[HAJI & UMRAH] – Siri 3 – Perempuan Mengerjakan Haji Tanpa Mahram [Video Tematik Hadith]

VIDEO – [Durasi – 17m 54s] – [HAJI & UMRAH] – Siri 3 – Perempuan Mengerjakan Haji Tanpa Mahram [Video Tematik Hadith]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/PFSIQz2JF8M ]

Video penuh asal – •    • Sesi 2 – Seorang Perempuan Mengerjakan Haj…   (Sunan Abi Daud – Kitab Manasik)

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

PEREMPUAN MENGERJAKAN HAJI TANPA MAHRAM

باب فِي الْمَرْأَةِ تَحُجُّ بِغَيْرِ مَحْرَمٍ

عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، وَهَنَّادٌ، أَنَّ أَبَا مُعَاوِيَةَ، وَوَكِيعًا، حَدَّثَاهُمْ عَنِ الأَعْمَشِ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُسَافِرَ سَفَرًا فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ فَصَاعِدًا إِلاَّ وَمَعَهَا أَبُوهَا أَوْ أَخُوهَا أَوْ زَوْجُهَا أَوِ ابْنُهَا أَوْ ذُو مَحْرَمٍ مِنْهَا ‏”‏

قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ الثَّقَفِيُّ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ بْنُ سَعْدٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي سَعِيدٍ، عَنْ أَبِيهِ، أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ تُسَافِرُ مَسِيرَةَ لَيْلَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا رَجُلٌ ذُو حُرْمَةٍ مِنْهَا ‏”‏ ‏

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ، وَالنُّفَيْلِيُّ، عَنْ مَالِكٍ، ح وَحَدَّثَنَا الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ، حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ عُمَرَ، حَدَّثَنِي مَالِكٌ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي سَعِيدٍ، – قَالَ الْحَسَنُ فِي حَدِيثِهِ عَنْ أَبِيهِ، ثُمَّ اتَّفَقُوا – عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُسَافِرَ يَوْمًا وَلَيْلَةً ‏”‏ ‏.‏ فَذَكَرَ مَعْنَاهُ ‏.‏ قَالَ أَبُو دَاوُدَ وَلَمْ يَذْكُرِ الْقَعْنَبِيُّ وَالنُّفَيْلِيُّ عَنْ أَبِيهِ رَوَاهُ ابْنُ وَهْبٍ وَعُثْمَانُ بْنُ عُمَرَ عَنْ مَالِكٍ كَمَا قَالَ الْقَعْنَبِيُّ ‏.

حَدَّثَنَا يُوسُفُ بْنُ مُوسَى، عَنْ جَرِيرٍ، عَنْ سُهَيْلٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي سَعِيدٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَ نَحْوَهُ إِلاَّ أَنَّ قَالَ ‏ “‏ بَرِيدًا ‏”‏

حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، وَهَنَّادٌ، أَنَّ أَبَا مُعَاوِيَةَ، وَوَكِيعًا، حَدَّثَاهُمْ عَنِ الأَعْمَشِ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُسَافِرَ سَفَرًا فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ فَصَاعِدًا إِلاَّ وَمَعَهَا أَبُوهَا أَوْ أَخُوهَا أَوْ زَوْجُهَا أَوِ ابْنُهَا أَوْ ذُو مَحْرَمٍ مِنْهَا”‏

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ، عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ، قَالَ حَدَّثَنِي نَافِعٌ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ لاَ تُسَافِرُ الْمَرْأَةُ ثَلاَثًا إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏”

حَدَّثَنَا نَصْرُ بْنُ عَلِيٍّ، حَدَّثَنَا أَبُو أَحْمَدَ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ، عَنْ نَافِعٍ، أَنَّ ابْنَ عُمَرَ، كَانَ يُرْدِفُ مَوْلاَةً لَهُ يُقَالُ لَهَا صَفِيَّةُ تُسَافِرُ مَعَهُ إِلَى مَكَّةَ

PEREMPUAN MENGERJAKAN HAJI TANPA MAHRAM

1. Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Abi Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak halal seseorang perempuan Islam bermusafir sejauh perjalanan satu malam melainkan ada bersamanya seorang lelaki yang haram berkahwin dengannya”.

2. Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Abi Hurairah, katanya daripada Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda, “Tidak halal bagi seseorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian bermusafir mengambil masa sehari semalam”. Lalu perawi menyebut makna hadith yang telah tersebut sebelum ini.

3. Hadith Ketiga – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Abi Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, lalu perawi menyebutkan sama dengan makna hadith yang sebelum ini cuma dia menyebutkan “baridan” (jauh perjalanan satu “barid”).

4. Hadith Keempat – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Abi Said, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak halal bagi seseorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian bermusafir dalam perjalanan lebih daripada tiga hari melainkan ada bersamanya ayahnya atau saudaranya atau suaminya atau anak lelakinya atau orang yang haram berkahwin dengannya”.

5. Hadith Kelima – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w., kata Baginda, “Tidak boleh/jangan seseorang perempuan itu bermusafir dalam perjalanan tiga hari (yang mengambil masa tiga hari) melainkan ada bersamanya lelaki yang haram berkahwin dengannya.

6. Hadith Keenam – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nafi’ bahawa Ibnu Umar menggendong hamba perempuannya yang dikenali sebagai Safiyyah. Dia bermusafir bersama Ibnu Umar untuk pergi ke Mekah.

[Ringkasan] Perempuan Mengerjakan Haji Tanpa Mahram

1. Bolehkah seorang perempuan mengerjakan ibadat haji tanpa mahram? Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ sama ada boleh atau tidak seorang perempuan mengerjakan haji tanpa mahram. Kebanyakan ulama’ berpendapat tidak boleh seorang perempuan mengerjakan haji tanpa mahram berdasarkan kepada zahir hadith-hadith dalam bab ini. Ada ulama’ yang menghadkan larangan ini kepada perjalanan untuk mengerjakan haji sahaja dan membolehkan perjalanan untuk tujuan lain dengan tanpa mahram. Ada pula ulama’ menganggap perjalanan tanpa mahram untuk tujuan selain dari mengerjakan haji lebih terlarang kerana untuk mengerjakan haji (yang merupakan suatu ibadat) pun dilarang.

2. Bagi ulama’ yang mengatakan seorang perempuan tidak boleh bermusafir tanpa mahram, mereka berselisih pendapat pula tentang sejauh mana (had waktu atau jarak) larangan ini. Ini adalah kerana zahir hadith ini berbeza-beza. Ada yang mengatakan hadnya satu “barid” (lebih kurang 22 km). Mereka tidak mengambilkira faktor-faktor lain seperti keadaan semasa perjalanan (aman atau bahaya dsb) dalam menetapkan hukum atau had larangan ini.

3. Mengikut kaedah hadith, disebabkan had yang dinyatakan berbeza-beza (i’tirab), maka kita tidak boleh mengambil salah satu darinya.

4. Mengikut pendapat yang lebih tepat, hadith-hadith ini bermaksud untuk menjaga keselamatan wanita dan supaya orang lelaki mengambil berat tentang wanita. Orang perempuan perlu dilindungi dari terancam dan terdedah kepada bahaya-bahaya yang mungkin ada semasa dalam perjalanan. Had masa dan jarak yang berbeza-beza adalah kerana keadaan (keselamatan) yang berbeza-beza. Jika tidak diandaikan demikian, kita dapati hadith ini bercanggah antara satu sama lain.

5. Bahaya dan ancaman yang berlaku kepada wanita boleh berlaku pada setiap zaman dan tidak terhad di zaman Nabi atau di negara-negara Islam sahaja.

6. Bagi mereka yang mengharamkan perjalanan bermusafir tanpa mahram, syarat untuk mengerjakan haji telah gugur kepada wanita yang tidak mempunyai mahram untuk menemaninya.

7. Bagi mereka yang tidak menetapkan syarat adanya mahram untuk mengerjakan haji tetapi sebaliknya mensyaratkan perjalanan mengerjakan haji adalah aman dan selamat, sebagai ganti mahramnya, orang perempuan boleh mengerjakan haji dengan ditemani wanita-wanita yang baik dan dipercayai.

8. Mazhab Hanafi menerima hadith ini sebagai syarat untuk perjalanan mengerjakan haji dan menambah lagi syarat iaitu seseorang perempuan wajib ditemani suami atau mahramnya bukan setakat untuk perjalanan mengerjakan haji tetapi juga semasa mengerjakan haji.

9. Mazhab Shafie menetapkan hanya perlu ada sekurang-kurangnya seorang wanita yang terpercaya yang menemani seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami atau mahram. Ini adalah berdasarkan ayat al-Quran, Surah Ali-‘Imran ayat 97 yang tidak membezakan kewajipan haji di antara orang lelaki dan perempuan.

10. Imam an-Nawawi yang bermazhab Shafie berkata sudah cukup untuk seorang perempuan yang “thiqah” (terpercaya) menemani seorang perempuan untuk mengerjakan haji. Mengikut pendapat sesetengah ulama’ mazhab Shafie, jika perjalanan itu aman, seorang perempuan boleh bermusafir bersendirian, dan ianya terpakai juga untuk perjalanan selain dari perjalanan untuk mengerjakan haji.

11. Bagi mereka yang membolehkan orang perempuan bermusafir tanpa ditemani mahram mereka berdalilkan hadith riwayat Adi Bin Hatim dalam Sahih al-Bukhari. Hadith ini menceritakan akan ada suatu zaman seorang perempuan bermusafir sendirian dari Iraq ke Mekah untuk menunaikan haji. Hadith yang melarang bermusafir tanpa mahram ialah bila adanya kebimbangan tentang keselamatan wanita di dalam perjalanan. Bila perjalanan untuk mengerjakan haji dibolehkan bila keadaan aman, maka perjalanan untuk tujuan lain pun dibolehkan. Ini dibuktikan bila khalifah-khalifah selepas Nabi membenarkan wanita bermusafir tanpa mahram.

12. Dalam konteks zaman sekarang di tempat kita, jika seorang perempuan ingin bermusafir ke Kuala Lumpur untuk bekerja di sana, agak menyulitkan (kepada orang lelaki) untuk sentiasa menemaninya. Apa yang perlu diperhatikan ialah adakah perjalanan itu aman dan selamat.

13. Bagi mereka yang berdalilkan kepada zahir hadith-hadith ini, perbezaan-perbezaan di segi jarak dan tempoh perjalanan menyebabkan kesukaran dalam menentukan apakah had yang sebenar yang dimaksudkan. Mazhab Hanafi menetapkan tempoh musafir yang sekurang-kurangnya tiga hari.

14. Maksud sebenar hadith ini ialah untuk memastikan perjalanan yang aman dan selamat pergi dan balik untuk seseorang perempuan yang bermusafir.

15. Implikasi negatif sekiranya hadith ini diterima secara zahir ialah ianya akan menimbulkan pra-sangka dan sikap saling tidak mempercayai antara orang lelaki dan orang perempuan. Jika diperhatikan dengan teliti dan difahami dengan adil dan benar, hadith-hadith ini menunjukkan Islam memberi perhatian dan mengambil berat kebajikan kaum wanita. Untuk memahami dengan adil dan benar kita hendaklah merujuk banyak (atau semua) hadith-hadith yang berkaitan dan tidak hanya satu atau dua hadith.

16. Agak malang kerana kitab-kitab lama, kecuali sedikit, tidak membincangkan isu ini dengan terperinci dan banyak menekankan tentang tidak bolehnya bermusafir tanpa mahram kepada orang perempuan.

17. Kitab seperti “Fiqh Sunnah” karangan Syed Sabiq adalah sebuah kitab yang baik untuk rujukan tentang perkara ini.

18. Dengan mengikut hadith ini secara zahir menyebabkan kehidupan orang-orang perempuan akan sentiasa terkongkong. Perlu diingat bahawa dalam Islam tidak ada peraturan yang sengaja untuk menyusahkan hidup kita.

19. Hadith kedua maksudnya sama dengan hadith pertama, cuma ada perbezaan di dalam sanadnya. Di dalam hadith ketiga riwayat Said bin Abi Said, ada tambahan satu “barid”. Lain-lain hadith maknanya lebih kurang sama dengan hadith terdahulu. Di dalam hadith kelima, disebutkan secara terperinci siapa yang boleh menemani wanita semasa bermusaifr iaitu ayahnya, suaminya, anak lelaki dll yang berstatus haram kahwin selama-lamanya sama ada disebabkan nasab dan keturunan, persemendaan melalui perkahwinan seperti mertua atau kerana susuan. Hubungan dengan ipar duai hanya haram nikah untuk sementara iaitu selagi dia berkahwin dengan adik beradik seseorang dan tidak termasuk dalam kategori mahram.

20. Hadith terakhir, Ibnu Umar menggendong hamba perempuannya yang bernama “Safiyyah” untuk menunaikan haji di Mekah. Hamba perempuan adalah seperti isteri seseorang, iaitu boleh disetubuhi.

[HAJI & UMRAH] – Siri 2 – Haji Hanya Sekali Yang Wajib & Haji Adalah Umpama Jihad Untuk Wanita

VIDEO – [Durasi – 7m 49s] – [HAJI & UMRAH] – Siri 2 – Haji Hanya Sekali Yang Wajib & Haji Adalah Umpama Jihad Untuk Wanita

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/5OO6juHR0t8 ]

Video penuh asal – •    • Sesi 1 –  Kefardhuan Haji – [Sunan Abi Dau…   (Sunan Abi Daud – Kitab Manasik)

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

HAJI HANYA SEKALI YANG WAJIB & HAJI ADALAH UMPAMA JIHAD UNTUK WANITA

باب فَرْضِ الْحَجِّ

حَدَّثَنَا النُّفَيْلِيُّ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ، عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنِ ابْنٍ لأَبِي، وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ لأَزْوَاجِهِ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ ‏ “‏ هَذِهِ ثُمَّ ظُهُورُ الْحُصْرِ ‏

Haji Hanya Sekali Yang Wajib & Haji Adalah Umpama Jihad Untuk Wanita

Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada seorang anak lelaki bagi Abu Waqid al-Laithi daripada ayahnya (Abu Waqid al-Laithi) katanya: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda kepada isterinya pada haji wada’, “Inilah (sahaja haji yang wajib ke atas kamu). Kemudian kamu hendaklah berada di atas tikar-tikar kamu (berada di rumah, tidak wajib lagi ke atas kamu mengerjakan haji)”.

[Ringkasan] Haji Hanya Sekali Yang Wajib & Haji Adalah Umpama Jihad Untuk Wanita

1. Hadith ini diriwayatkan oleh seorang anak lelaki kepada Abu Waqid al-Laithi daripada ayahnya, Abu Waqid’ al-Laithi. Ianya diriwayatkan secara samar (“mubham”). Sekiranya periwayat ini tidak dapat dikenal pasti, hadith ini menjadi dhaif, kecuali diketahui bahawa dia adalah seorang Sahabat Nabi s.a.w. Dalam hadith lain riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, perawi ini disebut sebagai Ibnu Abi Waqi’, yang bermaksud dia adalah anak yang bernama Waqid. Waqid adalah seorang yang adil dan diterima riwayatnya. Oleh itu hadith ini adalah sahih.

2. Dalam hadith ini ayah kepada Waqid berkata bahawa dia mendengar Nabi s.a.w. berkata kepada isteri-isterinya dalam haji wada’, “Inilah sahaja (haji yang diwajibkan ke atas kamu)”, kemudian beradalah di atas tikar-tikarnya (duduk tetap di rumah), tidak perlu lagi datang ke Mekah untuk mengerjakan haji (yang wajib). Ini menunjukkan bahawa haji hanya wajib dilakukan sekali sahaja seumur hidup. Walaupun begitu, kebanyakan isteri-isteri Nabi, kecuali Saudah dan Zainab, masih lagi pergi menunaikan haji di zaman pemerintahan Saidina Umar dan seterusnya. Mereka menunaikan haji sunat, bukannya haji yang diwajibkan ke atas mereka.

3. Aishah r.ha bertanya kepada Nabi s.a.w., “Apakah boleh jika kami pergi berperang bersama lelaki”. Nabi bersabda bahawa ianya tidak perlu dan jihad bagi kamu (orang perempuan) ialah menunaikan haji. Ini menunjukkan bahawa beliau (Aishah) boleh mengerjakan haji tambahan (sunat) selepas haji yang pertama bersama Nabi.

4. Sabda Nabi supaya menetap di rumah tidak bermakna jangan keluar langsung dari rumah tetapi hanya ingin menyatakan bahawa haji diwajibkan hanya satu kali ke atas seseorang. Oleh itu kita dapati isteri-isteri Nabi keluar juga dari rumah selepas kewafatan Baginda.

5. Selepas Nabi bersabda bahawa jihad untuk orang perempuan ialah mengerjakan haji, Aishah berkata dia tidak akan meninggalkan menunaikan haji kerana beliau menganggap sabda Nabi ini adalah galakan dari Nabi s.a.w. supaya beliau menunaikan haji.

6. Ibnu Battal berkata, hadith ini menunjukkan isteri-isteri Nabi dibenarkan berjihad tetapi yang lebih afdhal bagi mereka ialah menunaikan haji. Dan ini menolak pendapat mereka yang mempertikaikan tindakan Aishah r.ha keluar rumah dan memimpin pasukan di Perang Jamal.

7. Hadith ini tidak sekali-kali bermaksud larangan kepada isteri-isteri Rasulullah daripada keluar rumah tetapi lebih kepada tegahan dari keluar rumah tanpa sebab dan faedah.

8. Daripada hadith ini dapat difahami bahawa ada perintah Nabi yang wajib dipatuhi dan ada juga perintah yang hanya sunat diikuti, tertakluk kepada keadaan.

[HAJI DAN UMRAH] – Siri 1 – Kefardhuan Haji [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 8m 13s] – [HAJI & UMRAH – Siri 1] – Kefardhuan Haji [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/rqXAqYxl4Vs ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 –  Kefardhuan Haji – [Sunan Abi Dau…  

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب فَرْضِ الْحَجِّ حَدَّثَنَا زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ، وَعُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ الْمَعْنَى، قَالاَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ. هَارُونَ، عَنْ سُفْيَانَ بْنِ حُسَيْنٍ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ أَبِي سِنَانٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، أَنَّ الأَقْرَعَ بْنَ حَابِسٍ، سَأَلَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ الْحَجُّ فِي كُلِّ سَنَةٍ أَوْ مَرَّةً وَاحِدَةً قَالَ ‏”‏ بَلْ مَرَّةً وَاحِدَةً فَمَنْ زَادَ فَهُوَ تَطَوُّعٌ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَبُو دَاوُدَ هُوَ أَبُو سِنَانٍ الدُّؤَلِيُّ كَذَا قَالَ عَبْدُ الْجَلِيلِ بْنُ حُمَيْدٍ وَسُلَيْمَانُ بْنُ كَثِيرٍ جَمِيعًا عَنِ الزُّهْرِيِّ وَقَالَ عُقَيْلٌ عَنْ سِنَانٍ ‏.‏

Kefardhuan Haji

Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa al-Aqra’ bin Habis pernah bertanya Nabi s.a.w. katanya, “Wahai Rasulullah! Haji itu pada setiap tahunkah atau satu kali sahaja?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Bahkan satu kali sahaja. Sesiapa yang melakukan lebih dari sekali itu adalah merupakan sunat”.

PERBINCANGAN UMUM TENTANG IBADAT HAJI

1. Ibadat haji adalah seperti puasa di bulan Ramadhan, iaitu perkara yang semua orang Islam tahu bahawa ianya adalah sebahagian dari ajaran Islam. Menafikan kefardhuannya menyebabkan rosak akidah.

2. Selepas hijrah, Nabi s.a.w. mengerjakan haji hanya sekali, iaitu pada tahun 10H (Haji Wada’). Pada tahun kesembilan, Saidina Abu Bakar menjadi ketua rombongan mengerjakan haji ke Mekah. Dalam haji ini, Saidina Abu Bakar menyampaikan amanat Rasulullah bahawa mulai tahun hadapan (10H) hanya orang Islam yang d,benarkan mengerjakan haji.

3. Ada tiga pendapat tentang bilakah ibadat haji difardhukan iaitu, pada tahun 9H, pada tahun 5H dan pada tahun 6H. Berdasarkan pendapat-pendapat tersebut boleh dikatakan bahawa sama ada Nabi, i) terus mengerjakan haji selepas ianya difadhukan (sekiranya difardhukan pada tahun 9H), atau, ii) lima tahun selepas ianya difardhukan (sekiranya difadhukan pada tahun 5H), atau, iii) empat tahun selepas ianya difardhukan (sekiranya difardhukan pada tahun 6H).

4. Bagi mereka yang berpendapat ibadat haji difardhukan pada tahun 5H atau 6H, ini adalah dalil bahawa ibadat haji tidak perlu disegerakan mengerjakannya. Nabi mengambil masa lima atau empat tahun untuk mengerjakannya selepas ianya difardhukan.

5. Walaupun begitu ada ulama’ yang membantah dan berpendapat ibadat haji wajib disegerakan mengerjakannya sekiranya cukup syarat-syaratnya. Mereka berpendapat keringanan untuk melewatkan ibadat haji hanya khusus kepada Rasulullah s.a.w.. Di antara sebabnya ialah Nabi s.a.w. tahu bahawa Baginda tidak akan diwafatkan sehingga mengajarkan cara bagaimana ibadat haji dilakukan. Adakah kita, sebagai orang awam tahu bahawa kita tidak akan dimatikan sebelum mengerjakan ibadat haji? Sebab kedua ialah, keadaan di Mekah tidak sesuai untuk Nabi mengerjakan haji sebelum tahun 10H. Sebelum tahun tersebut jemaah haji bukan Islam mengerjakan haji dengan bertelanjang. Oleh itu Nabi menghantar Saidina Abu Bakar untuk mengetuai rombongan haji orang Islam ke Mekah pada tahun 9H. Di dalam misi ini, Saidina Abu Bakar menyampaikan pesan Nabi s.a.w. bahawa tahun hadapan (10H) orang-orang bukan Islam tidak lagi dibenarkan mengerjakan haji. Pada tahun 10H, Mekah telah “dibersihkan” dan sesuai untuk Nabi mengerjakan haji.

[RINGKASAN] KEFARDHUAN HAJI – [HAJI HANYA WAJIB SEKALI SEUMUR HIDUP]

1. Ibadat haji hanya wajib dikerjakan sekali seumur hidup kecuali ada keadaan tertentu yang mewajibkan dikerjakan lagi seperti nazar.

2. Ini adalah rahmat dari Allah. Tidak boleh dibayangkan kesukaran yang akan dihadapi oleh umat Islam jika ianya diwajibkan pada setiap orang pada setiap tahun terutamanya di zaman ini. Di samping belanja yang besar dan jarak yang jauh, bilangan penganut Islam (yang hampir 2 bilion orang jumlahnya) tidak mampu ditampung oleh tanah haram Mekah.

3. Dari hadith ini, Imam as-Syafie berpendapat orang Islam yang murtad yang kembali kepada Islam dan telah mengerjakan haji sebelum kemurtadannya, tidak perlu mengerjakan haji sekali lagi. Tetapi Imam Malik dan Imam Abu Hanifah berpendapat sebaliknya