[HADITH TEMATIK-NAFKAH] – Siri 13 – Pewaris Bertanggungjawab Seperti Si Mati Bertanggungjawab

VIDEO – [Durasi – 13m 38s] – [HADITH TEMATIK-NAFKAH] – Siri 13 – Pewaris Bertanggungjawab Seperti Si Mati Bertanggungjawab

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/Avt-HIIRCn8 ]

Video penuh asal – Sahih Bukhari (Kitab Nafkah) – • Sesi 4 -Sediakan Pakaian Utk Wanita Dengan…

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – PEWARIS BERTANGGUNGJAWAB SEPERTI MANA SI MATI (AYAH) BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP ANAKNYA & ADAKAH SESUATU KEWAJIPAN ATAS PEREMPUAN (DALAM NAFKAH) ATAU TIDAK ADA SESUATU YANG WAJIB KE ATAS PEREMPUAN?

باب ‏{‏وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ‏}‏ ، وَهَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْهُ شَيْءٌ؟ {وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً رَجُلَيْنِ أَحَدُهُمَا أَبْكَمُ} إِلَى قَوْلِهِ: {صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ}.

حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا وُهَيْبٌ أَخْبَرَنَا هِشَامٌ عَنْ أَبِيهِ عَنْ زَيْنَبَ ابْنَةِ أَبِى سَلَمَةَ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلْ لِى مِنْ أَجْرٍ فِى بَنِى أَبِى سَلَمَةَ أَنْ أُنْفِقَ عَلَيْهِمْ، وَلَسْتُ بِتَارِكَتِهِمْ هَكَذَا وَهَكَذَا، إِنَّمَا هُمْ بَنِىَّ. قَالَ «نَعَمْ لَكِ أَجْرُ مَا أَنْفَقْتِ عَلَيْهِمْ».

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يُوسُفَ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ قَالَتْ هِنْدُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ فَهَلْ عَلَىَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ مَا يَكْفِينِي وَبَنِيَّ قَالَ ‏”‏ خُذِي بِالْمَعْرُوفِ ‏”‏‏.‏

Pewaris Bertanggungjawab Seperti Mana Si Mati (Ayah) Bertanggungjawab Terhadap Anaknya & Adakah Sesuatu Kewajipan Atas Perempuan (Dalam Nafkah) Atau Tidak Ada Sesuatu Yang Wajib Ke Atas Perempuan? . {وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً رَجُلَيْنِ أَحَدُهُمَا أَبْكَمُ. } .إِلَى قَوْلِهِ: {صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ}. [Firman Allah s.w.t., Surah An-Nahl, ayat 76, bermaksud: Allah telah membuat perbandingan dua orang lelaki, salah seorang daripadanya adalah pekak (bisu), tidak mampu melakukan sesuatu apapun bahkan dia menjadi beban kepada tuannya…..]

Hadith Pertama – Diriwayatkan daripada Ummu Salamah: Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah saya akan mendapat pahala kerana saya membelanjakan kepada anak-anak Abu Salamah. Padahal saya tidak akan membiarkan mereka pun (dalam keadaan susah). Mereka itu bukan orang lain (tetapi) anak-anak saya juga”. Nabi s.a.w. bersabda, “Ya! Engkau mendapat pahala kerana apa yang engkau belanjakan kepada mereka”. [Sahih al-Bukhari – Hadith No. 5369]

Hadith Kedua – Diriwayatkan daripada ‘Aishah: Kata Hindun, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Aba Sufyan itu seorang yang kedekut. Adakah menjadi kesalahan kepada saya untuk mengambil sedikit dari hartanya sekadar yang mencukupi untuk saya dan anak-anak saya?”. Nabi s.a.w. bersabda, “Ambillah dengan cara yang baik (apa yang sepatutnya)”. [Sahih al-Bukhari – Hadith No. 5370].

[RINGKASAN] Pewaris Bertanggungjawab Seperti Mana Si Mati (Ayah) Bertanggungjawab Terhadap Anaknya & Adakah Wajib Atau TIdak Wajib Atas Perempuan Memberi Nafkah Kepada Anaknya?

1. Jika seorang bapa meninggal dunia ketika anaknya masih menyusu, tanggungjawab untuk memberi belanja penyusuan anak itu berpindah kepada pewaris. Siapakah yang dimaksudkan sebagai “pewaris” itu? Terdapat beberapa pendapat ulama’ tentang siapakah yang dimaksudkan dengan “pewaris” (kepada ayah yang meninggal) tersebut, antaranya ialah:

i. bapa saudara kepada anak tersebut,

ii. datuk kepada anak tersebut,

iii. ibu kepada anak itu,

iv. anak itu sendiri kerana dia adalah pewaris kepada ayahnya yang meninggal (perbelanjaan diambil dari harta yang diwariskan dari ayahnya kepada anak itu) [Pendapat ini adalah sebagaimana mazhab Shafie],

v. datuk dan nenek kepada anak tersebut,

vi. setiap orang yang mewarisi (menerima pusaka) dari ayah anak yang meninggal [Pendapat mazhab Ahmad bin Hanbal dan Ishaq], vii. sanak saudara kepada anak tersebut (tidak kira sama ada dia menerima pusaka atau tidak). [Pendapat Imam Abu Hanifah].

Daripada pendapat-pendapat ini yang dirasakan lebih baik ialah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal dan Ishaq iaitu pewaris ialah setiap orang yang mewarisi (menerima pusaka) dari ayah kepada anak yang meninggal. Isteri kepada ayah anak yang meninggal (ibu kepada anak) adalah salah seorang pewaris (yang menerima pusaka) oleh itu dia wajib (mengikut pendapat ini) memberi belanja penyusuan anaknya. Dalam keadaan ini, ibu boleh menyusukan anaknya sendiri atau mengupah orang lain untuk menyusukan anaknya. Pendapat ini adalah lebih hampir maksudnya dengan ungkapan “yang serupa seperti yang diwajibkan ke atas si mati”.

2. Tajuk bab ini boleh diterjemahkan dalam dua versi iaitu,

i. versi pertama: Adakah sesuatu yang wajib ke atas perempuan dalam masalah menyusukan anak? atau,

ii. versi kedua: Tidak ada sesuatu yang wajib ke atas perempuan itu. Ini adalah seperti pendapat Mazhab Shafie yang mengatakan perempuan tidak wajib apa-apa dalam masalah menyusukan anak.

Walaupun begitu, adalah lebih baik kita biarkan tajuk ini dalam bentuk asal, iaitu dalam bentuk pertanyaan (adakah?).

3. Pengikut mazhab Shafie berpendapat Imam al-Bukhari membawa ayat al-Quran dalam tajuk babnya adalah untuk mengatakan (membandingkan) tugas isteri dalam hal menyusukan anak adalah seperti orang bisu (tidak wajib dan tidak bertanggungjawab menyusukannya). Ulama’ lain tidak bersetuju dengan analogi pengikut mazhab Shafie ini kerana pada mereka wanita juga mempunyai suara dan tanggungjawab dan tidak hanya menerima tetapi juga memberi, menyumbang dan mempunyai peranan.

4. Dari hadith pertama, Ummu Salamah bertanya kepada Nabi adakah beliau mendapat pahala jika dia memberi belanja kepada anak-anak Abu Salamah. Walaupun begitu, beliau mengatakan tidak akan membiarkan anak-anak itu kelaparan. Nabi mengatakan dia akan mendapat pahala ke atas setiap perbelanjaan yang dikeluarkannya. Disebabkan dalam jawapannnya Nabi tidak menekankan bahawa si ibu bertanggungjawab memberi belanja untuk anak itu, sesetengah ulama’ menyimpulkan bahawa ibu tidak berkewajipan membelanjakan (dan menyusukan) anaknya.

5. Dari hadith kedua, Hindun dibenarkan mengambil harta suaminya dengan cara yang baik (mencukupi) untuk belanja dirinya dan anaknya. Nabi sekadar membenarkan Hindun mengambil harta tersebut setakat yang perlu tetapi tidak berkata bahawa ambillah harta itu kerana ianya adalah juga miliknya (Hindun). Ada ulama’ berpendapat ini menunjukkan wanita tidak bertanggungjawab dalam menyediakan belanja kepada anak-anaknya.

6. Walaupun begitu, tidak semua ulama’ bersetuju dengan pendapat ini, bahkan mengatakan pendapat Imam Ahmad dan Ishaq adalah lebih sesuai iaitu wanita (ibu kepada anak dan isteri kepada si mati) adalah sama-sama bertanggungjawab dalam penyusuan anak. Ini adalah kerana isteripun termasuk dalam senarai pewaris (penerima pusaka) kepada si mati.

7. Dari hadith pertama, seseorang ibu yang mengeluarkan belanja untuk anaknya akan diberi pahala. Begitu juga seorang ayah, yang wajib menanggung anaknya, juga mendapat pahala jika dia menunaikan tanggungjawabnya. Kita boleh katakan bahawa diberinya pahala kepada seseorang adalah kerana perbuatannya bukan kerana ianya wajib atau tidak. Oleh itu diberinya pahala bukan bermaksud perkara itu tidak wajib ke atasnya.

8. Kesimpulannya, ibu kepada anak si mati (ayah) adalah merupakan pewaris kepada si mati, maka dia berkewajipan menjaga dan memberi belanja (menyusu) anaknya. Manakala dari hadith kedua, wanita tidak wajib membelanjakan hartanya untuk anaknya ketika suaminya (ayah kepada anaknya) masih hidup.

Leave a Reply