VIDEO – [Durasi – 8m 11s] – [NIKAH & CERAI ] – Siri 6 – Larangan Mengahwini Wanita Yang Tidak Boleh Beranak [HADITH TEMATIK]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/qPJLjMqI8BM ]
Video penuh asal – • Sesi 2 – Perintah Mengahwini Perempuan Yan… [ Sunan Abi Daud (Kitab Nikah) ]
[ VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
باب النَّهْىِ عَنْ تَزْوِيجِ، مِنْ لَمْ يَلِدْ مِنَ النِّسَاءِ
حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ، أَخْبَرَنَا مُسْتَلِمُ بْنُ سَعِيدِ ابْنُ أُخْتِ، مَنْصُورِ بْنِ زَاذَانَ عَنْ مَنْصُورٍ، – يَعْنِي ابْنَ زَاذَانَ – عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ، عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ، قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ وَإِنَّهَا لاَ تَلِدُ أَفَأَتَزَوَّجُهَا قَالَ ” لاَ ” . ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ فَقَالَ ” تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الأُمَمَ ” .
Larangan (Tidak Digalakkan) Mengahwini Perempuan Yang Tidak Boleh Beranak (Mandul) .
Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Ma’qil Bin Yasar katanya: Ada seorang lelaki pergi bertemu dengan Nabi s.a.w. Dia berkata, “Saya sudah mendapat seorang perempuan yang cantik (sahaja) tetapi dia tidak beranak. Bolehkah saya mengahwininya?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Jangan”. Kemudian dia datang untuk kali kedua, Nabi pun melarangnya sebagaimana kali pertama. Dia datang lagi untuk kali ketiga lantas Nabi s.a.w. bersabda, “Kamu berkahwinlah dengan wanita yang pengasih dan beranak kerana aku akan berbangga dengan kamu terhadap umat-umat yang lain”.
[Ringkasan] Larangan (Tidak Digalakkan) Mengahwini Perempuan Yang Tidak Boleh Beranak (Mandul)
1. Ada seorang lelaki berjumpa Nabi s.a.w. dan memberitahu Baginda bahawa dia telah berjumpa seorang perempuan yang cantik tetapi wanita tersebut mandul [Terjemahan lain: “Berjumpa seorang wanita yang cantik dan berkedudukan tetapi tidak dapat melahirkan anak, mandul]. Nota: Wanita ini diketahui tidak dapat melahirkan anak kerana dia pernah berkahwin sebelumnya. Lelaki tersebut bertanya kepada Nabi, adakah dia boleh mengahwini wanita tersebut. Nabi s.a.w. melarangnya. Begitu juga jawapan Nabi selepas dia datang untuk kali kedua. Selepas berjumpa Nabi untuk kali ketiga, Nabi bersabda, “Kamu berkahwinlah dengan perempuan yang pengasih dan beranak ramai (dari keturunan yang mempunyai ramai anak)”. Baginda akan berbangga dengan ramainya bilangan pengikut Baginda di hadapan umat-umat yang lain. Dapat difahami di sini, kalau boleh Nabi suka jika seorang lelaki berkahwin dengan perempuan yang berpotensi beranak ramai, tetapi dengan syarat anak-anak tersebut menjadi umat yang baik dan sempurna.
2. Hendaklah memilih wanita dari keturunan yang ramai anak, yang sihat dan berpotensi mengurniakan ramai anak. Di antara tanda sihatnya seseorang wanita ialah teratur haidhnya. Jika ingin mengahwini seorang janda, adalah elok sekiranya dia telah mempunyai anak kerana di masa depan dia berpotensi melahirkan anak lagi. Jangan berkahwin pada usia terlalu muda kerana berisiko kematian anak.
3. Nabi juga menyarankan supaya memilih wanita yang penyayang. Seorang yang penyayang akan menumpahkan kasihnya kepada suaminya dan keluarganya dalam mengharungi kehidupan berumah tangga. Pilihlah wanita yang sesuai dengan kita, di segi budi bahasa, perangai dan sikapnya. Antara sifat yang paling utama ialah pengasih dan penyayang dan kita boleh mengetahuinya dengan memerhati suasana keluarganya di mana dia dibesarkan.
4. Nabi akan berbangga dengan ramainya pengikutnya. Ini menunjukkan biangan atau kuantiti adalah penting. Bangsa yang besar dan ramai adalah lebih baik. Oleh itu kita dapati Nabi s.a.w. suka kita berkahwin merentasi kelompok, berkahwin ramai, berkahwin dengan wanita yang berpotensi mempunyai ramai anak dsb. Walaupun begitu Baginda tidak suka jika semata-mata mempunyai ramai anak tetapi tidak berkualiti.
5. Larangan Nabi supaya tidak mengahwini wanita yang mandul tidak bermaksud haram menikahi wanita yang mandul. Larangan ini adalah sekadar anjuran Baginda supaya memilih wanita yang berpotensi beranak ramai. Ada keadaan, kerana faktor usia atau sudahpun mempunyai ramai anak, seseorang lelaki tidak memerlukan anak lagi. Hadith ini bermaksud supaya pemuda tersebut merebut peluang untuk mendapatkan anak kerana usianya masih muda.
