VIDEO – [Durasi – 5m 38s] – [ADAB] – Siri 4 – Tidak boleh seseorang memaki ayahnya (atau kedua ibu bapanya) [HADITH TEMATIK]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/tn9kwwSnJf8 ]
Video penuh asal –
• Sesi 1 – Berbuat Baik dan Silaturrahim – [… [ Sahih al-Bukhari – Kitab Adab ]
[KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – TIDAK BOLEH SESEORANG ITU MEMAKI AYAHNYA (ATAU KEDUA IBU BAPANYA)
باب لاَ يَسُبُّ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ، حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ حُمَيْدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” إِنَّ مِنْ أَكْبَرِ الْكَبَائِرِ أَنْ يَلْعَنَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ ”. قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَلْعَنُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ ” يَسُبُّ الرَّجُلُ أَبَا الرَّجُلِ، فَيَسُبُّ أَبَاهُ، وَيَسُبُّ أَمَّهُ ”.
Tidak boleh seseorang itu memaki ayahnya (atau kedua ibu bapanya)
Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah Bin ‘Amr katanya Nabi s..a.w. bersabda: “Sesungguhnya di antara dosa yang paling besar ialah seseorang melaknat dua ibu bapanya”. Orang bertanya, “Wahai Rasulullah! Bagaimana seseorang itu melaknat kedua ibu bapanya?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Iaitu dia memaki (menyumpah) ayah seseorang lalu orang itu menyumpah (memaki) balik ayahnya. Dia memaki ibu seseorang, lalu orang itu memaki sebagai membalas makiannya tadi kepada ibunya”.
[RINGKASAN] Tidak boleh seseorang itu memaki ayahnya (atau kedua ibu bapanya)
1. Seseorang tidak boleh memaki (menyumpah) ayahnya. Kebiasaannya tiada anak yang sanggup memaki ayahnya, tetapi dalam hadith ini, Nabi s.a.w. menyebut ada orang yang memaki ayahnya. Apa yang berlaku ialah apabila seseorang memaki ayah orang lain, sebagai tindak balas, orang itu memaki pula ayah orang yang memaki tadi. Oleh kerana itu, perbuatan memaki ayah orang lain dikatakan juga sebagai memaki ayah sendiri. Nabi s.a.w. mengingatkan bahawa tidak boleh memaki ayah sendiri atau ayah orang lain secara langsung atau tidak secara langsung. Memaki secara langsung adalah mengeluarkan kata-kata yang kasar dan tidak sesuai sama ada kepada ayah sendiri atau kepada ayah orang lain. Manakala memaki tidak secara langsung pula boleh berlaku bila seseorang melakukan perkara-perkara buruk sehingga menyebabkan ayahnya terpalit dan diaibkan. “Ayah” dalam hadith ini juga bermaksud “ibu bapa”.
2. Hadith ini menjadi asas kepada kaedah “Sadd al-Zarai’ ” (menutup atau menyekat jalan-jalan yang membawa kepada kerosakan atau maksiat). Contoh kaedah “Sadd al-Zarai’ ” dari al-Quran ialah, Surah al-Isra’, Ayat 32, bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina…” (menutup pintu zina dengan menghalang dari mendekatinya), Contoh lain kaedah “Sadd al-Zarai’ ” ialah Surah Al-An’am, ayat 108, bermaksud, “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan…”. Ayat al-Quran ini memberi pedoman supaya berbincang secara baik dan ilmiah dengan orang kafir, kerana kalau kita berkata buruk terhadap agama mereka, mereka akan berkata buruk pula terhadap Allah. Jika kita melakukan sesuatu yang tidak elok kepada rumah ibadat mereka, nanti mereka akan melakukan perkara yang sama kepada masjid kita.
3. Kita boleh gunakan kaedah “Sadd al-Zarai’ ” ini dalam setiap perkara seperti mengelakkan melakukan apa sahaja perbuatan yang menyebabkan ibu bapa kita malu dan aib. Orang yang dapat menjaga aib ibu bapanya secara tidak langsung sudah tentu tidak akan mengaibkannya secara langsung. Ini menunjukkan peribadinya yang tinggi, yang bersih batinnya dan berjiwa suci.
4. Pada mulanya Sahabat Nabi tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan memaki ayah sendiri kerana sememangnya Islam melarang dari perbuatan tersebut. Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa seseorang yang melaknat ayah orang lain akan menyebabkan orang tersebut akan membalasnya dengan melaknat ayahnya pula.
