[ADAB] – Siri 3 – Tidak boleh keluar berjihad melainkan dengan izin kedua ibu bapa [HADITH TEMATIK]

VIDEO – [Durasi – 7m 30s] – [ADAB] – Siri 3 – Tidak boleh keluar berjihad melainkan dengan izin kedua ibu bapa [HADITH TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/BcIMHofejuY ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Berbuat Baik dan Silaturrahim – […   [ Sahih al-Bukhari – Kitab Adab ]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – TIDAK BOLEH SESEORANG ITU KELUAR BERJIHAD MELAINKAN DENGAN IZIN KEDUA IBU BAPANYA

باب لاَ يُجَاهِدُ إِلاَّ بِإِذْنِ الأَبَوَيْنِ

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ سُفْيَانَ، وَشُعْبَةَ، قَالاَ حَدَّثَنَا حَبِيبٌ، ح قَالَ وَحَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ، أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ، عَنْ حَبِيبٍ، عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، قَالَ قَالَ رَجُلٌ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أُجَاهِدُ‏.‏ قَالَ ‏”‏ لَكَ أَبَوَانِ ‏”‏‏.‏ قَالَ نَعَمْ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ ‏”‏‏.‏

Tidak boleh seseorang itu keluar berjihad melainkan dengan izin kedua ibu bapanya

Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr katanya, “Ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Saya hendak berjihad”. Nabi s.a.w. bertanya, “Engkau ada dua ibu bapa?”. Orang itu menjawab, “Ya”. Nabi s.a.w. berkata, “Kalau begitu berjihadlah, (bersungguh-sungguhlah) engkau menjaga (melayani) kedua-dua ibu bapamu (berjihadlah engkau dalam melayani kedua ibu bapamu)”.

[RINGKASAN] Tidak boleh seseorang itu keluar berjihad melainkan dengan izin kedua ibu bapanya

1. Seseorang tidak boleh berjihad (berperang di jalan Allah) melainkan dengan izin ibu bapanya, dengan syarat ibu bapanya seorang Islam dan juga dalam keadaan jihad tidak wajib ke atas setiap individu (tidak wajib ‘aini).

2. Berjihad di medan perang boleh mengakibatkan kematian. Ibu bapa yang bertanggungjawab ke atas kehidupan anaknya, juga mempunyai hak ke atas kematian anaknya.

3. Berbuat baik kepada ibu bapa menduduki tempat kedua selepas solat dengan menjaga waktunya kepada seseorang muslim ( rujuk –    • [ADAB SOPAN] – Siri 1 – Kami Wajibkan Manu…   ); lebih utama daripada jihad di jalan Allah.

4. Ada Sahabat Nabi yang memberitahu Baginda bahawa beliau ingin pergi berjihad lalu ditanya Nabi s.a.w. adakah dia mempunyai ibu bapa. Setelah diberitahu bahawa beliau masih mempunyai ibu bapa, Nabi menyuruhnya berjihad dengan menjaga kedua ibu bapanya. .

5. Ada ulama’ mengatakan bahawa Nabi s.a.w. tahu Sahabat ini tidak begitu ambil berat terhadap ibu bapanya, dengan sebab itu Nabi memintanya mendahulukan ibu bapanya berbanding berjihad di medan perang. Mungkin kepadanya jihad (yang boleh mengakibatkan kecederaan dan kematian) itu paling besar ganjaran pahalanya, tetapi Nabi mengisyaratkan bahawa berbakti kepada ibu bapa itu lebih utama dan lebih besar pahalanya. .

6. Ulama’ lain berpendapat, hadith ini (perintah mengutamakan menjaga dan berbakti kepada ibu bapa berbanding jihad) tidak khusus kepada Sahabat yang bertanya kepada Nabi tersebut tetapi adalah perintah untuk semua orang. Jika ibu bapa seseorang itu bergantung kehidupannya kepada anaknya, bayangkanlah apa yang akan terjadi jika anaknya itu terkorban di medan jihad.

7. Hadith ini juga menunjukkan bahawa “jihad” itu tidak terhad hanya berjuang di medan perang. “Jihad” juga termasuk bersusah payah, berpenat lelah, bertungkus lumus dan menghabiskan masa dan tenaga untuk sesuatu kebaikan (seperti yang dinyatakan dalam agama) seperti untuk ibu bapa, masyarakat dsb.

8. Kadang-kadang jihad di luar dari medan perang lebih utama dan lebih besar pahalanya di sisi Allah. Contohnya, seorang alim yang menjadi rujukan orang ramai, adalah lebih utama tidak berjihad dan terkorban berbanding tinggal dalam masyarakat untuk terus mendidik, mengajar dan memandu masyarakat. Begitu juga pemerintah atau khalifah sesebuah negara adalah lebih utama berada di belakang dengan mengarah dan mengatur strategi daripada duduk di barisan hadapan dan menghadapi risiko terbunuh.

9. Kerja-kerja agama tidak berpada dengan semangat semata-mata tetapi perlu dipandu dengan ilmu dan perlu dinilai dengan teliti dan saksama.

[ADAB] – Siri 2 -Siapa Orang Yang Paling Berhak Untuk Digauli (Dilayan) Dengan Baik?[HADITH TEMATIK]

VIDEO – [Durasi – 6m 23s] – [ADAB] – Siri 2 -Siapa Orang Yang Paling Berhak Untuk Digauli (Dilayan) Dengan Baik?[HADITH TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/rTTATVbsQyU ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Berbuat Baik dan Silaturrahim – […   [ Sahih al-Bukhari – Kitab Adab ]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – SIAPAKAH ORANG YANG PALING BERHAK UNTUK DIGAULI (DILAYAN) DENGAN BAIK?

باب مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ الصُّحْبَةِ

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، عَنْ عُمَارَةَ بْنِ الْقَعْقَاعِ بْنِ شُبْرُمَةَ، عَنْ أَبِي زُرْعَةَ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ أَحَقُّ بِحُسْنِ صَحَابَتِي قَالَ ‏”‏ أُمُّكَ ‏”‏‏.‏ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ‏”‏ أُمُّكَ ‏”‏‏.‏ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ‏”‏ أُمُّكَ ‏”‏‏.‏ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ‏”‏ ثُمَّ أَبُوكَ ‏” ‏‏.‏ وَقَالَ ابْنُ شُبْرُمَةَ وَيَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ حَدَّثَنَا أَبُو زُرْعَةَ مِثْلَهُ‏.‏

Siapakah Orang Yang Paling Berhak Untuk Digauli (Dilayan) Dengan Baik?

Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Hurairah katanya ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., dia berkata: “Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang paling berhak untuk saya hubungi (gauli) dengan baik”. Sabda Rasulullah s.a.w., “Ibumu”. Orang itu bertanya, “Kemudian siapa?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Ibumu”. Orang itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Kemudian ibumu”. Kemudian dia bertanya, “Siapa?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Kemudian ayahmu”. Ibnu Syubrumah dan Yahya bin Ayyub mengatakan Abu Zur’ah menceritakan kepada kami seperti itu juga.

[RINGKASAN] Siapakah Orang Yang Paling Berhak Untuk Digaulinya (Dilayan) Dengan Baik?

1. Setiap manusia ada haknya masing-masing. Antara hak setiap manusia ialah kita senyum kepadanya bila berjumpa. Bayangkan apa yang berlegar dalam fikiran seseorang jika kita bermasam muka bila berjumpa dengannya. Oleh itu, sayugialah kita memberikan hak seseorang itu kepadanya seperti memberi senyuman bila berjumpa dengannya.

2. Siapakah orang yang paling berhak untuk digauli dan dilayani dengan baik? Seorang Sahabat Nabi s.a.w. bertanya kepada Nabi s.a.w. siapakah orang yang paling berhak dilayani dengan baik. Nabi s.a.w. menjawab, ibumu, kemudian, ibumu, kemudian, ibumu dan untuk kali keempat Baginda bersabda, ayahmu.

3. Hadith sebelum ini ( rujuk –    • [ADAB SOPAN] – Siri 1 – Kami Wajibkan Manu…   ) menyatakan manusia hendaklah berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya tetapi di antara keduanya siapakah yang perlu diutamakan? Dalam hadith ini dinyatakan bahawa ibulah yang perlu diutamakan dengan tiga kali ganda untuk dilayan dengan baik berbanding ayah.

4. Antara pendapat ulama’, mengapa ibu lebih diutamakan ialah kerana seorang ibu mengalami kesakitan dan kesukaran di tiga peringkat iaitu semasa mengandung, semasa bersalin dan semasa menyusukan bayi. Adapun di peringkat selepasnya, iaitu peringkat mendidik dan membesarkan anak, ibu dan bapa mempunyai tugas yang seimbang.

5. Ulama’ lain pula berpendapat, ibu lebih diutamakan kerana sifat wanita (ibu) adalah lebih sensitif dan mudah terasa hati. Ibu adalah lebih lemah berbanding bapa, oleh itu kita hendaklah mengutamakan ibu di segi layanan lebih tiga kali ganda berbanding bapa. Ibu lebih mudah terasa dan tersentuh jiwanya dan tidak kuat untuk menghadapi musibah yang menimpa anaknya. Menjaga ibu bermaksud menjaga hubungan dan memberi layanan yang baik.

6. Ada juga ulama’ berpendapat, layanan tiga kali ganda lebih baik untuk ibu berbanding bapa adalah di segi “layanan” dan “pergaulan” dan bukannya di segi “ketaatan dan kepatuhan”. Mereka berpendapat di segi “kepatuhan”, taat kepada bapa adalah lebih utama berbanding kepada ibu. Di peringkat peribadi dan kejiwaan, anak perlu melayan ibu lebih daripada bapa tetapi di segi membuat keputusan-keputusan besar dalam hidup, bapa lebih perlu diutamakan. Ini adalah kerana bapa biasanya berfikiran lebih jauh berbanding ibu yang pada nalurinya berjiwa sensitif dan banyak terpengaruh dengan sifat sayang yang keterlaluan terhadap anaknya sehingga sukar untuk membuat keputusan-keputusan besar.

[ADAB KESOPANAN] – Siri 1 – “Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya” [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 7m 59s] – [ADAB SOPAN – Siri 1] “Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya” [HADITH TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/eb5UlRo2PWA ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Berbuat Baik dan Silaturrahim – […  

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى ‏{‏وَوَصَّيْنَا الإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ‏} حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، قَالَ الْوَلِيدُ بْنُ عَيْزَارٍ أَخْبَرَنِي قَالَ سَمِعْتُ أَبَا عَمْرٍو الشَّيْبَانِيَّ، يَقُولُ أَخْبَرَنَا صَاحِبُ، هَذِهِ الدَّارِ ـ وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ إِلَى دَارِ عَبْدِ اللَّهِ ـ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ ‏”‏ الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا ‏”‏‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ ‏”‏ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ‏”‏‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىّ قَالَ ‏”‏ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏”‏‏.‏ قَالَ حَدَّثَنِي بِهِنَّ وَلَوِ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِي‏.

Bab – Firman Allah taala, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya” Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Aba Ammar asy-Shaibani, dia berkata: Tuan punya rumah ini telah menceritakan kepada kami dan dia mengisyaratkan dengan tangannya ke rumah Abdullah (bin Mas’ud), katanya, saya telah bertanya Nabi s.a.w., “Apakah amalan yang paling disukai Allah”. Jawabnya, “Bersembahyang dengan menjaga waktunya”. Kata Abdullah, “Kemudian apa?”. Dia berkata, “Kemudian, berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Kata Abdullah, “Kemudian apa?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Berjihad di jalan Allah”. Kata Abdullah, “Dia telah menceritakan kepadaku tentang perkara-perkara tadi, sekiranya saya menambahkan lagi pertanyaan nescaya dia menambahkan lagi jawapannya”

[RINGKASAN] Firman Allah taala, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya”

1. Firman Allah taala, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya” (Surah Luqman, Ayat 14 dan Surah al-Ankabut, Ayat 8)

2. Perhiasan dalaman manusia ialah adab, perangai, sopan santun dll. Adab (budi) yang tinggi adalah suatu tarikan kepada manusia yang menyebabkan namanya harum sampai bila-bila.

3. Allah berpesan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Allah menyebut berbuat baik kepada ibu bapa seiring dengan perintah supaya menyembah-Nya (Surah al-Israa’, ayat 23). Perintah menyembah Allah dan perintah berbuat baik kepada ibu bapa digabungkan kerana ia mempunyai persamaan, iaitu, pertama, sekiranya tiada Allah tiadalah kita makhluk-Nya, begitu juga sekiranya tiada ibu bapa, tiadalah kita. Kedua, Allah memberi kebaikan kepada manusia, memberi rezeki, perlindungan dsb. Di kalangan manusia siapakah yang lebih menjaga kebajikan dan memberi kebaikan kepada kita selain dari ibu bapa kita? Kasih sayang ibu bapa kepada anaknya bukan sahaja berlaku pada orang Islam tetapi juga kepada orang bukan Islam malah di kalangan haiwan.

4. Sayugianya kita sentiasa bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita dan mengenang budi terhadap apa yang diberikan kepada kita. Kita hendaklah sentiasa menurut perintah Allah dan menjadi manusia yang berperibadi mulia dengan mengutamakan ibu bapa.

5. Amalan yang paling disukai Allah ialah bersembahyang dengan menjaga waktunya. Dengan bersembahyang, kita akan sentiasa ingat kepada Allah dan sentiasa ingat kepada suruhan-Nya.

6. Selepas menunaikan hak Allah dengan bersembahyang, kita dituntut untuk menunaikan hak manusia iaitu berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Kemudiannya, berjihad di jalan Allah (berkorban jiwa dan raga untuk masyarakat supaya umat manusia hidup aman damai).

7. SELINGAN – Hadith dipelajari untuk diamalkan dan menjadi panduan dalam hidup. Oleh itu fahamilah, hadamkan dan hayatilah hadith yang diterima. .