VIDEO – [Durasi – 7m 30s] – [ADAB] – Siri 3 – Tidak boleh keluar berjihad melainkan dengan izin kedua ibu bapa [HADITH TEMATIK]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/BcIMHofejuY ]
Video penuh asal –
• Sesi 1 – Berbuat Baik dan Silaturrahim – [… [ Sahih al-Bukhari – Kitab Adab ]
[KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – TIDAK BOLEH SESEORANG ITU KELUAR BERJIHAD MELAINKAN DENGAN IZIN KEDUA IBU BAPANYA
باب لاَ يُجَاهِدُ إِلاَّ بِإِذْنِ الأَبَوَيْنِ
حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ سُفْيَانَ، وَشُعْبَةَ، قَالاَ حَدَّثَنَا حَبِيبٌ، ح قَالَ وَحَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ، أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ، عَنْ حَبِيبٍ، عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، قَالَ قَالَ رَجُلٌ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أُجَاهِدُ. قَالَ ” لَكَ أَبَوَانِ ”. قَالَ نَعَمْ. قَالَ ” فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ ”.
Tidak boleh seseorang itu keluar berjihad melainkan dengan izin kedua ibu bapanya
Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr katanya, “Ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Saya hendak berjihad”. Nabi s.a.w. bertanya, “Engkau ada dua ibu bapa?”. Orang itu menjawab, “Ya”. Nabi s.a.w. berkata, “Kalau begitu berjihadlah, (bersungguh-sungguhlah) engkau menjaga (melayani) kedua-dua ibu bapamu (berjihadlah engkau dalam melayani kedua ibu bapamu)”.
[RINGKASAN] Tidak boleh seseorang itu keluar berjihad melainkan dengan izin kedua ibu bapanya
1. Seseorang tidak boleh berjihad (berperang di jalan Allah) melainkan dengan izin ibu bapanya, dengan syarat ibu bapanya seorang Islam dan juga dalam keadaan jihad tidak wajib ke atas setiap individu (tidak wajib ‘aini).
2. Berjihad di medan perang boleh mengakibatkan kematian. Ibu bapa yang bertanggungjawab ke atas kehidupan anaknya, juga mempunyai hak ke atas kematian anaknya.
3. Berbuat baik kepada ibu bapa menduduki tempat kedua selepas solat dengan menjaga waktunya kepada seseorang muslim ( rujuk –
• [ADAB SOPAN] – Siri 1 – Kami Wajibkan Manu… ); lebih utama daripada jihad di jalan Allah.
4. Ada Sahabat Nabi yang memberitahu Baginda bahawa beliau ingin pergi berjihad lalu ditanya Nabi s.a.w. adakah dia mempunyai ibu bapa. Setelah diberitahu bahawa beliau masih mempunyai ibu bapa, Nabi menyuruhnya berjihad dengan menjaga kedua ibu bapanya. .
5. Ada ulama’ mengatakan bahawa Nabi s.a.w. tahu Sahabat ini tidak begitu ambil berat terhadap ibu bapanya, dengan sebab itu Nabi memintanya mendahulukan ibu bapanya berbanding berjihad di medan perang. Mungkin kepadanya jihad (yang boleh mengakibatkan kecederaan dan kematian) itu paling besar ganjaran pahalanya, tetapi Nabi mengisyaratkan bahawa berbakti kepada ibu bapa itu lebih utama dan lebih besar pahalanya. .
6. Ulama’ lain berpendapat, hadith ini (perintah mengutamakan menjaga dan berbakti kepada ibu bapa berbanding jihad) tidak khusus kepada Sahabat yang bertanya kepada Nabi tersebut tetapi adalah perintah untuk semua orang. Jika ibu bapa seseorang itu bergantung kehidupannya kepada anaknya, bayangkanlah apa yang akan terjadi jika anaknya itu terkorban di medan jihad.
7. Hadith ini juga menunjukkan bahawa “jihad” itu tidak terhad hanya berjuang di medan perang. “Jihad” juga termasuk bersusah payah, berpenat lelah, bertungkus lumus dan menghabiskan masa dan tenaga untuk sesuatu kebaikan (seperti yang dinyatakan dalam agama) seperti untuk ibu bapa, masyarakat dsb.
8. Kadang-kadang jihad di luar dari medan perang lebih utama dan lebih besar pahalanya di sisi Allah. Contohnya, seorang alim yang menjadi rujukan orang ramai, adalah lebih utama tidak berjihad dan terkorban berbanding tinggal dalam masyarakat untuk terus mendidik, mengajar dan memandu masyarakat. Begitu juga pemerintah atau khalifah sesebuah negara adalah lebih utama berada di belakang dengan mengarah dan mengatur strategi daripada duduk di barisan hadapan dan menghadapi risiko terbunuh.
9. Kerja-kerja agama tidak berpada dengan semangat semata-mata tetapi perlu dipandu dengan ilmu dan perlu dinilai dengan teliti dan saksama.
