VIDEO – [Durasi – 7m 49s] – [HAJI & UMRAH] – Siri 2 – Haji Hanya Sekali Yang Wajib & Haji Adalah Umpama Jihad Untuk Wanita
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/5OO6juHR0t8 ]
Video penuh asal – • • Sesi 1 – Kefardhuan Haji – [Sunan Abi Dau… (Sunan Abi Daud – Kitab Manasik)
[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]
HAJI HANYA SEKALI YANG WAJIB & HAJI ADALAH UMPAMA JIHAD UNTUK WANITA
باب فَرْضِ الْحَجِّ
حَدَّثَنَا النُّفَيْلِيُّ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ، عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنِ ابْنٍ لأَبِي، وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ لأَزْوَاجِهِ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ “ هَذِهِ ثُمَّ ظُهُورُ الْحُصْرِ
Haji Hanya Sekali Yang Wajib & Haji Adalah Umpama Jihad Untuk Wanita
Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada seorang anak lelaki bagi Abu Waqid al-Laithi daripada ayahnya (Abu Waqid al-Laithi) katanya: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda kepada isterinya pada haji wada’, “Inilah (sahaja haji yang wajib ke atas kamu). Kemudian kamu hendaklah berada di atas tikar-tikar kamu (berada di rumah, tidak wajib lagi ke atas kamu mengerjakan haji)”.
[Ringkasan] Haji Hanya Sekali Yang Wajib & Haji Adalah Umpama Jihad Untuk Wanita
1. Hadith ini diriwayatkan oleh seorang anak lelaki kepada Abu Waqid al-Laithi daripada ayahnya, Abu Waqid’ al-Laithi. Ianya diriwayatkan secara samar (“mubham”). Sekiranya periwayat ini tidak dapat dikenal pasti, hadith ini menjadi dhaif, kecuali diketahui bahawa dia adalah seorang Sahabat Nabi s.a.w. Dalam hadith lain riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, perawi ini disebut sebagai Ibnu Abi Waqi’, yang bermaksud dia adalah anak yang bernama Waqid. Waqid adalah seorang yang adil dan diterima riwayatnya. Oleh itu hadith ini adalah sahih.
2. Dalam hadith ini ayah kepada Waqid berkata bahawa dia mendengar Nabi s.a.w. berkata kepada isteri-isterinya dalam haji wada’, “Inilah sahaja (haji yang diwajibkan ke atas kamu)”, kemudian beradalah di atas tikar-tikarnya (duduk tetap di rumah), tidak perlu lagi datang ke Mekah untuk mengerjakan haji (yang wajib). Ini menunjukkan bahawa haji hanya wajib dilakukan sekali sahaja seumur hidup. Walaupun begitu, kebanyakan isteri-isteri Nabi, kecuali Saudah dan Zainab, masih lagi pergi menunaikan haji di zaman pemerintahan Saidina Umar dan seterusnya. Mereka menunaikan haji sunat, bukannya haji yang diwajibkan ke atas mereka.
3. Aishah r.ha bertanya kepada Nabi s.a.w., “Apakah boleh jika kami pergi berperang bersama lelaki”. Nabi bersabda bahawa ianya tidak perlu dan jihad bagi kamu (orang perempuan) ialah menunaikan haji. Ini menunjukkan bahawa beliau (Aishah) boleh mengerjakan haji tambahan (sunat) selepas haji yang pertama bersama Nabi.
4. Sabda Nabi supaya menetap di rumah tidak bermakna jangan keluar langsung dari rumah tetapi hanya ingin menyatakan bahawa haji diwajibkan hanya satu kali ke atas seseorang. Oleh itu kita dapati isteri-isteri Nabi keluar juga dari rumah selepas kewafatan Baginda.
5. Selepas Nabi bersabda bahawa jihad untuk orang perempuan ialah mengerjakan haji, Aishah berkata dia tidak akan meninggalkan menunaikan haji kerana beliau menganggap sabda Nabi ini adalah galakan dari Nabi s.a.w. supaya beliau menunaikan haji.
6. Ibnu Battal berkata, hadith ini menunjukkan isteri-isteri Nabi dibenarkan berjihad tetapi yang lebih afdhal bagi mereka ialah menunaikan haji. Dan ini menolak pendapat mereka yang mempertikaikan tindakan Aishah r.ha keluar rumah dan memimpin pasukan di Perang Jamal.
7. Hadith ini tidak sekali-kali bermaksud larangan kepada isteri-isteri Rasulullah daripada keluar rumah tetapi lebih kepada tegahan dari keluar rumah tanpa sebab dan faedah.
8. Daripada hadith ini dapat difahami bahawa ada perintah Nabi yang wajib dipatuhi dan ada juga perintah yang hanya sunat diikuti, tertakluk kepada keadaan.
