USUL DIRAYAT HADITH – SESI 7 – (Sambungan) Usul no 3 – Hadith yang tidak sesuai dan tidak layak dengan kedudukan nabi-nabi dan mengaibkan mereka

VIDEO – [Durasi – 1j 26m 40s] –Sesi 7 – Riwayat Tidak Sesuai Dgn kedudukan Nabi-nabi & Aibkan Mereka [USUL DIRAYAT HADIS – Usul 3]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube –   https://youtu.be/4sFidmBv3TI ]

(SAMBUNGAN) USUL KETIGAHadith yang tidak sesuai dan tidak layak dengan kedudukan nabi-nabi dan mengaibkan mereka

Contoh Kedua:

Antara riwayat Israiliyat yang meng’aibkan kedudukan Nabi-Nabi dan bercanggah dengan kema’shuman mereka ialah apa yang disebutkan oleh sesetengah ahli tafsir berhubung dengan kisah Nabi Daud yang terpaut hati kepada isteri pahlawannya Uria. Dalam mentafsirkan ayat 21 hingga 25 di dalam surah Shad, Ibnu Jarir, Ibnu Abi Hatim, Baghawi, Suyuthi dan lain-lain telah mengemukakan beberapa riwayat yang langsung tidak masuk akal dan tidak juga ada nukilan yang sahih. Riwayat-riwayat Israiliyat itu dikatakan berpunca daripada Ibnu ‘Abbaas, Mujaahid, Wahab bin Munabbih, Ka’ab al-Ahbaar, Muhammad bin Ka’ab al-Quradzi, As-Suddi dan lain-lain. Terlebih dahulu elok kiranya dikemukakan ayat-ayat berkenaan. Allah berfirman di dalam Surah Shad:

Bermaksud: “Dan sudahkah sampai kepadamu (Wahai Muhammad) berita (perbicaraan dua) orang yang berselisihan? ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat; Iaitu ketika mereka masuk kepada (Nabi) Daud, lalu ia terkejut melihat mereka; mereka berkata kepadanya: “Janganlah takut, (kami ini) dua orang yang berselisihan, salah seorang dari kami telah berlaku zalim kepada yang lain; oleh itu hukumkanlah di antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus.

“Sebenarnya orang ini ialah saudara (seagama)ku; ia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja; Dalam pada itu, ia (mendesakku dengan) berkata: `Serahkanlah yang seekor itu kepadaku’, dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan perkara itu”.

Berkata dia (Nabi Daud): “Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengah yang lain, kecuali orang¬orang yang beriman dan beramal saleh; sedang mereka amatlah sedikit!” dan (Nabi) Daud (setelah berfikir sejurus) mengetahui bahawa sebenarnya Kami sedang mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).

Maka Kami ampunkan kesalahannya itu; dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak). (Shaad: 21-25).

Sebenarnya ada beberapa versi yang berbeza-beza tentang kaitan riwayat-riwayat tersebut dengan firman Allah di dalam surah tadi. Berikut dikemukakan 3 daripadanya untuk perbandingan.

(1) As-Suddi, al-Kalbi, Muqaatil bin Sulaiman dan lain-lain meriwayatkan bahawa: “Ter1intas di hati Daud kalau beliau diuji tuhan, tentu beliau dapat mengawal diri. Pada ketika itu dikatakan kepada beliau: “Hari ini engkau akan diuji dan akan rnengetahui apa bentuk ujian terhadapmu. Oleh itu berwaspadalah engkau-. Nabi Daud terus mengambil kitab Zabur dan masuk Mihrab (tempat beribadatnya). Dikuncinya semua pintu dan ditugaskan seorang pengawal untuk berkawal di pintu. Pesan beliau kepada pengawal ialah: “Jangan engkau benarkan sesiapa pun masuk menemuiku hari ini”. Ketika beliau sedang membaca Zabur, tiba-tiba datang seekor burung keemasan warnanya berjalan dengan jinak di hadapannya. Daud mendekatinya dan cuba menangkapnya. Tiba-tiba burung itu terjatuh, dan dia pergi untuk melihat ke mana jatuhnya. Pada ketika itu beliau ternampak seorang perempuan yang sedang mandi bersuci di kolamnya dalam keadaan bogel. Bila perempuan itu terperasan ada orang melihatnya, teruslah dia membuka rambutnya lalu menutupi seluruh tubuhnya. Keadaan itu membuatkan hati Daud semakin terpesona dengannya. Suami perempuan itu ialah seorang pejuang di jalan Allah. Daud menulis surat kepada ketua sekalian tentera supaya meletakkan suami perempuan itu di dalam kumpulan pembawa Tabut. Pembawa Tabut sama ada memperoleh kemenangan atau kematian, salah satu daripada dua perkara itu sahaja menanti mereka. Suami si perempuan tadi diletakkan dalam kumpulan pembawa Tabut dan akhirnya dia terbunuh.

Berdasarkan sesetengah riwayat, suami perempuan itu dimasukkan dalam senarai pembawa Tabut sebanyak 3 kali, dan pada kali yang ke-3 baru dia terbunuh. Setelah habis ‘iddah isterinya, ia dilamar oleh Daud, lalu 2 orang malaikat memanjat pagar istana Daud. Itulah yang diceritakan oleh Allah di dalam surah Shad.

Kisah-kisah seperti ini bukan sahaja diriwayatkan secara mauquf daripada sesetengah sahabat, tabi’in dan kalangan Ahlil Kitab yang baru memeluk Islam, bahkan ada juga antaranya marfu’ dan dikaitkan dengan Rasulullah s.a.w. sendiri.

(2) Pengarang ad-Durrul Mantsur menyebutkan bahawa Hakim at-Tirmizi di dalam Nawadirul Usul, Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim di dalam tafsir mereka masing-masing dengan sanad dha`if telah meriwayatkan daripada Anas r.a. Katanya: -Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Daud, bila terpandang kepada perempuan berkenaan, meletakkan suaminya dalam satu pasukan yang berada di hadapan Tabut. Orang-orang yang membawa Tabut pada masa itu tidak akan pulang tanpa mendapat kemenangan atau terbunuh. Suami perempuan itu akhirnya terbunuh dan Daud mengahwini isterinya. Maka turun 2 orang malaikat kepada Daud a.s., menyebabkan Daud insaf, lalu bersujud selama 40 malam sehingga tumbuh tumbuhan yang menjalar naik ke kepalanya.

Disebabkan terlalu banyak air matanya yang menyirami bumi, tanah pula telah memakan dahinya. Di dalam sujudnya Daud terus berkata: “Tuhanku! Daud betul-betul telah menjadi manusia yang paling hina di atas muka bumi. Tuhanku! Jika engkau tidak mengasihani, lemahlah Daud. Jika engkau tidak mengampuni dosanya, nescaya dosanya akan menjadi buah mulut manusia buat selama-lama.” Setelah 40 malam, datanglah Jibril. Kata Jibril: “Wahai Daud, sesungguhnya Allah telah mengampunimu, engkau memang tahu bahawa Allah memang adil, tidak Kata Daud: “Bagaimana dengan Si fulan (Uria) apabila ia datang pada hari kiamat nanti sambil berkata: “Tuhanku, darahku ada pada Daud”? Kata Jibril: “Tidak pula saya tanya Tuhanmu tentang perkara itu. Jika engkau mahu, biar saya tanyakan”. Jawab Daud: “Ya”. Naiklah Jibril. Daud bersujud pula buat sekian lama. Kemudian setelah Jibril turun kembali, dia berkata: “Aku telahpun bertanya Allah wahai Daud tentang apa yang engkau kehendaki itu. Kata Tuhan: “Beritahu kepada Daud, sesungguhnya Allah akan mengumpulkan kamu berdua pada hari kiamat nanti, ketika itu Tuhan akan berkata kepadanya: “Berilah kepadaku darahmu yang ada pada Daud itu”. Dia berkata: “Ku berikan kepadamu Oh Tuhan!” Ketika itu Tuhan berkata: “Kamu boleh mendapat apa saja yang kamu kehendaki di dalam syurga dan apa saja yang kamu ingini sebagai gantinya.”

3) Baghawi dan lain-lain di dalam tafsir masing-masing meriwayatkan daripada Wahab bin Munabbih bahawa Daud setelah diterima taubatnya oleh Allah, terus menangis kerana kesalahannya itu selama 30 tahun. Air matanya tidak henti-henti mengalir siang dan malam. Beliau melakukan kesalahan itu ketika berumur 77 tahun. Selepas itu beliau membahagikan masa dalam hidupnya kepada ernpat bahagian. Satu hari untuk menyelesaikan perkara di antara Bani Israil, satu hari pula untuk isteri-isterinya. Satu hari pula untuk beliau mengembara di belantara, bukit bukau dan di tepian pantai dan satu hari lagi beliau bersunyi di istananya yang mempunyai 4,000 Mihrab. Pada hari keempat itu berkumpullah para pendita. Daud menangisi dirinya bersama-sama mereka. Pada hari dia meratapi dirinya, dia akan keluar ke belantara, dengan meniup seruling suaranya lalu menangis dan menangislah bersamanya pokok-pokok, pasir, burung dan binatang-binatang buas sehingga air mata mereka mengalir seperti sungai. Kemudian beliau pergi pula ke bukit-bukau dan gunung-ganang. Diangkatnya seruling suaranya lalu menangis dan menangislah bersamanya bukit-bukau, gunung-ganang, batu-batan, binatang-binatang dan burung¬burung di sekelilingnya, sehingga lembah-lembah dan lereng-lereng gunung mengalirkan air mata mereka. Kemudian beliau pergi pula ke tepi pantai, diangkatnya seruling suaranya lalu menangis dan menangislah bersamanya ikan-ikan dan binatang-binatang laut serta burung-burung laut dan binatang buas di lautan.

Baca ONLINE atau MUAT TURUN:

NOTA KULIAH

* Perbincangan lebih lanjut dan mendalam boleh didapati di dalam buku “USUL DIRAYAT HADITS – Satu Panduan Mudah Untuk Mengesan Hadits-Hadits Dha’if Dan Maudhu’ (Jilid 1)” Karya Maulana Muhammad Asri Muhammad Yusoff – Perbincangan Usul Dirayat No. 1 hingga 40. Buku boleh diperolehi melalui link – https://shp.ee/q92dh2c

Leave a comment