Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Umum Tentang Hadith dari Kitab Muqaddimah Sahih Muslim – Sesi 4 – Bab – Permulaan Kitab Muqaddimah Imam Muslim

VIDEO – [Durasi – 1j 42m 24s] -Sesi 4 – Permulaan Kitab Muqaddimah Imam Muslim – [Sahih Muslim – Muqaddimah]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  https://youtu.be/l5u2K7x1fGU ]

https://mega.nz/file/fnIkyQRJ#icfrlYtLLlFDW8GEhnqGLo9USrrH06daTQbM20HE6VQ

AUDIO MP3 – [Muat Turun/Streaming]

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Umum Tentang Hadith dari Kitab Muqaddimah Sahih Muslim – Sesi 3 – Bab – Berkaitan Kaedah Hadith

VIDEO – Sahih Muslim – Muqaddimah – Sesi 3 – Berkaitan Kaedah Hadith

VIDEO – [Durasi –  1j 31m 56s] -Sesi 3 – Berkaitan Kaedah Hadith – [Sahih Muslim – Muqaddimah]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/ytm0qX3fhUo ]

https://mega.nz/file/PiwilTwD#fmEvr4Jj6uEwTDPsICwgz9lQSylXbmJ1jdsQs5zbiTM

AUDIO MP3 – [Muat Turun/Streaming]

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Umum Tentang Hadith dari Kitab Muqaddimah Sahih Muslim – Sesi 1 – Bab – Pengenalan Kitab Sahih Muslim Dan Pengarangnya

VIDEO – [Durasi –  1j 36m 25s] -Sesi 1 – Pengenalan Kitab Sahih Muslim Dan Pengarangnya – [Sahih Muslim – Muqaddimah]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/JNRxXNKUMRw ]

https://mega.nz/file/r3Q11KID#biZkubw2OCTRRbl9YzoPpuunyCMPNRHqrEgenxWcirU

AUDIO MP3 – [Muat Turun/Streaming]

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 33

Mustalah Al Hadith – Sesi 33 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 10- Jan-16

Fasal Pertama

KESENIAN SANAD

AL-ISNAD AL-‘AALI WA AL-NAAZIL

Pendahuluan

Selain menjadi sunnah yang amat dititikberatkan, sanad merupakan ciri khusus yang utama bagi umat ini yang tidak dimiliki oleh mana-mana umat yang terdahulu. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada setiap individu berpegang dengannya ketika menukilkan hadis dan riwayat. Ibn al-Mubarak berkata: “Sanad itu sebahagian dari agama. Jika tidak kerana sanad, sesiapa sahaja akan mengatakan apa yang disukainya”. Sufyan al-Thawri berkata: “Sanad adalah senjata orang mukmin.”

Demikian juga mencari sanad yang tinggi merupakan sunnah sebagaimana kata Imam Ahmad bin Hanbal: “Mencari sanad yang tinggi adalah sunnah di sisi salaf”. Murid-murid Ibn Mas’ud mengembara dari Kufah ke Madinah untuk belajar dan mendengar hadis daripada Sayyidina ‘Umar. Oleh kerana itu, mengembara untuk mencari hadis sangat dituntut dan digalakkan. Ramai dari kalangan sahabat yang telah mengembara untuk mencari sanad yang tinggi, antara mereka ialah Abu Ayyub dan Jabir r.hum.

Definisi

Dari sudut bahasa “al-Ali” ialah kata nama pelaku daripada “al-Uluww”  iaitu “ketinggian” lawan kepada “al-Nuzul” iaitu “kerendahan”. “Al-Nazil” pula kata nama pelaku daripada “al-Nuzul”.

Mengikut istilah, “al-Sanad al-Ali” ialah sanad yang mempunyai jumlah perawi yang sedikit berbanding dengan sanad lain yang mempunyai bilangan perawi lebih ramai yang membawa hadis yang sama.

“Al-Sanad al-Nazil” ialah sanad yang mempunyai jumlah perawi yang ramai berbanding dengan sanad lain yang memyampaikan kepada hadis sama dengan bilangan perawi lebih sedikit.

Bahagian-Bahagian Ketinggian Sanad

Ketinggian sanad terbahagi kepada lima bahagian, salah satu daripadanya adalah ketinggian mutlak dan yang lain adalah ketinggian secara nisbi (relatif):

  1. Hampir kepada Rasulullah s.a.w. dengan sanad yang sahih dan bersih.

Ini merupakan bahagian ketinggian yang paling utama.

  1. Hampir dengan salah seorang imam hadis walaupun selepasnya terdapat ramai bilangan perawi yang menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w.

Contohnya dekat dengan al-A’mash atau Ibn Jurayj, Malik, atau imam yang lain dengan syarat sanad yang sahih dan bersih.

  1. Hampir dengan melihat kepada periwayatan salah satu Sunan Sittah atau kitab-kitab hadis lain yang diakui.

Bahagian ini lebih diberi perhatian oleh ulama dan ia terbahagi pula kepada “muwaafaqah”, “abdaal”,”musaawah” dan “musaafahah”.

  1. Muwaafaqah

Iaitu sampainya kepada syeikh salah seorang pengarang kitab bukan melalui jalannya dengan bilangan perawi yang berkurangan berbanding jika diriwayatkan melaluinya.

Contohnya:

Hafiz Ibn Hajar menyebutkan di dalam “Sharh Nukhbah al-Fikar”: Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Qutaybah daripada Malik. Sekiranya kita meriwayatkan hadis tersebut melalui jalan al-Bukhari maka bilangan perawi antara kita dan Qutaybah menjadi seramai lapan orang.  Tetapi jika kita meriwayatkannya melalui Abu al-`Abbas al-Siraj (salah seorang guru al-Bukhari) daripada Qutaybah maka bilangan perawi antara kita dan Qutaybah hanya tujuh orang.  Dengan ini, kita memperolehi “muwaafaqah” dengan Imam al-Bukhari pada sheikhnya di samping ketinggian sanad berbanding dengan beliau.

  1. Badal

Iaitu sampai kepada guru bagi guru salah seorang pengarang kitab hadis dengan jalan lain dengan bilangan perawi yang berkurangan daripada jalan syeikh tersebut.  Contohnya seperti yang disebutkan oleh Hafiz Ibn Hajar: “Seperti sanad itu sendiri sampai kepada kita melalui jalan lain kepada al-Qa’nabi ((salah seorang guru al-Bukhari)  daripada Malik maka al-Qa’nabi itu menjadi “badal” kepada Qutaybah.

  • Musaawah

“Musaawah” iaitu sama bilangan sanad daripada perawi sehingga kepada akhirnya bersama-sama sanad salah seorang pengarang kitab

Contohnya seperti yang disebutkan oleh Hafiz Ibn Ibn Hajar: “Seperti al-Nasa’i meriwayatkan satu hadis yang mejadi perantaraan antara beliau dengan Rasulullah s.a.w seramai 11 orang.  Hadis itu sendiri kita meriwayatkannya dengan sanad yang lain melalui perantaraan 11 orang juga.  Dengan itu, kita menyamai al-Nasa’i dari sudut bilangan.

  1. Musaafahah

Iaitu sama bilangan sanad daripada perawi hingga kepada hujungnya bersama dengan sanad murid salah seorang pengarang-pengarang.  Dinamakan “musafahah” kerana kebiasaannya dua orang perawi yang bertemu akan berjabat  tangan (musafahah)

  1. Ketinggian Dengan Sebab Terdahulu Kewafatan Perawi

Contohnya seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi: “Hadis yang saya terima daripada tiga orang daripada al-Bayhaqi daripada al-Hakim lebih tinggi daripada saya meriwayatkan daripada tiga orang daripada Abu Bakr bin Khalf daripada al-Hakim kerana kewafatan al-Bayhaqi itu terdahulu daripada kewafatan Ibn Khalf. (Al-Bayhaqi meninggal dunia pada tahun 458H manakala Ibn Khalf meninggal dunia pada tahun 487H)

  1. Ketinggian Dengan Sebab Terdahulu Mendengar Hadis

Iaitu terdahulu mendengar hadis daripada syeikh. Sesiapa yang mendengar dahulu maka ia dikira lebih tinggi daripada orang yang mendengar kemudian. Contohnya dua orang perawi mendengar hadis daripada seorang syeikh dan “sama’ ” salah seorang itu sejak enam puluh tahun sedangkan seorang lagi sejak empat puluh tahun dalam keadaan bilangan perawi yang menyampaikan kepada mereka berdua itu sama maka yang pertama lebih tinggi daripada yang kedua. Ini lebih diberikan perhatian apabila guru seorang itu “ikhtilat”(fikiran bercelaru) atau nyanyuk.

Bahagian Kerendahan Sanad

Terdapat lima bahagian sanad rendah dan dapat diketahui daripada lawannya iaitu ketinggian sanad. Setiap bahagian ketinggian sanad adalah lawan kepada setiap bahagian kerendahan sanad.

Adakah Ketinggian Sanad Lebih Utama Atau Kerendahan Sanad?

Mengikut pendapat sahih yang dipegang oleh majoriti ulama, ketinggian sanad itu lebih utama kerana ia menjauhkan daripada andaian banyak berlaku kecacatan dalam hadis dan kerendahan sanad itu tidak disukai. Ibn al-Madini berkata: “Kerendahan sanad itu adalah pesimis”. Hal ini berlaku apabila sanad itu sama kuat.

Kerendahan sanad itu lebih utama apabila sanad yang rendah itu mempunyai keistimewaan (seperti perawi-perwainya lebih thiqah, lebih kuat hafazan atau lebih faqih daripada perawi-perawi sanad tinggi)

Karangan-Karangan Yang Masyhur

Secara umumnya, tidak terdapat kitab khusus tentang sanad-sanad tinggi atau rendah tetapi ulama hadis telah menulis secara berasingan juzuk-juzuk yang dinamakan sebagai “al-Thulathiyyat” yang bermaksud hadis-hadis yang mempunyai perantaraan antara pengarang dan Rasulullah s.a.w seramai tiga orang sahaja. Ini sebagai isyarat kepada perhatian ulama terhadap sanad-sanad tinggi. Antaranya ialah:

  1. Thulathiyyat al-Bukhari oleh Ibn Hajar
  2. Thulathiyyat Ahmad bin Hanbal oleh al-Saffarayni.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 40

Mustalah Al Hadith – Sesi 40 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16

MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI IKHTILAT

Ta’rif Ikhtilat

Pada bahasa ikhtilat ialah rosak akal, dikatakan “ikhtalata fulan” maksudnya rosak akalnya sebagaimana yang tersebut dalam “al-Qamas al-Muhit”.

Pada istilah, “ikhtilat” ialah rosak akal, percakapan yang celaru kerana nyanyuk, cacat penglihatan, kitab terbakar atau sebagainya.

Bahagian-Bahagian Perawi Yang Ikhtilat

  1. Dengan sebab nyanyuk seperti `Ata’ bin al-Sa’ib al-Thaqafi al-Kufi. 322
  2. Hilang penglihatan dengan sebab seperti `Abdul Razzaq bin Hummam al-San’ani. Setelah itu dia meriwayatkan hadis secara “talqin”.
  3. Sebab-sebab lain seperti terbakar kitab contohnya `Abdullah bin Lahi’ah al-Misri.

Hukum Perawi Mukhtalat

  1. Riwayat yang diambil daripadanya sebelum “ikhtilat” boleh diterima.
  2. Tidak diterima riwayat yang diambil daripadanya setelah berlaku “ikhtilat”. Demikian juga tidak diterima periwayatan daripadanya jika diragui sebelum “ikhtilat” atau selepasnya.

Kepentingan Dan Faedahnya

Ini merupakan seni yang sangat penting, faedahnya tersirat dalam membezakan hadis-hadis perawi thiqah yang disampaikan setelah berlaku “ikhtilat” untuk menolak dan tidak menerimanya.

Adakah Imam Al-Bukhari Dan Muslim Mengeluarkan Dalam Kitab Sahih Mereka Hadis-Hadis Daripada Perawi Thiqah Yang Mengalami “Ikhtilat”?

Memang, tetapi hanya hadis yang disampaikan perawi thiqah sebelum mengalami “ikhtilat”

Karangan Yang Masyhur

Beberapa orang ulama telah menulis kitab dalam bab ini seperti al-Ala’i, al-Hazimi.

Diantara kitab-kitab ini ialah “al-Ightibat Bi Man Rumiya Bi al-Ikhtilat” oleh Hafiz Ibrahim bin Muhammad, cucu Ibn al-`Ajmi meninggal pada tahun 841H.

MENGENALI TABAQAT (KELAS-KELAS) ULAMA DAN PERAWI

Ta’rif tabaqat:

Pada bahasa, kumpulan yang sama sebaya.

Manakala pada istilah pula, satu kumpulan yang hampir sama pada usia dan sanad atau pada sanad sahaja.

Makna hampir sama pada sanad ialah guru-guru perawi ini adalah guru-guru perawi seorang lagi atau hampir dengn guru-gurunya.

Faedah Mengetahuinya

  1. Antara faedah mengetahuinya ialah selamat dari memasukkan perawi yang sama nama atau kunyah dan sebagainya kerana ada kalanya dua nama sama lafaznya lalu disangka salah seorangnya adalah orang lain. Untuk membezakannya perlu mengenali tabaqatnya.
  2. Mengetahui maksud sebenar periwayatan secara `an’anah.

Kadang-Kadang Dua Orang Perawi Dilihat Dari Satu Sudut Sebagai Satu Tabaqat Tetapi Dari Sudut Lain Sebagai Dua Tabaqat

Contohnya Anas bin Malik dan “sighar” sahabat lain. Mereka dan sepuluh sahabat yang dijamin syurga dikira sebagai satu tabaqat dengan mengambil kira kesemua mereka adalah sahabat. Ini bermakna semua sahabat adalah satu tabaqat.

Dari sudut terdahulunya memeluk Islam, ada beberapa belas tabaqat para sahabat sebagaimana yang telah dibincangkan dalam fasal “Mengenali Sahabat”. Dengan ini Anas bin Malik dan sahabat-sahabat sebaya dengannya tidak berada dalam tabaqat yang sama dengan sepuluh sahabat yang dijamin syurga.

Sifat Yang Mesti Ada Pada Pengkaji Ilmu Tabaqat

Pengkaji dalam ilmu tabaqat mestilah mengetahui tarikh kelahiran dan kewafatan para perawi, siapakah yang mengambil riwayat daripada mereka dan daripada siapa mereka mengambil riwayat.

Kitab-Kitab Yang Masyhur

  1. “Al-Tabaqat al-Kubra” oleh Ibn Sa’d
  2. “Tabaqat al-Qurra’ “ oleh Abu `Amr al-Dani
  3. “Tabaqat al-Shafi’iyyah al Kubra” oleh Abdul Wahab Al-Subki
  4. “Tadhkirah al-Huffaz” oleh al-Dhahabi

MENGENALI PARA PERAWI DAN ULAMA DARI KALANGAN “MAWLA”

Pada bahasa: “Mawali” jama’ kepada “mawla”. Ia termasuk dalam perkataan yang mempunyai makna yang berlawanan, hamba, tuan mas, orang yang membebaskan hamba dan hamba yang dibebaskan.

Pada istilah: Orang yang membuat perjanjian sumpah setia (bersekutu), hamba yang dibebaskan dan orang yang memeluk Islam di tangan orang lain.

Bahagian-Bahagian Mawla

  1. “Mawla hilf” seperti Imam Malik bin Anas al-Asbahi al-Taymi. Beliau pada asalnya berketurunan Asbah, dinisbahkan kepada Taym kerana kaumnya, Asbah mawla kepada Taym Quraisy dengan bersekutu.
  2. Mawla hamba seperti Abu Bakhtari al-Tai’i al-Tabi’i. Nama beliau ialah Sa’id bin Fayruz. Beliau merupakan hamba bebasan Ta’i kerana tuannya itu dari qabilah Tai’.
  3. Mawla Islam seperti Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ju’fi kerana datuknya, al-Mughirah seorang Majusi yang memeluk Islam di tangan al-Yaman bin Akhnas al-Ju’fi.

Faedah

Terhindar dari kekeliruan dan dapat mengenali siapakah yang dinisbahkan kepada qabilah secara nasab keturunan atau wala’. Dengan itu dapat dibezakan antara perawi yang mempunyai nama serupa yang dinisbahkan kepada satu qabilah dengan seorang lagi dinisbahkan kepada qabilah itu secara wala.

Kitab-Kitab Yang Masyhur

Abu `Umar al-Kindi menulis tentang perawi-perawi yang dinisbahkan kepada Mesir sahaja.

MENGENALI PERAWI THIQAH DAN DHA’IF

Pada bahasa, thiqah ialah orang yang dipercayai. Dha’if lawan kepada kuat (lemah) dan ia pada fizikal dan juga ma’nawi.

Pada istilah, thiqah ialah perawi yang adil, dabit. Manakala dha’if nama umum merangkumi orang yang dikecam keadilan atau ketepatannya.

Kepentingan Dan Faedah Mengetahuinya

Ia merupakan bahagian ilmu hadis yang paling utama kerana melaluinya dapat diketahui hadis yang sahih daripada hadis yang lemah.

Kitab-Kitab Yang Masyhur

  1. Kitab yang khusus dengan perawi-perawi thiqah seperti al-Thiqat oleh Ibn Hibban, Kitab al-Thiqat oleh al-Ijli.
  2. Kitab yang khusus dengan perawi-perawi dha’if, seperti “al-Du’afa’ ” oleh Imam al-Bukhari, al-Nasa’i, al-`Uqayli dan al-Daruqutni.
  3. Kitab-Kitab yang merangkumi perawi-perawi thiqah dan dha’if seperti “al-Tarikh al-kabir” oleh Imam al-Bukhari, “al-Jarh Wa al-Ta’dil” oleh Ibn Abi Hatim.
  4. Kitab-Kitab ini bersifat umum tentang perawi-perawi. Di antara kitab jenis ini juga kitab-kitab yang khusus dengan perawi dalam sesetengah kitab hadis seperti “al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal” oleh `Abd al-Ghani al-Maqdisi dan kitab-kitab ringkasannya seperti” Tahdhib al-Kamal” oleh al-Dhahabi. Tahzib al-Tahzib dan Taqrib al-Tahdhib oleh Ibn Hajar dan Khulasah Tahdhib al-Tahdhib oleh al-Khazrji.

MENGENALI “AWTAN” (TANAHAIR) DAN “BULDAN” (NEGERI) PERAWI

Maksud Perbahasan Ini:

“Awtan” adalah jamak kepada “watan”, iaitu iklim atau tempat kelahiran seseorang atau tempat tinggalnya. “Buldan” jamak kepada “balad” iaitu bandar atau kampung kelahiran seseorang atau tempat tinggalnya. Maksud perbahasan ini ialah mengenali negeri dan bandar-bandar perawi yang merupakan tanahair mereka dan menjadi tempat tinggal mereka.

Faedahnya:

Dapat membezakan antara dua nama yang sama pada lafaz apabila mereka berdua berasal dari negeri yang berlainan. Ini merupakan pengetahuan yang diperlukan oleh penghafaz-penghafaz hadis untuk tugas-tugas dan penulisan-penulisan mereka.

Nisbah Yang Digunakan Oleh Perawi-Perawi Arab Dan Bukan Arab

Sejak dahulu lagi bangsa Arab menisbahkan diri mereka kepada qabilah-qabilah kerana kebanyakan mereka merupakan golongan badwi yang mengembara. Pertalian mereka dengan qabilah lebih kuat berbanding dengan negeri. Apabila Islam datang, kebanyakan mereka merupakan penduduk-penduduk negeri dan kampung maka mereka menisbahkan diri mereka kepada negeri dan kampung mereka.

Sementara itu, bangsa bukan Arab, sejak dahulu lagi mereka menisbahkan diri mereka kepada negeri dan kampung mereka.

Bagaimana Orang Yang Berpindah Dari Negerinya Menggunakan Nisbah

Apabila seseorang itu mahu menggabungkan antara tempat asal dan negeri barunya maka hendaklah didahulukan nisbah kepada negeri asal kemudian barulah nisbah kepada tempat baru. Seeloknya dimasukkan sebelum tempat kedua itu perkataan (kemudian). Dikatakan kepada orang yang dilahirkan di Halab kemudian berpindah ke Madinah “fulan al- Halabi thumma al-Madani”. Ini yang banyak digunakan.

Apabila dia tidak mahu menggabungkan tempat asal dan negeri barunya maka bolehlah dia menisbahkan kepada tempat yang dikehendakinya. Ini jarang sekali berlaku.

Bagaimana Orang Berada Di Sebuah Kampung Yang Terletak Di Sebuah Negeri menisbahkan Dirinya

  1. Dia boleh menisbahkan dirinya kepada kampung itu.
  2. Dia boleh menisbahkan dirinya kepada negeri yang mana kampung itu terletak.
  3. Dia boleh menisbahkan dirinya kepada kawasan yang terletak di negeri itu.

Contohnya, sekiranya seseorang itu berasal dari al-Bab yang berada di kawasan Bandar Halab dan ianya terletak di negeri Sham maka dia boleh menggunakan nisbah “al-Babiy”, atau “al-Halabi”, atau “al-Shami”.

Berapakah Tempoh Masa Berada Di Sesebuah Tempat Yang Membolehkan Seseorang Itu Menisbahkan Dirinya Kepada Tempat Itu?.

Sekurang-kurangnya empat tahun dan ini merupakan pendapat `Abdullah bin al-Mubarak.

Kitab-Kitab Yang Masyhur

  1. Kitab “al-Ansab” oleh al-Sam’ani yang telah disebutkan sebelum ini sebagai kitab tentang bahagian nisbah kerana beliau menyebutkan pengnisbahan kepada tanahair dan lain-lain.
  2. Di antara kitab yang menyebutkan dengan banyak tanahair dan negeri-negeri para perawi ialah “al-Tabaqat al-Kubra” oleh Ibn Sa’d.

Inilah penghujung kitab yang Allah s.w.t. permudahkan saya untuk menyusunnya. Selawat dan salam buat junjungan dan nabi kita Muhammad, untuk ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya, dan segala pujian bagi Allah s.w.t. Tuhan sekalian alam.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 39

Mustalah Al Hadith – Sesi 39 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 22- Feb-16

MENGENALI NAMA-NAMA, KUNIAH DAN GELARAN YANG TUNGGAL

Maksud Tunggal

Sahabat atau perawi-perawi lain secara umumnya atau ulama mempunyai nama, “kuniah” atau “laqab” yang tidak sama dengan orang lain dan pada kebiasaannya nama tunggal itu ganjil dan sukar disebut.

Faedah Mengetahui

Tidak terjerumus dalam kesilapan “tashif” atau “tahrif” pada nama-nama tunggal yang ganjil itu.

Contoh:

Nama

Dari kalangan sahabat: Ajmad bin `Ujyan, dibaca dengan timbangan Sufyan atau `Ulayyan ya’ni `Ujayyan dan Sandar dengan timbangan Ja’far.

Bukan dari kalangan sahabat: Aswat bin `Amar, Durayb bin Nuqayr bin Sumayr.

Kuniah

Dari kalangan sahabat: Abu al-Hamra, mawla Rasulullah s.a.w, namanya ialah Hilal bin al-Harith.

Bukan Dari Kalangan Sahabat:

Abu al-`Ubaydayn, namanya ialah Mu’awiyah bin Sabrah.

Gelaran:

Dari kalangan sahabat: Safinah, mawla Rasulullah s.a.w. namanya ialah Mihran.

Bukan dari kalangan sahabat: Mandal, namanya ialah `Amar bin `Ali al-Ghazzi al-Kufi.

Kitab-Kitab Yang Paling Masyhur

Al-Hafiz Ahmad bin Harun al-Bardiji telah mengkhususkan dengan satu kitab yang dinamakan “al-Asma’ al-Mufradah”.  Perbahasan ini juga boleh didapati dihujung kitab-kitab rijal seperti Taqrib al-Tahdhib oleh Hafiz Ibn Hajar.

MENGENAL NAMA-NAMA YANG TERKENAL DENGAN KUNIAH

Yang dimaksudkan dengan perbahasan ini ialah menyiasat nama-nama perawi yang terkenal dengan “kuniah” supaya diketahui nama mereka yang tidak masyhur.

Faedah

Faedah mengetahui perbahasan ini ialah supaya perawi yang sama tidak dianggap sebagai dua orang kerana boleh jadi individu ini disebut dengan namanya yang tidak masyhur dan kemudian disebutkan dengan kuniahnya yang masyhur.  Kepada orang yang tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara ini dia akan keliru lalu menganggap itu adalah dua orang berlainan sedangkan dia adalah orang yang sama.

Cara Penulisan Perbahasan Ini

Ulama yang menulis tentang “al-kuna” (jama’ kepada perkataan “kuniah’) menyusun bab-bab mengikut tertib abjad pada “kuniah” kemudian menyebutkan nama-nama pemilik “kuniah”. Contohnya dalam bab “hamzah” disebutkan Abu Ishaq, dan disebutkan namanya. Dalam bab huruf “ba’ ” Abu Bishr dan disebutkan namanya. Demikian seterusnya.

Bahagian Pemilik-Pemilik “Kuniah” Dan Contoh-Contohnya

  1. Perawi yang namanya adalah “kuniah”nya.  Dia tidak mempunyai nama selain dari “kuniah” itu seperti Abu Bilal al-Ash’ari, namanya adalah “kuniah”.
  2. Perawi yang dikenali dengan “kuniah”nya dan tidak diketahui adakah dia mempunyai nama atau tidak seperti Abu Unas, seorang sahabat.
  3. Perawi yang digelar dengan “kuniah”, dia mempunyai nama dan “kuniah” yang lain seperti Abu Turab gelaran kepada `Ali bin Abi Talib dan “kuniah”nya Abu-al-Hasan.
  4. Perawi yang mempunyai dua “kuniah’ atau lebih seperti Ibn Jurayj.  Beliau juga diberikan “kuniah” dengan Abu al-Walid dan Abu Khalid.
  5. Perawi yang tidak disepakati “kuniah”nya.  Seperti Usamah bin Zayd, dikatakan “kuniah”nya Abu Muhammad, juga dikatakan Abu `Abdullah dan Abu Kharijah.
  6. Perawi yang dikenali “kuniah”nya tetapi berbeza pendapat tentang namanya.  Seperti Abu Hurayrah.  Terdapat perbezaan pendapat tentang namanya dan nama ayahnya sebanyak 30 pendapat.  Pendapat paling masyhur ialah `Abdul Rahman bin Sakhr.
  7. Perawi yang tidak disepakati nama dan kunyahnya.  Seperti Safinah. Dikatakan namanya `Umayr, Salih dan Mihran.  “Kuniah”nya dikatakan Abu `Abdul Rahman dan Abu al-Bakhtari.
  8. Perawi yang dikenali dengan namanya dan “kuniah”nya dan dia terkenal kedua-duanya sekali.  Seperti Abu `Abdillah “kuniah” kepada Sufyan al-Thawri, Malik bin Anas, Muhammad bin Idris al-Shafi’ii dan Ahmad bin Hanbal.  Begitu juga Abu Hanifah “kuniah” kepada al-Nu’man bin Thabit.
  9. Perawi yang terkenal dengan “kuniah” dan dikenali juga namnya.  Seperti  Abu Idris al-Khawlani, namanya `A`idhullah.
  10. Perawi yang terkenal dengan namanya dan dikenali juga “kuniah”nya.  Seperti Talhah bin `Ubaydillah al-Taymi, `Abdul Rahman bin `Awf, al-Hasan bin `Ali bin Abi Talib, kuniah mereka ialah Abu Muhammad.

Kitab-Kitab Yang Masyhur

Ulama telah menulis banyak kitab tentang “al-kuna”. Antara yang menulis tentangnya ialah:

`Ali bin al-Madini, Muslim, al-Nasa’i. Kitab terkenal yang dicetak ialah “al-kuna Wa al-Asma’” oleh al-Dulabi Abu Bishr Muhammad bin Ahmad, meninggal dunia pada tahun 310H.

MENGENALI GELARAN-GELARAN (LAQAB)

Definisi Bahasa

“Alqab” jama’ “laqab” maknanya gelaran iaitu setiap sifat yang menggambarkan ketinggian atau kerendahan, atau menunjukkan pujian atau celaan.

Maksud Perbahasan Ini

Maksud perbahasan ini memeriksa dan menyiasat gelaran ahli hadis dan para perawi untuk mengenali dan menentukannya.

Faedah

Faedah mengenali gelaran ada dua:

  1. Tidak menyangka gelaran sebagai nama dan individu yang disebutkan sekali dengan nama dan sekali dengan gelaran sebagai dua orang sedangkan dia adalah orang yang sama.
  2. Mengetahui sebab perawi disebutkan dengan gelaran itu, maka dapat diketahui maksud sebenar gelaran yang sering kali bertentangan dengan maksud zahirnya.

Bahagian-Bahagian

Ada dua bahagian iaitu:

  1. Gelaran yang tidak harus memperkenalkan perawi dengannya.  Orang yang disebutkan gelaran itu padanya tidak menyukainya.
  2. Gelaran yang harus memperkenalkan perawi dengannya.  Orang yang disebutkan gelaran itu padanya menyenanginya.

Contoh-contoh:

  1. Al-Dall (orang yang sesat), gelaran Mu’awiyah bin `Abdul Karim, kerana beliau tersesat dalam perjalanan ke Mekah.
  2. Al-Dha’if (orang yang lemah), gelaran `Abdullah bin Muhammad.  Dipanggil begitu kerana lemahnya pada fizikal bukan pada hadisnya.  Abdul Ghani bin Sa’d berkata:  Dua tokoh utama tetapi melekat pada mereka berdua gelaran yang buruk, al-Dall dan al-Dha’if.
  3. Ghundar, maknanya dalam bahasa Ahli Hijaz orang membuat riuh rendah.  Gelaran ini diberikan kepada Muhammad bin Ja’far al-Basri sebabnya Ibn Jurayj datang ke Basrah lalu beliau menceritakan hadis daripada al-Hasan al-Basri lalu mereka mengingkarinya dan kecoh dan Muhammad bin Ja’far yang paling bising membuat riuh. Ibn Jurayj berkata kepadanya: “Diam wahai Ghundar”.
  4. Ghunjar, gelaran kepada `Isa bin Musa al-Taymi kerana bahagian atas pipinya yang merah.
  5. Sa’iqah, gelaran kepada Muhammad bin Ibrahim al-Hafiz, Imam al-Bukhari mengambil riwayat daripadanya.  Beliau digelar begitu kerana ingatannya dan cepatnya perbincangannya.
  6. Mushkudanah, gelaran `Abdullah bin `Umar al-Umawi.  Dalam bahasa Parsi, maksudnya biji kasturi atau bekas kasturi.
  7. Mutayyan, gelaran Abu Ja’far al-Hadrami.  Beliau diberikan gelaran ini kerana semasa kecil beliau bermain-main bersama kanak-kanak dalam air lalu mereka melumurkan belakangnya dengan tanah.  Abu Nu’aym berkata kepadanya: Wahai Mutayyan (orang yang berlumuran tanah) kenapa engkau tidak menghadiri majlis ilmu.

Kitab-Kitab Yang Terkenal

Ulama mutaqaddimin dan mutakhirin telah menyusun kitab tentang gelaran-gelaran dan kitab yang paling baik dan paling ringkas ialah “Nuzhah al-Albab” oleh Hafiz Ibn Hajar.

MENGENALI PERAWI YANG DIBINKAN BUKAN KEPADA BAPA MEREKA

Maksud Perbahasan

Mengenali perawi yang “bin”nya lebih masyhur kepada bukan ayahnya sama ada ahli keluarganya yang lain atau pengasuh dan lain-lain.

Faedah

Faedahnya ialah menolak anggapan berbilangnya perawi ketika dibinkan kepada bapa mereka.

Bahagian-Bahagian Dan Contoh-Contoh

  1. Perawi yang dibinkan kepada ibu, contohnya: Mu’adh, Mu’awwidh, dan `Awz anak-anak `Afra’.  Bapa mereka ialah al-Harith. Bilal bin Hamamah, bapanya Rabah.  Muhammad bin al-Hanafiyyah, ayahnya `Ali bin Abi Talib.
  2. Perawi yang dibinkan kepada neneknya.  Nenek yang dekat atau yang jauh seperti Ya’la bin Munyah.  Munyah itu ibu kepada bapanya. Bapa Ya’la namanya Umayyah.  Bashir Bin al-Khasasiyyah. Beliau ialah ibu kepada datuknya yang ketiga.  Ayahnya ialah Ma’bad.
  3. Perawi yang dibinkan kepada datuk mereka seperti Abu `Ubaydah bin al-Jarrah.  Namanya ialah `Amir bin `Abdullah bin al-Jarrah.  Ahmad bin Hanbal, beliau ialah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal.
  4. Perawi yang dibinkan kepada orang lain kerana ada sebab seperti al-Miqdad bin `Amar al-Kindi.  Beliau dipanggil al-Miqdad bin al-Aswad kerana beliau berada di bawah jagaan al-Aswad bin `Abd Yaghuth lalu dijadikan anak angkatnya.

Karangan Yang Terkenal

Penulis tidak mengetahui satu kitab khusus tentang bab ini tetapi kitab rijal secara umumnya menyebutkan nama keturunan setiap perawi terutamanya kitab-kitab rijal yang besar.

MENGENALI NISBAH YANG TIDAK SERUPA ATAU TIDAK MENGIKUT ZAHIRNYA.

Pengenalan

Ada sebilangan perawi yang dinisbahkan kepada tempat, peperangan, kabilah atau pekerjaan.  Tetapi apa yang terlintas itu bukan maksud sebenar.  Tetapi sebenarnya mereka dinisbah begitu kerana suatu perkara yang berlaku kepada mereka seperti kerana mereka singgah di tempat itu atau pergaulan dengan orang yang melakukan pekerjaan itu.

Faedah

Perbahasan ini ialah mengetahui bahawa nisbah-nisbah ini bukan hakiki tetapi kerana kebetulan, di samping mengetahui sebab itu sendiri.

Contoh-contoh

  1. Abu Mas’ud al-Badri tidak pernah menyertai peperangan Badar beliau hanya singgah sahaja di situ.
  2. Yazid al-Faqir, bukan seorang yang miskin tetapi dipanggil demikian kerana sakit belakang yang dialaminya.
  3. Khalid al-Hadhdha’ (tukang kasut).  Beliau diberikan gelaran demikian keana sering bergaul dengan tukang kasut.

Karangan Yang Masyhur

Kitab “al-Ansab” oleh al-Sam’ani, Ibn al-Athir telah meringkaskannya dalam sebuah kitab yang bernama “al-Lubab Fi Tahzib al-Ansab”. Al-Suyuti pula meringkaskan ringkasan ini dengan nama “Lubb al-Lubab”.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 38

Mustalah Al Hadith – Sesi 38 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 14- Feb-16

AL-MUTASHABIH

Definisi

Pada bahasa: kata nama pelaku daripada al-Tashabuh dengan erti menyerupai dan dimaksudkan dengan “al-mutasyabih” (yang menyerupai) dengan makna “al-multabis”, yang mengelirukan.  Dari sinilah datang penggunaan ayat “al-Mutashabih”, iaitu ayat yang mengelirukan maknanya.

Pada istilah: Nama perawi sama pada sebutan dan tulisan tetapi berbeza nama bapa mereka pada lafaz sahaja tidak pada tulisan atau sebaliknya.

Contoh-contoh

Muhammad bin `Uqayl, dengan huruf `ain berbaris hadapan dan Muhammad bin `Aqil, dengan huruf `ayn berbaris atas.  Walaupun mempunyai nama sama perawi tetapi berbeza nama bapa.

Shurayh bin al-Nu’man dan Surayj bin al-Nu’man, berbeza nama perawi tetapi sama nama bapa.

Faedah

Terserlah faedah tentang bahagian ini ketika mana mencatat nama para perawi, tidak terkeliru dalam menyebutkannya dan tidak terjerumus dalam “tashif” dan “waham”.

Bahagian-Bahagian Lain Bagi Al-Mutashabih

Ada beberapa bahagian lain bagi “al-Mutashabih” dan di sini penulis hanya menyebutkan yang terpenting sahaja.

  1. Sama nama perawi dan nama bapa kecuali pada satu atau dua huruf seperti Muhammad bin Hunayn dan Muhammad bin Jubayr.
  2. Atau sama nama perawi dan nama bapa pada tulisan dan sebutan tetapi berbeza dari segi dahulu dan kemudian:
  3. Sama ada pada dua nama secara keseluruhan seperti al-Aswad bin Yazid dan Yazid bin al-Aswad.
  4. Atau pada setengah huruf seperti Ayyub bin Sayyar dan Ayyub bin Yasar.

Kitab-Kitab Yang Terkenal

  1. “Talkhis al-Mutashabih Fi al-Rasm Wa Himayah Ma Ashkala Minhu `An Bawadir al-Tashif Wa al-Wahm” oleh al-Khatib al-Baghdadi.
  2. “Tali al-Talkhis”, juga karangan al-Khatib al-Baghdadi. Kitab ini merupakan pelengkap atau tambahan kepada kitab terdahulu.  Kedua-dua kitab ini sangat berharga dan tidak pernah ditulis satu kitab dalam bab ini sepertinya.

AL-MUHMAL

Definisi

Pada bahasa, kata nama pelaku daripada “al-Ihmal” dengan makna meninggalkan. Seolah-olah perawi meninggalkan nama tanpa menyebutkan sesuatu yang membezakannya daripada yang lain.  Pada istilah, perawi meriwayatkan daripada dua orang perawi yang sama pada nama sahaja atau sama juga pada nama bapa atau sebagainya dan kedua-dua mereka itu tidak dapat dibezakan antara satu sama lain dengan sesuatu yang menjadi ciri khusus mereka berdua.

Bilakah “Ihmal” Menjejaskan Kesahihan Hadis

Sekiranya salah seorang mereka itu thiqah sementara seorang lagi dha’if kerana kita tidak mengetahui siapakah orang yang diambil riwayat daripadanya di sini.  Boleh jadi diriwayatkan daripada perawi yang dhaif, maka dengan sebab itu hadis itu menjadi dhaif. Adapun, jika kedua-duanya itu thiqah maka “ihmal” itu tidak menjejaskan kesahihan hadis kerana daripada siapapun hadis itu diriwayatkan maka hadis itu tetap sahih.

Contohnya:

  1. Apabila kedua-dua perawi itu thiqah, hadis yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari daripada riwayat Ahmad-tanpa dinisbahkan kepada sesiapa daripada Ibn Wahb, kerana ia sama ada Ahmad bin Salih atau Ahmad bin `Isa, mereka berdua itu adalah perawi yang thiqah.
  2. Apabila salah seorang thiqah dan seorang lagi dhaif; Sulayman bin Dawud dan Sulayman bin Dawud.  Jika seorang itu al-Khawlani maka dia adalah seorang yang thiqah dan jika seorang lagi al-Yamani maka dia merupakan seorang yang dhaif.

Perbezaan Antara “Al-Muhmal”  Dan “Al-Mubham”  

Perbezaan antara “al-Muhmal” dan “al-Mubham” ialah yang pertama disebutkan nama tetapi tidak dapat ditentukan siapa dan dan yang kedua, tidak disebutkan namanya.

Kitab-Kitab Yang Terkenal

“Kitab al-Mukmal Fi Bayan al-Muhmal”

MENGENALI “AL-MUBHAMAT”

Definisi Pada bahasa: “al-Mubhamat”  jama’ kepada “mubham” iaitu kata nama pelaku daripada perkataan “al-Ibham”, mengaburkan, lawan kepada “al-Idah”, menjelaskan.

Pada istilah, perawi yang disamarkan namanya pada matan atau pada sanad atau seseorang yang mempunyai kaitan dengan riwayat.

Faedah Mengkajinya

Sekiranya “ibham” itu pada sanad: dapat mengenali perawi jika dia seorang thiqah atau dhaif maka dapat dinilai hadisnya sebagai sahih atau dhaif. Sekiranya pada matan, maka banyak faedah yang diperolehi, yang paling jelas ialah mengenali tuan cerita atau orang yang bertanya sehingga jika disebutkan keutamaannya dalam hadis itu maka kita dapat mengetahui kelebihannya.  Jika sebaliknya, dengan mengetahuinya akan selamat daripada sangkaan terhadap orang lain dari kalangan sahabat-sahabat yang utama.

Bagaimana “al-Mubham” Dikenali

“Al-Mubham” dikenali dengan salah satu cara ini:

  1. Perawi itu disebutkan namanya dalam setengah riwayat lain.
  2. Kebanyakan nama perawi “mubham” itu disebutkan dengan jelas oleh ulama sirah.

Bahagian-Bahagian “Mubham”

Berdasarkan kepada tahap ketidakjelasan, “ibham”  terbahagi kepada empat dan penulis akan memulakan bahagian “mubham” yang paling kabur.

  1. Lelaki atau perempuan seperti hadis Ibn `Abbas bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah haji itu setiap tahun? Lelaki ini adalah al-Aqra’ bin Habis.
  2. Anak lelaki atau anak perempuan.  Termasuk dalam kategori ini ialah saudara lelaki, saudara perempuan, anak saudara lelaki dan anak saudara perempuan, seperti hadis Ummu `Atiyyah berhubung dengan memandikan anak perempuan Rasulullah s.a.w. dengan air dan daun bidara.  Beliau ialah Zaynab r.a.
  3. Bapa saudara dan ibu saudara.  Termasuk dalam kategori ini ialah bapa saudara sebelah bapa, sebelah ibu, sepupu-sepapat.  Contohnya hadis Rafi’ bin Khadij daripada bapa saudaranya sebelah bapa tentang larangan “mukhabarah” (iaitu memberikan tanah kepada seseorang untuk bercucuk tanam dengan sebahagian daripada hasil tanaman itu diberikan kepadanya-pent).   Nama bapa saudara beliau ialah Zuhayr bin Rafi’.  Hadis tentang ibu saudara Jabir (sebelah bapa) yang menangisi bapanya yang terbunuh dalam peperangan Uhud, namanya ialah Fatimah binti `Amar.
  4. Suami dan isteri seperti hadis dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tentang kematian suami Subai’ah.  Nama suaminya ialah Sa’d bin Khawlah.  Hadis tentang isteri `Abdul Rahman bin al-Zubayr yang dahulunya isteri kepada Rifa’ah al-Qurazi yang diceraikannya, namanya Tamimah binti Wahb.

Kitab-Kitab Yang Masyhur

Ramai ulama yang mengarang kitab tentang mubhamat antaranya `Abd al-Ghani bin Sa’id, al-Khatib, al-Nawawi.  Kitab yang paling baik dan lengkap ialah “al-Mustafad Min Mubhamat al-Matn Wa al-Isnad” oleh Waliyuddin al-`Iraqi.

MENGENALI PERAWI-PERAWI “AL-WUHDAN”

Pada bahasa: “al-Wuhdan” ialah jama’ kepada “wahid” iaitu satu.  Pada istilah: perawi-perawi yang tidak ada orang yang meriwayatkan daripada mereka kecuali seorang perawi sahaja.

Faedah

Mengenali perawi “majhul al-Ayn” dan ditolak riwayatnya jika beliau bukan sahabat.

Contoh:

  1. Dari kalangan sahabat: Amr bin Mudarris, tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali al-Sha’bi dan al-Musayyab bin Hazn, tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali anaknya Sa’id.
  2. Dari kalangan tabi’in: Abu al-Ushara’, tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali Hammad bin Salamah.

Adakah Imam al-Bukhari Dan Iman Muslim Mengeluarkan Hadis Dalam Kitab Mereka Berdua Daripada Perawi Wuhdan?

Dalam “Kitab al-Madkhal”, al-Hakim menyebutkan bahawa Imam al-Bukhari dan Imam Muslim tidak mengeluarkan hadis dalam kitab mereka berdua daripada mana-mana perawi “wuhdan”.

Tetapi majoriti ahli hadis berpendapat bahawa dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim terdapat banyak hadis yang diriwayatkan daripada perawi-perawi “wuhdan”, antaranya ialah:

  1. Hadis al-Musayyab tentang kematian Abu Talib, Imam al-Bukhari dan Muslim memasukkanya dalam kitab mereka berdua.
  2. Hadis Qays bin Hazim daripada Mirdas; orang-orang soleh pergi seorang demi seorang. Tidak ada yang meriwayatkan hadis ini daripada Mirdas kecuali Qays. Hadis ini telah dimasukkan oleh al-Bukhari dalam kitab sahihnya.

Kitab-Kitab Yang Terkenal

“Al-Mufradat dan al-Wuhdan” oleh Imam Muslim.

MENGENALI PERAWI YANG DISEBUTKAN DENGAN PELBAGAI NAMA DAN SIFAT YANG BERBEZA  

Ta’rif

Iaitu perawi yang disifatkan dengan beberapa nama, gelaran atau “kuniah” yang berbeza, seorang individu atau beberapa orang.

Contoh

Muhammad bin al-Sa’id al-Kalbi.  Sesetengah orang menamakannya Abu al-Nadr dan setengah pula menamakannya Hammad bin al-Sa’ib dan ada juga yang menamakannya Abu Sa’id.

Faedah

  1. Tidak terkeliru pada menentukan nama-nama individu yang sama dan tidak menyangka bahawa dia lebih daripada seorang (individu yang berlainan).
  2. Mendedahkan “tadlis al-Shuyukh” Al-Khatib al-Baghdadi banyak meletakkan pelbagai nama pada syeikh-syeikhnya. Beliau meriwayatkan dalam kitabnya daripada Abu al-Qasim al-Azhari, `Ubaydullah bin Abi al-Fath al-Farisi, `Ubaydullah bin Ahmad bin `Uthman al-Sayrafi.  Kesemua nama-nama itu adalah orang yang sama.

Kitab-Kitab Yang Paling Masyhur

  1. “Idah al-Ishkal” oleh Hafiz `Abdul Ghani bin Sa’id
  2. “Mudih Awham al-Jam’ Wa al-Tafriq” oleh al-Khatib al-Baghdadi

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 37

Mustalah Al Hadith – Sesi 37 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 07- Feb-16

MENGENALI TABI’IN

Definisi al-Tabi’in

Dari sudut bahasa, al-Tabi’in jama’ kepada “taabi’ii” atau “tabi’ ” iaitu orang yang mengikuti.  Al-Tabi’ ialah kata nama pelaku daripada kata kerja “tabi’ahu” dengan erti berjalan di belakangnya.

Pada istilah, orang yang menemui seorang sahabat dan meninggal dunia dalam keadaan Islam.   Ada juga yang mengatakan tabi’i ialah orang yang mendampingi sahabat.

Faedah Mengetahui

Dengan mengetahui seseorang itu dapat membezakan antara riwayat “mursal” dan “muttasil”.

Tabaqat Tabi’in

Ulama berbeza pendapat berhubung bilangan tabaqat tabi’in.  Mereka mempunyai cara pembahagian masing-masing.

  1. Imam Muslim membahagikan kepada tiga kelas.
  2. Ibn Sa’ad membahagikan kepada empat kelas.
  3. Al-Hakim membahagikan kepada 15 kelas, yang pertama ialah mereka yang sempat bertemu dengan 10 sahabat yang diberi jaminan syurga.

Mukhadramuun

Mukhadramuun adalah kata jama’ kepada “mukhadram” iaitu orang yang berada di zaman jahiliah, sezaman dengan Rasulullah s.a.w, memeluk Islam tetapi tidak berkesempatan melihat baginda.  Mengikut pendapat yang sahih, “mukhadhram” termasuk dalam kategori tabi’in. Bilangan mereka lebih kurang 20 orang sebagaimana yang dihitung oleh Imam Muslim. Tetapi mengikut pendapat-pendapat yang sahih bilangan mereka itu lebih lagi.  Antara mereka ialah Abu `Uthman al-Nahdi dan al-Aswad bin Yazid al-Nakha’i.

Tujuh Fuqaha’ di Madinah

Di antara tokoh-tokoh utama tabi’in ialah tujuh orang fuqha’.  Mereka semuanya adalah ulama’ besar dari kalangan penduduk Madinah.  Mereka ialah Sa’id bin al-Musayyab, al-Qasim bin Muhammad, `Urwah bin al-Zubayr, Kharijah bin Zayd, Abu Salamah bin `Abdul Rahman, `Ubaydullah bin `Abdullah bin `Utbah dan Sulayman bin Yasar. (Nota: Ibnu Mubaarak menyebutkan Salim Bin Abdullah bin Umar pada tempat  Abu Salamah. Abu Zinad pula mengatakan Abu Bakar Bin Abdullah pada tempat Salim Bin Abdullah Bin Umar dan Abu Salamah).

Tabi’in Yang Paling Mulia

Ada beberapa pendapat ulama tentang siapakah tabi’in yang paling utama. Pendapat yang masyhur ialah Sa’id bin al-Musayyab. Abu `Abdullah Muhammad bin Khafif al-Shirazi mengatakan penduduk Madinah mengatakan tabi’in yang paling utama ialah Sa’id bin al-Musayyab. Penduduk Kufah mengatakan Uways al-Qarni dan penduduk Basrah mengatakan al-Hasan al-Basri.

Tabi’iyyat Yang Paling Utama

Abu Bakar bin Abu Dawud mengatakan, dua orang penghulu tabi’iyyat ialah Hafsah binti Sirin dan `Amrah binti `Abdul Rahman, kemudian diikuti oleh Ummu al-Darda’.

Karangan Yang Paling Terkenal

“Kitab Ma’rifah al-Tabi’in” karangan Abu al-Mutarrif bin Futays al-Andalusi.

MENGENALI AL-IKHWAH WAL AL-AKHAWAT

Prakata

Ilmu ini merupakan salah satu cabang ilmu yang diberikan perhatian oleh ulama hadis dan mereka menulis khusus tentangnya. Iaitu mengenali “al-Ikhwah Wa al-Akhawat”, yakni mengenali saudara-saudara perawi pada setiap tabaqat. Penulisan khusus tentang pengetahuan ini menunjukkan bahawa betapa ulama hadis memberi perhatian khusus kepada para perawi, nisbah, saudara-saudara mereka dan perkara-perkara lain sebagaimana akan dibincangkan nanti.

Faedah Mengetahui

Antara faedahnya ialah supaya tidak dianggap adik beradik perawi yang mempunyai nama bapa yang sama. Seperti `Abdullah bin Dinar dan `Amar bin Dinar, orang yang tidak mengetahui akan menyangka bahawa mereka berdua adik beradik sedangkan sebenarnya tidak walaupun nama bapa mereka sama.

Contoh-contoh:

  1. Dua bersaudara, di kalangan sahabat, `Umar dan Zayd anak-anak al-Khattab.
  2. Tiga bersaudara, di kalangan sahabat, `Ali, Ja’far, `Aqil anak-anak Abu Talib.
  3. Empat bersaudara, di kalangan pengikut tabi’in, Suhayl, `Abdullah, Muhammad, Salih anak-anak Abi Salih.
  4. Lima bersaudara, di kalangan pengikut tabi’in, Sufyan, Adam, `Imran, Muhammad dan Ibrahim anak-anak `Uyaynah.
  5. Enam bersaudara, dikalangan tabi’in, Muhammad, Anas, Yahya, Ma’bad, Hafsah dan Karimah anak-anak Sirin.
  6. Tujuh bersaudara, di kalangan sahabat, al-Nu’man, Ma’qil, `Uqayl, Suwayd, Sinan, `Abdul Rahman dan `Abdullah anak-anak Muqarrin. Ketujuh-tujuh mereka ini adalah sahabat yang telah berhijrah ke Madinah. Tidak ada sesiapapun yang memiliki kemuliaan ini seperti mereka. Dikatakan mereka semuanya menyertai peperangan Khandaq.

Kitab-Kitab Yang Paling Terkenal

  1. “Kitab al-Ikhwah” oleh Abu al-Mutarrif bin Futays al-Andalusi.
  2. “Kitab al-Ikhwah” oleh Abu al-`Abbas al-Sarraj.

AL-MUTTAFIQ WA AL-MUFTARIQ

Pada bahasa: “al-Muttafiq” kata nama pelaku daripada “al-Ittafaq” (persamaan, kesepakatan) manakala “al-muftariq” pula kata nama pelaku daripada “al-Iftiraq” (perbezaan) lawan kepada “al-Ittafaq”.

Pada istilah: Persamaan atau kebetulan serupa beberapa nama perawi dan bapa mereka secara tulisan dan sebutan tetapi berlainan individu. Termasuk dalam perkara ini juga persamaan nama dan kuniah mereka, nama dan nisbah atau lain-lain.

Contoh:

  1. Al-Khalil bin Ahmad, terdapat enam orang perawi yang memiliki nama ini, orang yang pertama ialah al-Khalil, guru kepada Sibawayh.
  2. Ahmad bin Ja’far bin Hamdan empat orang yang sezaman.
  3. `Umar bin al-Khattab, ada enam individu.

Kepentingan Dan Faedahnya

Mengetahui bahagian ini amat penting kerana ramai ulama yang besar telah tergelincir disebabkan ketidaktahuan mereka. Antara faedahnya ialah:

  1. Supaya tidak menyangka individu-individu yang mempunyai nama yang serupa itu sebagai orang sama sedangkan mereka itu ramai. Bahagian ini merupakan lawan kepada “al-Muhmal” yang dibimbangi seorang individu dianggap sebagai dua orang.
  2. Membezakan perawi-perawi yang memiliki nama yang sama. Kemungkinan salah seorang mereka itu thiqah dan seorang lagi dha’if lalu menyebabkan dia mendha’ifkan hadis yang sahih atau sebaliknya.

Bilakah Elok Mengemukakannya

Elok mengemukakannya apabila dua orang perawi atau lebih yang serupa nama mereka dan mereka itu sezaman, serta berkongsi pada setengah syeikh atau sesetengah perawi daripada mereka.

Sekiranya mereka itu berada di zaman yang berjauhan maka tidak ada kemusykilan pada nama-nama mereka.

Kitab-Kitab Yang Terkenal Tentang Bahagian Ini

  1. “Kitab al-Muttafiq Wa al-Muftariq” oleh al-Khatib al-Baghdadi, sebuah kitab yang besar dan sangat bernilai.
  2. “Kitab al-Ansab al-Muttafiqah” oleh al-Hafiz Muhammad bin Tahir, meninggal dunia pada tahun 508H. Kitab ini khusus tentang al-Muttafiq.

AL-MU’TALIF WA AL–MUKHTALIF

Bahasa: al-Mu’talif kata nama pelaku daripada “al-I’tilaf” (berkumpul, bertemu) lawan kepada “al-nufrah” (liar, berjauhan). “Al-mukhtalif” pula kata nama pelaku daripada “al-Ikhtila”f (perbezaan) lawan kepada “al-Ittafaq”.

Istilah: Nama, gelaran, kuniah atau nisbah sama pada tulisan tetapi berbeza pada lafaz. 308

Contoh:

  1. “Salam” dan “Sallam”, yang pertama tanpa “tashdid” dan yang kedua dengan “tashdid”.
  2. “Miswar” dan “Musawwar”, yang pertama dengan baris bawah pada huruf “mim” dan baris mati pada huruf “sin” dan “waw” tanpa tashdid. Yang kedua dengan baris hadapan pada huruf “mim”, baris atas pada huruf “sin” dan tashdid pada huruf “waw”.
  3. “Al-Bazzaz” dan “al-Bazzar”, yang pertama huruf akhirnya adalah “zai” dan yang kedua huruf akhirnya adalah “ra”.
  4. “Al-Thawri” dan “al-Tawwazi”, yang pertama dengan huruf “tha” dan “ra” dan yang kedua dengan huruf “ta” dan “zai”.

Adakah Ia Mempunyai Kayu Ukur Tertentu?

  1. Kebanyakannya tidak mempunyai kriteria tertentu kerana ia banyak tersebar tetapi dapat ditentukan dengan hafalan. Setiap nama itu ada sifatnya tersendiri.
  2. Ada juga nama perawi yang mempunyai kriteria dan ini terbahagi kepada dua:
  3. Nama yang mempunyai penentu dengan nisbah kepada satu kitab yang khusus atau beberapa buah kitab yang khusus. Seperti kita mengatakan setiap perawi bernama “Yasar” yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan al-Muwatta’ maka dia adalah Yasar, dengan huruf “ya’ ” dan “sin” kecuali Muhammad bin Bashshar, yang dieja dengan huruf “ba` ” dan “shin”.
  4. Nama yang mempunyai penentu secara umum, yakni tidak merujuk kepada kitab-kitab tertentu seperti, “Sallam”, semuanya dengan “tashdid” huruf “lam” kecuali lima orang perawi sahaja.

Kepentingan Dan Faedahnya

Mengenali bahagian ini merupakan tugas penting ilmu “rija”l sehingga `Ali bin al-Madini berkata: “Tashif” yang paling berat adalah yang terjadi pada nama para perawi kerana ia sesuatu yang tidak boleh diqiyaskan dan tidak ditunjukkan oleh sesuatu sebelumnya mahupun selepasnya. Faedahnya ialah dapat mengelakkan daripada tersilap dan melakukan kesalahan membaca nama perawi.

Kitab-Kitab Yang Terkenal

  1. “Al-Mu’talif Wa al-Mukhtalif” oleh `Abd al-Ghani bin Sa’id
  2. “Al-Ikmal” oleh Ibn Makula dan tambahannya oleh Abu Bakar bin Nuqtah.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 36

Mustalah Al Hadith – Sesi 36 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 31- Jan-16

-Sahabat Yang Paling Banyak Meriwayatkan Hadis

Sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis ialah enam orang mereka ialah:

  1. Abu Hurairah, meriwayatkan sebanyak 5374 hadis dan jumlah perawi yang meriwayatkan daripada beliau lebih 300 orang.
  2. Ibn `Umar, meriwayatkan sebanyak 2630 hadis
  3. Anas bin Malik, meriwayatkan sebanyak 2286 hadis
  4. `A’ishah, meriwayatkan sebanyak 2210 hadis
  5. Ibn `Abbas, meriwayatkan sebanyak 1660 hadis
  6. Jabir bin `Abdullah, meriwayatkan sebanyak 1540 hadis

Sahabat Yang Paling Banyak Memberi Fatwa

Sahabat yang paling banyak memberi fatwa ialah Ibn `Abbas kemudian diikuti oleh sahabat-sahabat besar yang lain seramai enam orang sebagaimana yang disebutkan Masruq: “Ilmu para sahabat berakhir kepada enam orang, `Umar, `Ali, Ubay bin Ka’b, Zayd bin Thabit, Abu al-Darda’ dan Ibn Mas’ud kemudian berakhir kepada `Ali dan Ibn Mas’ud.

Siapakah al-`Abadilah?

Yang dimaksudkan dengan al-’Abadilah ialah sahabat yang bernama `Abdullah dan bilangan mereka mencapai 300 orang. Tetapi yang dimaksudkan di sini ialah empat orang sahabat yang bernama `Abdullah iaitu `Abdullah bin `Umar; `Abdullah bin `Abbas, `Abdullah bin al-Zubayr dan `Abdullah bin `Amr bin al-`As.

Keistimewaan mereka ialah kerana mereka merupakan ulama sahabat yang lewat meninggal dunia sehingga ilmu mereka itu diperlukan. Maka dengan itu mereka memiliki keistimewaan dan kemasyhuran. Apabila mereka bersepakat dalam fatwa maka dikatakan ini adalah pendapat al-`Abadilah.

Bilangan Sahabat

Tidak ada satu penjumlahan yang tepat tentang bilangan sahabat.  Bagaimanapun ada beberapa pendapat ahli ilmu yang menunjukkan mereka itu lebih daripada 100,000 orang.

Pendapat yang paling masyhur ialah pendapat Abu Zur’ah al-Razi, katanya: `Rasulullah s.a.w. wafat dengan meninggalkan 114 000 yang mendengar dan meriwayatkan hadis daripada baginda.

Bilangan Tabaqat Sahabat

Ulama berbeza pendapat berhubung dengan tabaqat sahabat.  Ada yang membahagikan berdasarkan kepada dahulunya memeluk Islam, hijrah atau menyertai sesuatu peristiwa penting.  Ada juga ulama menentukan tabaqat berdasarkan perkiraan lain.  Semuanya itu menurut ijtihad masing-masing.

  1. Ibnu Sa’ad membahagikan kepada lima tabaqat
  2. Al-Hakim membahagikan kepada dua belas tabaqat

Sahabat Yang Paling Utama

Sahabat yang paling utama secara mutlak ialah Abu Bakar al-Siddiq. Kemudian Umar al-Khattab dengan ijma’ orang Islam.  Kemudian diikuti dengan `Uthman kemudian `Ali mengikut pendapat jumhur Ahli Sunnah kemudian sahabat sepuluh yang dijamin syurga (Nota: Kesemua sahabat berdasarkan ayat-ayat Quran dijamin masuk syurga-At Taubah, ayat 100. Yang dimaksudkan di sini ialah jaminan kepada sepuluh orang sahabat itu disebutkan secara khusus dalam satu hadis), kemudian ahli Badr kemudian ahli Uhud dan ahli Bay’ah Ridwan.

Sahabat Pertama Memeluk Islam

  1. Dari kalangan lelaki yang merdeka: Abu Bakar al-Siddiq.
  2. Dari kalangan kanak-kanak: `Ali bin Abi Talib
  3. Dari kalangan wanita: Khadijah, Ummu al-Mu’minim
  4. Dari kalangan hamba bebasan: Zayd bin Harithah
  5. Dari kalangan hamba: Bilal in Rabah

Sahabat Terakhir Meninggal Dunia

Sahabat terakhir meninggal dunia ialah Abu al-Tufayl `Amir bin Wathilah al-Laythi. Beliau meninggal dunia pada tahun 100H di Mekah.  Malah dikatakan kemudian daripada itu lagi.  Sahabat yang terakhir meninggal pada tahun 93 H di Basrah.

Kitab-Kitab Yang Masyhur Tentang Sahabat

  1. “Al-Isaabah Fi Tamyiz al-Sahabah” oleh Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani.
  2. “Usd al-Ghabah Fii Ma’rifah al-Sahaabah” oleh `Ali bin Muhammad al-Jazari yang terkenal dengan Ibn al-Athir.
  3. “Al-Istii’aab Fii Asmaa’ al-Ashaab” oleh Ibnu `Abd al-Barr