[HADITH TEMATIK-NAFKAH] – Siri 14 – Sabda Nabi s.a.w, “Sesiapa yang meninggalkan bebanan, hutang dsb atau anak-anak, terserahlah kepadaku”

VIDEO – [Durasi – 9m 33s] – [HADITH TEMATIK-NAFKAH]- Siri 14- Sesiapa yang meninggalkan hutang…atau anak, terserahlah kepadaku

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/04kj5ZV0mik ]

Video penuh asal – Sahih Bukhari (Kitab Nafkah) – • Sesi 3 – Ibu Hendaklah Menyusukan Anak Sel… & • Sesi 4 -Sediakan Pakaian Utk Wanita Dengan…

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – SABDA NABI S.A.W, “SESIAPA YANG MENINGGALKAN BEBANAN, HUTANG DSB ATAU ANAK-ANAK, TERSERAHLAH KEPADAKU”

باب قَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ مَنْ تَرَكَ كَلاًّ أَوْ ضَيَاعًا فَإِلَىَّ ‏”‏‏ ‏.‏

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ، عَنْ عُقَيْلٍ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُؤْتَى بِالرَّجُلِ الْمُتَوَفَّى عَلَيْهِ الدَّيْنُ، فَيَسْأَلُ ‏”‏ هَلْ تَرَكَ لِدَيْنِهِ فَضْلاً ‏”‏‏.‏ فَإِنْ حُدِّثَ أَنَّهُ تَرَكَ وَفَاءً صَلَّى، وَإِلاَّ قَالَ لِلْمُسْلِمِينَ ‏”‏ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ ‏”‏‏.‏ فَلَمَّا فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْفُتُوحَ قَالَ ‏”‏ أَنَا أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ، فَمَنْ تُوُفِّيَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فَتَرَكَ دَيْنًا فَعَلَىَّ قَضَاؤُهُ، وَمَنْ تَرَكَ مَالاً فَلِوَرَثَتِهِ ‏”‏‏.‏

Sabda Nabi s.a.w, “Sesiapa yang meninggalkan bebanan, hutang dsb atau anak-anak, terserahlah kepadaku”

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa dibawakan kepada Nabi s.a.w. orang mati yang meninggalkan (menanggung) hutang. Baginda bertanya, “Adakah dia meninggalkan harta yang lebih (untuk menyelesaikan hutangnya)”. Kalau diceritakan kepada Nabi s.a.w. bahawa dia meninggalkan sesuatu yang mencukupi untuk menyelesaikan hutangnya, Nabi s.a.w. menyembahyangkan jenazah itu. Kalau tidak, Baginda berkata kepada orang-orang Islam, “Sembahyangkan jenazah sahabat kamu”. Bila Allah s.w.t. memberikan kemenangan kepada Nabi s.a.w. Baginda pun berkata, “Aku lebih patut menjaga orang-orang mukmin lebih daripada diri mereka. Sesiapa daripada orang-orang mukmin yang mati lalu meninggalkan hutang menjadi tanggungjawabku menyelesaikannya. Sesiapa yang meninggalkan harta benda, maka harta bendanya itu adalah hak waris-warisnya”

[RINGKASAN] Sabda Nabi s.a.w, “Sesiapa yang meninggalkan bebanan, hutang dsb atau anak-anak, terserahlah kepadaku”

1. Nabi s.a.w. mengisyaratkan bahawa adalah tanggungjawab kerajaan Islam untuk menanggung bebanan seperti hutang (yang tidak dapat dibayar oleh orang Islam yang mati) dan menjaga anak-anak orang Islam yang terlantar. Dalam konteks zaman sekarang, anak-anak terlantar boleh jadi anak-anak yang tidak diketahui siapa ayah dan ibunya, maka Baitulmallah yang bertanggungjawab menjaganya.

2. Hadith ini menceritakan tentang hutang dan tanggungan (anak-anak) orang yang mati, tetapi dalam bab nafkah ini, penekanan adalah kepada tanggungjawab menjaga anak-anak yang terlantar (mungkin kerana kematian ibu bapa atau sememangnya tidak diketahui di mana ibu bapanya [atau warisnya]).

3. Di peringkat awal Islam di mana tidak banyak harta dimiliki Nabi (Kerajaan), Nabi s.a.w. tidak mahu solat ke atas jenazah yang mempunyai tanggungan hutang (dimana harta yang ditinggalkan tidak dapat membayar hutangnya), sebaliknya Baginda menyuruh Sahabat-Sahabat menyembahyangkan jenazah tadi. Ini menunjukkan bahawa hal berkaitan hutang adalah suatu perkara yang serius dan kita tidak boleh bermudah-mudah dengannya. Seseorang yang berhutang wajib mempunyai niat untuk melunaskan hutangnya itu.

4. Ada ulama’ berpendapat bahawa Nabi tidak mahu menyembahyangkan orang yang ada hutang kerana dengan adanya hutang tersebut doanya tidak diterima sedangkan solat jenazah adalah satu bentuk doa.

5. Apabila Islam mendapat kemenangan dan mempunyai harta yang banyak, Nabi bersabda, “Akulah orang yang paling dekat kepada orang mukmin, lebih dekat dari diri mereka sendiri”. [Nota: Hadith ini mirip dengan ayat al-Quran, Surah al-Azhab, ayat 6. Antara ciri-ciri hadith sahih ialah maksudnya selari dengan ayat al-Quran]. Jika seseorang kasih kepada dirinya, Nabi s.a.w. lebih kasih kepada dirinya berbanding dengan dirinya sendiri. Baginda menyambung dengan bersabda, “Sesiapa daripada orang mukmin yang meninggalkan hutang menjadi kewajipan saya (sebagai ketua negara Islam) menyelesaikannya dan sesiapa yang meninggalkan harta benda, itu adalah hak warisnya”. Jika seorang mukmin mati dan meninggalkan hutang dan anak, kerajaan Islam yang akan bertanggungjawab menanggungnya.

6. Inilah antara sebab mengapa di zaman-zaman awal Islam, orang Islam tidak takut mati untuk berjuang. Dengan adanya jaminan bahawa tanggungan mereka (anak-anak dan isteri) akan dibela oleh kerajaan mereka tidak lagi khuatir tentang nasib tanggungan mereka jika mereka mati di dalam peperangan. Inilah fungsi kerajaan Islam, iaitu membela dan menjaga masyarakat menyebabkan rakyat tidak bimbang terhadap nasib mereka dan tanggungan mereka di masa hadapan.

7. Di zaman kemudian, di zaman kemerosotan Islam bila umat Islam mundur dan kemudiannya dijajah, harta kekayaan negara menjadi milik peribadi raja-raja dan pemerintah. Pemerintah memberi gaji kepada askar-askar untuk mempertahankan pemerintah dan negara manakala rakyat biasa dipinggirkan. Tiada lagi jaminan kepada rakyat seperti yang berlaku di zaman awal Islam. Rakyat tidak mempunyai sebab dan motivasi untuk mempertahankan kerajaan manakala askar-askar yang dibayar gaji itupun bekerja sekadar untuk mendapat upah dan bukannya kerana berjihad.

8. Kerajaan Islam yang benar akan menjamin pendidikan (yang benar di segi agama) dan kebajikan rakyatnya tidak sebagaimana apa yang berlaku sekarang, Pada zaman sekarang banyak berlaku ketempangan terutamanya di segi pendidikan Islam yang benar yang mampu melahirkan suatu masyrakat yang kuat dan berjiwa Islam.

9. Bila kerajaan memikirkan kebajikan rakyat, rakyat akan sayang kepada kerajaan (pemerintah) dan begitulah sebaliknya. Kita boleh ambil iktibar dari kejatuhan kerajaan Islam di India, di mana pemerintah Islam digulingkan kerana sikiap raja (pemerintah) yang suka berfoya-foya dan membazirkan harta rakyat.

Leave a Reply