VIDEO – [Durasi – 13m 36s] – [ZAKAT] – Siri 4 – Apakah Itu “Kanz”? & Zakat Perhiasan [VIDEO TEMATIK HADITH]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/ZqG0-GdtODM ]
Video penuh asal – • Sesi 2 – Kadar Harta Yang Dikenakan Zakat … [Sunan Abi Daud (Kitab Zakat]
[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
APAKAH ITU “KANZ”? & ZAKAT PERHIASAN
باب الْكَنْزِ مَا هُوَ وَزَكَاةِ الْحُلِيِّ
حَدَّثَنَا أَبُو كَامِلٍ، وَحُمَيْدُ بْنُ مَسْعَدَةَ، – الْمَعْنَى – أَنَّ خَالِدَ بْنَ الْحَارِثِ، حَدَّثَهُمْ حَدَّثَنَا حُسَيْنٌ، عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ، أَنَّ امْرَأَةً، أَتَتْ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَمَعَهَا ابْنَةٌ لَهَا وَفِي يَدِ ابْنَتِهَا مَسَكَتَانِ غَلِيظَتَانِ مِنْ ذَهَبٍ فَقَالَ لَهَا ” أَتُعْطِينَ زَكَاةَ هَذَا ” . قَالَتْ لاَ . قَالَ ” أَيَسُرُّكِ أَنْ يُسَوِّرَكِ اللَّهُ بِهِمَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ سِوَارَيْنِ مِنْ نَارٍ ” . قَالَ فَخَلَعَتْهُمَا فَأَلْقَتْهُمَا إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَقَالَتْ هُمَا لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَلِرَسُولِهِ .
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عِيسَى، حَدَّثَنَا عَتَّابٌ، – يَعْنِي ابْنَ بَشِيرٍ – عَنْ ثَابِتِ بْنِ عَجْلاَنَ، عَنْ عَطَاءٍ، عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، قَالَتْ كُنْتُ أَلْبَسُ أَوْضَاحًا مِنْ ذَهَبٍ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَنْزٌ هُوَ فَقَالَ “ مَا بَلَغَ أَنْ تُؤَدَّى زَكَاتُهُ فَزُكِّيَ فَلَيْسَ بِكَنْزٍ ” .
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِدْرِيسَ الرَّازِيُّ، حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ الرَّبِيعِ بْنِ طَارِقٍ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ، عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي جَعْفَرٍ، أَنَّ مُحَمَّدَ بْنَ عَمْرِو بْنِ عَطَاءٍ، أَخْبَرَهُ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَدَّادِ بْنِ الْهَادِ، أَنَّهُ قَالَ دَخَلْنَا عَلَى عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ دَخَلَ عَلَىَّ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَرَأَى فِي يَدِي فَتَخَاتٍ مِنْ وَرِقٍ فَقَالَ ” مَا هَذَا يَا عَائِشَةُ ” . فَقُلْتُ صَنَعْتُهُنَّ أَتَزَيَّنُ لَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ . قَالَ ” أَتُؤَدِّينَ زَكَاتَهُنَّ ” . قُلْتُ لاَ أَوْ مَا شَاءَ اللَّهُ . قَالَ ” هُوَ حَسْبُكِ مِنَ النَّارِ ”
حَدَّثَنَا صَفْوَانُ بْنُ صَالِحٍ، حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ مُسْلِمٍ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ عُمَرَ بْنِ يَعْلَى، فَذَكَرَ الْحَدِيثَ نَحْوَ حَدِيثِ الْخَاتَمِ . قِيلَ لِسُفْيَانَ كَيْفَ تُزَكِّيهِ قَالَ تَضُمُّهُ إِلَى غَيْرِهِ .
Apakah itu “Kanz”? & Zakat Perhiasan
Hadith Pertama – Dengan sanadnya, Imam Abu Daud meriwayatkan daripada ‘Amr bin Shu’aib daripada ayahnya daripada datuknya bahawa ada seorang perempuan pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. Bersama-samanya ada seorang anak perempuannya. Di tangan anak perempuannya ada dua utas (gelang) emas yang tebal. Nabi s.a.w. bertanya, “Adakah kamu memberikan zakat gelang ini?”. Katanya, “Tidak”. Maka Nabi s.a.w. bersabda, “Sukakah kamu kalau Allah jadikan dua gelang ini sebagai gelang dari api pada hari kiamat nanti?”. Perawi berkata, maka perempuan tadipun mencabut kedua-duanya dan diberikannya kedua-dua gelang tadi kepada Nabi s.a.w sambil berkata, “Dua utas gelang saya ini untuk Allah dan Rasul-Nya”.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Ummi Salamah katanya: Saya selalu memakai perhiasan daripada emas. Kerananya saya bertanya, “Wahai Rasulullah! Adakah ia termasuk dalam “kanz” (simpanan yang diharamkan, atau harta milik kita yang diharamkan)?”. Rasulullah s.a.w. menjawab, “Sesuatu yang sampai kepada peringkat perlu ditunaikan zakatnya, lalu ditunaikan zakatnya, maka ia bukan lagi “kanz” (bukan yang terlarang)”.
Hadith ketiga – Dengan sanadnya, Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Abdullah bin Syaddad bin al-Had, katanya: Kami masuk menemui Aisyah, isteri Nabi s.a.w., beliau menceritakan pernah Rasululullah s.a.w. masuk ke rumah saya, dilihatnya pada tangan saya ada beberapa bentuk cincin perak. Terus Baginda berkata, “Apa ini Aishah?”. Saya berkata, “Saya buat semua ini untuk saya berhias keranamu, wahai Rasulullah”. Rasulullah s.a.w. bertanya, “Adakah kamu tunaikan zakatnya?”. Saya jawab, “Tidak (atau lain-lain perkataan yang lebih kurang begitu maksudnya)”. Nabi s.a.w. bersabda, “Cukuplah ini menjadi sebab kepada engkau mendapat api neraka”.
Hadith keempat – Dengan satu sanad lain untuk haidth “cincin” (Aishah r.ha) sebelum ini, ada tambahan: Ada seseorang berkata kepada Sufyan, “Bagaimana akan engkau tunaikan zakatnya (kerana cincin tersebut adalah ringan dan tidak sampai nisabnya)”. Sufyan menjawab, “Kamu campurkannya dengan yang lain-lain”. . [Ringkasan] Apakah Itu “Kanz” & Zakat Perhiasan
[Ringkasan] Apakah Itu “Kanz”? & Zakat Perhiasan
1. Apakah yang dimaksudkan dengan “kanz” sebagaimana yang disebut dalam ayat al-Quran (Surah at-Taubah, ayat 34 & 35)? Ayat al-Quran tersebut bermaksud, “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan (“kanz”) untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu”. Kita dikehendaki mengeluarkan “kanz” dari harta tersebut untuk mengelakkan daripada diazab. Dalam bab ini juga dibincangkan tentang zakat perhiasan.
2. Dalam hadith pertama, seorang perempuan terus memberi gelang emas yang dipakai oleh anak perempuannya untuk Allah dan Rasul bila diberi amaran oleh Nabi s.a.w. yang gelang emas tersebut akan menjadi gelang dari api neraka jika tidak dikeluarkan zakatnya.
3. Manakala hadith Aishah r.ha pula (hadith ketiga), Nabi bertanya Aishah sama ada mengeluarkan zakat atau tidak untuk cincin perak yang dipakainya. Bila Aishah r.ha menjawab tidak, Nabi lalu memberi amaran bahawa kesalahan itu sudah cukup untuk menyebabkan seseorang masuk neraka.
4. Berkaitan hadith Aishah tentang cincin sebelum ini, ada seseorang bertanya kepada Sufyan, adakah cincin atau gelang yang tidak sampai nisabnya juga diwajibkan zakat, Sufyan menjawab, ianya perlu dicampurkan dengan emas atau perak yang lain sehingga cukup nisab. Ini bermaksud bahawa, cincin dan gelang perak atau emas yang dijadikan perhiasan pun wajib dikeluarkan zakat.
5. Imam Abu Daud di dalam kitab Sunannya membawakan hadith-hadith yang menjadi sandaran kepada perkara-perkara yang diperselisihkan (khilaf) oleh ulama’. Dalam bab ini dibawakan hadith-hadith yang menjadi hujjah kepada ulama’ yang berpendapat perhiasan emas dan perak perlu dikeluarkan zakat, iaitu hadith perempuan dan anaknya, hadith Aishah dan hadith Sufyan. Manakala hadith Ummi Salamah lebih menunjukkan tiada zakat perhiasan (walaupun ianya tidak begitu jelas). Dalam hal ini, Imam Abu Daud lebih cenderung dengan pendapat bahawa perhiasan emas dan perak perlu dikeluarkan zakat. Ini adalah berkaitan perhiasan dari emas dan perak seperti cincin dan gelang yang dipakai, manakala perhiasan yang disimpan dan tidak dipakai dianggap sebagai harta simpanan dan bukannya perhiasan dan ianya wajib dikeluarkan zakat.
6. Ada segolongan ulama’ yang berpendapat perhiasan emas dan perak yang dipakai tidak dikenakan zakat.
7. Dua golongan utama ulama’ berbeza pendapat sebagaimana berikut,
i. Perhiasan emas dan perak wajib dikeluarkan zakat. Ulama’ yang berpendapat begini ialah: Imam Abu Hanifah dan Imam Sufyan at-Tsauri. Di kalangan Sahabat dan generasi seterusnya ialah Saidina Umar al-Khattab, Ibnu Mas’ud, Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Said Ibnu Musayyab, Said bin Jubair, Ata’, Muhammad bin Sirin dl
ii. Perhiasan emas dan perak tidak wajib dikeluarkan zakat. Ulama’ yang tergolong di dalam kelompok kedua ini ialah Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal, Ishaq, Imam Shafie (dalam salah satu pendapatnya yang lebih kuat, pendapat “qaul qadim”). Ini juga pendapat Ibnu Umar, Jabir bin Abdillah, Aishah dll.
8. Laits bin Saad (Imam orang-orang Mesir) berpendapat, jika perhiasan itu dipakai atau diberi pinjam kepada orang lain tidak dikenakan zakat, tetapi jika disimpan ianya dikenakan zakat. Sementara itu Anas bin Malik berkata, zakat perhiasan hanya perlu dikeluarkan sekali sahaja.
9. Di dalam kitab Subulus Salam (syarah kitab Bulughul Maram) dinyatakan ada empat pendapat dalam masalah ini iaitu,
i. wajib zakat mengikut mazhab Zaidiah, dan salah satu pendapat Imam Shafie. Ianya berdasarkan zahir hadith-hadith dalam bab ini
ii. tidak wajib zakat mengikut pendapat Imam Malik, Ahmad bin Hanbal dan salah satu pendapat Imam Shafie. Ada juga atsar (nukilan) dari Sahabat-Sahabat yang menunjukkan tidak wajib zakat perhiasan,
iii) zakat perhiasan ialah dengan memberi pinjam perhiasan tersebut, bukan dengan mengeluarkan harta. Ianya diriwayatkan daripada Anas Bin Malik dan Asma’ binti Abu Bakar.
iv) tidak wajib zakat, kecuali sekali sahaja. Ini adalah riwayat daripada Anas.
10. Ulama’-ulama’ mazhab Shafie berpendapat, tidak dikenakan zakat jika ianya digunakan sebagai perhiasan.
11. Faedah yang diperolehi jika zakat dikenakan kepada perhiasan ialah orang miskin mendapat manfaatnya.
12. Bagi mereka yang berpendapat zakat tidak wajib untuk perhiasan emas dan perak, walaupun hadith yang mewajibkannya adalah sahih tetapi pada mereka, ianya merujuk ketika suatu ketika di peringkat permulaan Islam di mana umat Islam miskin dan susah. Bila keadaan orang Islam berubah dan senang kemudiannya, hukum wajib ini berubah. Mereka juga beralasan bahawa perhiasan adalah suatu keperluan manusia sebagaimana manusia memerlukan kenderaan. Pada mereka, keperluan manusia tidak sepatutnya dikenakan zakat. Ada juga berpendapat, ancaman neraka adalah kerana dalam keadaan orang lain yang susah, adalah tidak sesuai kita bermewah-mewah dan berhias.
13. Syarat untuk tidak dikenakan zakat ialah perhiasan tersebut hendakalh dipakai (walaupun hanya sekali sekala atau bila diperlukan sahaja). Jika tidak dipakai, ianya dianggap sebagai harta simpanan dan perlu dikeluakan zakat.
14. Kita bebas memilih mana-mana pendapat dari ulama’-ulama’ muktabar dalam hal ini.
