Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 24

Mustalah Al Hadith – Sesi 24 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 08- Nov-15

FASAL KETIGA: KHABAR YANG BERSIFAT MAQBUL DAN MARDUD

Perbahasan Pertama: Pembahagian Khabar Merujuk kepada Sandarannya.

Berdasarkan kepada orang yang disandarkan kepadanya hadis, khabar terbahagi kepada empat bahagian iaitu hadis Qudsi, Marfu’, Mawquf dan Maqtu’. Di sini dikemukakan satu persatu huraian secara terperinci.

HADIS QUDSI

Definisi

Dari sudut bahasa al-Qudsi adalah nisbah kepada al-Quds iaitu kesucian sebagaimana yang disebutkan di dalam al-Qamus al-Muhit. Ya’ni hadis yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t, Zat Yang Suci.

Dari segi istilah pula, hadis yang sampai kepada kita daripada Rasulullah s.a.w dengan menyandarkannya kepada Allah s.w.t.

Perbezaan Antara Hadis Qudsi Dengan Al-Quran

Terdapat banyak perbezaan tetapi yang masyhurnya ialah:

1. Lafaz dan makna Al-Quran daripada Allah s.w.t manakala hadis qudsi maknanya daripada Allah s.w.t sedangkan lafaznya daripada Rasulullah s.a.w.
2. Al-Quran dijadikan ibadat dengan membacanya manakala hadis qudsi tidak dijadikan ibadat dengan membacanya.
3. Al-Quran itu sabit dengan cara “tawatur” sedangkan “tawatur” tidak disyaratkan pada hadis qudsi.

Bilangan Hadis Qudsi

Hadis-hadis qudsi tidaklah banyak jika dinisbahkan kepada hadis nabawi. Bilangannya tidak melebihi 200 hadis.

Contohnya hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya:

“Daripada Abu Dhar daripada Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan dari Tuhannya bahawa Dia berfirman: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku. Dan Aku telah jadikannya perkara yang diharamkan sesama kamu, maka janganlah melakukan kezaliman sesama kamu.

Lafaz-lafaz Periwayatannya

Bagi perawi hadis qudsi, dia boleh meriwayatkan dengan mana-mana daripada lafaz ini:

Pertama:
“Rasulullah s.a.w. bersabda sebagaimana yang diriwayatkan daripada Tuhannya:…”

Kedua,
“Allah s.w.t. berfirman sebagaimana yang diriwayatkan daripada-Nya oleh Rasulullah s.a.w.”

Kitab-Kitab Yang Terkenal

“Al-Ithafat al-Saniyyah Bi al-Ahadith al-Qudsiyyah” oleh Abdul Ra’uf al-Munawi. Di dalamnya beliau telah menghimpunkan 272 hadis qudsi.
AL-MARFU’

Definisi Dari sudut bahasa, al-Marfu’ adalah kata nama objek bagi rafa’a iaitu “mengangkat” lawan kepada wada’a iaitu “meletakkan”. Seolah-olah dinamakan demikian kerana nisbahnya kepada pemilik kedudukan yang tinggi iaitu Rasulullah s.a.w.

Dari segi istilah pula, apa yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w dalam bentuk ucapan, perbuatan, pengakuan atau sifat.

Huraian Definisi

Apa yang dinisbahkan atau disandarkan kepada Rasulullah s.a.w samada ucapan baginda, perbuatan, pengakuan atau sifat. Sama ada yang menyandarkan itu sahabat atau orang yang dibawahnya. Sama ada sanadnya bersambung-sambung atau terputus. Oleh itu marfu’ merangkumi mawsul, mursal, muttasil dan munqati’. Inilah yang masyhur tentang hakikatnya. Selain itu, ada beberapa pendapat tentang maksud dan ta’rifnya.

Bahagian-bahagiannya

Daripada ta’rifnya dapat diketahui bahawa marfu’ itu ada empat bahagian.

  1. marfu’ dari sudut ucapan
  2. marfu’ dari sudut perbuatan
  3. marfu’ dari sudut pengakuan
  4. marfu’ dari sudut sifat

Contoh

  1. Contoh marfu; qawli (ucapan): Sahabat berkata atau orang lain: “Rasulullah s.a.w. bersabda……
  2. Contoh marfu’ fi’li (perbuatan): Sahabat berkata atau orang lain: “Rasulullah s.a.w. melakukan.
  3. Contoh marfu’ Taqriri (pengakuan) : sahabat berkata atau orang lain “Ada perkara dilakukan di hadapan Rasulullah s.a.w. dan baginda tidak mengingkarinya”.
  4. Contoh marfu’ Wasfi (sifat): Sahabat berkata atau orang lain: “Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang paling baik akhlaqnya.

AL-MAWQUF

Definisi

Dari sudut bahasa, al-Mawquf adalah kata nama objek bagi waqafa iaitu “memberhentikan”. Seolah-olah perawi memberhentikan hadis itu pada sahabat dan tidak terus menyebutkan baki rantaian sanad.

Dari segi istilah pula, apa yang disandarkan kepada sahabat dalam bentuk ucapan, perbuatan atau pengakuan.

Huraian Definisi

Apa yang dinisbahkan atau disandarkan kepada sahabat atau sekumpulan sahabat sama ada ucapan, perbuatan atau pengakuan. Sama ada sanadnya “muttasil” atau “munqati”.

Contoh

  1. Contoh Mawquf Qawli (ucapan): kata-kata perawi, “Ali bin Abi Talib berkata:

Bercakaplah dengan orang ramai mengikut pengetahuan mereka. Adakah anda mahu Allah dan Rasul-Nya didustakan”.

  1. Contoh Mawquf Fi’li (perbuatan): al-Bukhari berkata:

“Ibn Abbas menjadi imam sedangkan beliau bertayyamun.

  1. Contoh Mawquf Taqriri (pengakuan): seperti kata-kata sebahagian tabi’in,

“Kami berbuat demikian di hadapan salah seorang sahabat dan beliau tidak membantahku.”

Penggunaan Lain Bagi Mawquf

Ada juga penggunaan lain bagi istilah mawquf iaitu berita yang datang dari bukan sahabat tetapi dengan “qayd” (dengan ikatan/sifat) seperti hadis ini dimawqufkan oleh si fulan pada al-Zuhri atau `Ata dan sebagainya.

Istilah Fuqaha’ Khurasan

Fuqaha’ Khurasan menamakan “marfu’” sebagai khabar dan “mawquf” sebagai athar. Sementara Ahli hadis menamakan semuanya itu dengan athar kerana diambil daripada “athartu al-shay’” yakni meriwayatkan sesuatu.

Permasalahan Berkaitan Dengan “Marfu’ Hukman”

Ada beberapa bentuk mawquf dari sudut lafaz dan bentuknya tetapi bagi ulama yang menghalusi hakikatnya mengatakan ia sama makna dengan hadis marfu’, Oleh kerana itu, ia dinamakan “marfu’ hukman” iaitu mawquf pada lafaz tetapi marfu’ pada hukumnya.

Bentuk-Bentuk Marfu’ Ini

Pertama: Sahabat yang tidak diketahui pernah mengambil cerita daripada ahli Kitab mengatakan sesuatu yang tidak boleh diijtihadkan, tidak ada hubung kait dengan bahasa atau menjelaskan lafaz gharib seperti:

  1. Perkhabaran berita-berita lalu seperti permulaan kejadian.
  2. Perkhabaran tentang perkara-perkara akan datang seperti malahim (peristiwa-peristiwa besar), fitan (fitnah-fitnah akhir zaman) dan keadaan hari kiamat.
  3. Pengkhabaran tentang pahala khusus yang diperolehi dengan melakukan amalan atau siksaan tertentu seperti sahabat mengatakan sesiapa yang melakukan ini akan mendapat ganjaran ini.

Kedua: Sahabat melakukan sesuatu perkara yang tidak boleh diijtihadkan seperti Sayyidina `Ali bersembahyang gerhana bulan dengan dua ruku’ pada setiap rakaat.

Ketiga: Sahabat melaporkan bahawa mereka selalu mengucapkan demikian, melakukan demikian atau berpendapat tidak mengapa demikian.

  1. Jika disandarkan kepada zaman Rasulullah s.a.w menurut pendapat yang sahih ia adalah marfu’ seperti kata Jabir:  “kami melakukan `azal pada zaman Rasulullah s.a.w”
  2. Jika tidak disandarkan kepada zaman baginda, ia adalah mawquf mengikut majoriti ulama seperti kata-kata Jabir:

“Apabila mendaki kami mengucapkan takbir dan apabila menuruni kami bertasbih”

Keempat: Sahabat mengatakan: “Kami diperintahkan dengan ini, kami dilarang daripada itu, atau termasuk dalam sunnah perkara ini. Contohnya kata-kata setengah sahabat:

“Bilal diperintah supaya menggandakan azan dan menganjilkan iqamah”

Kata-kata Ummu `Atiyyah:

“Kami dilarang dari mengiringi jenazah tetapi tidak diketatkan terhadap kami”

Kata-kata Abu Qilabah daripada Anas:

“Termasuk dalam sunnah apabila seseorang mengahwini dengan anak dara dalam keadaan sudah berkahwin dengan janda, dia boleh berada bersamanya tujuh hari”

Kelima: Perawi mengatakan dalam hadis ketika menyebutkan sahabat dengan perkataan-perkataan yang empat ini, “yarfa’uhu”, “yanmiihi”, “yablughubihi” atau “riwayatan”. Seperti hadis al-A’raj daripada Abu Hurairah “riwayatan”:

“Kamu akan memerangi kaum yang mempunyai mata yang sepet”

Keenam: Sahabat mentafsirkan sesuatu yang berkait dengan sebab turun ayat. Seperti kata-kata Jabir: “Yahudi sering mengatakan sesiapa yang menyetubuhi isterinya pada kemaluannya dari arah belakang maka akan lahir anak yang juling, lalu Allah s.w.t menurunkan ayat surah al-Baqarah ayat 223.”

Bolehkah Berhujah Dengan Hadis Mawquf

Seperti mana yang diketahui, hadis mawquf itu kadang-kadang sahih, hasan atau dhaif tetapi jika terbukti sahih adakah boleh dijadikan hujah? Jawabnya, pada asalnya mawquf itu tidak dijadikan hujah kerana ia adalah ucapan dan perbuatan sahabat. Bagaimanapun jika sabit sebagai sahih ia boleh menguatkan sesetengah hadis dhaif – sebagaimana yang dibincangkan dalam bab hadis mursal – kerana keadaan sahabat adalah beramal dengan sunnah. Ini jika mawquf itu tidak mempunyai hukum marfu’. Apabila mawquf itu mepunyai hukum marfu’ maka ia boleh dijadikan hujah.

AL-MAQTU’

Definisi

Dari sudut bahasa, al-Maqtu’ adalah kata nama objek bagi “qata’a” iaitu “memutuskan” lawan kepada “wasala” iaitu “menyambung”.

Dari segi istilah pula, apa yang disandarkan kepada tabi’i atau orang yang lebih rendah daripadanya dalam bentuk ucapan atau perbuatan.

Huraian Ta’rif

Iaitu apa yang disandarkan kepada tabi’i atau tabi’ tabi’in dan mereka yang dibawahnya sama ada ucapan atau perbuatan. Al-Maqtu’ berbeza dengan al-Munqati’ kerana al-Maqtu’ adalah sifat matan manakala al-Munqati’ sifat sanad. Dengan kata lain, hadis maqtu’ adalah ucapan tabi’in dan mereka yang di bawahnya yang kadang-kadang sanadnya bersambung-sambung kepada tabi’i tersebut, sedangkan munqati’ bermaksud sanad hadis itu tidak muttasil dan tidak ada kaitan dengan matan.

Contoh

Contoh hadis Maqtu’ qawli: Kata-kata al-Hasan al-Basri tentang sembahyang di belakang ahli bid’ah, “Sembahyanglah kamu (di belakangnya), dia yang bertanggungjawab terhadap bid’ahnya”.

Contoh hadis maqtu’ fi’li: Kata-kata Ibrahim bin Muhammad al-Muntashir:

“Masruq sering melabuhkan tabir di antara dirinya dengan ahli keluarganya, dia terus bersembahyang dan membiarkan mereka dengan urusan dunia mereka.”

Hukum Berhujah Dengannya

Hadis maqtu’ tidak boleh dijadikan hujah dalam mana-mana hukum syara’ walaupun sah sandarannya kepada tuannya kerana ia hanya ucapan atau perbuatan salah seorang muslim. Bagaimanapun jika terdapat qarinah atau tanda yang menunjukkan ia marfu’ maka ia dianggap mempunyai hukum hadis marfu’ mursal seperti kata-kata sesetengah perawi ketika menyebutkan tabi’in “yarfa’uhu” (mengangkatnya kepada Rasulullah s.a.w) maka maqtu’ itu dianggap memppunyai hukum marfu’mursal.

Penamaan Maqtu’ Dengan Munqati’

Sesetengah ulama hadis seperti al-Shafi’i dan al-Tabarani menyebutkan “Maqtu’ “ dan mereka memaksudkan hadis munqati’ iaitu hadis yang tidak bersambung sanadnya. Bagaimanapun istilah ini tidak masyhur.

Mungkin alasan yang boleh diberikan bagi pihak Imam al-Safi’i iaitu penggunaan istilah itu belum lagi menjadi istilah mantap. Manakala bagi pihak al-Tabarani, ia dikira sebagai menggunakan bahasa pinjaman bukan dengan ma’na istilah.

Kitab-Kitab Tentang Hadis Mawquf Dan Maqtu’

  1. Musannaf Ibn Abi Shaybah
  2. Nysabbaf `Abd al-Razaq
  3. Tafsir al-Tabari, Ibn Abi Hatim dan Ibn al-Mundhir

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 23

Mustalah Al Hadith – Sesi 23 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 01- Nov-15

AL-MUSAHHAF

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada “al-tashif” iaitu kesilapan dalam catatan.  “Al-Sahafi” iaitu orang yang melakukan kesilapan dalam membaca catatan lalu mengubah beberapa lafaz kerana salah membaca.

Dari segi istilah pula, “tashif” ialah mengubah perkataan dalam hadis kepada yang  bukan diriwayatkan oleh perawi-perawi thiqah secara lafaz atau makna.

Kepentingan Mengetahui Al-Musahhaf

Ia merupakan ilmu yang sangat utama dan halus.  Kepentingannya sangat jelas dalam menerangkan kesilapan yang dilakukan oleh para perawi.  Tugas yang begitu berat ini hanya dapat dipikul oleh ulama hadis yang bijaksana dan tajam pemikirannya seperti al-Daruqutni.

Pembahagian

Ulama telah membahagikan al-musahhaf kepada tiga pengelasan.

1) Berdasarkan kepada tempat berlaku

Dilihat kepada tempat berlaku, al-Musahhaf terbahagi kepada dua iaitu,

  1. i) Tashif pada sanad

Contohnya hadis Shu’bah daripada al-`Awwam bin Ibn Muraajim.  Ibn Ma’in telah melakukan tashif dengan mengatakan daripada al-`Awwam bin Muzaahim.

  1. ii) Tashif pada matan

Contohnya hadis Zayd bin Thabit bahawa “Rasulullah s.a.w. membuat bilik di dalam masjid”

Ibn Lahi’ah telah melakukan tashif dengan mengatakan

“Rasulullah s.a.w. telah berbekam di dalam masjid”.

2)Berdasarkan kepada punca

Dilihat kepada puncanya, musahhaf terbahagi kepada dua:

  1. Tashif penglihatan.

Ini yang sering berlaku. Tulisan mengelirukan penglihatan pembaca sama ada tulisan yang jelek atau tidak bertitik.

Contohnya hadis:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian mengikutinya enam hari dalam bulan Shawwal” Abu Bakar al-Suli telah melakukan “tashif” dengan menyebutkan:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian mengikutinya dengan sesuatu dalam bulan Shawwal”…

  1. ii) Tashif Pendengaran

Tashif yang berpunca daripada pendengaran yang tidak jelas atau pendengar berada jauh dan sebagainya lalu dia terkeliru dengan sesetengah perkataan kerana ia mempunyai kesamaan timbangan soraf.

Contoh hadis yang diriwayatkan oleh `Asim al-Ahwal.  Sebahagian perawi telah melakukan tashif dengan menyebut daripada Wasil al-Ahdab.

2) Berdasarkan kepada lafaz atau makna

Dilihat kepada lafaz dan makna, tashif terbahagi kepada tashif pada lafaz dan tashif pada makna.

  1. Tashif pada lafaz
  2. Tashif ini banyak berlaku. Contohnya sama seperti contoh-contoh di atas.

Tashif pada makna

Iaitu perawi yang melakukan tashif itu mengekalkan lafaz dengan keadaannya tetapi dia mentafsirkannya dengan cara dia memahami makna itu tidak mengikut makna yang asal.  Contohnya kata-kata Abu Musa al-Anazii:

“Kami adalah kaum yang mempunyai kemuliaan.  Kami dari kabilah `Anazah.  Rasulullah s.a.w. bersembahyang dengan menghadap ke arah kami”

Beliau maksudkan dengan hadis:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersembahyang dengan menghadap `anazah (tombak)”

Beliau telah waham bahawa baginda s.a.w bersembahyang menghadap ke kabilah mereka sedangkan `anazah itu ialah tombak yang dipacakkan di hadapan orang yang bersembahyang.

Pembahagian al-Hafiz Ibn Hajar

Al-Hafiz Ibn Hajar telah membahagikan tashif kepada pembahagian lain dengan menjadikannya dua bahagian iaitu:

Musahhaf dan Muharraf

  1. Musahhaf: Hadis yang terdapat perubahan yang merujuk kepada titik huruf dalam keadaan tulisan tetap kekal tidak berubah.
  2. Muharraf: Hadis yang terdapat perubahan yang merujuk kepada baris dalam keadaan tulisan tetap kekal tidak berubah.

Adakah Tashif Menjejaskan Keadilan Perawi?

Apabila tashif itu jarang-jarang terbit daripada seorang perawi maka itu tidak menjejaskan ketepatannya kerana tidak ada orang yang terselamat daripada kesilapan dan tashif walaupun sedikit. Sebaliknya jika sering berlaku maka menjejaskan ketepatannya, menunjukkan kepada kelemahannya dan dia bukanlah tokoh dalam bidang ini.

Sebab Berlakunya Tashif Yang Banyak Pada Perawi

Kebiasaannya tashif yang banyak berlaku pada perawi kerana dia mengambil hadis melalui kitab dan catatan tanpa memerima daripada guru-guru. Ulama hadis berkata: “Janganlah kamu mengambil hadis daripada sahafi maksudnya jangan kamu mengambil hadis daripada orang yang mengambilnya melalui catatan tanpa guru”.

Kitab Yang Masyhur

  1. “Al-Tashif” oleh al-Daruqutni
  2. “Islah Khata`al-Muhaddithin” oleh al-Khattabi
  3. “Tashifat al-Muhaddithin” oleh Abu Hamid al-Askari

KETIDAKTAHUAN TENTANG PERAWI

Dari segi bahasa adalah kata dasar bagi “jahila” – tidak tahu atau lawan kepada mengetahui. Ketidaktahuan tentang perawi bermaksud tidak mengenalinya. Dari segi istilah pula ialah tidak mengetahui diri perawi atau keadaannya.

Sebab-sebabnya

Ada tiga sebab mengapa perawi tidak dikenali:

  1. Banyak pengenalan pada perawi, sama ada nama, kuniyah, gelaran, sifat, kemahiran atau nisbah dan dia dikenali dengan salah satu daripadanya lalu disebutkan bukan dengan sebutan yang dia dikenali dengan tujuan-tujuan tertentu. Ini menyebabkan dia dianggap perawi yang berlainan dan ini menyebabkan ketidaktahuan tentang keadaan.
  2. Sedikit riwayatnya, dengan itu tidak ramai perawi yang meriwayatkan daripadanya.
  3. Tidak dijelaskan namanya, disebabkan untuk meringkaskan atau sebagainya. Perawi yang tidak dijelaskan namanya dipanggil sebagai perawi mubham.

Contoh-contohnya

Banyak sifat pada perawi: Muhammad bin al-Sa’ib bin Bishr al-Kalbi. Sebahagian perawi menisbahkan kepada datuknya dengan mengatakan Muhammad bin Bishr. Sebahagiannya pula meletakkan kuniyah Abu al-Nadr, ada yang menyebutkan Abu Sa’id, Abu Hisham lalu menyebabkan dia disangka sebagai ramai sedangkan seorang sahaja.

Sedikit riwayatnya dan sedikit pula perawi daripadanya: Abu al-`Ashara’al-Darimi seorang tabi’i tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali Hammad bin Salamah.

Tidak dijelaskan namanya: seperti kata perawi: “Si fulan atau syeikh atau seorang lelaki telah menkhabarkan kepadaku”.

Ta’rif al-Majhul

Iaitu perawi yang tidak dikenali diri dan sifatnya. Maksudnya perawi yang tidak diketahui siapa sebenarnya atau peribadinya atau peribadinya diketahui tetapi tidak diketahui keperibadiannya iaitu keadilan dan ketepatannya.

Bahagian Perawi Majhul

Perawi Majhul dapat dibahagian kepada tiga:

Majhul al-`Ayn

Ta’rifnya: perawi yang disebutkan namanya tetapi tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali seorang sahaja.

Hukum periwayatannya:

Tidak diterima kecuali bila dinyatakan tentang ke”thiqah”annya.

Bagaimana ke”thiqahan”nya dinyatakan:

Kethiqahannya dapat dibuktikan dengan salah satu daripada dua cara ini: dia dinyatakan sebagai thiqah oleh perawi yang bukan meriwayatkan daripadanya. Atau dinyatakan thiqah oleh perawi yang meriwayatkan daripadanya dengan syarat dia dari kalangan ulama al-Jarh Wa al-Ta’dil.

Adakah hadisnya itu mempunyai nama khusus?

Hadisnya itu tidak mempunyai nama khusus tetapi diletakkan di bawah hadis dha’if.

Majhul al-Hal (dinamakan juga al-Mastur)

Definisi: Perawi yang diriwayatkan daripadanya oleh dua orang atau lebih tetapi tidak di”tawsiq”kan.

Hukum periwayatannya:

Tidak diterima mengikut pendapat yang sahih di sisi majoriti ulama.

Adakah hadisnya itu mempunyai nama khusus?

Hadisnya itu tidak mempunyai nama khusus tetapi diletakkan di bawah hadis dha’if.

AL-MUBHAM

Definisi

Perawi yang tidak dinyatakan dengan jelas namanya di dalam hadis.

Hukum periwayatannya:

Tidak diterima sehinggalah perawi yang meriwayatkan daripadanya menyatakan namanya atau namanya diketahui, melalui jalan yang lain yang menyebutkan dengan jelas namanya.

Sebab hadisnya ditolak ialah tidak diketahui siapa dirinya kerana orang yang disamarkan namanya tidak akan diketahui dirinya dan apatah lagi tentang keadilannya tidak diketahui. Oleh itu periwayatannya tidak diterima.

Adakah diterima periwayatan perawi yang disamarkan dengan lafaz ta’dil? Contohnya seperti kata seorang perawi yang meriwayatkan daripadanya: “Perawi thiqah telah menceritakan kepada saya”?

Jawapan: Mengikut pendapat yang sahih riwayatnya juga tidak diterima kerana boleh jadi thiqah padanya tetapi tidak di sisi orang lain.

Adakah hadisnya itu mempunyai nama khusus?

Jawapan: Ya, hadisnya mempunyai nama khusus iaitu hadis Mubham. Ia adalah hadis yang terdapat di dalamnya perawi yang tidak dinyatakan namanya. Kata al-Bayquni di dalam bait-bait syairnya: “Dan mubham itu di dalamnya ada perawi yang tidak dinamakan”.

Kitab-Kitab Terkenal Yang Membahaskan Sebab-Sebab “Jahalah Al-Ruwah”.

  1. Berkenaan perawi yang mempunyai banyak sifat: al-Khatib al-Baghdadi menulis kitab “Mudih Awham al-Jam’Wa al-Tafriq”.
  2. Perawi yang sedikit riwayatnya: Berkenaan sebab ini ditulis kitab-kitab “al-Wuhdaan” iaitu kitab yang mengandungi perawi yang seorang sahaja meriwayatkan daripadanya. Antara kitab ini ialah “al-Wuhdaan” karangan Imam Muslim.
  3. Tidak dinyatakan nama perawi: Berkenaan sebab ini ditulis kitab-kitab “al-Mubhamat” seperti kitab “al-Asma al-Mubhamah fi al-Anba’al-Muhkamah” oleh al-Khatib al-Baghdadi dan kitab “al-Mustafad min Mubhamat al-Matn Wa al-Isnad” oleh Waliyuddin al-Iraqi.

AL-BID’AH

Definisi:

Dari segi bahasa adalah kata dasar bagi “bada’a” iaitu mengadakan, seperti juga “ibtada’a” sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab “al-Qamus al-Muhit”. Dari segi istilah pula bid’ah ialah perkara baru dalam agama setelah ianya disempurnakan atau perkara yang direka sama ada dalam bentuk hawa nafsu atau amalan setelah Rasulullah s.a.w wafat.

Bahagian-bahagiannya

Bid’ah “mukaffirah” iaitu bid’ah yang menyebabkan pengamalnya menjadi kafir seperti dia beri’tiqad dengan sesuatu yang membawa kepada kekufuran. Mengikut pendapat yang diakui, perawi yang ditolak periwayatannya ialah orang yang mengingkari perkara mutawatir yang diketahui sebagai kemestian ajaran agama atau beri’tiqad dengan sebaliknya.

Bid’ah mufassiqah iaitu pengamalnya difasiqkan dengan sebabnya dan ia tidak membawa kepada kekufuran sama sekali.

Hukum Periwayatan Ahli Bid’ah

Jika dia seorang pengamal bid’ah “mukaffirah”, periwayatannya ditolak. Jika dia seorang pengamal bid’ah mufassiqah, menurut pendapat yang sahih, riwayatnya diterima dengan dua syarat:

  1. Dia tidak menyeru kepada bid’ahnya
  2. Dia tidak mewarwarkan bid’ahnya.

Adakah Hadis Ahli Bid’ah Mempunyai Nama Khusus?

Hadis ahli bid’ah tidak mempunyai nama khusus kerana hadisnya sebagaimana anda ketahui termasuk dalam jenis-jenis hadis mardud, tidak boleh diterima kecuali dengan sebab-sebab yang telah disebut.

LEMAH INGATAN DAN HAFAZAN

Ta’rif perawi yang mempunyai ingatan: Perawi yang aspek “betul”nya tidak kuat berbanding dengan aspek kesilapannya.

Bentuk-bentuknya

Ada dua bentuk:

  1. Sekiranya lemah hafalan itu ada bersamanya sejak awal kehidupannya lalu berterusan padanya dalam semua keadaannya hadisnya dinamakan dengan shadh mengikut setengah ulama hadis.
  2. Hadis yang disampaikannya selepas berlaku “ikhtilat” maka hukumnya mardud.
  3. Hadis yang tidak dapat ditentukan sama ada disampaikan sebelum atau selepas berlaku “ikhtilat” maka hendaklah ditangguhkan sehinggalah jelas kedudukannya.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 22

Mustalah Al Hadith – Sesi 22 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 25 Okt 15

AL-MAQLUB

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada “al-qalb” iaitu memusingkan sesuatu dari mukanya.

Dari segi istilah pula menukarkan lafaz dengan yang lain pada sanad atau pada matan dengan cara mendahulukan, mengkemudiankan atau lain-lain.

Bahagian-Bahagiannya

Hadis maqlub terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu Maqlub al-Sanad  dan Maqlub al-Matn

Maqlub al-Sanad

Penukaran yang berlaku pada sanad.  Ia mempunyai dua bentuk:

  1. Perawi mendahulukan dan mengemudiankan nama salah seorang perawi dan nama ayahnya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin Murrah lalu seorang meriwayatkan dengan Murrah bin Ka’ab.
  2. Perawi menukarkan seseorang dengan seorang yang lain dengan tujuan untuk menjadikannya “gharib” seperti hadis yang terkenal daripada Salim lalu dijadikan daripada Nafi’.

Antara perawi yang sering melakukannya ialah Hammad bin Amr al-Nasibi.  Contohnya ialah:

Hadis yang diriwayatkan oleh Hammad bin `Amr al-Nasibi dari al-A’mash daripada Abu Salih daripada Abu Hurayrah secara murfu’.

“Apabila kamu bertemu dengan orang musyrik di jalanan maka jangan dahulukan mereka dengan ucapan salam”.

Hadis ini maqlub kerana Hammad telah menukarkannya dengan menjadikannya daripada al-A’mash.  Sebenarnya hadis ini ma’ruf daripada Suhayl bin Abu Salih daripada bapanya daripada Abu Hurayrah.  Beginilah yang ditakhrijkan oleh Muslim di dalam Sahihnya.1Bentuk penukaran ini menyebabkan perawinya dikenali sebagai pencuri hadis.

Maqlub al-Matn

Penukaran yang berlaku pada matan.  Ia mempunyai dua bentuk:

  1. Perawi mendahulukan dan mengkemudiankan sebahagian matan hadis. Contohnya:  Hadis Abu Hurayrah di dalam Sahih Muslim tentang tujuh golongan yang mendapat teduhan Allah pada hari tiada teduhan selan teduhan-Nya.  Lafaz tersebut ialah:

“dan seorang lelaki bersedekah dengan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kirinya.”.

Ini adalah penukaran yang telah dilakukan oleh sesetengah perawi.

Sebenarnya ialah:

“Sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya.”

  1. Perawi meletakkan matan sebuah hadis pada sanad yang lain dan meletakkan sanad hadis pada matan lain. Tujuannya antara lain ialah untuk menguji.  Contohnya sekumpulan ulama hadis Banghdad telah membalikkan seratus hadis untuk Imam al-Bukhari dan bertanya kepada beliau sebagai menguji daya ingatannnya. Lalu beliau mengembalikan kesemua hadis yang telah dibalikkan kepada keadaan asalnya tanpa melakukan sedikit kesalahan pun.

Sebab-Sebab Yang Mendorong Membalikkan Hadis

Ada beberapa sebab yang mendorong berlakunya pembalikan pada hadis. Antaranya ialah:

  1. Bertujuan untuk menjadikan hadis itu “gharib” lalu orang ramai tertarik untuk mengambil dan meriwayatkannya.
  2. Untuk menguji dan memastikan daya hafalan seorang ulama hadis dan juga ketepatannya.
  3. Berlaku kesilapan yang tidak disengajakan.

Hukum Membalikkan Hadis

  1. Jika membalikkan itu dengan tujuan menjadikannya “gharib”, tidak syak lagi itu tidak harus kerana mengubah hadis dan ini kerja pereka-pereka hadis.
  2. Jika dengan tujuan untuk menguji maka harus bagi mendapatkan kepastian ingatan ulama hadis dan sejauh mana keahliannya. Bagaimanapun sebelum majlis itu berakhir hendaklah dijelaskan manakah sebenarnya yang sahih.
  3. Jika berlaku secara tersilap atau lupa maka pelakunya dimaafkan tetapi apabila sering kali berlaku itu mencacatkan ketepatannya dan menjadikannya perawi yang da’if.

Ringkasnya, hadis maqlub termasuk dalam kagegori hadis da’if yang ditolak sebagaimana yang jelas diketahui.

Karangan Yang Terkenal

“Rafi’ al-Irtiyab Fi al-Maqlub Min al-Asma’ Wa al-Alqab” karangan al-Khatib al-Baghdadi. Jelas daripada namanya, kitab ini khusus dengan hadis maqlub sanad sahaja.

AL-MAZID FI MUTTASIL AL-ASANID

Definisinya Dari segi bahasanya ia adalah kata nama objek daripada “al-ziyadah” iaitu menambahkan. “Al-muttasil” kata lawanan bagi “al-Munqati’ “ dan “al-Asanid” jama’ bagi “Isnad”.

Dari segi istilah pula bermaksud penambahan perawi pada pertengahan sanad yang zahirnya kelihatan bersambung-sambung.

Contohnya:

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn al-Mubarak, katanya, Sufyan telah menceritakan kepada kami daripada `Abdul Rahman bin Yazid katanya, Busr bin `Ubaydullah telah menceritakan kepada kami katanya, saya mendengar Abu Idris berkata saya mendengar Wathilah berkata, saya mendengar Abu Marthad berkata, saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Jangan kamu duduk di atas kubur dan jangan bersembahyang dengan menghadapnya.”

Penambahan Dalam Contoh Ayat Di Atas

Penambahan dalam contoh di atas berlaku pada dua tempat. Tempat pertama pada lafaz Sufyan dan tempat kedua pada lafaz Abu Idris. Sebab berlakunya penambahan pada kedua-dua tempat ini adalah waham daripada perawi.

  1. Lafaz Sufyan adalah waham daripada perawi sebelum Ibn al-Mubarak kerana beberapa orang perawi thiqah meriwayatkan hadis ini daripada Ibn al-Mubarak secara langsung daripada `Abdul Rahman bin Yazid. Malah sesetengah mereka menyatakan dengan jelas pengkhabaran `Abdul Rahman bin Yazid. Malah sesetengah mereka menyatakan dengan jelas pengkhabaran `Abdul Rahman bin Yazid kepada Ibn al-Mubarak.
  2. Penambahan lafaz Abu Idris itu adalah waham yang berpunca daripada Ibn al-Mubarak kerana beberapa orang perawi thiqah meriwayatkan hadis ini daripada `Abdul Rahman bin Yazid tanpa menyebutkan Abu Idris. Di antara mereka ada yang menyebutkan dengan jelas bahawa Busr mendengar secara langsung daripada Wathilah.

Syarat-Syarat Penolakan Penambahan Perawi

Dua syarat mesti dipenuhi bagi menolak tambahan itu dan itu dianggap sebagai waham daripada perawi yang menambahkannya:

  1. Perawi yang tidak menambahkan itu lebih kuat ingatan dan kemas daripada perawi yang menambahkan.
  2. Adanya penjelasan bahawa perawi mendengar sendiri pada tempat tambahan. Sekiranya kedua-dua syarat ini tidak dipenuhi tambahan ini dikira sebagai kuat dan diterima. Sanad yang tidak mempunyai tambahan ini dianggap sebagai “munqati’ “ . Cuma terputus sanad itu secara tersembunyi dan dinamakan sebagai “al-Mursal al-Khafiy”.

Kritikan terhadap Dakwaan Wujudnya Penambahan

Dakwaan wujudnya penambahan itu dikritik dengan dua perkara:

  1. Jika sanad yang tidak mempunyai tambahan itu dengan lafaz “ ‘an” pada tempat tambahan maka sepatutnya sanad itu dianggap “munqati’ “.
  2. Jika dinyatakan dengan jelas perawi itu mendengar sendiri, ada kemungkinan dia mendengar hadis itu melalui perantaraan seorang perawi dan setelah itu baru dia mendengar secara langsung.

Kritikan Ini Boleh Dijawab Dengan Berikut:

  1. Kritikan pertama boleh diterima dan masuk akal.
  2. Andaian pada kritikan kedua itu mungkin terjadi. Bagaimanapun ulama tidak memutuskan penambahan itu sebagai waham kecuali bila terdapat tanda dan bukti.

Karangan yang terkenal

“Tamyiz al-Mazid Fi Muttasil al-Asananid” karangan al-Khatib al-Baghdadi.

AL-MUDTARIB

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama pelaku daripada “al-Idtirab“ iaitu keadaan tidak tetap dan kucar-kacir. Asalnya daripada “idtarab al-Mawj” iaitu ombak bergelora apabila banyak pergerakan dan saling memukul.

Dari segi istilah pula hadis yang diriwayatkan secara berlainan tetapi sama dari segi kekuatan.

Huraian Ta’rif

Hadis yang diriwayatkan dengan cara yang saling bertentangan sehingga tidak dapat diselaraskan antara satu sama lain. Kesemua riwayat itu sama kekuatan dari semua sudut sehingga tidak dapat ditarjihkan dengan mana-mana sudut pentarjihan.

Syarat Kewujudannya

Dengan memerhatikan kepada ta’rif dan huraiannya, jelas bahawa sesebuah hadis tidak dinamakan dengan mudtarib kecuali dengan memenuhi dua syarat berikut:

  1. Perbezaan riwayat-riwayat hadis sehingga tidak dapat diselaraskan.
  2. Riwayat-riwayat tersebut dari segi kekuatan sehingga tidak dapat ditarjihkan satu riwayat daripada riwayat yang lain.

Namun apabila salah satu riwayat dapat ditarjihkan atau boleh dijamakkan dengan cara yang diakui maka sifat tidak tetap atau kegoncangan itu hilang daripada hadis tersebut. Dalam hal pentarjihan, riwayat yang ditarjihkan itu diamalkan manakala dalam hal penyelarasan, maka kesemua riwayat yang diselaraskan dapat diamalkan.

Bahagian-bahagiannya:

Berdasarkan kepada tempat berlaku kegoncangan, “mudtarib” terbahagi kepada dua, “mudtarib al-Sanad” dan “mudtarib al-Matn”.

Mudtarib al-Sanad

Contohnya, hadis Abu Bakar katanya: “Wahai Rasulullah, saya melihat tuan sudah beruban, Baginda menjawab: “Surah Hud dan saudara-saudaranya telah menyebabkan saya beruban”

Al-Daruqutni berkata: Ini hadis “mudtarib” kerana ia hanya diriwayatkan daripada jalan Abu Ishaq. Lebih kurang terdapat sepuluh cara bagaimana hadis ini diriwayatkan daripadanya. Ada dari kalangan perawi meriwayatkannya secara “mursal”, ada secara “mawsul” (bersambung-sambung), ada yang menjadikannya “musnad Abu Bakar”, ada yang menjadikannya “musnad Sa’d”, ada yang menyebutkannya sebagai “musnad`A’ishah” dan sebagainya. Perawi-perawinya adalah thiqah dan tidak dapat tarjihkan antara satu sama lain begitu juga tidak dapat diselaraskan.

Mudtarib al-Matn

Contohnya, hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi “Daripada Sharik daripada Abu Hamzah daripada al-Sha’bi daripada Fatimah binti Qays katanya: “Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang zakat: Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya dalam harta itu ada hak selain zakat.

Dan Ibn Majah meriwayatkan sanad ini dengan lafaz: “Tidak ada hak (kewajiban) pada harta selain dari zakat” Kata al-`Iraqi: ini adalah kegoncangan yang tidak dapat dita’wilkan.

Siapakah Punca Berlakunya Kegoncangan

Kadang-kadang kegoncangan berpunca daripada seorang perawi sahaja iaitu dengan meriwayatkan hadis yang sama dengan pelbagai cara. Kadang-kadang terjadi kerana kumpulan perawi yang ramai iaitu masing-masing meriwayatkan dengan cara yang berbeza antara satu sama lain.

Sebab Dhaifnya Hadis Mudtarib

Dhaifnya hadis “mudtarib” kerana kegoncangan itu menunjukkan kepada ketidaktepatan para perawinya.

Kitab Yang Masyhur

“Al-Muqtarib Fi Bayan al-Mudtarib” oleh Hafiz Ibnu Hajar.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 21

Mustalah Al Hadith – Sesi 21 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 18 Okt 15

Jika sebuah kecaman pada perawi itu ialah percanggahan dengan perawi-perawi thiqah maka timbul lima kategori hadis yang lain iaitu “mudraj”, “maqlub”, “mazid fi muttasil al-asanid”, “mudtarib” dan “musahhaf”.

  1. Jika percanggahan yang melibatkan perubahan “siyaq” sanad atau memasukkan “mawquf” dalam “marfu’” maka ia dinamakan “mudraj”.
  2. Jika percanggahan yang melibatkan mendahulukan atau mengkemudiankan maka ia dinamakan “maqlub”.
  3. Jika percanggahan yang berkait dengan penambahan perawi maka ia dinamakan “mazid fi muttasil al-asanid”.
  4. Jika percanggahan yang berkait dengan menukar perawi dengan perawi lain atau wujud pertentangan yang saling menolak pada matan dan tidak dapat ditarjihkan maka ia dinamakan “mudtarib”.
  5. Jika percanggahan yang melibatkan perubahan lafaz tetapi konteks ayat tetap kekal maka ia dinamakan “musahhaf”.

AL-MUDRAJ

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada “adraja” iaitu memasukkan sesuatu ke dalam benda lain.

Dari segi istilah pula hadis  yang diubah “siyaq” sanadnya atau dimasukkan ke dalam matan sesuatu yang lain tanpa pemisah.

Bahagiannnya

Mudraj terbahagi kepada dua iaitu “mudraj al-Isnad” dan “mudraj al-Matn”.

Mudraj al-Isnad

Definisi “Mudraj al-Isnad” ialah hadis yang diubah “siyaq” sanadnya.  Bentuknya ialah perawi mengemukakan sanad tiba-tiba berlaku sesuatu lalu dia mengucapkan perkataannya sendiri.  Dalam keadaan demikian orang yang mendengar ucapan tersebut menyangka itu termasuk dalam matan sanad itu lalu dia meriwayatkan begitu.

Contoh: kisah Thabit bin Musa al-Zahid dalam riwayatnya:

“Sesiapa yang banyak bersolat malam wajahnya akan berseri-seri di siang hari.”

Asal ceritanya Thabit bin Musa datang menemui Sharik bin `Abdullah al-Qadi.  Pada ketika itu beliau, membacakan hadis untuk dicatat.  Beliau berkata:

Al-A’mash telah menceritakan kepada kami daripada Abu Sufyan daripada Jabir katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “…Kemudian beliau diam untuk memberi ruang kepada “mustamli” (orang yang bertindak sebagai penyampai suara guru hadis apabila dalam majlis dipenuhi oleh ramai pelajar)  untuk menulis.  Apabila beliau terpandang Thabit lantas berkata:

“Siapa yang bersolat malam wajahnya akan berseri-seri di siang hari.”

Beliau memaksudkan  dengan kata-kata itu akan Thabit kerana kezuhudan dan kewarakannya .  Tetapi Thabit menyangka itu matan sanad tersebut lalu menyampaikan riwayat tersebut sebagai hadis.

Mudraj al-Matn

Ta’rifnya ialah hadis yang dimasukkan ke dalam matannya sesuatu yang lain tanpa pemisah.

“Mudraj al-Matn” terbahagi kepada tiga:

  1. Tambahan berlaku pada permulaan hadis. Ini tidak banyak berlaku.
  2. Tambahan berlaku pada pertengahan hadis. Ini jarang berlaku
  3. Tambahan berlaku pada akhir hadis. Ini yang biasa berlaku.

Contoh Tambahan Berlaku Pada Permulaan Hadis:

Sebabnya perawi menyebutkan satu ucapan yang berdalilkan kepada hadis itu lalu dia mengucapkannya tanpa pemisah. Lalu pendengar menyangka keseluruhan itu adalah hadis. Contohnya ialah riwayat yang dinukilkan daripada al-Khatib daripada Abi Qattan dan Shababah daripada Shu’bah daripada Muhammad bin Ziyad daripada Abu Hurayrah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, “Sempurnakan wuduk, neraka Wail bagi tumit yang tidak dibasahi”. Kata-kata “Sempurnakan Wuduk” adalah tambahan daripada ucapan Abu Hurayrah seperti yang dinyatakan dalam riwayat al-Bukhari daripada Adam daripada Shu’bah daripada Muhammad bin Ziyad daripada Abu Hurayrah katanya:

 “Sempurnakan wuduk, kerana sesungguhnya Abu Qasim (Rasulullah s.a.w.) bersabda : “Neraka Wail bagi tumit yang tidak dibasahi.”

Al-Khatib al-Baghdadi berkata: Abi Qatn dan Shababah telah keliru dalam riwayatnya daripada Shu’bah seperti yang kami telah kemukakan. Hadis ini telah diriwayatkan oleh sekumpulan yang ramai seperti riwayat Adam.

Contoh Tambahan Berlaku Pada Pertengahan Hadis

Hadis `A’ ishah berkenaan permulaan wahyu iaitu: “Rasulullah s.a.w. menyendiri di Gua Hira’ dan bertahannuth – iaitu beribadat-beberapa malam”

Kata-kata “iaitu beribadat” adalah tambahan daripada al-Zuhri. Contoh Tambahan Berlaku Pada Akhir Hadis Hadis Abu Hurayrah secara marfu’, maksudnya: “Bagi hamba yang dimiliki oleh tuannya dua ganjaran pahala, demi yang nyawaku di tangan-Nya kalaulah tidak kerana jihad di jalan Allah, haji dan berbakti kepada ibuku maka saya suka sekali untuk mati sebagai seorang hamba” Kata-katanya, “demi yang nyawaku …… hingga akhir” adalah ucapan Ahli Hurayrah kerana mustahil itu terbit daripada Rasulullah s.a.w kerana tidak mungkin baginda bercita-cita untuk menjadi hamba dan ibunya pula tidak ada untuk baginda berbakti kepadanya.

Faktor-faktor Idraj

Faktor-faktor kepada berlakunya Idraj sangat banyak, yang paling masyhur ialah:

  1. Menjelaskan hukum syara’
  2. Menyimpulkan hukum syara’ daripada hadis sebelum selesai menyebutkan hadis.
  3. Menjelaskan lafaz “gharib” ya’ni sukar difahami di dalam hadis.

Bagaimana Diketahui Idraj

Idraj dapat diketahui melalui perkara-perkara berikut:

  1. Hadis itu datang secara terperinci melalui riwayat yang lain.
  2. Penjelasan bahawa berlakunya “idraj” oleh ulama yang mahir.
  3. Pengakuan perawi sendiri bahawa dia telah memasukkan ucapannya.
  4. Mustahil sesuatu ucapan itu datang daripada Rasulullah s.a.w.

Hukum Idraj

Ulama hadis dan fiqh serta lain-lain telah sepakat bahawa haram melakukan Idraj kecuali untuk mentafsirkan lafaz yang sukar kerana itu tidak dilarang. Oleh kerana itu al-Zuhri dan imam hadis yang lain ada melakukannya.

Karangan yang terkenal

  1. Al-Fasl Li al-Wasl al-Mudraj Fi al-Nql” oleh al-Khatib al-Baghdadi.
  2. Taqrib al-Manhaj bi Tartib al-Mudraj“ oleh Ibn Hajar. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab al-Khatib dengan sedikit tambahan.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 20

Mustalah Al Hadith – Sesi 20 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 11 Okt 15

AL-MU’ALLAL

Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah kekeliruan maka hadisnya itu dinamakan hadis mu’allal. Ini adalah sebab yang keenam.

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada “allalahu” iaitu mencacatkan atau menimpakan penyakit. Kata nama “mu’all” iaitu yang cacat atau ditimpakan penyakit. Binaan perkataan ini mengikut kaedah saraf yang masyhur dan merupakan bahasa yang fasih. Tetapi sebutan “al-mu’allal” oleh ulama hadis tidak mengikut bahasa yang masyhur. Ada juga di kalangan ulama hadis yang menyebutkan sebaga “al-ma’lul”. Ini ungkapan yang sangat lemah di sisi ulama bahasa Arab.

Dari segi istilah pula hadis yang dikesan terdapat padanya “`illah” yang mencacatkan kesahihan hadis walaupun pada zahirnya kelihatan selamat daripadanya.

Definisi `Illah

Sebab yang sukar lagi tersembunyi yang mencacatkan kesahihan hadis.

Berdasarkan kepada definisi ini, ulama menyimpulkan “`illah” tersebut mestilah memenuhi dua syarat iaitu:

  1. Sukar dan tersembunyi
  2. Mencacatkan kesahihan hadis.

Jika tidak ada salah satu seperti `illah itu zahir atau tidak mencacatkan maka ia bukan `illah mengikut istilah ulama hadis.

Penggunaan `illah Tidak Dengan Makna “Istilahi”

Ta’rif yang disebutkan dalam perenggan yang lalu adalah maksud “ `illah” di sisi istilah ulama hadis. Bagaimanapun, kadang-kadang mereka menggunakan lafaz “ `illah” bagi menunjukkan sebarang kecaman yang ditujukan kepada hadis walaupun kecaman itu tidak tersembunyi atau mencacatkan.

Kecaman dengan alasan yang tidak tesembunyi atau nyata seperti menyatakan pendustaan perawi, kelalaian, lemah hafalannya atau sebab-sebab lain. Sehinggakan Imam al-Tirmidhi menamakan nasakh sebagai `illah.

Kecaman dengan alasan yang tidak mencacatkan seperti alasan percanggahan yang tidak menggugatkan kesahihan hadis seperti memursalkan hadis yang diriwayatkan para perawi thiqah secara bersambung-sambung. Berdasarkan kepada ini sesetengah ulama menyebutkan antara hadis yang sahih ada yang “sahih mu’allal”.

Keutamaan Dan Kehalusan Ilmu Ini Dan Siapakah Yang Menguasainya

Mengetahui “`illal al-hadith” atau kecacatan hadis termasuk dalam bahagian ilmu hadis yang paling utama dan paling halus kerana memerlukan kepada kajian yang mendedahkan “`illah” yang sukar dan tersembunyi yang hanya dikesan oleh tokoh-tokoh besar dalam ilmu hadis. Bahagian ini hanya dikuasai oleh ahli hadis yang kuat hafalan, pakar dan mempunyai kefahaman yang tajam. Oleh itu lautan yang dalam ini hanya diredahi oleh sebilangan kecil imam hadis seperti `Ali Ibn al-Madini, Ahmad, al-Bukhari, Abu Hatim dan al-Daruqutni.

Sanad Manakah Yang Dimasuki Oleh `Illah?

`Illah memasuki sanad yang lengkap dengan syarat-syarat hadis sahih secara zahir kerana hadis yang da’if tidak perlu untuk mencari `illahnya kerana ini tertolak dan tidak diamalkan.

Bagaimana mengetahui `Illah

`Illah dapat dikesan dengan berpandukan kepada:

  1. Keseorangan perawi dalam riwayat
  2. Percanggahan dengan perawi lain.
  3. Tanda-tanda lain di samping dua perkara di atas.

Perkara-perkara ini mengingatkan kepada orang yang mengetahui ilmu ini tentang kekeliruan yang berlaku kepada perawi hadis sama ada terdedah “kemursalan” dalam hadis yang diriwayatkan secara “mawsul” atau “mauqufnya” hadis yang diriwayatkan secara “marfu’ ”. Atau sebuah hadis dimasukkan dalam satu hadis lain atau kekeliruan lain yang membuatkannya hampir yakin lalu menghukumkannya sebagai tidak sahih.

Jalan Untuk Mengetahui “Mu’allal”

Jalan untuk mengetahuinya ialah dengan menghimpunkan semua jalan sanad hadis dan mengkaji pada perbezaan para perawi dan membandingkan siapakah yang paling tepat dan kemas kemudian memberi keputusan kepada riwayat yang terdapat “`illah”.

Dimana Terletak “`Illah

  1. “`Illah” terletak pada sanad dan inilah yang paling banyak seperti alasan “`illah” dengan sebab “mawquf” atau “mursal”.
  2. “`Illah” terletak pada matan dan ini paling sedikit seperti hadis yang menafikan bacaan “basmalah” di dalam sembahyang.

Adakah “`Illah” Pada Sanad Mencacatkan Matan Hadis

Kadang-kadang `Illah mencacatkan pada matan di samping mencacatkan pada sanad seperti “ ‘illah” dengan alasan “mursal”.

Mencacatkan pada sanad sahaja manakala matan sahih seperti hadis Ya’la bin `Ubayd daripada al-Thawri daripada `Amar bin Dinar daripada Ibn `Umar secara marfu’.

“Dua orang yang melakukan jual beli berhak mendapat pilihan (untuk meneruskan `aqad atau tidak)”

Ya’la telah waham dalam meriwayatkan daripada al-Thawri dalam kata-katanya `Amar bin Dinar sedangkan yang sebenarnya ialah `Abdullah bin Dinar. Matan ini sahih walaupun pada sanad terdapat `illah kesilapan kerana masing-masing `Amar dan `Abdullah bin Dinar ialah perawi yang thiqah. Tersilap menyebutkan perawi lain tidak menjejaskan kesahihan matan walaupun lafaz sanad silap.

Karangan Yang Masyhur Tentang Hadis Mu’allal

  1. “Kitab al-`Illal” oleh Ibn al-Madini.
  2. “`Ilal al-Hadith” oleh Ibn Abi Hatim
  3. “Al-`Ilal Wa Ma’rifah” al-Rijal oleh Ahmad bin Habal.
  4. “Al-`Ilal al-Kabir” oleh al-Tirmidhi
  5. “Al-`Ilal al-Waridah Fi Ahadith al-Nabawiyyah” oleh al-Daruqutni. Kitab ini adalah yang paling lengkap dan paling detail.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 19

Mustalah Al Hadith – Sesi 19 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 04 Okt 15

AL-MATRUK

Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah tuduhan berdusta maka hadisnya itu dinamakan hadis matruk.

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada al-tark iaitu meninggalkan. Orang Arab menamakan telur yang telah menetas dan keluar anak burung darinya sebagai al-tarikah iaitu yang ditinggalkan kerana tidak mempunyai faedah.

Dari segi istilah pula hadis yang sanadnya terdapat perawi yang dituduh berdusta.

Sebab Dituduh Berdusta

Perawi dituduh berdusta dengan salah satu daripada sebab berikut:

  1. Hadis tersebut hanya diriwayatkan melaluinya sahaja dan bercanggah dengan kaedah-kaedah umum.
  2. Perawi itu diketahui berdusta dalam percakapan biasa tetapi tidak jelas dia berdusta dalam hadis.

Contohnya

Hadis `Amar bin Shamir al-Ju’fi al-Shi’i daripada Jabir daripada Abu al-Tufayl daripada `Ali dan `Ammar kata mereka berdua: “Rasulullah s.a.w membaca qunut di dalam sembahyang subuh, bertakbir pada hari `Arafah pada sembahyang Zuhur dan berhenti dari bertakbir pada sembahyang Asar pada hari tashriq yang terakhir”

Al-Nasa’i, al-Daruqutni dan ulama lain berkata tentang `Amar bin Shamir: Dia seorang matruk al-hadith.

Kedudukannya

Kita telahpun mengetahui bahawa hadis dha’if yang paling jelek ialah mawdu’ kemudian matruk kemudian munkar kemudian mu’allal kemudian mudraj kemudian maqlub dan mudtarib. Begini tertib kedudukannya yang dikemukakan oleh Hafiz Ibn Hajar.

AL-MUNKAR

Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah kesilapan yang jelek atau sering lalai maka hadisnya itu dinamakan hadis munkar.

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada al-inkar iaitu mengingkari lawan kepada mengakui.

Dari segi istilah pula ulama memberikan beberapa ta’rif yang paling masyhur ialah:

  1. Hadis yang terdapat di dalam sanadnya perawi jelek kesilapannya atau sering lalai atau jelas kefasikannya.

Ta’rif ini disebutkan oleh Hafiz Ibn Hajar dan beliau menisbahkan kepada orang lain. Al-Bayquni di dalam nazamnya menggunakan ta’rif ini:

“Dan munkar itu perawi yang berseorangan yang ta’dilnya itu tidak menerima tafarrud”

  1. “Hadis yang diriwayatkan oleh perawi da’if bercanggah dengan perawi thiqah”.

Inilah ta’rif yang disebutkan dan diterima oleh Ibn Hajar. Dalam ta’rif ini ada tambahan kepada ta’rif pertama iaitu percanggahan perawi da’if dengan riwayat perawi thiqah.

Perbezaan Di Antara Munkar Dan Shadh

Hadis shadh diriwayatkan oleh perawi maqbul dalam keadaan bercanggah perawi da’if dengan perawi yang lebih utama daripadanya.

Hadis munkar ialah hadis yang diriwayatkan oleh perawi da’if bercanggah dengan perawi thiqah.

Dengan ini, kedua-dua ta’rif ini mempunyai persamaan dari sudut percanggahan dan berbeza dari segi perawi shadh adalah maqbul manakala perawi munkar adalah da’if. Kata Ibn Hajar: “Orang yang telah menyamakan kedua-duanya sesungguhnya dia tidak memerhati dengan baik”.

Contoh

  1. Contoh munkar mengikut ta’rif pertama, hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasa’i dan Ibn Majah daripada riwayat Abu Zukayr Yahya bin Muhammad bin Qays daripada Hisham bin `Urwah daripada bapanya daripada Aishah secara marfu’: “Makanlah buah kurma mengkal (hampir masak) dengan yang kering kerana apabila anak Adam memakannya maka syaitan akan marah”. Kata al-Nasa’i: “Ini hadis munkar, Abu Zukayr berseorangan meriwayatkannya. Dia seorang sheikh yang soleh. Muslim mengeluarkan hadisnya pada mutaba’at, cumanya beliau tidak mencapai tahap perawi yang keseorangannya itu dalam periwayatan dapat diterima.
  2. Contoh munkar mengikut ta’rif kedua: hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim melalui jalan Hubayyib bin Habib al-Zayyat daripada Abu Ishaq daripada al-Ayzar bin Hurayth daripada Ibn `Abbas daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji, berpuasa dan melayani tetamu maka dia akan memasuki syurga”. Kata Abu Hatim: dia seorang munkar kerana perawi thiqah yang lain meriwayatkan daripada Abu Ishaq secara mawquf dan inilah yang ma’ruf.

Kedudukannya

Daripada dua ta’rif di atas, dapat diketahui bahawa munkar termasuk dalam kategori hadis da’if jiddan (sangat da’if) kerana berdasarkan ta’rif pertama ia adalah periwayatan perawi da’if yang melakukan kesilapan yang buruk atau sering lalai atau fasiq. Manakala menurut ta’rif kedua-duanya mempunyai kedai’fan yang bersangatan. Oleh kerana itu, kita telah sebutkan ia berada selepas hadis matruk dari sudut sangat da’if.

AL-MA’RUF

Definisi

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada ‘arafa iaitu mengenali.

Dari segi istilah hadis yang diriwayatkan oleh perawi thiqah yang menyanggahi riwayat perawi da’if.

Dengan makna ini, hadis ma’ruf ialah lawan kepada hadis munkar atau dengan ungkapan yang lebih tepat lawan kepada hadis munkar mengikut definisi Hafiz Ibn Hajar.

Contohnya

Contoh bagi hadis ma’ruf ialah hadis disebutkan pada contoh yang kedua bahagian munkar tetapi melalui jalan perawi-perawi thiqah iaitu secara mawquf setakat Ibn `Abbas kerana setelah mengemukakan hadis Hubayyih yang ma’ruf, Ibn Abi Hatim berkata: Ia adalah munkar, kerana perawi-perawi thiqah yang lain meriwayatkan daripada Abu Ishaq secara mawquf dan itulah yang ma’ruf.

AL-SHADH

Definisi

Dari segi bahasa Shadh ialah kata nama pelaku daripada shadhdha iaitu berseorangan. Shadh bermakna seseorang yang bersendirian daripada orang lain.

Dari segi istilah pula: Hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang maqbul dalam keadaan bercanggah perawi yang lebih utama daripadanya.

Huraian Ta’rif

Perawi maqbul ialah perawi adil tamm al-dabt ya’ni yang sempurna ketepatannya atau perawi adil yang kurang ketepatannya. Perawi yang lebih utama daripadanya ialah perawi yang lebih kuat dan utama kerana mempunyai kelebihan ketepatannya atau lebih bilangan atau mempunyai kelebihan sudut-sudut tarjih yang lain. Bagaimanapun ulama berbeza pendapat dalam mengemukakan definisi hadis shadh tetapi inilah ta’rif yang dipilih Hafiz Ibn Hajar dan beliau mengulas: ta’rif inilah diakui berkenaan dengan istilah shadh.”

Di Mana Berlakunya Shadh

Sebagaimana shadh berlaku pada sanad begitu juga terdapat pada matan.

Contoh shadh pada sanad ialah:

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, al-Nasai dan Ibn Majah melalui jalan Ibn `Uyaynah dari `Amar bin Dinar daripada `Awsajah daripada Ibn `Abbas bahawa:

“Seorang lelaki telah meninggal dunia pada zaman Rasulullah s.a.w. dalam keadaan tidak meninggalkan waris kecuali seorang hamba miliknya yang telah dibebaskan.”

Ibn Jurayj menjadi mutabi’ kepada Ibn `Uyaynah dan perawi lain dengan mewasalkannya (menyambungkannya) tetapi Hammad bin Zayd menyanggahinya dengan meriwayatkan daripada `Amar bin Dinar daripada `Awsajah tanpa menyebut Ibn `Abbas.

Oleh kerana itu, Abu Hatim mengatakan: “Hadis yang mahfuz (terpelihara) ialah hadis Ibn `Uyaynah Hammad bin Zayd adalah dari kalangan perawi yang adil dan kemas bagaimanapun Abi Hatim mentarjihkan riwayat perawi yang lebih ramai bilangan.

Contoh shadh pada matan:

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan al-Tirmidhi dari hadis `Abdul Wahid bin Ziyad daripada al-A’mash daripada Abi Salih daripada Abu Hurayrah secara marfu’:

“Apabila salah seorang dari kamu telah sembahyang sunat subuh hendaklah dia berbaring atas lambung kanannya.”

Kata al-Bayhaki, `Abdul Wahid telah menyanggahi perawi yang ramai dalam perkara ini. Sebenarnya mereka meriwayatkan hadis itu sebagai perbuatan Rasulullah bukan ucapannya. Dari kalangan murid al-A’mash, `Abdul Wahid telah berseorangan meriwayatkan dengan lafaz ini.

AL-MAHFUZ

Hadis yang berlawanan dengan Shadh ialah Mahfuz iaitu hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah dalam keadaan bercanggah dengan perawi thiqah. Contohnya adalah sama dengan contoh bahagian shad

Hukum Hadis Shadh Dan Mahfuz

Sebagaimana diketahui shadh adalah hadis yang ditolak manakala hadis Mahfuz adalah hadis maqbul.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 18

Mustalah Al Hadith – Sesi 18 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 20 Sep 15

AL-MAWDU’

Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah berdusta atas Rasulullah s.a.w maka hadisnya itu dinamakan hadis mawdu’.

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada wada’a al-shay’ iaitu merendahkannya. Dinamakan demikian kerana kedudukannya yang rendah.

Menurut istilah pula, pendustaan yang direka, dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w.

Kedudukannya

Ia adalah hadis da’if yang paling buruk dan paling keji. Sesetengah ulama menganggapnya sebagai satu bahagian yang tersendiri bukan daripada hadis-hadis da’if.

Hukum Meriwayatkannya

Ulama telah sepakat bahawa tidak halal meriwayatkannya bagi sesiapa yang mengetahui kedudukannya dalam apa bentuk sekalipun melainkan jika diterangkan kepalsuannya berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

“Sesiapa yang menceritakan daripadaku sesuatu hadis yang kelihatan sebagai palsu maka dia adalah salah seorang pendusta.”

Cara pereka-pereka Hadis Memalsukan Hadis

  1. Sama ada mereka iaitu mencipta ucapannya sendiri kemudian meletakkan satu sanad untuknya lalu dia meriwayatkannya.
  2. Atau dia mengambil ucapan ahli hikmat atau orang lain lalu meletakkan sanad untuknya.

Bagaimana Hadis Mawdu’ Dikenali

Ia dapat dikenali melalui:

  1. Pengakuan oleh pereka itu sendiri seperti pengakuan Abu Ismah Nuh bin Abu Maryam bahawa dia telah mencipta hadis kelebihan setiap surah al-Quran daripada Ibn ‘Abbas.
  2. Sesuatu seperti pengakuan seperti pereka itu menceritakan daripada seorang syeikh. Lalu dia ditanya tentang tahun lahirnya lalu dia menyebutkan tahun kewafatan syeikh tersebut terdahulu dari tahun kelahirannya sendiri dan hadis hadis itu hanya diketahui melaluinya sahaja.
  3. Bukti pada perawi. Contohnya ialah perawi itu seorang rafidah dan hadis pula tentang kelebihan Ahli Bayt.
  4. Bukti pada riwayat. Seperti hadis itu mempunyai lafaz yang rapuh atau bercanggah dengan pancaindera atau nas al-Quran yang terang.

Faktor Pendorong Kepada Pemalsuan Hadis Dan Golongan-Golongan Yang Terlibat

  1. Sangkaan dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan mencipta hadis-hadis yang menggalakkan manusia kepada kebajikan dan hadis-hadis yang menakutkan dari melakukan kemungkaran. Pereka-pereka ini adalah kumpulan yang menisbahkan diri mereka kepada zuhud dan kesolehan. Mereka adalah perawi yang paling jahat kerana orang ramai menerima hadis-hadis rekaan mereka kerana percayakan mereka. Di antara mereka ini ialah Maysarah bin Abd Rabbih. Ibn Hibban telah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Du’afa’ daripada Ibn Mahdi katanya, “Saya bertanya kepada Maysarah bin Abd Rabih: Dari mana anda bawakan hadis-hadis ini, “Siapa yang membaca ini maka pahalanya begini”? Dia menjawab: Saya menciptakannya supaya orang ramai berminat”
  2. Untuk menyokong fahaman, terutamanya fahaman kumpulan-kumpulan politik setelah berlaku fitnah dan kemunculan kumpulan politik seperti Khawarij dan Syiah. Setiap kumpulan menciptakan hadis masing-masing bagi menyokong fahaman mereka seperti hadis: “Ali sebaik-baik manusia, sesiapa yang meraguinya maka kafir”.
  3. Serangan terhadap Islam. Golongan ini ialah ahli zindiq yang tidak mampu menghancurkan Islam secara terbuka lalu mereka memilih cara yang keji ini. Mereka telah mencipta sejumlah hadis dengan tujuan memalsukan Islam dan menyerangnya. Di antara mereka ini ialah Muhammad bin Sa’id al-Shami yang telah disalib kerana kezindikannya. Dia telah meriwayatkan daripada Humayd daripada Anas secara marfu’. “Saya adalah penutup sekelian nabi, tidak ada nabi selepasku kecuali siapa yang Allah kehendaki.” Sesungguhnya para ulama hadis telah bangkit menjelaskan kedudukan hadis-hadis mawdu’, Alhamdulillah, syukur di atas nikmatnya.
  4. Mendampingi pemerintah. Sebahagian mereka yang lemah iman mendekatkan diri dengan para pemerintah dengan mencipta hadis sesuai dengan penyelewengan yang ada pada perintah seperti kisah Ghiyath bin Ibrahim al-Nakha’i al-Kufi dengan al-Mahdi ketika dia menemuinya sedang bermain-main dengan burung merpati. Lalu secara langsung dia membawakan dengan sanadnya kepada Rasulullah s.a.w sebagai bersabda: “Tidak ada perlumbaan kecuali pada pedang, kuda, unta atau burung. Dia telah menambahkan burung kerana al-Mahdi. Mengetahui hal ini, beliau memerintah supaya disembelih merpati itu dan berkata: “Sayalah yang menyebabkan dia berbuat demikian.”
  5. Mencari makan. Seperti sesetengah tukang cerita yang mencari wang dengan menyampaikan hadis kepada orang ramai. Mereka membawakan cerita-cerita yang menghiburkan dan pelik sehingga orang ramai memberi perhatian dan menghulurkan kepada mereka seperti Abu Said al-Mada’ini.
  6. Mencari kemasyhuran. Ini dengan cara mengemukakan hadis-hadis pelik yang tidak ada pada syeikh-syeikh hadis. Mereka memalingkan sanad hadis supaya kelihatan ganjil lalu menarik minat orang lain mendengarnya seperti Abu Dihyah dan Hammad al-Nasibi.

Fahaman Al-Karramiyyah Dalam Masalah Perekaan Hadis

Sekumpulan ahli bid’ah yang dikenali sebagai al-Karramiyyah mendakwa harus mereka hadis-hadis berhubung galakan dan ancaman. Mereka beralasan dengan lafaz tambahan yang diriwayatkan dalam sesetengah jalan hadis: “Sesiapa yang berdusta di atas namaku” iatu tambahan “untuk menyesatkan manusia”. Tetapi tambahan ini tidak sabit di sisi ulama hadis yang hafiz.

Setengah mereka berkata pula: “Kami berdusta untuk kepentingan baginda bukan untuk kemudaratan baginda”. Dalil ini sangat lemah sekali kerana syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w tidak memerlukan para pendusta untuk melariskannya.

Dakwaan ini bercanggah dengan ijma’ umat Islam sehingga Imam Muhammad al-Juwayni menghukumkan kufurnya pereka hadis.

Kesilapan Sesetengah Ahli Tafsir Dalam Menyebutkan Hadis-Hadis Mawdu’

Sesetengah ahli tafsir melakukan kesilapan dalam menyebutkan hadis-hadis mawdu’ di dalam kitab-kitab tafsir mereka tanpa menjelaskan kepalsuannya terutama hadis yang diriwayatkan daripada Ubay bin Ka’b tentang kelebihan al-Quran surah demi surah. Antara ahli tafsir itu ialah:

  1. Al-Tha’labi
  2. Al-Waqidi
  3. Al-Zamakhshari
  4. Al-Baydawi
  5. Al-Shawkani

Kitab-Kitab Yang Terkenal Tentang Hadis-Hadis Mawdu’

Kitab al-Mawdu at karangan Ibn al-Jawzi. Ini merupakan kitab paling awal dalam masalah ini tetapi beliau seorang bermudah dalam menghukumkan sesuatu hadis sebagai mawdu’. Oleh kerana itu, ulama mengkritik dan memberi komentar terhadapnya.

  1. Al-La’ali al-Masnu’ah Fi al-Ahadith al-Mawdu’ah karangan al-Suyuti. Ini merupakan ringkasan kepada kitab Ibn al-Jawzi dan komentar terhadapnya dan tambahan yang tidak disebutkan oleh Ibn al-Jawzi.
  2. Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah ‘An al-Ahadith al-Shani’ah al-Mawdu’ah karangan Ibn `Arraq al-Kinani. Kitab ini adalah ringkasan kepada kedua kitab di atas dan merupakan kitab yang padat, kemas dan berguna.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 17

Mustalah Al Hadith – Sesi 17 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 13-Sept-15

AL-MURSAL AL-KHAFIY المرسل الخفيّ

Definisi

Dari segi bahasa mursal adalah kata nama objek daripada perkataan al-Irsal الإرسال iaitu melepaskan. Seolah-olah perawi hadis mursal melepaskan sanad tanpa menyambungkannya. Al-Khafi الخفيّ(yang tersembunyi) pula lawan kepada al-Jali الجلي (yang terang) kerana bentuk Irsal ini tidak jelas dan hanya dapat diketahui melalui kajian mendalam. Menurut istilah ulama pula iaitu hadis yang diriwayatkan daripada perawi yang ditemuinya atau sezaman dengannya dengan menggunakan lafaz seolah-olah ia mendengar daripadanya seperti ‘telah berkata’.

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah melalui jalan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz daripada ‘Uqbah Ibn ‘Amir.

حدّثنا مُحَمَّدُ بْنُ الصَّبَّاحِ. أَنْبَأَنَا عِبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ ابْنِ زِائِدَةَ، عَنْ عُمَرَ بْنِ عِبْدِ الْعَزِيزِ، عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ الْجُهْنِيِّ؛ قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم رَحِمَ اللهُ حَارِسَ الْحَرَسِ.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semoga Allah merahmati ketua sekalian pengawal.”

‘Umar tidak pernah bertemu dengan ‘Uqbah sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Mizzi di dalam kitabnya, al-Atraf.

Bagaimana Mursal Khafi Diketahui?

Mursal khafi dapat dikenali dengan salah satu daripada tiga perkara berikut:

  1. Kenyataan oleh sebahagian imam bahawa perawi ini tidak bertemu dengan orang yang dia meriwayatkan daripadanya atau orang yang tidak pernah mendengar sama sekali.
  2. Perawi memberitahu bahawa dia tidak pernah bertemu dengan perawi yang dia meriwayatkan daripadanya atau tidak pernah mendengar daripadanya satu hadis pun.
  3. Hadis itu datang melalui jalur lain yang mempunyai tambahan perawi di antara perawi tersebut dan orang yang meriwayatkan daripadanya.

Cara yang ketiga ini terdapat perbezaan di kalangan ulama kerana kadang-kadang ia termasuk dalam al-Mazid Fi Muttasil al-Asanid.

Hukumnya

Ia adalah hadis da’if kerana ia salah satu bentuk munqati’. Apabila jelas terbukti terputusnya sanad itu maka hukumnya adalah munqati’.

Karangan Yang Terkenal

Kitab al-Tafsil Li Mubham al-Marasil karangan al-Khatib al-Baghdadi.

AL-MU’AN’AN DAN AL-MU’ANNAN

Pengantar

Selesai sudah perbincangan hadis-hadis yang ditolak kerana keguguran yang berlaku pada sanad. Oleh kerana kedudukan hadis al-Mu’an’an dan al-Mu’annam tidak disepakati oleh ulama adakah ianya termasuk dalam muttasil atau munqati’, maka penulis merasakan perlu meletakkannya bersama hadis-hadis yang ditolak kerana keguguran pada sanad.

Ta’rif Al-Mu’an’an

Dari segi bahasa Al-Mu’an’an adalah kata nama objek daripada `an`an yang bermaksud mengucapkan `an `an (daripada, daripada). Menurut istilah pula, kata-kata perawi daripada fulan daripada fulan.

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah katanya:

`Uthman bin Ibn Abi Shaybah telah menceritakan kepada kami katanya Mu’awiyah bin Hisham menceritakan kepada kami katanya kepada kami katanya Sufyan menceritakan kepada kami daripada Usamah bin Zayd daripada `Uthman bin `Amr daripada `Urwah daripada `A’ishah katanya: Rasulullah s..a.w bersabda “Sesungguhnya Allah s.w.t dan para malaikatNya berdoa untuk orang-orang berada dibahagian kanan saf-saf

Adakah al-Mu’an’an Hadis Muttasil Atau Munqati’?

Ulama berbeza pendapat tentang hadis Al-Mu’an’an.

Ada pendapat mengatakan ianya adalah munqati’ sehinggalah terbukti bahawa ia adalah muttasil.

Pendapat yang sahih dan diterima pakai ialah pendapat majoriti ulama dari kalangan ulama hadis, fiqh dan usul. Mereka mengatakan bahawa ia adalah mutassil tetapi dengan beberapa syarat.

Di antara syarat tersebut, dua syarat yang dipersetujui dan yang lainnya diperselisihkan adakah menjadi syarat atau tidak. Dua syarat yang dipersetujui itu adalah syarat yang mesti iaitu:

  1. Perawi yang meriwayatkan secara `an`anah bukan seorang mudallis.
  2. Ada kemungkinan pertemuan antara perawi yang meriwayatkan secara `an`anah dengan perawi yang dia mengambil riwayat.

Bagi Imam Muslim, dua syarat ini sudah memadai. Sementara syarat-syarat lain yang diperselisihkan sebagai syarat atau tidak iaitu:

  1. Terbukti bertemu. Ini merupakan pendapat Imam al-Bukhari, Ibn al-Madini dan ulama yang tahqiq.
  2. Lama bersahabat dan mendampingi guru, ini adalah pendapat Abu al-Muzaffar al-Sam`ani.
  3. Perawi yang diambil riwayat daripadanya secara `an`an mengetahui bahawa perawi yang meriwayatkan secara `an`anah daripadanya telah meriwayatkan daripadanya.

Al-Mu’annan

Dari segi bahasa al-Mu’annan adalah kata nama objek daripada annana yang bermaksud mengucapkan anna anna (bahawa, bahawa). Menurut istilah pula, kata-kata perawi `si fulan menceritakan kepada saya bahawa si fulan berkata’

Hukum al-Mu’annam

  1. Imam Ahmad dan sekumpulan ulama mengatakan ia adalah hadis munqati’ sehinggalah dapat dibukti bahawa ia bersambung-sambung.
  2. Majoriti ulama mengatakan hukum anna sama seperti `an. Secara umumnya dihukumkan sebaga sama’ (mendengar secara langsung) mengikut syarat-syarat yang telah disebutkan dahulu.

PERBAHASAN KETIGA: MARDUD DENGAN SEBAB KECAMAN PADA PERAWI

Yang dimaksudkan dengan kecaman perawi ialah mentajrihkannya dengan kata-kata dan mempertikaikannya dari sudut keadilan dan agamanya serta dari sudut ketepatan, hafalan dan kepekaannya.

Sebab-Sebab Kecaman Pada Perawi

Sebab kecaman pada perawi ada sepuluh. Lima daripadanya berkait dengan keadilan manakala lima lagi berkait dengan ketepatan.

Sebab-sebab yang berkait dengan keadilan ialah:

  1. Berdusta
  2. Dituduh berdusta
  3. Fasiq
  4. Bid’ah
  5. Tidak diketahui (jahalah)

Sebab-sebab yang berkait dengan ketepatan ialah:

  1. Kesilapan yang jelek
  2. Buruk hafalan
  3. Kelalaian
  4. Banyak kekeliruan
  5. Percanggahan dengan perawi thiqah

Penulis akan menyebut satu persatu hadis mardud dengan sebab-sebab di atas mengikut tertib sebab kecaman yang paling kuat.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 16

Mustalah Al Hadith – Sesi 16 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 06-Sept-15

Definisi al-Tadlis

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata dasar tadlis تدليس iaitu menyembunyikan kecacatan barang daripada pembeli. Kata akar tadlis ialah al-dalas الدَّلَسiaitu kegelapan atau pencampurnan dengan kegelapan sebagaimana yang disebutkan oleh kitab al-Qamus al-Muhit. Seolah-olah, kerana perawi mudallis menyembunyikan kepada orang yang mahu mengetahui sesebuah hadis bermakna dia telah menggelapkan perkara itu dan jadilah hadis itu mudallas (digelapkan).

Dari segi istilah ia adalah menyembunyikan keaiban di dalam sanad dan memperelokkan zahirnya.

Pembahagian Tadlis

Tadlis mempunyai dua bahagian utama iaitu Tadlis al-Isnad dan Tadlis al-Shuyukh.

Tadlis al-Isnad

Ulama telah memberi pelbagai definisi bagi tadlis al-Isnad. Penulis akan memilih ta’rif yang paling sahih dan paling halus mengikut pandangan penulis iaitu ta’rif Imam Abu Ahmad bin ‘Amar al-Bazzar dan Abu al-Hasan bin al-Qattan. Ta’rif tersebut ialah: “Seorang perawi meriwayatkan hadis–hadis yang tidak pernah didengari daripada perawi yang dia ada mendengar daripadanya tanpa menyebut dengan jelas bahawa dia mendengar daripadanya”

Huraian Ta’rif

Maksud ta’rif ini ialah Tadlis al-Isnad ialah seorang perawi telah meriwayatkan beberapa hadis daripada seorang syeikh yang dia pernah mendengar daripadanya tetapi hadis yang ditadliskannya itu dia tidak mendengar sendiri daripada syeikh tersebut. Sebenarnya dia meriwayatkannya daripada syeikh yang lain daripada syeikh yang pertama tadi. Jadi dia telah menggugurkan syeikh tersebut lalu meriwayatkan dengan lafaz yang diandaikan dia mendengar sendiri seperti قال‘dia telah berkata’ atauعن ‘daripada’. Bagaimanapun dia tidak menyatakan dengan jelas bahawa dia mendengar hadis tersebut daripada syeikh itu. Dengan sebab itu dia tidak boleh mengata, سمعتُ ‘Saya mendengar’, حدَّثني ‘telah menceritakan kepada saya’, supaya dia tidak menjadi seorang pendusta besar dengan sebab perbuatan itu. Kadang-kadang perawi yang digugurkannya itu lebih daripada seorang.

Perbezaan Antara Tadlis al-Isnad Dan al-Irsal al-Khafiy

Setelah mengemukakan ta’rifnya, Abu al-Hasan al-Qattan menyatakan: “Perbezaan di antara Tadlis al-Isnad dan al-Irsal al-Khafiy iaitu al-Irsal ialah perawinya adalah daripada orang yang dia tidak pernah mendengar hadis daripadanya. Ringkasnya ialah al-Mursil al-Khafiy (perawi yang melakukan al-Irsal al-Khafiy) dan al-Mudallis meriwayatkan daripada syeikh hadis yang tidak pernah didengari daripada syeikh itu dengan lafaz yang memberi kemungkinan dia mendengar. Tetapi al-Mudallis ada mendengar juga beberapa hadis lain selain daripada hadis yang ditadliskannya sedangkan al-Mursil al-Khafiy langsung tidak pernah mendengar hadis daripada syeikh tersebut, baik hadis yang dimursalkannya atau hadis-hadis lain. Cumanya dia hanya hidup sezaman atau pernah bertemu sahaja.

Contohnya:

Hadis yang dikeluarkan oleh al-Hakim dengan sanadnya melalui ‘Ali bin Khashram,

علي بن خشرم قال قال لنا بن عيينة عن الزهري فقيل له سمعته من الزهري فقال لا ولا ممن سمعه من الزهري حدثني عبد الرزاق عن معمر عن الزهري

“‘Ali bin Khashram berkata, Ibn ‘Uyaynah berkata kepada kami daripada al-Zuhri lalu beliau ditanya adakah anda mendengar daripada al-Zuhri katanya tidak, tidak dari orang yang mendengarnya daripada al-Zuhri. ‘Abd al-Razzaq telah menceritakan kepadaku daripada Ma’mar daripada al-Zuhri.”

Di dalam contoh ini, Ibn ‘Uyaynah telah menggugurkan dua orang perawi di antara beliau dan al-Zuhri.

Tadlis al-Taswiyah

Sebenarnya bentuk tadlis ini salah satu bentuk Tadlis al-Isnad. Ta’rifnya ialah periwayatan seorang perawi daripada syeikhnya kemudian menggugurkan seorang perawi da’if di antara dua perawi thiqah yang masing-masing saling bertemu. Gambarannya ialah seorang perawi meriwayatkan satu hadis daripada seorang syeikh yang thiqah. Syeikh yang thiqah itu meriwayatkan daripada perawi da’if daripada perawi thiqah. Dua perawi yang thiqah ini pernah bertemu. Lalu perawi yang mendengar hadis daripada thiqah yang pertama datang dengan menggugurkan perawi da’if yang terdapat di dalam sanad. Dia menjadikan sanad itu daripada syeikh yang thiqah dari syeikh thiqah yang kedua dengan lafaz yang tidak jelas lalu dia telah menyamakan keseluruhan sanad itu daripada perawi-perawi thiqah.

Ini adalah bentuk tadlis yang paling jelik kerana perawi thiqah yang pertama kemungkinan tidak pernah dikenali sebagai mudallis. Orang yang datang kemudian dan melihat sanad ini setelah berlaku tadlis taswiyah akan mendapati ianya telah diriwayatkan daripada perawi thiqah lalu dia menghukumkan sahih. Maka ini adalah satu tipu daya yang dahsyat.

Perawi Yang Terkenal Melakukan Tadlis

  1. Baqiyyah bin al-Walid. Abu Mushir berkata : “Hadis-hadis Baqiyyah tidaklah bersih maka hendaklah anda berwaspada”
  2. Al-Walid bin Muslim. Contohnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam kitabnya al-‘Ilal, katanya: Saya mendengar bapa saya berkata: -lalu dia menyebutkan hadis yang diriwayatkan oleh Ishaq bin Rahawayh daripada Baqiyyah, Abu Wahb al-Asadi telah menceritakan kepada saya daripada Nafi’ daripada Ibn `Umar hadis: Jangan kamu memuji keislaman seseorang sehinggalah kamu mengetahui pegangannya. Bapa saya berkata: Hadis ini mempunyai satu perkara yang jarang diketahui. Hadis ini diriwayatkan daripada `Ubaydullah bin `Amar (thiqah) daripada Ishaq bin Abu Farwah (da’if) daripada Nafi’ daripada Ibn `Umar daripada Rasulullah s.a.w. `Ubaydullah adalah seorang yang thiqah. Ibn `Amar, kuniahnya ialah Abu Wahb dan dia dinisbahkan dengan al-Asadi. Baqiyyah telah menyebutkan `Ubaidullah dengan kunyahnya dan menisbahkannya kepada Bani Asad supaya kedudukannya tidak diketahui sehingga orang lain tidak menyedari bahawa dia menggugurkan Ishaq bin Abi Farwah.

Tadlis al-Shuyukh

Definisi: Seorang perawi meriwayatkan satu hadis yang didengarnya daripada syeikh lalu dia menamakannya, memberikan kunyah, menisbahkannya atau menyifatkannya dengan sesuatu yang syeikh itu tidak dikenali dengannya supaya tidak dikenali.

Huraian Ta’rif: seorang meriwayatkan sebuah hadis daripada seorang syeikh yang dia belajar dan mendengar riwayat daripadanya, yakni tidak berlaku pengguguran dan pada tadlis al-shuyukh tetapi terdapat penyamaran dan penyembunyian bagi nama syeikh itu, kunyah, nisbahnya atau sifatnya. Bagi menjelaskan lagi kita katakan:

  1. Nama syeikh: Mahmud bin Ahmad al-Tahhan
  2. Kunyah : Abu Hafs
  3. Nisbah: al-Tahhan
  4. Antara sifatnya: berjanggut putih.

Maka datanglah seorang perawi mudallis lalu dia berkata, telah meriwayatkan kepada saya:

  1. Ibn Ahmad
  2. Atau Abu Suhayl
  3. Atau Mahmud al-Halabi
  4. Atau si janggut putih

Perkara-perkara ini bertepatan dan bersesuaian dengan syeikh kerana:

  1. Namanya itu memang Ibn Ahmad (anak Ahmad)
  2. Kunyahnya Abu Suhayl kerana salah seorang anaknya bernama Suhayl
  3. Nisbahnya al-Halabi kerana beliau dari Bandar Halab.
  4. Sifatnya, memang beliau mempunyai janggut putih.

Bagaimanapun syeikh ini tidak dikenali di kalangan orang ramai dengan nama ini. Oleh itu, menamakannya dengan nama ini merupakan satu bentuk penyamaran dan penyembunyian dan inilah yang dikehendaki oleh perawi mudallis, iaitu mensifatkannya dengan sesuatu yang orang lain mengenalnya supaya tidak dikenali. Ini kerana terdapat aib pada syeikh itu seperti da’if, masih muda dan sebagainya.

Contohnya: Abu Bakr bin Mujahid, salah seorang imam qiraat berkata: `Abdullah bin Abi `Abdullah menceritakan kepada saya. Yang dimaksudkannya ialah Abu Bakr bin Abu Dawud al-Sajistani.

Hukum Tadlis

Tadlis al-Isnad hukumnya ialah sangat makruh dan dicela oleh kebanyakan ulama. Shu’bah adalah seorang ulama yang keras dalam mencela tadlis sehingga ada beberapa celaan daripada beliau. Antaranya ialah, tadlis adalah saudara berdusta.

Manakala hukum tadlis al-Taswiyah lebih makruh lagi sehingga al-Iraqi berkata : Ia mencacatkan orang yang sengaja melakukannya.

Tadlis al-Shuyukh pula, hukum makruhnya lebih ringan daripada tadlis al-Isnad kerana mudallis tidak menggugurkan sesiapa. Ia dihukumkan makruh kerana mengabaikan perawi yang diriwayatkan daripadanya dan menyukarkan kepada pendengar untuk mengetahuinya. Keadaan makruh berbeza mengikut tujuan tadlis itu.

Sebab-Sebab Berlakunya Tadlis

Sebab-sebab berlakunya tadlis al-Shuyukh:

  1. Syeikh itu seorang da’if atau tidak thiqah
  2. Syeikh itu berusia lanjut sehingga sekumpulan perawi yang lain juga mendengar hadis daripadanya selain dari perawi yang melakukannya tadlis.
  3. Syeikh itu muda sehingga muridnya itu lebih tua daripadanya.
  4. Terlalu banyak periwayatan daripada beliau. Oleh itu perawi yang melakukan tadlis ini tidak mahu menyebutkan nama gurunya ini dengan satu cara.

Tujuan-Tujuan Tadlis Al-Isnad

  1. Untuk mewahamkan bahawa sanad itu tinggi
  2. Terlepas satu bahagian hadis daripada syeikh yang dia mendengar daripadanya.
  3. Syeikh itu seorang da’if atau tidak thiqah.
  4. Syeikh itu berusia lanjut sehingga sekumpulan perawi yang lain juga mendengar hadis daripadanya selain dari perawi yang melakukan tadlis.
  5. Syeikh itu muda sehingga muridnya itu lebih tua daripadanya.

Tiga Sebab mengapa Tercelanya Perawi Tadlis

  1. Dia telah mewahamkan bahawa dia mendengar hadis daripada perawi yang tidak didengarinya.
  2. Dia meninggalkan cara periwayatan yang nyata kepada cara yang menimbulkan pelbagai kemungkinan.
  3. Dia menyedari sekiranya dia menyebutkan perawi yang ditadliskannya tentu dia tidak akan disenangi.

Hukum Periwayatan Perawi Tadlis

Ulama berbeza pendapat tentang penerimaan riwayat perawi tadlis. Dua pendapat yang masyhur ialah:

  1. Riwayatnya ditolak sama sekali walaupun dia menyatakan bahawa dia mendengar kerana tadlis itu sendiri merupakan tajrih. Pendapat ini tidak dipegang oleh ulama.
  2. Pendapat yang sahih mengemukakan perincian iaitu:
  3. Jika dia menyatakan `saya mendengar’ maka riwayatnya diterima iaitu beliau mengatakan saya mendengar atau sebagainya maka hadisna diterima.
  4. Jika dia tidak menjelaskan bahawa dia mendengar maka riwayatnya tidak diterima. Iaitu jika dia mengatakan `daripada’ dan sebagainya maka hadisnya tidak diterima.

Bagaimana Tadlis Dapat Dikenalpasti?

Tadlis dapat dikesan melalui dua perkara:

  1. Pengakuan perawi mudallis sendiri apabila ditanya sebagaimana yang berlaku kepada Ibn `Uyaynah.
  2. Keterangan oleh mana-mana imam dalam bidang ini berdasarkan kepada pengetahuannya yang diperolehi melalui kajian dan penyelidikan.

Kitab-Kitab Yang Terkenal Tentang Tadlis Dan Perawi-Perawi Mudallis

Antara kitab yang paling masyhur ialah:

  1. Tiga buah kitab yang ditulis oleh al-Khatib al-Baghdadi, satu kitab tentang senarai mudallis iaitu al-Tabyin Li Asma’ al-Mudallisin dan dua buah lagi tentang bentuk-bentuk tadlis.
  2. Al-Tabyin Li Asma al-Mudallisin oleh Burhan al-Din bin al-Halabi 3. Ta’rif Ahl al-Taqdis Bi Maratib al-Mawsufin bi al-Tadlis oleh Hafiz Ibn Hajar.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 15

Mustalah Al Hadith – Sesi 15 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 23-Ogos15

AL-MU’DAL الُمْعَضل

Definisi

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja a’dala َ أعْضَلiaitu memenatkan. Dari segi istilah ia adalah hadis yang gugur dari sanad dua orang perawi berturut-turut.

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith dengan sanadnya kepada al-Qa’nabi

عن مالك إنه قد بلغه أن أبا هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم للمملوك طعامه وكسوته بالمعروف ولا يكلف من العمل إلا ما يطيق هذا معضل أعضله عن مالك هكذا في الموطأ

“Daripada Malik bahawa sampai kepadanya bahawa Abu Hurayrah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Hamba yang dimiliki itu berhak mendapat makanannya, pakaiannya secara yang baik. Dia tidak boleh dibebankan dengan kerja melainkan yang mampu dilaksanakannya. Al-Hakim berkata: Hadis ini mu’dal daripada Malik demikianlah yang diriwayatkannya secara mu’dal di dalam al-Muwatta`”

Hadis ini mu’dal kerana dua orang perawi berturut-turut gugur antara Malik dan Abu Hurayrah. Kita telahpun mengetahui bahawa keguguran ini berlaku berdasarkan kepada hadis lain yang diriwayatkan di luar kitab al-Muwatta`. Sanad itu ialah daripada Malik daripada Muhammad bin ‘Ajlan daripada bapanya daripada Abu Hurayrah.

Hukumnya

Mu’dal adalah hadis yang da’if dan keadaan lebih buruk daripada hadis mursal dan munqati’ kerana ramainya perawi yang gugur daripada sanad. Hukum ini sepakat di kalangan ulama.

Persamaan Antara Mu’dal Dan Mu’allaq

Di antara mu’dal dan mu’allaq terdapat hubungan keumuman dan kekhususan dari satu sudut.

  1. Menyerupai mu’allaq dari sudut, apabila dua orang perawi berturut-turut dibuang dari permulaan sanadnya. Pada ketika itu, hadis ini dalam masa yang sama mu’dal dan mu’allaq.
  2. Berbeza dalam dua bentuk:
  • Apabila dua orang perawi berturut-turut dibuang dari pertengahan sanad maka itu adalah mu’dal tidak mu`allaq.
  • Apabila seorang perawi sahaja yang dibuang dari permulaan sanad, maka ia adalah mu’allaq tidak mu’dal.

Antara Sumber Hadis Mu’dal

Al-Suyuti menulis: Di antara sumber hadis mu’dal ialah:

  1. Kitab al-Sunan karangan Sa’id bin Mansur.
  2. Kitab-kitab Ibn Abi al-Dunya.

AL-MUNQATI’ المنقطع

Definisi

Dari segi bahasa ia adalah kata nama pelaku bagi kata kerja inqata’a انقطعiaitu terputus. Dari segi istilah ia adalah hadis yang sanadnya tidak bersambung dari mana sudut sekalipun.

Contohnya

Iaitu setiap sanad yang terputus di mana-mana tempat sanad sama ada di awal sanad atau akhirnya atau pertengahannya. Dengan itu, termasuk di dalam ta’rif ini, mursal, Mua’allaq dan mu’dal.

Bagaimanapun, ulama Mustalah al-Hadith mutakhirin mengkhususkan munqati’ dengan hadis yang tidak mempunyai bentuk hadis mursal, mu’allaq atau mu’dal. Begitu juga kebiasaan penggunaan ulama mutaqaddimin. Oleh kerana itu, Imam al-Nawawi menyatakan: “Munqati’ itu lebih banyak digunakan kepada riwayat perawi yang berada pada tingkatan selepas tabi‘i daripada sahabat seperti Malik daripada Ibn ‘Umar.

Munqati` Mengikut Ulama Hadis Yang Mutakhir

Iaitu hadis yang tidak bersambung sanadnya yang tidak termasuk di dalam nama mursal, mu’allaq atau mu’dal. Seolah-olah munqati’ lebih umum bagi setiap sanad yang terputus selain dari tiga bentuk iaitu gugur di awal sanad, gugur di akhir sanad atau gugur dua perawi berturut di mana-mana tempat. Inilah yang dipilih oleh Hafiz Ibn Hajar di dalam Nukhbah al-Fikar dan syarahnya, Nuzhah al-Nazar.

Kadang-kadang terputus sanad berlaku di satu bahagian pada sanad kadang-kadang berlaku lebih daripada satu seperti dua atau tiga bahagian.

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq:

ثنا عبد الرازق قال ذكر الثوري عن أبي إسحاق عن زيد بن يثيع عن حذيفة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن وليتموها أبا بكر فقوي أمين

“‘Abd al-Razzaq telah menceritakan kepada kami katanya al-Thawri telah menyebutkan daripada Abu Ishaq daripada Zayd bin Yuthay’ daripada Hudhayfah secara marfu’: Jika kamu melantik Abu Bakar akan jawatan itu maka beliau adalah seorang yang kuat dan amanah.”

Di pertengahan sanad ini, seorang perawi telah gugur iaitu Sharik antara al-Thawri dan Abu Ishaq kerana al-Thawri tidak pernah mendengar hadis daripada Abu Ishaq secara langsung. Sebenarnya beliau mendengar daripada Sharik dan Sharik mendengar daripada Abu Ishaq.

Terputus sanad ini tidak sesuai untuk dikatakan sebagai mursal, mu’allaq atau mu’dal. Justeru kita mengatakan ia adalah munqati’.

Hukumnya

Munqati’ adalah da’if dengan sepakat ulama kerana tidak diketahui kedudukan perawi yang gugur.