[BERPEGANG TEGUH] – Siri 5 – Amanah, al-Quran & Sunnah Turun Dari Langit Dan Serasi Antara Satu Sama Lain

VIDEO – [Durasi – 7m 54s] – [BERPEGANG TEGUH] -Siri 5 -Amanah, Quran & Sunnah Turun Dari Langit Dan Serasi Antara Satu Sama Lain

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/4YLLAw9dV40 ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 – Mengikut Sunnah-sunnah Rasulullah…   (Sahih al-Bukhari – Kitab Berpegang Teguh)

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – AMANAH, AL-QURAN DAN SUNNAH TURUN DARI LANGIT DAN SERASI ANTARA SATU SAMA LAIN

باب الاِقْتِدَاءِ بِسُنَنِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، قَالَ سَأَلْتُ الأَعْمَشَ فَقَالَ عَنْ زَيْدِ بْنِ وَهْبٍ، سَمِعْتُ حُذَيْفَةَ، يَقُولُ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ أَنَّ الأَمَانَةَ نَزَلَتْ مِنَ السَّمَاءِ فِي جَذْرِ قُلُوبِ الرِّجَالِ، وَنَزَلَ الْقُرْآنُ فَقَرَءُوا الْقُرْآنَ وَعَلِمُوا مِنَ السُّنَّةِ ‏”‏‏.‏

Amanah, al-Quran Dan Sunnah Turun Dari Langit Dan Serasi Antara Satu Sama Lain

Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Huzaifah, beliau berkata Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada kami: Sesungguhnya amanah turun daripada langit ke pangkal hati manusia dan turun pula al-Quran. Mereka membaca al-Quran dan mereka mempelajari daripada as-sunnah.

[RINGKASAN] Amanah, al-Quran Dan Sunnah Turun Dari Langit Dan Serasi Antara Satu Sama Lain

1. “Amanah” turun daripada langit ke pangkal hati manusia dan kemudian turun al-Quran. Selepas itu mereka (manusia) membaca al-Quran dan mengetahui sedikit dari sunnah.

2. Amanah ialah perasaan bertanggungjawab dalam diri manusia. Amanah itu turun dari langit ke pangkal hati manusia. Allah jadikan manusia faham apa itu tanggungjawab, peranan dan tugasnya. Bila seseorang manusia melakukan kesalahan, dia berasa bersalah, bila melakukan kebaikan dia berasa gembira. Setiap manusia suka kepada kebaikan dan bencikan keburukan. Setiap manusia mempunyai naluri tersebut kecuali orang yang tidak waras. Inilah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran, “Fitrah yang Allah jadikan manusia dengannya itu” (Ar-Rum, ayat 30). Ini adalah perkara asas yang ada dalam setiap diri manusia tanpa mengira bangsa atau agama.

3. Kemudian turun al-Quran; mereka belajar al-Quran. Mereka belajar sunnah. Al-Quran dan sunnah ini serasi dengan fitrah kejadian semula jadi manusia.

4. Antara fitrah kejadian manusia ialah rasa ingin bertuhan. Sekiranya tiada tuhan dalam hidupnya, seseorang tidak akan tenang hatinya. Sekiranya tidak bertemu dengan tuhan yang sebenar mereka berusaha mencari tuhan dengan cara mereka sendiri.

5. Juga antara fitrah mausia ialah saling memerlukan antara satu sama lain dari kecil sehinggalah meninggal dunia. Begitu juga naluri manusia dengan sifat takut, kasih sayang, kasihan belas dsb. Ini adalah neraca asas kemanusiaan.

6. Adalah naluri manusia mengharapkan ganjaran dan pembalasan atas kebaikan yang dilakukan di dunia ini tetapi kadang-kadang mereka tidak mendapatkannya semasa hidupnya. Ganjaran atau pembalasan ditangguhkan ke akhirat nanti, oleh itu kepercayaan kepada akhirat ada di dalam hati kecil (naluri) manusia.

7. Mereka membaca al-Quran dan mereka belajar sunnah. Manusia yang normal akan mudah tertarik dengan al-Quran dan sunnah kerana fitrah semulajadinya yang berada di dalam hatinya bertindak seperti magnet. Jika hatinya menolak al-Quran dan sunnah ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya.

8. Ajaran Islam sesuai dengan fitrah manusia. Sebaliknya ajaran agama-agama lain kebanyakannya bercanggah dangan fitrah manusia. Contohnya, ada ajaran agama lain yang mengajar untuk mendekatkan diri dengan tuhan mereka hendaklah membujang, tidak kahwin. Ini sudah tentu tidak sesuai dengan fitrah manusia yang inginkan zuriat keturunan. Begitu juga, naluri manusia yang ingin memiliki sesuatu, menyebabkan ajaran komunis yang menyamaratakan manusia tanpa hak pemilikan harta tidak sesuai dengan fitrah manusia.

9. Islam akan sentiasa sesuai dengan fitrah manusia dari segenap segi, di sudut ekonomi, pemerintahan, aqidah, kekeluargaan dll. Manakala ajaran dari agama dan falsafah yang lain dari Islam banyak yang bertentangan dengan fitrah menyebabkan manusia tidak puas hati dan tidak tenang.

10. Manusia ingin belajar al-Quran dan sunnah, menunjukkan al-Quran dan sunnah itu sesuai dengan fitrah manusia dan alam semesta dan bukan sesuatu yang asing. Ibadat seperti tawaf di Baitulllah sesuai dengan planet-planet yang berkeliling dalam orbit masing-masing, mengelilingi kebesaran Allah.

Leave a comment