[BERPEGANG TEGUH] – Siri 2 – Sabda Nabi, “Aku Diutuskan Dengan Jawami’ al-Kalim ” [HADITH TEMATIK]

VIDEO – [Durasi – 9m 51s] – [BERPEGANG TEGUH] – Siri 2 – Sabda Nabi, “Aku Diutuskan Dengan Jawami’ al-Kalim” [HADITH TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/wnWJyLIixF8 ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Berpegang Teguh Dengan Kitab Dan …   (Sahih al-Bukhari – Kitab Berpegang Teguh)

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – SABDA NABI, “AKU DIUTUSKAN DENGAN JAWAMI’ AL-KALIM (UCAPAN YANG RINGKAS TETAPI LUAS MAKNANYA)

” باب قَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ بُعِثْتُ بِجَوَامِعِ الْكَلِم ‏‏.‏

حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ، عَنْ سَعِيدٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ مَا مِنَ الأَنْبِيَاءِ نَبِيٌّ إِلاَّ أُعْطِيَ مِنَ الآيَاتِ مَا مِثْلُهُ أُومِنَ ـ أَوْ آمَنَ ـ عَلَيْهِ الْبَشَرُ، وَإِنَّمَا كَانَ الَّذِي أُوتِيتُ وَحْيًا أَوْحَاهُ اللَّهُ إِلَىَّ، فَأَرْجُو أَنِّي أَكْثَرُهُمْ تَابِعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ‏” حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ بُعِثْتُ بِجَوَامِعِ الْكَلِمِ، وَنُصِرْتُ بِالرُّعْبِ، وَبَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُنِي أُتِيتُ بِمَفَاتِيحِ خَزَائِنِ الأَرْضِ، فَوُضِعَتْ فِي يَدِي ‏”‏‏.‏ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَقَدْ ذَهَبَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَنْتُمْ تَلْغَثُونَهَا أَوْ تَرْغَثُونَهَا، أَوْ كَلِمَةً تُشْبِهُهَا‏.‏

Sabda Nabi, “Aku Diutuskan Dengan Jawami’ al-Kalim (Ucapan Yang Ringkas Tetapi Luas Maknanya)” Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku diutuskan membawa Jawami’ al-Kalim (ucapan yang lengkap, ringkas tetapi luas maknanya) dan aku diberi pertolongan dengan menimbulkan gerun di dalam hati musuh. Ketika aku sedang tidur aku nampak aku diberikan anak-anak kunci gedung-gedung bumi dan anak-anak kunci itu diletakkan pada kedua tanganku”. Abu Hurairah berkata, “Rasulullah s.a.w. telah pun pergi dan kamu menikmatinya (ataupun Nabi s.a.w. mengucapkan ucapan yang serupa dengan ucapan itu). Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda, “Tidak ada di antara nabi-nabi seorangpun nabi melainkan dikurniakan kepadanya daripada mukjizat. Mukjizat yang mana dengan mukjizat seumpamanya itu ia dipercayai (ataupun Baginda bersabda, “Manusia mempercayainya”). Sesungguhnya aku diberikan wahyu. Allah telah mewahyukannya kepadaku. Sesungguhnya apa yang diberikan kepadaku adalah wahyu agung. Allah telah mewahyukannya kepadaku kerana itu aku berharap bahawa akulah yang paling ramai di antara nabi-nabi itu pengikut pada hari kiamat nanti.

[Ringkasan] Sabda Nabi, “Aku Diutuskan Dengan Jawami’ al-Kalim (Ucapan Yang Ringkas Tetapi Luas Maknanya)”

1. Nabi s.a.w. bersabda, “Aku diutuskan membawa jawami’ al-kalim”. “Jawami’ al-Kalim” yang dimaksudkan ialah al-Quran (yang ringkas lafaznya tetapi dalam maknanya). Jawami’ al-Kalim – ucapan yang kemas, lengkap dan merangkumi banyak perkara dan makna. Nabi s.a.w. menuturkan sesuatu yang ringkas tetapi banyak dan dalam maknanya.

2. Ada hadith yang berbunyi, “Aku diutuskan membawa al-Quran”, oleh itu ada ulama’ berpendapat ‘”Jawami’ al-Kalim” adalah al-Quran. Al-Quran adalah paling ringkas lafaznya tetapi paling luas maknanya. Hadith Nabi pun begitu juga sifatnya, maka ianya juga termasuk “Jawami’ al-Kalim”.

3. Nabi s.a.w. diberi pertolongan dengan Allah menimbulkan rasa gerun di dalam hati musuh. Musuh-musuh Islam berasa gerun sejauh perjalanan satu bulan. Rasa gerun di dalam hati musuh adalah disebabkan oleh al-Quran. Oleh itu, orang yang berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah akan diberi pertolongan oleh Allah.

4. Nabi s.a.w. bermimpi diberikan anak-anak kunci gedung-gedung bumi. Ianya adalah isyarat bahawa Baginda (umatnya) akan menguasai (kekayaan) dunia ini. Ini menjadi kenyataan bila Kerajaan Rom dan Parsi jatuh ke tangan Islam di zaman Saidina Umar.

5. Abu Hurairah r.a. berkata: “Rasulullah telah pergi (wafat). Kamulah yang menikmati (hasil) peninggalannya (perjuangannya)”.

6. Jawami’ al-Kalim adalah al-Quran dan sunnah. Orang yang berpegang dengan kedua-duanya akan mendapat kejayaan di dunia ini lagi dan pasti akan mendapat kejayaan di akhirat.

7. Nabi-nabi terdahulu telah diberikan mukjizat dan dengan mukjizat itu mereka dipercayai umatnya. Nabi s.a.w. bersabda bahawa apa yang diberikan kepadanya hanyalah wahyu. Ini bermaksud, mukjizat-mukijizat selain dari wahyu tidak kekal dan tidak boleh dirasai oleh umat-umat kemudian. Wahyu-wahyu nabi-nabi terdahulu juga tidak kekal. Wahyu yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w. adalah istimewa kerana ia kekal sehingga hari kiamat dan boleh dirasai dan dimanfaaatkan oleh umat kemudian. Wahyu tersebut ialah al-Quran dan sunnah.

8. Nabi s.a.w. berharap Bagindalah yang mempunyai paling ramai pengikutnya di akhirat nanti. Ini disebabkan adanya al-Quran. Tidak sebagaimana kitab nabi-nabi terdahulu, kitab yang diberikan kepada umat Muhammad ini (al-Quran) kekal sehingga kiamat. Mukjizat al-Quran ialah mukjizat terbesar kepada manusia. Berbeza dengan kitab-kitab suci yang lain, al-Quran dihafal oleh beribu (malah berjuta) orang dari pelbagai bangsa dan dari pelbagai peringkat umur sehingga kita boleh mendakwa al-Quran ini adalah seperti yang diturunkan pada asalnya. Al-Quran sentiasa dibaca dan dikaji oleh umat Islam menunjukkan keistimewaan dan kelebihannya yang tidak mampu ditandingi oleh kitab-kitab suci yang lain. Al-Quran dikaji oleh beribu orang di sepanjang masa dengan sukarela dan tanpa upah. Ini menunjukkan ianya adalah satu mukjizat. Dan kita boleh berpegang teguh kepadanya (mengamalkannya) kerana ia wujud sampai hari ini.

Leave a comment