[PAKAIAN & PERHIASAN ]-Siri 1-Siapakah yang haramkan perhiasan yang Allah keluarkan untuk hamba-Nya

VIDEO – [Durasi – 11m 36s] – [PAKAIAN & PERHIASAN ]-Siri 1-Siapakah yang haramkan perhiasan yang Allah keluarkan untuk hamba-Nya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/QK1yin4W99c ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 -Siapa Yang Haramkan Perhiasan Yg A…   [ Sahih al-Bukhari – Kitab Pakaian ]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – APAKAH YANG MENGHARAMKAN PERHIASAN YANG ALLAH TELAH KELUARKAN UNTUK HAMBA-HAMBA-NYA

كتاب اللباس

بَابُ قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى: {قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ} وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كُلُوا وَاشْرَبُوا وَالْبَسُوا وَتَصَدَّقُوا، فِي غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلاَ مَخِيلَةٍ». وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ كُلْ مَا شِئْتَ وَالْبَسْ مَا شِئْتَ، مَا أَخْطَأَتْكَ اثْنَتَانِ سَرَفٌ أَوْ مَخِيلَةٌ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، قَالَ حَدَّثَنِي مَالِكٌ، عَنْ نَافِعٍ، وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ دِينَارٍ، وَزَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، يُخْبِرُونَهُ عَنِ ابْنِ عُمَرَ ـ رضى الله عنهما ـ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ لاَ يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ ‏”‏‏.

Siapakah yang mengharamkan perhiasan yang Allah telah keluarkan untuk hamba-hamba-Nya

Dan Nabi s.a.w. bersabda, “Makanlah, minumlah dan pakailah, bersedekahlah dengan tidak boros (berlebih-lebihan, melampaui batas) dan dengan tidak kerana sombong. Ibnu Abbas berkata, makanlah apa yang kau mahu, pakailah apa yang engkau mahu selagi engkau tidak melakukan dua perkara iaitu melampaui batas (iaitu melebihi had atau boros) ataupun sombong (Selagi dua perkara ini tidak menguasaimu, iaitu sifat boros [berlebihan] atau sifat sombong).

[RINGKASAN] Siapakah yang mengharamkan perhiasan yang Allah telah keluarkan untuk hamba-hamba-Nya

1. Firman Allah taala di dalam al-Quran (Surah al-‘Araf, ayat 32), “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya”. Imam al-Bukhari menggunakan ayat ini dalam bab pakaian, kerana pada asasnya, ruang lingkup perhiasan adalah luas dan termasuk juga pakaian. Pakaian adalah keperluan dan perintah yang sedia ada (asasi) dalam semua agama, tetapi bila melibatkan perhiasan akan timbullah banyak lagi hukum-hukumnya dalam agama. Contohnya pemakaian kalung dan emas untuk lelaki.

2. Dalam sesetengah agama, manusia disuruh memakai pakaian tetapi tidak boleh yang cantik seperti hanya dibenarkan satu warna, pakaian yang kasar dan tidak boleh yang mewah. Sebaliknya Islam tidak begitu, malah menggalakkan umatnya memakai pakaian yang cantik dan selesa sehinggakan Allah berfirman, “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya”.

3. Larangan dari berhias dengan cantik adalah salah satu ciri kehidupan “rahbaniah” (kepadrian atau kependetaan). Contoh kehidupan kepadrian ialah golongan kasta tinggi “Brahman” dari kalangan agama Hindu yang dibenarkan hanya memakai pakaian berwarna kuning. Ada juga agama yang melarang memakai perhiasan seperti cincin dan ada yang memerintahkan penganutnya membotakkan kepala.

4. Nabi s.a.w. bersabda bahawa makanlah, minumlah, pakailah (yang halal) dan bersedekahlah dalam keadaan tidak melampaui batas (tidak melebihi had dan tidak boros) dan tidak dalam keadaan sombong.

5. Ibnu Abbas berkata bahawa makanlah apa yang kamu mahu dan pakailah apa yang kamu mahu (dengan syarat ianya halal dan tidak bercanggah dengan hukum) selagi engkau tidak melakukan dua perkara iaitu, berlebih-lebihan (melampaui batas) dan sombong.

6. Kita tidak boleh melampaui batas walaupun dalam hal ibadat seperti bersedekah. Bila bersedekah, kita tidak dibenarkan bersedekah dalam keadaan mengabaikan tanggungjawab asas iaitu menanggung orang-orang di bawah tanggungan kita. Bersedekahlah dari harta yang lebih dari keperluan asas kita dan belanjakan harta kita bermula dari orang yang kita tanggung.

7. Semua amalan adalah bergantung kepada niat. Tidak boleh bersedekah dengan niat untuk mendapat pujian. Walaupun begitu, kita tidak boleh anggap orang kaya yang bersedekah secara terbuka adalah untuk mendapat pujian kerana mungkin niatnya supaya orang lain terbuka hatinya untuk turut bersedekah.

8. Dalam berpakaian, selagi ianya dibenarkan dalam agama (contohnya, menutup aurat), kita boleh memakainya. Walaupun begitu, kita perlu berhati-hati, kerana ada keadaan, pakaian kita boleh meliarkan manusia daripada Islam terutamanya kepada ahli keluarga yang belum Islam.

Leave a comment