VIDEO – [Durasi – 12m 51s] – [ADAB] – Siri 5 – Makbul doa orang yang berbuat baik kepada kedua ibu bapanya [HADITH TEMATIK]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/GZWjJulfBw0 ]
Video penuh asal –
• Sesi 1 – Berbuat Baik dan Silaturrahim – [… [ Sahih al-Bukhari – Kitab Adab ]
[KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – MAKBUL DOA ORANG YANG BERBUAT BAIK KEPADA KEDUA IBU BAPANYA
باب إِجَابَةِ دُعَاءِ مَنْ بَرَّ وَالِدَيْهِ
حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ أَبِي مَرْيَمَ، حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ بْنِ عُقْبَةَ، قَالَ أَخْبَرَنِي نَافِعٌ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ ـ رضى الله عنهما ـ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ” بَيْنَمَا ثَلاَثَةُ نَفَرٍ يَتَمَاشَوْنَ أَخَذَهُمُ الْمَطَرُ، فَمَالُوا إِلَى غَارٍ فِي الْجَبَلِ، فَانْحَطَّتْ عَلَى فَمِ غَارِهِمْ صَخْرَةٌ مِنَ الْجَبَلِ، فَأَطْبَقَتْ عَلَيْهِمْ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ انْظُرُوا أَعْمَالاً عَمِلْتُمُوهَا لِلَّهِ صَالِحَةً، فَادْعُوا اللَّهَ بِهَا لَعَلَّهُ يَفْرُجُهَا. فَقَالَ أَحَدُهُمُ اللَّهُمَّ إِنَّهُ كَانَ لِي وَالِدَانِ شَيْخَانِ كَبِيرَانِ، وَلِي صِبْيَةٌ صِغَارٌ كُنْتُ أَرْعَى عَلَيْهِمْ، فَإِذَا رُحْتُ عَلَيْهِمْ فَحَلَبْتُ بَدَأْتُ بِوَالِدَىَّ أَسْقِيهِمَا قَبْلَ وَلَدِي، وَإِنَّهُ نَاءَ بِيَ الشَّجَرُ فَمَا أَتَيْتُ حَتَّى أَمْسَيْتُ، فَوَجَدْتُهُمَا قَدْ نَامَا، فَحَلَبْتُ كَمَا كُنْتُ أَحْلُبُ، فَجِئْتُ بِالْحِلاَبِ فَقُمْتُ عِنْدَ رُءُوسِهِمَا، أَكْرَهُ أَنْ أُوقِظَهُمَا مِنْ نَوْمِهِمَا، وَأَكْرَهُ أَنْ أَبْدَأَ بِالصِّبْيَةِ قَبْلَهُمَا، وَالصِّبْيَةُ يَتَضَاغَوْنَ عِنْدَ قَدَمَىَّ، فَلَمْ يَزَلْ ذَلِكَ دَأْبِي وَدَأْبَهُمْ حَتَّى طَلَعَ الْفَجْرُ، فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنِّي فَعَلْتُ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ وَجْهِكَ، فَافْرُجْ لَنَا فُرْجَةً نَرَى مِنْهَا السَّمَاءَ، فَفَرَجَ اللَّهُ لَهُمْ فُرْجَةً حَتَّى يَرَوْنَ مِنْهَا السَّمَاءَ. وَقَالَ الثَّانِي اللَّهُمَّ إِنَّهُ كَانَتْ لِي ابْنَةُ عَمٍّ، أُحِبُّهَا كَأَشَدِّ مَا يُحِبُّ الرِّجَالُ النِّسَاءَ، فَطَلَبْتُ إِلَيْهَا نَفْسَهَا، فَأَبَتْ حَتَّى آتِيَهَا بِمِائَةِ دِينَارٍ، فَسَعَيْتُ حَتَّى جَمَعْتُ مِائَةَ دِينَارٍ، فَلَقِيتُهَا بِهَا، فَلَمَّا قَعَدْتُ بَيْنَ رِجْلَيْهَا قَالَتْ يَا عَبْدَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ، وَلاَ تَفْتَحِ الْخَاتَمَ. فَقُمْتُ عَنْهَا، اللَّهُمَّ فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنِّي قَدْ فَعَلْتُ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ وَجْهِكَ فَافْرُجْ لَنَا مِنْهَا فَفَرَجَ لَهُمْ فُرْجَةً. وَقَالَ الآخَرُ اللَّهُمَّ إِنِّي كُنْتُ اسْتَأْجَرْتُ أَجِيرًا بِفَرَقِ أَرُزٍّ فَلَمَّا قَضَى عَمَلَهُ قَالَ أَعْطِنِي حَقِّي. فَعَرَضْتُ عَلَيْهِ حَقَّهُ، فَتَرَكَهُ وَرَغِبَ عَنْهُ، فَلَمْ أَزَلْ أَزْرَعُهُ حَتَّى جَمَعْتُ مِنْهُ بَقَرًا وَرَاعِيَهَا، فَجَاءَنِي فَقَالَ اتَّقِ اللَّهَ وَلاَ تَظْلِمْنِي، وَأَعْطِنِي حَقِّي. فَقُلْتُ اذْهَبْ إِلَى ذَلِكَ الْبَقَرِ وَرَاعِيهَا. فَقَالَ اتَّقِ اللَّهَ وَلاَ تَهْزَأْ بِي. فَقُلْتُ إِنِّي لاَ أَهْزَأُ بِكَ، فَخُذْ ذَلِكَ الْبَقَرَ وَرَاعِيَهَا. فَأَخَذَهُ فَانْطَلَقَ بِهَا، فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنِّي فَعَلْتُ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ وَجْهِكَ، فَافْرُجْ مَا بَقِيَ، فَفَرَجَ اللَّهُ عَنْهُمْ ”.
Makbul doa orang yang berbuat baik kepada kedua ibu bapanya
Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Rasulullah s.a.w., sabdanya: Ketika tiga orang sedang berjalan, tiba-tiba mereka ditimpa hujan. Merekapun pergi ke satu gua di sebuah bukit. Maka terjatuh di muka gua yang mereka masuk itu satu batu besar dari bukit itu. Batu itu menutupi mereka. Sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain (salah seorang dari mereka berkata), “Perhatikanlah amalan-amalan yang soleh yang telah kamu lakukan kerana Allah. Kamu berdoalah kepada Allah dengan mengemukakan (menyebutkan) amalan itu. Mudah-mudahan Allah akan membuka pintu gua ini”. Maka salah seorang dari mereka berkata, “Ya Allah! Sesungguhnya saya ini ada mempunyai dua orang ibu bapa yang sudah sangat tua. Saya juga ada beberapa orang anak yang masih kecil. Saya mengembala binatang ternakan saya untuk menjaga mereka. Bila saya balik, saya perah susu dan saya mulakan memberi susu itu kepada kedua ibu bapa saya sebelum saya berikan kepada anak-anak saya. Pada suatu hari, pokok yang menjadi makanan kepada binatang itu berada jauh (binatang itu pergi jauh). Saya tidak pulang kecuali setelah petang (awal malam). Saya dapati kedua-duanya telahpun tertidur. Saya pun perah susu sebagaimana biasa. Saya bawakan bekas susu, saya berdiri dekat kepada mereka berdua. Saya tidak mahu mengejutkan mereka dari tidur dan saya tidak mahu memulakan susu itu dengan anak-anak sebelum mereka berdua. Anak-anak pada ketika itu menangis dekat kaki saya.Tetapi begitulah keadaan saya dan keadaan mereka hingga terbit fajar. Sekiranya Engkau memang tahu bahawa aku telah melakukan itu kerana Engkau (ikhlas kerana-Mu) bukalah sedikit pintu gua ini untuk kami supaya dapat kami melihat langit”. Allah s.w.t. bukakan kepada mereka sehingga mereka dapat melihat langit.
Yang kedua pula berkata, “Ya Allah! Jika memang Engkau mengetahui bahawa aku mempunyai sepupu perempuan yang aku cintai seperti mana seorang lelaki paling cinta kepada seorang perempuan. Pernah saya minta dirinya untuk diserahkan kepada saya. Dia enggan sehinggalah saya bawakan kepadanya seratus dinar. Setelah saya mengusahakan sekian lama, saya mengumpulkan seratus dinar itu, saya pun bertemu dia dengan seratus dinar itu. Bila saya duduk di antara dua kakinya, diapun berkata, “Wahai hamba Allah! Takutlah engkau kepada Allah. Jangan engkau buka kunci”. Sayapun bangkit meninggalkannya. Ya Allah! Kalau Engkau memang tahu aku telah lakukan itu tidak kerana lain, melainkan kerana-Mu jua, maka bukalah gua itu kepada kami”. Maka Allah s.w.t. buka untuk mereka sedikit.
Yang ketiga berkata, “Ya Allah! Saya pernah mengupah seorang pekerja dengan perjanjian akan memberikan satu farh (16 kati) padi. Bila dia menyelesaikan kerjanya, dia berkata, “Berikanlah kepadaku hakku”. Saya pun kemukakan (hulurkan) kepadanya haknya. Dia membiarkan dan (semacam) tidak menyukainya. Dia pergi dengan meninggalkan (upah) itu. Saya terus menanamnya sehingga saya dapat kumpulkan daripada hasilnya itu lembu dengan pengembalanya (hamba penjaga lembu). TIba-tiba dia datang. Dia berkata, “Takutlah kepada Allah Jangan engkau menzalimi aku. Berikanlah kepadaku hakku”. Saya pun kata, “Pergilah kepada lembu itu dengan pengembalanya sekali”. Dia berkata, “Takutlah kepada Allah. Jangan engkau perli aku”. Saya berkata, “Saya tidak memerli engkau. Pergilah kepada lembu tadi dan pengembalanya”. Maka orang itu pun ambil dan pergilah dia. Sekiranya Engkau memang tahu bahawa aku lakukan itu tidak kerana lain melainkan kerana Kamu jua, maka bukalah baki lagi bahagian yang masih tertutup”. Maka Allah s.w.t. membuka pintu gua itu sehingga mereka dapat keluar.
[RINGKASAN] Makbul doa orang yang berbuat baik kepada kedua ibu bapanya
- Orang yang berbuat baik kepada ibu bapanya dipandang mulia dan tinggi kedudukannya di sisi Allah s.w.t. Allah akan menerima doa orang-orang ini kerana peribadi dan jiwa mereka yang suci.
- Hadith ini menceritakan kisah tiga orang lelaki yang terperangkap di dalam gua bila sebuah batu jatuh dan menutup pintu gua tersebut. Salah seorang dari mereka mencadangkan supaya mereka berdoa kepada Allah dengan menyebut amalan-amalan soleh yang dilakukan semata-mata kerana Allah. Inilah yang dikatakan “tawassul” (menggunakan sebagai perantaraan) dengan amal soleh. Semua ulama’ bersepakat bahawa bertawassul dengan amalan soleh adalah dibenarkan.
- Lelaki pertama menyebut bahawa dia telah mengutamakan ibu bapanya berbanding anak-anaknya bila menunggu ibu bapanya tidur sepanjang malam sebelum memberi minum susu kambing yang diperahnya. Dia tidak menghiraukan tangisan anak-anaknya yang ingin minum susu sebelum ibu bapanya. Dia juga tidak ingin mengganggu dan mengejutkan ibu bapanya yang sedang tidur dan sanggup menunggu sehingga mereka terjaga. Persoalan mengapa dia tidak menghiraukan anak-anaknya yang ingin minum susu sebelum ibu bapanya dijawab oleh ulama’ dengan dua kemungkinan, iaitu,
i. kemungkinan syariat pada masa itu (sebelum Nabi s.a.w.) dalam keadaan seperti inipun, ibu bapa perlu diutamakan,
ii. kemungkinan anak-anaknya telahpun diberi makan sebelum itu, cuma mereka masih inginkan susu sebagai tambahan. Lelaki tadi kemudiannya berdoa dengan mengatakan jika dia benar-benar ikhlas kerana Allah, dia meminta supaya dibuka sedikit pintu gua tersebut sehingga mereka dapat melihat langit; maka terbukalah sedikit pintu gua tersebut sehingga mereka dapat melihat langit.
Hadith ini menyatakan bahawa orang yang berbuat baik kepada ibu bapanya akan mendapat faedah di dunia ini lagi di samping faedah di akhirat. Ianya akan menolongnya untuk mendapat kejayaan di dunia dan akhirat
Lelaki kedua pula menceritakan dia amat mencintai sepupunya dan ingin mengajaknya berzina tetapi sepupunya tersebut enggan. Dia kemudiannya datang dengan membawa seratus dinar, dan sepupunya berubah fikiran. Tetapi bila hampir berlaku perzinaan, perempuan tadi berkata kepadanya, “Takutlah kepada Allah! Jangan engkau buka kunci (dara)”. Lalu pemuda tadi tersedar dan insaf lalu meninggalkan perempuan itu tanpa sempat brezina padahal pada masa itu tiada apa yang dapat menghalangnya. Dia mengadu kepada Allah, bahawa dia meninggalkan zina yang hampir berlaku itu kerana ingat kepada Allah yang tidak suka kepada maksiat itu. Dia berdoa agar pintu gua tersebut dibuka, maka Allah pun membuka sedikit lagi pintu gua tersebut.
Sesetengah ulama’ mengatakan, ujian dari zina adalah yang paling berat kepada sesetengah lelaki. Ini adalah maqam yang paling sulit. Syahwat kemaluan adalah yang paling menguasai manusia berbanding keinginan lain seperti inginkan kekayaan, inginkan kemasyhuran, kekuasaaan atau pujian. Sesiapa yang meninggalkan zina kerana dia takut kepada Allah semata-mata sedangkan dia mampu (muda, sihat dsb) dan tidak ada halangan untuk dia melakukannya terutama ketika betul-betul keinginan itu timbul, maka dia termasuk dalam senarai “siddiqin” (orang-orang yang benar). Kedudukan “siddiqin” adalah selepas kedudukan nabi, lebih tinggi dari kedudukan syuhada’ dan solehin.
Orang ketiga pula mengemukakan doa kepada Allah dengan berharap sikap amanahnya yang mengembangkan dan menjaga harta milik seorang bekas pekerjanya. Dia menyerahkan semua hasil yang diperolehi dari harta yang ditinggalkan pekerjanya setelah pekerja tersebut datang kembali untuk menuntut haknya. Allah suka kepada amalan-amalan soleh ini dan pada akhirnya mengabulkan doa mereka dengan membuka semua pintu gua itu dan mereka boleh keluar dari gua.
