VIDEO – [Durasi – 6m 52s] – [ZAKAT] – [ZAKAT] – Siri 3 – Zakat barangan atau mata benda yang dimiliki untuk perniagaan [HADITH TEMATIK]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/AeLaqpfO3-c ]
Video penuh asal – • Sesi 2 – Kadar Harta Yang Dikenakan Zakat … [Sunan Abi Daud (Kitab Zakat]
[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]
ZAKAT BARANGAN ATAU MATA BENDA (JIKA) DIMILIKI UNTUK PERNIAGAAN
باب الْعُرُوضِ إِذَا كَانَتْ لِلتِّجَارَةِ هَلْ فِيهَا مِنْ زَكَاةٍ
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ دَاوُدَ بْنِ سُفْيَانَ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ حَسَّانَ، حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ مُوسَى أَبُو دَاوُدَ، حَدَّثَنَا جَعْفَرُ بْنُ سَعْدِ بْنِ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدُبٍ، حَدَّثَنِي خُبَيْبُ بْنُ سُلَيْمَانَ، عَنْ أَبِيهِ، سُلَيْمَانَ عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدُبٍ، قَالَ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَأْمُرُنَا أَنْ نُخْرِجَ الصَّدَقَةَ مِنَ الَّذِي نُعِدُّ لِلْبَيْعِ .
Zakat barangan atau mata benda (jika) yang dimiliki untuk perniagaan .
Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Samurah bin Jundub katanya, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada barang (atau mata benda) yang kami sediakan untuk jualan”.
[Ringkasan] Zakat barangan atau mata benda yang dimiliki untuk perniagaan
1. Zakat perniagaan dikenakan ke atas barang-barang yang kita miliki untuk berniaga. Yang dimaksudkan “barang-barang untuk perniagaan” ialah barang jualan, keuntungan, modal dan juga hutang yang dijangka boleh diperolehi semula. Zakat ini dikenakan jika cukup nisabnya dalam tempoh selama satu tahun. Jika ada ketika dalam tempoh setahun itu, tidak cukup nisab maka zakat tidak wajib dikeluarkan, iaitu adalah syarat dikenakan zakat bila harta itu sentiasa cukup nisabnya atau lebih dalam tempoh satu tahun. Kadar zakat perniagaan adalah 2.5% dari jumlah keseluruhan harta tersebut.
2. Sayugia diingatkan bahawa “barang-barang” untuk perniagaan adalah barang-barang yang digunakan untuk berniaga dan tidak termasuk bekas-bekas simpanan, rak atau almari untuk stor, kenderaan yang digunakan untuk berniaga ataupun bangunan premis perniagaan tersebut.
3. Jumhur (majoriti) ulama’ berpendapat zakat perniagaan adalah disyariatkan, tetapi ada sesetengah ulama’ terutamanya dari kalangan ulama’ ahli zahir mengatakan tidak ada zakat perniagaan. Ulama’ yang mengatakan tidak ada zakat perniagaan berdalilkan hadith yang mengatakan tidak dikenakan zakat pada kuda atau hamba padahal kuda dan hamba diperniagakan pada zaman itu. Hadith yang kita sedang bincangkan ini, pada pendapat mereka adalah lemah. Tetapi majoriti ulama’ membantah dengan menggunakan ayat al-Quran (Surah a-Taubah, ayat 103) yang bermaksud, “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa)…” dan ternyata dalam perniagaan terdapat “harta” yang banyak. Zakat perniagaan ini diamalkan sejak zaman Sahabat, sejak zaman Khalifah ar-Rasyidin.
4. Imam Daud az-Zahiri berpendapat barang-barang perniagaan tidak dikenakan zakat dan mengatakan hadith ini tidak sahih. Ulama’-ulama’ membincangkan tentang statuts hadith ini; ada yang mengatakan ianya sekurang-kurangnya “hasan” (baik) tetapi ada juga yang mengatakan ianya dhaif kerana mendakwa ada perawi yang tidak masyhur (tidak dikenali) di dalam sanadnya.
5. Kesimpulannya, pendapat yang lebih kuat dan majoriti ialah zakat perniagaan memang ada dalam syariat Islam.
