[ADAB] – Siri 12- Orang Yang Diperluaskan Rezekinya Kerana Dia Menghubungi Keluarga [HADITH TEMATIK]

VIDEO – [Durasi – 5m 56s] – [ADAB] – Siri 12- Orang Yang Diperluaskan Rezekinya Kerana Dia Menghubungi Keluarga [HADITH TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/L-2hxYmQ2do ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 – Derhaka Kepada Kedua Ibubapa Term…   [ Sahih al-Bukhari – Kitab Adab ]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – ORANG YANG DIPERLUASKAN REZEKINYA KERANA DIA MENGHUBUNGI KELUARGA (MENGHUBUNGI RAHIM)

باب مَنْ بُسِطَ لَهُ فِي الرِّزْقِ بِصِلَةِ الرَّحِمِ حَدَّثَنِي إِبْرَاهِيمُ بْنُ الْمُنْذِرِ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مَعْنٍ، قَالَ حَدَّثَنِي أَبِي، عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي سَعِيدٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏”‏ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَأَنْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ ‏”‏‏.‏ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ، عَنْ عُقَيْلٍ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، قَالَ أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ ‏”‏‏.‏

Orang Yang Diperluaskan Rezekinya Kerana Dia Menghubungi Keluarga (Menghubungi Rahim)

Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Hurairah katanya, saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang hendak diperluaskan kepadanya rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menghubungi keluarganya”.

Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang suka diperluaskan rezekinya dan diperpanjangkan umurnya (atau dilanjutkan kesan-kesan peninggalannya) maka hendaklah dia menghubungi rahim”.

[RINGKASAN] Orang Yang Diperluaskan Rezekinya Kerana Dia Menghubungi Keluarga (Menghubungi Rahim)

1. Kelebihan menjalinkan hubungan kekeluargaan (silaturrahim) di akhirat nanti ialah dikurniakan syurga, manakala antara manfaat di dunia ini ialah diperluaskan rezeki seseorang.

2. Dari segi zahirnya, kita dapati orang yang menjalinkan hubungan silaturrahim, contohnya, akan berjaya dalam perniagaan dan mudahnya urusan hidupnya dengan sokongan rakan-rakan dan saudara mara yang baik hubungan dengannya.

3. Di sisi lain, Allah mengadakan sebab-sebab (yang tidak nampak) untuk memberi rezeki kepada seseorang, tidak melalui kaum keluarga tetapi dengan melembutkan hati orang lain kepada mereka yang menjalinkan hubungan silaturrahim.

4. Malangnya di zaman kita ini, aspek ini (menjalinkan hubungan silaturrahim untuk memperolehi rezeki dan memudahkan urusan hidup) tidak diambil berat tetapi masyarakat lebih menekankan amalan yang tidak mempunyai asas dan dalil yang kuat dalam agama seperti solat hajat. Sepatutnya kita utamakan amalan ini (menghubungi kekeluargaan) tetapi oleh kerana ianya sukar dan memerlukan komitmen sepanjang hidup, ianya tidak begitu mendapat tempat dalam masyarakat. Amalan solat hajat sebenarnya satu penyakit orang-orang di zaman kita yang mengharapkan ibadat dan doa orang lain, bukan dari amalan sendiri!

5. Selain dari diperluaskan rezeki, amalan menjalinkan silaturrahim akan memanjangkan umur atau di dilanjutkan kesan hidupnya. Mungkin umurnya tidak panjang di segi bilangan tahun tetapi kesan dari kehidupannya dilanjut dan dipanjangkan selepas kematiannya. Hasil dari kerja buatnya semasa hidupnya di dunia ini dimanfaatkan oleh orang lain lama selepas kematiannya menyebabkan dia dapat pahala yang berpanjangan seolah-olah dia masih hidup. Ini bertepatan dengan tujuan sebenar kehidupan kita iaitu meraih dan mangumpul pahala sebanyak mungkin. Sayugia diingat bahawa yang dimaksudkan dari hidup ialah bukan hidup itu sendiri tetapi hasil dari kehidupan itu.

6. Sejarah memaparkan ramai ulama’ seperti Imam an-Nawawi dan Imam as-Suyuti pendek umurnya (tidak sampai 50 tahun umurnya) tetapi sumbangan mereka kepada agama ini amat besar. Kitab-kitab tulisan mereka masih digunakan dan dirujuk sehingga hari ini seolah-olah mereka masih hidup dan terus mengajar agama ini kepada umat manusia. Nama mereka harum dan disebut-sebut dan pendapat mereka dijadikan rujukan di dunia Islam.

7. Sesiapa yang inginkan kelebihan-kelebihan ini (luas rezeki dan panjang umur) hendaklah menghubungi rahim. “Rahim” yang dimaksudkan ialah rahim ibu yang asal, yang satu iaitu Hawa. Semua dari kita berasal dari rahim ini. Dari rahim inilah berkembang biak manusia serata alam, oleh itu menghubungkan silaturrahim bermaksud mempersatukan kembali kepada rahim yang pertama.

8. Sememangnya menjadi idaman manusia supaya diperluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya (atau dipanjangkan kesan, makna atau sumbanganya). Jadilah seperti ulama’-ulama’ muktabar terdahulu yang walaupun singkat bilangan tahun hidupnya tetapi mengarang kitab-kitab besar yang sampai sekarang digunakan dan termasuk juga lain-lain kebajikan yang dapat dimanfaatkan oleh manusia kemudian.

Leave a comment