[TAQDIR] – Siri 5 – Allah Maha Mengetahui Tentang Apa Yang Mereka Akan Lakukan [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 10m 12s] – [TAQDIR] – Siri 5 -Allah Maha Mengetahui Tentang Apa Yang Mereka Akan Lakukan [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/_ffuIJ3N-bs ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Tentang Taqdir – [Sahih al-Bukhar…   [ Sahih al-Bukhari (Kitab Taqdir )]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – ALLAH MAHA MENGETAHUI TENTANG APA YANG MEREKA AKAN LAKUKAN

اب اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ

{حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، حَدَّثَنَا غُنْدَرٌ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ أَبِي بِشْرٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَنْ أَوْلاَدِ الْمُشْرِكِينَ فَقَالَ ‏”‏ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ ‏”‏‏.‏

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ، عَنْ يُونُسَ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، قَالَ وَأَخْبَرَنِي عَطَاءُ بْنُ يَزِيدَ، أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ، يَقُولُ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ ذَرَارِيِّ الْمُشْرِكِينَ فَقَالَ ‏{‏اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ ‏}‏

حَدَّثَنِي إِسْحَاقُ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ، عَنْ هَمَّامٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلاَّ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ، كَمَا تُنْتِجُونَ الْبَهِيمَةَ، هَلْ تَجِدُونَ فِيهَا مِنْ جَدْعَاءَ حَتَّى تَكُونُوا أَنْتُمْ تَجْدَعُونَهَا ‏”‏‏.‏ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَرَأَيْتَ مَنْ يَمُوتُ وَهْوَ صَغِيرٌ قَالَ ‏{‏اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ‏}‏

Allah Maha Mengetahui Tentang Apa Yang Mereka Akan Lakukan

Hadith Pertama – Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, beliau berkata Rasulullah s.a.w. pernah ditanya tentang anak-anak orang-orang musyrikin. Baginda bersabda, “Allah maha mengetahui tentang apa yang mereka akan lakukan (sekiranya mereka terus hidup)”.

Hadith Kedua – Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah s.a.w. ditanya tentang anak-anak orang-orang musyrikin. Baginda bersabda, “Allah maha mengetahui tentang apa yang mereka akan lakukan (sekiranya mereka terus hidup)”.

Hadith Ketiga – Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah bersabda, “Tidak ada seorangpun yang dilahirkan (tidak ada seorangpun anak melainkan ia dilahirkan) dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani seperti mana kamu mengeluarkan anak dari perut binatang. Adakah kamu dapati sebarang kekurangan pada anak binatang itu? Tidak ada. Sehinggalah kamu yang mengubah kejadiannya. Kamulah yang melubangi telinganya ataupun sebagainya. (Kamulah yang mengubah kejadiannya)”. Mereka berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan orang yang mati ketika masih kecil?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Allah maha tahu tentang apa yang mereka akan lakukan”.

[RINGKASAN] Allah Maha Mengetahui Tentang Apa Yang Mereka Akan Lakukan

1. Ada orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang anak-anak orang kafir (yang meninggal dunia semasa kecil). Nabi s.a.w. menjawab, “Allah maha mengetahui tentang apa yang mereka akan lakukan”. Ianya bermaksud, sekiranya mereka terus hidup Allah maha tahu apa yang akan mereka lakukan. Seorang anak orang kafir biasanya akan membesar dalam keadaan mengikut keluarganya yang kafir. Walaupun begitu ada juga yang memeluk Islam setelah dia besar.

2. Ada tiga pendapat tentang apa yang akan terjadi kepada anak orang kafir yang meninggal dunia semasa kecil, iaitu,

i) Allah maha tahu apa yang akan mereka lakukan jika mereka hidup sehingga akil baligh. Balasan Allah adalah berdasarkan pengetahuan Allah ini, sama ada dia akan menjadi orang kafir atau orang Islam.

ii. pendapat kedua, semua anak-anak orang kafir akan masuk syurga kerana semasa meninggal mereka belum lagi “mukallaf” (dibebankan dengan tanggungjawab syariat). Mereka dilahirkan dalam keadaan suci dan mereka layak masuk syurga. Ini adalah pendapat Imam an-Nawawi dan beliau berpendapat inilah yang tepat.

iii. ada segolongan ulama’ yang berdiam diri dan enggan memberi pendapat dalam hal ini. Mereka menyerahkannya kepada Allah.

3. Hadith ketiga menyatakan setiap anak (tidak kira sama ada ibu bapanya Islam atau kafir) dilahirkan dalam keadaan fitrah. Sesetengah orang berpendapat, “fitrah” itu bermaksud “Islam”, iaitu anak-anak dilahirkan dalam keadaan Islam. Pendapat ini tidak benar. Maksud sebenar, “Dilahirkan atas fitrah” ialah, “Dilahirkan di atas kejadian asal”, iaitu di atas naluri manusia yang suci (asal), naluri beragama. Jika tidak dipengaruhi apa-apa, anak-anak ini akan mudah menerima jika diceritakan tentang Islam kerana jiwanya sudah sedia (ada bakat) untuk menerima Islam.

4. Dalam Islam setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci, tidak berdosa, tidak sebagaimana ajaran Kristian yang percaya bahawa anak dialhirkan dalam keadaan berdosa dan hanya bersih bila Nabi Isa mengorbankan dirinya.

5. Fitrah kejadian manusia juga boleh bermaksud, “Manusia ada ikhtiar, usaha, pilihan dan diberikan akal”. Dengan fitrah ini, manusia boleh menerima hujjah yang benar, berkehendakkan perkara baik dan menolak perkara yang membahayakan mereka. Fitrah ini adalah seperti memerlukan perlindungan dan penyelamat bila takut. Fitrah ini adalah asas kepada penerimaan agama. Akal manusia akan berkata adalah tidak logik Allah yang mencipta dunia dan alam semesta ini tidak menyediakan panduan hidup kepada manusia.

6. Selepas seorang anak dilahirkan, ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani. Ini bermaksud, apa yang berlaku ada kaitannya dengan sebab musabab. Nabi s.a.w. memberi contoh, ketika seekor haiwan dilahirkan ianya tiada cacat cela tetapi manusialah yang mengubah keadaan haiwan tersebut seperti melubangi telinganya dll. 7. Bagaimana keadaan anak orang kafir yang meninggal semasa kecil? Hadith ini adalah umum, tidak menyatakan sama ada anak orang Islam atau kafir. Pendapat yang tepat ialah anak-anak orang kafir yang mati semasa kecil akan dimasukkan ke dalam syurga.

[TAQDIR] – Siri 4 – Pen Telah Kering Dengan Pengetahuan Daripada Allah [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 10m 56s] – [TAQDIR] – Siri 4 – Pen Telah Kering Dengan Pengetahuan Daripada Allah [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/f_bBM4bbrFo ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Tentang Taqdir – [Sahih al-Bukhar…   [ Sahih al-Bukhari (Kitab Taqdir )]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – PEN (DAKWAT) TELAH KERING DENGAN PENGETAHUAN DARIPADA ALLAH (DENGAN DIKETAHUI ALLAH)

باب جَفَّ الْقَلَمُ عَلَى عِلْمِ اللَّهِ {وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ}

وَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ قَالَ لِي النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «جَفَّ الْقَلَمُ بِمَا أَنْتَ لاَقٍ». قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: {لَهَا سَابِقُونَ} سَبَقَتْ لَهُمُ السَّعَادَةُ.

حَدَّثَنَا آدَمُ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، حَدَّثَنَا يَزِيدُ الرِّشْكُ، قَالَ سَمِعْتُ مُطَرِّفَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الشِّخِّيرِ، يُحَدِّثُ عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ، قَالَ قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُعْرَفُ أَهْلُ الْجَنَّةِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ قَالَ ‏”‏ نَعَمْ ‏”‏‏.‏ قَالَ فَلِمَ يَعْمَلُ الْعَامِلُونَ قَالَ ‏”‏كُلٌّ يَعْمَلُ لِمَا خُلِقَ لَهُ ـ أَوْ لِمَا يُسِّرَ لَهُ‏”‏ ‏.‏

Pen (dakwat) Telah Kering Dengan Pengetahuan Daripada Allah (Dengan Diketahui Allah)

Hadith Pertama – [Terjemahan Pertama] Firman Allah Taala (yang bermaksud): Dan Allah menyesatkannya dengan diketahui-Nya (Allah). [Terjemahan kedua: Allah menyesatkannya dalam keadaan dia (orang yang disesatkan itu) sedar]. Kata Abu Hurairah, Nabi s.a.w. berkata kepadaku, “Pen telah pun kering (mencatatkan apa yang kau akan hadapi)”. Ibnu Abbas berkata, “Kepadanya mereka mendahului (Kebahagiaan mendahului mereka).

Hadith Kedua – Diriwayatkan daripada ‘Imran Bin Hushain, katanya: Ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah! Apakah boleh diketahui ahli syurga dan ahli neraka?”. Nabi s.a.w. berkata, “Boleh!”. Orang itu berkata, “Kalau begitu, orang-orang yang beramal itu untuk apa?”. Nabi s.a.w. bersabda, “Setiap orang beramal mengikut apa yang dipermudahkan kepadanya”.

[RINGKASAN] Pen (Dakwat) Telah Kering Dengan Pengetahuan Daripada Allah (Dengan Diketahui Allah)

1. Firman Allah (al-Jatsiyah, ayat 23), mafhumnya: “Dan Allah menyesatkannya dengan pengetahuan-Nya”, boleh bermaksud, Allah mengetahui bahawa orang itu akan sesat atau boleh bermaksud, orang yang disesatkan itu sedar perbuatannya yang sesat. Ayat al-Quran ini menegaskan Allah menyesatkannya dalam keadaan dia (orang itu) sendiri sedar; dia sedar dan memilih kesesatan tersebut dan dia mendapat apa yang dipilihnya.

2. Sabda Nabi s.a.w., “Pen telah kering”, bermaksud apa yang Allah taala perintahkan (seperti tercatit di Luh Mahfuz) telah pun selesai, bukan baharu diputuskan. Ianya ditulis dengan pengetahuan Allah, iaitu apa yang dikehendaki Allah.

3. “Pen telah pun kering”, apa yang kamu akan alami dan hadapi telah pun selesai dicatit. Oleh itu kita dapati, ada orang yang bekerja keras tetapi pendapatannya hanya sedikit. Ini adalah kerana rezekinya telah ditetapkan sebanyak itu. Kita hanya akan dapat tahu apa yang ditentukan kepada seseorang itu setelah selesainya sesuatu perkara. Ianya adalah di atas ketentuan dan kehendak Allah s.w.t.

4. Al-Quran menyebut (Surah al-Mu’minun, ayat 61), “Mereka bersegera kepada kebajikan-kebajikan dan mereka adalah orang-orang yang mendahului melakukan kebajikan-kebajikan”. Ibnu Abbas mentafsirkan ayat ini sebagaimana berikut, “Orang-orang ini ialah orang yang kebahagiaan ditetapkan oeh Allah mendahuluinya”. Sebab itulah kita dapati dia bersegera dalam berbuat kebaikan. Dia menjadi baik kerana ada kaitannya dengan taqdir (ketetapan Allah).

5. Ada orang bertanya Rasulullah, bolehkah kita mengenal (membezakan) antara ahli syurga dan ahli neraka. Nabi s.a.w. menjawab, “Boleh!”. Kita boleh mengenalinya dengan melihat keadaan seseorang itu di segi zahir seperti adakah dia seorang yang taat, derhaka dsb. Untuk manusia biasa, kita hanya dapat mengenali ahli syurga atau neraka berdasarkan alamat-alamat dan sayugia diingat bahawa alamat ini tidaklah sentiasa tepat. Alamat-alamat ini tidaklah muktamad. Contohnya, ada di dalam hadith kisah orang-orang yang mati berjihad di medan perang tetapi diberitahu Nabi bahawa mereka adalah ahli neraka. Ini terbukti benar bila seorang darinya didapati membunuh diri kerana tidak tahan sakit dan seorang lagi kerana mengambil harta rampasan perang dengan khianat.

Hanya Nabi s.a.w. yang mengetahuinya dengan tepat tetapi ini hanya setakat apa yang diberitahu oleh Allah sahaja. Soalan orang tadi boleh jadi berkenaan adakah malaikat tahu siapakah ahli syurga atau ahli neraka. Jawapan kepada soalan ini ialah malaikat boleh mengetahuinya berdasarkan apa yang dicatatkan di Luh Mahfuz, tetapi pengetahuan sebenar hanya di sisi Allah kerana apa yang ada di Loh Mahfuz boleh berubah mengikut kehendak Allah. Setelah mendengar jawapan Nabi s.a.w. orang itu berkata, “Kalau begitu apa perlunya beramal sedangkan ianya sudah diputuskan oleh Allah?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Setiap manusia, dia beramal mengikut apa yang dipermudahkan kepadanya untuknya”. Jika ditakdirkan kita adalah ahli syurga, Allah permudahkan kita untuk melakukan amalan-amalan untuk memasuki syurga dan begitulah sebaliknya. Perbuatan-perbuatan manusia adalah alamat-alamat (tanda-tanda) tetapi ianya tidak muktamad. Yang pastinya Allah sekali-kali tidak akan menganiayai hamba-hamba-Nya (Fussilat, ayat 46), “Allah tidak akan palingkan hati (dari kebaikan) hamba-Nya yang ikhlas dalam berbuat kebaikan”. Sekiranya ada dalam kitab-kitab kisah orang yang berubah di akhir hayatnya, ada sesuatu yang tidak kena dengan orang tersebut. Contohnya, orang yang alim, berilmu (suatu sifat yang baik) tetapi pada masa yang sama dia adalah seorang yang mementingkan dunia dan kebendaan (materialistik). Jika seseorang itu bergelumang dengan perbuatan maksiat, akan tertutup jalan kebaikan di saat akhir kehidupannya.

6. Perlu diingat kaedah taqdir bahawa Allah s.w.t. tahu seseorang itu akan masuk syurga atau neraka. Ianya tidak bermakna Allah memaksakan sesuatu. Allah tahu manusia akan berbuat sesuatu dengan pilihan dan ikhtiarnya. Allah tahu dengan ikhtiarnya, seseorang akan memilih suatu jalan. Alllah s.w.t. memberi kebebasan penuh kepada manusia. Sesiapa yang mahu beriman hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya (al-Kahfi, ayat 29). Allah tidak suruh seseorang menjadi jahat, tetapi itu adalah pilihannya sendiri. Kalau seseorang memilih yang baik, dia akan mendapat yang baik, jika dia pilih yang buruk, dia akan mendapat yang buruk. Oleh itu kita perlu berhati-hati supaya tidak salah memilih jalan hidup yang kita mahu

[TAQDIR] – Siri 3 – Taqdir [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 5m 57s] – [TAQDIR] – Siri 3 – Taqdir [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/vgmgQGLx9ng ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Tentang Taqdir – [Sahih al-Bukhar…   [ Sahih al-Bukhari (Kitab Taqdir )]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

TAQDIR – MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب فِي الْقَدَرِ

حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ، هِشَامُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، أَنْبَأَنِي سُلَيْمَانُ الأَعْمَشُ، قَالَ سَمِعْتُ زَيْدَ بْنَ وَهْبٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَهْوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ قَالَ ‏”‏ إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَبْعَثُ اللَّهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعٍ بِرِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَشَقِيٌّ، أَوْ سَعِيدٌ، فَوَاللَّهِ إِنَّ أَحَدَكُمْ ـ أَوِ الرَّجُلَ ـ يَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا غَيْرُ بَاعٍ أَوْ ذِرَاعٍ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا غَيْرُ ذِرَاعٍ أَوْ ذِرَاعَيْنِ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، فَيَدْخُلُهَا ‏”‏‏.‏ قَالَ آدَمُ إِلاَّ ذِرَاعٌ‏.‏

حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ حَرْبٍ، حَدَّثَنَا حَمَّادٌ، عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي بَكْرِ بْنِ أَنَسٍ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ وَكَّلَ اللَّهُ بِالرَّحِمِ مَلَكًا فَيَقُولُ أَىْ رَبِّ نُطْفَةٌ، أَىْ رَبِّ عَلَقَةٌ، أَىْ رَبِّ مُضْغَةٌ‏.‏ فَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ أَنْ يَقْضِيَ خَلْقَهَا قَالَ أَىْ رَبِّ ذَكَرٌ أَمْ أُنْثَى أَشَقِيٌّ أَمْ سَعِيدٌ فَمَا الرِّزْقُ فَمَا الأَجَلُ فَيُكْتَبُ كَذَلِكَ فِي بَطْنِ أُمِّهِ ‏”‏‏.‏

Taqdir

Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata, Rasulullah s.a.w. telah menceritakan kepada kami, dan beliau benar dan yang dibenarkan, “Sesungguhnya seseorang dari kamu dikumpulkan dalam perut ibunya selama 40 hari. Kemudian dia menjadi “alaqah” (segumpal darah) selama itu juga, kemudian dia menjadi segumpal daging selama itu juga, kemudian Allah mengutuskan malaikat, lalu diperintahkan kepadanya dengan empat perkara, (iaitu) diperintahkan supaya dicatit rezekinya, ajalnya, celaka atau bahagianya. Demi Allah, seseorang itu benar-benar melakukan amalan ahli neraka sehingga tidak tinggal antaranya dengan neraka kecuali satu hasta sahaja (ataupun sehingga apabila tinggal sehasta sahaja antara dia dengan neraka itu). Taqdir yang ditentukan untuknya mendahuluinya, lalu dia beramal dengan amalan ahli syurga lalu masuklah dia ke dalam syurga. Dan seseorang itu benar-benar beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak tinggal di antaranya syurga kecuali satu hasta (ataupun tidak tinggal antaranya dengan syurga satu hasta). Taqdir yang ditentukan kepadanya mendahuluinya. Maka dia beramal dengan amalan ahli neraka lalu masuklah dia ke dalamnya. Abi Abdillah berkata, Adam (perawi kepada hadith ini) berkata, “Tanpa syak, tanpa syak”.

Hadith Kedua – Diriwayatkan dari Anas bin Malik dari Nabi s.a.w., sabda Baginda, Allah mewakilkan satu malaikat di rahim. Malaikat itu berkata, “Oh Tuhanku! Satu nutfah (telah masuk) ke dalam rahim. Oh Tuhanku! Segumpal darah. Oh Tuhanku! Segumpal daging!”. Apabila Allah mahu menyempurnakan kejadiannya, dia berkata, “Oh Tuhanku! Lelaki atau perempuan, celaka atau bahagia, apa rezekinya, apa ajalnya?”. Maka dituliskan begitu (sebagaimana yang diperintahkan dalam perut ibunya).

[RINGKASAN] Taqdir

1. (Malaikat mencatat tentang bayi yang ada di dalam kandungan) Celaka atau bahagia, rezekinya, ajalnya. Perkara-perkara ini diketahui oleh malaikat tetapi hakikat sebenarnya hanya Allah yang tahu. Taqdir ini boleh jadi berlaku seperti yang tertulis dan mungkin tidak berlaku kerana taqdir itu ada yang “mubram” (muktamad) dan ada yang “muallaq” (tergantung).

2. Kesudahan seseorang sama ada celaka atau bahagia merujuk kepada bagaimana keadaan di akhir kehidupannya.

3. Rezeki seseorang adalah apa yang diperolehi sepanjang hidupnya.

4. Ajal pula ada dua, iaitu ajal yang khusus iaitu kematian seseorang, manakala ajal yang umum ialah bilakah masanya sesuatu perkara akan berlaku.

Kita hendaklah percaya, iaitu di segi aqidah, ajal dan segala-galanya adalah ketentuan mutlak dari Allah. Walaupun begitu, oleh kerana kita tidak tahu apakah yang telah ditetapkan oleh Allah, kita dituntut untuk berusaha dan berikhtiar berdasarkan “sunnatullah”, iaitu berdasarkan sebab dan akibat. Kita hendaklah mengambil yang zahir, malah adalah salah sekiranya kita meninggalkan sebab dan akibat.

[TAQDIR] – Siri 2 – Taqdir (Qada’) Mubram (Muktamad) & Muallaq (Tergantung) [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 6m 21s] – [TAQDIR] – Siri 2 – Taqdir (Qada’) Mubram (Muktamad) & Muallaq (Tergantung) [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/ABdUJkd0pc8 ]

Video penuh asal –    • Sesi 5 -Binasanya Sebahagian Umat Ini Dgn …   – Sahih Muslim (Kitab Fitnah Dan Tanda Kiamat)

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

TAQDIR (QADA’) “MUBRAM” (MUKTAMAD) DAN “MUALLAQ” (TERGANTUNG)

دَّثَنَا أَبُو الرَّبِيعِ الْعَتَكِيُّ، وَقُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، كِلاَهُمَا عَنْ حَمَّادِ بْنِ زَيْدٍ، – وَاللَّفْظُ لِقُتَيْبَةَ – حَدَّثَنَا حَمَّادٌ، عَنْ أَيُّوبَ، عَنْ أَبِي قِلاَبَةَ، عَنْ أَبِي أَسْمَاءَ، عَنْ ثَوْبَانَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنَّ اللَّهَ زَوَى لِيَ الأَرْضَ فَرَأَيْتُ مَشَارِقَهَا وَمَغَارِبَهَا وَإِنَّ أُمَّتِي سَيَبْلُغُ مُلْكُهَا مَا زُوِيَ لِي مِنْهَا وَأُعْطِيتُ الْكَنْزَيْنِ الأَحْمَرَ وَالأَبْيَضَ وَإِنِّي سَأَلْتُ رَبِّي لأُمَّتِي أَنْ لاَ يُهْلِكَهَا بِسَنَةٍ بِعَامَّةٍ وَأَنْ لاَ يُسَلِّطَ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ سِوَى أَنْفُسِهِمْ فَيَسْتَبِيحَ بَيْضَتَهُمْ وَإِنَّ رَبِّي قَالَ يَا مُحَمَّدُ إِنِّي إِذَا قَضَيْتُ قَضَاءً فَإِنَّهُ لاَ يُرَدُّ وَإِنِّي أَعْطَيْتُكَ لأُمَّتِكَ أَنْ لاَ أُهْلِكَهُمْ بِسَنَةٍ بِعَامَّةٍ وَأَنْ لاَ أُسَلِّطَ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ سِوَى أَنْفُسِهِمْ يَسْتَبِيحُ بَيْضَتَهُمْ وَلَوِ اجْتَمَعَ عَلَيْهِمْ مَنْ بِأَقْطَارِهَا – أَوْ قَالَ مَنْ بَيْنَ أَقْطَارِهَا – حَتَّى يَكُونَ بَعْضُهُمْ يُهْلِكُ بَعْضًا وَيَسْبِي بَعْضُهُمْ بَعْضًا ‏”‏

Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan daripada Tsauban katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah mengecilkan bumi kepadaku (atau mendekatkan bumi kepadaku) sehingga aku nampak “masyrik” dan “maghrib” (seluruh pelusuk bumi). Sesungguhnya kerajaan umatku akan sampai ke tempat yang ditunjukkan kepadaku itu dan aku diberikan dua gedung, yang merah dan yang putih. Sesungguhnya aku telah meminta kepada tuhanku untuk umatku supaya Dia tidak membinasakannya dengan kemarau (yang umum) dan tidak memberi musuh menguasai mereka selain dari kalangan mereka sendiri sehingga musuh itu dapat menghalalkan kehormatan mereka (kemuliaan mereka, kumpulan (semua sekali) mereka atau kerajaan mereka) dan sesungguhnya tuhanku berkata: Wahai Muhammad! Sesungguhnya bila Aku memutuskan sesuatu keputusan maka ia tidak dapat ditolak dan sesungguhnya Aku berikan kepadamu untuk umat, iaitu, Aku tidak akan membinasakan mereka dengan kemarau (yang umum) dan Aku tidak akan membiarkan musuh menguasai mereka sehingga musuh itu menghalalkan kehormatan mereka (ataupun memusnahkan mereka sesama sendiri) walaupun pihak musuh itu bersatu menentang mereka dari segala pelusuk bumi sehingga sebahagian mereka (iaitu orang Islam sendiri) membinasakan sebahagian yang lain. Sebahagian mereka menawan sebahagian yang lain”.

[RINGKASAN]

1. Allah berfirman bila Dia putuskan sesuatu ianya tidak boleh ditolak. Ini merujuk kepada taqdir (qada’) “mubram” (muktamad). Taqdir (Qada’) ada dua iaitu “mubram” (muktamad) dan “muallaq” (yang boleh berubah bergantung dengan adanya usaha, doa dsb). Antara contoh taqdir “muallaq” (tergantung) ialah terkabulnya doa Nabi melalui firman-Nya, “Dan aku berikan kepada umatmu…”.

2. Taqdir “muallaq” adalah taqdir yang “tergantung”, walaupun pada hakikatnya Allah telah tahu akan kesudahannya. Sekiranya seseorang itu berusaha atau berdoa, ianya boleh berubah, contohnya, seseorang mendapat penyakit yang boleh menyebabkan kematian, jika dia menemui ubatnya dia mungkin boleh sembuh.

3. Allah dengan ilmu-Nya sudah mengetahui apa yang akan berlaku. Tetapi dengan ilmu-Nya, tidak bermakna Dia “memaksa”. Contohnya, kita tahu pisau akan menghiris dan melukakan, dan dengan akalnya manusia tidak akan melukakan tangannya dengan pisau. Di sinilah berfungsinya “ikhtiar” (pilihan). Walaupun begitu, hakikatnya “ikhtiar” atau pilihan pun dijadikan oleh Allah tetapi kita tidak rasa walaupun sedikit dikawal atau disekat dan kita akan rasa bahawa perbuatan itu adalah dari kita. “Taqdir”nya adalah kita ditentukan bersifat demikian (diberi pilihan) tidak seperti malaikat yang tidak ada pilhan kecuali mengambil yang baik sahaja. Manusia tidak akan rasa terhalang untuk memilih yang baik atau yang buruk kecuali dengan adanya kesedaran agama atau akal yang waras.

4. Taqdir yang tidak boleh ditolak adalah taqdir “mubram” tetapi oleh kerana kita tidak tahu adakah sesuatu taqdir itu “mubram” atau “muallaq” kita diperintahkan berikhtiar dan membuat pilihan. Dalil adanya taqdir mubram ialah firman Allah, “Wahai Muhammad! Sesungguhnya bila Aku memutuskan sesuatu keputusan maka ia tidak dapat ditolak…”. 5. Contoh taqdir “muallaq” ialah firman Allah “Sesungguhnya Aku berikan kepadamu untuk umat, iaitu, Aku tidak akan membinasakan mereka dengan kemarau (yang umum)…” setelah Nabi berdoa kepada Allah. Keputusan (taqdir) yang ditetapkan oleh Allah ada kaitan dengan permintaan dan doa Nabi s.a.w.

[TAQDIR] – Siri 1 – Apakah Maksud “Qada’ ” Dan “Qadr” (Takdir)? [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 9m 46s] – [TAQDIR] – Siri 1 – Apakah Maksud “Qada’ ” Dan “Qadr” (Takdir)? [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/6Ncnl8b0r5g ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Tentang Taqdir – [Sahih al-Bukhar…  

Saranan Video Untuk Perbincangan Lanjut – [RUKUN IMAN] –  BERIMAN DENGAN TAKDIR  

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

[RINGKASAN] Apakah Maksud “Qada’ ” Dan “Qadr” (Takdir)?

1. Sebahagian ulama’ berpendapat qada’ ialah ketentuan secara kasar (umum) terhadap sesuatu kejadian dan takdir ialah ketentuan secara terperinci (perlaksanaan qada’).

2. Semua perkara yang berlaku di alam semesta berlaku dengan qada’ dan qadr (takdir) Allah dan tidak terlepas dari ketentuan Allah.

3. Istilah lain untuk takdir ialah “sunnatullah” atau ketetapan Allah untuk segala makluk yang dicipta-Nya. Contohnya, jika kita hendak buah durian, kita mestilah menanam pokok durian, kalau kita tanam pokok nenas kita tidak akan dapat buah durian.

4. “Sunnatullah” untuk kita manusia ialah kita ada “ikhtiar” (usaha). Kita ada pilihan sama ada untuk jadi Islam atau kafir, ada pilihan untuk buat maksiat atau taat. Kita diberi pahala atau dosa ke atas perkara yang kita diberi peluang untuk membuat pilihan. Sekiranya kita melakukan kesalahan di luar pilihan kita, contohnya berkata kufur dalam tidur, kita tidak dihukum. Begitu juga tiada hukuman ke atas orang gila. Manakala “taqdir” makhluk seperti malaikat ialah tidak diberi pilihan, mereka dicipta untuk berlaku taat kepada Allah.

5. Menurut ulama’ hadith, qada’ dan qadr dibahagi kepada dua bahagian iaitu qada’ takwini dan qada’ tasyri’i. Qada’ takwini ialah ketetapan Allah dalam kejadian seperti menetapkan buah peria menjadi pahit dan menetapkan makhluk manusia ada pilihan dan ikhtiar. Qada’ tasyri’i adalah ketetapan Allah dalam bentuk “syariat” untuk manusia dan jin sahaja. Contohnya, Allah tetapkan manusia tidak boleh minum arak, berzina, diwajibkan solat dan puasa dsb.

6. Qada’ tasyri’i tidak boleh diubah, tetapi qada’ takwini ada kemungkinan boleh diubah setakat mana kemampuan yang Allah bagi kepada manusia (dan ia masih terikat dengan ‘takwini’ [sunnatullah]). Sebagai peringatan, walaupun manusia diberi kemampuan untuk “mengubah” kejadian Allah, setiap perkara yang akan berlaku adalah semuanya dalam ketentuan dan pengetahuan Allah.