan maksud ayat al-Quran. Contohnya, dalam al-Quran ada perintah supaya mendirikan sembahyang tetapi tidak diberitahu bagaimana cara untuk bersembahyang. Begitu juga dalam al-Quran ada perintah mengeluarkan zakat tetapi tidak dinyatakan kadarnya seperti berapa ekor binatang perlu dikeluarkan zakat. Jika kita mempertikaikan hadith dan hanya ingin menggunakan al-Quran kita sebenarnya menolak syariat Islam (sebagaimana yang berlaku kepada golongan anti hadith).
2. Adanya sedikit perbezaan antara hadith-hadith merupakan khilaf yang memberi rahmat dan kemudahan kepada umat Islam. Walaupun ada sedikit sebanyak perbezaan antara hadith-hadith, asasnya tetap sama, contohnya, maksud zakat ialah untuk menjaga kepentingan orang miskin dengan mengambil sebahagian harta orang kaya.
3. Hadith adalah perlu untuk mengetahui maksud al-Quran dan cara untuk melaksanakan al-Quran itu sendiri.
4. ‘Imran bin Hushain marah kepada orang yang tidak mahu menggunakan hadith. Sebagaimana al-Quran, hadith juga adalah wahyu dari Allah yang diberitahu oleh Nabi s.a.w. dan disebarkan oleh Sahabat-Sahabat Baginda. Al-Quran ada menyebut (Surah an-Najm, ayat 3 & 4) bahawa wahyu adalah berupa al-Quran dan juga hadith, cuma taraf hadith adalah lebih rendah berbanding al-Quran. ‘Imran bin Hushain menekankan bahawa perincian tentang zakat adalah dari hadith Nabi tidak melalui al-Quran, oleh itu janganlah sesekali mempertikaikan kegunaan hadith. Hadith digunakan dalam sekecil-kecil sehingga sebesar-besar perkara. Hadith diterima, diamalkan dan disebarkan oleh Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w. 5. Orang yang menolak hadith (anti-hadith) telah terkeluar dari ijma’ (kesepakatan) orang Islam dan melanggar amalan Sahabat-Sahabat Nabi. Tidak ada alim ulama’ dari golongan anti-hadith.
