VIDEO – [Durasi – 8m 32s] – [KIAMAT, SYURGA & NERAKA] – Siri 2 – Syurga dikelilingi perkara tak disukai & sebaliknya neraka
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/U2syzztRLpQ ]
Video penuh asal –
• Sesi 1 -Syurga Dikelilingi Yang Tak Disuka… – [Sahih Muslim (Kitab Zikir, Doa, Taubat & Istighfar)]
[KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – [SYURGA] SYURGA DIKELILINGI PERKARA-PERKARA YANG TIDAK DISUKAI DAN NERAKA PULA DIKELILINGI OLEH PERKARA-PERKARA YANG DISUKAI OLEH NAFSU
كتاب الجنة وصفة نعيمها وأهلها
حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ بْنِ قَعْنَبٍ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ، عَنْ ثَابِتٍ، وَحُمَيْدٍ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ ”
وَحَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ، حَدَّثَنَا شَبَابَةُ، حَدَّثَنِي وَرْقَاءُ، عَنْ أَبِي الزِّنَادِ، عَنِ الأَعْرَجِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم بِمِثْلِهِ
Syurga dikelilingi perkara-perkara yang tidak disukai dan neraka pula dikelilingi oleh perkara-perkara yang disukai oleh nafsu .
Hadith Pertama – Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Syurga itu dikelilingi perkara-perkara yang tidak disukai dan neraka pula dikelilingi oleh perkara-perkara yang disukai oleh nafsu”.
Hadith Kedua – Hadith yang sama lafaznya seperti hadith pertama tetapi diriwayatkan oleh Abu Hurairah.
[RINGKASAN] Syurga dikelilingi perkara-perkara yang tidak disukai dan neraka pula dikelilingi oleh perkara-perkara yang disukai oleh nafsu
1. Syurga dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak disukai manusia dan neraka dikelilingi oleh perkara-perkara yang disukai nafsu. Umumnya perkara-perkara yang menyebabkan seseorang masuk syurga adalah tidak menarik dan tanpa iman dalam dada perkara-perkara tersebut biasanya tidak akan dilakukan (ditinggalkan). Ini adalah kerana ianya menyusahkan, memenatkan dan tidak sedap (enak). Untuk mendapatkan syurga kita perlu memecahkan benteng ini.
2. Di dalam dunia ini, banyak perkara baik adalah tidak menyeronokkan pada luarannya. Contohnya, untuk berjaya dalam pelajaran memerlukan usaha dan pengorbanan yang besar. Contoh lain, sayur yang berkhasiat untuk kesihatan kita, tidaklah sedap atau enak dimakan.
3. Motivasi dan sebab utama kita berusaha untuk mendapat syurga ialah adanya sifat yakin dan iman. Iman jugalah yang memandu kita untuk mengelak dari terjerumus ke dalam neraka. Betapa banyaknya perkara di dunia ini, yang luarannya nampak cantik, sedap dan menyeronokkan tetapi akibatnya buruk. Di sebalik “manisnya” jalan ke neraka, bahayanya amat besar. Begitulah sunnatullah (peraturan Allah).
4. Untuk mendapatkan syurga tidaklah mudah; contohnya, kita wajib menunaikan sembahyang sepanjang hidup kita selagi kita berakal. Tidak mudah untuk kekalkan sembahyang sepanjang hayat dalam keadaan sakit, sejuk dan bermacam-macam halangan. Begitu juga dalam berjihad (berperang di jalan Allah) kita menanggung risiko sakit akibat kecederaan atau mungkin dibunuh. Tetapi dengan iman, segala kepayahan dan kesakitan ini akan dihadapi dengan rasa bahagia. Ubat yang pahit mudah untuk kita telan kerana nikmat kesihatan yang akan kita perolehi.
5. Iman adalah satu kuasa yang besar. Iman mendorong seseorang melakukan atau meninggalkan sesuatu amalan walaupun dia tidak faham apakah tujuan perintah tersebut. Contohnya, seseorang yang beriman tidak akan meminum arak walaupun dia tidak tahu akibat buruk dari meminum arak. Apatah lagi kalau sekiranya dia tahu akibat buruk dari meminum arak seperti hilang akal dsb.
6. Imam an-Nawawi berkata: Amat cantik perbandingan yang disebut oleh Nabi s.a.w. Syurga dan neraka didindingi (disekat) oleh hijab. Sesiapa yang memecahkan hijab tersebut akan sampai kepada apa yang di belakangnya (syurga atau neraka). Untuk memecahkan hijab untuk ke syurga ialah dengan melakukan perkara-perkara yang nafsu kita tidak suka atau tidak buat perkara yang nafsu kita suka, antaranya, bersungguh-sungguh dan tetap melakukan ibadat, bersabar dalam menghadapi kesukaran, bersedekah, menahan kemarahan dan memaafkan orang. Perkara-perkara ini bercanggah dengan nafsu. Perkara lain adalah seperti sifat penyantun, berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita, sabar dari mengikut nafsu syahwat dll. Jika kita dapat menghadapi ujian-ujian ini, dengan izin Allah, kita akan berjaya memasuki syurga. Syahwat yang mengelilingi neraka adalah seperti meminum arak, berzina, tidak menjaga pandangan kepada yang haram, mengumpat, hiburan yang haram dsb. Namun begitu, syahwat yang mengarahkan kepada perkara yang harus tidak termasuk dalam perkara yang menyebabkan kita masuk neraka, contohnya, selera makan dan nafsu lelaki yang inginkan kepada perempuan. Naluri lelaki sukakan kepada perempuan memungkinkan seseorang berkahwin dan seterusnya mendapat zuriat. Syahwat yang harus perlu dikawal supaya ianya tidak melebihi had atau keterlaluan kerana ianya berisiko membawa kepada yang haram. Sibuk dengan syahwat yang harus menyebabkan kita leka dari ibadat dan juga menyebabkan kita lupa kepada tanggungjawab yang lebih besar.
