[PUASA] – Siri 3 – Mansukhnya FIrman Allah “Dan Mereka Yang Mampu Berpuasa Boleh Membayar Fidyah”

VIDEO – [Durasi – 14m 57s] – [PUASA] – Siri 3 – Mansukhnya FIrman Allah “Dan Mereka Yang Mampu Berpuasa Boleh Membayar Fidyah”

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/C41E2DWh0v0 ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 – Nasakhnya atau Mansuhnya Firman A…   – (Sunan Abi Daud – Kitab Puasa)

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب نَسْخِ قَوْلِهِ ‏{‏ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ ‏}

‏ حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا بَكْرٌ، – يَعْنِي ابْنَ مُضَرَ – عَنْ عَمْرِو بْنِ الْحَارِثِ، عَنْ بُكَيْرٍ، عَنْ يَزِيدَ، مَوْلَى سَلَمَةَ عَنْ سَلَمَةَ بْنِ الأَكْوَعِ، قَالَ لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ ‏{‏ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ‏}‏ كَانَ مَنْ أَرَادَ مِنَّا أَنْ يُفْطِرَ وَيَفْتَدِيَ فَعَلَ حَتَّى نَزَلَتِ الآيَةُ الَّتِي بَعْدَهَا فَنَسَخَتْهَا حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مُحَمَّدٍ، حَدَّثَنِي عَلِيُّ بْنُ حُسَيْنٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ يَزِيدَ النَّحْوِيِّ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، ‏{‏ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ‏}‏ فَكَانَ مَنْ شَاءَ مِنْهُمْ أَنْ يَفْتَدِيَ بِطَعَامِ مِسْكِينٍ افْتَدَى وَتَمَّ لَهُ صَوْمُهُ فَقَالَ ‏{‏ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ‏}‏ وَقَالَ ‏{‏ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ‏}‏ ‏.‏

Mansukhnya FIrman Allah {‏ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ ‏}‏ “Dan Mereka Yang Mampu Berpuasa/Tidak Mampu Berpuasa/Sukar Sekali Berpuasa, Bolehlah Membayar Fidyah”

Hadith Pertama – Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Salamah Bin al-Akwa’ katanya, “Bila turun ayat, وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ kepada orang [(makna pertama), yang mampu mengerjakannya atau (makna kedua), yang tidak mampu mengerjakannya, atau (makna ketiga) yang mampu mengerjakannya tetapi dengan berat sekali] boleh dia bayar fidyah dengan memberi makan kepada orang miskin”. Kata Salamah, bila turun ayat itu sesiapa antara kami yang hendak berbuka (tidak berpuasa) boleh dengan dia membayar fidyah sahaja…sehinggalah turun ayat selepasnya. Maka ayat yang selepasnya memansukhkannya. Hadith Kedua – Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, ‏ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ [“Dengan itu sesiapa di antara mereka yang hendak membayar fidyah dengan memberi makan kepada seorang miskin”], dia boleh buat begitu dan puasanya sempurna. Selepas itu Allah s.w.t. berfirman, ‏ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ‏, maksudnya, “Sesiapa yang hendak memberikan lebih daripada seorang miskin dengan sukarelanya, itu lebih baik lagi kepadanya, dan puasa kamu itu lebih baik lagi bagi kamu”. Dan Allah berfirman: فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ , maksudnya, “Sesiapa yang sempat dengan bulan itu (bulan Ramadhan) dia hendaklah berpuasa di bulan itu. Sesiapa yang sakit atau dia dalam perjalanan (bermusafir) jika dia tidak berpuasa pada siang harinya boleh dia berbuat begitu cuma dia perlu gantikan puasanya pada hari-hari yang lain”.

[Ringkasan] Mansukhnya FIrman Allah {‏ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ ‏}‏ “Dan Mereka Yang Mampu Berpuasa/Tidak Mampu Berpuasa/Sukar Sekali Berpuasa, Bolehlah Membayar Fidyah”

Hadith Pertama – Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Salamah Bin al-Akwa’ katanya, “Bila turun ayat, وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ kepada orang [(makna pertama), yang mampu mengerjakannya atau (makna kedua), yang tidak mampu mengerjakannya, atau (makna ketiga) yang mampu mengerjakannya tetapi dengan berat sekali] boleh dia bayar fidyah dengan memberi makan kepada orang miskin”. Kata Salamah, bila turun ayat itu sesiapa antara kami yang hendak berbuka (tidak berpuasa) boleh dengan dia membayar fidyah sahaja…sehinggalah turun ayat selepasnya. Maka ayat yang selepasnya memansukhkannya.

Hadith Kedua – Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, ‏ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ [“Dengan itu sesiapa di antara mereka yang hendak membayar fidyah dengan memberi makan kepada seorang miskin”], dia boleh buat begitu dan puasanya sempurna. Selepas itu Allah s.w.t. berfirman, ‏ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ‏, maksudnya, “Sesiapa yang hendak memberikan lebih daripada seorang miskin dengan sukarelanya, itu lebih baik lagi kepadanya, dan puasa kamu itu lebih baik lagi bagi kamu”. Dan Allah berfirman: فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ , maksudnya, “Sesiapa yang sempat dengan bulan itu (bulan Ramadhan) dia hendaklah berpuasa di bulan itu. Sesiapa yang sakit atau dia dalam perjalanan (bermusafir) jika dia tidak berpuasa pada siang harinya boleh dia berbuat begitu cuma dia perlu gantikan puasanya pada hari-hari yang lain”.

[Ringkasan] Mansukhnya FIrman Allah {‏ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ ‏}‏ “Dan Mereka Yang Mampu Berpuasa/Tidak Mampu Berpuasa/Sukar Sekali Berpuasa, Bolehlah Membayar Fidyah”


1. Dalam kitabnya “Sunan Abi Daud”, Imam Abu Daud membuat dua bab untuk ayat al-Quran, ‏ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ (Surah al-Baqarah ayat 184), untuk mengemukakan dua pendapat yang berbeza iaitu sama ada ayat ini mansukh atau tidak mansukh.

2. Perlu diingatkan bahawa maksud perkataan “mansukh” dalam kitab hadith ini ialah sebagaimana yang difahami oleh golongan “mutaqaddimin” (ulama’ terdahulu, generasi tiga kurun pertama Islam). Ianya berbeza dengan istilah golongan “mutaakhirin’ (terkini). Golongan mutaakhirin mengatakan bahawa “mansukh” bermaksud ianya terbatal semuanya, manakala golongan mutaqaddimin menganggap batal sebahagiannya pun sudah dikatakan sebagai mansukh. Oleh itu istilah mansukh di kalangan mutaqaddimin adalah lebih umum (dan lebih luas) berbanding dengan kalangan mutaakhirin.    

3. Di peringkat awal puasa di bulan Ramadhan disyariatkan, semua orang (tidak kira sama ada tua atau muda, sihat atau sakit) mempunyai pilihan sama ada untuk berpuasa atau tidak. Untuk mereka yang tidak berpuasa mereka hendaklah membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada seorang miskin.


4. Dalam istilah mutaqaddimin, menghadkan yang umum kepada sesuatu yang khusus juga dikategorikan sebagai mansukh. Dalam ayat al-Quran ini, pada mulanya pilihan untuk tidak berpuasa adalah umum, cuma syaratnya hendaklah membayar fidyah, tetapi kemudiannya dikhususkan kepada orang yang tidak mampu seperti orang tua, orang sakit atau orang yang mengandung atau menyusu. Ianya dikenali dalam usul fiqh sebagai “umum makhsus”. Dalam hal ini, ayat yang pada mulanya umum kemudian dihadkan (dikhaskan) kepada golongan tertentu sahaja. Ini bermakna ayat tersebut tidaklah dimansukhkan semua sekali.


5. Beberapa pendapat yang berbeza di kalangan ulama’ tentang mansukhnya sesuatu ayat al-Quran,                                       i) ada ayat al-Quran yang mansukh semua sekali,                                       ,                                                                                        ii) tidak ada satupun ayat al-Quran yang mansukh,
iii) mansukh dengan pengertian ulama’ mutaqaddimin, seperti, hukum yang umum pada mulanya, kemudiannya dihadkan atau dikhususkan. Dalam istilah mutaakhirin ianya tidak dinamakan mansukh.  


6. Ibnu Abbas dan Imam Abu Daud menggunakan perkataan “mansukh” tetapi tidak dalam pengertian ulama’ mutaakhirin, tetapi seperti yang difahami ulama’ mutaqaddimin. Ayat yang sedang kita bincangkan ini tidak seluruhnya mansukh, yang mansukhnya (dibatalkan hukumnya) ialah, semua orang (sama ada sakit atau tidak) boleh memilih untuk tidak berpuasa asalkan dia membayar fidyah. Mereka yang tidak mampu berpuasa kerana tua, sakit, mengandung atau menyusu masih boleh meninggalkan puasa.


7. Pembahagian mansukh mengikut pengertian mutaqaddimin dan mutaakhirin masih lagi tidak difahami secara meluas kecuali oleh mereka dari aliran hadith.

8. Ayat-ayat al-Quran ini ditujukan kepada tiga golongan iaitu, 

i) orang bermukim yang sihat, wajib atasnya berpuasa,        

ii) orang yang sakit atau bermusafir, diharuskan tidak berpuasa dan kena qadha,                .                        

iii) orang yang boleh berpuasa tetapi dalam keadaan susah dan berat dengan sebab yang tidak akan hilang seperti tua atau sakit kronik. Mereka boleh tidak berpuasa dan membayar fidyah (memberi makan kepada seorang miskin setiap hari puasa yang ditinggalkan). Begitu juga dengan wanita yang mengandung atau menyusu (tetapi mereka perlu menqadha puasanya).                                     .                                                                                                                                                       

9. Proses memfardhukan puasa Ramadhan adalah berperingkat-peringkat sebagaimana dilakukan dalam proses pengharaman arak yang juga dilakukan secara berperingkat. Peringkat-peringkat tersebut ialah,                                          .      i) peringkat pertama, dibolehkan untuk tidak berpuasa, cukup dengan hanya membayar fidyah,                                 .               ii) peringkat kedua, elok berpuasa dari tidak berpuasa, 

iii) peringkat ketiga, wajib berpuasa jika mampu. Untuk mereka yang tidak mampu, hukum asal tetap kekal iaitu boleh meninggalkan puasa tetapi hendaklah membayar fidyah. 


10. Ibnu Abbas menganggap orang yang mengandung sama seperti orang yang sakit berat yang jika berpuasa akan mendatangkan mudarat. Tujuan mengharuskan tidak berpuasa adalah untuk mengelakkan dari “mudarat” dan bukannya kerana “sakit”. Mudarat ini boleh jadi kepada ibu yang mengandung atau anak dalam kandungan.

11. Jika seorang wanita tidak berpuasa kerana mengandung, ada perbezaan pendapat di kalangan ulama’ sama ada  perlu menqadha puasa sahaja atau perlu juga membayar fidyah,

i) Imam Abu Hanifah berpendapat  wanita tersebut perlu qadha puasanya sahaja, tidak perlu membayar fidyah,                    ii) Imam as-Syafie berpendapat wanita tersebut perlu qadha puasanya dan juga membayar fidyah.  

12. Menurut Imam Malik orang yang tidak mampu berpuasa (seperti kerana sakit yang tiada harapan sembuh) tidak wajib berpuasa dan tidak perlu membayar fidyah. Alasannya, orang yang tidak mampu adalah terkecuali dari melakukan ibadat ini (tidak ada sebab untuknya berpuasa).

[PUASA] – Siri 2 – Permulaan Fardhu Puasa (Termasuk Takrif Dan Hikmah Puasa) [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 14m 54s] – [PUASA] – Siri 2 – Permulaan Fardhu Puasa (Termasuk Takrif Dan Hikmah Puasa) [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/edNfln5wLYM ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Permulaan Fardhu Puasa – [Sunan A…   – (Sunan Abi Daud – Kitab Puasa)

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب مَبْدَإِ فَرْضِ الصِّيَامِ

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ شَبُّويَةَ، حَدَّثَنِي عَلِيُّ بْنُ حُسَيْنِ بْنِ وَاقِدٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ يَزِيدَ النَّحْوِيِّ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، ‏{‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ ‏}‏ فَكَانَ النَّاسُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذَا صَلَّوُا الْعَتَمَةَ حَرُمَ عَلَيْهِمُ الطَّعَامُ وَالشَّرَابُ وَالنِّسَاءُ وَصَامُوا إِلَى الْقَابِلَةِ فَاخْتَانَ رَجُلٌ نَفْسَهُ فَجَامَعَ امْرَأَتَهُ وَقَدْ صَلَّى الْعِشَاءَ وَلَمْ يُفْطِرْ فَأَرَادَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ يَجْعَلَ ذَلِكَ يُسْرًا لِمَنْ بَقِيَ وَرُخْصَةً وَمَنْفَعَةً فَقَالَ سُبْحَانَهُ ‏{‏ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ ‏}‏ ‏.‏ وَكَانَ هَذَا مِمَّا نَفَعَ اللَّهُ بِهِ النَّاسَ وَرَخَّصَ لَهُمْ وَيَسَّرَ ‏.‏

حَدَّثَنَا نَصْرُ بْنُ عَلِيِّ بْنِ نَصْرٍ الْجَهْضَمِيُّ، أَخْبَرَنَا أَبُو أَحْمَدَ، أَخْبَرَنَا إِسْرَائِيلُ، عَنْ إِسْحَاقَ، عَنِ الْبَرَاءِ، قَالَ كَانَ الرَّجُلُ إِذَا صَامَ فَنَامَ لَم يَأْكُلْ إِلَى مِثْلِهَا وَإِنَّ صِرْمَةَ بْنَ قَيْسٍ الأَنْصَارِيَّ أَتَى امْرَأَتَهُ وَكَانَ صَائِمًا فَقَالَ عِنْدَكِ شَىْءٌ قَالَتْ لاَ لَعَلِّي أَذْهَبُ فَأَطْلُبُ لَكَ شَيْئًا ‏.‏ فَذَهَبَتْ وَغَلَبَتْهُ عَيْنُهُ فَجَاءَتْ فَقَالَتْ خَيْبَةً لَكَ ‏.‏ فَلَمْ يَنْتَصِفِ النَّهَارُ حَتَّى غُشِيَ عَلَيْهِ وَكَانَ يَعْمَلُ يَوْمَهُ فِي أَرْضِهِ فَذَكَرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَنَزَلَتْ ‏{‏ أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ ‏}‏ قَرَأَ إِلَى قَوْلِهِ ‏{‏ مِنَ الْفَجْرِ ‏}‏ ‏

Permulaan Fardhu Puasa

Hadith Pertama – Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas berhubung dengan firman Allah s.w.t. “Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu”. Orang ramai di zaman Nabi s.a.w. bila selesai bersembahyang Isya’ haramlah kepada mereka makan, minum dan perempuan-perempuan (menyetubuhi isteri-isteri) dan mereka terus berpuasa hingga malam keesokannya. Tiba-tiba ada seorang lelaki mengkhianati dirinya dengan menyetubuhi isterinya. Ketika itu dia telah pun bersembahyang Isya’ tetapi belum lagi berbuka. Maka Allah azzajawalla hendak menjadikan pengkhianatan lelaki itu terhadap dirinya sebagai (sebab kepada) kemudahan untuk orang-orang kemudian (lain) dan sebagai “rukhsah” dan manfaat untuk semua orang. Kerananya Allah s.w.t. berfirman, “Allah tahu kamu sebelum ini mengkhianati diri-diri kamu…” dan ini adalah perkara hukum yang Allah telah berikan manfaatnya kepada manusia. Allah telah memberikan kemudahan dan kesenangan kepada mereka.

Hadith Kedua – Dengan sanadnya, Imam Abu Daud meriwayatkan daripada al-Bara’ katanya: Seseorang itu (di zaman Nabi s.a.w.) bila telah berpuasa lalu dia tertidur dia tidak boleh makan sampai keesokan malam. Sirmah bin Qais al-Ansari kebetulan pulang kepada isterinya. Dia berpuasa. Dia bertanya isterinya, “Adakah sesuatu (makanan) pada kamu?”. Isterinya menjawab, “Tidak ada. Tapi mudah-mudahan nanti saya carikan untuk kamu”. Dia pun pergi. Dan Sirmah pun terlelap. Bila isterinya pulang, isterinya berkata, “Ruginya kamu”. Belum sampai separuh hari keesokannya dia telah jatuh pengsan. Dia sepanjang hari bekerja di tanahnya (ladangnya). Apa yang berlaku itu disebutkan kepada Nabi s.a.w. maka turunlah ayat, “Dihalalkan kepada kamu pada malam hari (Ramadhan) bersetubuh dengan isteri-isteri kamu….”. Nabi membaca ayat itu sehingga sampai kepada, “… waktu fajar”.

[RINGKASAN] Permulaan Fardhu Puasa

1. Salah satu takrif “puasa” ialah: Seseorang menahan diri (dengan berniat) dari makan, minum, mengeluarkan air mani dan muntah dengan sengaja dari fajar hingga maghrib.

2. Faedah puasa:

i) mematahkan nafsu,

ii) mengalahkan syaitan. Kenyang adalah “sungai” dalam diri kita yang didatangi oleh syaitan, lapar pula adalah “sungai” dalam roh manusia yang didatangi oleh malaikat,

iii) menyedarkan orang kaya tentang nikmat Allah kepadanya yang menjadikannya insaf dan bersyukur terhadap anugerah yang diterimanya dan mendorongnya untuk mengasihani dan bersimpati terhadap orang-orang susah.

3. Puasa fardhu Ramadhan mula disyariatkan selepas peristiwa kiblat dipalingkan dari Baitul Maqdis ke Mekah pada tahun kedua Hijrah. Sebelum daripada itu yang ada hanya puasa-puasa sunat.

4. Hadith Pertama – Menurut hadith ini, umat-umat sebelum Nabi Muhammad juga diwajibkan berpuasa sebagaimana ayat 183, Surah al-Baqarah yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu”. Pada peringkat awal puasa difardhukan, selepas berpuasa sepanjang hari, sekiranya mereka tidak berbuka sehingga selepas menunaikan solat Isya’ mereka hendaklah menyambung puasa itu dan tidak boleh makan dan melakukan perkara–perkara yang membatalkan puasa. Ada Sahabat yang gagal menurut perintah ini dengan melakukan persetubuhan dengan isterinya.

5. Selepas peristiwa ini peraturan puasa berubah di mana dibenarkan makan dan minum dan melakukan lain-lain larangan pada waktu malam selepas berbuka. Apa yang berlaku (iaitu Sahabat bersetubuh dengan isteri di waktu yang dilarang) adalah disebabkan Allah ingin memberi kemudahan kepada kita dalam menjalani ibadat puasa. [Nota: Kita tidak boleh menuduh sesuatu yang tidak elok dan biadab terhadap Sahabat-Sahabat Nabi kerana melanggar perintah Allah ini]. Dengan berlakunya “pelanggaran” ini, umat Muhammad mendapat kelonggaran dan kemudahan berbanding umat-umat Nabi terdahulu. Peristiwa ini juga untuk menggambarkan bahawa Sahabat-Sahabat Nabi adalah juga manusia biasa yang melakukan salah dan silap. Ianya mengajar kita supaya tidak terlalu kecewa dan berputus asa apabila terjerumus di dalam dosa dan kesalahan. Yang penting ialah kita segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Perlu dijelaskan bahawa hadith ini adalah dhaif.

6. Hadith Kedua – Jika seseorang tertidur tetapi belum berbuka puasa, dia tidak boleh makan dan minum lagi selepas itu. Seorang Sahabat, Sirmah Bin Qais pulang dari bekerja dan bertanya isterinya ada atau tidak makanan untuk berbuka puasa. Isterinya menjawab tiada tetapi dia akan keluar mencarinya. Sekembalinya ke rumah dengan membawa balik makanan, suaminya telah tertidur. Sirmah meneruskan puasanya dengan tidak berbuka pada hari itu. Sebelum tengah hari keesokan harinya dia pengsan semasa bekerja di ladangnya.

Kisah ini diceritakan kepada Nabi lalu Nabi memberitahu bahawa ada ayat al-Quran yang turun yang bermaksud, “Dihalalkan kepada kamu pada malam hari bersetubuh dengan isteri-isteri kamu…(sehingga)…iaitu waktu fajar”, (al-Baqarah, ayat 187).

7. Antara pengajaran dari hadith ini ialah

i) Maklumat tentang sejarah bagaimana orang-orang terdahulu berpuasa,

ii) Kemesraan suami isteri. Dapat diketahui bahawa tugas menguruskan rumah tangga seperti memasak, membasuh pakaian dan seumpamanya dilakukan oleh isteri. Adalah tidak tepat pendapat sesetengah orang yang kononnya hendak menerapkan Islam meletakkan semua tugas termasuk menguruskan rumah tangga kepada suami. Adat kebiasaan masyarakat di zaman Nabi (‘uruf) adalah menyerahkan tugas menguruskan rumah tangga kepada isteri.

8. Di dalam hadith ini dinyatakan bahawa isteri Sirmah keluar mencari makanan. Sebenarnya di rumah Sirmah sudah ada buah tamar, tetapi Sirmah teringin makan gandum. Dinyatakan dalam suatu hadith yang lain, isteri Sirmah keluar mencari makanan dengan menukarkan tamar yang dipunyainya dengan gandum. Di sini dilihat isteri juga memainkan peranan dalam sebuah rumah tangga.

[PUASA] – Siri 1 – Selayang Pandang Puasa & Kelebihan Ramadhan [VIDEO TEMATIK HADITH]

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 18m 20s] – [PUASA – Siri 1] – Selayang Pandang Puasa & Kelebihan Ramadhan [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/ReUehEdZ6xs ]

Video penuh asal – Sesi 1 – Kelebihan Bulan Ramadhan – [Sahih…

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب فَضْلِ شَهْرِ رَمَضَانَ ‏‏ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ، وَقُتَيْبَةُ، وَابْنُ، حُجْرٍ قَالُوا حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، – وَهُوَ ابْنُ جَعْفَرٍ – عَنْ أَبِي سُهَيْلٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، – رضى الله عنه – أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ ‏”‏ ‏.

Bab – Kelebihan Bulan Ramadhan

Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bila tiba Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dipasungkan syaitan-syaitan”.

SELAYANG PANDANG TENTANG IBADAT PUASA

1. Menjalani ibadat puasa adalah lebh berat dan membebankan kepada manusia berbanding ibadat lain kerana terpaksa menekan nafsu makan, minum dan hubungan kelamin. Tiada yang terkecuali dari kewajipan berpuasa tidak kira sama ada dia kaya atau miskin, tua atau muda.

2. Di segi bahasa “saum” (puasa) bermaksud menahan diri dari apa-apa perkara. Di segi syarak ianya bermaksud, “menahan diri dengan cara-cara tertentu, pada masa tertentu, oleh orang-orang tertentu dengan syarat-syarat tertentu”.

3. Puasa disyariatkan pada tahun kedua Hijrah. Puasa juga telah diwajibkan kepada kaum -kaum terdahulu sebelum Islam.

4. Tujuan disyariatkan berpuasa ialah, i) supaya mudah-mudahan kita menjadi orang yang bersyukur dan, ii) supaya menjadi orang yang bertaqwa.

5. Kita akan bersyukur jika kita tahu betapa tingginya nilai nikmat yang kita perolehi. Dengan berpuasa kita tahu tingginya nilai nikmat makan dan minum. Selepas berlapar dan dahaga berpuasa, kita akan lebih mensyukuri nikmat makan minum yang kita miliki dan kita lebih cakna kepada orang-orang susah di sekeliling kita.

6. Puasa melatih kta taat dengan perintah Allah yang melarang kira dari menikmati makanan yang selama ini halal, juga hubungan dengan isteri kita yang sah. Latihan mentaati Allah dalam perkara-perkara yang sebelumnya halal ketika berpuasa, akan menyebabkan kita secara nalurinya mengelak diri dari perkara yang sememangnya haram dari awal.‏

[RINGKASAN] Kelebihan Bulan Ramadhan

1. Bila tiba Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dipasungkan syaitan-syaitan.

2. Selain dari itu, antara kelebihan Ramadhan ialah diwajibkan berpuasa di bulan tersebut dan al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadhan.

3. Imam an-Nawawi menyebut, ada tiga pendapat tentang apakah maksud “pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dipasung (dirantai)”.

Pendapat pertama: Menerimanya sebagai zahir hadith iaitu pintu-pintu syurga benar-benar dibuka, pintu neraka benar-benar ditutup dan syaitan benar-benar dipasung. Selari dengan pendapat ini, pintu syurga ditutup di luar bulan Ramadhan dan pintu neraka dibuka di luar bulan Ramadhan. Tetapi ada satu hadith yang seolah-olah bercanggah dengan hadith ini iaitu pintu neraka dibuka dua kali dalam setahun. Penyelesaiannya mungkin dengan menganggap syurga dan neraka ada banyak pintu dan kita tidak tahu pintu manakah yang terbuka dan tertutup. .

Pendapat kedua: Hadith ini difahami secara “majazi” (bahasa pinjaman). Pintu-pintu syurga dan neraka bukan benar-benar terbuka atau tertutup tetapi mengisyaratkan kepada banyaknya pahala yang keampunan dalam bulan Ramadhan ini.

Syaitan pula sedikit gangguan dan tipu dayanya seolah-olah seperti orang yang terbelenggu. Syaitan “diberkas”, tetapi bukan untuk semua perkara, dan kesannya bukan ke atas semua orang. Ia dihalang mengganggu manusia tetapi tidak kepada semua manusia. “Ditutup pintu neraka” bermaksud Allah tidak hendak manusia melakukan kederhakaan sehingga dihumbankan ke dalam neraka. “Pintu syurga” pula bermaksud pintu rahmat. Dalam hadith lain, syaitan yang “diberkas” ialah syaitan yang ganas sahaja, tidak semua syaitan.

Pendapat ketiga: Maksud buka pintu syurga ialah Allah buka bentuk-bentuk ketaatan dan ibadat di bulan Ramadhan yang tidak ada di bulan lain seperti puasa, qiam, lailatul qadr, gandaan pahala dsb. Jika diamalkan, ibadat ini akan membuka pintu kepada syurga dan menutup jalan ke neraka. Syaitan di”berkas” bermaksud manusia menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah. Orang Islam yang terdidik dengan Ramadhan akan menghindarkan diri dari melakukan maksiat kepada Allah.

4. Ramai ulama’ yang menerima pendapat pertama dan tak kurang yang setuju dengan pendapat kedua. Antara persoalannya, mengapa masih ada orang Islam, lebih-lebih lagi orang kafir yang melakukan maksiat di bulan Ramadhan sedangkan syaitan sudah dirantai. Pendokong pendapat pertama mengatakan bahawa maksiat adalah hasil dari godaan hawa nafsu yang tidak terkawal sebelum ini, bukannya dari godaan syaitan.

5. Kemusykilan dan bantahan lain terhadap pendapat pertama ialah terdapatnya gangguan-gangguan dari makhluk halus di bulan Ramadhan sedangkan syaitan-syaitan telah dirantai.

6. Sebagai kesimpulannya, ulama’ berbeza pendapat tentang maksud hadith ini, tetapi pendapat kedua (hadith ini difahami secara “majazi”) mungkin lebih tepat kerana ianya tidak bercanggah dengan hadith pintu neraka dibuka dua kali dalam setahun, masih terdapat ramai yang melakukan maksiat di bulan Ramadhan walauapun syaitan dirantai dan masih ada makhluk-makhluk halus (syaitan) melakukan gangguan-gangguan “fizikal’ ke atas manusia di bulan Ramadhan.

SELINGAN – Amalan berpuasa terbukti mengurangkan kesan beberapa penyakit. Gaya hidup di segi makan minum banyak mempengaruhi tahap kesihatan kita.