Wahai Ahli Ilmu, Beristiqamahlah, Jangan Tersasul Ke Kanan Atau Ke Kiri! Riwayat daripada Huzaifah, dia berkata: Wahai kalangan Qurra’! Istiqamahlah (tetaplah kamu di atas landasan yang betul), dengan itu kamu akan mendahului orang lain jauh ke depan, tetapi jika kamu berpaling ke kanan atau ke kiri (tidak tetap pendirian atau tidak istiqamah), kamu telah tersasul jauh sekali.
[RINGKASAN] Wahai Ahli Ilmu, Beristiqamahlah, Jangan Tersasul Ke Kanan Atau Ke Kiri!
1. Wahai ahli Qurra’ (orang yang alim tentang kitab Allah)! Tetaplah di atas landasan yang betul. Mungkin kamu akan menghadapi banyak cabaran dan kesusahan. Jika kamu beristiqamah, kamu akan meninggalkan orang lain jauh di belakang. Hakikat ini akan nyata di dunia ini lagi, dan ianya akan lebih menyerlah di akhirat nanti.
2. Tetapi sebaliknya, jika kamu tidak tetap pendirian, berpaling ke kanan atau ke kiri, tidak istiqamah, kamu akan tersesat jauh, lebih teruk daripada orang lain.
3. Orang yang berilmu yang mengamalkan ilmunya, di segi ganjarannya lebih besar daripada orang lain tetapi jika tergelincir dan terpesong hukumannya lebih berat daripada orang lain
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – (PERCAYA DAN IKUT) NABI MUHAMMAD ADALAH PEMISAH ANTARA MANUSIA (YANG MUSLIM DAN BUKAN MUSLIM)
باب الاِقْتِدَاءِ بِسُنَنِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبَادَةَ، أَخْبَرَنَا يَزِيدُ، حَدَّثَنَا سَلِيمُ بْنُ حَيَّانَ ـ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ـ حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ مِينَاءَ، حَدَّثَنَا أَوْ، سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ، يَقُولُ جَاءَتْ مَلاَئِكَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَهْوَ نَائِمٌ فَقَالَ بَعْضُهُمْ إِنَّهُ نَائِمٌ. وَقَالَ بَعْضُهُمْ إِنَّ الْعَيْنَ نَائِمَةٌ وَالْقَلْبَ يَقْظَانُ. فَقَالُوا إِنَّ لِصَاحِبِكُمْ هَذَا مَثَلاً فَاضْرِبُوا لَهُ مَثَلاً. فَقَالَ بَعْضُهُمْ إِنَّهُ نَائِمٌ. وَقَالَ بَعْضُهُمْ إِنَّ الْعَيْنَ نَائِمَةٌ وَالْقَلْبَ يَقْظَانُ. فَقَالُوا مَثَلُهُ كَمَثَلِ رَجُلٍ بَنَى دَارًا، وَجَعَلَ فِيهَا مَأْدُبَةً وَبَعَثَ دَاعِيًا، فَمَنْ أَجَابَ الدَّاعِيَ دَخَلَ الدَّارَ وَأَكَلَ مِنَ الْمَأْدُبَةِ، وَمَنْ لَمْ يُجِبِ الدَّاعِيَ لَمْ يَدْخُلِ الدَّارَ وَلَمْ يَأْكُلْ مِنَ الْمَأْدُبَةِ. فَقَالُوا أَوِّلُوهَا لَهُ يَفْقَهْهَا فَقَالَ بَعْضُهُمْ إِنَّهُ نَائِمٌ. وَقَالَ بَعْضُهُمْ إِنَّ الْعَيْنَ نَائِمَةٌ وَالْقَلْبَ يَقْظَانُ. فَقَالُوا فَالدَّارُ الْجَنَّةُ، وَالدَّاعِي مُحَمَّدٌ صلى الله عليه وسلم فَمَنْ أَطَاعَ مُحَمَّدًا صلى الله عليه وسلم فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ، وَمَنْ عَصَى مُحَمَّدًا صلى الله عليه وسلم فَقَدْ عَصَى اللَّهَ، وَمُحَمَّدٌ صلى الله عليه وسلم فَرْقٌ بَيْنَ النَّاسِ. تَابَعَهُ قُتَيْبَةُ عَنْ لَيْثٍ، عَنْ خَالِدٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي هِلاَلٍ، عَنْ جَابِرٍ، خَرَجَ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم.
(Percaya Dan Ikut) Nabi Muhammad Adalah Pemisah Antara Manusia (Yang Muslim Dan Bukan Muslim) Riwayat daripada Jabir Bin Abdillah, beliau berkata: Ada beberapa malaikat datang kepada Nabi s.a.w. ketika Nabi sedang tidur. Sebahagian daripada mereka berkata, “Dia sedang tidur”. Yang lain pula berkata, “Matanya tidur, hatinya sedar. Dia ini ada perbandingan. Cuba buat perbandingan untuknya”. Lalu mereka berkata, “Perbandingannya ialah seperti seseorang yang membina rumah dan dia membuat majlis makan. Dia menghantar orang untuk menjemput orang datang. Orang yang menerima jemputan orang yang memanggil itu, bolehlah masuk ke dalam rumah dan makan jamuan itu dan orang yang tidak menyahut orang yang menjemput itu, tidak masuk ke dalam rumah dan tidak boleh makan daripada jamuan itu”. Mereka berkata, “Ceritakanlah perbandingan itu kepadanya supaya jelas”. Sebahagian daripada mereka berkata, “Dia tidur (matanya tidur) tetapi hatinya jaga”. Mereka pun berkata, “Maksud rumah (atau perkampungan, atau negeri) yang dibina ialah syurga dan yang menyeru itu ialah Muhammad. Sesiapa yang taat kepada Muhammad bererti taat kepada Allah dan sesiapa yang derhaka kepada Muhammad bererti dia derhaka kepada Allah. Muhammad adalah pemisah di antara manusia”.
[RINGKASAN] (Percaya Dan Ikut) Nabi Muhammad Adalah Pemisah Antara Manusia (Yang Muslim Dan Bukan Muslim)
1. Nabi Muhammad s.a.w. adalah pemisah di antara manusia (memisahkan manusia antara yang muslim dan bukan muslim).
2. Malaikat membuat perbandingan di mana Nabi Muhammad menjemput manusia ke rumahnya untuk menjamu selera. Mereka yang menerima jemputan tersebut bolehlah masuk dan menjamu selera manakala mereka yang tidak menyahut jemputan tersebut tidak boleh masuk ke dalam rumah dan tidak boleh menjamu selera. Ini adalah seumpama Nabi s.a.w. menjemput orang supaya masuk ke dalam syurga. Mereka yang menyambutnya (mengikut Nabi s.a.w.) akan masuk syurga dan mereka yang enggan mengikut Nabi, tidak akan dapat masuk syurga.
3. Mangikut Nabi hendaklah dalam semua perkara, bukan sebahagian sahaja. Dengan ini barulah nampak kesempurnaan ajarannya. Apa-apa perkara pun dalam dunia ini, jika dibuat separuh-paruh ianya tidak sempurna dan tidak kelihatan cantiknya.
4. Nabi adalah seorang da’ei (pendakwah) yang mengajak manusia kepada syurga.
Semua umat Nabi Muhammad akan masuk syurga kecuali yang enggan Riwayat daripada Abi Hurairah sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Semua umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan”. Sahabat-Sahabat bertanya, “Siapakah orang yang enggan itu?”. Nabi s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang taat kepadaku, dia akan masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepadaku bererti dia telah enggan (masuk syurga)”.
[RINGKASAN] Semua umat Nabi Muhammad akan masuk syurga kecuali yang enggan
1. Sesiapa yang tidak mengikut sunnah Nabi s.a.w. seolah-olah dia tidak ingin masuk syurga.
2. Nabi s.a.w. (sunnah Nabi) wajib diikuti dan sesiapa yang enggan mengikutinya bererti dia enggan masuk syurga.
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – MEMUTUSKAN HUKUM MENGIKUT KITAB ALLAH (AL-QURAN DAN SUNNAH)
باب الاِقْتِدَاءِ بِسُنَنِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم
حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، حَدَّثَنَا الزُّهْرِيُّ، عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، وَزَيْدِ بْنِ خَالِدٍ، قَالاَ كُنَّا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ” لأَقْضِيَنَّ بَيْنَكُمَا بِكِتَابِ اللَّهِ ”.
Memutuskan Hukum Mengikut Kitab Allah (Al-Quran Dan Sunnah) Riwayat daripada Abi Hurairah dan Zaid bin Khalid: Kami berada dekat Nabi s.a.w. Nabi pun berkata, “Pasti aku akan putuskan di antara kamu berdua mengikut kitab Allah”.
[RINGKASAN] Memutuskan Hukum Mengikut Kitab Allah (al-Quran Dan Sunnah)
1. Yang dimaksudkan dengan “kitab Allah” dalam hadith ini ialah sunnah Nabi s.a.w. Oleh itu, boleh difahami bahawa “kitab Allah” dipakai juga dengan makna “sunnah” (selain dari maksud asal, iaitu al-Quran).
2. Kisah di sebalik hadith ini ialah seorang pemuda yang bekerja dengan majikannya telah berzina dengan isteri majikannya. Setelah perbuatan mereka terbongkar, berbagai pendapat berlegar tentang apakah hukuman yang sepatutnya dikenakan ke atas mereka. Ada yang mencadangkan pemuda tadi ditebus dengan 100 ekor kambing. Orang ramai datang berjumpa Rasulullah dan mereka meminta Nabi memutuskan perkara tersebut dengan kitab Allah. Nabi s.a.w. menegaskan bahawa pasti dia akan memutuskan perkara tersebut dengan kitab Allah.
3. Nabi s.a.w. menjatuhkan hukuman rejam ke atas isteri majikan tersebut setelah dia mengaku melakukan zina seperti yang dituduhkan kepadanya. Hukum rejam kerana berzina tiada dalam al-Quran tetapi Nabi mengatakan ianya dari kitab Allah. Oleh itu, hukum rejam ini adalah berdasarkan sunnah dan bukannya dari al-Quran tetapi ianya masih disebut sebagai hukum dari kitab Allah. Ada pendapat yang mengatakan ayat rejam sebenarnya pernah ada dalam al-Quran tetapi ayatnya telah mansuh manakala hukumnya masih kekal. Pendapat ini tidak berasas.
4. Hukum had hanya boleh dijalankan oleh pemeritah. Oleh itu, selain dari individu, pemerintah juga wajib mengikut kitab Allah iaitu al-Quran dan sunnah.
Panduan Terbaik Adalah dari al-Quran Dan Sunnah & Seburuk-buruk Perkara Adalah Perkara Baru Dalam Agama (Bid’ah)
Riwayat daripada Murrah al-Hamdani, dia berkata Abdullah bin Mas’ud berkata, “Sesungguhnya cerita (atau ajaran) yang paling baik ialah kitabullah (ajaran dari kitab Allah) dan petunjuk (bimbingan) yang paling baik ialah petunjuk (atau bimbingan) Muhammad s.a.w. Seburuk-buruk perkara ialah perkara-perkara yang baharu dan sesungguhnya perkara yang dijanjikan kepada kamu pasti akan datang dan kamu tidak akan dapat melemahkan Allah untuk mendatangkan apa yang dijanjikan kepada kamu”.
[RINGKASAN] Panduan Terbaik Adalah dari al-Quran Dan Sunnah & Seburuk-buruk Perkara Adalah Perkara Baru Dalam Agama (Bid’ah)
1. Hidup kita perlu ada panduan sebagaimana perlunya pelbagai panduan seperti katalog produk dan peta perjalanan. Kehidupan kita adalah lebih besar dari segala yang ada di sekeliling kita, maka ianya lebih perlu kepada panduan berbanding perkara-perkara lain.
2. Sebaik-baik ajaran dan panduan ialah dari kitab Allah (al-Quran) dan sebaik-baik pimpinan ialah pimpinan dari Nabi Muhammad s.a.w.
3. Seburuk-buruk perkara ialah perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama (bid’ah). Perkara baharu yang asalnya tiada dalam agama, yang direka dan dikatakan itu adalah dari agama, adalah buruk walaupun pada pendapat kita ianya baik dan cantik. Oleh itu, sayugianyalah kita ikut Nabi s.a.w. sepenuhnya.
4. Rekaan dan perkara baru dalam agama adalah tidak dibenarkan. Contohnya, mengadakan perayaan untuk menyambut kelahiran Nabi. Sepintas lalu ianya nampak cantik kerana kita seolah-olah memullakan dan membesarkan Nabi. Tetapi hakikatnya tidak begitu kerana kita telah menambah satu lagi hari raya dalam Islam, suatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh ulama-ulama’ muktabar di zaman silam. [Rujuk hadith sebelum ini di mana Saidina Umar membantah orang Yahudi yang mencadangkan supaya dijadikan hari perayaan pada hari Allah mengisytiharkan agama Islam telah disempurnakan dan agama yang Allah redha (Surah al-Maidah, ayat 3) – rujuk – • [BERPEGANG TEGUH] – Siri 1 – Berpegang Teg… ]. Kita tidak boleh sesuka hati menambahkan perkara-perkara baru dalam agama, termasuk hari-hari perayaan dan hari kebesaran.
5. Perkara-perkara baru (bid’ah) tidak akan ada penghujungnya. Contohnya dalam hal merayakan hari kelahiran Nabi, akan ada orang yang mempertikaikan mengapa sambutan ini tidak sebesar sambutan majlis hari kelahiran raja-raja, seolah-olah kedudukan Nabi lebih rendah dari raja dan akan ada lagi teguran-teguran lain yang tidak ada penghujungnya. Oleh itu sebaik-baiknya dan sepatutnya kita ikut apa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.
Amanah, al-Quran Dan Sunnah Turun Dari Langit Dan Serasi Antara Satu Sama Lain
Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Huzaifah, beliau berkata Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada kami: Sesungguhnya amanah turun daripada langit ke pangkal hati manusia dan turun pula al-Quran. Mereka membaca al-Quran dan mereka mempelajari daripada as-sunnah.
[RINGKASAN] Amanah, al-Quran Dan Sunnah Turun Dari Langit Dan Serasi Antara Satu Sama Lain
1. “Amanah” turun daripada langit ke pangkal hati manusia dan kemudian turun al-Quran. Selepas itu mereka (manusia) membaca al-Quran dan mengetahui sedikit dari sunnah.
2. Amanah ialah perasaan bertanggungjawab dalam diri manusia. Amanah itu turun dari langit ke pangkal hati manusia. Allah jadikan manusia faham apa itu tanggungjawab, peranan dan tugasnya. Bila seseorang manusia melakukan kesalahan, dia berasa bersalah, bila melakukan kebaikan dia berasa gembira. Setiap manusia suka kepada kebaikan dan bencikan keburukan. Setiap manusia mempunyai naluri tersebut kecuali orang yang tidak waras. Inilah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran, “Fitrah yang Allah jadikan manusia dengannya itu” (Ar-Rum, ayat 30). Ini adalah perkara asas yang ada dalam setiap diri manusia tanpa mengira bangsa atau agama.
3. Kemudian turun al-Quran; mereka belajar al-Quran. Mereka belajar sunnah. Al-Quran dan sunnah ini serasi dengan fitrah kejadian semula jadi manusia.
4. Antara fitrah kejadian manusia ialah rasa ingin bertuhan. Sekiranya tiada tuhan dalam hidupnya, seseorang tidak akan tenang hatinya. Sekiranya tidak bertemu dengan tuhan yang sebenar mereka berusaha mencari tuhan dengan cara mereka sendiri.
5. Juga antara fitrah mausia ialah saling memerlukan antara satu sama lain dari kecil sehinggalah meninggal dunia. Begitu juga naluri manusia dengan sifat takut, kasih sayang, kasihan belas dsb. Ini adalah neraca asas kemanusiaan.
6. Adalah naluri manusia mengharapkan ganjaran dan pembalasan atas kebaikan yang dilakukan di dunia ini tetapi kadang-kadang mereka tidak mendapatkannya semasa hidupnya. Ganjaran atau pembalasan ditangguhkan ke akhirat nanti, oleh itu kepercayaan kepada akhirat ada di dalam hati kecil (naluri) manusia.
7. Mereka membaca al-Quran dan mereka belajar sunnah. Manusia yang normal akan mudah tertarik dengan al-Quran dan sunnah kerana fitrah semulajadinya yang berada di dalam hatinya bertindak seperti magnet. Jika hatinya menolak al-Quran dan sunnah ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya.
8. Ajaran Islam sesuai dengan fitrah manusia. Sebaliknya ajaran agama-agama lain kebanyakannya bercanggah dangan fitrah manusia. Contohnya, ada ajaran agama lain yang mengajar untuk mendekatkan diri dengan tuhan mereka hendaklah membujang, tidak kahwin. Ini sudah tentu tidak sesuai dengan fitrah manusia yang inginkan zuriat keturunan. Begitu juga, naluri manusia yang ingin memiliki sesuatu, menyebabkan ajaran komunis yang menyamaratakan manusia tanpa hak pemilikan harta tidak sesuai dengan fitrah manusia.
9. Islam akan sentiasa sesuai dengan fitrah manusia dari segenap segi, di sudut ekonomi, pemerintahan, aqidah, kekeluargaan dll. Manakala ajaran dari agama dan falsafah yang lain dari Islam banyak yang bertentangan dengan fitrah menyebabkan manusia tidak puas hati dan tidak tenang.
10. Manusia ingin belajar al-Quran dan sunnah, menunjukkan al-Quran dan sunnah itu sesuai dengan fitrah manusia dan alam semesta dan bukan sesuatu yang asing. Ibadat seperti tawaf di Baitulllah sesuai dengan planet-planet yang berkeliling dalam orbit masing-masing, mengelilingi kebesaran Allah.
Rasulullah s.a.w. Dan Abu Bakar as-Siddiq r.a. – Dua Orang Yang Diikuti Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Wa’il, beliau berkata: Aku duduk mengadap Syaibah di masjid ini (Masjidil Haram). Beliau berkata, beliau telah duduk mengadap Umar di tempat engkau ini. Maka Umar berkata, “Aku benar-banar ingin tidak meninggalkan apa-apa pun daripada emas dan perak yang terdapat di dalamnya (Kaabah) melainkan aku bahagi-bahagikannya di antara orang-orang Islam”. Akupun (Syaibah) berkata, “Engkau tidak akan melakukannya”. Beliau berkata, “Kerana aku telah berkata kepadanya, itu tidak dilakukan oleh dua orang sahabatmu”. Umar berkata, “Merekalah dua orang yang diikuti (atau, yang kami ikuti)”.
[RINGKASAN] Rasulullah s.a.w. Dan Abu Bakar as-Siddiq r.a. – Dua Orang Yang Diikuti.
1. Ketika duduk di dalam Masjidil Haram, Abi Wa’il menceritakan bahawa Syaibah pernah menceritakan kepadanya bahawa Saidina Umar r.a. pernah berkata kepadanya bahawa beliau ingin sekali membahagi-bahagikan emas dan perak yang ada di dalam Kaabah kepada orang-orang Islam. Syaibah berkata kepada Saidina Umar bahawa beliau (Saidina Umar) tidak akan melakukannya kerana sebelum itu Syaibah pernah mengingatkan Saidina Umar bahawa perkara itu tidak dilakukan oleh Rasulullah atau Saidina Abu Bakar. Saidina Umar r.a. akur sambil berkata bahawa mereka (Rasulullah dan Saidina Abu Bakar) adalah dua orang yang diikuti.
2. Di zaman jahiliyah, dinding Kaabah dihiaskan dengan emas dan perak. Di zaman Rasulullah dan Saidina Abu Bakar, perhiasan ini dibiarkan tanpa diusik. Saidiina Umar faham benar bahawa perhiasan-perhiasan mewah ini tidak ada maknanya dan tidak diperlukan dalam beribadat. Yang penting dalam beribadat ialah keikhlasan dan khusyu’. Pada beliau, adalah elok jika emas dan perak itu dibahagi-bahagikan kepada orang-orang Islam untuk dimanfaatkan. Walaupun begitu, mengingat bahawa Rasulullah dan Saidina Abu Bakar tidak pernah melakukan apa-apa terhadap perhiasan tersebut dan membiarkan perhiasan tersebut di tempatnya, Saidina Umar lebih suka untuk menurut jejak langkah mereka berdua. Dia mengakui bahawa Rasululllah dan Saidina Abu Bakar ialah dua orang yang perlu diikuti dan dijadikan tauladan.
Mengikut Sunnah-Sunnah Rasulullah s.a.w. Dan Firman Allah, “Jadikanlah kami pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa”. Beliau berkata, “Pemimpin-pemimpin yang kami ikuti dari kalangan orang sebelum kami dan orang kemudian daripada kami mengikuti kami”. Ibnu ‘Aun berkata: Tiga perkara aku suka untuk diriku dan untuk saudara-saudaraku. Yang pertama, sunnah ini agar dipelajari mereka dan mereka bertanya tentangnya. Yang kedua, al-Quran, agar mereka memahaminya dan bertanya tentangnya dan yang ketiga, membiarkan orang kecuali untuk perkara yang baik (Nota: tercatit dalam satu nuskhah) atau, agar mereka menyeru orang kepada kebaikan (Nota: sebagaimana tercatit dalam satu nuskhah yang lain).
[RINGKASAN] Mengikut Sunnah-Sunnah Rasulullah s.a.w.
1.Sunnah Rasulullah itu banyak dan luas yang merangkumi semua perkara seperti aqidah, ibadat, muamalat, kekeluargaan, pemerintahan dsb.
2. Allah berfirman supaya kita meminta kepada-Nya supaya menjadi pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa. Orang-orang yang bertaqwa hanya akan mengikut pemimpin yang mengikut Allah (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya.
3. Untuk mengamalkan al-Quran kita terikat dengan sunnah Nabi s.a.w. Dengan mengikut sunnah dengan sendirinya kita mengikut al-Quran kerana melalui sunnah, Nabi s.a.w. melaksanakan kehendak al-Quran.
4. Di dalam ayat al-Quran, al-Furqan, ayat 74, “Jadikanlah kami pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa”, “orang-orang yang bertaqwa” bermaksud orang-orang yang mengikut al-Quran dan sunnah. (Rujuk juga Ayat 2, Surah al-Baqarah, “Kitab Al-Quran ini…ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”). Jika pengikut kepada seorang pemimpin ialah orang-orang yang bertaqwa, pemimpinnya tentulah lebih tinggi taqwanya dan lebih kuat berpegang dengan al-Quran dan sunnah.
5. Berkaitan firman Allah yang bermaksud, “Jadikanlah kami pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa”, Mujahid berkata, pertama, “Pemimpin-pemimpin yang diikut orang-orang sebelum kami”, bukan pemimpin yang mengikut hawa nafsu. “Pemimpin-pemimpin yang diikut orang-orang sebelum kami” merujuk kepada nabi-nabi terdahulu. Kita memohon supaya tidak menjadi pemimpin diktator yang memerintah dengan sewenang-wenangnya. Kedua, “Dan orang yang kemudian dari kami mengikuti kami”, menjadi pemimpin yang dijadikan contoh oleh orang-orang kemudian.
6. Istilah “Pemimpin” itu luas maksudnya, seperti yang dinyatakan dalam hadith, “Setiap dari kamu adalah pemimpin dan akan disoal tentang kepimpinannya”.
7. Doa agar dijadikan sebagai pemimpin bermaksud juga supaya dapat berkahwin (menjadi pemimpin keluarga) dengan dikurniakan anak cucu yang soleh dan taat.
8. Sebagai pemimpin yang baik, orang lain akan menjadikan kita sebagai contoh.
9. Imam (pemimpin) kepada orang yang bertaqwa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan. Tanpa taqwa, kemajuan dan kemewahan yang dikecapi di dunia ini tidak bermakna apa-apa. Objektif sebenar seorang pemimpin ialah supaya orang yang dipimpinnya taat kepada Allah. Adalah amat salah jika pemimpin atau pemerintah menggalakkan atau memberi peluang rakyatnya melakukan maksiat kepada Allah.
10. Kita boleh menjadikan Nabi s.a.w. sebagai contoh tauladan dalam kepimpinan kerana Baginda sendiri adalah pemimpin di peringkat bawah (keluarga) sehingga ke peringkat tertinggi (ketua negara).
11. Ibnu ‘Aun berkata tiga perkara yang dia suka untuk dirinya dan juga untuk saudara-saudaranya iaitu.
i. Belajar sunnah (hadith-hadith) Nabi s.a.w. dan bertanya tentangnya,
ii. Memahami al-Quran dan bertanya tentang al-Quran. Belajar dan bertanya tentang al-Quran adalah untuk mengamalkannya,
iii. Makna pertama, tidak menyibukkan diri dengan hal-hal orang lain yang tiada faedah kepadanya. Dia hanya melibatkan diri dalam sesuatu perkara atau dalam masyarakat jika ada kebaikan darinya. Makna kedua, mengajak orang kepada kebaikan dan tidak mengajak orang kepada kejahatan malah tidak juga kepada perkara-perkara yang melalaikan. Perkara-perkara yang melalaikan seperti pertandingan sukan mungkin tidak mendatangkan dosa, tetapi kita akan menyesal di kemudian hari kerana banyak masa yang dibazirkan. Mengajak kepada perkara-perkara yang melalaikan boleh berlaku di peringkat individu sehinggalah di peringkat kerajaan. Orang mukmin yang dikatakan berjaya di dalam al-Quran ialah orang yang mengelakkan diri dari perkara yang melalaikan (Surah al-Mukminun, ayat 3). Antara perkara baik yang kekal lama ialah mengajar atau menulis (terutamanya tentang perkara-perkara agama) di mana ianya akan terus diamalkan sehingga selepas kematian kita.
12. Orang-orang yang berjaya ialah mereka yang mengikut sunnah Nabi s.a.w.
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – SABDA NABI, “AKU DIUTUSKAN DENGAN JAWAMI’ AL-KALIM (UCAPAN YANG RINGKAS TETAPI LUAS MAKNANYA)
” باب قَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ” بُعِثْتُ بِجَوَامِعِ الْكَلِم .
حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ، عَنْ سَعِيدٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ” مَا مِنَ الأَنْبِيَاءِ نَبِيٌّ إِلاَّ أُعْطِيَ مِنَ الآيَاتِ مَا مِثْلُهُ أُومِنَ ـ أَوْ آمَنَ ـ عَلَيْهِ الْبَشَرُ، وَإِنَّمَا كَانَ الَّذِي أُوتِيتُ وَحْيًا أَوْحَاهُ اللَّهُ إِلَىَّ، فَأَرْجُو أَنِّي أَكْثَرُهُمْ تَابِعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ” حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ” بُعِثْتُ بِجَوَامِعِ الْكَلِمِ، وَنُصِرْتُ بِالرُّعْبِ، وَبَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُنِي أُتِيتُ بِمَفَاتِيحِ خَزَائِنِ الأَرْضِ، فَوُضِعَتْ فِي يَدِي ”. قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَقَدْ ذَهَبَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَنْتُمْ تَلْغَثُونَهَا أَوْ تَرْغَثُونَهَا، أَوْ كَلِمَةً تُشْبِهُهَا.
Sabda Nabi, “Aku Diutuskan Dengan Jawami’ al-Kalim (Ucapan Yang Ringkas Tetapi Luas Maknanya)” Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku diutuskan membawa Jawami’ al-Kalim (ucapan yang lengkap, ringkas tetapi luas maknanya) dan aku diberi pertolongan dengan menimbulkan gerun di dalam hati musuh. Ketika aku sedang tidur aku nampak aku diberikan anak-anak kunci gedung-gedung bumi dan anak-anak kunci itu diletakkan pada kedua tanganku”. Abu Hurairah berkata, “Rasulullah s.a.w. telah pun pergi dan kamu menikmatinya (ataupun Nabi s.a.w. mengucapkan ucapan yang serupa dengan ucapan itu). Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda, “Tidak ada di antara nabi-nabi seorangpun nabi melainkan dikurniakan kepadanya daripada mukjizat. Mukjizat yang mana dengan mukjizat seumpamanya itu ia dipercayai (ataupun Baginda bersabda, “Manusia mempercayainya”). Sesungguhnya aku diberikan wahyu. Allah telah mewahyukannya kepadaku. Sesungguhnya apa yang diberikan kepadaku adalah wahyu agung. Allah telah mewahyukannya kepadaku kerana itu aku berharap bahawa akulah yang paling ramai di antara nabi-nabi itu pengikut pada hari kiamat nanti.
[Ringkasan] Sabda Nabi, “Aku Diutuskan Dengan Jawami’ al-Kalim (Ucapan Yang Ringkas Tetapi Luas Maknanya)”
1. Nabi s.a.w. bersabda, “Aku diutuskan membawa jawami’ al-kalim”. “Jawami’ al-Kalim” yang dimaksudkan ialah al-Quran (yang ringkas lafaznya tetapi dalam maknanya). Jawami’ al-Kalim – ucapan yang kemas, lengkap dan merangkumi banyak perkara dan makna. Nabi s.a.w. menuturkan sesuatu yang ringkas tetapi banyak dan dalam maknanya.
2. Ada hadith yang berbunyi, “Aku diutuskan membawa al-Quran”, oleh itu ada ulama’ berpendapat ‘”Jawami’ al-Kalim” adalah al-Quran. Al-Quran adalah paling ringkas lafaznya tetapi paling luas maknanya. Hadith Nabi pun begitu juga sifatnya, maka ianya juga termasuk “Jawami’ al-Kalim”.
3. Nabi s.a.w. diberi pertolongan dengan Allah menimbulkan rasa gerun di dalam hati musuh. Musuh-musuh Islam berasa gerun sejauh perjalanan satu bulan. Rasa gerun di dalam hati musuh adalah disebabkan oleh al-Quran. Oleh itu, orang yang berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah akan diberi pertolongan oleh Allah.
4. Nabi s.a.w. bermimpi diberikan anak-anak kunci gedung-gedung bumi. Ianya adalah isyarat bahawa Baginda (umatnya) akan menguasai (kekayaan) dunia ini. Ini menjadi kenyataan bila Kerajaan Rom dan Parsi jatuh ke tangan Islam di zaman Saidina Umar.
5. Abu Hurairah r.a. berkata: “Rasulullah telah pergi (wafat). Kamulah yang menikmati (hasil) peninggalannya (perjuangannya)”.
6. Jawami’ al-Kalim adalah al-Quran dan sunnah. Orang yang berpegang dengan kedua-duanya akan mendapat kejayaan di dunia ini lagi dan pasti akan mendapat kejayaan di akhirat.
7. Nabi-nabi terdahulu telah diberikan mukjizat dan dengan mukjizat itu mereka dipercayai umatnya. Nabi s.a.w. bersabda bahawa apa yang diberikan kepadanya hanyalah wahyu. Ini bermaksud, mukjizat-mukijizat selain dari wahyu tidak kekal dan tidak boleh dirasai oleh umat-umat kemudian. Wahyu-wahyu nabi-nabi terdahulu juga tidak kekal. Wahyu yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w. adalah istimewa kerana ia kekal sehingga hari kiamat dan boleh dirasai dan dimanfaaatkan oleh umat kemudian. Wahyu tersebut ialah al-Quran dan sunnah.
8. Nabi s.a.w. berharap Bagindalah yang mempunyai paling ramai pengikutnya di akhirat nanti. Ini disebabkan adanya al-Quran. Tidak sebagaimana kitab nabi-nabi terdahulu, kitab yang diberikan kepada umat Muhammad ini (al-Quran) kekal sehingga kiamat. Mukjizat al-Quran ialah mukjizat terbesar kepada manusia. Berbeza dengan kitab-kitab suci yang lain, al-Quran dihafal oleh beribu (malah berjuta) orang dari pelbagai bangsa dan dari pelbagai peringkat umur sehingga kita boleh mendakwa al-Quran ini adalah seperti yang diturunkan pada asalnya. Al-Quran sentiasa dibaca dan dikaji oleh umat Islam menunjukkan keistimewaan dan kelebihannya yang tidak mampu ditandingi oleh kitab-kitab suci yang lain. Al-Quran dikaji oleh beribu orang di sepanjang masa dengan sukarela dan tanpa upah. Ini menunjukkan ianya adalah satu mukjizat. Dan kita boleh berpegang teguh kepadanya (mengamalkannya) kerana ia wujud sampai hari ini.
[TERJEMAHAN] Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Thariq Bin Shihab beliau berkata: Ada seorang lelaki Yahudi berkata kepada Umar, “Wahai Amirul Mukminin! Kalaulah ayat ini turun kepada kami (iaitu ayat, “Pada hari ini Aku sempurnakan untukmu agamamu dan Aku lengkapkan kepada mu nikmat-Ku. Aku redha Islam sebagai agama kepada kamu”) nescaya kami akan jadikan hari itu sebagai hari raya”. Maka Umar berkata, “Sesungguhnya saya amat tahu pada hari apakah ayat ini diturunkan. Ia turun pada hari Arafah, pada hari Jumaat”. Sufyan telah mendengar Mis’ar dan Mis’ar telah mendengar Qais dan Qais telah mendengar Thariq (meriwayatkan hadith ini).
[RINGKASAN] – Orang Yahudi mengatakan jika ayat al-Quran sebagaimana ayat 3, Surah al-Maidah diturunkan kepada mereka, nescaya mereka akan menjadikan hari turunnya ayat tersebut sebagai hari raya. Sayyidina Umar membantah dengan mengatakan hari raya telah ditetapkan oleh Nabi s.a.w., dan tiada hari raya selain dari itu. Beliau memberitahu yang dia tahu dengan jelas bila dan di mana ayat tersebut diturunkan. Menjadikan hari-hari lain sebagai hari raya jelas bercanggah dengan syariat tidak kira walau bagaimana penting atau bersejarahnya hari itu
[HADITH NO. 7269]
حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ، عَنْ عُقَيْلٍ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ، أَنَّهُ سَمِعَ عُمَرَ الْغَدَ، حِينَ بَايَعَ الْمُسْلِمُونَ أَبَا بَكْرٍ، وَاسْتَوَى عَلَى مِنْبَرِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم تَشَهَّدَ قَبْلَ أَبِي بَكْرٍ فَقَالَ أَمَّا بَعْدُ فَاخْتَارَ اللَّهُ لِرَسُولِهِ صلى الله عليه وسلم الَّذِي عِنْدَهُ عَلَى الَّذِي عِنْدَكُمْ، وَهَذَا الْكِتَابُ الَّذِي هَدَى اللَّهُ بِهِ رَسُولَكُمْ فَخُذُوا بِهِ تَهْتَدُوا وَإِنَّمَا هَدَى اللَّهُ بِهِ رَسُولَهُ.
[TERJEMAHAN] Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Syihab, dia berkata: Anas bin Malik menceritakan kepadaku bahawa dia telah mendengar Umar pada hari keesokan daripada orang-orang Islam berbai’ah kepada Abu Bakar. Dia berada di atas mimbar Rasulullah dimana dia bertasyahud sebelum Abu Bakar bercakap dengannya. Dia berkata, “Amma ba’du. Maka Allah telah memilih untuk Rasul-Nya apa yang ada pada-Nya daripada apa yang ada pada kamu. Inilah kitab yang Allah telah pimpin dengannya Rasul kamu. Oleh itu kamu berpeganglah dengannya, nescaya kamu akan mendapat petunjuk yang Allah telah berikan kepada Rasul-Nya”.
[RINGKASAN] – Daripada perbuatan Sayyidina Umar r.a. kita boleh ambil pelajaran bahawa adalah elok memuji-muji Allah sebelum berucap atau bercakap tentang perkara yang penting. Nabi s.a.w. meninggalkan kepada kita kitab suci al-Quran yang mana Allah telah memimpin Nabi dengannya. Oleh itu, kita sebagai umatnya hendaklah pegang (menghayati) al-Quran dengan teguh, nescaya kita akan terpimpin (mendapat panduan). Sejarah telah membuktikan bahawa mereka yang berpegang teguh dengan al-Quran telah berjaya manakala mereka yang meninggalkannya telah jatuh dan berpecah belah. Jadikanlah al-Quran sebagai yang paling utama.
[HADITH NO 7270]
حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ، حَدَّثَنَا وُهَيْبٌ، عَنْ خَالِدٍ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ ضَمَّنِي إِلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَقَالَ “ اللَّهُمَّ عَلِّمْهُ الْكِتَابَ
[TERJEMAHAN] Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, beliau berkata: Nabi s.a.w. telah mendakap aku kepadanya sambil Baginda mendoakan, “Ya Allah! Ajarlah kitab kepadanya”.
[RINGKASAN] – Nabi mendoakan Ibnu Abbas supaya Allah memberikan kepadanya ilmu al-Quran. Ini menunjukkan keutamaan al-Quran. Kedudukan hadith adalah di tempat kedua selepas al-Quran dan berfungsi untuk menghuraikan al-Quran.
[TERJEMAHAN] Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Barzah, beliau meriwayatkan, “Sesungguhnya Allah telah membuatkan kamu kaya atau Allah telah mengangkat kamu dengan Islam dan dengan Muhammad s.a.w.”
[RINGKASAN] – Allah telah menjadikan kamu kaya (tidak memerlukan kepada yang lain) dan mengangkat (meninggikan) kamu dengan Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. (yang membawa al-Quran dan sunnah). Zaman-zaman awal Islam membuktikan bahawa dengan memegang teguh al-Quran dan sunnah telah mengangkat umat Islam sehingga menguasai dunia.
[TERJEMAHAN] Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Dinar bahawa Abdullah bin Umar telah menulis surat kepada Abdul Malik bin Marwan dimana beliau berbai’ah kepadanya dengan katanya, “Aku berikrar untuk dengar dan taat kepada mu berdasarkan sunnah (ketetapan) Allah dan sunnah Rasul-Nya dalam perkara yang aku mampu turut”.
[RINGKASAN] – Ibnu Umar berbai’at dengan Khalifah Abdul Malik bin Marwan dengan syarat selagi beliau memerintah dengan berpandukan kepada al-Quran dan sunnah. Ini menunjukkan bahawa khalifah-khalifah selepas khulafah ar-Rasyidin adalah pemerintah yang baik yang memerintah berdasarkan al-Quran dan sunnah.