Mustalah Al Hadith – Sesi 35 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 24- Jan-16
RIWAYAH AL-ABNAA ‘AN AL-AABAA
RIWAYAH AL-ABNA `AN AL-ABA
Definisi
Terdapat di dalam sanad hadis seorang anak meriwayatkan daripada bapanya sahaja atau daripada bapanya daripada datuknya.
Bahagiannya Yang Paling Penting
Bahagian periwayatan ini yang paling penting ialah yang tidak disebutkan nama bapa atau datuk kerana ia memerlukan kepada kajian untuk mengetahuinya.
Bahagian-Bahagiannya
Ada dua:
Periwayatan anak daripada bapanya sahaja iaitu tanpa meriwayatkan daripada datuk. Ini yang banyak berlaku. Contohnya seperti riwayat Abu al-`Ushara’ daripada bapanya.
Periwayatan seorang perawi daripada bapanya daripada datuknya atau daripada bapanya daripada datuknya dan sehingga ke atas. Contohnya seperti riwayat `Amr bin Shu’ayb daripada bapanya daripada datuknya.
Antara Faedahnya
Mengkaji dan menyelidik bagi mengetahui nama bapa atau datuk bila tidak dinyatakan dengan jelas.
Menjelaskan siapakah yang dimaksudkan dengan datuk. Adakah itu datuk kepada anak atau datuk kepada bapa.
Kitab-Kitab Yang Paling Masyhur
“Raiwayah al-Abna’ `An Aba`ihim” oleh Abu Nasr `Ubaydullah bin Sa’id al-Wa`ili.
“Juz`Man Rawa `An Abihi `An Jaddih” oleh Ibn Abi Khaythamah
“Kitab al-Washy al-Mu’lim Fi Man Rawa `An Abihi `An Jaddihi `An a-Nabiyy s.a.w.” karangan al-Hafiz al-`Ala`i.
AL-MUDABBAJ WA RIWAYAH AL-AQRAN
Definisi al-Aqran
Bahasa: “al-Aqran” jama’ “qarin” dengan makna orang sentiasa mendampingi temannya, sebagaimana disebutkan dalam al-Qamus al-Muhit.
Istilah: Perawi-perawi yang hampir sama dari segi umur dan sanad.
Definisi Riwayah al-Aqran
Salah seorang “qarin” yang meriwayatkan daripada seorang lagi. Seperti riwayat Sulayman al-Taymi daripada Mis’ar bin Kidam. Mereka berdua adalah qarin tetapi tidak diketahui Mis’ar ada meriwayatkan daripada al-Taymi.
Definisi al-Mudabbaj
Bahasa: Kata nama objek daripada “Tadbij” dengan makna menghiaskan. “Tadbij” itu berasal daripada perkataan “Dibajatay al-Wajh” iaitu dua belah pipi seolah-olah dinamakan “al-Mudabbaj” kerana persamaan antara-antara perawi dengan orang yang diriwayatkan daripadanya sebagaimana persamaan pada dua pipi. Istilah: dua orang qarin yang saling meriwayatkan hadis antara satu sama lain .
Contoh al-Mudabbaj
Pada Sahabat riwayat `A`ishah daripada Ab Hurayrah dan riwayat Abu Hurairah daripada `A’ishah.
Pada tabi’in: riwayat al-Zuhri daripada `Umar bin `Abd al-`Aziz dan riwayat `Umar bin `Abd al-‘Aziz daripada al-Zuhri
Pada tabi’in al-Tabi’in: riwayat Malik daripada al-Awza’i dan riwayat al-Awza’i daripada Malik.
Antara Faedahnya
Supaya tidak disangka terdapat penambahan perawi pada sanad
Supaya tidak disangka lafaz (‘an) ditukar dengan lafaz (waw)
Kitab-Kitab Yang Terkenal
“Al’ Mudabbaj” oleh al-Daruqutni
“Riwayah al-Aqran” oleh Abu al-Shaykh al-Ashfahani.
Mustalah Al Hadith – Sesi 34 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 18- Jan-16
AL-MUSALSAL
Definisi:
Pada bahasa: “al-Musalsal” ialah kata nama objek “al-Salsalah” iaitu bersambung sesuatu dengan yang lain, daripadanya terbit perkataan “Silsilah al-Hadid” (rantai besi) dinamakan dengan demikian kerana keserupaannya dengan “silsilah” dari sudut pertautan atau persamaan antara juzu’-juzu’.
Pada istilah: Berterusan perawi-perawi sanad dengan satu sifat atau keadaan para perawi atau juga pada periwayatan.
Huraian Ta’rif
Hadis musalsal iaitu hadis yang perawi-perawi berturut-turut dengan:
Berkongsi satu sifat
Berkongsi satu keadaan
Berkongsi satu sifat periwayatan
Bahagian-bahagiannya
Daripada huraian ta’rif jelas bahawa “musalsal” mempunyai tiga bahagian iaitu:
“Musalsal” dengan keadaan perawi, “musalsal” dengan sifat perawi dan “musalsal” dengan sifat periwayatan. Berikut ini penjelasan bagi setiap bahagian tersebut.
Musalsal dengan keadaan perawi-perawi
“Musalsal” dengan keadaan perawi-perawi itu sama ada ucapan sahaja, perbuatan sahaja atau kedua-duanya sekali.
Musalsal Dengan Keadaan Perawi Secara Ucapan
Seperti hadis Mu’az bin Jabal bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya
“Wahai Muaz, sesungguhnya aku menyintaimu maka ucapkanlah setiap kali engkau selesai bersembahyang: Ya Allah, tolonglah aku untuk mengingati, mensyukuri dan mengelokkan ibadat kepada Engkau.” Berlaku tasalsul dalm periwayatan hadis ini dengan kata-kata setiap perwainya, “sesungguhnya aku menyintaimu maka ucapkanlah.
Musalsal Dengan Keadaan Perawi Secara Perbuatan
Seperti hadis Abu Hurayrah berkatanya,
Rasulullah s.a.w menyilang antara jari-jariku dan bersabda: “Allah menciptakan bumi pada hari Sabtu”
Setiap perawi telah meriwayatkan secara musalsal denga menyilang jari-jari perawi yang meriwayatkan hadis ini daripadanya.
Musalsal Dengan Keadaan Perawi Secara Ucapan Dan Perbuatan
Seperti hadis yang diriwayatkan Anas katanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Seseorang itu tidak akan mengecapi kemanisan iman sehinggalah dia beriman dengan taqdir, baik dan buruknya, manis dan pahitnya, dan Rasulullah s.a.w menggenggam janggutnya sambil mengucapkan: “Aku beriman dengan taqdir baik dan buruknya, manis dan pahitnya.”
Setiap perawi telah meriwayatkan secara musalsal dengan menggengam janggut dan mengucapkan, aku beriman dengan takdir baik dan buruknya, manis dan pahitnya.
Musalsal Dengan Sifat-Sifat Perawi
Sifat perawi merangkumi ucapan dan juga perbuatan:
Musalsal Dengan Sifat-Sifat Perawi Secara Ucapan
Seperti hadis musalsal dengan bacaan surah al-Saff. Hadis ini menjadi musalsal kerana setiap perawi mengucapkan, si fulan membacanya dengan cara seperti ini.
Al-`Iraqi berkata: “Sifat-sifat perawi secara ucapan dan keadaan mereka secara ucapan sangat hampir bahkan saling menyerupai”.
Musalsal Dengan Sifat-Sifat Perawi Secara Perbuatan
Seperti sama nama-nama perawi seperti musalsal perawi bernama Muhammad, atau sama nama-nama mereka, musalsal fuqaha’ atau hafiz-hafiz hadis atau sama nisbah seperti perawi-perawi Dimashq atau Mesir.
Musalsal Dengan Sifat Periwayatan
Sifat periwayatan sama ada berkaitan dengan lafaz-lafaz penyampaian, masa periwayatan atau tempat periwayatan.
Musalsal lalfaz-lafaz penyampainan seperti hadis musalsal dengan kata-kata setiap perawinya: saya telah mendengar, si fulan telah memberitahu kepada saya.
Musalsal masa periwayatan, seperti hadis musalsal dengan periwayatan pada hari raya.
Musalsal tempat periwayatan seperti hadis musalsal tentang dimaqbulkan doa di Multazam.
Hadis Musalsal Yang Paling Utama
Ialah yang menunjukkan kepada bersambung-sambung mendengar tanpa berlaku tadlis.
Faedah:
Mempunyai ketepatan (dabt) tambahan pada perawi-perawi.
Adakah Disyaratkan Ada “Tasalsul” Pada Semua Sanad?
Tidak disyaratkan ada “tasalsul” pada semua sanad kerana kadang-kadang “tasalsul” itu terputus di tengah atau di akhir sanad. Walau bagaimanapun ulama menyebutkannya sebagai hadis ini “musalsal” setakat si fulan.
Tidak Ada Kaitan Antara “Tasalsul” Dan Kesahihan
Sedikit sekali hadis musalsal selamat dari kedha’ifan walaupun asal hadis itu sahih bukan melalui jalan “tasalsul”.
Karangan Yang Paling Masyhur
“Al-Musalsal al-Kubra” oleh al-Suyuti, mengandungi 85 hadis.
“Al-Manahil al-Salsalah Fi al-Ahadith al-Musalsalah” oleh
RIWAYAH AL-AKAABIR `AN AL-ASAAGHIR
Definisi
Dari sudut bahasa: “al-Akabir” jama’ kepada “akbar” iaitu yang lebih tua, “al-Asaghir” jama’ “asghar” iaitu yang lebih muda. Maksudnya ialah periwayatan perawi-perawi yang lebih tua daripada perawi-perawi yang lebih muda.
Dari sudut istilah: Periwayatan seseorang perawi daripada orang yang lebih rendah daripadanya dari sudut umur dan “tabaqah” (kelas atau generasi) atau dari sudut ilmu dan hafalan.
Huraian Definisi
Seorang perawi meriwayatkan daripada orang yang lebih muda daripadanya dan lebih rendah “tabaqah”nya. Rendah pada “tabaqah” seperti periwayatan sahabat daripada tabi’in dan sebagainya.
Atau periwayatan daripada perawi yang kurang ilmu atau hafalan seperti periwayatan seorang alim yang hafiz daripada seorang syeikh walaupun syeikh itu lanjut usia. Bagaimanapun patut diberi perhatian bahawa semata-mata lebih tua atau terdahulu dalam “tabaqah” tanpa ada persamaan pada ilmu daripada orang yang diambil riwayat daripadanya tidak memadai untuk dinamakan “Riwayah al-Akaabir`An al-Asaaghir”. Contoh-contoh berikut akan menjelaskan perkara ini.
Bahagian-Bahagian Dan Contoh-Contohnya
Riwayah “al-Akaabir `An al-Asaaghir” ini dapat dibahagikan kepada tiga bahagian:
Perawi itu lebih tua dan tabaqahnya lebih terdahulu daripada orang yang diambil riwayat daripadanya. (Ya’ni di samping ilmu dan hafalan).
Perawi itu lebih tinggi kedudukan bukan dari segi usia daripada orang yang diambil riwayat daripadanya. Seperti riwayat hafiz alim daripada syeikh yang tua yang tidak hafiz. Seperti riwayat Malik daripada `Abdullah bin Dinar.( Malik adalah seorang imama dan hafiz manakala Abdullah bin Dinar adalah seorang syeikh, perawi sahaja walaupun dia lebih tua dari Malik)
Perawi itu lebih tua dan lebih tinggi kedudukan daripada orang yang diambil riwayat daripadanya yakni lebih tua dan lebih alim. Seperti riwayat al-Barqani daripada al-Khatib.
(Al-Barqani lebih tua dari al-Khatib dan lebih tinggi kedudukan daripadanya kerana beliau seorang sheikh dan gurunya serta lebih alim daripadanya.
Antara Riwayah al-Akabir `An al-Asaghir
Riwayah sahabat daripada tabi’in seperti riwayat al-`Abadilah (iaitu empat orang sahabat yang bernama ‘Abdillah iaitu Abdullah bun Umar, ‘Abdullah Bn ‘Abbas, ‘Abdullah bin Az-Zubair ‘Abdullah bin Amr bin al-‘As) dan lain-lain daripada Ka’b bin al-Ahbar.
Riwayat tabi’in daripada tabi’- tabi’in seperti riwayat Yahya bin Sa’id al-Ansari daripada Malik.
Faedah mengetahui Riwayah al-Akabir `An al-Asaghir
Supaya tidak dianggap orang yang diambil riwayat daripadanya lebih utama dan lebih tua daripada perawi kerana itulah yang biasa.
Supaya jangan disangka berlaku pertukaran dan pembalikan dalam sanad kerana kebiasaannya periwayatan itu oleh perawi yang lebih muda daripada yang lebih tua.
Karangan Yang Masyhur
Kitab “Ma Rawahu al-Kibar `An al-Sighar Wa al-Aba `An al-Abna’” oleh Hafiz Abu Ya’qub Ishaq bin Ibrahim al-Warraq yang meninggal dunia pada tahun 403H
Mustalah Al Hadith – Sesi 31 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 27- Dis-16
PERBAHASAN KEEMPAT
Kaifiat Periwayatan Hadis
Yang dimaksudkan tajuk ini ialah kaifiat yang digunakan untuk meriwayatkan hadis dan adab-adab yang perlu dimiliki serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Sebahagiannya telahpun dibincangkan dalam perbahasan yang lalu. Di sini ada beberapa perkara yang tertinggal:
Adakah harus periwayatan perawi daripada kitabnya apabila ia tidak mengingati apa di dalamnya ?
Ini merupakan perkara yang diperselisihkan oleh para ulama. Ada yang bersikap keras, bermudah dan bersederhana.
Ulama yang bersikap keras menegaskan tidak boleh dijadikan hujah melainkan apa yang diriwayatkan oleh perawi berdasarkan kepada ingatannya. Pendapat ini dinukilkan daripada Malik, Abu Hanifah dan Abu Bakar al-Saydalani al-Shafi’i.
Ulama yang bersikap mudah dan longgar meriwayatkan hadis daripada catatan-catatan yang tidak dibandingkan dengan naskhah asal atau dengan usulnya, antara mereka ialah Ibn Lahi’ah.
Ulama yang sederhana dan mereka itu mewakili majoriti berpendapat, apabila perawi mencukupi syarat-syarat dalam penerimaan hadis dan membandingkannya, maka harus kepadanya meriwayatkan hadis daripada kitab walaupun kitab tidak ada padanya jika kitabnya itu diyakini selamat daripada penukaran dan pengubahan. Terutamanya jika perawi itu dari kalangan perawi yang mengetahui berlakunya pengubahan secara umum.
Hukum Periwayatan Orang Buta Yang Tidak Menghafaz Apa Yang Telah Didengarinya
Apabila seorang perawi buta yang tidak mengingati apa yang telah didengarinya meminta pertolongan daripada perawi thiqah untuk menulis hadis yang didengarinya, dicatat dan dijaga tulisannya serta dia amat cermat ketika membaca kepada perawi buta itu dan diyakini selamat daripada perubahan maka sah periwayatannya di sisi kebanyakan ulama hadis. Perawi buta itu dikira seperti orang buta huruf yang tidak menghafaz.
Periwayatan Hadis Dengan Makna Dan Syarat-Syaratnya
Ulama berbeza pendapat tentang keharusan dan larangannya.
Satu golongan ulama hadis, usul dan fiqh telah melarang periwayatan hadis dengan makna. Antara yang berpendapat demikian ialah Ibn Sirin dan Abu Bakar al-Razi.
Majoriti ulama salaf termasuk ahli hadis dan ulama usul dan fiqh mengharuskannya termasuklah imam yang empat.
Ulama yang mengharuskan periwayatan secara makna telah meletakkan beberapa syarat:
Perawi tersebut hendaklah mengetahui lafaz-lafaz (Arab) dan makna-maknanya.
Mahir dengan sesuatu yang mengubah makna lafaz.
Keharusan ini bukan dalam bab penulisan kerana tidak harus meriwayatkan hadis dengan makna dalam tulisan dan tidak harus juga mengubah lafaz walaupun dengan makna yang sama. Ini kerana keharusan riwayat secara makna itu adalah kerana terpaksa apabila perawi itu tidak mengingati salah satu kalimah. Setelah periwayatan hadis sudah tetap dan sabit dalam kitab-kitab maka sudah tidak ada lagi keadaan terpaksa untuk meriwayatkan hadis dengan makna. Bagaimanapun, seeloknya bagi perawi yang menyampaikan hadis dengan makna mengucapkan “atau seperti yang disabdakan”, “lebih kurang seperti itu” atau “lebih kurang sama dengannya”.
“Al-Lahn” : Kesilapan Nahu Dalam Hadis Dan Puncanya
Sebab utama “al-lahn” dalam hadis iaitu salah membaca hadis ialah:
Tidak mempelajari ilmu nahu dan bahasa. Oleh itu menjadi kewajipan kepada pelajar hadis mempelajari nahu dan bahasa yang dapat mengelakkannya daripada “lahn” dan “tashif”. Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan daripada Hammad bin Salamah, “Perumpamaan mereka yang mempelajari hadis tetapi tidak mengetahui nahu adalah seperti keldai yang membawa guni tanpa barli”
Mengambil hadis dari buku dan lembaran kertas tanpa melalui guru.
Kita telahpun membincangkan tentang beberapa cara penerimaan dan penyampaian hadis. Ada di antaranya itu lebih kuat berbanding dengan yang lain. Metode yang paling kuat ialah mendengar hadis dari mulut syeikh atau yang dibacakan kepada syeikh. Sewajibnya kepada mereka yang terlibat dengan hadis hendaklah menerimanya dari mulut syeikh yang alim dan tahqiq sehingga terselamat daripada kesalahan dan pengubahan dan tidak sepatutnya pelajar hadis mendapatkan kitab-kitab lalu mengambil daripadanya hadis-hadis dengan menganggap itulah guru-gurunya kerana itu hanya memperbanyakkan silap dan “tashif”. Oleh sebab itu sejak dahulu lagi ulama menegaskan: “Janganlah diambil al-Quran daripada “mushafi” (orang yang mengambil al-Quran darui mushaf tanpa mempelajarinya dari guru-guru dan qari’) dan jangan diterima hadis daripada sahafi” (orang yang mengambil hadis daripada buku dengan tidak berguru dengan para sheikh hadis).
GHARIB AL-HADITH
Pengertian bahasa
Menurut pengertian bahasa, “al-Gharib” ialah seorang yang berjauhan dari sanak saudaranya. Yang dimaksudkan dengan lafaz ini ialah lafaz-lafaz yang tersembunyi maknanya. “Gharuba” sama timbangan dengan maknanya “ghamuda” (sukar) dan “khafiya” (tersembunyi)
Pengertian Istilah
Lafaz yang sukar yang terdapat dalam hadis yang jauh untuk difahami kerana jarang penggunaannya.
Kepentingan Dan Kesukarannya
Bahagian ini merupakan cabang ilmu yang sangat penting dan amat tercela jika ahli hadis tidak mengetahuinya. Namun demikian seseorang perlu berhati-hati dalam mengharungi bidang ini lantaran kerana kesukarannya. Hendaklah mereka yang memasukinya bertaqwa kepada Allah daripada berani menafsirkan kata-kata Rasulullah s.a.w dengan semata-mata sangkaan dan ulama salaf cukup teliti tentangnya.
Sebaik-baik Penafsiran
Sebaik-baik penafsiran ialah dengan melihat kepada riwayat lain yang menjelaskannya seperti hadis `Imran bin Husayn tentang sembahyang pesakit,:
“Hendaklah bersembahyang dengan berdiri, jika tidak mampu maka duduklah, jika tidak mampu maka dia berbaring di atas lambung.”
Lafaz “ `ala janb” itu telah ditafsirkan oleh hadis `Ali dengan lafaznya, di atas rusuk kanannya dalam keadaan mengadap kiblat dengan mukanya.
Kitab-Kitab Yang Termasyhur
“Gharib al-Hadith” oleh Abu al-Qasim Ibn Sallam
“Al-Nihayah Fi Gharib al-Hadith Wa al-Athar” oleh Ibn al-Athir. Ini adalah kitab gharib hadis yang terbaik.
“Al-Durr al-Nathir” oleh al-Suyuti, ringkasan kepada al-Nihayah. 4. “Al-Faiq” oleh al-Zamakhshari.
Mustalah Al Hadith – Sesi 32- Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 3- Jan-16
FASAL KEDUA
ADAB-ADAB PERIWAYATAN HADIS
PERBAHASAN PERTAMA : ADAB GURU HADIS
PERBAHASAN KEDUA : ADAB PELAJAR HADIS
PERBAHASAN PERTAMA
Adab-adab Guru Hadis
Pendahuluan
Oleh kerana menyibukkan diri dengan hadis merupakan cara yang paling utama untuk mendekatkan diri kepada Allah s..w.t. dan tugas yang paling mulia, maka orang yang terlibat dengannya dan menyebarkannya di kalangan orang ramai sepatutnya menghiaskan diri dengan akhlak-akhlak yang mulia dan penampilan yang elok. Dia mestilah menjadi gambaran yang tepat kepada apa yang diajarkan kepada orang ramai di samping terlebih dahulu mempraktikkannya pada diri sendiri sebelum menyuruh orang lain.–
Sifat-sifat utama yang guru hadis perlu menghiaskan diri dengannya:
Membetulkan niat dan mengikhlaskannya. Mensucikan hati daripada tujuan-tujuan dunia seperti suka menjadi ketua dan cintakan kemasyhuran.
Hendaklah kesungguhannya yang utama untuk menyebarkan hadis, menyampaikan daripada Rasulullah s.a.w. untuk mendapatkan ganjaran pahala yang besar (yakni sebagai melaksanakan perintah Rasulullah s.a.w:”Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat”, dan “Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada orang tidak hadir”)
Tidak menyampaikan hadis di hadapan orang yang lebih utama daripadanya dari segi usia dan keilmuan.
Menunjukkan orang yang bertanya kepadanya tentang sesuatu hadis yang ada pada ahli hadis yang lain.
Tidak mengelakkan diri daripada menyampaikan hadis kepada seseorang kerana merasakan dia seorang yang tidak ikhlas. Orang itu diharapkan dapat memperbaiki niatnya.
Mengadakan majlis untuk menyampaikan dan mengajar hadis apabila sudah berkelayakan kerana itu peringkat periwayatan yang tertinggi (Majlis ini dinamakan dengan majlis “imlaa’ ” hadis yang diadakan pada hari-hari tertentu samada untuk umum atau pelajar-pelajar khusus mengikut kesesuain audiens)
Perkara-perkara Yang Digalakkan Apabila Menghadiri Majlis Mencatatkan Hadis
Membersihkan diri, memakai wangian dan menyikat janggut.
Duduk dengan tenang dan kelihatan hebat sebagai membesarkan hadis Rasulullah s.a.w.
Menghadapkan wajahnya kepada semua peserta majlis dan jangan memberi perhatian kepada individu yang tertentu sahaja.
Memulakan majlis dan menutupkannya dengan memuji-muji Allah s.w.t. dan berselawat kepada Rasulullah s.a.w serta berdoa dengan doa yang sesuai dengan keadaan.
Menjauhi perkara yang tidak dapat diterima oleh akal hadirin atau hadis-hadis yang tidak difahami oleh mereka.
Menyudahkan majlis imlaa’ (membacakan hadis dengan tujuan untuk disalin) dengan cerita-cerita untuk menghiburkan hati dan menghilangkan kejemuan.
Berapakah Usia Yang Sepatutnya Ahli Hadis Tampil Untuk Menyampaikan Hadis?
Terdapat perbezaan pendapat dalam perkara ini.
Dikatakan apabila berusia lima puluh tahun, empat puluh tahun dan lain-lain lagi.
Mengikut pendapat yang sahih, apabila seseorang itu berkelayakan dan diperlukan maka hendaklah dia mengadakan majlis tanpa mengira usia.
Kitab-kitab Yang Terkenal
“Al-Jami’ Li Akhlaq al-Rawi Wa Adab al-Sami’ ” karangan al-Khatib al-Baghdadi.
“Jaami’ Bayaan al-‘Ilm Wa Fadlih Wa Ma Yanbaghi Fi Riwayatih Wa Hamlih” oleh Ibn ‘Abd al-Barr.
PERBAHASAN KEDUA
Adab-Adab Pelajar Hadis
Pendahuluan
Yang dimaksudkan dengan adab-adab pelajar hadis ialah pekerti-pekerti tinggi dan akhlak-akhlak mulia yang mesti dimiliki oleh pelajar yang bersesuaian dengan kemuliaan ilmu yang dicarinya, iaitu hadis Rasulullah s.a.w. Di antara adab-adab itu ada yang menyamai adab-adab guru hadis dan ada yang tidak sama.
Adab-Adab Yang Sama Dengan Guru Hadis
Memperbetulkan niat dan mengikhlaskan diri kerana Allah dalam menuntutnya.
Berwaspada terhadap tujuan mencarinya untuk memperolehi maksud-maksud dunia. Abu Dawud dan Ibn Majah telah mengeluarkan sebuah hadis daripada Abu Hurayrah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesiapa yang mempelajari satu ilmu yang dicari melaluinya itu keredhaan Allah tetapi dia tidak mencarinya melainkan untuk memperolehi habuan dunia, dia tidak akan mendapati bauan syurga pada hari Kiamat”
Beramal dengan hadis-hadis yang didengarinya.
Adab-Adab Khusus Kepada Pelajar Hadis
Memohon daripada Allah s.w.t. taufiq, kemudahan, kelurusan dan pertolongan supaya dapat mencatat hadis dan memahaminya.
Memberi perhatian sepenuhnya dan mencurahkan segala usaha untuk memperolehi ilmu hadis.
Hendaklah memulakan pengajian hadis dengan guru-guru di tempatnya yang paling utama dari segi sanad, ilmu dan agama.
Menghormati dan memuliakan guru, ini sebagai memuliakan ilmu itu sendiri. Mencari keredhaan guru dan bersabar dengan kekasarannya jika ada.
Menunjukkan faedah-faedah ilmiah yang diperolehinya kepada teman-teman dan saudara-saudaranya dalam belajar dan jangan pula disorokkan. Menyorokkan sesuatu faedah ilmiah adalah perbuatan tercela yang dilakukan oleh pelajar-pelajar yang rendah akhlaknya sedangkan tujuan menuntut ilmu ialah untuk menyebarkannya.
Janganlah seseorang itu dihalangi oleh sifat malu dan sombong untuk mendengar dan memperolehi hadis walaupun daripada seseorang yang lebih muda daripadanya atau lebih rendah kedudukannya.
Tidak memadai mendengar dan mencatat hadis bahkan perlu kepada pengetahuan dan kefahaman. Jika tidak hanya memenatkan diri sahaja tanpa memperolehi apa-apa faedah.
Dari segi mendengar, mencatat dan memahami hadis, maka hendaklah dia mengutamakan Sahih al-Bukhari dan Muslim kemudian diikuti dengan Sunan Abi Dawud, Jami al-Tirmidhi dan Sunan Al-Nasa’i. Setelah itu al-Sunan al-Kubra oleh al-Bayhaqi dan kitab-kitab hadis lain yang diperlukan dalam bentuk masanid dan jamawi seperti Musnad Ahmad dan Muwatta Malik. Selain itu hendaklah dirujuk juga kitab-kitab ‘Ilal al-Hadith seperti “Ilal al-Daruqutni. Berkenaan ilmu rijal, kitab-kitab seperti al-Tarikh al-Kabir oleh Imam al-Bukhari, al-Jarh Wa al-Ta’dil oleh Ibn Abi Hatim, di samping kitab Ibn Makula bagi menentukan sebutan nama-nama perawi. Kitab al-Nihayah pula untuk mengetahui kalimah-kalimah gharib yang terdapat hadis.
Mustalah Al Hadith – Sesi 29 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 13- Dis-15
(sambungan) CARA-CARA PENERIMAAN DAN LAFAZ-LAFAZ PEMYAMPAIAN HADIS
Qiraa’ah ‘Ala Al-Syaykh (membaca di hadapan guru)
Majoriti Ulama hadis menamakannya dengan `ard (pembentangan).
Bentuknya: Pelajar membaca sedangkan syeikh mendengar sama ada pelajar itu sendiri membaca atau pelajar lain yang membaca dan dia mendengar, sama ada bacaan itu daripada hafalan atau daripada buku, sama ada syeikh memerhatikan pembaca itu daripada ingatannya atau beliau memegang bukunya sendiri atau perawi thiqah yang lain.
Hukum Periwayatan Dengan Metode Ini
Riwayat dengan metode ini sah tanpa ada khilaf dalam semua bentuk yang dinyatakan di atas kecuali ada pendapat yang dinukilkan daripada sesetengah ulama’ yang terlalu tegas dan pendapat mereka itu tidak diambilkira.
Tingkatannya
Ada khilaf tentang kedudukannya:
Sama taraf dengan Sama’. Pendapat ini diriwayatkan daripada Malik, al-Bukhari dan kebanyakan ulama’ Hijaz dan Kufah.
Lebih rendah daripada Sama’. Ini diriwayatkan daripada majoriti ulama di sebelah timur dan inilah yang sahih.
Lebih tinggi daripada Sama’. Ini diriwayatkan daripada Abu Hanifah, Ibn Abi Dhi’b dan satu riwayat daripada Malik.
Lafaz-Lafaz Penyampaian
Yang lebih cermat: “saya membaca di hadapan fulan” atau “dibacakan di hadapannya dalam keadaan saya mendengar dan dia memperakuinya”
Harus dengan lafaz-lafaz “Sama’ “ tetapi disyaratkan ada lafaz qira`ah seperti haddathana qira’atan `alayh (beliau menceritakan kepada kami secara pembacaan di hadapannya).
Yang umum dipakai di kalangan ulama’ hadis ialah “akhbarana” sahaja.
Ijazah
Definisi: memberi keizinan untuk meriwayatkan hadis secara lisan atau bertulis.
Bentuknya: Syeikh berkata kepada salah seorang pelajarnya: Saya mengizinkan anda meriwayatkan Sahih al-Bukhari daripada saya.
Bahagian-bahagiannya:
Ada beberapa kategori ijazah tetapi di sini penulis hanya akan menyebutkan 5 sahaja daripadanya.
Syeikh memberi keizinan kepada orang tertentu untuk riwayat yang tertentu seperti dia mengatakan: Saya memberi kepada anda meriwayatkan Sahih al-Bukhari. Kategori ini adalah bahagian ijazah tanpa munawalah yang paling tinggi.
Syeikh memberi ijazah kepada orang tertentu untuk menerima riwayat yang tidak tertentu seperti dia mengatakan: Saya memberi ijazah kepada anda untuk meriwayatkan hadis-hadis yang saya dengar.
Memberi ijazah kepada kepada orang yang tidak tertentu dengan riwayat yang tidak tertentu seperti saya memberi ijazah kepada orang-orang di zaman saya untuk meriwayatkan hadis-hadis yang saya dengar.
Memberi ijazah kepada orang yang tidak diketahui atau riwayat yang tidak diketahui seperti saya memberi ijazah kepada anda untuk meriwayatkan kitab sunan, sedangkan dia meriwayatkan beberapa kitab sunan atau saya memberi ijazah kepada Muhammad bin Khalid al-Dimashqi sedangkan terdapat ramai orang yang mempunyai nama ini.
Memberi ijazah kepada pihak yang tidak ada sama ada sebagai ikutan kepada orang yang ada seperti, “saya memberi ijazah kepada si fulan dan anak yang akan dilahirkan atau kepada orang yang belum dilahirkan lagi secara berseorangan seperti saya memberi ijazah kepada anak si fulan yang akan dilahirkan”.
Hukumnya
Bahagian yang pertama adalah sahih menurut pendapat majoriti ulama dan dipakai secara berterusan serta harus meriwayatkan dengan cara ini dan beramal dengannya. Beberapa kumpulan ulama pula menganggap cara ini tidak tepat dan ini salah satu daripada dua pendapat yang dinukilkan daripada Imam al-Shafi’i.
Sementara bahagian-bahagian ijazah yang lain, khilaf tentang keharusannya lebih ketara lagi. Bagaimanapun, penerimaan dan periwayatan hadis dengan cara ini (ijazah) merupakan penerimaan dengan cara yang lemah dan tidak sepatutnya bermudah dengannya.
Lafaz-lafaz Penyampaian
Yang sebaiknya dengan mengatakan (si fulan telah mengijazahkan kepada saya).
Diharuskan dengan lafaz “sama’ “ yang mempunyai ikatan seperti beliau telah menceritakan kepada kami secara ijazah atau dia telah mengkhabarkan kepada kami secara ijazah.
Istilah ulama muta’akhkhirin: Lafaz (menyampaikan kepada kami) dan ini dipilih oleh pengarah kitab al-Wijazah.
Al-Munawalah
Bahagian-bahagiannya
Munawalah dengan ijazah. Ini merupakan bentuk ijazah yang paling tinggi secara mutlak. Gambarannya ialah guru menyerahkan kepada pelajar akan kitabnya dan berkata kepadanya: Ini adalah riwayat saya daripada si fulan maka riwayatkanlah daripada saya kemudian beliau memberi milik kepada pelajar itu atau meminjamkannya untuk penyalinan.
Munawalah tanpa ijazah. Gambarannya ialah guru menyerahkan kitabnya kepada pelajar dengan hanya mengucapkan ini adalah riwayat yang saya dengar.
Hukum
Harus meriwayatkan dengan cara munawalah berijazah dan ini merupakan peringkat periwayatan yang lebih rendah daripada sama’ dan qira’ah ala al-Shaykh.
Tidak harus meriwayatkan secara munawalah tanpa ada ijazah. Ini adalah pendapat yang sahih.
Lafaz-lafaz penyampaian
Yang lebih baik ialah perawi berkata si fulan telah menghulurkan kepada saya atau menghulurkan dan memberi ijazah kepada saya. Ini sekiranya munawalah itu secara ijazah.
Diharuskan dengan lafaz sama’ dan qira’ah yang disebutkan munawalah) atau (memberitahu kepada kami secara munawalah) atau (memberitahu kepada kami secara munawalah dan ijazah)
Al-Kitabah (Penulisan)
Shaykh menulis sendiri hadis-hadis yang didengarinya kepada hadirin atau orang tidak hadir dengan tulisannya sendri atau menyruh orang lain menulis.
Bahagian-bahagian
Kitabah terbahagi kepada dua:
Disertakan dengan ijazah seperti (saya memberi ijazah kepada anda apa yang saya tulis untuk atau kepada anda) dan sebagainya.
Tanpa disertakan dengan ijazah seperti seperti ditulis untuk si fulan beberapa hadis dan dikirimkan kepadanya tanpa disertakan ijazah.
Hukum
Kitabah dengan ijazah: periwayatannya adalah sah dan ia sama kuat dengan munawalah berserta dengan ijazah.
Kitabah tanpa ijazah: Sekumpulan ulama menegahnya sementara yang lain mengharuskannya. Pendapat yang sahih di sisi ulama hadis ialah harus dengan cara ini kerana ia menunjukkan kepada makna ijazah.
Adakah Disyaratkan Bukti Kepada Kesahihan Tulisan?
Sebahagian ulama mensyaratkan bukti kepada tulisan dengan mendakwa satu tulisan menyerupai tulisan yang lain. Ini adalah pendapat yang lemah.
Sebahagian pula mengatakan memadai bagi orang yang menerima tulisan seseorang berbeza dengan tulisan orang lain. Inilah pendapat yang sahih.
Lafaz-Lafaz Periwayatan
Dengan menjelaskan sebutan kitabah, seperti kata-kata: “Si fulan telah menulis kepada saya”.
Menyebutkan lafaz sama’ dan qira’ah dengan disertakan lafaz kitabah, seperti (si fulan menceritakan atau memberitahu saya kepada secara penulisan).
Al-I’iam (Pemberitahuan)
Bentuknya: Seorang sheikh memberitahu kepada pelajar bahawa hadis ini atau kitab ini adalah riwayat yang didengarnya.
Hukum Periwayatan
Ulama berbeza pendapat tentang metode ini:
Harus: ini pendapat kebanyakan ulama hadis, fuqaha’ dan ulama usul.
Tidak harus: Ini pendapat ramai dari kalangan ulama hadis dan lain-lain. Inilah yang sahih kerana sheikh memberitahu bahawa hadis itu adalah apa yang diriwayatkannya tetapi tidak harus meriwayatkannya kerana terdapat kecacatan padanya. Namun, sekiranya sheikh memberi ijazah untuk meriwayatkannya maka hukumnya harus.
Lafaz Penyampaian
Perawi berkata (guru saya telah memberitahu kepada saya).
Wasiat
Seorang sheikh mewasiatkan salah satu kitab yang diriwayatkannya pada saat kematiannya atau pengembaraannya kepada seseorang.
Hukum Periwayatan Dengan Cara Wasiat
Harus: Ini pendapat sebahagian salaf, bagaimanapun ini tidak tepat kerana sheikh itu mewasiatkan kitab bukan mewasiatkan supaya meriwayatkannya.
Tidak harus, Inilah yang betul.
Lafaz-lafaz Penyampaian
Sheikh berkata “Si fulan mewasiatkan kepada saya dengan sekian sekian atau si fulan telah menceritakan kepada saya secara wasiat.
Al-Wijadah
Wijadah dengan “waw” berbaris bawah, kata dasar kepada wajada. Masdar ini merupakan binaan baru yang tidak pernah digunakan oleh orang-orang `Arab.
Bentuknya:
Pelajar mendapati beberapa hadis dengan tulisan sheikh yang meriwayatkan hadis-hadis tersebut dan dia mengenali sheikh itu. Tetapi pelajar itu tidak mendengar hadis daripada sheikh dan tidak juga mendapat ijazah.
Hukum Periwayatan
Periwayatan secara wijadah adalah termasuk dalam hadis munqati’ tetapi dari satu segi ia adalah secara bersambung-sambung.
Lafaz-lafaz Penyampaian
Orang yang menemui hadis itu berkata (saya mendapati tulisan si fulan atau saya membaca tulisan si fulan), kemudian dia menyebutkan sanad dan matan.
Mustalah Al Hadith – Sesi 28 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 06- Dis-15
FASAL KETIGA
Tingkatan Jarh dan Ta’dil
Di dalam pendahuluan kitabnya, al-Jarh Wa al-Ta’dil, Ibn `Adi telah membahagikan peringkat Jarh dan Ta’dil dengan masing-masing ada empat dan menjelaskan hukum setiap peringkat itu. Kemudian ulama telah membahagikan setiap peringkat itu kepada dua. Dengan itu, setiap peringkat Jarh dan Ta’dil itu mempunyai enam. Berikut ini, peringkat-peringkat Jarh dan Ta’dil tersebut berserta dengan lafaz-lafaznya.
Peringkat-Peringkat Ta’dil Dan Lafaz-Lafaznya
Yang menunjukkan kepada kemuncak kepada menthiqahkan atau dengan menyatakan makna `paling’. Ini peringkat yang paling tinggi seperti “fulan itu kemuncak dalam ketelitian”, atau “si fulan orang yang paling teguh”.
Kemudian ditegaskan dengan satu sifat atau dua sifat thiqah seperti: “dipercayai dipercayai” atau “dipercayai lagi teguh”.
Peringkat yang disebutkan dengan sifat yang menunjukkan thiqah tetapi tanpa penegasan seperti “thiqah” atau “hujjah”
Peringkat yang menunjukkan ta’dil tanpa menyatakan ketepatan perawi seperti “sangat benar”, “padanya ada kebenaran”,”tidak mengapa dengannya” selain dari Ibn Ma’in kerana lafaz ini di sisi beliau adalah seorang perawi yang thiqah.
Peringkat yang tidak menyatakan thiqah atau tajrih seperti…..atau orang ramai meriwayatkan daripadanya.
Peringkat yang menunjukkan hampir dengan tajrih seperti “seorang dengan hadisnya baik” atau “boleh ditulis hadisnya”.
Hukum Peringkat-Peringkat Ini
Tiga peringkat yang pertama itu, para perawinya dijadikan hujah walaupun di antara mereka itu ada yang lebih kuat.
Peringkat keempat dan kelima, perawi-perawinya itu tidak boleh dijadikan hujah tetapi hadis mereka boleh ditulis dan diuji.. Walaupun perawi peringkat kelima lebih rendah daripada perawi peringkat keempat.
Perawi-perawi peringkat keenam tidak boleh dijadikan hujah tetapi hadis mereka boleh ditulis untuki i’tibar sahaja bukan untuk diuji kerana ketidaktepatan mereka dalam periwayatan sudah jelas.
Peringkat-Peringkat Jarh Dan Lafaz-Lafaznya
Lafaz yang menunjukkan kepada lembut, iaitu yang paling ringan dalam Jarh seperti…….atau ……
Lafaz yang menunjukkan tidak boleh dijadikan hujah atau yang seumpamanya seperti…………atau …….
Kemudian lafaz yang menunjukkan hadisnya tidak ditulis dan seumpamanya seperti ……….atau………..
Kemudian lafaz yang mengandungi tuduhan berdusta atau seumpamanya seperti…………….atau………….
Lafaz yang menyifatkan perawi itu mereka hadis atau seumpamanya seperti……………….atau………….
Kemudian lafaz yang menunjukkan kepada dusta secara maksimun iaitu yang paling buruk seperti …..atau…..
Hukum Peringkat-Peringkat Ini
Perawi-perawi dua peringkat yang pertama tidak boleh berhujah dengan hadis mereka sama sekali tetapi boleh ditulis untuk i’tibar sahaja walaupun perawi-perawi peringkat kedua tidak sama kedudukannya dengan yang peringkat pertama.
Adapun perawi-perawi peringkat keempat yang terakhir, hadis mereka tidak boleh dijadikan hujah, tidak ditulis dan tidak dijadikan I’tibar.
PERIWAYATAN HADIS ADAB-ADAB DAN METODE PENCATATAN
Fasal Pertama: Metode Periwayatan Dan Cara-Cara Penerimaan Hadis
Perbahasan Pertama:Metode mendengar Dan Menerima Hadis, Dan Sifat Catatan
Pendahuluan
Apa yang dimaksudkan dengan metode mendengar hadis ialah penjelasan tentang perkara-perkara yang sepatutnya ada dan disyaratkan kepada sesiapa yang mahu mendengar hadis daripada syeikh-syeikh dengan tujuan periwayatan dan penerimaan untuk menyampaikannya pula kepada orang lain. Contohnya seperti pensyaratan umur tertentu secara wajib atau umur yang digalakkan.
Maksud penerimaan hadis ialah penjelasan tentang cara-cara periwayatan hadis dan penerimaannya daripada syeikh-syeikh. Maksud penjelasan tentang catatan ialah bagaimana pelajar hadis mencatat riwayat yang diterimanya dengan cara yang dikira layak untuk orang lain berpuas hati untuk mengambil hadis daripadanya.
Ulama hadis telah memberikan perhatian terhadap bahagian ilmu hadis ini dan mereka telah menggariskan kaedah-kaedah, kriteria-kreteria dengan cara yang kemas lagi halus. Mereka juga membezakan antara cara-cara penerimaan hadis dengan membahagikannya kepada beberapa peringkat yang berbeza-beza. Usaha ini merupakan satu penegasan bahawa mereka amat mengambil berat tentang periwayatan hadis-hadis Rasulullah s.a.w dan betapa eloknya cara perpindahan hadis daripada seorang kepada seorang lain supaya orang Islam berpuas hati dengan cara sampainya hadis kepadanya dan menyakini bahawa metode ini sangat selamat dan teliti.
Adakah Disyaratkan Islam Dan Baligh Dalam Penerimaan Hadis
Islam dan baligh tidak disyaratkan untuk menerima hadis mengikut pendapat yang sahih tetapi disyaratkan untu menyampaikannya. Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam syarat-syarat perawi. Berdasarkan kepada perkara ini, diterima periwayatan seorang muslim yang baligh apa yang diriwayatkan sebelum dia memeluk Islam atau sebelum akil baligh dengan syarat dia sudah mumayyiz.
Ada pendapat yang mengatakan baligh juga disyaratkan dalam penerimaan hadis. Tetapi ini pendapat yang tidak tepat kerana orang-orang Islam telah menerima riwayat sahabat muda seperti al-Hasan, Ibn `Abbas dan lain-lain tanpa membezakan antara hadis yang diriwayatkan sebelum atau selepas baligh.
Bilakah Digalakkan Untuk Mula Mendengar Hadis
Ada pandangan yang mengatakan elok mula mendengar hadis pada usia tiga puluh tahun, ini pendapat Ahli Sham.
Ada yang mengatakan pada usia dua puluh tahun, ini pendapat Ahli Kufah.
Ada yang mengatakan pada usia sepuluh tahun, ini pendapat Ahli Basrah.
Pendapat yang betul ialah pada zaman mutakhir ini, bersegera mendengar hadis ketika layak mendengarnya kerana hadis telah pun tercatat dalam kitab-kitab.
Adakah Ditentukan Usia Tertentu Untuk Melayakkan Kanak-Kanak Mendengar Hadis
Setengah ulama menetapkan pada ketika berusia lima tahun dan inilah yang menjadi amalan di kalangan ahli hadis.
Sebahagian yang lain mengatakan sebetulnya hendaklah mengambil kira sama ada kanak-kanak ini memahami percakapan dan memberikan responnya, maka dia dikira mumayyiz dan sah pendengarannya. Sekiranya dia tidak bersifat demikian maka dia bukan seorang mumayyiz.
PERBAHASAN KEDUA:
Cara-Cara Penerimaan Dan Lafaz-Lafaz Penyampaian Hadis
Terdapat lapan metode penerimaan hadis iaitu Sama’ min lafz al-Shaykh (mendengar lafaz guru), qira’ah `ala al-Shaykh (membaca di hadapan guru), ijazah (keizinan) munawalah (menghulurkan riwayat), kitabah (memberikan tulisan), I’lam (memberitahu), wasiyyah (memesan) dan wijadah (mendapati).
Setiap metode ini akan dibincangkan dengan berurutan secara ringkas di samping huraian tentang lafaz-lafaz yang digunakan untuk menyampaikan riwayat.
Al-Sama’
Bentuknya: Seorang syeikh membaca dan pelajar mendengar, samada daripada hafalan atau bukunya, atau pelajar mendengar, sambil menulis atau mendengar sahaja.
Tingkatannya
Sama’ merupakan metode yang paling tinggi di sisi majoriti ulama’
Lafaz-lafaz penyampaian
Sebelum tersebarnya lafaz yang khusus bagi setiapa metode penerimaan riwayat, harus bagi pelajar yang mendengar lafaz syeikh untuk mengatakan ketika menyampaikan riwayat, “saya telah mendengar)”, “dia telah menceritakan kepada saya”, “dia telah memberitahu kepada saya”, “dia telah berkata kepada saya” atau “dia telah menyebutkan kepada saya”.
Setelah lafaz-lafaz dikhususkan untuk setiap metode maka lafaz-lafaz tersebut sebagaimana berikut:
Untuk Sama’
Untuk qiraa’ah
Untuk ijazah
Untuk mendengar mudhakarah hadis: “berkata kepada saya”
Mustalah Al Hadith – Sesi 27 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Nov-15
Hukum Periwayatan Daripada Perawi Yang Mengambil Upah Mengajarkan Hadis
Setengah ulama tidak menerima periwayatan perawi yang mengambil upah kerana mengajarkan hadis. Antara mereka ialah, Imam Ahmad, Ishaq dan Abu Hatim.
Setengah ulama yang lain menerima seperti Abu Nu’aym Fadal bin Dukayn.
Abu Ishaq al-Shirazi memfatwakan harus mengambil upah bagi perawi yang tidak mampu menyara keluarganya kerana sibuk mengajarkan ilmu hadis.
Hukum Periwayatan Perawi Yang Dikenali Sebagai Bermudah Atas Menerima “Talqiin” Atau Banyak Lupa
Tidak diterima periwayatan perawi yang dikenali sebagai bermudah atau longgar dalam menerima dan menyampaikan hadis seperti orang yang tidur ketika mendengar hadis atau menyampaikan hadis berdasarkan kepada nuskhah yang tidak dibandingkan dengan nuskhah yang diakui.
Tidak diterima periwayatan perawi yang dikenali menerima talqiin dalam hadis seperti ia dibacakan sesuatu hadis kemudian ia menyampaikannya tanpa mengetahui itu termasuk dalam hadisnya sendiri.
Tidak diterima periwayatan perawi yang dikenali dengan banyak lupa.
Hukum Periwayatan Perawi Yang Menyampaikan Hadis Kemudian Dia Terlupa
Definisi perawi yang menyampaikan hadis dan ia lupa ialah seorang syeikh yang tidak mengingati riwayat hadis yang disampaikan oleh muridnya daripadanya.
Hukum Periwayatan
Ditolak, jika beliau menafikannya dengan tegas dengan mengatakan saya tidak pernah meriwayatkannya atau dia berdusta atas nama saya dan sebagainya.
Diterima, jika beliau teragak-agak dalam menafikannya seperti ia mengatakan saya tidak tahu atau saya tidak ingat dan sebagainya.
Adakah Penolakan Terhadap Sebuah Hadis Itu Bermakna Salah Seorang Daripada Mereka Berdua (Syeikh Dan Muridnya) Telah Ditajrihkan?
Tidak boleh dianggap penolakan hadis itu sebagai mencacatkan keadilan salah seorang daripada mereka berdua, kerana masing-masing tidak boleh mentajrihkan satu sama lain.
Contoh
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Tirmidhi dan Ibn Majah melalui Rabi’ah bin Abi Abdul Rahman daripada Suhayl bin Abi Salih daripada bapanya daripada Abu Hurayrah bahawa:
“Rasulullah s.a.w. telah memutuskan kes berdasarkan sumpah berserta saksi”.
`Abdul `Aziz bin Muhammad al-Darawardi berkata: “Rabiah bin Abi `Abdul Rahman telah menceritakan kepada saya hadis ini daripada Suhayl. Kemudian saya menemui Suhayl dan bertanya kepadanya tentangnya dan beliau tidak mengetahuinya. Lalu saya mengatakan (kepadanya), Rabi’ah telah meriwayatkan hadis ini daripada anda.” Selepas itu, Suhayl mengatakan `Abdul `Aziz telah menceritakan kepada saya Rabi’ah daripada saya bahawa saya meriwayatkan hadis ini kepadanya daripada Abu Hurayrah.
Kitab-kitab yang paling masyhur:
“Kitab Akhbar Man Haddatha Wa Nasiya” oleh al-Khatib.
FASAL KEDUA
Gambaran Umum Tentang Kitab-Kitab Al-Jarh Wa Al-Ta’dil
Oleh kerana penilaian tentang kesahihan dan kedhaifan hadis berdasarkan kepada keadilan perawi dan ketepatannya atau kecaman terhadap kedua-duanya, para ulama telah menyusun kitab-kitab yang menjelaskan keadilan para perawi dan ketepatan mereka. Penulisan mereka itu berdasarkan kepada nukilan daripada imam-imam yang dipercayai dalam ilmu mengkreditkan para perawi. Ini dinamakan sebagai ta’dil sebagaimana dalam kitab-kitab tersebut terhadap kecaman terhadap keadilan sesetengah perawi atau terhadap ketepatan dan keadilan mereka yang dinukilkan daripada para imam yang tidak taksub. Ini dinamakan dengan “al-Jarh”. Dari sinilah, kitab-kitab tersebut dinamakan kitab-kitab “al-Jarh Wa al-Ta’dil”.
Kitab-kitab ini sangat banyak dengan pelbagai metode, antaranya dikhususkan untuk menjelaskan perawi-perawi yang dhaif dan ditarjihkan. Ada kitab tentang perawi-perawi thiqah dan dhaif. Dari aspek lain, sebahagian kitab ini meliputi semua perawi hadis tanpa melihat kepada perawi-perawi kitab hadis tertentu dan ada juga khusus dengan perawi-perawi sebuah kitab sahaja atau beberapa buah kitab hadis yang tertentu.
Usaha-usaha penyusunan biografi-biografi perawi yang dilakukan oleh ulama al-Jarh Wa al-Ta’dil ini diakui sebagai usaha yang unik kerana mereka menyentuh secara teliti kesemua biografi para perawi hadis dan menjelaskan kedudukan al Jarh Wa al-Ta’dil yang ditujukan kepada mereka. Kemudian disebutkan guru-guru yang menjadi sumber ambilan bagi perawi itu kemudian siapa pula yang mengambil hadis daripadanya. Ke mana mereka pernah mengembara dan bilakah mereka bertemu guru-guru hadis. Di samping itu, dinyatakan juga zaman hidup mereka dengan cara yang tidak pernah didahului oleh orang lain bahkan bangsa-bangsa bertamaddun di zaman moden ini tidak dapat menjangkaui walaupun sedikit biografi-biografi perawi hadis. Mereka mengingati dengan lengkap pengenalan tentang perawi-perawi hadis sepanjang hayat mereka. Semoga Allah s.w.t memberikan balasan yang baik buat mereka. Berikut beberapa nama kitab-kitab rijal:
“Al-Tarikh al-Kabir” oleh Imam al-Bukhari. Kitab ini umum meliputi perawi-perawi thiqah dan da’if.
“Al-Jarh Wa al-Ta’dil” oleh Ibn Abi Hatim. Ini juga merangkumi perawi-perawi thiqah dan dhaif.
“Al-Thiqat” oleh Ibn Hibban. Kitab ini khusus tentang perawi thiqah sahaja.
“Al-Kamil fi al-Du’afa” oleh Ibn Adi. Jelas dari namanya, kitab ini khusus tentang perawi-perawi dha’if.
“Al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal” oleh `Abd al-Ghani al-Maqdasi. Sebuah kitab yang umum, bagaimanapun ia khusus dengan perawi-perawi kitab Sunan Sittah.
“Mizan al-I’tidal” oleh al-Dhahabi. Sebuah kitab yang khusus tentang perawi-perawi dhaif dan matruk iaitu setiap orang perawi yang ditajrihkan walaupun pentajrihan itu tidak diterima.
“Tahdhib al-Tahdhib” oleh Ibn Hajar. Kitab ini dianggap sebagai salah sebuah ringkasan dan saringan kitab “al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal”.
Mustalah Al Hadith – Sesi 26 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 22- Nov-15
AL-I’TIBAR, AL-MUTABI’ DAN AL-SHAHID
Definisi Al-I’tibar
Dari sudut bahasa, “al-i’tibar” adalah kata dasar bagi “i’tabara” yang bermaksud memerhatikan beberapa perkara untuk mengetahui dengannya perkara lain yang sama jenis dengannya.
Dari segi istilah pula, memeriksa jalan-jalan hadis yang diriwayatkan oleh perawi secara berseorangan untuk mengetahui adakah ada perawi lain yang juga meriwayatkannya atau tidak.
Al-Mutabi’
Dari sudut bahasa, “al-Mutabi’ “ adalah kata nama pelaku bagi “taba’a” iaitu turut sama.
Dari segi istilah pula, ianya bermaksud hadis yang perawi-perawinya turut meriwayatkannya dengan hadis tunggal yang diriwayatkan oleh perawi-perawi lain dari sudut lafaz dan makna atau pada makna sahaja dengan syarat sama pada sahabat.
Al-Shahid
Dari sudut bahasa, “al-Shahid” adalah kata nama pelaku bagi “al-shahadah” iaitu menyaksikan. Dinamakan demikian kerana ia menyaksikan bahawa hadis tunggal itu mempunyai asal yang menguatkannya sebagaimana saksi menguatkan kata-kata pendakwa dan menyokongnya. Dari segi istilah pula, hadis yang perawi-perawinya sama meriwayatkannya dengan hadis tunggal yang diriwayatkan oleh perawi-perawi lain dari sudut lafaz dan makna atau pada makna sahaja dengan syarat berbeza pada sahabat.
Al-I’tibar Bukan Sebahagian Daripada Kategori Al-Mutabi’ Dan Al-Shahid
Boleh jadi ada orang yang keliru lalu menyangka al-I’tibar itu termasuk dalam kategori yang sama dengan al-Mutabi’ dan al-shahid. Sebenarnya bukan begitu kerana al-I’tibar itu adalah keadaan untuk sampai kepada kedua-duanya. Dengan kata lain, ia adalah metode untuk mengkaji dan memeriksa hadis-hadis yang boleh menjadi al-Mutabi’ dan al-Shahid.
Istilah Lain Bagi Al-Mutabi’ Dan Al-Shahid
Definisi yang kita kemukakan di atas adalah yang dipegang dan diterima pakai oleh kebanyakan ulama hadis dan itu adalah yang masyhur. Bagaimanapun ada ta’rif yang lain bagi kedua-dua istilah itu:
Al-Tabi’
Perawi-perawi itu sama-sama meriwayatkan hadis yang tunggal itu dengan lafaz yang sama, sama ada berbeza sahabat ataupun tidak.
Perawi-perawi itu bersama-sama meriwayatkan hadis tunggal dengan lafaz yang sama, sama ada berlainan sahabat atau tidak.
Bagaimanapun, setiap daripada kedua-dua istilah ini juga digunakan untuk memberi pengertian kepada istilah yang satu lagi. Istilah al-Tabi’ ada juga digunakan dengan makna al-Shahid sementara istilah al-Shahid digunakan untuk menunjukkan makna al-Tabi’. Perkara ini tidak menjadi persoalan kerana mengikut Hafiz Ibn Hajar, tujuan kedua istilah itu untuk menguatkan hadis itu dengan mencari riwayat lain yang sama dengannya.
Al-Mutaaba’ah
Definisi
Dari sudut bahasa, kata dasar bagi “taba’a” dengan makna “wafaqa” iaitu sama dengan itu al-Mutaba’ah itu adalah al-Muwafaqah.
Dari sudut istilah: Perawi itu bersamaan dengan orang lain dalam periwayatan hadis.
Bahagian-bahagian al-Mutaba’ah
Al-Mutaba’ah al-Tammah: Iaitu berlaku persamaan bagi perawi dari awal sanad.
Al-Mutaba’ah al-Qasirah: Iaitu berlaku persamaan bagi perawi di pertengahan sanad.
Contoh:
Penulis akan menyebutkan satu contoh yang dikemukakan oleh Hafiz Ibn Hajar yang merangkumi al-Mutaba’ah al-Tammah, al-Mutaba’ah al-Qasirah dan al-Shahid.
Hadis yang diriwayatkan oleh al-Shafi’i dalam Kitab al-Umm daripada Malik daripada `Abdullah bin Dinar daripada Ibn `Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Bulan itu dua puluh sembilan hari, janganlah kamu berpuasa sehinggalah kamu melihat anak bulan, jangan kamu berbuka selagi kamu tidak melhatnya, jika berlaku mendung maka kamu sempurnakan bilangan tiga puluh hari.”
Hadis ini dengan lafaz ini telah dianggap oleh satu kumpulan bahawa al-Shafi’i berseorangan meriwayatkan daripada Imam Malik, lalu mereka memasukkan dalam senarai hadis-hadis gharib Malik kerana murid-murid Malik meriwayatkan daripadanya dengan sanad ini dengan lafaz:
“Jika berlaku mendung maka hitungkan untuknya”
Tetapi setelah dilakukan i’tibar kita dapati Imam al-Shafi’i mempunyai Mutaba’ahTammah, Mutab’ah Qasirah dan Shahid.
Al-Mutaba’ah al-Tammah
Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada `Abdullah bin Maslamah al-Qa’nabi daripada Malik dengan sanad yang sama. Dalam hadis itu terdapat:
“Jika berlaku mendung maka kamu sempurnakan bilangan tiga puluh hari”
Al-Mutaba’ah al-Qasirah
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaymah daripada jalan Asim bin Muhammad daripada bapanya Muhammad bin Zayd daripada datuknya `Abdullah bin `Umar dengan lafaz
“Sempurnakan tiga puluh”
Al-Shahid
Hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasa’i melalui riwayat Muhammad bin Hunayn daripada `Abbas daripada Rasulullah s.a.w dalam hadis itu disebutkan:
“Jika hari mendung maka sempurnakan bilangan tiga puluh hari”
SIFAT-SIFAT ORANG YANG DITERIMA PERIWAYATANNYA DAN PERBINCANGAN TENTANG AL-JARH WA AL-TA’DIL
FASAL PERTAMA : PERAWI DAN SYARAT-SYARAT PENERIMAANNYA
Pendahuluan
Oleh kerana hadis-hadis Rasulullah s.a.w hanya sampai kepada kita melalui para perawi dan merekalah paksi utama untuk mengetahui kesahihan dan kepalsuan hadis, maka ulama hadis telah memberi perhatian khusus terhadap para perawi dan meletakkan beberapa syarat yang teliti lagi kemas sekaligus membuktikan kedalaman pemerhatian, kemantapan pemikiran dan keunggulan metodologi mereka.
Syarat-syarat yang diletakkan oleh ulama hadis pada perawi serta syarat-syarat lain bagi penerimaan hadis dan riwayat tidak pernah dicapai oleh mana-mana agama sekalipun pada zaman moden ini walaupun ahli-ahlinya mendakwa bahawa mereka memiliki metodologi dan ketelitian. Mereka tidak meletakkan syarat pada pelapor berita seperti syarat yang dimestikan oleh ulama hadis pada perawi meskipun syarat yang lebih rendah daripada itu. Kebanyakan berita-berita yang dilaporkan oleh agensi-agensi berita rasmi tidak dapat dipercayai dan diyakini. Ini kerana para pelapornya tidak dikenali. Bukankah kebinasaan cerita-cerita itu kerana pelapor-pelapornya? Selang beberapa waktu sahaja ternyata kebanyakan berita itu adalah palsu.
Syarat-Syarat Penerimaan Perawi Majoriti ulama hadis dan fiqh telah sepakat bahawa dua syarat asas mesti ada pada seorang perawi, iaitu:
Keadilan iaitu perawi itu mestilah seorang muslim, baligh, waras, tidak mempunyai faktor-faktor kefasikan dan perkara-perkara yang mencacatkan maruah.
Ketepatan iaitu tidak bercanggah dengan perawi-perawi thiqah, tidak lemah ingatan, tidak ada kesilapan yang jelek, tidak lalai dan tidak banyak kekeliruan.
Bagaimana Keadilan Terbukti
Keadilan dibuktikan dengan salah satu daripada perkara berikut:
Penjelasan oleh ulama “Al-Jarj Wa Al-Ta’dil” tentang keadilannya atau salah seorang daripada mereka.
Dengan sebab terkenal dan masyhur. Sesiapa yang terkenal dengan keadilannya di kalangan ahli ilmu, memadai tersebar pujian terhadapnya dan tidak perlu lagi kepada penjelasan daripada ulama “Al-Jarh Wa Al-Ta’dil”. Mereka itu termasuklah para imam seperti imam mazhab yang empat, Abu Hanifah, Malik, al-Shafi’i dan Ahmad bin Hanbal, Sufyan Ibn `Uyaynah, Sufyan al-Thwri, al-Awza’i dan lain-lain.
Mazhab Ibn `Abd Al-Barr Tentang Pembuktian Keadilan
Ibn `Abd al-Barr berpendapat bahawa setiap pembawa ilmu yang terkenal dengan memberi perhatian terhadap ilmu dianggap sebagai adil sehinggalah terbukti tajrih kepada. Beliau berhujah dengan hadis:
“Ilmu ini dibawa pada setiap generasi oleh orang-orang yang adil yang menghindarkan daripadanya penyelewengan orang-orang yang melampau, pemalsuan golongan sesat dan takwilan golongan jahil”.
Bagaimanapun pendapat beliau ini tidak dipersetujui oleh para ulama kerana status hadis ini tidak sahih. Jika diandaikan sahih maka maknanya hendaklah ditafsirkan sebagai perintah iaitu hendaklah pada setiap generasi orang-orang yang adil membawa ilmu ini. Pentafsiran ini berdasarkan ada juga perawi yang tidak adil membawa ilmu ini.
Bagaimana Mengetahui Ketepatan Perawi
Ketepatan perawi dapat diketahui berdasarkan kepada kesamaan riwayatnya dengan perawi-perawi thiqah yang tekun dalam periwayatan hadis. Jika pada kebanyakan keadaan beliau menyamai mereka dalam periwayatan maka dia dianggap sebagai seorang yang “dhaabit” (seorang yang tepat dan kuat ingatan); tidak mengapa jika jarang-jarang terdapat perbezaan dengan riwayat perawi-perawi lain. Sebaliknya jika berlaku banyak percanggahan maka cacatlah ketepatannya dan dia tidak boleh dijadikan hujah.
Adakah Tajrih Dan Ta’dil Diterima Dengan Tanpa Alasan?
Mengikut pendapat yang masyhur dan sahih, ta’dil diterima tanpa disebutkan sebabnya kerana ianya terlalu banyak dan sukar untuk dihitung kerana ulama yang menta’dilkan perawi terpaksa menyebutkan: “Dia tidak melakukan ini, tidak melakukan itu….atau dia buat ini, dia buat itu…dan sebagainya.
Tetapi tajrih tidak diterima kecuali dengan menjelaskan sebab kerana sebabnya tidak sukar untuk dinyatakan dan masyarakat berbeza pendapat tentang sebab-sebab tajrih. Kadang-kadang ulama mentajrihkan perawi tanpa tajrih yang wajar. Ibn al-Salah berkata: “Inilah yang jelas diakui dalam ilmu fiqh dan usul. Al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan itu adalah mazhab imam yang hafiz hadis dan pengkritik hadis seperti al-Bukhari, Muslim dan lain-lain. Oleh kerana itu, al-Bukhari berhujjah dengan sekumpulan perawi yang ditajrihkan oleh orang lain seperti `Ikrimah, `Amar bin Marzuq. Muslim pula berhujah dengan Suwayd bin Sa’id dan sekumpulan perawi yang dipertikai oleh orang lain. Begitu juga dengan Abu Dawud. Ini menunjukan bahawa mereka berpendapat bahawa tajrih tidak terbukti kecuali dengan diterangkan sebabnya.
Adakah Tajrih dan Ta’dil Terbukti Dengan Seorang Sahaja?
Menurut pendapat yang sahih, ta’dil dan tajrih boleh sabit dengan seorang imam.
Ada pendapat mengatakan perlu kepada dua orang imam.
Tajrih Dan Ta’dil Serentak Pada Perawi Yang Sama
Apabila berkumpul pada seorang perawi Tajrih dan ta’dil maka:
Menurut pendapat yang muktamad tajrih diutamakan jika tajrih mufassar (dinyatakan sebab).
Dikatakan jika bilangan ulama yang menta’dilkan itu ramai maka ta’dil didahulukan. Tetapi pendapat ini dhaif dan tidak dipegang.
Hukum Periwayatan Perawi Adil Daripada Seseorang Individu
Periwayatan seorang perawi adil daripada seseorang tidak boleh dianggap sebagai ta’dil. Ini merupakan pendapat sebilangan besar ahli hadis dan inilah pandangan yang sahih. Ada juga yang mengatakan itu merupakan ta’dil untuk perawi tersebut.
Amalan dan fatwa seorang alim mengikut sesebuah hadis bukanlah merupakan keputusan kepada kesahihannya. Demikian juga percanggahannya dengan hadis itu bukan merupakan kritikannya terhadap kesahihan hadis tersebut dan tidak juga terhadap perawi-perawinya. Ada dikatakan, itu adalah keputusannya tentang kesahihan hadis itu. Pendapat ini telah diakui sahih oleh al-Amidi dan ulama lain dari kalangan ahli usul. Dalam masalah ini ada perbahasan yang panjang dan terperinci.
Hukum Periwayatan Perawi Yang Bertaubat Daripada Kefasikannya
Diterima periwayatan perawi yang bertaubat daripada melakukan kefasikan.
Tidak diterima periwyatan daripada perawi yang bertaubat daripada mereka-reka hadis atas nama Rasulullah s.a.w.
BAHAGIAN KHABAR YANG MEMPUNYAI SIFAT MAQBUL DAN MARDUD.
AL-MUSNAD
Definisi:
Dari sudut bahasa, al-Musnad adalah kata nama objek bagi “asnada” iaitu menyandarkan atau menisbahkan.
Dari segi istilah pula, hadis yang bersambung sanadnya secara marfu’ kepada Rasulullah s.a.w.
Contoh:
Hadis yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari katanya:
“Abdullah bin Yusuf menceritakan kepada kami daripada Malik daripada Abu al-Zinad daripada al-A’raj daripada Abu Hurairah katanya: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila anjing minum dalam bekas salah seorang kamu maka hendaklah dia membasuhnya sebanyak tujuh kali”.
Hadis ini bersambung sanadnya daripada awal sampai ke penghujungnya dan ia marfu’ kepada Rasulullah s.a.w.
AL-MUTTASIL
Definisi
Dari sudut bahasa, al-muttasil adalah kata nama pelaku bagi “ittasala” iaitu bersambung lawan kepada “inqata’a” iaitu terputus.Bahagian ini juga dinamakan dengan al-Mawsul.
Dari segi istilah pula, hadis yang bersambung sanadnya secara marfu’ kepada Rasulullah s.a.w atau secara mawquf.
Contoh
Contoh al-Muttasil al-marfu’:
Malik daripada Ibn Shihab daripada Salim bin `Abdillah daripada bapanya daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda”…….
Contoh al-Muttasil al-Mawquf:
Malik daripada Nafi’ daripada Ibn `Umar bahawa beliau berkata:”…….
Adakah Kata-Kata Tabi’i Dianggap Sebagai Al-Muttasil?
Al-`Iraqi berkata: “Berkenaan dengan kata-kata tabi’in apabila bersambung-sambung sanadnya kepada mereka maka ia tidak dinamakan al-Muttasil secara mutlak. Tetapi dalam keadaan dikaitkan (dengan mereka) maka boleh dinamakan demikian dan ada dalam penggunaan ulama hadis, seperti kata mereka: “Ini muttasil kepada Sa’id bin al-Musayyab atau kepada al-Zuhri atau kepada Malik dan lain-lain. Ada dikatakan ia dinamakan sebagai maqaati’. Menamakannya dengan al-muttasil seperti menyifatkan dua perkara yang bertentangan pada bahasa dengan satu sifat.”
ZIYADAT AL-THIQAT
Maksud Ziyadat al-Thiqat
“Al-Ziyadat” maksudnya penambahan-penambahan dan maksud “thiqat” itu ialah perawi-perawi thiqah, yang adil dan tepat. Yang dimaksudkan dengan penambahan perawi-perawi thiqah ialah lafaz-lafaz yang kita dapati pada riwayat sesetengah perawi thiqah melebihi daripada yang diriwayatkan oleh perawi-perawi thiqah yang lain.
Ulama Yang Terkenal Dengan Perhatian Kepada Perkara Ini
Penambahan-penambahan oleh sesetengah perawi thiqah dalam sebahagian hadis-hadis telah menarik perhatian ulama lalu mereka memeriksa, mengumpulkan dan mengkajinya. Antara mereka ialah:
Abu Bakr `Abdullah bin Muhammad bin Ziyad al-Naysaburi
Abu Nu’aym al-Jurjani
Abu Al-Walid Hassan bin Muhammad al-Qurashi
Tempat Berlaku Pertambahan
Pada matan dengan penambahan perkataan atau ayat.
Pada sanad dengan memarfu’kan yang mawquf atau memawsulkan yang mursal.
Hukum Penambahan Pada Matan
Ulama berbeza pendapat tentang hukumnya. Ada ulama yang menerima secara mutlak dan ada yang menolaknya secara mutlak. Sementara itu, ada ulama yang menolak penambahan yang dilakukan oleh perawi yang meriwayatkannya sebelum itu tanpa penambahan (kemudian meriwayatkan pula dengan penambahan) tetapi menerima penambahan yang dilakukan oleh perawi lain
Ibn al-Salah telah membahagikan penambahan berdasarkan kepada penerimaan dan penolakan kepada tiga bahagian. Pembahagian ini sangat baik dan persetujui oleh al-Nawawi dan ulama lain.
Penambahan yang tidak ada pertentangan dengan perawi-perawi thiqah atau lebih thiqah. Hukum penambahan ini ialah maqbul kerana ia seperti hadis yang keseluruhannya diriwayatkan oleh salah seorang perawi thiqah secara berseorangan.
Penambahan yang bertentangan dengan riwayat perawi-perawi thiqah atau lebih thiqah. Hukumnya mardud sebagaimana yang dibincangkan dalam bab al-Shadh.
Penambahan yang mempunyai bentuk pertentangan dengan riwayat perawi-perawi thiqah atau lebih thiqah. Pertentangan tersebut melibatkan mengikat yang mutlak atau mengkhususkan yang umum. Bahagian ini tidak dihukumkan oleh Ibn al-Salah tetapi al-Nawawi memutuskan dengan mengatakan: “Menurut pendapat yang sahih, yang trakhir ini adalah maqbul”.
Contoh Penambahan Pada Matan
Contoh Penambahan Yang Tidak Ada Pertentangan
Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim melalui jalan `Ali bin Mushir daripada al-A’mash daripada Abu Razin daripada Abu Salih daripada Abu Hurairah dengan penambahan lafaz (maka hendaklah dia mencurahkannya) dalam hadis tentang jilatan anjing. Sedangkan perawi-perawi yang lain meriwayatkan:
“Apabila anjing menjilat pada bekas salah seorang daripada kamu maka hendaklah dia membasuhnya sebanyak tujuh kali” Penambahan ini menjadi seperti sebuah hadis yang Ali bin Mushir berseorangan meriwayatkannya dan beliau seorang yang thiqah maka penambahan itu diterima.
Contoh Penambahan Yang Mempunyai Pertentangan
Penambahan “Hari ‘Arafah”, dalam hadis:
“Hari `Arafah, hari penyembelihan dan hari Tashriiq adalah hari raya kita orang-orang Islam. Ia adalah hari-hari makan dan minum (tidak berpuasa padanya)”
Hadis ini pada keseluruhan jalannya tidak mempunyai penambahan tersebut. Sebenarnya itu terdapat dalam jalan yang dikemukakan oleh Musa bin `Ali bin Rabah daripada bapanya daripada `Uqbah bin Amir. Hadis itu diriwayatkan oleh Abu Dawud (no: 2419), al-Tirmidhi (No. 770), dan lain-lain.
Contoh Penambahan Yang Mempunyai Bentuk Kelainan
Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim melalui jalan Abu Malik al-Ashja’i daripada Rib’i daripada Hudhayfah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“dan bumi semuanya dijadikan untuk kita sebagai masjid dan tanahnya sebagai alat bersuci”
Abu Malik al-Ashja’i telah berseorangan meriwayatkan dengan tambahan “dan tanahnya” dan tidak disebutkan oleh perawi-perawi lain. Mereka hanya meriwayatkan begini:
“dan bumi semuanya dijadikan untuk kita sebagai masjid dan alat bersuci.
Hukum Penambahan Pada Sanad
Berkenaan dengan penambahan pada sanad, ia lebih tertumpu pada dua masalah yang sering berlaku iaitu pertentangan antara mewawsulkan dengan memursalkan dan pertentangan antara memarfu’kan dengan mewawqufkan. Sementara bentuk penambahan lain dalam sanad, ulama telah membincangkan secara khusus dalam bab-babnya seperti al-Mazid Fi Muttasil al-Asaanid.
Dalam persoalan penambahan pada sanad, ulama berbeza pendapat sehingga kepada empat pendapat.
Diterima penambahan yang memawsulkan dan memarfu’kan. Ini adalah pendapat majoriti ulama fiqh dan usul.
Tidak diterima penambahan yang memawsulkan dan memarfu’kan.
Ini adalah pendapat kebanyakan ahli hadis.
Keputusan bergantung kepada yang paling banyak. Ini pendapat sebahagian ahli hadis.
Keputusan bergantung kepada yang paling kuat hafalan. Ini pendapat sebahagian ahli hadis.
Contohnya:
Hadis:
“tidak ada pernikahan tanpa wali”.
Hadis ini telah diriwayatkan oleh Yunus bin Abi Ishaq al-Sabi’i, anaknya Israil dan Qaays bin al-Rabi’ daripada Abu Ishaq secara muttasil sementara Sufyan al-Thawri dan Shu’bah bin al-Hajjaj telah meriwayatkannya daripada Abu Ishaq secara mursal.