Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 14

Mustalah Al Hadith – Sesi 14 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 16-Ogos-15

Perbahasan Kedua: Mardud Dengan Sebab Gugur Perawi Dari Sanad

Maksud gugur dari sanad ialah terputus rantaian perawi dengan sebab gugur seorang perawi dari sanad, secara sengaja ataupun tidak, yang dilakukan oleh sebahagian perawi, sama ada dari awal sanad, pertengahan ataupun akhir, sama ada secara jelas atau tersembunyi.

Bahagian-Bahagian Gugur

Berdasarkan kepada jelasnya atau tidak gugur perawi dari sanad itu terbahagi kepada dua:

Pertama: Gugur Yang Jelas

Gugur ini diketahui oleh para imam dan mereka yang terlibat dengan ilmu-ilmu hadis. Bentuk gugur ini dapat dikesan berdasarkan kepada seorang perawi itu tidak bertemu dengan gurunya. Sama ada dia tidak sezaman dengannya atau sezaman tetapi tidak sempat bertemu dengannya (dan tidak mempunyai ijazah dan juga wijadah). Oleh itu, pengkaji sanad-sanad hadis perlu mengetahui sejarah perawi-perawi kerana ia mengandungi keterangan tentang tarikh lahir dan wafat, zaman pengajian, pengembaraan mereka dan sebagainya.

Ulama hadis telah memperkenalkan empat nama bagi hadis yang mengalami gugur jelas berdasarkan kepada tempat atau bilangan perawi yang gugur.

  1. al- Mu‘allaq
  2. al-Mursal
  3. al-Mu‘dal
  4. al-Munqati’

Kedua: Gugur Tersembunyi

Bahagian ini hanya diketahui oleh para imam yang mahir dan mengetahui jalan-jalan hadis dan kecacatan-kecacatan sanad. Ia mempunyai dua nama iaitu:

  1. al-Mudallas
  2. al-Mursal al-Khafiy

AL- MU‘ALLAQ المعلّق

Definisi
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja ‘allaqa al-shay` علّق الشيئ iaitu menggantungkan dan mengikatnya supaya ia menjadi tergantung. Sanad ini dinamakan dengan mu‘allaq kerana ia bersambung dengan bahagian atas sanad sahaja dan terputus pada bahagian paling bawah seperti sesuatu yang tergantung pada bumbung.
Dari segi istilah ia adalah hadis yang dibuang seorang perawi atau lebih pada awal sanad secara berturut.

Bentuknya

  1. Keseluruhan sanad dibuang kemudian dikatakan Rasulullah s.a.w. bersabda…
  2. Keseluruhan sanad dibuang kecuali sahabat atau sahabat dan tabi’in.

Contoh

Hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di awal tajuk Bab Ma Yudhkar fi al-Fakhdh:

وَقَالَ أَبُو مُوسَى غَطَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رُكْبَتَيْهِ حِينَ دَخَلَ عُثْمَانُ

Abu Musa berkata: Rasulullah s.a.w. menutup kedua-dua lututnya ketika ‘Uthman masuk.”

Hadis ini adalah hadis mu‘allaq kerana Imam al-Bukhari membuang keseluruhan sanadnya kecuali sahabat sahaja iaitu Abu Musa al-Ash’ari.

Hukum Hadis Mu‘allaq

Hadis mu‘allaq adalah mardud (tertolak) kerana ia tidak mempunyai salah satu syarat penerimaan hadis iaitu bersambung-sambung sanad. Tertolaknya hadis itu dengan sebab gugur seorang atau lebih perawi dari sanad dalam keadaan tidak diketahui keadaan perawi yang gugur itu.

Hukum Hadis-Hadis Mu‘allaq Dalam Sahih al-Bukhari Dan Muslim

Hukum ini iaitu hadis mu‘allaq tertolak hanya kepada hadis mu‘allaq secara mutlak. Tetapi jika hadis mu‘allaq itu didapati di dalam kitab yang pengarangnya beriltizam hanya mengeluarkan hadis sahih sahaja seperti Sahih al-Bukhari dan Muslim, maka ia mempunyai hukum yang tersendiri. Penulis sudahpun menyentuhnya dalam perbahasan hadis sahih. Namun tidak mengapa untuk disebutkan juga di sini.

  1. Hadis yang disebutkan dengan lafaz yang pasti seperti ‘berkata’, ‘menyuruh’ dan ‘menyebut’ maka ia dihukumkan sebagai sahih daripada orang yang disandarkan kepadanya hadis itu.
  2. Hadis yang dikemukakan dengan lafaz yang tidak pasti seperti ‘diriwayatkan daripada’, ‘disebutkan’, ‘diceritakan’, ‘telah diriwayatkan’, ‘telah disebutkan’, maka ia tidak dihukumkan sebagai sahih. Bagaimanapun di dalam Sahih al-Bukhari ini, tidak ada satupun hadis wahin (sangat da’if) untuk dimasukkan dalam kitab yang dinamakan dengan kitab sahih. Untuk mengetahui kesahihan dan keda’ifan hadis ini, perlu mengkaji sanad hadis ini dan menghukumnya sesuai dengan kedudukannya.

AL-MURSAL

Definisi

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja “arsal” iaitu melepaskan. Seolah-olah orang yang meriwayatkan hadis secara mursal melepaskan sanadnya tanpa mengikatnya dengan perawi yang dikenali. Dari segi istilah ia adalah hadis yang gugur dari penghujung sanad perawi selepas tabi’in.

Bentuknya

Bentuknya ialah seorang tabi’in – besar atau kecil berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, melakukan sesuatu atau sesuatu perkara dilakukan di hadapan baginda. Ini adalah bentuk mursal di sisi ulama hadis.

Contoh

Hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya dalam kitab al-Buyu’

Kata Imam Muslim: Muhammad bin Rafi’ menceritakan kepadaku bahawa al-Layth menceritakan daripada`Uqayl daripada Ibn Shihab daripada Sa’id bin al-Musayyab bahawa Rasulullah s.a.w melarang dari al-muzabanah dan al-muhaqalah.

Sa’id bin al-Musayyab adalah tabi’in besar telah meriwayatkan hadis ini daripada Rasulullah s.a.w tanpa menyebut perantaraan di antaranya dengan Rasulullah s.a.w. Beliau telah menggugurkan daripada sanad ini seorang perawi selepas dari tabi’in. Paling kurang seorang sahabat yang gugur dan berkemungkinan gugur bersama sahabat itu perawi lain seperti seorang tabi’in.

Mursal Menurut Fuqaha’ Dan Ulama Usul

Bentuk mursal yang penulis sebutkan itu adalah mursal di sisi Ulama Hadis. Sementara itu, mursalmenurut Fuqaha dan Ulama Usul lebih luas lagi. Bagi mereka, setiap hadis munqati’ tanpa mengira bagaimana bentuk terputus sanadnya adalah mursal. Ini juga pendapat al-Khatib al-Baghdadi.

Hukumnya

Mursal pada asalnya da’if dan tertolak kerana tidak memiliki salah satu syarat hadis maqbul iaitu tidak bersambung-sambung sanadnya dan kedudukan perawi yang digugurkan tidak diketahui. Ada kemungkinan perawi yang gugur itu bukan sahabat. Dalam hal ini, boleh jadi perawi yang gugur itu bukan sahabat. Dalam hal ini, boleh jadi perawi yang gugur itu da’if.

Walaupun begitu, ulama hadis dan lain-lain tidak sepakat tentang hukum hadis mursal dan berhujah dengannya kerana bentuk inqita’ (terputus sanad) berbeza dengan yang lain. Juga kerana perawi yang gugur itu biasanya sahabat dan kesemua sahabat adalah adil dan tidak menjejaskan sanad jika mereka tidak diketahui.

Ringkasnya ada tiga pendapat ulama tentang hadis mursal:

  1. Da’if dan Mardud, iaitu di sisi kebanyakan ulama hadis, ulama usul dan fuqaha. Hujah mereka ialah kerana tidak diketahui kedudukan perawi yang digugurkan kerana ada kemungkinan dia bukan sahabat.
  2. Sahih dan dijadikan hujah, ini pendapat Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad dalam satu riwayat yang masyhur daripadanya serta sekumpulan ulama dengan syarat perawi yang memursalkan itu seorang thiqah dan hanya memursalkan daripada perawi thiqah sahaja. Hujah mereka ialah tabi’in yang thiqah tidak menganggap harus untuk berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda kecuali beliau mendengar daripada perawi yang thiqah.
  3. Menerima dengan syarat. Iaitu mursal menjadi sahih dengan beberapa syarat. Ini merupakan pendapat al-Shafi’i dan sebahagian ahli ilmu. Ada empat syarat, tiga berkenaan dengan perawi yang memursalkan dan satu berkenaan hadis mursal itu. Syarat-Syarat tersebut ialah:
  1. Perawi yang memursalkan itu adalah tabi’i yang besar.
  2. Apabila beliau menyebutkan perawi yang digugurkan itu, beliau akan menamakan perawi yang thiqah.
  3. Beliau tidak bercanggah dengan perawi-perawi yang hafiz dan dipercayai jika mereka meriwayatkan hadis yang sama.
  4. Tiga syarat di atas hendaklah disertakan dengan salah satu syarat yang berikut:
  • Hadis itu diriwayatkan melalui jalan yang lain secara musnad (bersambung)
  • Hadis itu diriwayatkan secara mursal melalui tariq yang lain bukan dari perawi hadis mursal yang pertama itu.
  • Hadis itu bertepatan dengan qawl al-Sahabi (pendapat sahabat)
  • Kebanyakan ulama menfatwakan mengikut ma’na hadis itu.

Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, kesahihan punca hadis mursal itu akan terbukti begitu juga riwayat-riwayat lain yang menyokongnya. Kedua-duanya adalah sahih. Sekiranya terdapat suatu hadis sahih yang mempunyai satu jalan (sanad) bercanggah dengannya dan tidak dapat diselaraskan antara kedua-duanya maka haids itu akan ditarjihkan dengan sebab mempunyai bentuk jalan.

Perkara-perkara yang menjadi tambahan kepada syarat-syarat di atas dapat dihuraikan dengan cara berikut:

Hadis mursal + hadis musnad = sahih

Hadis mursal + hadis mursal = sahih

Hadis mursal + qawl sahabat = sahih

Hadis mursal + fatwa kebanyakan ulama = sahih

Mursal al-Sahabi

Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh sahabat tentang ucapan atau perbuatan Rasululah s.a.w yang tidak pernah didengari dan disaksikannya. Sama ada kerana usianya yang muda atau lewat memeluk Islam atau tidak ada di samping baginda. Hadis-hadis sahabat-sahabat yang kecil termasuk di dalam bahagian ini seperti Ibn `Abbas, Ibn al-Zubayr dan lain-lain.

Hukum Mursal al-Sahabi

Mengikut pendapat yang masyhur yang diputuskan oleh majoriti ulama ialah sahih dan dijadikan hujah kerana jarang berlaku periwayatan sahabat daripada tabi’in. Apabila sahabat meriwayatkan daripada tabi’in mereka akan menyatakan dan mereka berkata: Rasulullah s.a.w bersabda hukum asal ialah mereka mendengar daripada sahabat lain. Sebagaimana ditegaskan sebelum ini, menggugurkan sahabat di dalam periwayatan tidak menjejaskan sanad.

Dikatakan hukum mursal al-Sahabi seperti mursal lain, tetapi pendapat ini da’if dan tertolak.

Kitab-kitab yang masyhur

  1. Al-Marasil karangan Abu Dawud.
  2. Al-Marasil karangan Ibn Abi Hatim
  3. Jami’ al-Tahsil Li Ahkam al-Marasil karangan al-‘Ala’’i

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 13

Mustalah Al Hadith – Sesi 13 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 09 Ogos15

Bagaimana Hadis Nasikh Dan Mansukh Diketahui?

Hadis nasikh dan mansukh diketahui dengan salah satu daripada perkara-perkara berikut:

  1. Penjelasan Rasulullah s.a.w. seperti hadis Buraydah di dalam Sahih Muslim:
كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيارَةِ القُبُورِ فَزُورُوها فَإنَّها تُذَكِّرُ الآخِرَةَ

“Dahulu aku melarang kamu dari menziarahi kubur, maka ziarahilah kubur kerana ia mengingatkan kamu akan akhirat.”

  1. Kata-kata sahabat seperti Jabir bin ’Abdullah berkata:
كَانَ آخِرَ الْأَمْرَيْنِ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَرْكُ الْوُضُوءِ مِمَّا غَيَّرَتْ النَّارُ

Perkara terakhir daripada Rasulullah s.a.w. ialah tidak berwudu` kerana memakan makanan yang dimasak dengan api.”

Hadis ini telah dikeluarkan oleh pengarang-pengarang kitab sunan.

  1. Mengetahui sejarah seperti hadis Shaddad bin Aws yang diriwayatkan oleh Abu Dawud:
أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ

“Puasa tukang bekam dan orang dibekam telah terbatal.”

Hadis ini telah dinasakhkan oleh hadis Ibn ‘Abbas:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ وَهُوَ مُحْرِمٌ وَاحْتَجَمَ وَهُوَ صَائِمٌ

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berbekam di dalam keadaan baginda berihram dan berpuasa.”

Dalam sesetengah jalan hadis Shaddad, itu berlaku pada zaman pembukaan Mekah sedangkan Ibn ‘Abbas mendampingi baginda ketika Hajjah al-Wida’.

  1. Petunjuk ijma’ seperti hadis
مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَاجْلِدُوهُ فَإِنْ عَادَ فِي الرَّابِعَةِ فَاقْتُلُوهُ

“Sesiapa meminum arak maka hendaklah kamu menyebatnya. Sekiranya dia mengulangi pada kali keempat maka bunuhlahnya.” (hadis riwayat al-Tirmidhi dan Abu Dawud)

Imam al-Nawawi berkata: Ijma’ menunjukkan tentang mansukhnya hukum itu. Ijma’ itu sendiri tidak memansukhkannya dan tidak juga dinasakhkan tetapi menunjukkan kepada nasikh (hadis yang menasakhkan).

Kitab-Kitab Yang Terkenal

  1. al-I’tibar fi al-Nasikh Wa al-Mansukh Min al-Athar karangan Abu Bakar Muhammad ibn Musa al-Hazimi.
  2. al-Nasikh wa al-Mansukh karangan Imam Ahmad
  3. Tajrid al-Ahadith al-Mansukhah tulisan Ibn al-Jawzi.

FASAL KETIGA: KHABAR MARDUD (TERTOLAK)

KHABAR MARDUD DAN SEBAB-SEBAB PENOLAKANNYA

Definisi

Hadis yang tidak terbukti kebenaran perawi kerana ketiadaan salah satu atau lebih syarat penerimaan hadis yang kita telah bincangkan dalam perbahasan hadis sahih.

Pembahagian Mardud Dan Sebab-Sebab Penolakannya

Ulama telah membahagikan khabar mardud kepada beberapa bahagian. Bagi setiap bahagian itu, ulama telah menyebutkan namanya masing-masing. Ada juga yang tidak diberikan nama khusus tetapi mereka menamakannya dengan nama umum iaitu da’if.

Terdapat banyak sebab-sebab penolakan sesuatu hadis namun secara ringkasnya ia merujuk kepada dua sebab utama iaitu:

  1. Keguguran perawi daripada sanad
  2. Kecaman terhadap perawi

Di bawah setiap sebab ini terdapat pelbagai bentuk. Penulis akan membincangkan dengan berasingan secara terperinci dengan didahului dengan perbahasan da’if yang dikira sebagai nama umum bagi hadis mardud.

PERBAHASAN PERTAMA: AL-DA’IF

Definisi

Dari sudut bahasa ia lawan kepada al-qawiyy (yang kuat), kelemahan itu terbahagi kepada konkrit dan abstrak. Yang dimaksudkan di sini ialah kelemahan abstrak.

Makna istilahnya pula ialah hadis yang tidak mencukupi sifat hasan kerana ketiadaan salah satu syaratnya.

Al-Bayquni mengungkapkan di dalam nazamnya:

Setiap hadis rendah daripada tingkat hasan, maka itu da’if dan banyak pula bahagiannya.

Kepelbagaiannya

Tahap keda’ifan hadis berbeza mengikut tahap berat dan ringan kelemahan para perawi sebagaimana terdapat pelbagai tingkatan bagi hadis sahih. Antaranya da’if, da’if jiddan, wahi, munkar dan yang paling jelik ialah maudu’.

Sanad Yang Paling Lemah

Berdasarkan kepada perbahasan dalam hadis sahih tentang sanad yang paling sahih, ulama menyebut dalam perbahasan da’if satu istilah yang dinamakan sanad yang paling lemah. Al-Hakim al-Naysaburi menyebut beberapa sanad yang paling da’if dengan nisbah kepada sebahagian sahabat, sebahagian kawasan dan negeri. Penulis akan menyebutkan beberapa contoh daripada kitab al-Hakim dan kitab-kitab lain.

  1. Sanad yang paling lemah dengan nisbah kepada Abu Bakar al-Siddiq iaitu Sadaqah bin Musa al-Daqiqi daripada Farqad al-Sabakhi daripada Murrah al-Tayyib daripada Abu Bakar.
  2. Sanad penduduk Sham yang paling lemah iaitu Muhammad bin Qays al-Maslub daripada `Ubaydullah bin Zahr daripada `Ali bin Yazid daripada al-Qasim daripada Abi Umamah.
  3. Sanad yang paling lemah dengan nisbah kepada Ibn `Abbas iaitu al-Suddi al-Saghir Muhammad bin Marwan daripada al-kalbi daripada Abu Salih daripada Ibn `Abbas. Hafiz Ibn Hajr berkata: Ini adalah silsilah dusta bukan silsilah emas.

Contoh

Hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmidhi daripada tariq Hakim al-Athram daripada Abu Tamimah al-Hujaymi daripada Abu Hurayrah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang mendatangi perempuan yang haid atau mendatangi isteri pada duburnya atau menemui tukang tilik, sesungguhnya dia telah mengkufuri apa yang telah diturunkan kepada Muhammad s.a.w.”

Setelah mengeluarkan hadis ini, al-Tirmidhi mengulas: kita tidak mengetahui hadis ini dari hadis Hakim al-Athram daripada Abu Tamimah al-Hujaymi daripada Abu Abu Hurayrah .” Kemudian al-Tirmidhi berkata lagi: “Muhammad al-Bukhari telah menda’ifkan hadis ini dari sudut sanadnya. Penulis berpendapat ini kerana pada sanadnya ada Hakim al-Athram. Ulama telah mengatakannya da’if. Dalam Taqrib al-Tahdhib, Hafiz Ibn Hajar berkata: Padanya ada kelemahan”.

Hukum Meriwayatkan Hadis Da’if

Di sisi ulama hadis dan juga orang lain, harus meriwayatkan hadis da’if dan bermudah pada sanadnya tanpa menjelaskan keda’ifannya berbeza dengan yang maudu’ kerana tidak harus meriwayatkannya kecuali dengan menjelaskan tentangnya. Keharusan meriwayatkan hadis da’if dengan dua syarat:

  1. Tidak berkait dengan `akidah.
  2. Periwayatan itu bukan tentang hukum syara’ yang berkaitan dengan halal haram.

Harus meriwayatkannya pada perkara seperti peringatan, galakan, ancaman, cerita-cerita dan sebagainya. Antara mereka yang disebutkan bermudah-mudah dalam meriwayatkannya ialah Sufyan al-Thawri, `Abdul Rahman bin Mahdi dan Ahmad bin Hanbal.

Perlu diberi perhatian apabila anda meriwayatkan hadis da’if tanpa sanad, maka janganlah anda menyebutkan ‘Rasulullah s.a.w bersabda’, tetapi katakanlah ‘diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. .. atau `sampai kepada kami’ dan sebagainya supaya anda tidak secara pasti menisbahkan hadis tersebut kepada Rasulullah s.a.w sedangkan anda mengetahui kelemahannya.

Hukum Beramal Dengan Hadis Da’if

Ulama berbeza pendapat tentang hukum beramal dengan hadis da’if. Pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama ialah dianggap elok beramal dengan hadis da’if berkenaan dengan keutamaan-keutamaan amalan namun dengan tiga syarat yang telah dihuraikan oleh Hafiz Ibn Hajar.

  1. Keda’ifan yang tidak bersangatan.
  2. Ia termasuk di bawah prinsip atau dalil yang diamalkan.
  3. Tidak boleh yakin tentang sabitnya ketika beramal dengannya bahkan mesti berhati-hati.

Kitab-Kitab Terkenal Yang Didapati Mengandungi Banyak Hadis Da’if:

  1. Kitab-kitab yang disusun berkenaan perawi-perawi da’if seperti Kitab al-Du’afa’ tulisan Ibn Hibban, Mizan al-I’tidal karangan al-Zahabi. Mereka telah menyebutkan contoh-contoh hadis da’if yang menjadi da’if kerana periwayatan orang-orang da’if tersebut.
  2. Kitab-kitab yang disusun tentang bentuk-bentuk da’if secara khusus seperti kitab-kitab al-Marasil , al-‘Ilal, al-Mudraj dan sebagainya. Contohnya Kitab al-Marasil tulisan Abu Dawud, Kitab al-Ilal susunan al-Daruqutni.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 12

Mustalah Al Hadith – Sesi 12 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya, 03-Ogs-15,

Contoh Hadis Mukhtalif

Hadis لَا عَدْوَى وَلَا طِيَرَة “Tidak ada jangkitan dan sial burung” yang dikeluarkan oleh Muslim dan hadis

وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ

“Larilah dari orang yang diserang kusta seperti anda lari dari singa”

yang dikeluarkan oleh al-Bukhari.

Kedua-dua hadis ini adalah sahih, namun pada zahirnya ada pertentangan kerana hadis yang pertama menafikan jangkitan manakala hadis yang kedua mensabitkannya. Para ulama telah mengkompromikan dan menyelaraskan antara kedua-dua maknanya dengan pelbagai cara. Di sini penulis menyebutkan pandangan yang telah dipilih oleh al-Hafiz Ibn Hajar yang keterangannya seperti berikut:

Metode Penyelarasan

Cara menyelaraskan antara dua hadis ini boleh dikatakan, jangkitan itu dinafikan ada dan ianya tidak sabit berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w.:

لا يٌعْدِي شيء شيئاً

Sesuatu itu tidak boleh menjangkiti sesuatu yang lain.

Dan sabda baginda kepada orang yang mempersoalkan tentang unta yang berkurap yang berada di tengah-tengah unta sihat lalu bercampur dengannya dan unta dijangkiti kurap juga. Baginda menjawab:

فَمَنْ أَجْرَبَ الْأَوَّلَ

Kalau begitu siapa yang menyebabkan jangkitan pada unta yang pertama?

Maksudnya ialah Allah s.w.t. yang menyebabkan penyakit itu pada yang kedua sebagaimana Dia menyebabkan pada yang pertama. Perintah lari atau menjauhi dari orang yang terkena kusta itu adalah sebagai menutup pintu-pintu kerosakan (Sadd al-Dhari’ah) supaya seseorang yang bergaul dengan pesakit kusta itu tidak terkena kepadanya penyakit kusta dengan takdir Allah bukan kerana jangkitan. Dengan itu, dia akan menyangka itu kerana dia bergaul dengan pesakit itu, lalu menyebabkannya mempercayai adanya jangkitan dan menjerumuskannya dalam dosa. Oleh kerana itu, diperintahkan supaya menjauhi pesakit kusta sebagai mengelak diri daripada terjerumus dalam kepercayaan yang membawanya kepada dosa.

Apakah Yang Wajib Dilakukan Bila Menemui Dua Hadis Maqbul Yang Saling Bertentangan?

Bila seseorang menemui dua hadis maqbul yang saling bertentangan, dia wajib mengikuti peringkat-peringkat berikut:

  1. Dia mesti menyelaraskan antara kedua hadis tersebut jika boleh dan wajib beramal dengan kedua-duanya.
  2. Jika tidak boleh diselaraskan dengan apa-apa sudut:
  •  Sekiranya diketahui mana satu yang nasikh, maka itulah yang diutamakan dan diamalkan dengannya serta yang mansukh ditinggalkan.
  •  Sekiranya tidak diketahui nasikh dan mansukh, maka ditarjihkan salah satunya dengan mana-mana bentuk tarjih yang berjumlah lebih daripada lima puluh bentuk. Dengan itu, hadis yang rajah (kuat) diamalkan.
  • Sekiranya salah satu hadis tersebut tidak dapat ditarjihkan – ini jarang berlaku – maka ditangguhkan beramal dengan hadis tersebut sehinggalah alasan yang kuat diketahui .

Kepentingan

Bahagian ini merupakan antara cabang ilmu hadis yang terpenting kerana semua ulama terpaksa mengetahuinya. Kemahiran yang sempurna di dalam disiplin ini hanya dimiliki oleh imam-imam yang menggabungkan antara ilmu hadis dan fiqh dan ulama usul yang menyelami makna-makna yang halus. Bagi mereka, jarang sekali timbul kemusykilan apabila berhadapan dengan hadis-hadis seperti ini.

Pertentangan dalil-dalil benar-benar telah merangsangkan fikiran ulama. Padanya terserlah bakat dan kehalusan pemahaman serta pendapat mereka yang baik. Begitu juga padanya juga ramai orang yang mengharungi kebanjirannya pasti tergelincir iaitu dari kalangan mereka yang masih lagi mentah dalam menghadapi perbahasan para ulama.

Kitab-Kitab Yang Terkenal

  1. Ikhtilaf al-Hadith karangan Imam al-Shafi’i. Beliau merupakan orang yang pertama membincangkan dan mengarang ilmu ini.
  2. Ta’wil Mukhtalif al-Hadith tulisan Ibn Qutaybah ‘Abdullah bin Muslim
  3. Mushkil al-Athar hasil karangan al-Tahawi Abu Ja’far Ahmad bin Salamah.

NASIKH AL-HADITH WA MANSUKHUH ناسخ الحديث ومنسوخه

Definisi Nasakh

Nasakh Dari sudut bahasa ia mempunyai dua makna, pertama, menghilangkan. Daripadanya terbit contoh nasakhat al-shams al-zill نسختْ الشمْسُ الظلَّ iaitu matahari menghilangkan bayangannya. Kedua, memindahkan. Daripadanya terbit contoh nasakhtu al-kitab َ نَسَخْتُ الكتاب iaitu saya memindahkan buku apabila saya menukilkan apa-apa yang ada padanya. Dengan ini, seolah-olah al-nasikh telah menghilangkan al-mansukh atau memindahkannya kepada hukum yang lain.

Manakala makna istilahnya ialah: Shari’ (Allah dan Rasul-Nya) telah mengangkat suatu hukum yang datang daripadanya dan menggantikan dengan hukum yang lain yang datang kemudian.

Kepentingan Dan Kesukarannya

Mengetahui hadis yang memansukhkan dan hadis yang dimansukh merupakan satu disiplin yang penting dan sukar. al-Zuhri pernah berkata: “Pengetahuan tentang hadis nasikh dan mansukh telah memenatkan dan melemahkan para fuqaha.”

Antara ulama terkenal yang menonjol dalam bidang ini ialah Imam al-Shafi’i dan beliau mempunyai jasa dan sumbangan yang sungguh besar. Imam Ahmad bertanya kepada Ibn Warah yang tiba dari Mesir: “Adakah anda mencatat buku-buku al-Shafi’i? Beliau menjawab: “Tidak”. Beliau berkata: “Anda telah cuai. Kami tidak mengetahui mana yang mujmal dan mana yang mufassar , mana yang hadis nasikh dan mana hadis mansukh sehinggalah kamu duduk di majlis al-Shafi’i”.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 11

Mustalah Al Hadith – Sesi 11 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya, 14-Jun-15

AL-SAHIH LI GHAYRIH الصحيح لغيره

Definisi
Iaitu hadis hasan li dhatihi apabila diriwayatkan melalui jalan yang lain sepertinya atau lebih kuat darinya. Dinamakan sahih lighairih kerana kesahihan tidak datang dari sanad itu sendiri, tetapi hanya sahih apabila digabungkan dengan sanad lain dan ini boleh digambarkan dengan formula berikut:

hasan li dhatihi + hasan li dhatihi = sahih li ghayrihi

Martabatnya
Lebih tinggi martabatnya dari hasan li dhatihi dan lebih rendah daripada sahih li dhatihi.

Contohnya

حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيبٍ، حَدَّثَنَا عَبْدَةُ بنُ سُلَيمانَ، عن مُحَمَّدِ بنِ عَمْروٍ، عن أَبي سَلَمَةَ، عن أَبي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ”.

Hadis Muhammad bin ‘Amr daripada Abi Salamah daripada Abi Hurayrah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalaulah tidak kerana memberatkan ummatku pasti aku akan menyuruh mereka menggosok gigi setiap kali sembahyang.”

Ibn al-Salah berkata: “Muhammad bin ‘Amr bin ‘Alqamah adalah dari kalangan yang masyhur dengan benar dan menjaga diri cumanya beliau bukan dari ahli itqan sehingga sebahagian mereka menda’ifkannya kerana ingatannya buruk dan sebahagain mereka pula menthiqahkannya kerana benarnya dan kedudukannya. Dengan itu, dari sudut ini, hadis ini hasan. Apabila digabungkan dengan keadaannya diriwayatkan melalui tariq yang lain, kebimbangan kita tentang buruk hafalannya tidak ada lagi dan kekurangan yang sedikit itu tertampung dengan sebab tariq tersebut. Dengan sebab itu, sanad ini menjadi sahih dan tergolong di dalam martabat sahih.”

AL-HASAN LI GHAYRIH حسن لغيره

Iaitu hadis da’if apabila mempunyai banyak tariq dan sebab keda’ifannya bukan kefasiqan dan pendustaan perawi.

Difahami daripada definisi ini, hadis da’if boleh meningkat ke tahap hasan li ghayrih dengan dua perkara:

Diriwayatkan daripada satu tariq lain atau lebih dengan syarat tariq tersebut sepertinya atau lebih kuat daripadanya.
Sebab keda’ifan hadis itu sama ada buruk hafalan, terputus pada sanad atau tidak diketahui tentang perawi-perawinya.
Sebab Dinamakan Dengan Hasan Li Ghayrih

Sebab dinamakan dengan hasan kerana sifat hasan itu bukan datang melalui sanad itu sendiri tetapi kerana digabungkan dengan yang lain. Hadis da’if yang meningkat kepada hasan ligahrihi dapat digambarkan dengan formula berikut:

Da’if + da’if = hasan li ghayrih

Martabatnya

Hasan li ghayrih lebih rendah kedudukannya daripada hasan li dhatih. Berdasarkan kepada kenyataan ini, sekiranya hadis hasan li dhatihi bercanggah dengan hasan li ghayrih, maka hasan li dhatih didahulukan.

Hukumnya

Ia termasuk dalam hadis maqbul yang boleh berhujah dengannya.

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan beliau mengatakannya hasan melalui tariq Shu’bah:

عَنْ عَاصِمِ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ قَال سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ امْرَأَةً مِنْ بَنِي فَزَارَةَ تَزَوَّجَتْ عَلَى نَعْلَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَضِيتِ مِنْ نَفْسِكِ وَمَالِكِ بِنَعْلَيْنِ قَالَتْ نَعَمْ قَالَ فَأَجَازَهُ

قَالَ وَفِي الْبَاب عَنْ عُمَرَ وَأَبِي هُرَيْرَةَ وَسَهْلِ بْنِ سَعْدٍ وَأَبِي سَعِيدٍ وَأَنَسٍ وَعَائِشَةَ وَجَابِرٍ وَأَبِي حَدْرَدٍ الْأَسْلَمِيِّ

Daripada ‘Asim bin ‘Ubaydillah bin ‘Abdullah bin ‘Amir bin Rabi’ah daripada bapanya bahawa ada seorang wanita daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mahar sepasang kasut. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah anda setuju untuk dirimu dan harta dengan sepasang kasut? Wanita itu menjawab: Ya. Lalu Rasulullah s.a.w. membenarkan.

Al-Tirmidhi berkata: “Di dalam bab ini ada diriwayatkan juga daripada ‘Umar, Abu Hurayrah, ‘A`ishah dan Abi Hadrad al-Aslami.”

‘Asim adalah seorang da’if kerana hafalannya buruk, sedangkan al-Tirmidhi menghukumkan hadis ini hasan kerana ia mempunyai lebih daripada satu jalan.

KHABAR AHAD MAQBUL YANG MEMPUNYAI SOKONGAN

Pendahuluan

Di akhir perbahasan bahagian hadis maqbul, penulis akan menyentuh hadis maqbul yang mempunyai sokongan. Maksudnya ialah hadis yang mempunyai perkara-perkara tambahan selain daripada syarat-syarat yang diperlukan pada hadis maqbul.

Perkara-perkara tambahan yang ada pada sesuatu hadis maqbul akan menambahkan kekuatannya dan menjadikannya lebih istimewa daripada hadis-hadis maqbul yang lain yang tidak ada perkara-perkara tersebut disamping ia lebih diutamakan daripada yang lain.

Bahagian-bahagiannya

Hadis yang mempunyai sokongan ada beberapa bahagian, yang paling masyhur ialah:

Hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab sahih mereka yang tidak mencapai tahap mutawatir. Ianya disokong dengan:

Kedudukan mereka yang tinggi di dalam bidang ini.
Kedua-dua kitab ini terkehadapan dalam membezakan hadis sahih berbanding dengan yang lain.
Para ulama menerima baik kitab-kitab mereka. Penerimaan ini sahaja cukup kuat dalam menghasilkan ilmu daripada semata-mata banyak tariq yang tidak mencapai tahap mutawatir.
Hadis masyhur yang mempunyai tariq yang berbeza semuanya tidak ada keda’ifan perawi dan ‘illah.
Hadis musalsal dengan para imam hafiz dan mempunyai sifat itqan (ketekunan dan ketelitian) yang tidak menjadi gharib. Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Imam al-Shafi’i daripada Imam Malik. Selain daripada Imam Ahmad, ramai lagi meriwayat daripada Imam al-Shafi’i, begitu juga selain dari Imam al-Shafi’i, ramai perawi lain yang meriwayatkan daripada Imam Malik.
Hukumnya

Ia lebih kuat daripada mana-mana hadis ahad maqbul. Sekiranya hadis ahad yang memiliki sokongan, bercanggah dengan hadis-hadis maqbul lain, maka didahulukan hadis yang mempunyai sokongan itu.

PERBAHASAN KEDUA: KLASIFIKASI KHABAR MAQBUL KEPADA YANG YANG DIAMALKAN DAN TIDAK BOLEH DIAMALKAN

Khabar maqbul terbahagi kepada dua: yang boleh diamalkan dan tidak boleh diamalkan. Terbit daripada pembahagian ini dua ilmu hadis iaitu al-Muhkam wa Mukhtalif al-hadih dan al-nasikh wa al-Mansukh.

AL-MUHKKAM WA MUKHTALIF AL-HADITH

Definisi al-Muhkam

Dari segi bahasa ia adalah isim maf’ul daripada perkataan ahkama yang bererti atqana iaitu mengemaskan; mengukuhkan.

Dari segi istilah pula ia adalah hadis maqbul yang selamat daripada percanggahan dengan hadis sepertinya.

Kebanyakan hadis adalah hadis muhkam. Bagi nisbah kepada keseluruhan hadis, sedikit sahaja hadis yang saling bercanggah dan berbeza (al-ahdadithal-muta’ aridah wa al-mukhtalifah)

Definisi Mukhtalif al-Hadith

Dari segi bahasa ia adalah isim fa’il daripada perkataan al-ikhtilaf lawan kepada perkataan al-ikhtifa’. Maksud mukhtalif al-hadith ialah hadis-hadis yang sampai kepada kita dalam keadaan saling bercanggah dan bertentangan antara satu sama lain dari segi makna.

Menurut istilah pula ia adalah hadis maqbul yang bercanggah dengan hadis sepertinya dan boleh dihimpunkan (jama’ wa tawfiq) antara keduanya.

Iaitu hadis sahih atau hasan yang didatangi oleh hadis lain sepertinya dari segi martabat dan kekuatan, dan secara zahir menyanggahinya pada ma’na serta dapat dihimpunkan dan diselaraskan pengertian kedua-duanya oleh ahli ilmu dan ulama yang berfikiran tajam dalam bentuk yang boleh diterima.

SHARE THIS:

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Al-Hadis – Sesi 10

Mustalah Al Hadith – Sesi 10 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 07-Jun-15

Maksud Kata-Kata Al-Tirmidhi Dan Lain-Lain: “Hadis Hasan sahih”

Zahirnya, ungkapan ini mengelirukan, kerana hasan lebih rendah daripada darjah sahih. Bagaimana boleh dihimpunkan kedua-duanya sedangkan martabat kedua-duanya berbeza? Para ulama telah memberikan pelbagai jawapan kepada maksud ungkapan al-Tirmidhi ini. Jawapan yang paling baik ialah yang dikemukakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dan dipersetujui oleh al-Suyuti, kesimpulannya seperti berikut:

  1. Sekiranya hadis itu mempunyai dua sanad atau lebih, ungkapan itu bermaksud hasan berdasarkan satu sanad dan sahih berdasarkan kepada satu satu lagi.
  2. Sekiranya hadis itu hanya mempunyai satu sanad, maksudnya ialah hasan menurut satu kumpulan ulama dan sahih menurut yang lain.

Seolah-olah beliau memberikan isyarat tentang perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang kedudukan hadis ini, atau baginya hadis ini tidak boleh ditentukan sama ada sahih atau hasan.

Klasifikasi al-Baghawi Hadis-Hadis Masabih al-Sunnah

Al-Imam al-Baghawi telah menggunakan istilahnya yang tersendiri di dalam kitabnya, Masabih al-Sunnah. Beliau telah mengisyaratkan hadis-hadis yang terdapat di dalam dua kitab sahih atau salah satunya dengan kata-katanya:

“sahih”

dan hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab sunan yang empat dengan kata-katanya: “hasan”. Ini adalah istilah yang tidak selari dengan istilah umum dipakai di kalangan ulama hadis kerana di dalam kitab-kitab sunan yang empat itu terdapat hadis sahih, hasan, da’if dan munkar. Oleh kerana itu, Ibn al-Salah dan al-Nawawi memberi peringatan tentang perkara ini. Dengan itu, sepatutnya pembaca kitab Masabih al-Sunnah lebih peka dengan istilah al-Baghawi di dalam kitab ini apabila beliau menyebut tentang hadis-hadis sebagai sahih atau hasan.

Kitab-Kitab Yang Boleh Didapati Hadis Hasan Dengan Banyaknya

Para ulama tidak menulis secara berasingan hadis-hadis hasan di dalam satu kitab seperti mana mereka mengkhususkan hadis-hadis sahih sahaja dalam tulisan mereka. Namun begitu terdapat beberapa kitab hadis yang terdapat di dalamnya banyak hadis hasan, antara yang masyhur ialah:

  1. Jami’ al-Tirmidhi atau yang lebih dikenali sebagai Sunan al-Tirmidhi. Ia adalah sumber utama untuk mengetahui hadis hasan. Al-Tirmidhilah yang memasyhurkan istilah hasan di dalam kitab ini dan orang yang paling banyak menyebutkannya. Bagaimanapun kita harus berhati-hati tentang edisi yang berbeza-beza berhubung dengan kata-kata beliau: “hasan sahih” dan sebagainya. Adalah menjadi tanggungjawab pelajar hadis memberi perhatian dalam memilih edisi yang telah dinilai dan membandingkan dengan manuskrip asal yang diakui.
  2. Sunan Abi Dawud: Beliau telah menyebutkan di dalam suratnya kepada penduduk Mekah bahawa beliau menyebutkan di dalam sunannya hadis sahih, hadis yang menyerupainya dan hadis yang hampir dengannya. Sekiranya hadis itu mempunyai keda’ifan yang kuat, beliau akan menjelaskannya dan hadis yang tidak disebutkan apa-apa tentangnya maka itu adalah salih. Berdasarkan kepada kenyataan ini, apabila kita mendapati di dalam sunan ini hadis yang beliau tidak menjelaskan keda’ifannya dan tidak ditashihkan oleh mana-mana imam yang diakui maka itu adalah hadis hasan di sisi Abu Dawud.
  3. Sunan al-Daruqutni: Beliau menyebutkan dengan jelas kebanyakan hadis hasan di dalam kitab ini.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Al-Hadis – Sesi 9

Mustalah Al-Hadith – Sesi 9 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 31 Mei 15

AL-HASAN  الحَسَن
Definisi
Dari segi bahasa ia adalah sifat mushabbahah daripada al-husn الحُسْن yang bererti keindahan.

Dari segi istilah pula ulama berbeza pendapat dalam memberikan definisi hadis hasan memandangkan ia berada di tengah-tengah antara sahih dan da’if. Sebahagian ulama mendefinisikan salah satu bahagiannya sahaja. Bagaimanapun penulis akan menyebutkan sebahagian daripada definisi-definisi tersebut dan akan memilih definisi yang dirasakan paling tepat.

  1. Definisi al-Khattabi: Hadis yang diketahui puncanya dan perawi-perawinya masyhur lagi dikenali . Kebanyakan hadis tergolong dalam hadis hasan dan ia diterima oleh kebanyakan ulama dan diamalkan oleh kesemua fuqaha`.
  2. Definisi al-Tirmidhi: Setiap hadis yang diriwayatkan tanpa ada di dalam sanadnya perawi yang dituduh berdusta, hadis tidak shadh, diriwayatkan dengan jalan yang lain seperti itu juga, maka itu menurut kami adalah hadis hasan .
  3. Definisi Ibn Hajar: Khabar (hadis) ahad dengan nukilan perawi adil, sempurna ketepatan, bersambung sanad tanpa ada ‘illah dan shadh, maka itu adalah sahih lidhatih. Sekiranya ketepatannya kurang, maka ia adalah hasan lidhatih.

Penulis berpendapat, seolah-olah, hadis hasan menurut Ibn Hajar adalah hadis sahih apabila ketepatan perawinya rendah dan ini adalah definisi hadis hasan yang paling baik. Sementara definisi al-Khattabi, terlalu banyak kritikan padanya. Manakala definisi al-Tirmidhi, beliau hanya mendefinisikan salah satu bahagian hadis hasan sahaja iaitu hasan lighayrih. Sepatutnya beliau memberikan ta’rif hasan lidhatihi kerana hasan lighayrih adalah hadis da’if yang meningkat ke darjah hasan kerana ditampung oleh banyak sanad.

Definisi Terpilih

Berdasarkan kepada definisi Ibn Hajar, hadis hasan bolehlah didefinisikan sebagai: “Hadis yang bersambung sanadnya dengan nukilan perawi yang adil tetapi rendah ketepatannya daripada perawi sepertinya sehingga ke hujung sanad tanpa sebarang shadh dan ‘illah.”

Hukumnya

Ia seperti hadis sahih dari segi boleh untuk dijadikan hujah walaupun dari segi kekuatan ia lebih rendah. Oleh kerana itu, semua fuqaha beramal dengannya. Kebanyakan ulama hadis dan ulama usul berhujah dengannya kecuali segelintir dari kalangan yang berpandangan keras. Bagaimanapun sebahagian ulama hadis yang bersikap mudah seperti al-Hakim, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaymah telah memasukkannya ke dalam bahagian sahih walaupun mereka berpendapat hadis hasan lebih rendah daripada hadis sahih seperti yang dijelaskan sebelum ini.

Contohnya: Hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmidhi:

حَدَّثَنَا قُتَيبةُ حَدَّثَنَا جعفرُ بنُ سليمانَ الضُّبعيُّ عن أبي عمرانَ الجونيُّ عن أبي بكرِ بنِ أبي موسى الأشعريِّ قال: سمعتُ أبي بحضرةِ العدوِّ يقول قال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وسَلَّم: إنَّ أبوابَ الجنَّةِ تحتَ ظلال ِ السُّيوفِ.

Kata beliau: “Qutaybah telah menceritakan kepada kami bahawa Ja’far bin Sulayman al-Duba’i telah menceritakan daripada Abi ‘Imran al-Jawni daripada Abi Bakr bin Abi Musa al-Ash’ari berkata: “Saya mendengar ayah saya berkata ketika berhadapan dengan musuh: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga berada di bawah naungan pedang-pedang.”

Hadis ini dihukumkan oleh al-Tirmidhi sebagai: “Ini adalah hadis hasan gharib”. Hadis ini hasan kerana perawi-perawi yang empat bagi sanad ini kesemua adalah thiqah kecuali Ja’far bin Sulayman al-Duba’i. Beliau seorang hasan al-hadith (baik hadisnya). Oleh kerana itu hadis ini jatuh dari martabat sahih kepada hasan.

Martabatnya

Sebagaimana hadis sahih mempunyai martabat yang berbeza antara satu sama lain, begitu juga dengan hadis hasan. Al-Dhahabi telah membahagikan hadis hasan kepada dua martabat:

  1. Martabat hasan yang paling tinggi: Riwayat Bahz bin Hakim daripada bapanya daripada datuknya, ‘Amr Ibn Shu’ayb daripada bapanya daripada datuknya, riwayat Ibn Ishaq daripada al-Taymi dan yang seumpamanya yang dikatakan sebagai sahih. Martabat ini adalah martabat sahih yang paling rendah.
  2. Martabat hasan yang rendah: Iaitu hasan yang dipertikaikan kedudukannya, ada yang mentashihkan dan ada yang mendaifkan seperti hadis al-Harith bin ‘Abdullah, ‘Asim bin Damrah, Hajjaj bin Artah dan lain-lain.

Kedudukan Hadis Yang Dihukumkan Oleh Ulama Hadis Sebagai “Hadis Sahih Al-Isnad”

Kata-kata ulama hadis: “Ini hadis sahih al-Isnad” tidak sama dengan kata-kata mereka: “Ini hadis sahih”. Begitu juga kata-kata mereka: “Ini hadis hasan al-Isnad” tidak sama dengan “Ini hadis hasan”. Kadang-kadang sanad itu sahih atau hasan tetapi tidak pada matan kerana ada shadh dan ’illah. Seolah-olah apabila ulama hadis mengatakan: “Ini hadis sahih”, beliau telah menjamin kepada kita bahawa hadis ini memenuhi kelima-lima syarat-syarat hadis sahih. Sekiranya beliau mengatakan: “Ini hadis sahih al-Isnad”, beliau menjamin adanya 3 syarat sahih sahaja iaitu bersambung sanad, keadilan dan ketepatan para perawi. Adapun penafian shadh dan ’illah, itu tidak diberi jaminan oleh beliau kerana ketidakpastian kedua-duanya itu.

Bagaimanpun jika seorang Hafiz yang diakui hanya menyebutkan hadis ini sahih al-Isnad tanpa menyebut ’illahnya, maka pada zahirnya, matan itu adalah sahih kerana kaedah asal ialah tidak ada ’illah dan tidak ada shadh.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Al-Hadis – Sesi 8

Mustalah Al-Hadith – Sesi 8 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 24 Mei 15

Riwayat Al-Bukhari Dan Muslim Yang Manakah Dihukumkan Sebagai Sahih?

Kita telahpun mengetahui bahawa al-Bukhari dan Muslim tidak memasukkan di dalam kitab sahih mereka kecuali hadis sahih sahaja dan ummat Islam menerima dengan baik kitab mereka berdua. Hadis-hadis manakah yang dihukumkan sahih dan diterima oleh ummat? Jawapannya ialah hadis yang diriwayatkan dengan sanad yang bersambung itulah yang dihukumkan sebagai sahih. Tentang hadis yang digugurkan permulaan sanad seorang perawi atau lebih-yang dinamakan dengan al-mu’allaq- yang banyak terdapat di dalam Sahih al- Bukhari iaitu di dalam tajuk bab (tarajim al-Abwab), namun tidak ada sama sekali di tengah-tengah bab. Di dalam Sahih Muslim hanya ada sebuah hadis dalam bab al-Tayammum yang tidak diriwayatkan secara mawsul (bersambung) di tempat yang lain. Hukum hadis-hadis tersebut ialah:

  • Jika sesuatu hadis dengan lafaz yang pasti seperti قال ‘berkata’, أمَر ‘menyuruh’, ذَكَر ‘menyebut’ maka ia dihukumkan sebagai sahih daripada orang yang disandarkan kepadanya hadis itu.
  • Jika hadis itu dengan lafaz yang tidak pasti seperti يُرْوَى ‘diriwayatkan daripada’,يُذْكَرَ ‘disebutkan’, يُحْكى ‘diceritakan’, رُوِي ‘telah diriwayatkan’, ذُكِر ‘telah disebutkan’, maka ia tidak hukumkan sebagai sahih. Bagaimanapun di dalam Sahih al-Bukhari ini, tidak ada satu hadis yang sangat da’if untuk dimasukkan ke dalam kitab yang dinamakan dengan kitab sahih.

Tingkatan Hadis Sahih

Kita telah maklum bahawa ulama menyebutkan beberapa sanad yang paling sahih menurut pendapat mereka. Berdasarkan kepada ini dan juga kepada kemampuan memenuhi syarat-syarat sahih yang lain, hadis sahih itu mempunyai beberapa tingkatan.

  1. Tingkatan paling tinggi iaitu yang diriwayatkan dengan sanad yang paling sahih seperti Malik daripada Nafi’ daripada Ibn ‘Umar.
  2. Sanad yang rendah sedikit iaitu yang diriwayatkan melalui jalan perawi-perawi yang rendah daripada perawi-perawi sanad yang pertama seperti riwayat Hammad bin Salamah daripada Thabit daripada Anas.
  3. Sanad yang rendah sedikit iaitu riwayat perawi-perawi yang mempunyai sifat thiqah yang paling kurang seperti riwayat Suhayl bin Abi Salih daripada bapanya daripada Abu Hurayrah.

Boleh dimasukkan dalam perincian ini ialah pembahagian hadis sahih kepada tujuh tingkatan iaitu:

  1. Hadis yang disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim (tingkatan tertinggi)
  2. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari sahaja.
  3. Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim sahaja.
  4. Hadis yang mengikut syarat mereka berdua tetapi tidak dikeluarkan oleh mereka berdua.
  5. Hadis yang mengikut syarat al-Bukhari tetapi tidak dikeluarkannya
  6. Hadis yang mengikut syarat Muslim tetapi tidak dikeluarkannya.
  7. Hadis sahih yang tidak mengikut syarat mereka berdua tetapi sahih di sisi imam-imam selain mereka berdua seperti Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban.

Syarat al-Shaykhayn

al-Bukhari dan Muslim tidak menjelaskan syarat yang mereka tentukan sebagai tambahan kepada syarat-syarat yang disepakati pada hadis sahih. Tetapi ulama yang mengkaji gaya dan metode penulisan al-Bukhari dan Muslim dapat mengesani apa yang dikatakan sebagai syarat mereka berdua atau salah seorang mereka berdua.

Pandangan yang paling baik tentang syarat al-Bukhari dan Muslim atau salah seorang mereka ialah hadis itu diriwayatkan oleh perawi-perawi kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim atau salah seorang dari mereka dengan mengambil kira cara periwayatan yang mereka berdua beriltizam dengannya.

Maksud Muttafaq ’alayh متفق عليه

Apabila ulama hadis menyebutkan hadis sebagai muttafaq ’alayh maksudnya ialah persepakatan al-Bukhari dan Muslim tentang kesahihannya bukan persepakatan umat Islam. Walau bagaimanapun, Ibn al-Salah mengatakan bahawa, kesepakatan ulama adalah mesti dan ada bersamanya kerana ummat menerima kesepakatan mereka berdua.

Adakah Hadis Sahih Disyaratkan Sebagai ‘Aziz

Mengikut pendapat yang sahih, hadis sahih itu tidak disyaratkan menjadi ’aziz dengan erti ia mestilah mempunyai dua sanad kerana ada didapati di dalam Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan kitab-kitab lain hadis-hadis yang sahih tetapi gharib. Beberapa ulama seperti Abu ’Ali al-Jubba`i al-Mu’tazili dan al-Hakim mendakwa hadis sahih mestilah ’aziz. Pendapat mereka ini bertentangan dengan apa yang telah dipersetujui oleh umat Islam.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Al-Hadis – Sesi 7

Mustalah Al-Hadith – Sesi 7 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 17-Mei-15

Adakah diputuskan mana-mana sanad sebagai sanad yang paling sahih secara mutlak?

Mengikut pendapat terpilih, tidak boleh diputuskan mana-mana sanad sebagai sanad yang paling sahih secara mutlak kerana perbezaan tingkatan kesahihan berdasarkan kepada kemungkinan sanad untuk memenuhi syarat sahih. Hadis yang memenuhi keperluan, maksimum kesemua syarat sahih adalah sangat jarang. Sepatutnya tidak dihukumkan kepada mana-mana sanad sebagai sanad yang paling sahih secara mutlak. Bagaimanapun, ada dinukilkan daripada beberapa orang imam tentang sanad yang paling sahih. Yang nyata, setiap imam memilih sanad yang kuat menurut penilaian mereka. Antara pendapat tentang sanad yang paling sahih ialah:

  1. Al-Zuhri daripada Salim daripada bapanya (Abullah Ibn ‘Umar).
    Ini diriwayatkan daripada Ishaq bin Rahawayh dan Ahmad.
  2. Ibn Sirin daripada ‘Abidah daripada ‘Ali bin Abi Talib. Ini diriwayatkan daripada Ibn al-Madini dan al-Fallas.
  3. Al-A’mash daripada Ibrahim daripada ‘Alqamah daripada Abdullah bin Mas’ud. Ini diriwayatkan daripada Ibn Ma’in.
  4. Al-Zuhri daripada ‘Ali bin al-Husayn daripada bapanya daripada ‘Ali. Ini diriwayatakan daripada Abu Bakar bin Abi Shaybah.
  5. Malik daripada Nafi’ daripada Ibn ‘Umar. Ini diriwayatkan daripada al-Bukhari.

KARANGAN PERTAMA YANG KHUSUS TENTANG HADIS SAHIH

Karangan pertama tentang hadis sahih sahaja ialah Sahih al-Bukhari kemuadian Sahih Muslim.Kedua-duanya adalah kitab yang paling sahih selepas al-Qur’an.Ummat Islam telah berijmak dalam menerima kedua-duanya.

Kitab yang paling sahih di antara keduanya ialah Sahih al-Bukhari dan ia lebih mengandungi banyak faedah. Ini kerana hadis-hadis al-Bukhari lebih kemas dari segi bersambung-sambung sanadnya dan para perawi lebih thiqah di samping terdapat kesimpulan-kesimpulan fiqh dan masalah-masalah ilmiah yang tidak ada dalam Sahih Muslim. Kedudukan Sahih al-Bukhari lebih Sahih dari Sahih Muslim dengan mengambil kira keseluruhan, kerana ada terdapat sebahagian hadis dalam Sahih Muslim lebih kuat daripada beberapa hadis dalam Sahih al-Bukhari. Ada juga pendapat yang mengatakan Sahih Muslim lebih sahih, tetapi yang lebih tepat ialah pendapat yang pertama ( Sahih al-Bukhari lebih sahih.)

Adakah al-Bukhari dan Muslim beriltizam untuk memasukkan semua hadis sahih dalam kitab-kitab mereka?

Al-Bukhari dan Muslim tidak beriltizam untuk memasukkan semua hadis sahih dalam kitab-kitab mereka. Al-Bukhari berkata: “Saya hanya memasukkan hadis sahih sahaja dalam kitabku yang jami’ ini dan saya tinggalkan hadis-hadis sahih yang lain kerana takut panjang.’’ Muslim berkata : “Bukan semua hadis sahih menurut saya dimasukkan di sini, tetapi saya hanya masukkan sahihyang disepakati.”

Adakah banyak atau sedikit hadis sahih yang tidak dimasukkan oleh mereka berdua?

Al-Hafiz Ibn al-Akhram berkata : “hanya sebilangan yang kecil sahaja yang tidak dimasukkan oleh mereka berdua.” Bagaimanapun pendapat ini telah dibantah.

Mengikut pendapat disebutkan oleh mereka berdua. Dinukilkan daripada al-Bukhari katanya: “Hadis-Hadis sahih yang saya tinggalkan lebih banyak” Beliau kuga berkata : “Saya menghafal seratus ribu hadis sahih dan dua ratus ribu hadis yang tidak sahih.’’

Berapakah jumlah hadis di dalam kedua-dua kitab sahih itu?

Sahih al-Bukhari mengandungi 7275 hadis termasuk hadis yang berulang dan dengan yang tidak berulang sebanyak 4000 hadis.
Jumlah hadis dalam Sahih Muslim ialah 12000 termasuk yang berulang dan tanpa berulang sebanyak 4000 hadis.

Di mana boleh didapati hadis-hadis sahih lain yang ditinggalkan oleh al-Bukhari dan Muslim?

Kita boleh dapatinya di dalam kitab-kitab mu’tabar yang masyhur seperti Sahih Ibn Khuzaymah, Sahih Ibn Hibban, Mustadrak al-Hakim, kitab sunan yang empat, Sunan al-Daruqutni, Sunan al-Bayhaqi dan lain-lain. Perlu diingatkan bahawa kewujudan sesebuah hadis di dalam kitab-kitab tidak bermakna ia pasti sahih tetapi memerlukan kepada penjelasan tentang kesahihannya kecuali di dalam kitab yang pengarangnya mensyaratkan hanya menyebutkan hadis sahih sahaja seperti Sahih Ibn Khuzaymah

Perbincangan Tentang Al-Mustadrak Karangan Al-Hakim

Antara kitab hadis yang besar ialah al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayn karangan al-Hakim.Penulisnya menyebutkan hadis-hadis sahih yang mengikut syarat al-Shaykhan (al-Bukhari dan Muslim) atau syarat salah sesorang mereka tetapi tidak dikeluarkan oleh mereka berdua.Begitu juga pengarangnya menyebutkan hadis-hadis sahih menurut penilaiannya walaupun tidak menurut penilaian mereka berdua dengan mengatakannya sebagai sahih sanadnya.Kadang-kadang beliau menyebutkan beberapa hadis yang tidak sahih tetapi beliau mengingatkan tentang statusnya.Beliau seorang yang longgar dalam mentashihkan hadis.Hadis-hadisnya perlu disemak dan dinili sesuai dengan keadaannya dan Al-Dhahabi menilai semula status kebanyakkan hadis-hadis Mustadrak sesuai dengan kedudukannya. Bagaimanapun, kitab ini masih memerlukan kepada penyemakan, penilaian dan pemerhatian lebih lanjut lagi.51

Sahih Ibn Hibban

Susunan kitab ini agak kreatif kerana ia tidak disusun mengikut susunan bab dan tidak juga mengikut tertib musnad. Oleh sebab itu, pengarangnya menamakan al-Taqasim wa al-anwa’. Disebabkan terdapat kesukaran dalam mencari hadis dari kitab ini, sebahagian ulama mutakhirin menyusunnya mengikut bab. Pengarangnya adalah seorang yang bermudah dalam menghukumkan hadis dan sikap bermudah beliau adalah lebih rendah dari al-Hakim.

Sahih Ibn Khuzaymah

Kedudukannya lebih tinggi dari Sahih Ibn Hibban kerana beliau lebih teliti berbanding Ibn Hibban sehingga beliau menahan diri dari menghukumkan hadis walaupun hanya terdapat sedikit kritikan pada sanadnya.

Al-Mustakhrajat ‘ala Al-Sahihayn

  • Topik mustakhraj : iaitu seorang pengarang mendapatkan mana-mana kitab hadis lalu mengeluarkan hadis-hadis tersebut melalui sanad-sanadnya sendiri bukan tariq atau jalan pengarang kitab tersebut. Dengan ini beliau akan bertemu dengan pengarang pada peringkat gurunya atau atas lagi.
  • Mustakhraj terhadap al-sahihayn yang paling mashyur :
  1. Al-Mustakhraj karangan Abu Bakar al-Isma’ili terhadap Sahih al-Bukhari
  2. Al-Mustakhraj karangan Abu ‘Awanah al- Isfirayni terhadap Sahih Muslim.
  3. Al-Mustakhraj karangan Abu Nu’aym ‘al-Asfahani terhadap Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.
  • Adakah pengarang-pengarang kitab mustakhraj beriltizam untuk mengeluarkan lafaz yang sama dengan lafaz al-Sahihayn?

Pengarang-pengarang Mustakhraj tidak beriltizam untuk mengemukakan lafaz yang sama dengan al-Sahihayn kerana mereka hanya meriwayatkan lafaz-lafaz yang sampai kepada mereka melalui jalan guru-guru mereka. Oleh kerana itu terdapat sedikit perbezaan lafaz-lafaz hadis dalam mustakhrajat. Begitu juga halnya dengan hadis-hadis yang dikeluarkan oelh pengarang-pengarang terdahulu di dalam kitab mereka yang berasingan seperti al-Bayhaqi, al-Baghawi dan lain-laian seperti kata-kata mereka: diriwayatkan oleh al-Bukhari atau diriwayatkan oleh Muslim. Pada sebahagiannya terdapat perbezaan dari segi lafaz dan makna. Maksud kata-kata mereka: “diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim” ialah mereka berdua meriwayatkan hadis tersebut pada asalnya.

  • Adakah harus menukilkan satu hadis daripada kitab mustakhraj lalu menyandarkan kepada al-Bukhari dan Muslim?

Berdasarkan kepada perbahasan lalu, tidak harus bagi seseorang untuk menukilkan daripada kitab mustakhrajat atau mana-mana kitab yang disebutkan sebelum ini lalu dia berkata diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim kecuali dengan salah satu cara ini: pertama dia mestilah membandingkan hadis itu dengan riwayat al-Bukhari dan Muslim atau pengarang mustakharaj berkata atau pengarang kitab berkata; dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim dengan lafaznya.

  • Faedah-faedah mustakhrajat terhadap al-Sahihayn

Mustakhrajat terhadap al-Sahihayn mempunyai beberapa faedah sehingga menjangkau sepuluh, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Suyuti dalam kitabnya, Tadrib al-Rawi. Di sini penulis bawakan untuk anda beberapa faedah terpenting. Pertama, ketinggian sanad iaitu sanad menjadi tinggi kerana jika pengarang mustakhraj meriwayatkan satu hadis melalui jalan al-Bukhari pasti sanad akan menjadi lebih rendah daripada hadis yang diriwayatkannya di dalam mustakhraj. Kedua, menambah kadar kesahihan kerana berlaku pertambahan lafaz dan kelengkapan pada sebahagian hadis. Ketiga, hadis menjadi lebih kuat dengan sebab bertambah jalannya dan faedahnya ialah dapat melakukan tarjih ketika berlaku percanggahan antara hadis-hadis.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Al-Hadis – Sesi 6

Mustalah Al-Hadith – Sesi 6 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 10-Mei-15

FASAL KEDUA: Klasifikasi Khabar Ahad Berdasarkan Kepada Kekuatan Dan Kelemahannya

Hadis ahad yang terdiri daripada mashhur, ‘aziz dan gharib terbahagi kepada dua :

  1. Maqbul iaitu hadis yang kebenaran penceritanya lebih kuat atau lebih mengatasi. Hukumnya, wajib berhujah dan beramal dengannya.
  2. Mardud iaitu hadis yang kebenaran penceritanya tidak kuat. Hukumnya ialah tidak boleh berhujah dengannya dan tidak wajib beramal dengannya. Setiap hadis maqbul dan mardud itu mempunyai pembahagian dan perincian yang akan disebutkan pada fasal yang berasingan, Insha Allah Ta’ala.

Al-Khabar al-Maqbul الخبر المقبول

Perbahasan pertama: Pembahagian al-maqbul

Perbahasan kedua: Pembahagian al-hadis al- maqbul kepada ma’mul bih معمول به (yang boleh beramal) dan ghayr ma’mul bih غير معمول به (yang

tidak boleh beramal).
Perbahasan Pertama

Pembahagian maqbul

Berdasarkan kepada tingkatan martabatnya, hadis maqbul terbahagi kepada dua bahagian utama: sahihdan hasan. Setiap bahagian ini pula terbahagi kepada dua iaitu li dhatih dan li ghayrih. Ini menjadikan hadis maqbul empat bahagian.

  1. Sahih Li dhatih
  2. Hasan Li dhatih
  3. Sahih Li ghayrih
  4. Hasan Li ghayrih حسن لغيره

Al-Sahih صحيح

Definisi
Dari sudut bahasa, Sahih صحيح adalah lawan kepada saqim سقيم(sakit) iaitu penggunaan sebenarnya pada perkara konkrit dan penggunaan secara majaz (pinjaman) kepada hadis dan perkara abstrak.

Manakala dari segi istilah: Hadis yang bersambung sanadnya dengan nukilan perawi yang adil, dabit daripada perawi sepertinya hingga ke hujung sanad tanpa ada shadh dan ‘illah.

Huraian Ta’rif

Definisi di atas mempunyai beberapa perkara yang wajib ada bagi menjadikan hadis itu sebagai sahih iaitu:

  1. Bersambung sanad. Setiap perawi mengambil riwayat secara langsung dari orang sebelumnya dari awal sanad sehingga ke penghujungnya.
  2. Keadilan para perawi. Setiap perawi mestilah mempunyai sifat Islam, baligh, tidak fasiq dan tidak cacat maruah.
  3. Ketepatan para perawi. Setiap perawi mestilah sempurna ketepatan, sama ada dari segi ingatan atau catatan.
  4. Tidak shadh. Hadis tersebut tidak bersifat shadh. Maksud shadh ialah percanggahan perawi thiqah terhadap perawi yang lebih thiqah daripadanya.
  5. Tidak mempunyai ‘illah. Hadis itu mestilah tidak terdapat ‘illah. ‘Illah adalah satu sebab yang rumit dan tersembunyi yang mencacatkan kesahihan hadis walaupun pada zahirnya tidak kelihatan.

Syarat-Syarat Hadis Sahih

Jelas daripada huraian ta’rif tadi, terdapat lima syarat yang wajib dipenuhi supaya sesebuah hadis dikira sebagai hadis sahih. Iaitu bersambung sanad, keadilan perawi, ketepatan perawi, tidak ada ’illah dan tidak ada shadh.

Apabila tidak cukup salah satu syarat ini, pada ketika itu hadis itu tidak dinamakan sahih.

Contohnya:
Hadis yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab sahihnya:

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ فِي الْمَغْرِبِ بِالطُّورِ

Imam Al-Bukhari berkata: “ ‘Abdullah bin Yusuf telah menceritakan kepada kami bahawa Malik telah mengkhabarkan kepada kami daripada Ibn Shihab daripada Muhammad Bin Jubayr daripada Mut‘im daripada ayahnya katanya: “Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. telah membaca Surah Al-Tur di dalam solat Maghrib.”

Hadis ini sahih kerana:

  1. Sanadnya bersambung (Muttasil) kerana setiap perawi mendengar daripada gurunya, tentang periwayatan secara ‘an’anah oleh Malik, Ibn Shihab dan Ibn Jubayr ditafsirkan sebagai bersambung-sambung kerana mereka bukanlah perawi-perawi yang melakukan tadlis .
  2. Perawi-perawinya adil dan dabit. Berikut ini sifat-sifat mereka di sisi ulama al-Jarh Wal Ta’dil:
    1. ‘Abdullah bin Yusuf: thiqah, mutqin. Malik bin Anas: imam, hafiz
    2. Ibn Shihab al-Zuhri: faqih, hafiz, kehebatan dan keteguhannya disepakati semua.
    3. Muhammad bin Jubayr: thiqah.
    4. Jubayr bin Mut’im: seorang sahabat.
  3. Hadis ini tidak shadh kerana tidak bercanggah dengan hadis yang lebih kuat daripadanya.
  4. Kerana ia tidak mempunyai sebarang ‘illah.

Hukumnya

Wajib beramal dengan hadis sahih berdasarkan kepada ijma’ ahli hadis ulama yang diakui pendapat mereka dari kalangan usuliyyin dan fuqaha`. Ia merupakan salah satu hujah shara’ yang tidak ada ruang bagi seorang muslim untuk tidak beramal dengannya.

Maksud Kata-Kata: “Ini Hadis Sahih Atau Ini Hadis Tidak Sahih”:

  1. Maksud kata-kata ulama hadis: “hadis ini sahih” ialah lima syarat hadis sahih ada padanya. Bukan diputuskan hadis itu benar-benar sahih kerana harus berlaku kesilapan dan lupa kepada perawi yang thiqah.
  2. Maksud kata-kata mereka: hadis ini tidak sahih ialah hadis ini tidak memenuhi lima syarat hadis sahih, sama ada kesemuanya atau sebahagian daripadanya bukan bermaksud pada kenyataannya ia adalah satu pendustaan kerana orang yang biasa melakukan kesilapan boleh jadi betul pada ketika yang lain.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Al-Hadis – Sesi 5

Mustalah Al-Hadith – Sesi 5 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 03-Mei-15

Al-‘Aziz العزيز
Definisi Dari Segi Bahasa

Sifat mushabbahah daripada ‘azza ya’izzu عزّ يعِزّiaitu sedikit dan jarang atau daripada ‘azza ya’azzu عزّ يعَزّkuat dan bersangatan. Dinamakan demikian sama ada kewujudannya yang sedikit dan jarang ataupun kerana kekuatannya kerana ia datang dari tariq (jalan sanad) yang lain.

Dari Segi Istilah

Hadis yang bilangan perawi-perawinya tidak kurang daripada dua orang di kesemua peringkat sanad.

Huraian Ta’rif

Iaitu perawi-perawinya tidak kurang dari dua orang pada setiap tabaqat (lapisan atau genarasi) sanad. Sekiranya didapati pada sesetengah sanad tiga orang atau lebih itu tidak menjadi hal (tidak mengapa) dengan syarat ada dua orang perawi walaupun pada satu peringkat kerana yang diambil kira ialah had minimum mana-mana peringkat sanad.

Definisi ini merupakan definisi yang terpilih sebagai mana yang diputuskan oleh Hafiz Ibn Hajar. Sebahagian ulama berpendapat Hadis ‘aziz ialah periwayatan dua orang atau tiga orang. Dengan itu mereka tidak mengasingkan hadis ‘aziz daripada hadis mashhur dalam beberapa bentuk.

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Anas dan Imam al-Bukhari daripada hadis Abu Hurayrah bahawa Rasululah s.a.w bersabda:

لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ والِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعينَ

“Tidak sempurna iman seseorang dari kalangan kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada bapanya, anaknya dan sekalian manusia.”

Hadis ini telah diriwayatkan daripada Anas oleh Qatadah, ‘Abdul Aziz bin Suhayb dan diriwayatkan daripada Qatadah oleh Shu’bah dan Sa’id dan diriwayatkan pula daripada ‘Abdul ‘Aziz oleh Isma’il bin ‘Ulayyah dan ‘Abdul Warith. Dan diriwayatkan daripada setiap mereka itu oleh sebilangan yang ramai.

Karangan Yang Terkenal

Ulama tidak menulis karangan yang khusus berhubung dangan hadis ‘aziz. Sebabnya yang jelas ialah kerana bilangannya yang sedikit dan kerana tidak didapati faedah yang penting daripada penulisan itu.

HADIS GHARIB غريب

Definisi Dari Sudut Bahasa

Sifat mushabbahah dengan erti yang bertunggalan atau yang berjauhan dari sanak saudara.

Dari Segi Istilah

Hadis yang seorang perawi berseorangan dalam meriwayatkannya.

Huraian Definisi

Iaitu hadis yang seorang perawi berseorangan meriwayatkannya sama ada pada setiap tabaqah sanad atau pada sebahagiannya walaupun pada satu tabaqah sahaja. Ta’rif gharib tidak terjejas dengan adanya lebih daripada seorang perawi pada tabaqah yang lain kerana yang diambil kira ialah had minimum.

Nama Lain Bagi Hadis Gharib

Ramai dari kalangan ulama menyebut hadis gharib dengan nama lain iaitu al-fard sebagai sema’na. Tetapi sebahagian ulama membezakan antara kedua-duanya. Dengan itu mereka menjadikan kedua-duanya sebagai bahagian yang berasingan. Akan tetapi Al-Hafiz Ibnu Hajar menganggapnya semakna dari segi bahasa dan istilah. Bagaimanapun beliau berkata: “Ulama Mustalah membezakan antara keduanya dari sudut banyak dan kurang pengunaannya. Mereka lebih banyak menyebut al-fard sebagai al-fard al-mutlaqdan al-gharib pula sebagai al-fard al-nisbi.”

Bahagian–bahagiannya

Berdasarkan tempat berlaku tafarrud (keseorangan), gharib dibahagikan kepada dua iaitu gharib mutlaqdan gharib nisbi.

  1. Al-gharib al-mutlaq atau al-fard al-mutlaq

Ta’rifnya: hadis yang gharabah berlaku pada asal sanad iaitu hadis yang seorang perawi berseorangan meriwayatkan pada asal sanad. Contohnya hadis:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

“Sesungguhnya amalan itu dikira dengan niat”

Sayyidina ‘Umar bin Al-Khattab berseorangan meriwayatkannya (tafarrada) dan ini kadang kala berterusan sehingga akhir sanad dan kadang-kadang sebilangan perawi meriwayatkan daripada perawi-perawi yang berseorangan itu (al-Mutafarrid).

  1. Al-gharib al-nisbi

Ta’rifnya: hadis yang gharabah berlaku pada pertengahan sanad iaitu lebih daripada seorang perawi yang meriwayatkan pada asal sanad kemudiannya seorang perawi berseorangan meriwayatkannya daripada perawi-perawi itu. Contohnya Hadis Malik daripada al-Zuhri daripada Anas r.a bahawa:

أن النبي صلى الله عليه وسلم دخل مكة وعلى رأسه المغفر

Rasululah s.a.w memasuki Mekah dalam keadaan memakai mighfar (tudung).

Malik telah berseorangan meriwayatkannya daripada al-Zuhri sebab itu dinamakan gharib nisbi. Sebab dinamakan bahagian ini gharib nisbi ialah kerana tafarrud berlaku dengan nisbah kepada individu tertentu.

Antara bentuk hadis gharib nisbi ialah: Terdapat beberapa bentuk gharabah atau tafarrud yang boleh dikira sebagai gharib nisbi kerana gharabah padanya tidak mutlak. Gharabah padanya wujud secara nisbah atau merujuk kepada sesuatu yang tertentu.

Bentuk-Bentuk gharib nisbi

  1. Tafarrud thiqah dengan periwayatan hadis seperti kata-kata ulama hadis: Tidak seorang pun thiqah yang meriwayatkannya kecuali si fulan.
  2. Tafarrud perawi tertentu daripada perawi tertentu: Seperti kata ulama hadis: “Perawi itu berseorangan meriwayatkan daripada si fulan. Walaupun diriwayatkan dengan sanad atau dengan jalan yang lain melalui perawi yang lain.
  3. Tafarrud penduduk negeri seperti kata ulama hadis iaitu diriwayatkan oleh ahli Makkah atau ahli Sham.
  4. Tafarrud penduduk sebelah negeri daripada penduduk negeri lain seperti kata mereka: Tafarrud penduduk Basrah daripada penduduk Madinah atau tafarrud dalam meriwayatkan hadis ini penduduk Sham daripada penduduk Hijaz.

Pembahagian Lain

Dari segi Gharabah sanad dan matan, Ulama hadis membahagikan gharib kepada:

  1. gharib matan dan sanad.

Iaitu hadis yang seorang perawi berseorangan meriwayatkan matannya.

  1. gharib sanad tidak matan

Seperti hadis yang matannya diriwayatkan oleh sekumpulan perawi daripada kalangan sahabat kemudian seorang perawi berseorangan meriwayatkan daripada sahabat yang lain berkenaan dengan hadis ini Imam al-Tirmidhi menyebut “gharib min hadha al-wajh” gharib dari wajah ini atau jalan ini,

Kitab-Kitab Yang Terdapat Banyak Hadis gharib

  1. Musnad al-Bazzar
  2. Al-Mu’jam al-Awsat oleh al-Tabarani

Kitab-Kitab Yang Terkenal

  1. “Ghara`ib Malik” karangan al-Daruqutni
  2. “Al-Afrad” juga oleh al-Daruqutni
  3. “Al-Sunan Allati Tafarrada Bi kulli Sunnah Minha Ahlu Baldah” oleh Abu Dawud al-Sajistani.