[TAQDIR] – Siri 4 – Pen Telah Kering Dengan Pengetahuan Daripada Allah [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 10m 56s] – [TAQDIR] – Siri 4 – Pen Telah Kering Dengan Pengetahuan Daripada Allah [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/f_bBM4bbrFo ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Tentang Taqdir – [Sahih al-Bukhar…   [ Sahih al-Bukhari (Kitab Taqdir )]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – PEN (DAKWAT) TELAH KERING DENGAN PENGETAHUAN DARIPADA ALLAH (DENGAN DIKETAHUI ALLAH)

باب جَفَّ الْقَلَمُ عَلَى عِلْمِ اللَّهِ {وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ}

وَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ قَالَ لِي النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «جَفَّ الْقَلَمُ بِمَا أَنْتَ لاَقٍ». قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: {لَهَا سَابِقُونَ} سَبَقَتْ لَهُمُ السَّعَادَةُ.

حَدَّثَنَا آدَمُ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، حَدَّثَنَا يَزِيدُ الرِّشْكُ، قَالَ سَمِعْتُ مُطَرِّفَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الشِّخِّيرِ، يُحَدِّثُ عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ، قَالَ قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُعْرَفُ أَهْلُ الْجَنَّةِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ قَالَ ‏”‏ نَعَمْ ‏”‏‏.‏ قَالَ فَلِمَ يَعْمَلُ الْعَامِلُونَ قَالَ ‏”‏كُلٌّ يَعْمَلُ لِمَا خُلِقَ لَهُ ـ أَوْ لِمَا يُسِّرَ لَهُ‏”‏ ‏.‏

Pen (dakwat) Telah Kering Dengan Pengetahuan Daripada Allah (Dengan Diketahui Allah)

Hadith Pertama – [Terjemahan Pertama] Firman Allah Taala (yang bermaksud): Dan Allah menyesatkannya dengan diketahui-Nya (Allah). [Terjemahan kedua: Allah menyesatkannya dalam keadaan dia (orang yang disesatkan itu) sedar]. Kata Abu Hurairah, Nabi s.a.w. berkata kepadaku, “Pen telah pun kering (mencatatkan apa yang kau akan hadapi)”. Ibnu Abbas berkata, “Kepadanya mereka mendahului (Kebahagiaan mendahului mereka).

Hadith Kedua – Diriwayatkan daripada ‘Imran Bin Hushain, katanya: Ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah! Apakah boleh diketahui ahli syurga dan ahli neraka?”. Nabi s.a.w. berkata, “Boleh!”. Orang itu berkata, “Kalau begitu, orang-orang yang beramal itu untuk apa?”. Nabi s.a.w. bersabda, “Setiap orang beramal mengikut apa yang dipermudahkan kepadanya”.

[RINGKASAN] Pen (Dakwat) Telah Kering Dengan Pengetahuan Daripada Allah (Dengan Diketahui Allah)

1. Firman Allah (al-Jatsiyah, ayat 23), mafhumnya: “Dan Allah menyesatkannya dengan pengetahuan-Nya”, boleh bermaksud, Allah mengetahui bahawa orang itu akan sesat atau boleh bermaksud, orang yang disesatkan itu sedar perbuatannya yang sesat. Ayat al-Quran ini menegaskan Allah menyesatkannya dalam keadaan dia (orang itu) sendiri sedar; dia sedar dan memilih kesesatan tersebut dan dia mendapat apa yang dipilihnya.

2. Sabda Nabi s.a.w., “Pen telah kering”, bermaksud apa yang Allah taala perintahkan (seperti tercatit di Luh Mahfuz) telah pun selesai, bukan baharu diputuskan. Ianya ditulis dengan pengetahuan Allah, iaitu apa yang dikehendaki Allah.

3. “Pen telah pun kering”, apa yang kamu akan alami dan hadapi telah pun selesai dicatit. Oleh itu kita dapati, ada orang yang bekerja keras tetapi pendapatannya hanya sedikit. Ini adalah kerana rezekinya telah ditetapkan sebanyak itu. Kita hanya akan dapat tahu apa yang ditentukan kepada seseorang itu setelah selesainya sesuatu perkara. Ianya adalah di atas ketentuan dan kehendak Allah s.w.t.

4. Al-Quran menyebut (Surah al-Mu’minun, ayat 61), “Mereka bersegera kepada kebajikan-kebajikan dan mereka adalah orang-orang yang mendahului melakukan kebajikan-kebajikan”. Ibnu Abbas mentafsirkan ayat ini sebagaimana berikut, “Orang-orang ini ialah orang yang kebahagiaan ditetapkan oeh Allah mendahuluinya”. Sebab itulah kita dapati dia bersegera dalam berbuat kebaikan. Dia menjadi baik kerana ada kaitannya dengan taqdir (ketetapan Allah).

5. Ada orang bertanya Rasulullah, bolehkah kita mengenal (membezakan) antara ahli syurga dan ahli neraka. Nabi s.a.w. menjawab, “Boleh!”. Kita boleh mengenalinya dengan melihat keadaan seseorang itu di segi zahir seperti adakah dia seorang yang taat, derhaka dsb. Untuk manusia biasa, kita hanya dapat mengenali ahli syurga atau neraka berdasarkan alamat-alamat dan sayugia diingat bahawa alamat ini tidaklah sentiasa tepat. Alamat-alamat ini tidaklah muktamad. Contohnya, ada di dalam hadith kisah orang-orang yang mati berjihad di medan perang tetapi diberitahu Nabi bahawa mereka adalah ahli neraka. Ini terbukti benar bila seorang darinya didapati membunuh diri kerana tidak tahan sakit dan seorang lagi kerana mengambil harta rampasan perang dengan khianat.

Hanya Nabi s.a.w. yang mengetahuinya dengan tepat tetapi ini hanya setakat apa yang diberitahu oleh Allah sahaja. Soalan orang tadi boleh jadi berkenaan adakah malaikat tahu siapakah ahli syurga atau ahli neraka. Jawapan kepada soalan ini ialah malaikat boleh mengetahuinya berdasarkan apa yang dicatatkan di Luh Mahfuz, tetapi pengetahuan sebenar hanya di sisi Allah kerana apa yang ada di Loh Mahfuz boleh berubah mengikut kehendak Allah. Setelah mendengar jawapan Nabi s.a.w. orang itu berkata, “Kalau begitu apa perlunya beramal sedangkan ianya sudah diputuskan oleh Allah?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Setiap manusia, dia beramal mengikut apa yang dipermudahkan kepadanya untuknya”. Jika ditakdirkan kita adalah ahli syurga, Allah permudahkan kita untuk melakukan amalan-amalan untuk memasuki syurga dan begitulah sebaliknya. Perbuatan-perbuatan manusia adalah alamat-alamat (tanda-tanda) tetapi ianya tidak muktamad. Yang pastinya Allah sekali-kali tidak akan menganiayai hamba-hamba-Nya (Fussilat, ayat 46), “Allah tidak akan palingkan hati (dari kebaikan) hamba-Nya yang ikhlas dalam berbuat kebaikan”. Sekiranya ada dalam kitab-kitab kisah orang yang berubah di akhir hayatnya, ada sesuatu yang tidak kena dengan orang tersebut. Contohnya, orang yang alim, berilmu (suatu sifat yang baik) tetapi pada masa yang sama dia adalah seorang yang mementingkan dunia dan kebendaan (materialistik). Jika seseorang itu bergelumang dengan perbuatan maksiat, akan tertutup jalan kebaikan di saat akhir kehidupannya.

6. Perlu diingat kaedah taqdir bahawa Allah s.w.t. tahu seseorang itu akan masuk syurga atau neraka. Ianya tidak bermakna Allah memaksakan sesuatu. Allah tahu manusia akan berbuat sesuatu dengan pilihan dan ikhtiarnya. Allah tahu dengan ikhtiarnya, seseorang akan memilih suatu jalan. Alllah s.w.t. memberi kebebasan penuh kepada manusia. Sesiapa yang mahu beriman hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya (al-Kahfi, ayat 29). Allah tidak suruh seseorang menjadi jahat, tetapi itu adalah pilihannya sendiri. Kalau seseorang memilih yang baik, dia akan mendapat yang baik, jika dia pilih yang buruk, dia akan mendapat yang buruk. Oleh itu kita perlu berhati-hati supaya tidak salah memilih jalan hidup yang kita mahu.

    Leave a comment