VIDEO – [Durasi – 8m 15s] – [HELAH-HELAH] – Siri 2 – (Helah-helah) Berhubung dengan sembahyang [HADITH TEMATIK]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/GCym66NlUpk ]
Video penuh asal –
• Sesi 1 – Tentang Pelbagai Helah & Hadith T… [ Sahih al-Bukhari – Kitab Helah-helah ]
[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – (HELAH-HELAH) BERHUBUNG DENGAN SEMBAHYANG
باب فِي الصَّلاَةِ حَدَّثَنِي إِسْحَاقُ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، عَنْ مَعْمَرٍ، عَنْ هَمَّامٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ” لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ ”.
(Helah-helah) Berhubung dengan sembahyang Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w., sabda Baginda, “Allah tidak menerima sembahyang seseorang daripada kamu apabila dia telah berhadath selagi dia tidak berwudhu’ “.
[RINGKASAN] (Helah-helah) Berhubung dengan sembahyang
1. Imam al-Bukhari menegaskan ada orang cuba membuat helah dalam ibadat sembahyang. Dia membawakan hadith bahawa selagi seseorang tidak berwudhu’ (selepas berhadath) Allah tidak akan menerima sembahyangnya. Imam al-Bukhari ingin mengkritik beberapa pendapat Imam Abu Hanifah tentang sembahyang.
2. Perkara pertama: Imam al-Bukhari mengkritik pendapat Imam Abu Hanifah yang mengatakan sembahyang yang terbatal kerana berhadath di tengah-tengahnya, boleh disambung semula selepas seseorang itu mengambil semula air sembahyang ( “bina’ ‘alassolah” ). Imam al-Bukhari membantah pendapat ini kerana menganggapnya ianya satu helah dan menegaskan melalui hadith di atas bahawa Allah tidak menerima sembahyang orang yang tidak berwudhu’. Tetapi pengikut Imam Abu Hanifah berhujjah dengan mengatakan Allah tidak menerima sembahyang seseorang yang terus tidak berwudhu’ sehingga akhir solat. Hadith yang dibawa oleh Imam al-Bukhari ini mengatakan, “Selagi dia tidak berwudhu’ ” dan pengikut Imam Abu Hanifah mengatakan setelah seseorang itu berwudhu’ semula, persoalan tidak berwudhu’ sudah tidak timbul. Hadith yang dibawakan oleh Imam al-Biukhari ini tidak jelas melarang menyambung sembahyang dalam keadaan seseorang sudah ada wudhu’ yang baru. Lagipun ada banyak lagi hadith yang menunjukkan seseorang boleh menyambung sembahyang (selepas berwudhu’ semula) seperti pendapat Imam Abu Hanifah. Ada satu hadith dalam kitab Sunan Ibni Majah yang mengatakan bahawa sesiapa yang muntah atau berdarah hidung (Nota: Imam Abu Hanifah berpendapat berdarah hidung membatalkan wudhu’) atau keluar mazi dia hendaklah pergi berwudhu’ dan selepas itu dia boleh menyambung sembahyangnya dalam keadaan tidak bercakap. Walaupun begitu, (seolah-olah) Imam al-Bukhari berpendapat hadith yang membolehkan sembahyang disambung adalah dhaif. Sebaliknya pengikut Imam Abu Hanifah berhujah bahawa hadith ini mempunyai banyak saluran yang menjadikannya “hasan li ghairihi”, oleh itu ianya boleh dijadikan hujjah. Pendapat yang membolehkan sembahyang disambung, dipegang juga oleh Imam al-Shafie dalam pendapat lamanya (qaul qadim).
3. Perkara Kedua: Imam al-Bukhari mengkritik pendapat mazhab Hanafi yang mengatakan sah sembahyang seseorang yang batal wudhu’nya sejurus sebelum memberi salam (tetapi selepas duduk sekitar tempoh membaca tasyahhud). Imam al-Bukhari berpendapat sembahyang itu hanya selesai dan sah selepas memberi salam. Pendapat ini tidak sama dengan pendapat Imam Abu Hanifah yang tidak menganggap salam sebagai rukun solat, oleh itu sembahyang itu sah tanpa salam. Imam Malik dan Imam al-Shafie sependapat dengan Imam al-Bukhari dalam hal ini. Ianya berpunca dari perbezaan pendapat tentang status sama ada lemah atau kuatnya hadith yang bermaksud, “Kunci solat itu adalah bersuci, pengharamannya (takbiratul ihram – di mana diharamkan melakukan perkara di luar solat) adalah takbir, dan penghalalannya (keluar daripada solat) adalah salam”.
4. Perkara Ketiga: Imam al-Bukhari mengkritik orang yang bermudah-mudah menggantikan wudhu’ dengan tayammum atas alasan sejuk untuk berwudhu’ (dengan air). Imam al-Bukhari bertegas, selagi keadaan tidak mengharuskan untuk bertayammum (kerana terlalu sejuk sehingga mengharuskan tayammum) janganlah seseorang itu bermudah-mudah dan berhelah-helah.
