VIDEO – [Durasi – 5m 15s] – [KIAMAT] – Siri 8 – Pasar di syurga & keindahan dan kenikmatan diperolehi oleh ahli syurga di sana
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/T3jYiH_vtqI ]
Video penuh asal –
• Sesi 1 -Syurga Dikelilingi Yang Tak Disuka… &
• Sesi 2 – Orang Yang Masuk Dalam Syurga Men… – [Sahih Muslim (Kitab Syurga, Kenikmatan Dan Penghuninya )]
[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – PASAR DI SYURGA DAN KEINDAHAN DAN KENIKMATAN YANG DIPEROLEHI OLEH AHLI SYURGA DI SANA
باب فِي سُوقِ الْجَنَّةِ وَمَا يَنَالُونَ فِيهَا مِنَ النَّعِيمِ وَالْجَمَالِ
حَدَّثَنَا أَبُو عُثْمَانَ، سَعِيدُ بْنُ عَبْدِ الْجَبَّارِ الْبَصْرِيُّ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ، عَنْ ثَابِتٍ، الْبُنَانِيِّ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ” إِنَّ فِي الْجَنَّةِ لَسُوقًا يَأْتُونَهَا كُلَّ جُمُعَةٍ فَتَهُبُّ رِيحُ الشَّمَالِ فَتَحْثُو فِي وُجُوهِهِمْ وَثِيَابِهِمْ فَيَزْدَادُونَ حُسْنًا وَجَمَالاً فَيَرْجِعُونَ إِلَى أَهْلِيهِمْ وَقَدِ ازْدَادُوا حُسْنًا وَجَمَالاً فَيَقُولُ لَهُمْ أَهْلُوهُمْ وَاللَّهِ لَقَدِ ازْدَدْتُمْ بَعْدَنَا حُسْنًا وَجَمَالاً . فَيَقُولُونَ وَأَنْتُمْ وَاللَّهِ لَقَدِ ازْدَدْتُمْ بَعْدَنَا حُسْنًا وَجَمَالاً ”
Pasar di syurga dan keindahan dan kenikmatan yang diperolehi oleh ahli syurga di sana
Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga itu ada pasar. Mereka pergi ke situ setiap Jumaat. Maka bertiuplah angin utara menyapu wajah-wajah mereka dan pakaian-pakaian mereka. Dengan itu betambah-tambahlah kecantikan dan kesegakan mereka. Mereka pulang kepada ahli keluarganya dalam keadaan sudah bertambah cantik dan ahli keluarga mereka berkata kepada mereka, “Demi Allah! Selepas kamu keluar pergi, balik semakin cantik dan semakin berseri”. Mereka pula berkata, “Kamupun selepas aku tinggalkan keluar, bila aku pulang, kamu semakin cantik”.
[RINGKASAN] Pasar di syurga dan keindahan dan kenikmatan yang diperolehi oleh ahli syurga di sana
1. Di dalam syurga ada pasar (pekan) di mana ahli syurga pergi ke sana pada setiap hari Jumaat. Angin dari utara bertiup lalu menyapu muka, tubuh dan pakaian mereka menyebabkan mereka bertambah cantik dan berseri.
2. Di atas dunia ini manusia berusaha untuk sentiasa nampak cantik dan menawan. Mereka bersolek dan menjalani rawatan, contohnya pembedahan plastik, di pusat-pusat kecantikan untuk berusaha menjadi lebih cantik. Ianya suatu usaha yang bukan mudah, menelan belanja yang besar, menyakitkan badan dan berisiko gagal yang boleh mengakibatkan kecacatan. Tetapi di syurga cukup hanya dengan tiupan angin untuk menjadikan seseorang lebih cantik.
3. Di dunia ini, disebabkan wajah yang cantik, seseorang itu dizalimi, difitnah dan diperlakukan dengan buruk oleh manusia yang dengki. Ini adalah sisi gelap dan harga yang harus dibayar di sebalik kelebihan kecantikan yang dimiliki seseorang. KIta dapati apa yang diperolehi di dunia ini tidak sempurna dan sentiasa ada kekurangan.
4. Ahli-ahli syurga yang pergi ke pasar, balik dalam keadaan bertambah cantik berbanding sebelumnya. Mereka mendapati ahli keluarga yang ditinggalkan juga menjadi lebih cantik.
5. Penduduk syurga bertambah cantik dari sehari ke sehari. Perkara inilah yang sentiasa diingini oleh penduduk dunia tetapi mereka tidak mungkin mencapainya dengan sempurna. Al-Quran dan hadith-hadith menceritakan tentang nikmat-nikmat ini yang akan diperolehi di syurga menyebabkan manusia menjadi tenang menjalani hidup di dunia ini.
6. Manusia akan mengalami perubahan fizikal bila dimasukkan ke dalam syurga. Di dalam syurga kita tidak akan sakit, tiada yang menyeksakan dan tidak menjadi tua. Di dunia ini, masalah hidup, pemakanan yang tidak sempurna, cuaca dan udara yang tidak sesuai menyebabkan kita cepat tua dan mengalami perubahan fizikal.
7. Keinginan untuk menjadi cantik adalah naluri yang sebati dengan jiwa manusia. Bayangkanlah, alangkah kecewanya manusia jika tidak dapat memperolehinya sepanjang hidupnya. Sesungguhnya kehidupan kita tidak sempurna di dunia ini. Allah, al-Mushawwir, yang menjadikan rupa manusia adalah maha sempurna dan maha kaya. Allah akan kurniakan nikmat ini dengan sempurna di syurga nanti.
