VIDEO – [Durasi – 12m 50s] – [BERPEGANG TEGUH] – Siri 3 – Mengikut Sunnah-Sunnah Rasulullah s.a.w. [HADITH TEMATIK]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/zQJQT4k4DeI ]
Video penuh asal – • Sesi 2 – Mengikut Sunnah-sunnah Rasulullah… (Sahih al-Bukhari – Kitab Berpegang Teguh)
[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – MENGIKUT SUNNAH-SUNNAH RASULULLAH S.A.W.
باب الاِقْتِدَاءِ بِسُنَنِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم
وَقَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى: {وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا} قَالَ أَيِمَّةً نَقْتَدِي بِمَنْ قَبْلَنَا، وَيَقْتَدِي بِنَا مَنْ بَعْدَنَا. وَقَالَ ابْنُ عَوْنٍ ثَلاَثٌ أُحِبُّهُنَّ لِنَفْسِي وَلإِخْوَانِي هَذِهِ السُّنَّةُ أَنْ يَتَعَلَّمُوهَا وَيَسْأَلُوا عَنْهَا، وَالْقُرْآنُ أَنْ يَتَفَهَّمُوهُ وَيَسْأَلُوا عَنْهُ، وَيَدَعُوا النَّاسَ إِلاَّ مِنْ خَيْرٍ.
Mengikut Sunnah-Sunnah Rasulullah s.a.w. Dan Firman Allah, “Jadikanlah kami pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa”. Beliau berkata, “Pemimpin-pemimpin yang kami ikuti dari kalangan orang sebelum kami dan orang kemudian daripada kami mengikuti kami”. Ibnu ‘Aun berkata: Tiga perkara aku suka untuk diriku dan untuk saudara-saudaraku. Yang pertama, sunnah ini agar dipelajari mereka dan mereka bertanya tentangnya. Yang kedua, al-Quran, agar mereka memahaminya dan bertanya tentangnya dan yang ketiga, membiarkan orang kecuali untuk perkara yang baik (Nota: tercatit dalam satu nuskhah) atau, agar mereka menyeru orang kepada kebaikan (Nota: sebagaimana tercatit dalam satu nuskhah yang lain).
[RINGKASAN] Mengikut Sunnah-Sunnah Rasulullah s.a.w.
1.Sunnah Rasulullah itu banyak dan luas yang merangkumi semua perkara seperti aqidah, ibadat, muamalat, kekeluargaan, pemerintahan dsb.
2. Allah berfirman supaya kita meminta kepada-Nya supaya menjadi pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa. Orang-orang yang bertaqwa hanya akan mengikut pemimpin yang mengikut Allah (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya.
3. Untuk mengamalkan al-Quran kita terikat dengan sunnah Nabi s.a.w. Dengan mengikut sunnah dengan sendirinya kita mengikut al-Quran kerana melalui sunnah, Nabi s.a.w. melaksanakan kehendak al-Quran.
4. Di dalam ayat al-Quran, al-Furqan, ayat 74, “Jadikanlah kami pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa”, “orang-orang yang bertaqwa” bermaksud orang-orang yang mengikut al-Quran dan sunnah. (Rujuk juga Ayat 2, Surah al-Baqarah, “Kitab Al-Quran ini…ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”). Jika pengikut kepada seorang pemimpin ialah orang-orang yang bertaqwa, pemimpinnya tentulah lebih tinggi taqwanya dan lebih kuat berpegang dengan al-Quran dan sunnah.
5. Berkaitan firman Allah yang bermaksud, “Jadikanlah kami pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa”, Mujahid berkata, pertama, “Pemimpin-pemimpin yang diikut orang-orang sebelum kami”, bukan pemimpin yang mengikut hawa nafsu. “Pemimpin-pemimpin yang diikut orang-orang sebelum kami” merujuk kepada nabi-nabi terdahulu. Kita memohon supaya tidak menjadi pemimpin diktator yang memerintah dengan sewenang-wenangnya. Kedua, “Dan orang yang kemudian dari kami mengikuti kami”, menjadi pemimpin yang dijadikan contoh oleh orang-orang kemudian.
6. Istilah “Pemimpin” itu luas maksudnya, seperti yang dinyatakan dalam hadith, “Setiap dari kamu adalah pemimpin dan akan disoal tentang kepimpinannya”.
7. Doa agar dijadikan sebagai pemimpin bermaksud juga supaya dapat berkahwin (menjadi pemimpin keluarga) dengan dikurniakan anak cucu yang soleh dan taat.
8. Sebagai pemimpin yang baik, orang lain akan menjadikan kita sebagai contoh.
9. Imam (pemimpin) kepada orang yang bertaqwa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan. Tanpa taqwa, kemajuan dan kemewahan yang dikecapi di dunia ini tidak bermakna apa-apa. Objektif sebenar seorang pemimpin ialah supaya orang yang dipimpinnya taat kepada Allah. Adalah amat salah jika pemimpin atau pemerintah menggalakkan atau memberi peluang rakyatnya melakukan maksiat kepada Allah.
10. Kita boleh menjadikan Nabi s.a.w. sebagai contoh tauladan dalam kepimpinan kerana Baginda sendiri adalah pemimpin di peringkat bawah (keluarga) sehingga ke peringkat tertinggi (ketua negara).
11. Ibnu ‘Aun berkata tiga perkara yang dia suka untuk dirinya dan juga untuk saudara-saudaranya iaitu.
i. Belajar sunnah (hadith-hadith) Nabi s.a.w. dan bertanya tentangnya,
ii. Memahami al-Quran dan bertanya tentang al-Quran. Belajar dan bertanya tentang al-Quran adalah untuk mengamalkannya,
iii. Makna pertama, tidak menyibukkan diri dengan hal-hal orang lain yang tiada faedah kepadanya. Dia hanya melibatkan diri dalam sesuatu perkara atau dalam masyarakat jika ada kebaikan darinya. Makna kedua, mengajak orang kepada kebaikan dan tidak mengajak orang kepada kejahatan malah tidak juga kepada perkara-perkara yang melalaikan. Perkara-perkara yang melalaikan seperti pertandingan sukan mungkin tidak mendatangkan dosa, tetapi kita akan menyesal di kemudian hari kerana banyak masa yang dibazirkan. Mengajak kepada perkara-perkara yang melalaikan boleh berlaku di peringkat individu sehinggalah di peringkat kerajaan. Orang mukmin yang dikatakan berjaya di dalam al-Quran ialah orang yang mengelakkan diri dari perkara yang melalaikan (Surah al-Mukminun, ayat 3). Antara perkara baik yang kekal lama ialah mengajar atau menulis (terutamanya tentang perkara-perkara agama) di mana ianya akan terus diamalkan sehingga selepas kematian kita.
12. Orang-orang yang berjaya ialah mereka yang mengikut sunnah Nabi s.a.w.
